Archive for Januari, 2009


TAIB ERDOGAN PENAKLUK DAVOS

Sebentar tadi saya berpeluang menonton kembali di Astro Awani rakaman babak penting forum antara PM Turki Taib Erdogan dan PM Israel Simon Parez  dalam Forum Ekonomi Dunia atau dipanggil Sidang Davos.

e1Babak itu memperlihatkan PM Taib Erdogan dengan lantang ‘membelasah’ PM Simon yang hanya duduk saling bersebelahan dengan membela umat Islam dan rakyat di Palestin, dan mendakwa PM Simon : “Kamu bunuh orang awam!” 

e2Sikap pengerusi forum pula lagak pengerusi debat perdana RTM, enggan memberi ruang bercakap lebih lama kepada PM Taib Erdogan berbanding tempoh yang diberikan kepada PM Simon.

e3Akhirnya berlakulah adegan PM Taib Erdogan keluar dewan.

e5PM Taib Erdogan langsung kembali ke Istanbul dengan disambut sebagai wira baru dunia umat Islam di tengah kelesuan pemimpin Arab dan pemimpin negara Islam. Rakyat Turki berhimpun di hadapan Lapangan Terbang Istanbul bagi menyatakan sokongan kepada beliau di atas ketegasannya.

Untuk rekod PM Taib Erdogan adalah seorang pemimpin yang paling aktif dalam menentang kekejaman Israel. Beliau menjemput pemimpin HAMAS ke Israel, bertemu pemimpin Arab supaya mengambil peranan aktif dan sebagainya.

Lebih hebat, dalam siri demonstrasi menentang Israel di seluruh dunia, di Turki sahaja hampir sejuta rakyatnya menyertai demonstrasi itu. Rakyat Turki bersama Erdogan dan umat Islam Palestin.

Bagus, bagus, bagus!

DUA MENANTU SEKALI

Kesempatan ini saya sekeluarga mengucapkan tahniah kepada keluarga Shaikhul Maqari’ Hj Othman Hamzah (ahli Lajnah Tashih al-Quran KDN) dan isteri Hjh Khainarida Manan yang mengadakan majlis perkahwinan buat dua puteri mereka sekaligus.

Terima kasih atas kad jemputan yang diterima minggu lepas dan mohon maaf tidak dapat hadir.

ASMA BINTI OTHMAN & MOHD TAUFIK BIN PANGILUN AL-MUQRI

AISYAH BINTI OTHMAN DAN HAIRUDDIN BIN MOHD DIAH AL-MUQRI

31 Januari 2009 / 4 Safar 1430 di Dewan Semnar Masjid Negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Shah Alam Selangor Darul Ehsan. 11 pagi hingga 4 petang.

Seronok mendengar Shaikh Othman dah dapat menantu. Bukan calang-calang pula tu.

Rehat dan keluar sebentar daripada cerita Jakarta.

Tengahari tadi, saya menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid dalam Parlimen Putatan. Lebih baik saya tidak nyatakan. Ada beberapa perkara yang menjadi perhatian kali ini.

1. Teks dan khatib

Isu kali ini berkenaan kegawatan ekonomi antarabangsa yang turut dialami oleh negara kita. Ia asalnya teks JAKIM dan diambil oleh JHEAINS untuk edaran seluruh Sabah. Di pihak JHEAINS, saya yang mengedit semula teks berkenaan sebelum diterbitkan.

Saya teruja mendengar penyampaian khatib yang lancar dan lantang. Cuma saja apabila masuk kepada ayat al-Quran atau hadith seringkali dimulakan dengan “… yang bermaksud..”, tanpa membaca teks bahasa Arabnya kecuali sedikit untuk melepaskan rukun sahaja.

Saya perasan perkara itu berlaku kerana saya yang mengedit teks berkenaan. Asyik-asyik “yang bermaksud”. Apabila diperhati bacaan teks berbahasa Arab mereka, sebenarnya nampak lemah. Hanya barangkali orang awam tidak menyedari perkara itu.

Sebenarnya bukan khatib ini saja. Saya acap mendengar ramai khatib melakukan taktik begini. Apakah untuk menjimat masa atau kerana kelemahan diri, Allah lebih mengetahui. Tetapi di pihak PTA dan PPTA mesti melakukan sesuatu untuk memantapkan penguasaan pengucapan khutbah para khatib.

Keduanya, saya seringkali mengimpikan agar setiapkali sesuatu isu dibentangkan di atas mimbar, ia disampaikan oleh orang yang benar-benar ahli supaya penyampaian itu selaras dengan ilmunya. Misalnya, soal rasuah disampaikan oleh pegawai SPRM, soal dadah dibentang oleh pegawai narkotik atau PEMADAM, soal jenayah diutarakan oleh PDRM dan begitulah seterusnya.

2. Wudhu yang tidak sempurna

Ketika selesai khutbah pertama, saya terpandang seorang jamaah yang mengambil wudhu secara sambil lewa di tepi masjid.

Seingat saya, dan memang jelas basuhan tangan tidak benar-benar ke hujung siku, walaupun yang sebaiknya dilebihkan. Begitu juga basuhan kaki tidak sampai ke sempadannya. Saya ingin sekali menegurnya, apakan daya khutbah sedang berlangsung.

Selesai Jumaat dia sudah menghilang.

3. Sujud tidak cecah ke lantai

Ni lagi pelik. Solat saya benar-benar terganggu. Bukan jauh, tapi hanya bersebelahan. Ketika sujud itu, saya benar-benar perasan orang sebelah tidak mencecahkan kepalanya ke lantai. Rasanya hanya seperti orang merangkak. Mungkin jarak kepala dan lantai sekira-kira sejengkal.

Saya sangka baik saja, mungkin dia tidak sihat dan ada sebab yang tidak diketahui. Ingin sekali saya bertanya selepas selesai. Seusai salam, dia menadah tangan dan langsung keluar laju.

4. Bertemu sahabat lama – Ust Hisham Yahya

Ust Hisham adalah sahabat yang pendiam sejak zaman sekolah sehinggalah ke Universiti al-Azhar di Kaherah.

Selepas solat itu kami terserempak dan bersembang. Rasanya sejak kembali ke tanahair kami tidak bertemu walaupun sama-sama duduk dan bertugas di Kota Kinabalu.

Saya calonkan namanya kepada tuan imam yang lalu pulang agar memasukkan beliau sebagai khatib di masjid berkenaan. Dengan malu-malu, imam itu mengiyakan saja. Tunggulah.

Terkenal sebagai pelajar pintar dan kami gelarkannya mufti dengan sebab waraknya. Alhamdulillah, sejak awal tahun ini, beliau bertugas di unit Falaq, Pejabat Mufti Negeri Sabah.

Usaha selama setengah hari mencari penginapan di Bandung nampaknya gagal. Ada salah faham komunikasi dengan pengusaha pelancong sehingga mereka tidak menempah awal hotel di Bandung buat kami.

Selepas tengahari baru dapat sebuah hotel yang kosong untuk 3 bilik – kerana kami ada 7 orang (2 pasang suami isteri dan 3 bujang) – tetapi sudah terlambat kerana kami sudah merajuk. 🙂 . Keletihan yang amat sangat kerana hanya tidur  duduk di dalam van sejak malam dan sesekali bangun keluar.

p1250241Kami sepakat kembali ke Jakarta, kali ini dengan melalui Puncak Bogor yang dikatakan nyaman dan sejuk itu.

Perjalanan melalui Puncak Bogor ke Jakarta mengambil masa yang lama.

Biasanya hanya mengambil masa 5-6 jam (sepatutnya tiba sekitar 6 atau 7 malam) tetapi hari itu kami hanya tiba di Jakarta pada jam 10 malam kerana kesesakan lalulintas pada hujung minggu.

Pada pandangan kami, mungkin tidak ada jalan alternatif di sini.

Tetapi pihak berkuasa telah melakukan satu sistem di mana ketika waktu puncak, lorong bertentangan akan ditutup buat beberapa ketika untuk memberi ruang satu arah menggunakan 2 lorong sekali secara bergilir-gilir.

p1250246Sepanjang kesesakan perjalanan itu – yang sentiasa mendaki – sempat juga beberapa kali turun tanpa memberhentikan van untuk ke tandas yang banyak berada di pinggir jalan.

Akhirnya menjelang 30 km ke puncak, didahului oleh Ust Nahar dan Cikgu Roslan turun menuju ke sebuah restoran kerana terlalu lapar.

Perut sudah berlagu, belum diisi dengan makanan berat sejak tiba hampir 20 jam lalu.

Restoran Bumi Aki terletak di pinggir jalan, mempunyai pemandangan indah di kaki bukit, dengan menu yang menyegarkan.

Sup ekor dipanggil sup buntut (daging sapi), sate kambing dan ikan tilapia yang digoreng mempunyai aroma berbeza sekali.

p12502501Ditambah pula dengan ulam-ulaman asli yang ditanam sendiri oleh masyarakat Bogor.

Layanannya mesra dan tempoh menunggu tidak terlalu lama membuatkan kami begitu senang dan berselera sekali tambahan kami berada dalam keletihan dan kelaparan.

“Bu.. minta nasi tambahnya yaa..”

Satu perkara yang perlu kita ketahui tentang sikap orang Indonesia secara umumnya, ialah mereka adalah manusia yang rajin bekerja, cepat menghidu ruang dan peluang untuk mencari sara hidup.

Itulah yang kami perhatikan sepanjang berada di Jakarta dan Bandung dalam tempoh yang singkat.

Lihat saja ramainya ‘unit amal’ di setiap tepi jalan. Memerhati dan mengawasi kenderaan yang keluar masuk parkir bagai polis trafik tanpa disuruh. Kemudiannya mereka akan menerima upah 1000 rupiah atau kira-kira 30 sen lebih.

Semakin banyak kenderaan yang boleh mereka ‘atur’ keluar masuknya, maka kocek mereka pun banyak ‘masuk’ sama.

Belum lagi dikira mereka yang berjalan di sepanjang jalanraya sambil menjual suratkhabar, air minuman, biskut, kuih muih, alat mainan dan sebagainya. Tidak kurang juga yang mencuci kereta, menjual ais krim, buah-buahan dan lain-lain walaupun sudah diberi amaran dan dilarang.

TAMAN REKREASI AIR PANAS

Bersebelahan dengan Pasar Ciater, terdapat pula satu taman rekreasi yang menempatkan kawasan air panas. Sebenarnya ia bukan sahaja kolam air panas, tetapi juga sungai air panas dan air terjun panas.

Ia dibahagi kepada beberapa nama. Contohnya, kolam rendam air panas Wangsa Dipa, mata air panas Alam, kolam air panas Pulo Sari dan sebagainya.

Ketika kami berkunjung, ramai pelancong tempatan hadir dan sedang bermandi manda di dalam kawasan ini. Maklum saja, ketika ini cuti hujung minggu dan bersambung pula dengan tahun baru cina.

Seperti biasa, di Indonesia perkembangan masjid begitu memberansangkan. Hatta di dalam taman ini pun terdapat sebuah masjid untuk kemudahan umat Islam sama ada pengunjung atau pekerja.

Terdapat juga gerai-gerai jualan koleksi cenderamata seperti lukisan, ukiran kayu, pakaian dan sebagainya. Juga beberapa restoran dan gerai makanan yang menarik perhatian pengunjung.

Dari Taman Wisata, kami beredar ke sebuah pasar. Jaraknya 30 minit perjalanan kenderaan.

Selain yang berjualan di gerai-gerai, terdapat juga di kalangan mereka yang menjual barangan secara bergerak, menemui dan memujuk pelanggan.

p1250128Menjual tali pinggang dan dompet kulit

p1250129Tasbih dijual dengan harga 20 ribu rupiah

p1250130Memujuk pelanggan dengan jualan beg kanak-kanak

p1250140Khidmat persiaran dengan menunggang kuda

p1250144Mengangkut tikar jualan ke lokasi perniagaan

p1250148Kuih muih yang menarik perhatian, dijual dengan bungkusan dan balutan kecil

Kami tiba di Bandung hampir jam 4 pagi.

Setelah pusing-pusing di bandar mencari hotel atau tempat penginapan, nampaknya kami gagal menemui tempat yang kosong. Rasanya lebih 20 hotel yang kami kunjungi semuanya penuh.

Selepas menunaikan solat subuh di sebuah surau hotel, kami membuat keputusan untuk terus ke Taman Wisata Alam, yang menempatkan Gunung Tangkuban Parahu.

Pemandangan dari kawasan taman ini sangat indah sekali. Dengan ketinggian 1830 meter dari paras laut, suasana nyaman dan sejuk menyelubungi kami. Tambahan pula kami hadir awal pagi ketika kawasan taman ini belum dibuka.

Pemandu kami Pak Sontoso dan Yahya meredah saja kawasan taman dan membuka sendiri pintu pagar, ketika pekerja baru bersiap-siap dan belum ada gerai jualan yang buka. Tambah menarik lagi, terdapat sebuah surau untuk orang Islam menunaikan solat.

Gunung Tangkuban Parahu adalah sebuah gunung berapi yang pernah meletup satu ketika dahulu. Tidak ada kenyataan yang dicatatkan di sini bila sebenarnya letupan itu berlaku.

Indonesia adalah sebuah negara yang memiliki gunung berapi aktif terbanyak di dunia, iaitu sebanyak 129 buah gunung dan gunung tangkuban parahu adalah salah satunya.

Kami tiba di Bandar Udara Soekarno Hatta Jakarta pada malam minggu, 12.28 tengah malam atau 11.38 malam waktu Indonesia Barat (WIB), dan langsung ke Bandung dengan sebuah van pelancong yang sudah diatur terlebih awal. (Bandar udara ditakrifkan sebagai lapangan terbang).

p1250029Di dalam perjalanan kami singgah di sebuah kawasan rehat di km 57, yang menempatkan stesen minyak pertamina, restoran, kedai runcit, juga sebuah masjid yang indah.

p1250034Ketika jam 1.30 WIB itu masih ada restoran yang buka.

Ada beberapa perkara yang saya teruja dan pelik juga melihat suasana di sini walaupun baru tiba 2 jam sebelumnya.

Di hadapan restoran Raihan itu, terdapat sebuah tabung infaq untuk Pondok Pasentren Tarbiyyatul Falah.

Bagus, detik hati saya. Ertinya sebuah restoran punya tanggungjawab sosial dan agama untuk memajukan pasantren.

Selepas itu, saya mengambil pula minuman Sprite untuk menghilang dahaga. Sahabat-sahabat lain ada yang sekadar mengambil air mineral dan ada juga yang mengisi perut dengan menu berat.

p1250040Nampaknya di dalam peti sejuk, minuman halal dan haram diletak sekali dan bercampur.

Di tempat kita, walaupun masih dijual sekurang-kurang masih dibezakan ruang halal dan haram. Tambah lagi yang menjualnya peniaga muslim.

Saya ada bertanya kepada pekerja restoran itu yang merupakan adik kepada empunya restoran.

Katanya, sebagai seorang Islam dia maklum keharaman arak, tetapi dia hanya seorang pekerja. Lagipun katanya ada permintaan daripada kalangan pemandu-pemandu lori yang sering singgah ke sana.

Akhirnya agama hanya sebagai milik peribadi. Terpulanglah bagi yang hendak mengamalkannya.

Saya mulanya rasa pelik melihat dua situasi ini. Ada tabung infaq untuk pondok, kemudian arak di peti sejuknya dijual secara bebas dan bercampur sekali dengan minuman halal.

Cikgu Roslan menguraikan kekusutan itu, katanya : “Sedangkan dalam rumah pun boleh bercampur agama, inikan pula minuman di dalam peti sejuk”.

Masjid at-Taubah

p1250028Di sisi kawasan rehat itu terdapat sebuah masjid indah. Ia telah dirasmikan pada September 2006 oleh seorang ulama terkenal K.H. Abdullah Gymnastiar.

p1250043Ruang solatnya boleh memuatkan lebih 400 jamaah yang singgah untuk menunaikan solat, berehat dan membersihkan diri.

Ukiran khat yang menghiasi sangat menarik sekali, begitu juga seni bina bangunannya begitu indah. Bukan sekadar solat 5 waktu, bahkan khabarnya masjid ini juga mendirikan solat fardhu Jumaat.

Sementara kelihatan tandas dan bilik airnya bersih, mungkin ada penjaganya. Di bilik air, terdapat bilik untuk kemudahan orang kurang upaya (OKU).

 Kawasan persinggahan ini telah dianugerahkan pengusaha terbaik pada akhir 2008 lalu.

p1250052Alangkah baiknya semua tempat persinggahan stesen minyak di negara kita jika dilengkapi dengan kemudahan sebegini.

Tandas dan bilik air di Masjid at-Taubah

Tandas dan bilik air di Masjid at-Taubah

Stesen minyak petronas juga punya ruang untuk solat, tetapi biasanya dikunci, ada yang kotor, busuk, tidak terjaga dan sebagainya.

 

Lihatlah surau mereka di beberapa stesen di seluruh negara, khusus di Sabah. 

Saya kurang pasti adakah stesen minyak lain ada kemudahan sebegini.

Dipetik dari : http://akhisalman.blogspot.com/

Pertama : Qiblat yang pertama

Inilah qiblat Rasulullah SAW dan para sahabatnya menghadapnya dalam solat semenjak difardukan solat pada malam Isra dan Mi’raj tiga tahun sebelum hijrah. Masjid Quds menjadi kiblat sehinggalah enam bulan selepas hijrah. Allah SWT telah menurutkan ayat :

“Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang mendongak ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.” (Al-Baqarah : 144)

Kedua : Bumi Isra’ dan Mikraj

Allah menjadikan masjid Quds sebagai destinasi bagi perjalanan Isra’ di bumi dan permulaan bagi perjalanan mi’raj ke langit. Pemilihan ini bukan kebetulan, tetapi satu pemilihan yang mengandungi hikmah yang tinggi. Firman Allah swt :

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Isra : 1)

Ayat ini tidak menyebut kelebihan Masjid Haram walaupun ia penuh keberkatan dan kemuliaan. Ayat ini hanya menyebut tentang keberkatan di sekeliling masjid Aqsa. Jika dikelilingnya penuh dengan keberkatan, maka pada masjid itu sendiri lebih banyak keberkatan.

Ketiga : Quds adalah Bandar agung yang ketiga dalam Islam.

Bandar pertama adalah Makkah al-Mukarramah, kedua Madinah Munawwarah dan ketiga adalah baitul Maqdis. Nabi saw bersabda:

لا تشد الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد: المسجد الحرام والمسجد الأقصى ومسجدي هذا

“Tidak boleh membuat persiapan yang rapi untuk pergi ke sesebuah masjid kerana kelebihannya melainkan tiga masjid. Masjid Haram, Masjid al-Aqsa dan Masjid ku ini.” (Hadis sahih Bukhari dan Muslim)

Di bandar quds ini terdapat masjid ketiga agungya dalam Islam. Masjid tersebut adalah masjid Aqsa. Solat di masjid Aqsa mendapat pahala pahala yang sangat besar. Nabi saw bersabda :

الصلاة في المسجد الأقصى تعدل خمسمائة صلاة في غيره من المساجد ما عدا المسجد الحرام والمسجد النبوي

“Solat di masjid al-Aqsa menyamai pahala 500 solat di masjid-masjid yang bukan masjid Haram dan masjid Nabawi. (hadis sahih Bukhari dan Muslim)

Keempat : Quds bumi kenabian dan keberkatan

Al-Quds adalah sebahagian bumi palestin. Allah SWT telah menyatakat keberkatan pada bumi ini pada 5 tempat dalam kitab suci al-Quran:

1. Allah menyebutnya ketika menceritakan kisah Isra Nabi SAW :

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (al-Isra : 1)

2. Ketika mencerita tentang Nabi Ibrahim as :

“Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia.” (Al-Anbiya`: 71)

3. Ketika menceritakan tentang Nabi Musa as. Ia berkenaan dengan Bani Israel selepas ditenggelamkan firaun dan tentera-tenteranya :

“Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi)”. (Al-A`raaf : 137)

4. Dalam kisah Nabi Sulaiman as :

“Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Al-Anbiya`:81)
5. Dalam kisah Saba’ :

“Dan – di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), – Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): ” Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman”. ( Saba`: 18 )

Kelima ayat ini ada menyebutkan tempat yang diberkati. Itulah bumi palestin.

Kelima : Quds adalah bumi Jihad.

Ini jelas dari hadis berikut :

“Sekumpulan dari kalangan ummatku akan mempertahankan kebenaran, mereka mengalahkan musuh-musuh mereka dan orang-orang yang menentang mereka tidak dapat mengalahkan mereka dan mereka hanya mendapat sedikit kerosakan sehinggalah datangnya kiamat mereka tetap dalam keadaan demikian.” Para sahabat bertanya “Dimanakah mereka hai Rasulullah?” Rasulullah menjawab “Di Baitul Maqdis dan disekelilingnya.” (Hr Abdullah bin Ahmad dan Thabrani – para perawinya thiqah)

Inilah kelebihan dan kemulian masjid Aqsa, bumi quds dan bumi Palestin. Namun sekarang kemuliaan ini diinjak-injak Yahudi. Di bawah ini beberapa penghinaan Yahudi terhadap keagungan masjid Aqsa yang kita sayangi. 

Penghinaan pertama : Ketika mana Yahudi masuk ke dalam masjid Aqsa pada tahun 1967 mereka berkata :

محمد مات وخلف بنات

“Muhammad telah mati. Dia meninggalkan anak-anak perempuan”.

Maksudnya mereka menghina kita semua dengan mengumpamakan kita dengan wanita. Cuba bayangkan kalau terjadi ragut atau kejadian yang lain nescaya lelaki yang bertindak, adapun perempuan hanya melihat dengan kesedihan, kemarahan dan simpati sahaja tanpa apa-apa tindakan. Begitula ummat Islam seperti perempuan yang hanya sedih bersimpati sahaja.

Penghinaan kedua : Pada 21/8/1966 seorang Kristian zionis telah membakar sebahgian masjid Aqsa. Antara yang terbakar ialah Mimbar Salahuddin, Qubbah kayu dan sebahagian dinding.

Penghinaan ketiga : Pada tahun 1976 Mahkamah Israel telah menetapkan hak Yahudi untuk solat di halaman masjid Aqsa.

Penghinaan keempat : Pada bulan 10 tahun 1990 , kumpulan pelampau Yahudi telah cuba meletakkan batu asas kepada haikal di dalam masjid. Ia di halang oleh penjaga masjid tersebut sehingga berlaku pertempuran. Tentera Israel menggunakan peluru hidup. 20 orang palestin syahid dan 115 yg cedera.

Penghinaan kelima : Orang Yahudi telah membina terowong besar di bawah masjid al-Aqsa pada 25/9/1996. Orang-orang Islam Palestin melakukan demonstrasi kerana marah yang amat sangat. Ia ditentang oleh pelampau-pelampau yahudi yg menyebabkan 85 orang palestin terbunuh.

Penghinaan keenam : Pada 28/9/2000 Ariel Sharon dengan dikawal 3000 tentera telah cuba masuk untuk mengotorkan masjid Aqsa. Namun ditentang hebat oleh orang Islam sehingga 5 orang gugur syahid.

Penghinaan ketujuh : Penghinaan yang paling besar adalah Masjid Quds adalah dibawah jagaan Israel.

Jadi setelah mana kita semua tentang kemulian Quds dalam Islam dan penghinaan dan penjajahan Israel terhadap masjid Aqsa, Quds dan Palestin. Kita mesti bangun bersatu untuk menentang kebiadapan Israel dan mengembalikan keagungan al-Quds.

Rujukan : Buku Quds Qadiah kullu muslim oleh Qardawi dan Falestin at-Tarikh Musawwar oleh Dr Toriq Suwaidan.