Archive for 2 Januari 2009


JOHNY OH JOHNY

Masih di kampung yang sama.

Tetapi kami terpaksa berjalan kaki meredah hutan yang sesekali mendaki bukit dan jambatan gantung sejauh 50 meter merentangi Sungai Kiulu. Sekitar 15 minit kami tiba. Hajatnya ingin menemui seorang penduduk kurang upaya. Namanya Johny bin Kumin.

Johny, 50 tahun, yang cacat sejak kecil, hidup sendirian di rumah usangnya. Dia lahir dalam keluarga Kristian. Tetapi kemudian diambil sebagai anak angkat oleh sepasang suami isteri muslim yang baik hati.

Ibu angkatnya meninggal dunia sekitar tahun 80an, sementara bapa angkatnya pula meninggal setahun lalu.

Beberapa jirannya memberitahu, Johny sebenarnya sudah memeluk Islam sejak zaman USNO lagi.

Ketika tempoh keuzuran bapa angkatnya beberapa tahun kebelakangan, yang tidak berdaya membantu Johny lagi, datang kumpulan-kumpulan aktivis SDA yang sering hadir terutama pada pagi sabtu.

Johny dibawa dengan kerusi roda ke gereja oleh para muballigh Kristian yang datang saban minggu mengunjunginya. Kawasan itu tidak banyak rumah. Kedudukannya agak terpencil dan laluan ke sana juga sedikit sukar.

Apabila kami datang semalam membawa sedikit buah tangan kepadanya, Johny yang bertutur dalam bahasa Dusun dan diterjemahkan oleh Ust Junaidi memberitahu bahawa dia sudah selesa dengan agama yang dipegangnya sekarang sejak tahun 90an lagi.

Apa nak dikata? Kepintaran SDA mengambil kesempatan? Kelemahan orang Islam dan pihak berkuasa untuk mengatasi masalah? Atau Johny sendiri tidak tau bersyukur?

Ya Allah, lemahnya kami!

 

BERMULA DI KIULU

Hari pertama 2009 kami berada di Kiulu, atau lebih fokus lagi di Kampung Poturidong. Sebenarnya malu juga tidak pernah sampai ke Pekan Kiulu ini, apatah lagi kampung yang dituju.

Ia adalah program dakwah bil hal dengan masyarakat setempat, berziarah dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada 21 penerima. Hanya 7 orang penerima beragama Islam dan selebihnya Kristian SDA.

Sumbangan berbentuk beras 10kg beserta keperluan sembahyang bagi yang beragama Islam tajaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah. Turut serta dalam lawatan itu aktivis Yayasan Amal Malaysia, Persatuan Ulama Malaysia dan Persatuan Siswazah Sabah.

Sumbangan diserahkan oleh Ust Shamsuri Ghazali, pegawai JAKIM yang bertanggungjawab dalam unit dakwah.

Seronok melihat Ust Junaidi Saip @ Paumat mempengerusikan majlis ringkas itu dalam bahasa dusun, mengambilkira pertuturan setempat.

Malam 31 Disember saya luangkan sedikit masa bersama beberapa sahabat untuk membuat rondaan melihat suasana manusia menyambut tahun baru 2009. Lokasi yang dituju ialah Pantai Pertama dan Kedua Tanjung Aru Kota Kinabalu yang terkenal itu.

Menurut sembang kami bersama salah seorang anggota polis yang bertugas malam itu, dianggarkan seramai 5 ribu orang membanjiri pantai Tg Aru, dengan kira-kira 50 orang petugas daripada pasukan keselamatan PDRM dan RELA.

Rumusan yang kami buat, sebahagian besar yang hadir itu merupakan orang-orang pendatang terutama Filipina dan Indonesia berdasarkan gaya percakapan mereka.

Sementara orang tempatan pula kebanyakannya hadir untuk melihat bunga api dalam suasana keramaian. Ada yang datang bersama keluarga, tidak kurang juga hadir dengan pasangan masing-masing termasuk muda mudi Islam.

Beberapa kali kami melihat pemuda-pemuda yang mabuk, pasangan yang memadu asmara sambil berpelukan dan berciuman tanpa menghiraukan orang di kiri kanan mereka yang lalu lalang.

Ada juga yang kedapatan tengah melakukan ‘projek’ di dalam kereta, apabila kami lalu dan berhenti, si jejaka itu bingkas keluar. Haaa, tau takut!

Antara persoalan yang bermain di kepala ialah, apakah ibu bapa kepada muda-mudi yang beragama Islam ini tidak bimbangkan keselamatan terutama anak-anak dara mereka? Atau saja memberi kebebasan mereka bersama pasangan masing-masing?

Yang lebih dibimbangi selain yang hadir kerana suka-suka saja atau mencari suasana ramai, ada yang hadir itu kerana satu kepercayaan lain. Contohnya yang selalu diwar-warkan sebagai mandi buang sial. Mandi bagi membuang badi dan kecelakaan pada tahun baru.

Mahu ke mana kita?

Sejak seminggu dua ini, saya dihubungi beberapa kali oleh pegawai-pegawai di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya.

Ia berkenaan satu majlis perpisahan ‘sekalung budi seikhlas hati’ buat Ybhg Tan Sri Abd Aziz Md Yusof, Ketua Setiausaha KDN yang bakal berpindah ke Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) selaku Pengerusi SPR.

Majlis akan diadakan malam ini, 2 Januari, jam 7.45 malam di Dewan Le Marquee Hotel Palace of Golden Horses. Saya dijemput atas kapasiti sebagai ahli lajnah tashih al-Quran, di bawah Unit Kawalan Teks al-Quran KDN.

Tidak cukup ditelefon, surat dan kad jemputan difaks dua kali. Walaupun saya sudah menjelaskan tidak dapat hadir kerana komitmen ceramah di Kudat ini, hari rabu saya menerima kad jemputan yang sama, yang dikirim dengan pos laju.

Macam bersungguh-sungguh pula meminta kami hadir. Kami – kerana ahli lajnah seramai 35 orang, dan para mufti yang berada dalam JK Lembaga Kawalan Teks al-Quran bersama beberapa ulama’ yang lain.

p1020023Tetapi lihatlah aturcara yang disertakan itu.

Di mana penghormatan penganjur kepada para mufti dan para huffaz yang bakal hadir? Atau mereka hendak mengaibkan mereka ini?

Atau mungkin mereka merancang tentatif sedemikian supaya kami maklum lebih awal lalu menguzurkan diri, lalu kemudian mereka lebih enjoy dengan hiburan yang disusun sedemikian rupa tanpa kehadiran kami?

Susahlah manusia macam ni.

Mana dia modul Islam Hadhari dalam meraikan perpisahan? Islam Hadhari belum ada modulkah untuk acara sebegini?

Kalau belum ada, kami boleh tunjukkan..

%d bloggers like this: