Tarikh : 28 Ogos 2015
Lokasi : Masjid Rusila Terengganu
Pengkuliah : Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Tarikh : 28 Ogos 2015
Lokasi : Masjid Rusila Terengganu
Pengkuliah : Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/presiden/37145-kemerdekaan-islam-kemerdekaan-hakiki
PERUTUSAN KEMERDEKAAN KALI KE-58 PRESIDEN PAS
Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat kemerdekaan negara kita yang kita kecapi sejak 58 tahun yang lalu. Marilah kita semua hayati dan penuhi kemerdekaan ini dengan pengertian kemerdekaan sebenar menurut kaca mata Islam yang bukanlah hanya kemenangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah semata-mata.
Erti Sebenar Kemerdekaan Islam
Kemenangan perjuangan Islam yang dipimpin Baginda Nabi dikenali sebagai “Al-Fath” iaitu pembukaan. Pembukaan pembebasan Kota Mekah dari kegelapan jahiliyah menggambarkan satu contoh sebuah kemerdekaan sebenar Islam. Sesuai dengan satu ungkapan yang cukup terkenal oleh seorang Pahlawan Islam iaitu Rubaei Bin Amir apabila ditanya kepada oleh Rustum, Panglima Perang Parsi. Jawab Rubaei: “Sesungguhnya kami adalah kaum yang diutuskan oleh Allah untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada menyembah yang Maha Pencipta. Daripada kesempitan dunia kepada keluasan Islam, daripada kekeliruan agama agama kepada keadilan Islam”.
Nilai Kemerdekaan Kita Hari ini
Malaysia merdeka setelah dijajah sejak awal kurun ke-16 selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511. Kemudian bersilih ganti dengan Belanda, British, Jepun dan British semula sehingga hampir sahaja ummat kita kehilangan identiti sebenar. Bermula di zaman British dan Belanda, Tanah Melayu dan Nusantara disusun untuk memenuhi kepentingan politik, ekonomi dan agama empayar mereka. Dengan penduduk asal di kalangan Melayu, penjajah mula membawa pekerja pekerja luar dari India dan China. Penduduk dari India dibawa untuk bekerja di estet-estet getah manakala orang-orang dari Tanah Besar Cina dibawa untuk sektor perlombongan.
Peninggalan penjajahan ini telah menjadikan demografi negara kita masyarakat majmuk yang kompleks. Di hujung era penjajahan, berlaku kebangkitan rakyat di seluruh dunia untuk keluar daripada cengkaman penjajah barat. Perjuangan kemerdekaan negara diisi oleh rantaian perjuangan yang panjang dipelopori oleh golongan ulama seawal zaman penjajahan yang kemudiannya dikongsi bersama oleh semua kaum di Tanah Melayu. PAS sangat menghargai pengorbanan pejuang pejuang kemerdekaan negara, justeru kita sebagai golongan pewaris perlu mengisi kemerdekaan ini sebaik mungkin supaya pengorbanan mereka tidak disiakan.
PAS meyakini dengan sedalam dalamnya bahawa Islam sahajalah yang akan dapat menyatukan dan memerdekakan seluruh rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dalam erti kata sebenar kemerdekaan. Pembentukan kemerdekaan Islam seperti ini dibuktikan oleh Nabi Muhammad SAW yang memimpin Negara Islam Madinah. Sejak terdirinya Madinah, cahaya Islam telah menerangi seluruh alam sehingga tempiasnya bersinar menyuluh kegelapan Eropah yang tenggelam dalam kezaliman feudalisme dan gereja. Namun, malang sekali cahaya Islam itu semakin ditinggalkan ummat Islam, sehingga barat pula mengambil kesempatan menjajah tanah tanah ummat Islam.
Kemerdekaan Islam, Kemerdekaan Hakiki
PAS meyakini bahawa Islam sahajalah yang dapat memerdekakan seluruh ummat manusia khususnya di Malaysia kepada kemerdekaan hakiki. Islam yang merdeka ini bukan sahaja akan dinikmati oleh Islam, tetapi akan juga melimpahi rahmatnya kepada penganut penganut agama lain. Lihat sahaja ketika pembukaan Kota Mesir dan Palestin Di zaman Saidina Umar, Orang orang bukan Islam menerima keamanan dan kemerdekaan di bawah Islam dengan nilai kebebasan yang tak pernah mereka kecapi ketika berada di bawah Rom Timur atau Rom Barat. Kebaikan yang dapat daripada futuhat Islam akan membawa segala kebaikan dan keadilan kepada semua masyarakat dan kaum.
Akhirnya, pada hari kita menyambut kemerdekaan kali ke-58 ini, marilah bersama-sama PAS untuk kita membina negara dengan kemerdekaan sebenar. Kemerdekaan yang menyeluruh yang mendapat bimbingan Pencipta seluruh alam yang menjadikan Islam sebagai penyelesaian kepada seluruh kehidupan manusia.
“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
15 Zulkaedah 1436H / 30 Ogos 2015
– HARAKAHDAILY 30/8/2015
Tarikh : 27 Julai – 2 Ogos 2015
Lokasi :
Sumber : Web JHEAINS
Menelusuri sirah Rasulullah SAW, kita akan dapati yang Baginda adalah seorang negarawan yang sangat cinta dan sayang kepada tanah airnya. Ia terpapar pada peristiwa sewaktu Baginda hendak melangkah meninggalkan bumi Makkah untuk berhijrah ke Madinah, di mana Rasulullah SAW melahirkan perasaan sayunya meninggalkan kota Makkah dengan sabdanya yang bermaksud:
“Alangkah indahnya engkau, betapa aku sangat menyayangimu, kalaulah tidak kerana kaumku mengeluarkan aku darimu, nescaya tiada bumi yang akan aku diami melainkan engkau”. Setelah sampai di Madinah al-Munauwarah, Baginda berdoa: “Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah sebagaimana Engkau berikan kecintaan kepada Mekah atau lebih dari itu dan bersihkanlah ia serta berkatilah kepada kami dalam makanan dan bekalnya dan gantikan wabak penyakitnya dengan juhfah (bebas penyakit).” (HR Al-Bukhari dan Muslim).
Sabda serta doa Rasulullah SAW tersebut adalah isyarat jelas bahawa cinta dan setia kepada Negara merupakan sesuatu yang dituntut. Jadi, Sebagai warga Malaysia, cintailah Negara ini dengan memelihara kedaulatan dan kemakmuran tanah air kita ini. Cintailah keamanan yang wujud di negara ini dan peliharalah dengan sebaik mungkin. Ini kerana, di sinilah kita dilahirkan, berlindung dan tempat kita membanting tulang empat kerat mencari rezeki demi meneruskan kelangsungan hidup.
Bijak pandai berkata, kerja membina bukan kerja mudah dan kerja memusnah bukan kerja payah. Sebab itu, menjadi tanggungjawab kita bersama memastikan nikmat kemerdekaan berserta kesenangan dan kemewahan yang dirasai hari ini terus dipertahankan supaya dapat diwarisi oleh generasi akan datang. Untuk ini, aspek kesedaran mengenai mempertahankan maruah bernegara dan kesedaran membela negara hendaklah terus dipupuk dan disuburkan. Ia boleh diterapkan melalui pendidikan secara menyeluruh yang merangkumi pengajaran dan pembelajaran ketatanegaraan dan Sejarah tanah air di sekolah.
Subjek sejarah misalnya dapat menyemai rasa cinta dan setia generasi muda terhadap Negara kerana sejarah akan memperkenalkan mereka dengan tokoh-tokoh pejuang serta pemimpin yang menyumbang khidmat bakti kepada tertegaknya Malaysia yang merdeka lagi berdaulat ini.
Di dalam kitabnya, Ihya’ Ulumuddin, Imam Al-Ghazali menegaskan hakikat kepentingan sesebuah negara Islam dan umatnya dengan katanya: “Dunia ini tempat bercucuk tanam bagi bekalan akhirat. Dan tidak sempurna agama melainkan seiring dunia. Kekuasaan politik dan agama adalah pasangan berkembar. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tiada tiang, maka ia akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga akan musnah dan hilang”.
Dengan hal yang demikian, mencintai negara yang disemarak hasil ketaatan kepada Allah SWT, Rasul dan pemimpin adalah sesuatu yang dianjurkan. Sebaliknya, mencintai negara kerana didorong oleh cintakan dunia menjadi punca kerosakan. Maka, sebagai menzahirkan cinta kita kepada agama, bangsa dan Malaysia yang menjadi tanah tumpahnya darah kita, marilah kita berganding bahu sehati sejiwa membina generasi yang beriman dan bertakwa ke arah memperkukuh rasa cintakan Negara bagi mewujudkan keadaan yang lebih aman, selamat dan sejahtera, sekali gus mengundang rahmat Allah SWT:
Maksudnya: “Dan (Tuhanmu berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman, serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi…” (S. Al-A’raaf: 96).