Tag Archive: Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah


Hari ni rawatan yang kami kendalikan bertemu dengan beberapa pesakit dari luar Kota Kinabalu. Antaranya dari Keningau dan Ranau yang membabitkan anak-anak kecil. Ada kes pesakit yang dibawa oleh orang tuanya sendiri, sementara ada yang dibawa oleh atuk dan nenek.

Tidak semua sempat saya rakam foto mereka kerana saya turut terlibat merawat sebahagian lagi pesakit yang datang. Apa yang ingin saya simpulkan ialah, di sebalik kesihatan tubuh badan dan zahir manusia, terdapat penyakit-penyakit batin dan penyakit hati yang menimpa manusia yang perlu diislahkan. Ramai yang bersegera mendapatkan rawatan jika berkaitan dengan penyakit zahir, tetapi membiarkan penyakit-penyakit hati di dalam diri seperti dengki, tamak, sombong dan lain-lain.

Rawatan @ MNS (13)Rawatan @ MNS (14) Rawatan @ MNS (15) Rawatan @ MNS (16) Rawatan @ MNS (17)

Tafsir MNS

Kelas Tafsir yang dianjurkan oleh Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah terus berjalan setiap malam isnin selepas solat isyak (sekitar jam 8.15) dan berakhir kebiasaannya pada jam 9.30 malam, walaupun kehadiran ada pasang surutnya. Lonjakannya boleh mencapai 30 orang, jika surut boleh merosot sehingga kurang 10 orang.

Mungkin saja promosi agak kurang atau ilmu ini tidak menarik perhatian massa untuk hadir dan mendalaminya. Dalam konteks pengajian kuliah tafsir ini di bilik kuliah 2 Masjid Negeri Sabah, seramai 6 orang pembimbing bergilir-gilir setiap minggu dengan pusingan juzu atau surah masing-masing.

Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim membimbing tafsir bermula surah al-Fatihah sehingga surah an-Nisa; Ustaz Haji Muhammad Sayuti bermula dari surah al-Maidah (juz 6) hingga surah at-Tawbah; Ustaz Haji Arbaen dari surah Yunus (juz 11) hingga surah al-Kahfi; Ustaz Dr Hj Nor Azamuddin Umar dari surah Maryam (juz 16) hingga surah al-Ankabut; Ustaz Norzam Senin (menggantikan Ustaz Nazri Yakob) menyambung tafsir bermula surah ar-Ruum (juz 21) hingga surah al-Jathiah; sementara saya berkuliah dari awal surah al-Ahqaf (juz 26) hingga ke akhirnya.

Secara keseluruhannya masing-masing memegang 5 juzu’ seorang dan pengkuliah bergilir setiap minggu. Berdasarkan pengalaman dan catatan peribadi, semuanya masih berada pada juz awal surah masing-masing. Saya sendiri baru 6 helai menyelesaikan tafsir bahagian saya, dengan serba kekurangan dan kelemahan baru siap surah al-Ahqaf, Muhammad SAW dan al-Fath.

TAZKIRAH ZUHUR SETIAP RABU BULAN JANUARI 2013

Jadual Tazkirah Zuhur Disember 2012

Tazkirah diadakan setiap hari rabu selepas solat zuhur, di Masjid Negeri Sabah dianjurkan oleh Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah.

Qiyam @ MNS (1)

Antara program yang giat dianjurkan oleh Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah ialah siri-siri qiyamullail yang diadakan secara berkala. Pada peringkat awal program qiyam ini hanya terbatas ketika 10 malam terakhir Ramadhan setiap tahun sejak 5 tahun kebelakangan ini iaitu sejak Allahyarham Ustaz Haji Nahar menjadi imam besar.

Program qiyamullail sebelum itu tidak diatur secara tersusun, masih dibenarkan dan diadakan secara individu dan masing-masing sahaja. Ketika zaman Allahyarham Ustaz Nahar diberikan peruntukan yang agak besar khususnya menampung biaya kos makan sahur. Pernah kemuncak qiyamullail dihadiri antara 300 hingga ke 400 peserta.

Masuk fasa kedua, kekerapan qiyamullail digandakan dengan diadakan pada malam-malam hari kebesaran Islam seperti malam 9 Zulhijjah (hari wuquf), malam 10 Muharram (asyura) dan lain-lain. Insya Allah jika diberikan kekuatan, kekerapannya akan digandakan lagi pada masa-masa akan datang.

Pagi 10 Muharram lepas, diadakan qiyamullail dengan bimbingan siswa-siswa Maahad Tahfiz. Program bermula pada jam 2.30 pagi dan berakhir pada jam 3.45 pagi. Kehadiran sekitar 30-40 orang termasuk muslimat yang kelihatan lebih ramai berbanding muslimin.

Ada sedikit salahfaham untuk penyediaan makan sahur sehingga sebahagian peserta dibawa makan ke restoran 24 jam, Indah Maju di Sadong Jaya. Terasa lucu pun ada sehingga kami beramai-ramai bersahur di restoran berkenaan, kemudian kembali ke Masjid Negeri Sabah untuk solat subuh berjamaah. Bersedia untuk program selanjutnya.

Qiyam @ MNS (2)Qiyam @ MNS (3)Qiyam @ MNS (4)

Kredit foto : Tuan Haji Dzulbokhari Dzulkifli

Alhamdulillah, Kursus Pengubatan Islam Kumpulan 2 (KPI2) anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah tiba ke penghujungnya apabila majlis pengijazahan selamat dijalankan di Bilik Kuliah 2 Masjid Negeri Sabah pada 4 November 2012 dengan penyampaian ijazah disampaikan oleh Ustaz Nik Anwar Zakaria selaku pembimbing kursus berkenaan.

Dalam majlis berkenaan, Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim selaku Pengerusi Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah terdahulu telah menyampaikan ucapan penghargaan bagi pihak Syukbah Dakwah kepada semua pihak terutama Ustaz Nik Anwar yang tidak jemu-jemu mencurahkan ilmu pengubatan Islam khususnya berkaitan gangguan makhluk halus dan sihir.

Kepada semua peserta, beliau turut mengingatkan agar menjaga aqidah dan syariat serta terus menerus menambah ilmu dalam mengaplikasikan ilmu pengubatan kepada mereka yang memerlukan. Kesilapan besar dalam merawat hendaklah dielakkan sementara kesilapan kecil hendaklah sentiasa diperbaiki agar sesi rawatan tidak dicurigai oleh para pesakit datang memohon bantuan.

Sementara itu, Ustaz Nik Anwar turut memberi ingatan agar para pengamal pengubatan Islam sentiasa mengikhlaskan diri kepada Allah SWT. Sekali lagi beliau merakamkan kalam-kalam berharga iaitu perawat sentiasa melazimi syariat Islam, melakukan sesi praktikal rawatan untuk menajamkan ilmu yang dipelajari serta sentiasa bersifat benar dan tawadhuk dalam melakukan rawatan.

Dalam majlis berkenaan, seramai 22 peserta muslimin dan 7 peserta muslimat telah menerima pengijazahan pengubatan Islam dengan sesi pengajian telah berlangsung lebih 6 bulan pada setiap hujung minggu di Masjid Negeri Sabah. Kepada semua peserta, selamat merawat dan selamat berdakwah!

Malam ke-20 Ramadhan :

Malam ke-22 Ramadhan :

 

 

 

 

%d bloggers like this: