Hampir 200 peserta dari 10 agensi-agensi di bawah Kemeterian Dalam Negeri (KDN) Negeri Sabah telah menghadiri Seminar sehari al-Quran Rasm Uthmani yang diadakan di dewan penjara pusat, Jabatan Penjara Negeri Sabah Kota Kinabalu pada 28 Jun 2012 lepas. Seminar berkenaan diadakan bagi mendedahkan umat Islam terutama warga KDN akan sejarah dan kaedah penulisan dan penandaan al-Quran.
Agensi yang terlibat dan menghantar peserta mereka ke seminar tersebut ialah PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, RELA, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Bahagian Kawalan Filem dan Penguatkuasaan, dan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran.
Tiga panel membentangkan tajuk masing-masing, iaitu Ustaz Khairul Anuar Mohamad al-Bakri dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyampaikan dua kertas kerja iaitu ‘sejarah penulisan & pengumpulan al-Quran’ dan ‘kaedah penulisan (rasm) al-Quran’, Ustaz Mohd Rahimi Dato’ Ibrahim dari Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks al-Quran KDN Putrajaya dengan topik ‘akta penerbitan teks al-Quran’ dan saya sendiri selaku panel ketiga membawa tajuk ‘ilmu penandaan (dhobt) al-Quran’.
Saya dimaklumkan terdahulu penganjur iaitu Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks al-Quran KDN juga menerima permohonan daripada jabatan lain dan daerah-daerah serta orang awam untuk menyertai program ini. Insya Allah penganjur sedang mengatur untuk membawa program dan seminar seumpama ini ke daerah-daerah lain di seluruh Sabah pada tahun akan datang. Terima kasih di atas kepercayaan penganjur mengundang saya. Insya Allah seminar berikutnya di Labuan.