Category: Nostalgia


Tarikh : 10 Disember 2016

Lokasi : Kg Sipanggil Putatan

Bertemu dengan Datuk Haji Yunus Awang Hashim. Baru saya tahu beliau pernah menjadi Pengarah JHEAINS pada tahun 1996 sekitar 6-8 bulan. Bertemu dalam majlis kenduri kesyukuran cucu Datuk Hj Pengiran Nohin Pengiran Rauf, seorang lagi mantan pengarah JHEAINS.

Mungkin tiada siapa menyangka sejarah anak muda suku kaum Murut dari Pensiangan ini, memeluk Islam ketika usia 13 tahun dan akhirnya menghafaz al-Quran sehingga khatam 30 juzuk di Maahad Tahfiz al-Quran Repek Pasir Mas Kelantan ketika berumur 25 tahun.

Ustaz Abdul Karim Ampakot, 32 tahun, dahulunya pernah belajar di Pondok Fii Zilalil Quran Kg Rosok Kota Belud, Pondok Paka Dungun Terengganu, Maahad Tahfiz Darul Fikri Pekan Pahang sebelum ke Pasir Mas dan kemudian ke Pondok Pasir Tumbuh seterusnya balik ke Sabah tahun 2011. Pernah bertugas di SRI al-Hafidz Bandar Sierra selama 3 tahun dan kini sebagai Imam Qaryah Masjid Shoutul Huda Kg Bahagia Nabawan. Beliau juga alumni Darussyifa’ Sabah kumpulan pertama.

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/11/08/afghanistan-dan-kebangkitan-islam/

“Jika mahu dibandingkan dunia Islam ini dengan satu jasad yang telah direbahkan, di sana masih ada urat nadi yang masih mengalir. Orang itu ialah negara di banjaran Hindu Kush yang bernama Afghanistan, yang masih bangkit menentang penjajah.”

Demikian menurut Naib Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semasa menjelaskan maksud kata-kata ‘Afghanistan adalah urat’. Menurut beliau, kata-kata tersebut ialah ungkapan pujangga Islam yang telah menulis mengenai dunia Islam di zamannya. Kata beliau, tulisan tersebut adalah berdasarkan situasi dunia Islam yang ketika itu dijajah oleh penjajah Inggeris.

“Rakyat Afghanistan walaupun miskin, buta huruf namun sangat kuat cintakan Islam dengan kejahilannya,” kata beliau lagi.

Selain itu, beliau menambah semasa kuasa-kuasa besar dunia menghalang kemunculan semula kuasa Islam pada tahun 70-an, banyak gerakan Islam dihancur-leburkan. Menerusi rakaman kuliah yang beliau sampaikan itu, beliau turut menceritakan kebangkitan Ikhwanul Muslimin semasa negara Islam ditindas.

“Ikhwanul Muslimin dibawah pimpinan Hassan Al-Banna melaungkan seruan jihad lalu bangkitlah pemuda-pemuda Islam di Mesir dan seluruh negara Arab,”ujarnya. Beliau juga menceritakan bagaimana Ikhwanul Muslimin berjaya menundukkan tentera Israel di beberapa kawasan sehingga gencatan senjata dipersetujui.

“Didapati para Mujahidin yang berjuang bersama Ikhwanul Muslimin berjaya menundukkan Israel di beberapa kawasan. Lalu kuasa-kuasa besar dunia membuat keputusan untuk mengadakan gencatan senjata dan ianya dipersetujui,”jelas Tuan Guru.

Pada masa sama, Tuan Guru memberitahu persepsi masyarakat  bahawa dunia hanya dikuasai oleh satu kuasa besar iaitu barat. Namun, mereka turut menyedari masih ada kuasa yang lagi besar iaitu Islam.

 

Tarikh : 26-27 Oktober 2016

Lokasi : Pekan Membakut

Sepanjang program, saya berjumpa dengan beberapa individu yang signifikan. Pertama Sarjan Mejar Abu Bakar yang kini Ketua Balai Polis Membakut sejak 2014. Kami sempat sama-sama berkhidmat di Istana Negeri Sabah.

Kedua, Ustaz Said Abd Rahman, 63 tahun. Beliau datang ke Sabah tahun 1978 dari Pondok Lanai Baling Kedah, berkhidmat dan bermastautin di Membakut hingga kini. Beliau seangkatan dengan Ustaz Mustafa Abd Majid.

Ketika, sahabat sekelas saya di SMUI Toh Puan Hajah Rahmah, Helmi Daud. Kini beliau berkhidmat di JASA. Alhamdulillah semoga semua pertemuan dan perpisahan dalam perlindungan Allah SWT.

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/42828-sejarah-majlis-syura-ulamak-dan-perjawatan-mursyidul-am

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 14 Oktober 2016.

TRANSFORMASI kepimpinan PAS pada tahun 1982 menyaksikan Haji Yusuf Rawa memangku jawatan Presiden PAS dan antara perkara penting yang berlaku semasa era Yusuf Rawa ialah mewujudkan Majlis Syura Ulamak. Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengusulkan tentang penubuhan Majlis Syura Ulama dan diangkat ke Mesyuarat PAS Pusat. Memandangkan keberkesanan ulamak dalam membimbing dan sebagai simbol penyatuan fikrah dalam PAS, maka semasa dipimpin oleh Haji Yusof Rawa, PAS telah menubuhkan Majlis Syura Ulama.

Majlis Syura telah ditubuhkan untuk memastikan ulama benar-benar membuat keputusan dalam menentukan halatuju perjuangan dan bukan gimik untuk berubah kepada sesuatu yang baru semata-mata. Majlis Syura Ulamak adalah badan tertinggi dengan mengamalkan konsep syura. Walaupun dahulu Dewan Ulama memainkan peranannya tetapi kebanyakan keputusan hanyalah meminta Dewan Harian Pusat. Kini dengan pendekatan syura, Haji Yusof Rawa telah memperkenalkan Majlis Syura yang lebih berwibawa menentukan keputusan-keputusan parti.

Majlis Syura Ulamak telah diberikan beberapa kuasa penting di dalam parti seperti menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan parti yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya.

Badan ini juga bertanggungjawab mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan parti dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawal serta kehendak-kehendak dalam perlembagaan PAS dipatuhi samada di dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS. Majlis Syura Ulama juga mestilah memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib ahli PAS dan melantik ahli-ahli jawatankuasa tatatertib PAS seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 75 Perlembagaan PAS.

Pemilihan ahli majlis begitu sekali cermat dan PAS meletakkan piawaian yang tinggi. Perlembagaan PAS telah menggariskan syarat-syarat yang perlu ada kepada semua ahli Majlis Syura.

Sepertimana yang dicatatkan dalam Perlembagaan PAS Fasal Tujuh (4) ada menyebut bahawa seseorang yang ingin dilantik sebagai Ahli Majlis Syura Ulama perlu memiliki ciri-ciri berikut.

Pertama, ia hendaklah seorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (al-usul) dalam Syariat Islam dan hukum-hukum atau/dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar.

Kedua, ia hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya, dan ketiganya hendaklah ia seorang ahli PAS.

Kedudukan ulama yang sebelum ini dipisahkan telah mula memainkan peranan penting dalam pembentukan perjalanan parti, segala dasar yang hendak dijalankan mesti terlebih dahulu dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak. Tanpa persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak sesuatu perkara tidak boleh dilakukan.

Ini merupakan asas perubahan yang begitu drastik sehingga tidak ada lagi mereka yang boleh mempermainkan dasar dan prinsip PAS. Ia dianggotai oleh ulama yang berwibawa dan struktur ini berbeza dengan orang lain.

Dalam sejarah Majlis Syura Ulama, Haji Yusuf Rawa ialah Mursyidul Am PAS yang pertama, diikuti dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dr Haron Din menjadi Mursyidul Am PAS yang ketiga dengan pelbagai ujian yang sedang dialami oleh PAS sehingga munculnya kumpulan serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (PAN). Beliau telah diserang daripada pelbagai penjuru oleh musuh-musuh PAS, ini adalah kerana ketegasan beliau dalam mempertahankan prinsip perjuangan PAS.

Kini Majlis Syura Ulamak telah melantik Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin, seorang penggerak pendidikan Islam di Perlis sebagai Mursyidul Am dengan kembalinya Dr Haron Din kerahmatullah. Mantan alumni Universiti Baghdad ini adalah kader perjuangan Islam semenjak meremaja di Maahad ‘Alawiyyah Perlis dan juga kader dakwah yang ditarbiah oleh Ikhwanul Muslimin di bumi Baghdad.

Keupayaan intelektual, kematangan pengalaman dengan paduan dokongan ahli-ahli Majlis Syura Ulama, insyaallah Musyidul Am keempat ini akan memacu jamaah dengan segenap keupayaan. Moga Allah mmberkahi harakatul ummah ini! – HARAKAHDAILY 14/10/2016

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat)

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/42796-istiqamah-ustaz-hashim-menuju-persada-mursyidul-am

Perjuangan Istiqamah Ustaz Haji Hashim Jasin Menuju Persada Mursyidul Am PAS Keempat

Saya mula mengenali dengan rapat al-fadhil Ustaz Haji Hashim Jasin ketika Pilihan Raya Kecil Arau pada 4 Julai 1998. Sebelum itu, hubungan kami hanya sebagai pemimpin dengan ahli, tetapi sejak Jun 1998 sepanjang kempen pilihan raya kecil itu sehingga menjadi wakil rakyat, saya mengenali beliau dengan rapat. Saya juga rapat dengan pemandu beliau ketika menjadi Ahli Parlimen Arau yang kami mesra dengan panggilan ‘Pak Teh,’ yang sentiasa setia membawa Ustaz Hashim Jasin ke mana-mana dengan Proton Wira putih yang beliau beli dengan ihsan Haji Ismail Ahmad HPA.

Hubungan rapat saya dengan Almarhum Ustaz Haji Hassan Shukri juga membolehkan saya mengetahui banyak sisi rahsia Ustaz Haji Hashim Jasin, seorang pemimpin yang tenang, peramah, suka berseloroh tetapi tajam pandangan politiknya. Ustaz Hassan Shukri adalah teman sekuliah beliau di Baghdad, selain Bapak KH Abdul Rahman Wahid (Gus Dur), pemimpin Nahdatul Ulamak yang pernah menjadi Presiden Republik Indonesia itu. Ustaz Hashim Jasin ke Baghdad pada 1964 kerana biasiswa yang diberikan oleh Presiden Abdul Salam Arif (1963-1966), Presiden Iraq yang mendukung perjuangan Ikhwanul Muslimin ketika itu melalui Pak Yusof Rawa, konsulat Iraq di Pulau Pinang. Pak Yusof Rawa menyerahkan biasiswa ini kepada PAS untuk mengirimkan 10 pemuda PAS melanjutkan pelajaran di Iraq. Begitulah bermulanya intimak Ustaz Hashim Jasin bersama PAS.

Zaman Muda Mursyidul Am PAS

Ustaz Hashim Jasin dilahirkan di Kampung Changkat Jawi, Arau, Perlis pada 1 Ogos 1939. Pada mulanya beliau belajar di Sekolah Melayu Jelempuk selepas Perang Dunia Kedua, sebelum memasuki Madrasah Alawiyah, Arau pada 1950. Ketika berada di Madrasah Alawiyah, beliau mula terdedah dengan pergerakan Islam apabila bekas Setiausaha Ikhwanul Muslimin Kaherah, Sheikh Taqiyuddin Qandil menjadi guru di sini. Sheikh Taqiyuddin Qandil berperanan menggerakan pelajar Islam di Madrasah Alawiyah, Arau dan Maktab Mahmud, Alor Setar sehingga tertubuhnya Kesatuan Pelajar Agama Kedah (KPAK) dan Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) pada 1954, yang merupakan sayap pelajar PAS ketika itu. Tokoh lain yang berpengaruh di Arau ketika ini ialah Sheikh Abu Bakar al-‘Asyari, Imam Masjid Arau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis. Pada 1958, PAS telah melantik Ustaz Abu Bakar Hamzah yang berasal dari Sanglang, Perlis sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, manakala bekas Yang Dipertua Persatuan Imam Seluruh Perlis, Ustaz Ahmad Long merupakan Pesuruhjaya PAS Perlis ketika ini.

Setelah menamatkan pengajian beliau di Madrasah Alawiyah, Ustaz Hashim Jasin mengikuti abangnya, Ustaz Ibrahim Yasin aktif bersama PAS sehingga dilantik menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis pada 1962. Ustaz Ibrahim Yasin adalah calon PAS dalam Pilihan Raya Umum 1959, sebelum menjadi pensyarah UKM. Setelah dua tahun mengetuai Dewan Pemuda PAS Perlis, beliau terpaksa berundur kerana melanjutkan pengajian di Iraq. Dengan biasiswa Kerajaan Iraq, 10 orang pemuda PAS telah bertolak ke Baghdad pada 1964. Antara mereka ialah ialah Ustaz Hassan Shukri (bekas Timbalan Presiden PAS), Ustaz Dato’ Mohamad Daud Iraqi (bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat), Ustaz Ishamuddin Ahmad (bekas ADUN PAS, abang Mufti Kedah sekarang), Ustaz Dato’ Sheikh Azmi Ahmad (bekas Mufti Pulau Pinang, pernah menjadi Naib Presiden PKN), Ustaz Dahlan Mohd Zain (pengasas ABIM Perlis), Ustaz Abdul Rahim Mohd Zain (pensyarah UM), Prof Hasbullah Kasban (pensyarah UTM) dan dua yang lain. Turut menyertai mereka ialah Ustaz Jalaluddin Abdul Wahid (bekas Pesuruhjaya PAS Melaka). Mereka kemudiannya menubuhkan Persatuan Melayu Iraq di mana Ustaz Hashim Jasin adalah antara ahli jawatankuasanya antara 1964 hingga 1968.

Tarbiyah Ikhwan

Penghijrahan Ustaz Hashim Jasin dari Perlis ke Baghdad rupanya telah memperkukuhkan lagi pengaruh Ikhwanul Muslimin ke atas beliau. Beliau bersama pelajar-pelajar yang dihantar oleh PAS ke Baghdad telah mengikuti tarbiyah Ikhwanul Muslimin cawangan Iraq. Murabbi mereka yang terkenal termasuklah Sheikh Solleh Ali Abu Mun’im dan Dr Abdul Karim Zaidan. Melalui Persatuan Melayu Iraq, program-program tarbiyah disusun mengikut method dan silibus Ikhwanul Muslimin bagi membentuk abna’ul harakah yang mendukung perjuangan Islam. Mereka mengikuti usrah dan halaqat ilmu termasuk ilmu bahasa dan siyasah selama empat tahun. Hasil tarbiyah ini, hampir seluruh kelompok mereka menjadi tokoh-tokoh gerakan Islam yang ternama di Malaysia.

Penglibatan dalam tarbiyah Ikhwan ini adalah lanjutan tarbiyah Ikhwan yang telah diikuti di Madrasah Alawiyah yang dimurabbikan oleh Sheikh Taqiyuddin Qandil. Sezaman dengan Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki, Ustaz Jaiz Anwar, Ustaz Johari Ahmad dan juga Ustaz Fadzil Mohd Noor yang mengikuti tarbiyah yang sama di Maktab Mahmud, Ustaz Hashim Jasin telah menerima pengaruh awal Ikhwan. Tokoh yang sangat terpengaruh dengan Ikhwan di Perlis ketika itu ialah Ustaz Abu Bakar Hamzah, yang pada asalnya Ketua Pemuda Umno Perlis, menyertai PAS pada 1955 kerana mendapati Umno tidak mengikuti landasan Ikhwan. Ustaz Abu Bakar Hamzah dan Sheikh Taqiyuddin Qandil berperanan besar mengembangkan pengaruh Ikhwan di Perlis. Pada 1958, ketika Ustaz Abu Bakar Hamzah menjawat sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, beliau mengunjungi Ikhwanul Muslimin di Kaherah untuk membentuk hubungan rasmi PAS dengan Ikhwanul Muslimin. Sejumlah karya as-Syahid Hassan al-Banna telah dibawa pulang ke Tanah Melayu dan diterjemahkan oleh Ustaz Abu Bakar Hamzah. Pada 1963, ketika Ustaz Hashim Jasin menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Dewan Pemuda PAS Pusat telah memutuskan supaya karya as-Syahid Hassan al-Banna, Usul ‘Isyriin yang diterjemah oleh Ustaz Abu Bakar Hamzah telah dijadikan teks tarbiyah rasmi PAS.

Melanjutkan proses tarbiyah yang lebih dekat dengan Ikhwan di Iraq rupanya mempunyai pendekatan yang berbeza. Kemasukan mereka ke Universiti Baghdad dengan dukungan Presiden Abdul Salam Arif, seorang simpati Ikhwan dalam kelompok Kesatuan Sosialis Arab. Tetapi kematian Presiden Abdul Salam Arif pada 13 April 1966 telah menjejaskan kedudukan Ikhwanul Muslimin di Iraq. Walaupun Presiden Abdul Rahman Arif tidak memberikan tekanan besar, tetapi penguasaan Parti Ba’ath mulai 17 Julai 1968 telah memberikan tekanan yang sangat hebat kepada Ikhwanul Muslimin Iraq. Agak bernasib baik, kerana mereka berjaya menamatkan pengajian pada akhir 1968 dan pulang ke Malaysia dengan selamat untuk melanjutkan perjuangan.

Mendukung Perjuangan

Setelah menamatkan ijazah Sarjana Muda dalam bidang syariah dan bahasa Arab di Universiti Baghdad pada 1968, Ustaz Hashim Jasin telah kembali ke Malaysia dan terus aktif bersama PAS. Beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS pada 1968-1971, sebelum diberikan amanah sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis pada 1971-1973. Pada mulanya beliau berkhidmat sebagai Pegawai Agama Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) sejak 1969, tetapi mula berkhidmat sebagai Pegawai Agama Felda mulai 1972 yang memaksa beliau meninggalkan Perlis. Pada awalnya, berkhidmat di Felda akan memudahkan beliau untuk aktif kerana Felda adalah agensi di bawah Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Mohd Asri Haji Muda selaku Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas. Setelah PAS dipecat dari BN pada akhir 1977, kegiatan politik beliau mulai terbatas. Beliau berkhidmat dengan Felda sehingga bersara pada 1989. Kedudukan beliau sebagai Pegawai Felda menghalang beliau memegang jawatan utama dalam PAS.

Persaraan beliau dari Felda telah membolehkan beliau aktif semula dan terus dilantik sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perlis pada 1989 dan menjadi Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis, sebelum memangku jawatan Ketua Dewan tersebut pada 1990. Mulai 1991, Ustaz Hashim Jasin dilantik semula sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis, sekali gus menduduki Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat. Setelah PAS memindahkan Pejabat Agungnya ke Taman Melewar pada 1987, Dewan Ulamak PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Pusat telah membeli sebahagian tanah Markaz Tarbiyah PAS Pusat itu atas nama beliau, sehingga dibangunkan pejabat tersebut. Pada 1994, beliau dilantik pula sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, jawatan yang dipegang sehingga sekarang, walaupun beliau telah melepaskan jawatan-jawatan lain sejak 2008 kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Mursyidul Am PAS

Kematian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Prof Dr Haron Din pada 16 September 2016, telah menimbulkan persoalan besar, siapakah yang layak menggantikan beliau sebagai Mursyidul Am PAS. Jawatan ini adalah tertinggi dan paling berprestij dalam PAS, sekali gus menjadi rujukan umat Islam di Malaysia. Menggantikan legasi yang ditinggalkan oleh Pak Yusof Rawa (1987-1994), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (1994-2015) dan Tuan Guru Prof Dato’ Dr Haron Din (2015-2016) adalah tugas yang sangat berat bagi ulamak-ulamak dalam PAS. Penolakan jawatan tersebut oleh Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob selaku Timbalan Mursyidul Am PAS jelas menggambarkan beratnya beban jawatan tersebut.

Majlis Syura Ulamak PAS pada 9 Oktober 2016, setelah mempertimbangkan pelbagai faktor, telah secara ijmak berpandangan bahawa tokoh yang paling layak menduduki jawatan Mursyidul Am PAS ialah Ustaz Haji Hashim Jasin, ulamak yang berusia 77 tahun ini. Dengan latar belakang pendidikan agama beliau di Madrasah Alawiyah dan Universiti Baghdad, kemudian latar belakang tarbiyah Ikhwan yang diterimanya sepanjang 1950-an hingga akhir 1960-an sebelum berpadu dengan tarbiyah haraki dalam PAS, juga pengalaman kepemimpinan beliau dalam PAS sejak 1962 hingga 2008 yang bercantum dengan pengalaman profesional semasa berkhidmat dalam JAIPs dan Felda, maka beliau mempunyai kedudukan terbaik untuk menyambung kepemimpinan PAS.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS – HARAKAHDAILY 11/10/2016

Tarikh : 14 Oktober 2016

Lokasi : Masjid Nurul Hidayah Kg Bangka-Bangka Likas

Selesai solat jumaat di Masjid Nurul Hidayah Kg Bangka-Bangka Likas, saya berjumpa dan bersalaman dengan Tuan Hj Karim Datuk Abd Rahman, 73 tahun. Nampaknya beliau masih mengingati saya.

“Kamu dulu pelajar pertama Maahad Tahfiz kan”, katanya sambil saya mengangguk. Seingat saya beliau pernah menyandang Timbalan Pengarah JHEAINS. Beliau bersara tahun 1998 ketika kami masih menuntut di maahad yang beroperasi di Masjid Negeri Sabah. Tentunya beliau ada peranan penting di sebalik penubuhan maahad ini. Beliau juga menyebut beberapa nama kawan-kawan seangkatan kami yang masih diingatinya.

20161014_130752

USTAZ RUSTAMIN AMAK JAMILAH

20161012_112543

Bertemu tanpa disangka dengan pendakwah, Ustaz Rustamin Amak Jamilah, 62 tahun. Beliau berasal dari Lombok dan berhijrah ke Sabah sejak tahun 1981. Berkhidmat di Tambunan sehingga tahun 2007 dan kemudian menjadi guru besar di SAN Kg Timbua Ranau. Setelah bersara beliau berkhidmat pula di Hospital Ranau di bawah PERKIPS. Antara pertemuan kami ialah pada 2008 di Kg Timbua dalam program dakwah dan pemantapan aqidah.

Tarikh : 11 Oktober 2016

Lokasi : Masjid Jamek Kundasang

Bersama Tuan Imam Lokman Muhiman, 57 tahun, Imam Masjid Pekan Kundasang. Saya mula mengenali beliau sejak 1996, iaitu 20 tahun lalu dan ketika itu beliau sudah berkhidmat di masjid ini.

20161011_121911 20161011_122846

bicaratentangturki-e1469433458611

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/10/10/penglibatan-dato-seri-tuan-guru-haji-abdul-hadi-awang-dalam-dunia-politik/

CATATAN RINGKAS, PENGLIBATAN DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG DALAM DUNIA POLITIK

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (juga mesra dengan panggilan Ayah Chik) pernah ditanya oleh Wartawan;

“Apakah sejak kecil Tuan Guru minat dalam bidang politik?”

Ayah Chik menjawab;

“Kebetulan saya lahir di rumah politik. Ayah saya aktif dalam politik sejak zaman penjajah. Rumah kami menjadi persinggahan orang-orang politik seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Dato’ Onn Jaafar, Tengku Abdul Rahman dan ramai lagi. Saya dan ayah saya bercakap politik sejak usia lima atau enam tahun lagi.

Terengganu adalah sebuah negeri yang menjadi pusat pengkalan tokoh-tokoh pejuang menentang penjajah seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan sebagainya. Ia menjadi pusat yang melahirkan pejuang-pejuang awal menentang kolonialisme. Malah Sultan Zainal Abidin III, adalah seorang Sultan yang juga seorang ulama, yang menentang penjajah.

Sejak kecil lagi, saya selalu membaca buku dan majalah-majalah koleksi ayah saya. Ketika itu saya telah membaca buku Ensiklopedia Politik karangan Muhammad Hanif. Buku itu tidak ada lagi di pasaran sekarang. Melalui buku itu, saya dapat tahu istilah politik, demokrasi, nasionalisme, diktator, dan pelbagai lagi istilah politik. Buku itu juga memuat tokoh-tokoh politik seperti Sukarno, Abdul Rahman Azzam, Tito, Hitler, dan sebagainya. Ia ditulis dalam tulisan jawi. Buku ini tidak ada lagi di pasaran sekarang.mungkin hanya ada dalam simpanan arkib. Muhamad hanif ini pernah jadi calon PAS di Kampung Baru.

Selain itu, saya sempat berkenalan dengan tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin, Dato’ Onn, yang pernah datang ke rumah. Ini memberikan pendedahan awal kepada saya dalam bidang politik.”

Wartawan ada menanyakan soalan lagi kepada Tuan Guru;

“Sewaktu belajar di Universiti, apakah Tuan Guru terlibat juga dalam kegiatan mahasiswa?”

Ayah Chik menjawab lagi;

“Saya pernah menjadi Ketua Pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah di samping menjadi Setiausaha Agung Gabungan Pelajar-pelajar Asia Tenggara di Madinah. Selain itu, ketika menuntut di Mesir saya pernah bersama Dr Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr Abdul Satar Al Khudsi yang aktif dalam Ikhwanul Muslimin ketika itu. Saya juga pernah menjadi Setiausaha Seksyen Syariah dan Undang-undang Persatuan Melayu Republik Arab Mesir.”

Wartawan tersebut mengajukan lagi soalan kepada Tuan Guru;

“Setelah pulang ke tanahair, apakah Tuan Guru terus melibatkan diri dalam politik khususnya PAS?”

Ayah Chik menjawab dengan tenang;

“Sebelum ke Timur Tengah, saya mula aktif dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebagai Setiausaha Ranting PAS Kampung Rusila, Marang. Selepas pulang ke tanah air, saya dilantik menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu serta EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada tahun 1977, saya dipilih menjadi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan kemudiannya disahkan ke jawatan tersebut pada tahun 1980. Pada tahun 1989, saya terpilih menjadi Timbalan Presiden PAS dan setelah pemergian Dato’ Fadzil Mohd Noor, saya diamanahkan menjadi Presiden PAS.”

*point pada catatan ringkas ini dipetik daripada Facebook Yusuf Assidiq Ahmad Sharqawi.

%d bloggers like this: