Tag Archive: JAKIM Sabah


MESYUARAT AGUNG CONCERN

CONCERN

Tarikh : 25 Disember 2014

Lokasi : Bilik Mesyuarat JAKIM Sabah

Alhamdulillah, saya bersama Ustaz Arbaen Shawal mewakili Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Cawangan Sabah menghadiri mesyuarat agung Gabungan NGO Islam Negeri Sabah (CONCERN) baru-baru ini.

CONCERN dianggotai oleh sejumlah NGO Islam yang ada di negeri Sabah, sama ada persatuan yang bersifat cawangan dari Kuala Lumpur atau berasal dari Sabah sendiri. Antara NGO yang bergabung di bawah CONCERN ialah ABIM, WADAH, IKRAM, PUM, Yayasan Amal Malaysia, Persatuan Peguam Muslim Sabah, Persatuan Siswazah Sabah, Persatuan Puteri Islam Malaysia, Persatuan Siswazah Iranun Sabah, dan banyak lagi.

CONCERN sering bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk mengadakan pelbagai wacana, seminar, kunjungan atau mengadakan kenyataan media tentang isu-isu berkaitan agama Islam khususnya di negeri Sabah. Untuk sesi ini, pengerusi CONCERN masih dipimpin oleh Tuan Hj Sainuri Yahmin dari WADAH, Dr Aliakbar Gulasan dari PUM sebagai timbalannya. Sekretariat bagi gabungan ini dikekalkan kepada ABIM.

Pihak CONCERN juga mengalu-alukan mana-mana pihak NGO Islam di Sabah yang ingin turut serta bergabung dalam pertubuhan ini agar kesatuan umat Islam dilihat kuat dan sekata.

Sumber : http://www.islam.gov.my/

Pada 2 hingga 4 November 2013, Jakim Cawangan Sabah dengan kerjasama JHEAINS Daerah Kecil Tamparuli telah mengadakan Ijtimak Penggerak Dakwah Jakim Cawangan Sabah 2013 dan Program Mesra Desa di Kampung Kiwoi, Tamparuli.

Program ini telah mengumpulkan semua Penggerak Dakwah Jakim Cawangan Sabah di lapangan agar mereka dapat menyelami kehidupan masyarakat kampung dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat kepada masyarakat serta mengeratkan silaturrahim yang sedia terjalin.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Ustaz Halim bin Ahmad, Pengarah Jakim Cawangan Sabah. Turut hadir ialah Y.Bhg. Tuan Haji Samin Ongki, Pengarah YADIM Zon Sabah, Y.Bhg. Ustaz Sufian bin Kundu, Pegawai Perhubungan JHEAINS Daerah Kecil Tamparuli dan Pimpinan Kampung Kiwoi.

Antara pengisian yang dijalankan ialah tayangan video, sukaneka, halaqah, pertandingan ilmiah seperti klinik al-Fatihah, azan, melukis, mewarna, mini forum dan tazkirah. Majlis penyerahan sumbangan berupa keperluan dapur turut diaksanakan kepada masyarakat kampung yang memerlukan.

kiwoi1 kiwoi2 kiwoi3 kiwoi4

Alhamdulillah, pada 26 Oktober lepas sempat diamanahkan sebagai hakim bagi acara tilawah al-Quran dalam Ihtifal KAFA Peringkat Negeri Sabah 2013 yang diadakan di Likas Square. Bersama-sama saya ialah guru kami Ustaz Adam Abdul Hai, Tuan Imam Haji Madli Mansur dan Ustaz Riduan Othman.

Ulasan saya berkenaan acara yang kami ditugaskan sebagai hakim ini, bahawa saya melihat bakat-bakat besar yang perlu diasuh dan dikembangkan kebolehan anak-anak seusia bawah 12 tahun ini. Pada tahap ini, penguasaan tajwid mereka sangat kemas dan kedapatan beberapa peserta yang mempunyai kebolehan asas tarannum.

Setinggi tahniah kepada JAKIM Sabah khususnya Unit KAFA dan para guru KAFA yang bersusah payah melatih anak-anak ini, juga kepada ibu bapa mereka serta para peserta yang berani tampil ke hadapan memperdengarkan tilawah mereka. Semoga semuanya mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

Tilawah KAFA kafa

Tarikh : 29 Jun 2013 (Sabtu)

Lokasi : Dewan Datuk Asmali Bachi, Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah

Bagi pihak maahad mengucapkan setinggi penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana sudi membawa datang ke maahad kami Brother Lim Jooi Soon, seorang pendakwah yang terkenal dalam bidang perbandingan agama. Saya sendiri satu ketika sekitar 6-7 tahun sudah pernah mengaji ilmu perbandingan agama dengan beliau juga anjuran JAKIM, dalam siri Training of Trainer.

Alhamdulillah, warga maahad mendapat banyak input dan manfaat terhadap ceramah yang disampaikan. Insya Allah sekiranya ada kesempatan lain, akan bertemu lagi. Sebagaimana yang disebutkan oleh puan pengetua, aktiviti-aktiviti bersifat keilmuan seperti ini wajar diberi keutamaan apatah lagi kesemua siswa siswi kami yang menghafaz al-Quran ini bakal berhadapan dengan masyarakat yang pelbagai warna.

Terima kasih juga buat sahabat saya Ustaz Fadhli Amat dan rombongannya yang sudi menjejakkan kaki ke sini. Insya Allah kerjasama lebih erat selepas ini.

Lim Jooi Soon @ MTQQNS (1) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (2) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (3) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (4) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (5) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (6) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (7) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (8) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (9) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (10) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (11) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (12) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (13) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (14) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (15) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (16) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (17)

Sumber : http://www.islam.gov.my/ziarah-dakwah-di-bumi-sook

Tanggal 20 September 2012, Jakim Cawangan Sabah bersama JHEAINS Daerah Kecil Sook telah menyelusuri Kampung Mansiat, Sook di bawah program Ziarah Mahabbah. Perjalanan selama 1 jam 45 minit dari Pekan Sook itu sangat mencabar dengan kondisi jalan tidak berturap dan masih banyak yang dalam proses pembaikan. Keadaan permukaan jalan bertambah licin dan makin merbahaya apabila hujan mulai turun, dan ini sangat membimbangkan para penduduk dan pengunjung yang datang ke situ.

Objektif utama program adalah memberi bimbingan ilmu berkaitan dengan fardhu ain dan menyuburkan rasa kasih sayang bersama masyarakat. Diharapkan juga ia dapat menyuntik motivasi dan sokongan moral kepada penduduk kampung berkenaan untuk terus meningkatkan kefahaman mengenai ajara Islam sebenar.

Slot halaqah ilmu, tazkirah, solat berjemaah dan penyampaian sumbangan kepada saudara baru merupakan contoh aktiviti yang telah dijalankan oleh pihak penganjur. Selain Kg. Mansiat, program kali ini turut mendapat penyertaan dari Kg. Sinua, Kg. Sinaron dan Kg. Nandagan, Sook. Lebih 100 peserta dari 4 buah kampung itu sangat bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam menjayakan setiap aktiviti yang dijalankan pada hari itu.

Ustaz Mohd Shamsuri Bin Ghazali, wakil Pengarah Jakim Sabah telah menyempurnakan majlis perasmian program. Turut hadir, Ustaz Rosman Bin Suni, Penyelaras Program Dakwah PLD Keningau, Encik Ismail Bin Amit, Pemaju Mukim Lanas memerangkap Pengerusi Surau As-Syakirin Kg. Mansit, Encik Johari Bin Bariau selaku Ketua Kg. Mansiat, Ustaz Baramsa@ Syukur Bin Batarasa selaku wakil JHAEINS Daerah Kecil Sook, Penggerak Dakwah Sook dan rombongan Jakim Cawangan Sabah.

 

Kami tiba di Surau Kg Daranan menjelang asar setelah perjalanan termasuk rehat di Masjid Pekan Kudat kesemuanya mengambil tempoh 8 jam. Memang meletihkan tetapi program tetap diteruskan dengan persiapan untuk majlis ringkas penyampaian sumbangan sebelum maghrib. Kami dimaklumkan terdapat sekitar 700 penduduk beragama Islam di kampung ini namun menjangkakan sekitar 70-100 orang hadir sudah memadai.

Ketibaan kami disambut oleh seorang petugas Yayasan Amal Malaysia di pulau ini bersama seorang lagi sahabatnya. Mereka membuat persiapan dengan jemputan kepada penduduk kampung sebagaimana yang sudah dirancang lebih awal. Di sebelah surau baru ini ada sebuah surau lama yang dijadikan tempat jamuan makan dan dapur mereka. Beberapa kaum ibu dibantu oleh anak-anak remaja membantu membuat persiapan berbuka.

Sementara kami juga melakukan sedikit persiapan membahagi-bahagikan barang yang bakal disumbangkan kepada 200 bungkusan berisi kurma, ubat-ubatan dan sedikit wang raya. Ada lapan kotak berisi pakaian juga dikirimkan oleh sahabat di Kota Kinabalu untuk disampaikan kepada penduduk kampung yang memerlukan. Penyampaian ringkas dilakukan beberapa minit sebelum berbuka dan ketika itu kehadiran antara 70-100 orang penduduk kampung termasuk kanak-kanak, ketika generator baru dipasang dan dihidupkan kerana ketiadaan kemudahan elektrik.

Ketika berbuka, kami sungguh tidak menyangka menu yang kami anggap istimewa disediakan oleh penduduk kampung. Dalam cahaya lampu yang agak suram, mereka menyantuni kami pula dengan hidangan ketam, ikan putih, ubi pelbagai jenis dan nasi yang dibungkus dengan daunan sangat menyelerakan. Allah, sungguh mereka kaya jiwa dan budi bahasa terhadap tetamu jauh mereka  dengan makanan yang kami kira lebih mewah berbanding di rumah kami sendiri walaupun kehidupan mereka ramai yang susah dan sederhana.

Kami solat maghrib berjamaah dan saya menyampaikan sedikit tazkirah sebelum isyak dan tarawih. Selepas selesai kesemuanya kami berangkat kembali ke Pekan Karakit untuk bermalam di Masjid Daerah Kecil Pulau Banggi. Kunjungan ke kampung ini akan saya kenang sebagai pengalaman manis bersama umat Islam di sebuah pulau di hujung negeri Sabah. Insya Allah ada rezeki akan berziarah lagi.

 

Sudah beberapa kali saya terlepas peluang untuk berziarah ke pulau terbesar di Malaysia ini. Apabila Tuan Haji Abu Aslam mengajak berziarah dan jaulah dakwah ke pulau ini untuk menyampaikan bantuan umat Islam kepada sebahagian kecil penduduknya di Kampung Daranan, saya mengiyakan saja tanpa berfikir panjang. Ini adalah program jaulah dakwah Ramadhan anjuran Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah dengan kerjasama JHEAINS dan JAKIM Cawangan Sabah.

Perjalanan kami terdahulu bermula sekitar jam 7.30 pagi dari Kota Kinabalu seramai 5 orang (Hj Abu Aslam, Dr Shafie, Nordin Sakke, Azman Talib dan saya) membawa sepuluh kotak berisi pakaian terpakai, 200 bungkusan ubatan asas, kurma dan sedikit wang sebagai sumbangan hari raya yang dikirimkan oleh ramai pihak di Kota Kinabalu. Perjalanan dengan kelajuan sederhana ke daerah Kudat sejauh 190 km memakan masa hampir 3 jam, sementara perjalanan dari tanah besar di Kudat ke Pulau Banggi pula mengambil masa 70 minit menaiki feri ekspess dengan tambang promosi sebanyak rm10 sahaja seorang.

Kami difahamkan ada beberapa feri ekspress yang membawa penumpang dua hala Kudat-Pulau Banggi-Kudat.  Kampung Daranan yang kami tuju ini memakan masa perjalanan 50 minit dari Pekan Karakit, Pulau Banggi. Perjalanan 15 minit pertama dari Pekan Karakit menuju ke lokasi agak selesa dengan jalanraya yang berturap kecuali sedikit yang rosak. Baki 35 minit berikutnya perjalanan dengan jalan tidak rata dan beralun-alun, sehingga kenderaan bergerak perlahan sahaja. Namun sesuatu yang sangat memukau ialah pemandangan indah di sepanjang perjalanan. Foto-fotonya saya kongsikan bersama di dalam entri ini dan entri berikutnya secara bersiri.

Pulau Banggi terletak di timur laut Kudat. Kudat ialah daerah paling utara di Sabah (atas sekali dalam peta Sabah). Keluasan Pulau Banggi ialah 440.7 km persegi. Penduduk utama pulau ini ialah suku kaum Ubian dan Dusun Bonggi diikuti oleh kaum-kaum lain seperti Bajau, Kagayan dan Suluk. Penduduk seluruh pulau ini tidak kurang daripada 20 ribu, dan daripada segi persempadanan pilihanraya, kawasan dewan undangan negeri mereka dinamakan sebagai DUN N1 Banggi dengan menggabungkan pulau dan sebahagian daerah Pitas di tanah besar.

Foto yang dirakam dalam entri ini adalah sepanjang perjalanan sebelum tiba ke Kampung Daranan. Program di kampung berkenaan akan disiarkan dalam entri berikut nanti.

Kami melalui sebuah rumah yang di aras bawahnya sebuah kedai runcit, diusahakan oleh orang Kelantan yang dikhabarkan berkahwin dengan orang pulau ini. Kelihatan bendera Kelantan.

Sumber : http://www.islam.gov.my/ziarah-dan-dakwah-di-pulau-mantanani

Dari mata kasar, Pulau Mantanani adalah ‘syurga’ bagi golongan penyelam kerana ia adalah antara lokasi tercantik di negeri ini untuk pelbagai aktiviti laut. Kedudukannya di bahagian barat laut daerah Kota Belud dan 80 kilometer dari bandar Kota Kinabalu. Namun apa yang tersirat di sebalik segala keindahan ciptaan Allah S.W.T itu ialah gerakan dakwah perlu diperkasakan. Penduduk pulau berkenaan sangat ‘dahagakan’ bimbingan dakwah.

Justeru, pada 23 Jun 2012 yang lepas, Jakim Cawangan Sabah dengan kerjasama JHEAINS Daerah Kota Belud, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Cawangan Selangor, PUSPANITA Jakim Cawangan Sabah dan KAFA Daerah Kota Belud telah mengadakan Program Ziarah Mahabbah ke Pulau Mantanani, Kota Belud. Perjalanan dari Jeti Kampung Rampaian Laut, Kota Belud ke Pulau Mantanani dengan menaiki bot nelayan telah mengambil masa selama 2 jam. Ombak kuat yang mengiringi di sepanjang perjalanan itu langsung tidak melunturkan semangat 35 ahli rombongan yang mengikuti ekspedisi ini.

Objektif utama program ialah untuk menyuburkan rasa kasih sayang, menyampaikan ilmu agama serta menyuntik elemen motivasi iaitu dengan menjadikan ‘Islam Sebagai Cara Hidup’ kepada masyarakat Islam pulau berkenaan. Antara pengisian yang diterapkan kepada masyarakat kampung itu termasuklah kuiz kepada kanak-kanak, sesi halaqah ilmu, soal jawab agama dan beramah mesra. Para peserta yang hadir sangat teruja dan dan memberikan respon yang sangat menggembirakan ahli rombongan.

Tuan Haji Ahmad Zaki bin Haji Arsad, Pengarah Jakim Cawangan Sabah sendiri telah menyelitkan tazkirah ringkas dalam ucapan perasmian beliau. Sambil menyifatkan setiap manusia perlu gigih untuk menuntut ilmu agama, beliau juga mengharapkan agar lebih banyak NGO seperti PUM dan lain-lain agensi dapat mencurah khidmat bakti dan berdakwah di kawasan pedalaman dan pulau-pulau. Turut hadir, Ustaz Mohamad Zamri bin Mohamad Shapik, Pengerusi PUM Cawangan Selangor, Encik Albi bin Alad, Ketua Kampung Pulau Mantanani, Pengerusi Puspanita Jakim Cawangan Sabah dan Penyelia KAFA Daerah Kota Belud.

Yang terakhir, para penduduk dan masjid pulau tersebut telah dihadiahkan dengan pelbagai sumbangan berupa bahan keperluan asas, buku-buku agama dan alat kelengkapan pengurusan jenazah.

Sumber : di sini

Pada 18 Mei 2012, bersempena Minggu Semarak Al-Quran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sabah 1433H/2012 , Jakim Cawangan Sabah dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Wisma Harta, Jabatan Penerangan dan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah telah menganjurkan Program Bicara Al-Quran bertempat di Dewan Saadah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu.

Seramai 600 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan persekutuan, agensi agama, NGO Islam, Pelatih PLD Kudat dan Keningau serta orang awam telah berminat mengikuti program berkenaan. Objektif program ialah untuk menyemarakkan lagi Majlis Tilawah Al-Quran dan memasyarakatkan tilawatil Quran dalam kehidupan serta memperkaya minda masyarakat melalui perkongsian ilmu.

Dua orang penceramah telah diundang iaitu Y.Bhg S.F Tuan Haji Ahmad Mustafa bin Mohd Sidin, Imam Besar Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah Negeri Selangor dengan tajuk “ Penghayatan dan Penguasaan Al-Quran Dalam kehidupan” dan Y.Bhg Tuan Haji Muhammad Fitri bin Abdullah, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dengan tajuk “Al-Quran Sebagai Syifa Dan Rahmat”.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Y.Bhg Datuk Haji Amri bin A. Suratman, Pengarah JHEANS. Turut hadir ialah Y.Bhg Tuan Haji Ahmad Zaki bin Haji Arsad, Pengarah Jakim Cawangan Sabah, Ketua-ketua Jabatan dan Pimpinan NGO Islam Sabah.

Program tersebut juga dimeriahkan lagi dengan Kuiz Bicara Al-Quran. Peserta yang hadir begitu komited memberi perhatian sepanjang program berlangsung. Sempena Minggu Semarak Al-Quran tersebut juga pertandingan pidato terbuka kepada pelajar sekolah menengah dan saudara kita dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak tadika turut diadakan.

Sumber : http://www.islam.gov.my/lambaian-datong-laut-pengikat-persaudaraan

Oleh : Mohd Marzuki

Pada 22 april yang lepas, Jakim Cawangan Sabah dengan kerjasama JHEAINS Daerah Pitas, Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Negeri Sabah (JPINS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Datong Laut, Pitas telah mengadakan Program Ziarah Mahabbah bertempat di Surau Nur Hidayah, Kampung Datong Laut, Pitas.

Objektif utama program ialah menyuburkan rasa kasih sayang serta semangat persaudaraan dengan kumpulan sasaran di dalam suasana mahabbah dan mawaddah dan memberi motivasi dan sokongan moral disamping menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan serta memberi kefahaman akidah Islam yang sebenar.

Antara pengisian yang dijalankan ialah Halaqah Ilmu (Bab Taharah), Tazkirah, solat zohor berjamaah dan ramah mesra. Para peserta yang hadir juga begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Turut hadir ialah Ustaz Mohd Shamsuri bin Ghazali, Penolong Pengarah Jakim Cawangan Sabah, Ustaz Kamal Sindong, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Daerah Pitas, Encik Nasarudin bin Ahmad, Pegawai JPINS, Encik Dulah bin Kurus, Pengerusi KRT Kampung Datong Laut dan Encik Arif bin Adol, Ketua Kampung Datong Laut. Sumbangan berupa keperluan dapur turut diberikan kepada saudara baru, fakir miskin dan anak yatim.

%d bloggers like this: