Category: Sirah


Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/12/12/hukum-menyambut-maulid-al-rasul/

BAYAN LINNAS SIRI KE-80: HUKUM MENYAMBUT MAULID AL-RASUL

Mukadimah

Alhamdulillah, dengan kedatangan 12 Rabi’ al-Awwal, ramai di kalangan umat Islam mengingati peristiwa Maulid al-Rasul SAW walaupun sesetengahnya berpendapat Rasulullah dilahirkan pada 9 Rabi’ al-Awwal. Mereka semua menzahirkan rasa syukur dengan kelahiran insan agung yang mulia ini yang menjadi penyambung risalah Ilahi kepada manusia sejagat. Bersempena dengan Maulid al-Rasul pada kali ini, kami kemukakan dengan panjang lebar isu berkaitan hukum menyambutnya. Kami harapkan Bayan Linnas pada kali ini memberi satu jawapan yang tuntas kepada semua pihak.

Sejarah Sambutan Maulid al-Rasul

Sebagai mukadimah, dinyatakan dalam kitab Al-Bidayah wa al-Nihayah 13/136 al-Allamah Ibn Kathir antara lain beliau memuji Raja al-Muzaffar yang telah menyambut majlis Maulid al-Rasul secara besar-besaran dengan berkata:“Adalah Raja Muzaffar menganjurkan Maulid Syarif pada Rabi’ul Awal dan membuat perhimpunan secara besar-besaran.

Disamping itu, beliau adalah seorang yang berhati bersih, bersemangat, berani, mempunyai semangat keperwiraan, cerdik, alim, adil. Semoga Allah merahmatinya dan memuliakan kuburnya.” Dinukilkan di sini daripada beberapa kitab bagaimana para penyair di kalangan sahabat dan lainnya memuliakan Baginda SAW samada di hadapannya atau melalui syair-syair mereka.

Antaranya:

Al-Abbas bersyair: “Di kala dikau dilahirkan, bumi bersinar terang hingga jelas pasak bumi tidak mampu untuk menanggung cahayamu dan kami dapat terus melangkah lantaran kerana terangnya cahaya dan jalan yang terpimpin.”Lihat al-Mustadrak ala al-Sahihain.

Hasan bin Thabit banyak menggubah syair di hadapan Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda. Isu ini seringkali menjadi polemik dalam kalangan sarjana Islam.

Hukum Sambutan Maulid al-Rasul

Ada yang mengharuskannya dan ada yang sebaliknya.

Saya nukilkan sebahagian pendapat ulama:

Pertama: Hukum sambutan Maulidurrasul adalah bid’ah.

Ini dipelopori oleh sebahagian ulama. Antara hujahnya adalah:

Perayaan ini tidak pernah dilaksanakan pada generasi yang paling mulia, generasi sahabat, tabiin, tabi’ tabi’in, dan juga tidak pada generasi setelahnya. Ia adalah satu bentuk pemujaan yang melampau kepada Nabi SAW.

Sabda Nabi SAW,

لاَ تُطْرُونِي، كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ، وَرَسُولُهُ

Maksudnya: “Janganlah kalian berlebihan dalam memujiku seperti kaum Nasrani yang memuji anak lelaki Maryam. Aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah (mengenaiku) “ Hamba Allah dan Rasul-Nya “ (Riwayat al-Bukhari, no. 3445)

Sambutan maulid seperti ini pasti disertai dengan berbagai bentuk kemungkaran dan hal-hal yang diharamkan dalam agama

Kedua: Hukumnya adalah dibolehkan. Syeikh Abu Shamah atau nama sebenarnya, Syeikh Abdul Rahman bin Ismail al-Maqdisi (salah seorang Syeikh Dar al-Hadis di Damsyik) berpendapat:

Adalah dibolehkan sambutan Maulidurrasul berdasarkan amalan oleh tokoh ulama zaman dahulu antaranya di Irbil (salah satu wilayah di Iraq).

Antara tokoh-tokoh yang berpegang kepada keharusannya dan termasuk dalam bid’ah hasanah ialah:

Imam Jalaluddin al-Suyuti

Imam Ibn Hajar al-Haithami

Syeikh Ibn al-Hajj al-Abdari

Imam Ibn al-Battal

Al-HafizShamsuddin Muhammad bin Nasiruddin al-Dimashqi

Al-Hafiz Shamsuddin bin al-Jazari

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili

Syeikh Abdul Halim Mahmud

Syeikh Atiyyah Saqr

Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi dan lain-lain.

Para ulama yang mengharuskan Maulid al-Rasul menggunakan hadis di bawah:

Dari Abu Qatada, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa Isnin? Maka Baginda menjawab:

فِيهِ وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ

Maksudnya: “Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku.”
(Riwayat Muslim, no. 1162)

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah mensyukuri nikmat Allah atas kelahirannya pada hari Isnin dengan berpuasa. Maka, jika Baginda SAW berpuasa pada hari Isnin kerana bersyukur kepada Allah atas kelahirannya sendiri pada hari itu, maka begitu juga bagi ummatnya untuk mensyukuri nikmat kelahiran Baginda SAW untuk berpuasa pada hari Isnin, membaca al-Quran, membaca kisah kelahiran Baginda SAW, bersedekah, atau melakukan perbuatan baik yang lain.

Sabda Nabi SAW:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَلَهُ أَجْرُهَا، وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: “Barang siapa yang melakukan (merintis) dalam Islam sesuatu perkara yang baik maka ia akan mendapatkan pahala daripada perbuatan baiknya tersebut, dan ia juga mendapatkan pahala dari orang yang mengikutinya selepasnya, tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun”.
(Riwayat Muslim, no. 1017)

Hadis ini memberikan satu kefahaman bahawa dibenarkan untuk melakukan perkara perkara baru yang baik dan tidak bertentangan dengan al-Quran, al-Sunnah, athar mahupun ijmak ulama. Maulid al-Rasul adalah perkara baru yang baik dan sama sekali tidak menyalahi satu-pun di antara dalil-dalil tersebut. Dengan demikian, bererti hukumnya diharuskan bahkan sebagai salah satu jalan untuk mendapatkan pahala jika bertepatan dengan syarak.

Selain itu, antara hujahnya adalah fatwa ulama seperti berikut:

Ibn Hajar al-Asqalani ketika ditanya tentang hukum perayaan Maulid al-Rasul menjawab: “Asal dalam amalan sambutan peringatan Maulid adalah bid’ah yang tidak diriwayatkan dari ulama Salaf al-Soleh. Akan tetapi Maulid tersebut mengandungi banyak kebaikannya. Maka barangsiapa yang berusaha meraih kebaikan dalam Maulid dan menjauhi yang buruk, maka termasuk bid’ah yang baik (hasanah). Jika tidak, maka tidak disebut bid’ah hasanah.” (Al-Haawi Lil Fataawa oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti)Imam al-Suyuti juga antara lain menyebut: “Amalan memberi makan adalah perbuatan yang baik. Dengan demikian, amalan Maulid termasuk perkara baru yang dianjurkan sebagaimana yang diungkapkan oleh Sultan al-Ulama Syeikh Izzuddin bin Abd al-Salam.”Sebenarnya al-Suhaili telah menyebut bahawa al-Abbas berkata: “Tatkala Abu Lahab meninggal dunia, aku bermimpi bertemunya selepas setahun pada seburuk keadaan lantas dia berkata: “Tidak aku dapati selepas kamu sebarang kerehatan kecuali azab diringankan daripadaku setiap hari Isnin. Yang demikian kerana Nabi SAW dilahirkan pada hari Isnin dan Thuwaibah telah memberikan berita gembira kepada Abu Lahab berkenaan dengan kelahiran Nabi SAW lantas dimerdekakannya.”
(Imam Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari Syarah Sahih Bukhari, 9/43 – 48)Syeikh Muhammad Bakhit Al-Muti’i (Mantan Mufti Mesir): “

Justeru setiap apa yang dijadikan ketaatan dan untuk mendekatkan diri kepada Allah yang tidak ditentukan syariat(Allah) waktu tertentu dan tidak pula tempat tertentu maka boleh bagi setiap mukallaf untuk melakukannya pada setiap waktu dan tempat, dan begitu juga setiap yang tidak termasuk dalam larangan umum atau khusus daripada syariat maka hukumnya Mubah/Harus, dan apa yang selainnya(yakni ada larangan) adalah bid’ah yang haram atau makruh. Maka wajib untuk menghindarinya dan menghalangnya”(Ahsanul Kalam Fi Ma Yata’allaqu Bi al-Sunnah wa al-Bid’ah Min Ahkam, m. 74).

Syeikh Abdul Halim Mahmud: “Sambutan Maulid Nabi SAW adalah sunnah/jalan yang baik daripada sunnah-sunnah yang diisyaratkan oleh Rasul SAW dalam sabdanya:

“Barangsiapa melakukan sunnah yang baik, maka dia mendapat pahalanya dan pahala orang yang beramal denganya, barangsiapa yang melakukan sunnah yang buruk, maka dia menanggung dosanya dan dosa sesiapa yang beramal dengannya” Dan ianya adalah kerana terdapat usul/asas yang membimbingnya dan dalildalil yang sahih yang berpandukan padanya.

“Dan tidaklah bererti peninggalan salafussoleh bagi amalan yang soleh ini merupakan pertentangan kepada syariat, kerana salafussoleh masih mempunyai kebangkitan/keprihatinan agama dan cinta Nabi yang mulia yang mana menyebabkan mereka tidak memerlukan kepada peringatan hari maulid untuk disambut.” (Fatawa Imam Abdul Halim Mahmud, m. 273)

Tarjih

Setelah mengamati pendapat-pendapat ulama, saya berpandangan bahawa sambutan Maulid al-Rasul adalah harus dan termasuk dalam bid’ah hasanah tetapi hendaklah dengan meraikan beberapa syarat utama, antaranya:

Pengisian yang baik seperti tazkirah dan ceramah.

Tiada percampuran lelaki dan perempuan.

Menutup aurat.

Tiada unsur maksiat.

Mempelajari riwayat hidup Baginda SAW atau sirahnya dengan lebih baik dari tahun ke tahun.

Alhamdulillah terdapat banyak kitab yang kita dapat manfaat untuk mengenali dan makrifah Rasulullah SAW.

Antaranya:

Kitab al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri

Kitab Sirah Nabawiyyah oleh Ibn Hisham

Kitab al-Syamail al-Muhammadiyyah oleh Imam al-Tirmizi

Penekanan kepada keperluan mengikuti Sunnah Rasulullah SAW. Begitu juga memahami fiqhnya seperti:

Kitab Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali

Kitab Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti

Kitab Al-Sirah al-Nabawiyyah Durus wa ‘Ibar oleh Syeikh Dr. Mustafa al-Siba’ie

Kitab Al-Manhaj al-Haraki li al-Sirah al-Nabawi oleh Syeikh Dr. Munir al-Ghadban dan lain-lain

Disemarakkan dengan berselawat kepada Nabi SAW. Antara kelebihan selawat yang sahih sebagaimana sabda Nabi SAW:

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ، وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ

“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).”

(Riwayat al-Nasa’i, no. 1297)

Berhubung lafaz selawat yang afdhal, maka antaranya ialah riwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA yang menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau. Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Meraikan kegembiraan dan kesyukuran kelahiran Baginda SAW dengan bersedekah kepada fakir miskin. Sebagai mengukuhkan kenyataan ini, suka saya petik pendapat Imam Abu Syamah. Antara lain berkata: “Termasuk perkara baru atau bid’ah yang dilakukan pada masa kita iaitu sambutan setiap tahun pada hari kelahiran Baginda SAW dengan bersedekah, melakukan yang ma’ruf, menzahirkan perhiasan dan kegembiraan. Maka sesungguhnya disamping itu, melakukan ihsan kepada golongan fakir miskin adalah tanda kecintaan dan memuliakan Rasulullah SAW dalam hati orang yang menyambutnya. Begitu juga merupakan tanda kesyukuran kepada Allah kerana diutus-Nya Rasulullah SAW sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam.”

Penutup

Antara tugasan Rasul adalah untuk menyatukan ummah daripada pelbagai kabilah, kaum, bangsa dan ras agar semuanya kembali mengubudiyyah kepada Yang Maha Esa dengan penuh hikmah dan rahmah, Rasulullah SAW menyampaikan dakwah sehingga akhirnya ukhuwwah Islamiyyah yang kukuh dan dapat membina perpaduan yang mapan. Natijahnya, ummat yang bijak mencari titik persamaan dan mengurangkan jurang perbezaan menjadi ummat yang terkehadapan sehingga dapat memimpin dunia.

Parsi tumbang, Rom lemah dan Islam menggemakan syiarnya dan syariatnya sehingga melahirkan kerukunan sejagat. Rasulullah SAW telah menjadikan tali persahabatan dan ukhuwwah Islamiyyah sejak mula menegakkan negara Islam Madina dengan sistem mu’akhah (persaudaraan) dan diletakkan dalam Piagam Madinah. Justeru, kami menyeru kepada diri ini dan khalayak masyarakat ummah serta rakyat Malaysia agar kita bina perpaduan dan kita kukuhkannya sehingga perasaan kasih sayang terbina dan saling hormat menghormati sesama kita.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita mentahqiqkan hasrat dan tema Majlis Sambutan Maulid al-Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1438H yang berteraskan Ukhuwwah Islamiyyah Asas Penyatuan Ummah.

Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/12/12/cinta-nabi-saranan-al-quran-yang-ditinggalkan/

Oleh: Abdul Mu’izz Muhammad

Dewasa ini ramai yang membicarakan topik ‘Cinta Nabi’. Satu perkembangan baik yang berlaku di kalangan umat Islam. Cuma terkadang, kita tercari-cari metodologi yang tepat bagaimana menyintai Rasulullah sallallahualaihi wasallam sehingga kita terlupa al-Quran telah membicarakan soal ini secara jelas dan langsung.
Di dalam surah Aali-Imran, Allah Taala telah menyatakan kriteria golongan-golongan yang layak bersama dengan Rasulullah sallallahualaihi wasallam;

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُواْ لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُواْ وَمَا اسْتَكَانُواْ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ

“Dan berapa banyak Nabi yang berjuang bersama-samanya sejumlah besar pengikut yang bertaqwa. Sifat mereka tidak menjadi lemah dengan ujian yang menimpa mereka di jalan Allah, dan mereka tidak lesu dan tidak pula menyerah kalah. Allah menyintai golongan yang sabar.” (Aali-Imran ayat 146)
Secara jelas Allah menyatakan sifat utama pencinta-pencinta Nabi sallallahualaihi wasallam seperti berikut :
  • Al-Quran telah menggazetkan bahawa golongan yang layak bersama dengan Nabi sallallahualaihi wasallam adalah di kalangan mereka yang sangat sensitif terhadap maruah Islam. Mereka tidak akan membiarkan Nabi sallallahualaihi wasallam berjihad seorang diri, sedangkan mereka duduk sebagai pemerhati. Sebaliknya mereka ada rasa tanggungjawab terhadap cinta Nabi sallallahualaihi wasallam sebagaimana ikrar para sahabat ((اذْهَبْ أَنْتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلَا إِنَّا مَعَكُمْ مُقَاتِلُونَ))
  • Mereka mestilah di kalangan orang-orang yang bertaqwa. Iman mereka dibuktikan dengan gigih berjuang menegakkan agama Allah. Kembali kepada tugas asal manusia sebagai khalifah iaitu “Mendirikan Islam, Memelihara Islam dan Mentadbir Dunia Dengan Islam”.
  • Jatidiri mereka gagah perkasa, kalis tekanan. Apabila mengisytiharkan diri mereka untuk menyertai jihad perjuangan Islam, mereka bersedia berhadapan dengan risiko serta bersungguh-sungguh menongkah arus kejahilan manusia. Manakala golongan yang bacul dan penakut, Nabi sallallahualaihi wasallam tidak sudi mengaku sebagai ummatnya.

إِذَا رَأَيْتَ أُمَّتِي تَهَابُ الظَّالِمَ أَنْ تَقُولَ لَهُ: إِنَّكَ ظَالِمٌ ، فَقَدْ تُوُدِّعَ مِنْهُمْ

“Apabila kamu melihat ummatku kecut untuk menyatakan kepada sang zalim “Wahai Si Zalim”. Sesungguhnya diucap selamat tinggal kepada mereka.” (Riwayat Tabarani)
Bahkan di dalam Ayat 142 sebelumnya, Allah  mencabar pendukung-pendukung agama Nabi agar jangan mudah perasan masuk syurga selagi mana tidak berjihad. Ingatan itu disertakan isyarat dari Allah bahawa pencinta-pencinta Nabi sallallahualaihi wasallam mestilah meletakkan misi mati syahid sebagai cita-cita yang tertinggi di dalam ayat 143.

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُواْ الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُواْ مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?”(Aali-Imran ayat 142)

وَلَقَدْ كُنتُمْ تَمَنَّوْنَ الْمَوْتَ مِن قَبْلِ أَن تَلْقَوْهُ فَقَدْ رَأَيْتُمُوهُ وَأَنتُمْ تَنظُرُونَ

“Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).” (Aali-Imran ayat 143)
Golongan pencinta Nabi sallallahualaihi wasallam mempunyai daya tahan yang kuat. Sedikit pun tidak menyerahkan kalah berhadapan dengan musuh. Dalam konteks realiti Malaysia sekarang yang ujiannya adalah perang pemikiran, mereka mestilah tidak menyerahkan kepercayaan  mereka kepada ideologi-ideologi lain selain Islam.
Kita perlu kembali meneladani gaya para sahabat menyintai Nabi sallallahualaihi wasallam. Ini kerana, mereka merupakan generasi yang diasuh dari air tangan Nabi sallallahualaihi wasallam. Kelebihan tersebut menjadikan mereka merupakan golongan yang paling menyintai Nabi sallallahualaihi wasallam dan yang paling faham terhadap mesej-mesej wahyu dari Baginda sallallahualaihi wasallam.
Seperti yang telah dikisahkan oleh Imam Ibnu ‘Asakir di dalam karyanya Tarikh Dimasyq, bagaimana manifestasi cinta Saidina Bilal Bin Rabbah terhadap Rasulullah sallallahualaihi wasallam adalah dengan jihad. Setelah kewafatan Baginda sallallahualaihi wasallam, Bilal tidak mampu meneruskan tugasnya sebagai juru azan. Apabila disebut sahaja nama kekasihnya Muhammad sallallahualaihi wasallam, suara Bilal tersekat dan menangis. Maka bermulalah riwayat hidup Bilal Bin Rabbah berendam air mata sepanjang berada di Madinah selepas kewafatan Baginda sallallahualaihi wasallam. Untuk menyelesaikan derita kerinduan yang amat menebal, akhirnya Bilal meminta izin Abu Bakar untuk keluar dari Madinah menuju ke Sham bergabung dengan tentera Islam dalam misi membebaskan Baitul Maqdis. Bilal pergi berjuang demi mendapatkan cintanya kepada Rasulullah sallallahualaihi wasallam.
Begitu juga kisah dua kanak-kanak yang amat ghairah menyintai Nabi sallallahualaihi wasallam. Ketika perang Badar, Abdul Rahman Bin ‘Auf ditemui oleh dua orang kanak-kanak yang melapor diri lantas menyuarakan hasrat ingin mencari Abu Jahal yang telah mencaci Nabi sallallahualaihi wasallam. Mereka bertekad sekiranya terserempak dengan Abu Jahal, mereka akan pastikan si bedebah tersebut segera dibunuh. Akhirnya  misi tersebut berjaya dan dipuji oleh Nabi sallallahualaihi wasallam.
Begitu juga cinta Khubaib yang diseksa teruk kerana mempertahankan Islamnya. Sehingga musyrik yang menyeksanya menawarkan pelepasan dari seksaan dengan syarat, Khubaib dapatkan Rasulullah sallallahualaihi wasallam sebagai galang gantinya. Maka Khubaib membenarkan cintanya kepada Nabi sallallahualaihi wasallam dengan penegasannya (mafhumnya),
“Demi Allah, aku benci bersama bersenang-lenang di dunia dengan keluargaku dan anak-anakku sedangkan Rasulullah sallallahualaihi wasallam ditinggalkan diseksa oleh kamu semua…” (Riwayat al-Bukhari)
Di sini kita lihat, cara para sahabat berinteraksi dengan cinta Nabi sallallahualaihi wasallam adalah dengan perlaksanaan. Bukan dengan puji-pujian lisan semata-mata. Lebih dari itu, mereka jadikan jalan jihad sebagai cara menterjemahkan rasa cinta kepada Baginda sallallahualaihi wasallam.
Muhasabah
Berdasarkan potongan ayat al-Quran surah Ali Imran ayat 142 hingga 146, kita perlu meneliti dengan penuh insaf di mana kita. Bahkan kita perlu tanya pada diri kita sepanjang kempen Cinta Nabi sallallahualaihi wasallam, adakah kita telah menjalankan beberapa kempen berikut :
  1. Syurga tidak diperolehi semata-mata dengan memuja memuji Nabi sallallahualaihi wasallam sahaja. Sebaliknya syurga hanya boleh dicapai apabila seseorang terlibat dalam perjuangan menegakkan Islam sebagai aqidah dan syariat.
  2. Umat Nabi sallallahualaihi wasallam mesti bercita-cita untuk mati syahid sebagai tanda benar-benar cinta kepada Nabi sallallahualaihi wasallam. Barulah cita-cita tersebut memotivasi umat Baginda sallallahualaihi wasallam supaya gagah mendepani cabaran mendatang.
  3. Tidak ada guna jika setelah kewafatan Nabi sallallahualaihi wasallam, kita hanya merintih dan mengadu nasib bersedih akan pemergian Baginda sallallahualaihi wasallam sedangkan tugas-tugas Baginda sallallahualaihi wasallam kita tinggalkan. Lihat di dalam al-Quran, Allah menegur umat Islam agar jangan berpaling meninggalkan kerja Nabi sallallahualaihi wasallam setelah kewafatannya. Begitu juga Bilal, bukti rindu dan cinta beliau adalah dengan jihad. Ingat, umat Islam sifatnya membina dan maju. Bukan statik dan mandom.
Sekiranya tidak dijumpai kempen-kempen tersebut sepanjang menyambut program Maulid al-Rasul atau seumpamanya, maka sedarlah bahawasanya kita masih gagal memenuhi piawaian Allah dalam menyintai Rasulullah sallallahualaihi wasallam dalam erti kata yang sebenar. Apakah cukup dengan mengingati tanpa melaksana? Cinta adalah tanggungjawab.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

“Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (al-Anbiya’: 107)

Rasulullah S.A.W diutuskan oleh Allah S.W.T untuk menyempurnakan seluruh ajaran dan syariat Islam dengan membimbing dan memimpin seluruh umat manusia untuk mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia hingga akhirat.

Bersama Baginda adalah kaum yang Allah namakan sebagai Muslim, menjadi umat wasatiyah dan terbaik di kalangan manusia, menunjukkan teladan mengharmoni dan mensejahterakan kehidupan di muka bumi.

Hakikatnya, dunia akhir zaman ini tersangat berhajat kepada umat Islam yang akan mengembalikan secara teguh seluruh seruan dan akhlak Rasulullah S.A.W untuk menyelamatkan dunia yang sedang dihimpit oleh pelbagai kezaliman dan kerosakan akibat perbuatan manusia yang jauh dari hidayah Allah.

Jelas hari ini rintihan manusia dihina, diperdagang, didera, disiksa hingga dibunuh oleh mereka yang memperhambakan. Dirampas segala hak hasil usaha, harta, kediaman, perekonomian dan tanah air oleh penjajah dengan pelbagai wajah yang sangat rakus.

Juga segala amanah diwarnai kecurangan, penyelewengan, rasuah, skandal dan salah guna kuasa oleh pemimpin yang seumpama serigala. Selain pelbagai penyimpangan agama yang menyesat dan membingungkan dari tujuan ubudiyah.

Hingga membekaskan kepada dunia hari ini dengan bayangan hitam jenayah, ketakutan, penderitaan dan bida’ah yang tiada kesudahan, pembelaan serta penjernihan.

Maka, didatangkan Islam yang pernah ditegakkan Baginda Rasulullah S.A.W sebagai penyelesaian terhadap segala kebejatan ini. Menukarkan air mata derita kepada kegembiraan, kemungkinan kepada jaminan, serta sengsara kepada bahagia di dunia dan akhirat.

Justeru, umat Islam mestilah bersatu padu terlebih dahulu dengan berpegang kepada sunnah Rasulullah dan menggenggam erat syariat Allah. Seterusnya bangkit sebagai umat yang akan menebarkan rahmat ke seluruh alam ini.

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (an-Nur: 55)

Inilah salawat akbar umat ini ke atas Baginda, yang tidak hanya diterima hadirnya dengan keraian berhimpun bercerita riwayat mengenang semata-mata. Tetapi menegakkan seluruh usaha Baginda ke atas umat manusia secara istiqamah hingga tertegaknya keadilan melalui syariat Allah S.W.T.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
11 Rabiul Awwal 1438H | 11 Disember 2016 – HARAKAHDAILY 11/12/2016

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/11/14/khaibar-sejarah-kembali-berulang/

Oleh: Fairuz Nizam Zainal Abidin

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran, menerusi surah Al-Fath, ayat 21-22:

“(Sebagai memuliakan orang-orang yang memberi pengakuan taat setianya di Hudaibiyah, Tuhan menujukan firmannya kepada mereka): Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan yang banyak yang kamu akan mengambilnya, lalu Ia menyegerakan untuk kamu harta rampasan perang ini, serta Ia telah menahan tangan manusia (pihak musuh di situ) daripada menyerang kamu; (Allah melakukan yang demikian supaya kamu beroleh manfaat) dan supaya menjadi tanda (yang membuktikan kebenaran janjiNya) bagi orang-orang yang beriman, dan juga supaya Ia menambahkan kamu hidayah ke jalan yang lurus. Dan ada lagi harta rampasan lain yang kamu belum dapat menguasainya, (tetapi) Allah telah memelihara harta itu dengan kekuasaanNya (untuk kamu mendapatnya); dan (ingatlah), Allah adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Perang Khaibar adalah kemenangan pertama yang dimenangi tentera Islam selepas termeterai Perjanjian Hudaibiyah. Kemenangan ke atas Khaibar ini akhirnya membuka jalan kepada Pembukaan Kota Mekah.

Ada lima kumpulan yang disebut dalam kisah Perang Khaibar ini;

1- Golongan mukmin yang bersama Rasulullah SAW

Terma-terma Perjanjian Hudaibiyah yang dirasakan sangat berat sebelah menyebabkan masing-masing sangat tidak berpuas hati. Namun ditenangkan oleh Rasulullah dengan janji Allah akan kemenangan dan ghanimah (harta rampasan perang) yang banyak (merujuk kepada surah Al-Fath, ayat 20 – 21).

2- Golongan Quraisy Makkah yang semakin lemah

Sebelum Perjanjian Hudaibiyah, kaum Musyrikin Mekah merupakan ‘musuh tradisi’ Islam Madinah. Kaum Musyrikin Mekah ini didominasi kepimpinannya oleh golongan Quraisy, yang kebanyakannya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Rasulullah sendiri. Kebanyakan mereka ini bermusuh dengan Islam dan Rasulullah atas faktor kejahilan, walaupun ada sebahagian mereka ini yang benar-benar jahat. Lalu dengan termeterainya Perjanjian Hudaibiyah ini merupakan peluang untuk usaha-usaha penerangan dan dakwah Islam dilakukan kepada Quraisy yang jahil. Pada masa sama membolehkan Rasulullah menumpukan fokus kepada ‘musuh Islam sebenar.

3) Golongan Yahudi Khaibar yang berdendam dengan Rasulullah SAW

Khaibar merupakan sebuah kota yang dikuasai Yahudi. Dengan reputasi sebagai sebuah kota yang mempunyai pertahanan yang sangat kukuh serta senjata yang banyak, adalah sukar untuk dibayangkan Rasulullah akan menyerang Kota Khaibar apatahlagi untuk menawannya. Yahudi Khaibar diketahui sebagai ‘mastermind’ kepada Tentera Ahzab yang cuba menyerang Madinah sebelum ini. Bahkan mereka melalui ‘rangkaian saraf’ mereka turut menghasut agar Madinah sentiasa diserang daripada pelbagai sudut sebagai ‘strategi pertahanan hadapan’ untuk menghalang Khaibar daripada serangan Madinah. Selepas termeterai Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah membuat tindakan luar jangka iaitu menyerang Khaibar sebelum sempat Khaibar membentuk pakatan untuk menyerang Madinah.

4) Bani Ghatafan sekutu Khaibar yang khianat kepada Rasulullah SAW

Bani Ghatafan merupakan sebuah kabilah Arab yang tinggal di Utara Madinah. Awalnya mereka mempunyai perjanjian dengan Rasulullah. Namun setelah dihasut oleh Khaibar dengan tawaran separuh daripada hasil tanaman Khaibar, lalu Bani Ghatafan ini mengkhianati perjanjian dengan Rasulullah dan turut bersama dengan Tentera Ahzab untuk menyerang Madinah. Pihak Khaibar juga telah berjaya memujuk Bani Ghatafan ini untuk bersama mempertahankan Kota Khaibar daripada serangan Madinah. Namun sikap ‘semulajadi’ Bani Ghatafan ini menyebabkan Khaibar turut dikhianati mereka. Bani Ghatafan membatalkan bantuan ketenteraan mereka dan berpatah balik kerana bimbangkan harta dan keluarga mereka.

5) Golongan munafiq yang oportunis

Dalam ayat 15, surah Al-Fath diceritakan mengenai sikap golongan munafiq yang oportunis. Tatkala Islam dikepung dalam Perang Ahzab, golongan munafiq yang diketuai Abdullah bin Ubai melihat Islam sudah tiada harapan langsung lalu mereka enggan membantu Rasulullah mempertahankan Madinah. Mereka mengharapkan agar Islam berjaya dihapuskan supaya golongan munafiq ini dapat mengambil alih kuasa pemerintahan Madinah daripada Rasulullah. Dan harapan mereka berkecai apabila Tentera Ahzab tewas. Apabila Rasulullah hendak menyerang Khaibar, golongan munafiq ini menjadi ghairah terhadap ghanimah yang banyak sekiranya Khaibar berjaya ditawan. Rasulullah melaksanakan perintah Allah melarang golongan munafiq ini untuk menyertai Perang Khaibar, lantas Abdullah Bin Ubai bertindak membocorkan rahsia perancangan Rasulullah kepada pihak Khaibar. Sikap munafiq yang tidak amanah dan oportunis inilah antara sebab Rasulullah tidak pernah melantik mereka dengan sebarang taklifan kepimpinan khususnya dalam posisi-posisi strategik meskipun diketahui umum bahawa Abdullah Bin Ubai sentiasa solat jemaah di belakang Rasulullah.

Ibrah yang boleh kita perolehi menerusi lima golongan di atas, golongan ini akan sentiasa wujud dalam sejarah perjuangan Islam. Biar nama berbeza, namun sikap mereka sama dan serupa.

(NOTA: Catatan ini adalah sebahagian daripada hasil perbincangan dalam usrah bulanan yang berkisar kepada tafsir surah Al-Fath, ayat 20 – 21)

*catatan ringkas ini telah disunting tanpa mengubah point-point utama yang ditulis oleh pemilik catatan asal ini.

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/11/10/kisah-kaab-bin-malik-dihukum-rasulullah-s-a-w/

Emosi manusia apabila dipecat, didenda atau dihukum, dikenakan tindakan disiplin serta-merta pasti akan merasai kejutan drastik yang luar biasa. Fitrahnya manusia tanpa berfikir panjang pasti akan merasa marah, haba panas meluap-luap dalam kepala, melenting, meradang, lebih parah lagi bila menyimpan kesumat dan dendam menghadapi tindakan sedemikian. Namun, dalam gerakan Islam bagi mereka ditarbiyah secara murninya akan mengoreksi setiap ujian itu menerusi cerminan Al-Quran dan As-Sunnah, jiwanya kental kerana niatnya berjuang semata-mata mengharap redha Allah dan Rasul, pastilah dia tidak merasa sempit dada kerana jalan perjuangan masih panjang, bahkan tiada noktahnya sehinggalah menjelang hari kiamat. Hukuman bukanlah bererti perjuangan terhenti, berhenti dan mati, tetapi harus terus konsisten (istiqamah) berada di lapangan yang diredhai Allah dan Rasul-Nya.

Itulah peribadi sahabat bernama Ka’ab bin Malik RA, biarpun dihukum ‘pemulauan’ kerana tidak hadir di Tabuk. Beliau menceritakan kisah hukuman itu dalam sebuah hadis yang panjang. Sungguhpun dihukum, ia bukanlah alasan untuk Ka’ab berpaling tadah daripada terus berada di dalam nakhoda perjuangan yang diterajui Rasulullah saw. Peristiwa ini berlaku ketika terdapat ramai puak munafik yang tidak menyertai gerakan jihad ke Tabuk, misinya adalah untuk mengajar kebiadaban Rom yang melanggar etika diplomasi apabila membunuh Farwah bin ‘Amr Al-Judzami, seorang delegasi Muslim yang berada di Syam. Kaum munafik bukan sahaja gagal menyahut perintah Nabi, mereka gagal menginsafi diri, bahkan cuba mempengaruhi orang lain supaya turut menguzurkan diri dalam peperangan tersebut. Hal ini dirakamkan di dalam surah At-Taubah ayat 81;

فَرِحَ الْمُخَلَّفُونَ بِمَقْعَدِهِمْ خِلافَ رَسُولِ اللَّهِ وَكَرِهُوا أَنْ يُجَاهِدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَقَالُوا لا تَنْفِرُوا فِي الْحَرِّ قُلْ نَارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّا لَوْ كَانُوا يَفْقَهُونَ

“Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang dalam Tabuk) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata; Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini. Katakanlah (wahai Muhammad); Api neraka Jahannam lebih panas membakar, kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami.”

Orang-orang munafik memberi alasan;

 لا تَنْفِرُوا فِي الْحَرِّ

“Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini.”

Lantaran itu Rasulullah SAW menjawab;

نَارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّا

“Api neraka Jahannam lebih panas membakar.”

Sebelum Tabuk, kaum Muslimin pernah memerangi tentera Rom dalam peperangan Mu’tah kerana mereka membunuh wakil kaum Muslimin iaitu Harith bin Umair Al-Uzdi. Dalam peperangan tersebut, ketua-ketua panglima lantikan Rasulullah SAW menemui syahid sehinggalah kemudiannya tentera Muslimin bermusyawarah lantas melantik Khalid Al-Walid RA sebagai ketua mereka. Khalid Al-Walid yang masih baru memeluk Islam kemudiannya mengarahkan tentera mengundurkan diri kerana peperangan yang terlalu sengit dan ramai tentera Islam yang terkorban. Oleh kerana itu, jika peperangan benar-benar berlaku di Tabuk maka ia menjadi medan pertembungan yang kedua menemukan semula tentera Islam dengan Rom. Hal ini menyebabkan ramai kaum munafik sengaja menguzurkan diri, mencari-cari alasan saintifik sebagaimana dinyatakan Al-Quran iaitu faktor cuaca panas membahang, perjalanan jauh dan sukar untuk mendapat bekalan air, padahal kaum munafik sebenarnya mempunyai pakatan sulit dengan kerajaan Rom.

Antara alasan lain kaum munafik disebut dalam al-Quran surah At-Taubah, ayat 49;

 وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ ائْذَن لِّي وَلاَ تَفْتِنِّي

“Di antara mereka (kaum munafik) ada yang berkata; Berilah saya izin (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan saya terjerumus ke dalam fitnah.”

Sejurus tentera Islam sampai ke Tabuk, peperangan sebenarnya tidakpun berlaku sebagaimana yang dijangkakan kerana setelah Rom mendengar khabar kedatangan Rasulullah saw membawa sejumlah ketenteraan yang besar seramai 30 000 orang, mereka masing-masing berkeliaran lari di pelbagai negeri. Sebahagian ulama sirah menyatakan bahawa Rom memang tidak sanggup menentang tentera Islam di Tabuk kerana mereka masih dipimpin oleh seorang Nabi. Walaupun terdapat beberapa orang sahabat mencadangkan agar tentera Islam mengejar tentera-tentera Rom yang lari, tetapi Rasulullah SAW mengarahkan agar kembali pulang ke Madinah. Dalam perjalanan pulang dari Tabuk ke Madinah, kaum munafik telah merancang pelancaran Masjid Al-Dhirar agar dirasmikan oleh Rasulullah SAW, tetapi tipu daya kaum munafik itu dibongkar oleh Allah SWT sehingga Nabi memerintahkan para sahabat untuk membinasakan Masjid Al-Dhirar.

Di Madinah, Rasulullah SAW telah maklum tentang beberapa orang yang tidak pergi ke Tabuk. Lebih 80 orang bertemu baginda, dan rata-ratanya membawa bermacam-macam hujjah termasuklah ada yang memberi alasan sedang berpuasa. Di antara mereka yang jujur serta mengaku bersalah di hadapan Rasulullah SAW adalah Murarah bin Rabi’, Hilal bin Umayyah dan Ka’ab bin Malik yang terkenal memiliki bakat pidato, debat dan mampu menuturkan syair-syair indah secara spontan. ٍKa’ab bin Malik tidak pernah terlepas dalam mana-mana siri peperangan bersama Rasulullah SAW kecuali di Tabuk. Semasa perang Uhud, ketika pasukan pemanah berantakan dibelasah tentera berkuda oleh kafir Quraish, telah tersebar berita palsu bahawa Rasulullah SAW terkorban sehingga menyebabkan tentera Islam menjadi lemah, lesu dan tidak bersemangat. Tetapi Ka’ab bin Malik lah orang yang mula-mula mengesan bahawa berita itu dusta, kemudian melaungkan dengan penuh kesungguhan kepada tentera Islam agar kekal dan tidak berganjak;

 يا معشر المسلمين، أبشروا، هذا رسول الله حيٌّ لم يقتل

“Wahai sekalian Muslimin, terimalah berita gembira untuk kalian semua bahawa inilah Rasulullah SAW masih hidup tidak terbunuh.”

Tidak hairanlah jika setiap kali peperangan Rasulullah SAW akan bertanya tentang laporan kehadiran  Ka’ab bin Malik. Justeru ketiadaannya di Tabuk dapat dikesan awal oleh Rasulullah SAW. Sungguhpun besar bakti  Ka’ab bin Malik, langsung sahaja Rasulullah SAW menjatuhkan hukuman ke atasnya termasuklah Murarah dan Hilal di atas arahan Allah SWT, bukan disebabkan mereka munafik, tetapi kerana potensi dan kewibawaan mereka boleh mempengaruhi masyarakat Islam untuk sama bersikap culas terhadap arahan-arahan Rasulullah SAW selanjutnya. Berikut adalah sebab-sebab ketidakhadiran mereka di Tabuk;

Murarah bin Rabi’ tidak bersama-sama pasukan Rasulullah saw kerana hasil tanaman anggur dan tamar dikebunnya sedang ranum dan terpaksa dikutip. Lalu beliau menyangka penyertaannya dalam lain-lain peperangan sebelum ini, dapat melepaskan dirinya daripada peperangan yang seterusnya bakal dihadapi oleh kaum Muslimin.Hilal bin Umayyah sibuk mendampingi kaum keluarganya yang baharu pulang ke Madinah setelah sekian lama meninggalkan kota itu. Seperti Murarah, Hilal juga menyangka penyertaannya di dalam beberapa peperangan terdahulu bersama Rasulullah SAW, mengizinkan sebab-sebab keuzurannya. Ka’ab bin Malik pula sedang menikmati kesenangan yang sebelum ini tidak pernah dinikmatinya, sejak peristiwa Fathu Al-Makkah, kebunnya mulai subur, unta-untanya beranak-pinak. Hal itu menyebabkan Ka’ab telah sengaja tidak turut serta bersama tentera Islam ke Tabuk. Lebih-lebih lagi jumlah umat Islam yang menyertai Rasulullah saw ke Tabuk itu sangat ramai dan beliau mengira keuzurannya itu dimaafkan.

Berikut adalah kata-kata Ka’ab bin Malik kepada Rasulullah SAW menatijahkan kejujuran hatinya;

وَاللَّهِ لَوْ جَلَسْتُ عِنْدَ غَيْرِكَ مِنْ أَهْلِ الدُّنْيَا لَرَأَيْتُ أَنْ سَأَخْرُجُ مِنْ سَخَطِهِ بِعُذْرٍ، وَلَقَدْ أُعْطِيتُ جَدَلا، وَلَكِنِّي وَاللَّهِ لَقَدْ عَلِمْتُ لَئِنْ حَدَّثْتُكَ اليَوْمَ حَدِيثَ كَذِبٍ تَرْضَى بِهِ عَنِّي لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يُسْخِطَكَ عَلَيَّ، وَلَئِنْ حَدَّثْتُكَ حَدِيثَ صِدْقٍ تَجِدُ عَلَيَّ فِيهِ إِنِّي لَأَرْجُو فِيهِ عَفْوَ اللَّهِ، لاَ وَاللَّهِ مَا كَانَ لِي مِنْ عُذْرٍ، وَاللَّهِ مَا كُنْتُ قَطُّ أَقْوَى وَلاَ أَيْسَرَ مِنِّي حِينَ تَخَلَّفْتُ عَنْكَ

“Demi Allah, andai daku duduk di sisi selainmu (wahai Rasulullah) dari golongan ahli dunia (saudagar), nescayalah aku mampu mendapat jalan keluar dari kemurkaannya dengan mengemukakan suatu alasan. Sebenarnya aku dikurniakan bakat bicara debat, tetapi bagiku (jika kepandaian ini digunakan untuk menipu daya) demi Allah pastilah Dia Mengetahui bahawa kata-kataku kepada Rasulullah saw adalah dusta walaupun Rasulullah terpesona dengan kata-kataku itu. (Jika demikian) sesungguhnya kemurkaan Allah akan diberitakan kepadamu (wahai) Rasulullah saw kerana pendustaanku itu. Sebaliknya jika aku memberitahu hal yang sebenarnya yang demikian itu kamu pula yang akan murka ke atas diriku dalam hal ini. Sesungguhnya daku menginginkan kesudahan yang baik daripada Allah. Demi Allah, aku tiada sebarang uzur sedikitpun – sehingga tidak mengikuti peperangan itu. Demi Allah, sama sekali aku belum merasakan lebih kuat dan lebih ringan untuk mengikutinya, yakni di waktu aku melucutkan diri dari menyertai Rasulullah saw, sehingga tidak ikut berangkat (ke Tabuk) .”

Mendengar keluhan dan penyesalan Ka’ab bin Malik itu, Rasulullah SAW pun bersabda;

أَمَّا هَذَا فَقَدْ صَدَقَ، فَقُمْ حَتَّى يَقْضِيَ اللَّهُ فِيكَ

“Tentang orang ini dia berbicara benar (tidak berdusta). Sekarang, bolehlah engkau pergi sehingga Allah memutuskan suatu hukuman tentang dirimu.”

Kesalahan Ka’ab bin Malik, Murarah bin Rabi’ dan Hilal bin Umayyah tidaklah begitu serius seperti pengkhianatan yang boleh mengakibatkan tentera Islam berpaling tadah atau murtad. Rombongan Islam pergi ke Tabuk pun sudah sangat ramai, lagi pula pertempuran sebenarnya tidak berlaku menghadapi Rom, bahkan pasukan Rasulullah SAW kembali ke Madinah dalam keadaan tidak berperang. Walaupun ada yang memberi pandangan bahawa tiada salahnya jika alasan diberikan untuk mengelakkan sebarang hukuman, tetapi mereka tidak berdolak-dalih dan redha terhadap sebarang keputusan yang bakal ditentukan Allah SWT. Akhirnya mereka dihukum agar diboikot oleh kaum Muslimin untuk beberapa tempoh yang ditentukan. Tidak ada seorangpun yang dibenarkan bergaul bicara dengan mereka bertiga, kerana itu arahan Rasulullah SAW.

Menurut Ka’ab bin Malik, setelah hukuman itu diputuskan dunia yang begitu luas menjadi sangat sempit akibat hukuman pemulauan ini. Di antara mereka bertiga, Ka’ab bin Malik adalah yang paling muda. Murarah bin Rabi’ dan Hilal bin Umayyah hanya mengambil jalan mengucilkan diri di rumah sahaja, saban hari mereka menangis kerana mengharapkan pengampunan Allah dan meminta tempoh hukuman ditamatkan. Hal ini lebih membimbangkan lagi jika di antara mereka ditakdirkan menemui ajal, pastilah Rasulullah SAW tidak akan mengimami solat jenazah mereka. Sebaliknya pula jika Rasulullah SAW wafat, sudah tentu pemboikotan yang dikenakan ke atas mereka berterusan sehingga ke akhir hayat. Justeru Ka’ab bin Malik mengambil pendekatan berbeza ketika melalui tempoh pemboikotan tersebut, beliau pergi ke pasar, solat berjamaah di masjid walaupun tidak ada seorang yang menegurnya bahkan tegurannya pun tidak disapa oleh kaum Muslimin.

Ka’ab bin Malik sering memberanikan diri menghampiri Rasulullah saw, menghadiri majlis ta’alim baginda, solat di belakang baginda, dan cuba mengambil peluang memberikan salam kepada baginda. Ka’ab menunggu-nunggu jawapan Rasulullah saw dengan penuh penyesalan dan harapan, namun kerapkali pertemuannya itu hanyalah membuahkan kehampaan apabila wajah Ka’ab pun tidak sudi baginda melihatnya. Semakin hari semakin Ka’ab merasakan dirinya dimusuhi umat Islam di setiap ceruk penjuru dunia. Pernah satu ketika Ka’ab memanjat genting pagar kebun milik sepupunya, Qatadah. Ka’ab mengucapkan salam berkali-kali kepadanya tetapi tidak berjawab. Lantaran itu Ka’ab menggesa Qatadah supaya menjawab hanya satu soalan sahaja. Ka’ab bertanya;

 يَا أَبَا قَتَادَةَ، أَنْشُدُكَ بِاللَّهِ، هَلْ تَعْلَمُنِي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ؟

“Wahai Abu Qatadah, aku hendak bertanya kepadamu kerana Allah, engkau tahu atau tidak bahawa aku sebenarnya mencintai Allah dan Rasul-Nya?”

Soalan itu diulangi berkali-kali. Pada kali yang ketiga baharulah Qatadah menjawab;

اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ

“Hanya Allah dan Rasul-Nya yang paling tahu.”

Ka’ab bin Malik menangis teresak-esak mendengar jawapan Qatadah sambil meninggalkannya. Di suatu sudut lain ketika Ka’ab dikenakan pemulauan tersebut, banyak suara yang membelanya, banyak suara empati tentang hukumannya yang dianggap keterlaluan, kejam dan sebagainya, bahkan ada juga suara yang memujuknya berpaling dari jamaah Rasulullah SAW. Pujukan-pujukan itu berupa tawaran-tawaran jawatan, jabatan, kedudukan, kemuliaan yang akan dikurniakan oleh seorang raja dari Ghassan, Syam yang beragama Nasrani. Dari kejauhan Syam, mereka turut menyedari hukuman pemboikotan dikenakan terhadap Ka’ab bin Malik, sedangkan potensinya tidak harus disia-siakan. Ka’ab dianggap memiliki ketokohan dan daya tarikan yang kuat, pengaruh yang hebat, dan mampu memenuhi kepentingan sesiapapun yang diinginkan oleh pihak lain terhadapnya. Beberapa orang pemuda dari Syam telah menyampaikan sepucuk surat kepada Ka’ab dari Raja kerajaan Ghassanid, surat tersebut berbunyi;

أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّهُ قَدْ بَلَغَنِي أَنَّ صَاحِبَكَ قَدْ جَفَاكَ، وَلَمْ يَجْعَلْكَ اللَّهُ بِدَارِ هَوَانٍ وَلاَ مَضْيَعَةٍ، فَالحَقْ بِنَا نُوَاسِكَ

“Amma ba’du; sebenarnya telah sampai berita kepada kami bahawa sahabatmu (Muhammad saw) telah memusuhimu. Allah tidak akan menjadikan engkau untuk menjadi orang hina di dunia ataupun orang yang dihilangkan hak-haknya. Maka datanglah ke tempat kami (sertai kami tinggalkan Rasulullah SAW), kami akan menggembirakan hatimu.”

Sungguh luar biasa perhatian Raja Ghassan kepada Ka’ab bin Malik. Ketika posisi Ka’ab berada dalam situasi kritikal kerana dipulaukan oleh Rasulullah SAW, seorang pemimpin berpangkat raja yang memiliki rakyat dan kerajaan, harta dan takhta, tanah dan negara memberikan perhatian khusus kepadanya. Saat ke semua saudara-saudara se-Islamnya tidak mempedulikan Ka’ab, masih ada orang yang ingin menyapanya, bahkan ia adalah seorang raja. Namun, mujurlah yang mendapat surat itu Ka’ab bin Malik, seorang mujahid yang hebat. Ka’ab bukan orang yang mudah dipujuk rayu. Ka’ab bukan orang yang mudah diajak melakukan bangkangan terhadap kepimpinan Rasulullah SAW. Kecintaan Ka’ab kepada baginda Rasulullah melebihi dunia seisinya. Tidak ada ucapan angkuh yang keluar dari mulut Ka’ab membanding-bandingkan zaman perjuangannya bersama Islam seperti, “Orang luar pula yang memberikan perhatian kepadaku. Di mana sahabat-sahabatku! Jiran tetanggaku! Orang yang satu jamaah denganku?! Mereka langsung tidak peduli kepadaku. Sedangkan aku ada jasa yang besar kepada Islam sewaktu di Uhud. Lebih baik aku mencari haluan lain yang masih memberikan harapan baru kepada bakat yang ada padaku.”

Tidak ada garis kalimat seperti itu yang tercetus dari mulut Ka’ab bin Malik. Beliau menyedari, surat Raja Ghassan itu adalah ujian berikutnya yang harus dihadapi dengan sepenuh kesedaran dan kefahaman. Adapun matlamat dunia dan akhirat yang diinginkannya adalah keredhaan Allah dan Rasul-Nya. Bukan pengakuan atau pengiktirafan manusia, bukan apresiasi Raja Ghassan. Surat Raja Ghassan itu benar-benar merupakan sebuah ujian keikhlasan yang datang tepat pada waktunya, dan Ka’ab mampu melalui ujian ini dengan sempurna apabila beliau menolak pelawaan seorang raja dan membakar surat itu ke dalam unggun api.

Selepas 40 hari pemulauan itu berjalan, timbul bibit-bibit harapan sekalian umat Islam agar hukuman ke atas tiga orang sahabat Nabi itu berakhir. Tetapi perutusan Rasulullah SAW membawa satu arahan baru, iaitu perintah supaya Ka’ab bin Malik, Murarah bin Rabi’ dan Hilal bin Umayyah berjauhan dengan isteri. Perutusan Rasulullah SAW yang datang bukan perutusan pengampunan, sebaliknya hukuman ditambahkan lagi dengan perintah berpisah tempat tinggal dengan isteri. Hidup dirasakan seperti dalam penjara, tanpa teman, tanpa anak dan isteri yang menemani walaupun hidup di luar tingkap besi. Lengkap sudah kesunyian mereka, ketiga-tiga sahabat Nabi ini menjalani babak baharu dalam hukumannya. Bagaimanapun mereka tetap akur dengan hukuman tersebut, mereka tidak memberontak, menuding kesalahan kepada orang lain, apalagi menolak hukuman berikutnya yang menanti mereka. Justeru, bersantai sahaja di rumah dan tidak bersama-sama kaum Muslimin ke medan perang bukanlah kesalahan yang ringan. Buktinya hukuman masih ditambah dan ditingkatkan.

Di antara ketiga-tiga orang sahabat Nabi yang dipulaukan ini, hanya Hilal bin Umayyah sahaja yang memiliki masalah kerana usianya yang sudah lanjut tua. Lantaran itu, isterinya datang menemui Rasulullah SAW, mengadu bahawa suaminya sudah tua dan tidak memiliki pembantu untuk menguruskan sebarang aktivitinya. Isterinya tidak sanggup membiarkan Hilal menjalani kehidupan sendiri dalam usia sedemikian, lantas Rasulullah SAW mengizinkan permintaan isteri Hilal bin Umaiyah. Begitulah mulianya adab generasi Islam di zaman Rasulullah saw, bila arahan dikeluarkan oleh Nabi, mereka mendengar dan taat. Ketika hukuman itu terasa sukar dan memberatkan, mereka menghadap Nabi  dengan penuh akur terhadap arahan dan mengharapkan belas kasihan daripada Allah. Itu semua merupakan hak yang diakui oleh Rasulullah SAW, ia bukanlah suatu keaiban bahkan inilah contoh interaksi yang sangat mulia di antara orang-orang beriman yang sangat mencintai Allah dan Rasul-Nya.

Pada malam yang ke-50, seusai Ka’ab bin Malik solat subuh di perkarangan rumahnya, bertafakur menyesali segala perbuatannya, tiba-tiba kedengaran suara teriakan kuat oleh seseorang di puncak gunung Sal’ein, salah sebuah gunung di Madinah;

يَا كَعْبَ بْنَ مَالِكٍ أَبْشِرْ

“Wahai Ka’ab bin Malik, bergembiralah.”

Mendengar suara itu, Ka’ab bin Malik pun bersujud syukur dan yakin bahawa taubat ketiga-tiga sahabat Rasulullah SAW yang dihukum itu telah diterima oleh Allah. Seorang dari Bani Aslam meluncur laju menaiki kuda menuju ke pintu rumah Ka’ab iaitu Hamzah bin Umar Al-Aslami, kerana beliaulah yang telah mengangkat suaranya yang tinggi di atas gunung membawa berita gembira tersebut. Kegembiraan itu dikongsi bersama apabila baju yang sedang dipakai Ka’ab ketika itu dihadiahkan kepada Hamzah, sedangkan beliau tidak ada baju lain sesudah itu. Ka’ab kemudiannya berangkat segera ke tempat Rasulullah saw dengan meminjam baju orang lain, di sana beliau disambut seorang demi seorang, sekelompok demi sekelompok menyatakan kegembiraan kerana taubatnya telah diterima. Kata mereka kepada Ka’ab sepanjang berada di masjid untuk bertemu Rasulullah SAW;

لتَهْنِكَ تَوْبَةُ اللَّهِ عَلَيْكَ

“Semoga gembira hatimu (wahai Ka’ab bin Malik) kerana Allah telah menerima taubatmu itu.”

Demikian akhirnya Ka’ab bin Malik memasuki masjid dan bersalaman dengan Rasulullah SAW, dipeluk dan dikucupnya baginda yang sedang menyambutnya dalam keadaan wajah yang girang ibarat terang bulan yang penuh. Diriwayatkan daripada Ka’ab bin Malik;

فَلَمَّا سَلَّمْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّموَهُوَ يَبْرُقُ وَجْهُهُ مِن السُّرُورِ؛ أَبْشِرْ بِخَيْرِ يَوْمٍ مَرَّ عَلَيْكَ مُنْذُ وَلَدَتْكَ أُمُّكَ. قَالَ قُلْتُ؛ أَمِنْ عِنْدِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمْ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ؟ قَالَ؛ لاَ، بَلْ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ. وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم إِذَا سُرَّ اسْتَنَارَ وَجْهُهُ حَتَّى كَأَنَّهُ قِطْعَةُ قَمَرٍ، وَكُنَّا نَعْرِفُ ذَلِكَ مِنْهُ

“Ketika aku mengucapkan salam kepada Rasulullah saw, baginda Nabi kelihatan berseri-seri wajahnya kerana gembiranya lalu bersabda; Bergembiralah dengan datangnya suatu hari baik yang pernah engkau alami sejak engkau dilahirkan oleh ibumu. Aku bertanya; Apakah itu datangnya dari sisi Tuan sendiri ya Rasul Allah, ataukah ia dari sisi Allah? Baginda SAW menjawab; Tidak, tetapi memang daripada Allah. Adapun Rasulullah SAW itu apabila gembira hatinya, maka wajahnya pun bersinar indah, seolah-olah wajahnya itu adalah sepenuh bulan, kita semua mengetahui hal itu.”

Ka’ab bin Malik menjelaskan pengajaran di sebalik pemboikotan kaum Muslimin terhadapnya;

إِنَّ اللَّهَ إِنَّمَا نَجَّانِي بِالصِّدْقِ وَإِنَّ مِنْ تَوْبَتِي أَنْ لاَ أُحَدِّثَ إِلاَّ صِدْقًا مَا بَقِيتُ

“Sesungguhnya Allah telah menyelamatkan diriku dengan berkata benar, maka sebagai tanda taubatku pula ialah bahawa aku tidak akan berkata kecuali yang sebenarnya selama kehidupanku masih berbaki.”

Kemudian turunlah ayat Allah;

لَقَد تَّابَ اللَّه عَلَى النَّبِيِّ وَالْمُهَاجِرِينَ وَالأَنصَارِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ فِي سَاعَةِ الْعُسْرَةِ مِن بَعْدِ مَا كَادَ يَزِيغُ قُلُوبُ فَرِيقٍ مِّنْهُمْ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ إِنَّهُ بِهِمْ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ

“Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka.” (surah al-Taubah: 17)

وَعَلَى الثَّلَاثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُوا حَتَّى إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنْفُسُهُمْ وَظَنُّوا أَنْ لَا مَلْجَأَ مِنَ اللَّهِ إِلَّا إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

“Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.”(surah al-Taubah: 18)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللَّهَ وَكُونُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.” (surah al-Taubah: 19)

Alangkah gembiranya perasaan Ka’ab bin Malik apabila diturunkan ayat tadi sehingga beliau berkata dan menjelaskan perihal orang yang berdusta kepada Nabi;

فوَاللَّهِ مَا أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيَّ مِنْ نِعْمَةٍ قَطُّ- بَعْدَ أَنْ هَدَانِي للإِسْلاَمِ- أَعْظَمَ، فِي نَفْسِي مِنْ صِدْقِ رسولِ اللَّهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم أَنْ لاَ أَكُونَ كَذَبْتُهُ فَأَهْلِكَ كَمَا هَلَكَ الَّذِينَ كَذَبُوا، فَإِنَّ اللَّهَ قَالَ لِلَّذِينَ كَذَبُوا حِينَ أَنْزَلَ الوَحْيَ شَرَّ مَا قَالَ لِأَحَدٍ، فَقَالَ عَزَّ وَجَلَّ ؛ ﴿سَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَكُمْ إِذَا انْقَلَبْتُمْ إِلَيْهِمْ لِتُعْرِضُوا عَنْهُمْ فَأَعْرِضُوا عَنْهُمْ إِنَّهُمْ رِجْسٌ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴾ إِلَى قَوْلِهِ: ﴿يَحْلِفُونَ لَكُمْ لِتَرْضَوْا عَنْهُمْ فَإِنْ تَرْضَوْا عَنْهُمْ فَإِنَّ اللَّهَ لا يَرْضَى عَنِ الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ ﴾.خ

“Demi Allah, belum pernah Allah mengurniakan kenikmatan kepadaku sama sekali (sehebat ini) setelah aku memperolehi petunjuk dari Allah untuk memeluk agama Islam ini, yang kenikmatan itu lebih besar dalam perasaan jiwaku, melebihi perkataan benarku yang aku sampaikan kepada Rasulullah SAW, sebab tidakku dustainya sehingga andaikata demikian (sebaliknya mengikut jejak langkah munafik untuk selamat) tentulah aku akan rosak sebagaimana kerosakan yang dialami oleh orang-orang yang berdusta (kerosakan agama bagi dirinya). Sesungguhnya Allah telah berfirman kepada orang-orang yang berdusta ketika diturunkannya wahyu, iaitu suatu kata-kata terburuk yang pernah diucapkan kepada seseorang. Allah berfirman yang ertinya :-

“Mereka akan bersumpah kepadamu dengan nama Allah, ketika engkau kembali kepada mereka, supaya engkau dapat membiarkan mereka. Sebab itu berpalinglah dari mereka itu, sesungguhnya mereka itu kotor dan tempatnya adalah neraka Jahanam, sebagai pembalasan dari apa yang mereka lakukan.”

— sehinggalah kepada ayat —

“Mereka bersumpah kepadamu supaya engkau merasa senang kepada mereka, tetapi biarpun engkau merasa senang kepada mereka, namun Allah tidak suka kepada kaum yang fasik itu.” (surah al-Taubah: 95-96)

Inilah kesan tarbiyah daripada peristiwa yang sangat mustahak kita ambil pengajarannya. Peristiwa menarik seperti ini hanya dapat kita saksikan daripada generasi terbaik di zaman Rasulullah SAW. Peristiwa ini memberikan pelajaran kepada kita, sekalipun pengajaran itu diambil melalui kesilapan orang-orang soleh terdahulu. Ini kerana, jika generasi keemasan Islam tidak pernah ada orang bersalah, “untouchable”, maka kita tidak dapat mengesan ibrah daripada kesilapan mereka.

[Biodata Penulis]

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah Wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah.

Sumber asal
http://www.tarbawi.my/2013/02/kisah-kaab-bin-malik-dihukum-rasulullah.html?m=1

tariq

 

Tajuk : Tariq Menang Atau Syahid

Penulis : Abdul Latip Talib

Penerbit : PTS Publishing House

Muka surat : 256

Harga : RM23.90 / RM26.90

Novel Tariq-Menang ataupun Syahid yang ditulis dalam bentuk kreatif ini menceritakan sifat kepahlawanan seorang lagi pahlawan Islam yang pada asalnya hanya seorang hamba. Disebabkan memiliki sifat-sifat yang terpuji,dia dilantik oleh Musa bin Nusair menjadi pembantunya dan seterusnya diberi kepercayaan memimpin 12,000 tentera Islam ke Sepanyol.

Tariq menganggap kedatangan mereka ke Sepanyol hanya untuk syahid ataupun mengalahkan musuh. Disebabkan itulah dia sanggup membakar kapal perang yang mereka naiki supaya tentera Islam di bawah pimpinannya tidak bercita-cita untuk pulang. ‘Di belakang kita laut, di depan kita musuh. Kita terpaksa memilih kemenangan ataupun syahid.’ Kata-kata keramat Tariq berjaya meniupkan kembali semangat jihad di kalangan tentera Islam.

 

 

 

 

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/presiden/41210-pengajaran-daripada-israk-dan-mikraj

Rasulullah SAW dimuliakan dengan menjadi tetamu Allah. Peristiwa paling bersejarah ini wajib diimani sebenar-benarnya berlaku, ia dinyatakan oleh Al-Quran dan Hadis tanpa menyebut tarikh berlakunya. Tarikh masyhur berlakunya peristiwa ini pada bulan Rejab 27 haribulan, namun  para ulamak berbeza pendapat menentukan tahun, bulan dan hari berlakunya. Ada yang  menyatakan berlakunya di tahun dilantik menjadi Rasul, tahun kelima, keenam, kesepuluh dan kedua belas. Ada pandangan yang menyatakan berlaku pada bulan Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Muharram, Rabiul Awwal dan Rabiul Akhir. Ada pandangan yang menyatakan peristiwa ini berlaku pada malam Jumaat kerana kelebihannya, ada yang menyatakan malam Sabtu, dan malam Isnin.

Jumhur para ulamak menyatakan peristiwa ini berlaku dengan jasad dan roh. Adapun riwayat Ummul Mukminin Aisyah RA yang menyatakannya dengan roh sahaja ditolak kerana ketika berlakunya peristiwa ini, Beliau belum baligh dan pandangan Muawwiyah juga ditolak kerana beliau belum lagi menganut Islam.

Yang paling penting daripada peristiwa ini ialah pengajaran, bukannya penentuan tarikh berlakunya. Semasa berlaku peristiwa ini, para sahabat sedang menghadapi ujian paling getir, daripada penindasan paling zalim dan mancabar keimanan mereka. Peristiwa ini juga dijadikan senjata fitnah, menguatkan lagi berlakunya dengan roh dan jasad, kerana di luar daripada jangkauan ilmu manusia. Keadaan ini menjadikan generasi awal Islam tidak memberi perhatian penentuan tarikh berlakunya peristiwa besar ini, kerana penumpuan kepada kekuatan iman mereka kepada Allah dan Rasul secara mutlak. Namun mereka bersepakat beriman dengan peristiwa ini dan pada malam itu disampaikan perintah wajib bersolat lima waktu.

Peristiwa ini menjadi dalil ketuhanan dan kebesaran Allah yang tiada bandingan dan tandingan. Allah menjemput Rasul akhir zaman, pilihanNya menjadi tetamu kerajaanNya Yang Maha Agung, supaya melihat secara nyata alam yang sangat besar, walaupun sangat jauh perjalanan, dan lama masanya tidak mampu dikira oleh akal dan ilmu manusia yang sangat lemah sekalipun dengan teknologi terkini yang sudah mampu ke angkasa lepas.

Bukan seperti tetamu kerajaan ciptaan manusia yang lemah walaupun mengaku berkuasa besar, hanya membawa tetamu ke bilik gerakan negara yang kecil bersama lukisan peta dan pelan yang kecil dan dibawa hanya ke projek yang dikira berjaya, yang buruk dan gagal disembunyikan.

Rasulullah SAW dibawa melawat alam yang luasnya daripada dunia sehingga akhirat, alam nyata dan ghaib, merentasi bumi dan mengatasi tujuh petala langit, sehingga luar daripada perbatasan cekerawala yang dilihat dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar serta teknologi paling canggih, juga diluar daripada sempadan kemampuan Jibril AS pemimpin para malaikat. Sempadan yang disebut Sadrah Al-Muntaha mengikut bahasa Al-Quran. Cukup meyakinkan setiap orang yang beriman apabila memahami  bahasa Al-Quran dan mukjizatnya. Firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

“Maha Suci Tuhan yang telah memperjalankan Hambanya di waktu malam daripada Masjid Al-Haram (Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (Al-Quds, Palestin) yang telah kami berkati di sekitarnya, supaya kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat (tanda-tanda) Kami. Sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Isra’, ayat 01)

Tegasnya, ia adalah perjalanan yang dicipta oleh Allah Pencipta Alam, Yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan kelemahan,  Maha Berkuasa di atas seluruh alam, diluar daripada perhitungan masa dan jarak dekat dan jauh mengikut perhitungan makhluknya, Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى* عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى

“Dan sesungguhnya Dia Rasulullah SAW telah melihatnya (Jibril) pada kali yang lain, iaitu di sisi Sadrah Al-Muntaha.” (Surah An-Najmu, ayat 13-14)

Ketika Malaikat Jibril mengiringi Rasulullah SAW dalam perjalanan Israk dan Mikraj sehingga berada di sisi Sadrah Al-Muntaha. Sempadan terakhir bagi makhluk langit dan tempat dibawa perkara makhluk bumi, selepasnya adalah kepunyaan Allah yang sedia kala dan tiada kesudahan dan penghujungnya. Firman ALLAH SWT:

وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِلنَّاسِ

“Dan tidaklah kami jadikan segala yang Engkau saksikan, yang telah kami perlihatkan kepada Mu (pada malam Israk dan Mikraj) malainkan menjadi fitnah (ujian) kepada manusia.” (Surah Al-Isra’, ayat 60)

Peristiwa yang menakjubkan di luar kemampuan akal dan ilmu manusia, menjadi ujian terhadap keimanan kepada Allah dan Rasul pilihanNya. Beriman kepada Allah Yang Maha Berkuasa mencipta seluruh alam dan berkuasa mengurusnya dengan Maha Bijaksana. Beriman kepada benarnya Rasul SAW yang dipilihNya.

Apabila Rasul SAW yang mulia itu dinamakan hambanya, maka betapa pula seluruh yang lain adalah kerdil di hadapan Allah yang tidak sama hubungan dikalangan sesama makhluk, di antara anak, ibu dan bapa, raja, pemimpin dan rakyat, ketua dengan pengikut bawahannya, majikan dan buruh serta seterusnya.

Baginda Rasul SAW ditemukan dengan para Rasul dan solat berjamaah di Masjid Aqsa, Palestin menandakan bahawa Islam satu sahaja agama Allah yang dibawa oleh semua para Rasul AS sejak Adam AS sehingga Muhammad SAW. Walaupun adanya perbezaan syariat mengikut zaman dan masyarakat namun bersatu aqidah ketuhanan Allah Yang Maha Esa sahaja dan wawasan dihari Akhirat.

Firman Allah SWT:

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

“Adakah mereka mencari-cari  dan berpegang kepada yang lain daripada agama Allah (Islam), padahal telah Islam kepada Allah seluruh makhluk langit dan bumi secara taat  (mengikut pilihan) dan terpaksa (mengikut fitrah) dan kepadanya dikembalikan (pada hari Qiamat).” (Surah Ali-Imran, ayat 83)

Kalangan para Rasul itu ada yang ramai pengikutnya dan ada yang sedikit, bahkan ada juga yang keseorangan. Menunjukkan kewajipan mereka hanya menyampaikan risalah Islam yang sebenar, adapun penerimaanya, hanya Allah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya apabila menggunakan akal yang bijak dengan berpandukan ilmu yang benar, serta bersungguh dan ikhlas mencari kebenaran. Hidayah itu tidak layak kepada yang sombong seperti iblis walaupun sangat bijak.

Perjalanan Rasulullah SAW di malam itu diganggu oleh seruan iblis, Yahudi, Nasrani, dunia dan segala godaannya, namun Rasulullah SAW menunjukkan jati diri paling kuat beristiqamah sehingga pertemuan dengan Allah.

Peristiwa ini juga menunjukkan betapa kebesaran ketuhanan Allah SWT dan kerajaanNya yang besar. Maka langit dan bumi dengan segala kerajaan manusia termasuk yang bertaraf kuasa besar laksana lebih kerdil daripada zarah (habuk yang paling halus) kalau hendak dibandingkan dengan alam yang luas.

Maka Muhammad SAW yang dilantik menjadi Rasulnya tidak mungkin dihalang mesejnya oleh sesiapa pun, bukan sahaja di Mekah pada masa itu, bahkan daripada seluruh penjuru dunia yang mengepungnya disepanjang zaman.

Islam adalah cahaya petunjuk Allah yang tidak mungkin dipadam oleh segala musuhnya. Firman Allah SWT:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ * هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ

“Mereka hendak memadamkan cahaya petunjuk (Islam) daripada Allah dengan mulut-mulut mereka, namun Allah tetap menyempurnakan cahayanya walau pun dibenci oleh orang-orang yang kafir (mereka menolak dan menentang Islam). Dialah (Allah) yang telah  mengutuskan RasulNya dengan petunjuk dan agama (al-Din ) yang benar, supaya  menzahirkannya  sehingga mengatasi segala agama dan ajaran yang lain walau pun dibenci oleh  orang-orang musyrikin.” (Surah As-Saff, ayat 08-09)

Ditunjukkan juga pada malam bersejarah itu bahawa mereka yang beristiqamah, betapa bahagia dan berjayanya mereka di alam akhirat walaupun matinya dibunuh kejam sehingga jasadnya dihancur lumat. Betapa pula celakanya mereka yang tidak beristiqamah, aqidah, syariat dan akhlaknya walaupun membawa pangkat, harta dan takhta.

Pada malam bersejarah itu juga diperintahkan kewajipan solat lima waktu yang menjadi hubungan langsung di antara hamba dengan Allah tanpa perantaraan, mengadap kearah kiblat yang pada awalnya di Sokhrah Masjid Al Aqsa tempat Nabi Ibrahim AS bermukim, kemudian diubah kearah Kaabah di Mekah dibina oleh Ibrahim AS dan Puteranya Ismail AS.

Perjalanan Israk menggabungkan Mekah dan Baitul Maqdis dan Mikraj pula menggabungkan langit dan bumi. Mekah masih selamat dipelihara Allah dan dimakmurkan oleh umat Islam daripada seluruh penjuru dan pelusuk dunia, manakala Palestin dan bersamanya Masjid Al-Aqsa ditakluk Yahudi pembunuh para Rasul dan makhluk paling merosakkan dunia, kerana kelemahan umat Islam yang tidak istiqamah bersama Islam.

Maka peristiwa Israk dan Mikraj bukan sekadar kisah yang dibaca dan didengar, bahkan satu kewajipan yang wajib dipelihara dengan baik dan amaran kepada pengkhianat agamaNya. Rasulullah SAW memberi peringatan:

لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِى عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلاَّ مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيْنَ هُمْ قَالَ « بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ .( مسند أحمد (48/ 430 بترقيم الشاملة آليا).

“Sentiasa ada kalangan umatku orang yang terbuka dan gagah perkasa menegakkan Islam di hadapan musuh, mereka tidak dapat dimudaratkan oleh orang-orang yang menentang (dan mengecewakan) mereka, melainkan apabila mereka menghadapi kesukaran sehingga datangnya keputusan Allah mereka terus dalam keadaan yang sama (tidak  berganjak daripada perjuangan). Para sahabat bertanya: Di manakah mereka? Sabda Rasulullah SAW, Mereka berada di Bait Al-Maqdis dan di sekitar Bait Al-Maqdis.”

Ternyata adanya intifadah di Baitul Maqdis dan di kelilingnya, walaupun negara haram Israel merampas dengan menggunakan kekerasan dan kemewahan. Adanya pula pemimpin dari Negara Arab dan Islam yang bersekongkol dengan Israel dan memujuk kebangkitan (Intifadah) di Baitul Maqdis supaya menyerah kalah dan bersama mengepungnya, serta menuduh kumpulan Islam bersama intifadah sebagai pengganas, bukannya pelampau Yahudi yang ganas. Percayalah  bahawa inilah janji yang benar daripada Rasulullah SAW.

BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
9 Syaaban 1437 / 16 Mei 2016 – HARAKAHDAILY 16/5/2016

Tarikh : 3 Mac 2016

Penceramah : Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid

Tarikh : 24 Januari 2016

Lokasi : Masjid Muadz Bin Jabal, Persiaran Setiawangsa, Taman Setiawangsa

Tarikh : 4 Mei 2016

Lokasi : Masjid Pekan Kota Belud

20160504_192217 20160504_211958 img-20160504-wa0171 img-20160504-wa0172 img-20160504-wa0173

%d bloggers like this: