Video Cinta Kun Fayakun ini diambil dari pengarah Mior Hashim Manap, tidak dicapture di tv yang selalu dibuat seperti warkah cinta. Semoga terhibur….
Archive for Februari, 2013
Saya bentangkan anggaran kasar kehadiran jamaah dalam kuliah maghrib yang saya diamanahkan mengisi di surau atau masjid berikut :
Isnin – Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan (Indahnya Hidup Bersyariat) : 15-30 orang
Selasa – Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas (Indahnya Hidup Bersyariat) : 20-40 orang
Rabu – Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan (Tajwid & Tafsir al-Quran) : 15-25 orang
Jumaat – Surau ar-Rahman Maahad Tahfiz al-Quran (Indahnya Hidup Bersyariat) : 20-35 orang
Ahad – Masjid Kg Sembulan Lama, Kota Kinabalu (Indahnya Hidup Bersyariat) : 60-100 orang
Saya pernah mencadangkan agar setiap daripada jamaah melakukan usaha untuk meramaikan jamaah ke masjid / surau masing-masing dengan strategi yang bersesuaian dengan suasana setempat. Mungkin dengan pengumuman melalui poster, sebelum azan jumaat, sms, banner dan sebagainya. Demikian juga setiap suami mengajak isteri masing-masing hadir ke masjid.
Insya Allah dengan ke masjid dan surau mempelajari ilmu-ilmu asas Islam, kejahilan akan terangkat dan kita menjadi hamba Allah yang beribadah dalam keadan berilmu. Justeru setiap orang mengambil kesempatan menghebahkan program yang bersifat ibadah dan mempunyai kebaikan kepada orang lain.
Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/17071-tidak-terlintas-berundur-dari-pas-haron-din
Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menjadi perhatian apabila Majlis Syura Ulamak menjelaskan pendirian mengenai kalimah Allah. Untuk menunjukkan berlaku pertelingkahan pendapat yang ketara, bukan saja dalam Pakatan Rakyat, khususnya dengan DAP, malah dalam PAS sendiri, media sering mengutip pandangan beliau, ada kalanya di luar konteks.
Melalui internet, Dr Haron Din juga dihebohkan telah keluar PAS. Wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, SAIDAH HAIRAN dan jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH berkunjung ke rumahnya di Bandar Baru Bangi, pada 18 Februari lalu, bagi mendapatkan penjelasan lanjut. Hampir dua jam beliau berkongsi cerita. Berikut adalah petikan daripada wawancara tersebut.
HARAKAH: Macam-macam khabar angin disebarkan, antara lain dalam internet, kononnya, Ustaz berhasrat meninggalkan PAS. Ramai yang bertanya dengan kami, minta dipanjangkan dengan Ustaz sendiri.
DR HARON DIN: Memang banyak khabar angin tersebar. Ketika isu kalimah Allah muncul, dikatakan dua Haron akan tinggalkan PAS. Datuk Haron Taib dan saya tidak bercakap apa-apa pun. Malah hari ini, adik ipar dari Perlis telefon isteri saya, nak pastikan benarkah Haron Din meninggal dunia?
Orang sengaja buat berita sensasi di waktu kita masih ada. Saya tidak ada niat menjelaskan kepada akhbar kerana saya percaya ia tidak akan menyelesaikan masalah, dan kadang-kadang boleh menjadi lebih buruk lagi. Sebelum ini dua tiga kenyataan saya diterbalikkan dan ini cukup memalukan.
Bagaimana muka depan Utusan Malaysia hari ini, Ustaz lawan Karpal Singh?
Selepas solat Subuh di surau, ada orang tanya, bila ustaz buat kenyataan lawan Karpal Singh. Bila pula … itu diambil ketika saya berceramah di Taiping. Memang saya sebut akan pertahankan kalimah Allah kerana Allah tidak boleh dikufurkan kerana Allah itu Ahad. Itu keluar dalam Youtube.
Tentang keluar PAS, tidak terlintas dalam benak saya, bahawa saya akan keluar PAS dalam menghadapi isu ini. Melawak tidak pernah, bercakap pun tidak pernah. Selepas bersama dalam perjuangan, tidak terfikir hendak keluar PAS. Selalu disebut beberapa penulis bahawa Haron Din nampak lembut tapi apabila buat keputusan dia amat tegas. Ketegasan saya itu dilihat sebagai permulaan untuk saya akan berkeras dengan pihak pimpinan PAS. Mungkin faktor itu menyebabkan saya ditafsirkan akan keluar meninggalkan perjuangan.
Dalam menghadapi isu kalimah Allah ini atau apa sahaja isu, saya tidak pernah, malah tidak pernah terfikir untuk meninggalkan perjuangan bersama PAS. Kalau ada orang tidak senang dengan sikap dan pendirian saya, itu cerita lain.
Dimainkan media, tentang kalimah Allah, seolah-olah pendirian Tuan Guru Presiden PAS yang dibacakan selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan, bercanggah dengan Majlis Syura Ulamak?
Sekarang ada pihak melagakan seolah-olah Presiden PAS mengambil langkah yang silap dalam menyokong dan membuat deklarasi Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada orang yang bukan Islam. Saya hendak betulkan, saya tengok sendiri kenyataan bertulis Tuan Guru Abdul Hadi. Dia sebut pada saya, mana-mana orang termasuk orang kafir boleh menggunakan kalimah Allah dengan syarat tidak menyalahgunakan perkataan itu.
Pemberita sengaja mengambil ayat pertama dan meninggalkan ayat kedua. Dengan lain perkataan, apabila ambil yang pertama saja, iaitu mana-mana orang termasuk orang kafir boleh menggunakan perkataan Allah, memang itu menjadi masalah. Syarat tidak menyalahgunakan perkataan itu tidak pula disebut. Syarat itu bermakna pendirian Presiden sama dengan pendirian Majlis Syura.
Saya mengolah dan mengatakan bahawa, betul saya juga berpandangan dengan beliau, cuma ayat saya menggunakan ayat negatif dahulu, “tidak boleh dibenarkan ….” Presiden menggunakan ayat positif; “Boleh menggunakannya, tapi dengan syarat tidak menyalahgunakan.” Isu asalnya, pihak Kristian meminta pihak berkuasa agama di Malaysia ini membenarkan mereka menterjemahkan perkataan-perkataan God dalam Bible itu dengan Allah. Itu itu asalnya, kita jangan lari.
Saya sebut banyak kali, Allah menurut kefahaman, amalan dan pegangan kita, bahawa Allah itu selama-lamanya Tunggal, Esa, Ahad. Selain surah al-Ikhlas, menjadi amalan kita dalam wirid selepas memberi salam solat, maksudnya, “Tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Dia, Allah yang Esa … tanpa ada syirik dengan-Nya.” Wirid ini kita ulang selepas solat 10 kali.
Apabila sebut Allah sahaja mestilah Allah itu Esa, tidak boleh di tempat God, ia bukan yang satu, bukan yang Esa. Jadi, Presiden sudah tegaskan dari awal, tidak boleh salahguna. Sebab itu tidak sepatutnya menjadi pertelingkahan sesama kita kerana ia adalah benda yang senang difahami.
Adakah isu kalimah Allah ini akan menyebabkan terjejasnya sokongan kepada Pakatan apabila rakyat menyaksikan bertelingkah pendapat sesama sendiri?
Saya lebih melihat isu ini sengaja dibesar-besarkan untuk menunjukkan pimpinan Pakatan tidak bersatu, lebih-lebih lagi PRU13 sudah di ambang pintu. Memang agenda lawan untuk melaga-lagakan kita. Kekuatan Pakatan semakin meningkat dan boleh menggugat kerajaan BN yang ada. Jadi bagaimana hendak mengalahkan Pakatan supaya tidak boleh kuat sampai boleh menumbangkan BN dengan mudah? Satu sahaja caranya, iaitu pecah-belahkan Pakatan. Jika Pakatan bersatu, ia memang ancaman besar yang boleh menyebabkan Umno-BN tersungkur.
Mencari jalan supaya Pakatan berpecah memang agenda utama media. Dari dulu hingga sekarang, jika ada saja peluang untuk dilagakan sesama rakan kongsi dalam pembangkang, Umno-BN akan lakukan. Kebetulan timbul, antaranya isu kalimah Allah sekarang. Memang isu ini menyentuh perasaan dan hati nadi umat Islam. Kita berpegang kepada tahaluf siyasi, iaitu kita berkongsi dan bermuafakat menghadapi musuh politik yang sama. Hendak mengalahkan mereka memang agak sukar tapi dengan bersatu kita boleh. Di sinilah kita berpakat dan tidak berlawan sesama kita dalam pilihan raya.
Yang kedua, ada kena mengena dengan dasar bagi setiap parti komponen Pakatan. Mungkin dalam DAP ada pegangan dia dan ada perkara yang mereka tidak boleh bertolak ansur. Dalam Pakatan Rakyat pun sama. Sama juga dalam PAS, kita ada al-Quran ada as-Sunnah. Sesuatu yang melanggar al-Quran, kita tidak boleh bertolak ansur. Matlamat terdekat Umno-BN, untuk menghadapi pilihan raya yang sengit ini, maka Pakatan akan digambarkan tiada persepakatan dan bertelagah sesama sendiri. Macam mana mereka hendak memerintah Malaysia jika bercakaran sesama parti komponen dalam Pakatan?
Itulah gambaran media. Sedangkan pertelagahan lebih teruk berlaku sesama Umno. Begitu juga Umno dengan MCA, Umno dengan Gerakan tetapi tidak diuar-uarkankan media, yang dikawal ketat parti pemerintah. Sepatutnya rakyat Malaysia telah lama faham, ini bukan kali pertama kita menghadapi mainan media. Malah dari dulu lagi, setiap kali pilihan raya, maka akhbar atau media arus perdana, termasuk pilihan raya kecil apatah lagi pilihan raya umum, misalnya akan disiarkan hari ini 50 orang PAS masuk Umno.
Selang sehari 100 orang PAS masuk Umno. Kalau kita kumpulkan berita orang PAS masuk Umno, mungkin dah tak ada orang dalam PAS. Tapi bila pilihan raya kita menang juga, atau kalau kalah, hanya kita kalah sedikit. Maknanya, berita seupama itu tidak ubah sebagai perang psikologi. Nak menggambarkan betapa lemahnya parti pembangkang, tapi sebenarnya tidaklah begitu. Saya mengharapkan rakyat, khususnya ahli dan penyokong PAS boleh faham situasi sebenar dan tidak terpengaruh dengan apa yang digambarkan sebagai pertelagahan dalam PAS, begitu juga khabar angin saya atau orang lain akan tinggalkan PAS.
Bagaimana Ustaz melihat kesediaan pimpinan Pakatan Rakyat menangani perbezaan pandangan yang timbul, dengan kesedaran media sememangnya menunggu masa untuk mengeksploitasinya?
Perbezaan pandangan dan pendapat dalam suatu organisasi besar, terutama apabila tiga parti membentuk satu gabungan, tidak mungkin selama-lamanya mereka bersatu pendapat. Hatta dalam rumahtangga, kita dengan isteri misalnya, sepatutnya tidak berlaku pergeseran kerana kita berkongsi hidup, berkongsi rumah, berkongsi anak, tapi kita berselisih pendapat juga.
Yang penting, jika timbul perselisihan pendapat, kita boleh duduk bincang dan selesaikan. Macam kita selesaikan masalah pembahagian kerusi. Begitu juga dalam isu kalimah Allah. Kita ada landasan agama yang cukup jelas. Alasan yang kita pegang memang tidak boleh diubah. Sebab itu kita kena terima hakikat bahawa mereka juga yang ada benda, yang akan kita jumpa nanti, yang tidak boleh diubah.
Saya lihat, ada perkara yang sepatutnya kita lebih awal duduk berbincang dan bermuafakat dalam semua masalah. Katakanlah, kita senaraikan apa yang menjadi halangan untuk kitaterus bersatu, bukan sahaja isu kalimah Allah, malah isu-isu lain juga. Sebelum keluar dalam akhbar dan akan menjadi bahan mainan media, ada eloknya kita berjumpa atau ketua-ketua parti berbincang lebih awal dan bawa balik kepada parti masing-masing terlebih dahulu supaya dapat kita buat langkah berjaga-jaga. Elok jangan dihebahkan kepada media sebelum persetujuan dapat dicapai.
Kena kerap ada perjumpaan dan perbincangan dalaman dan jika perlu dirujuk kepada Majlis Syura, rujuk dulu. Dalam politik kadang-kadang hal yang remeh pun sengaja dijadikan isu. Sebenarnya ketetapan Majlis Syura banyak melegakan pihak dalaman kita. Kita kata perkataan Allah tidak boleh diterjemah. Jika ia diterjemah dengan perkataan apa pun, maka ia akan rosak. Bukan rosak makna sahaja tetapi ia akan merosakkan akidah.
Dalam al-Quran ada lebih 3,000 perkataan Allah. Dalam Bible satu kalimah Allah pun tidak ada. Mereka ada God sahaja. Kenapa pulak hendak dirosakkan hubungan baik antara kedua-duanya sejak sekian lama. Dalam organisasi kita, ada adab-adab berjemaah. Kalau dibuat keputusan oleh Majlis Syura, iaitu badan tertinggi, sepatutnya mengikut adab berjemaah, semua ahli kena sokong. Jikayang tidak sokong kerana ada pendirian peribadi, maka sepatutnya dia diam sahaja. Kalau timbul perpecahan dan sebagainya, takkan kita hendak ambil tindakan? Adab berjemaah itu mengkehendaki supaya kita akur apabila kita sudah ada keputusan.
Media dan Umno sendiri memang meletakkan PAS sebagai sasaran utama, bagi memalitkan imej buruk terutama pada kaca mata umat Islam. Mereka mahu gambarkan PAS sentiasa berundur ke belakang apabila timbul bantahan berkaitan Islam.
Memang menjadi mainan media hendak menggambarkan PAS dalam Pakatan Rakyat ini sentiasa berada dalam keadaan defensif. Apabila diserang kita digambarkan berundur … sebenarnya tidak begitu. Macam kalimah Allah, kita mara ke hadapan dan tidak ke belakang. Kita pertahankan.
Sewaktu heboh dikatakan Ustaz keluar PAS, difahamkan sebenarnya Ustaz sudahpun diptuskan bertanding dalam PRU13 di Perlis. Ustaz terima tawaran itu?
Saya pernah menawarkan kepada kepimpinan PAS Perlis agar tidak disenaraikan untuk bertanding dalam PRU13 kerana tidak cukup sihat fizikal. Semua orang tahu. Tidak ada orang di Malaysia jantung dibedah lima kali, saya seorang saja (ketawa). Umur sudah lanjut memang saya terasa banyak kekurangan. Lagi pula sibuk dengan kerja dakwah Darussyifa yang mempunyai banyak cawangan di seluruh Malaysia.
Perhubungan PAS Perlis memanggil saya bersemuka. Saya diputuskan kena bertanding Dun dan Parlimen. Malah Ustaz Hashim Jasim dan Rus’sele Eizan menawarkan Dun yang dimenangi mereka. Saya juga ditawarkan Parlimen Arau. Pada 2008 saya kalah 300 undi sahaja. Saya tolak tawaran itu. Mesyuarat tidak terima pandangan saya, mereka kata akan bantu dan tampung kelemahan saya. Akhirnya saya terima satu sahaja, iaitu Parlimen Arau.
Kalau saya berhasrat menarik diri daripada perjuangan, tentulah saya tidak bersedia bertanding. Lagi pun tiada alasan saya hendak meninggalkan perjuangan. Saya sendiri telah mendukungnya sejak 1975, iaitu apabila dicalonkan bertanding Jawatankuasa Agung PAS. Saya dapat undi terbanyak. Ketika itu umur saya 35 tahun.
Saya pegang jawatan sampailah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dilaksanakan. Auku mulanya tidak keras, masih boleh pegang jawatan. Sampailah saya dapat surat, jika hendak bergiat politik, silakan, tapi kena bayar balik biasiswa PhD, nilainya 10 kali ganda. Apabila cukup umur 55 tahun pencen, saya tidak mohon bekerja ‘part time’ seperti lazimnya.
Saya aktif semula, dengan jawatan awal Ketua Penerangan PAS Pusat. Kemudiannya dilantik Timbalan Mursyidul Am, sampailah hari ini. Ia menggambarkan saya tetap bersama dengan kepimpinan dan saya akan bagi sumbang bakti sampai Allah menentukan apa kesudahannya.
Nasihat Ustaz kepada masyarakat Islam yang masih sangsi dengan perjuangan Islam PAS?
Tidak dinafikan PAS sebagai parti Islam tidak mendapat dukungan sepenuhnya umat Islam. Keahlian PAS sendiri walaupun sudah berumur lebih setengah abad sekitar sejuta lebih. Ini kerana masyarakat Islam di Malaysia lebih banyak termakan asakan media dan tawaran penghidupan berasaskan nilai kebendaan, yang meremehkan nilai kerohanian dan tidak menggambarkan Islam itu sebagai wadah yang wajib diimani dan dilaksanakan dalam kehidupan.
Mesej ikrar kita dalam solat, bahawa setiap Muslim tidak boleh terpisah dengan Allah SWT dalam semua gerak kerjanya, tidak dihayati. Isu lama, agama suku politik suku sebenarnya antara yang menjadi punca besar masalah ini. Maka PAS sebagai sebuah parti Islam, wadah perjuangan kebenaran, tidak sampai kepada orang ramai melainkan yang dirosakkan oleh media tentang PAS memperalatkan agama untuk kepentingan diri dan sebagainya.
Kemampuan kita untuk menyampaikan mesej parti terhalang. Apapun kita tetap bersyukur, keahlian PAS makin bertambah. Bukan ahli kita sahaja bertambah, sokongan pengundi juga bertambah. Mutakhir ini dengan adanya media baru, seperti laman web, blog, Facebook dan Youtube, ia telah mengubah persepsi masyarakat kepada perjuangan kita. Penggerak parti turut menunjukkan komitmen tinggi melaksanakan dakwah dan kerja-kerja penerangan di seluruh pelosok negara.
Masyarakat juga semakin jelas dengan propaganda murahan Umno yang mendakwa memperjuangkan nasib dan kepentingan orang Melayu. Selama lebih 55 tahun mereka berkuasa, ternyata agama kita rugi, ekonomi kita rugi, masalah sosial bertambah parah. Kita masih terkebelakang berbanding orang lain. Kesedaran itu kini menghambat Umno. Sekarang mereka berhempas pulas hendak mempertahankan kuasa dengan apa jua cara, tetapi rakyat semakin sedar. Rakyat tidak mudah ditipu atau diperbodohkan lagi.
Atas asas itulah kita tidak boleh berhenti berjuang, media kita kena terus giat memberi penjelasan. Aktivis kita harus lebih proaktif bergerak. Salah faham selama ini mesti diperbetulkan. Kita akan memimpin umat Islam untuk mereka hidup bahagia dunia sampai akhirat. Jangan lupa kita akan bangun di Padang Mashyar dan akhirnya kita akan masuk syurga. Jadi kalau kita tinggalkan penghayatan hidup beragama dan hanya pentingkan dunia sahaja, macam Umno mengajak orang kepada dunia sahaja, maka masyarakat akan rugi.
Nampaknya seperti ada pendekatan baru Umno menyerang PAS sehingga mereka berani mendakwa bahawa haram menyokong PAS. Juga dikatakan ada barisan ulama muda dalam Umno bagi berdepan dengan PAS dalam isu-isu agama.
Adanya ulama muda dan tua tidak menjadi benda yang ganjil. Sebab manusia selama-lamanya akan terpengaruh dengan kepentingan peribadi. Orang yang mendakwa mengundi PAS itu haram dan mengundi Umno itu wajib, kita nak tengok juga alasan mereka terlebih dahulu. Mereka menggunakan alasan PAS bersekongkol dengan DAP yang jelas menentang hudud, maka dengan itu dikatakan undi PAS adalah haram.
Jika PAS dikatakan bersekongkol dengan orang yang menentang hudud, dan dengan itu haram sokong PAS, maka bagaimana pula Umno sendiri yang menentang hudud. Yang dikatakan wajib menyokong Umno … sedangkan Umno itu sendiri menentang hudud, iaitu lebih teruk daripada DAP menentang hudud. Saya masih ingat surat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada 1993, ketika Kanun Jenayah II Kelantan hendak dilaksanakan.
Surat itu memberi amaran keras jika kerajaan Kelantan melaksanakan hudud, kerajaan Pusat tidak teragak-agak mengambil tindakan keras. Surat itu tidak ditarik balik sampai ke hari ini. Maknanya, bukan sahaja pemimpin agungUmno yang menentang hudud, malahan orang-orang Umno juga mempermain-mainkan hudud.
Kita juga pernah dengar, misalnya ucapan siapa nak sup tangan, pergilah ke Kelantan. Jelas mereka menentang hudud. Umno yang memegang kuasa selama 57 tahun ini, pernahkah mereka mengatakan hendak laksanakan hudud. Dengan sendirinya mereka termasuk dalam kelompok orang yang menentang hudud.
Ya, jika PAS yang masih tetap mempertahankan Islam, cuma berkawan dan bertahaluf dengan pihak yang menentang hudud, maka dikatakan haram menyokong PAS, maka Umno yang menjadi ketua kepada BN, dia sendiri menentang hudud, bagaimana pula? Sepatutnya kalaulah alasan itu dipakai, maka undi PAS pun haram dan undi Umno pun haram juga. Ini yang kita bincang, dalam istilah politiknya tahaluf siyasi. Bila tahaluf siyasi, maka kita bertahaluf dengan bukan Islam.
Boleh atau tidak kita bertahaluf dengan bukan Islam? Nabi jawab boleh. Sebab Nabi bertahaluf dengan Bani Quraizah. Apabila Bani Quraizah melanggar tahaluf, baru Nabi berperang dengan mereka. Tahaluf itu kerjasama. Boleh atau tidak orang Islam bekerjasama dengan orang kafir? Orang kafir ini selamanya tidak akan terima Islam. Jawapannya, boleh. Nabi semasa hendak berpindah ke Madinah bekerjasama dengan orang kafir.
Kenapa Nabi bekerjasama dengan orang kafir untuk tunjuk jalan ke Madinah? Apakah Jibril tidak boleh tolong tunjuk jalan kepada Nabi? Apakah Nabi tidak boleh dapat wahyu tunjuk jalan ke Madinah. Mengapa ambil orang kafir untuk tunjuk jalan? Nabi juga bekerjasama dengan orang kafir dalam muamalat. Nabi gadai baju besi kepada Yahudi. Sampai Nabi wafat, baju besi itu ada pada orang Yahudi itu. Adakah tidak ada orang Islam yang boleh tolong Nabi sehingga kena gadai baju? Tidakkah menantunya Uthman Affan kaya, bapa mentuanya, Umar Al-Khattab kaya.
Tapi ia bukan soal kaya miskin. Nabi nak beritahu umat Islam boleh bekerjasama dengan orang kafir. Jadi, dari mana datangnya haram bertahaluf dengan bukan Islam itu? Sedangkan haram hukumnya jika kita mengharamkan benda yang tidak haram atau mengharamkan barang yang dihalalkan Allah.
Tahaluf itu tetap halal disebabkan Nabi buat. Apabila Nabi buat, maka halallah apa yang kita buat ini kerana ia menurut tindakan Nabi. Jika kita haramkan barang yang Allah halalkan, itu dosa yang amat besar. Maka sebab itu undi PAS dibolehkan, diharuskan, malah disyariatkan, dan ada masanya wajib hukumnya.
Nukilan Li Fook Gao,23 Feb 2013 (Harakahdaily)
Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang lebih rela menjadi khadam rakyat dan menjadi nelayan daripada bercita-cita mencari jawatan, mengkagumkan pelbagai sekali lagi semalam ketika Program Pelancaran Karnival Tahun Baru Cina di Alor Setar.
Saya tidak mengenali Ayah Chik, nama panggilan manja untuk TG Hadi, secara dekat mahupun lama, tapi sekadar melalui kenyataan-kenyataan dan peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekitar Ayah Chik yang dilaporkan di media mulai 2010.
Kali pertama, Ayah Chik mengkagumkan saya ialah melalui kemunculan video bagaimana Ayah Chik sanggup terjun ke laut untuk menyelamatkan seorang hampir lemas di Pantai Rusila pada 2010. Tiada ego, tiada terasa dirinya sebagai seorang VIP dan terlupa dirinya sebagai seorang presiden parti kedua terbesar Malaysia, itulah antara bacaan saya tatkala saya menonton video aksi Ayah Chik bertungkus lumus cuba menyelamatkan satu nyawa dalam keadaan berkain pelikat tanpa memikirkan keadaan dirinya yang sudah tidak muda.
Kali kedua, Ayah Chik mengkagumkan saya ialah tatkala Ayah Chik menggulung Muktamar PAS ke 58. Itu adalah pertama kali saya terhibur, tersentak dan terpegun dengan isi ucapannya yang begitu padat dan bernas. Tiada satu saat yang saya terasa mengantuk. Ucapan Ayah Chik sudah bertambah hebat sebab akhirnya saya terasa mudah diikut, walaupun untuk seorang bukan Islam seperti saya. Ucapan ini jauh berbeza dengan ucapan Ayah Chik yang terdahulu – kali ini cukup ralik, cukup berazam dan cukup mempunyai roh dengan berselang-seli dengan klasik hiburan tersendiri.
Daripada wajah ahli-ahli PAS yang mendengar, ternyata di hati mereka, Presiden PAS ialah ‘Ayah Chik’ mereka. Tuan Guru Presiden sudah dianggap sebagai seorang bapa kepada semua ahli PAS yang tertawan dengan ilmu yang terserlah daripada diri Ayah Chik.
Kemudian, saya terkagum buat kali ketiga apabila melihat Ayah Chik dengan berpakaian pelikat dan pakaian di dalam rumah membantu menyelamatkan kebakaran di Sekolah Maahad Darul Quran yang merupakan sekolah Ayah Chik sendiri yang selalu memberikan kuliah di situ.
Apabila Ayah Chik berbahasa Cina semalam di Kedah ketika berucap di majlis Tahun Baru Cina, saya kagum untuk buat kali keempat. Seorang Tuan Guru yang disanjung tinggi, seorang pakar agama Islam, berbangsa Melayu, belajar bahasa Cina untuk menghiburkan hadirin yang hadir – cukup berbeza dan cukup terkesan. Tuan Guru Presiden PAS berucap dalam Cina? Biar betul? Betul.
Menurut setiausaha politik Ayah Chik, Dr Ahmad Samsuri, Ayah Chik belajar berbahasa Cina dengan seorang guru Mandarin petang sebelum majlis bermula. Bukan itu sahaja, Ayah Chik turut menulis kaligrafi Cina “吉” yang bererti ‘tuah’ untuk dihadiahkan kepada warga Tiong Hua dalam majlis tersebut.
Mengapa perkara ini bermakna? Selain tulisan itu betul (bukan sepertimana yang tersilap tulis dalam sebuah video ucapan Tahun Baru Cina seorang VIP yang dipaksa tontonkan berulang-kali kepada warga Tiong Hua di setiap pawagam) dan tulisan itu ditulis begitu indah oleh Ayah Chik.
Dalam acara menggaul Yee Sang selepas itu, boleh dilihat cara Ayah Chik memegang chopstik seperti seorang yang telah menggunakannya untuk waktu yang lama. Peristiwa-peristiwa ini pada hemat saya, menunjukkan kehebatan Ayah Chik sebagai pemimpin yang keluarbiasaannya ialah sifat kesantaian dan ‘rakyat biasa’nya. Kehebatan Ayah Chik menyerlahkan lagi slogan yang dicanangkan kebelakangan ini – “Kita juga rakyat biasa, Kita adalah Pakatan Rakyat.”
Ayah Chik adalah contoh terbaik kepada rakyat bahawa inilah Pakatan Harapan Rakyat – yang dipilih rakyat, ditadbir rakyat dan bekerja untuk rakyat – yang menerajui Putrajaya pada PRU13 nanti. Akhir sekali, Hidup Rakyat! Takbir!
(Ustaz Hadi ketika membantu seorang mangsa lemas di pantai Rusila 2010 lalu)
(Menulis kaligrafi Cina di Alor Setar semalam)
(Membantu memadamkan api dalam kebakaran di asrama Maahad Darul Quran)
SRI PETALING: (Harakahdaily oleh Nazri Abdullah)
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membuat kunjungan bersejarah ke markas Jamaah Tabligh hari ini. Dengan ditemani wakil Dewan Pemuda dan Dewan Ulama, Ustaz Hadi meluangkan masa bersama pemimpin Jamaah Tabligh di Masjid Sri Petaling hari ini. Beliau tiba di Masjid Jamek Sri Petaling yang juga markaz jamaah Tabligh terbesar negara ini kira-kira jan 4.40 petang ditemani Setiausaha Politik beliau Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ketibaan beliau disambut Pengerusi Masjid Tuan Haji Zaid Abdullah, Maulana Abdul Hamid Imam Besar Masjid Seri Petaling yang juga Mudir Madrasah Miftah Ai-‘Ulum serta ahli jawatankuasa masjid dan para jemaah yang berada di situ. Turut serta dalam kunjungan itu juga termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, AJK Dewan Ulamak PAS Pusat Ust Nazmi Nik Din, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad serta Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia Adram Musa.
Sejurus tiba, Tuan Guru Abdul Hadi menunaikan solat Asar berjemaah. Beliau kemudian mengambil peluang beramah-mesra dengan para jemaah sebelum di bawa ke bilik mesyuarat untuk sesi bertanya khabar dan jamuan. Dalam pertemuan kira-kira 20 minit itu, mereka antara lain saling bertukar-tukar pandangan berhubung perkembangan dakwah Islam di negara ini. Pertemuan itu berakhir kira-kira jam 5.30 petang dengan Tuan Guru menghadiahkan kitab agama kepada imam dan juga pengerusi masjid tersebut sebagai tanda kenang-kenangan.
Tarikh : 22 Februari 2013 (Jumaat)
Masa : 2.30-4.30 petang
Tempat : Jabatan Mineral & Geosains
Alhamdulillah dapat berkongsi sedikit ilmu berkenaan ibadah solat bersama warga jabatan ini. Walaupun selalu limpas di hadapan jabatan ini, inilah pertama kali dapat masuk dan berprogram bersama-sama mereka. Bahkan ada 4-5 orang pegawai dan warga di sini yang saya kenali rupanya.
Mereka menamakan tajuk ceramah sebagai ‘Memahami Ibadah Solat Yang Betul’, suatu tajuk yang besar dan luas skopnya sebenarnya. Kerana pelbagai aspek boleh dibahas berkenaan solat, namun masa yang terbatas saya padakan sahaja dengan pergerakan serta bacaan di dalam solat. Mana yang betul, salah atau kurang tepat.
Alhamdulillah saya sendiri mendapat ilmu dan persahabatan melalui majlis di sini. Terima kasih atas undangannya, saya sangat menghargai warga jabatan ini. Semoga kalian dirahmati oleh Allah SWT.
Khatib : Ustaz Zamirul Mat Reseh
Lokasi : Masjid IPK Kepayan
Ramai manusia yang diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan celik, tidak buta, mata boleh melihat dengan sempurna, boleh melihat ciptaan Allah SWT, boleh makan dan minum, berjalan dan lain-lain lagi. Tetapi di hari akhirat nanti mereka yang celik di dunia ini dibangkitkan oleh Allah SWT dalam keadaan menjadi buta. Persoalan besar timbul di sini kenapakah mereka ini dibangkitkan dalam keadaan sedemikian?
Jawapannya ialah kerana mereka ini berpaling daripada ajaran Allah yang sebenar, tidak melakukan aturan-aturan Allah, melakukan maksiat dan membuat dosa-dosa besar serta menzalimi orang lain, matanya tidak digunakan untuk melihat kebenaran, sebaliknya digunakan untuk melihat kebatilan akibatnya hidup di dunia akan disempitkan, tidak tenang, menderita dan ditimpa musibah. Malahan di akhirat pula, mereka menjadi buta sebagai balasan keengkaran semasa di dunia. Firman Allah SWT di dalam Surah Taha ayat 124-125;
Maksudnya: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu celik?.”
Bayangkan betapa azabnya golongan ahli neraka yang diseksa fizikalnya dengan seksaan yang dahsyat, ditambah pula dengan mata yang dibutakan, tidak melihat kawasan sekeliling. Ini adalah satu bentuk seksaan spritual yang amat dahsyat daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang ingkar. Firman Allah SWT di dalam Surah al Hud ayat 106-107:
Maksudnya: “Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (sepaerti suara keldai). Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi, kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.”
Tarikh : 22 Februari 2013
Masa : 10-11.30 pagi
Tempat : Dewan Datuk Haji Asmali, Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah
Setiap sesi di penghujung semester sebelum peperiksaan bermula, biasanya Maahad akan mengadakan Majlis Ridha Mu’allim, khususnya memohon redha dan restu para pensyarah. Sepanjang bertugas di maahad ini sejak November 2011, ini kali kedua saya hadir (walaupun sudah tiga kali diadakan).
Barangkali perasaan kasih kepada anak didik kami semakin mendalam, ia menjadi sesi yang sangat hening, kerana tumpahnya air mata apabila mereka terutama siswa siswi semester 6 bakal menamatkan pengajian dengan peperiksaan akhir diploma berlangsung. Siswa siswi semester 6 meluahkan perasaan suka duka mereka, mengakui salah silap serta memohon keampunan kepada para guru.
Bagi saya pula, setiap kali sukatan pengajian di setiap kelas semester saya tamatkan, saya sendiri meminta maaf kepada pelajar kerana kelemahan diri serta keterbatasan ilmu dalam mengajar mereka, mungkin saja ada sesuatu yang salah semasa ilmu disampaikan atau tersilap ungkapan dan sebagainya.
Insya Allah dunia ciptaan Allah SWT begitu luas, peluang mencipta kejayaan ada di mana-mana asal sahaja kita berusaha dan bertawakkal kepada Allah SWT. Semoga anak didik kami mencapai kejayaan di dalam peperiksaan yang mendatang. Saya ridha terhadap mereka semua, mudah-mudahan mereka juga ridha terhadap saya dan ilmu yang dicurahkan.