Tag Archive: Nik Abdul Aziz Nik Mat


Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/42828-sejarah-majlis-syura-ulamak-dan-perjawatan-mursyidul-am

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 14 Oktober 2016.

TRANSFORMASI kepimpinan PAS pada tahun 1982 menyaksikan Haji Yusuf Rawa memangku jawatan Presiden PAS dan antara perkara penting yang berlaku semasa era Yusuf Rawa ialah mewujudkan Majlis Syura Ulamak. Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengusulkan tentang penubuhan Majlis Syura Ulama dan diangkat ke Mesyuarat PAS Pusat. Memandangkan keberkesanan ulamak dalam membimbing dan sebagai simbol penyatuan fikrah dalam PAS, maka semasa dipimpin oleh Haji Yusof Rawa, PAS telah menubuhkan Majlis Syura Ulama.

Majlis Syura telah ditubuhkan untuk memastikan ulama benar-benar membuat keputusan dalam menentukan halatuju perjuangan dan bukan gimik untuk berubah kepada sesuatu yang baru semata-mata. Majlis Syura Ulamak adalah badan tertinggi dengan mengamalkan konsep syura. Walaupun dahulu Dewan Ulama memainkan peranannya tetapi kebanyakan keputusan hanyalah meminta Dewan Harian Pusat. Kini dengan pendekatan syura, Haji Yusof Rawa telah memperkenalkan Majlis Syura yang lebih berwibawa menentukan keputusan-keputusan parti.

Majlis Syura Ulamak telah diberikan beberapa kuasa penting di dalam parti seperti menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan parti yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya.

Badan ini juga bertanggungjawab mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan parti dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawal serta kehendak-kehendak dalam perlembagaan PAS dipatuhi samada di dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS. Majlis Syura Ulama juga mestilah memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib ahli PAS dan melantik ahli-ahli jawatankuasa tatatertib PAS seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 75 Perlembagaan PAS.

Pemilihan ahli majlis begitu sekali cermat dan PAS meletakkan piawaian yang tinggi. Perlembagaan PAS telah menggariskan syarat-syarat yang perlu ada kepada semua ahli Majlis Syura.

Sepertimana yang dicatatkan dalam Perlembagaan PAS Fasal Tujuh (4) ada menyebut bahawa seseorang yang ingin dilantik sebagai Ahli Majlis Syura Ulama perlu memiliki ciri-ciri berikut.

Pertama, ia hendaklah seorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (al-usul) dalam Syariat Islam dan hukum-hukum atau/dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar.

Kedua, ia hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya, dan ketiganya hendaklah ia seorang ahli PAS.

Kedudukan ulama yang sebelum ini dipisahkan telah mula memainkan peranan penting dalam pembentukan perjalanan parti, segala dasar yang hendak dijalankan mesti terlebih dahulu dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak. Tanpa persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak sesuatu perkara tidak boleh dilakukan.

Ini merupakan asas perubahan yang begitu drastik sehingga tidak ada lagi mereka yang boleh mempermainkan dasar dan prinsip PAS. Ia dianggotai oleh ulama yang berwibawa dan struktur ini berbeza dengan orang lain.

Dalam sejarah Majlis Syura Ulama, Haji Yusuf Rawa ialah Mursyidul Am PAS yang pertama, diikuti dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dr Haron Din menjadi Mursyidul Am PAS yang ketiga dengan pelbagai ujian yang sedang dialami oleh PAS sehingga munculnya kumpulan serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (PAN). Beliau telah diserang daripada pelbagai penjuru oleh musuh-musuh PAS, ini adalah kerana ketegasan beliau dalam mempertahankan prinsip perjuangan PAS.

Kini Majlis Syura Ulamak telah melantik Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin, seorang penggerak pendidikan Islam di Perlis sebagai Mursyidul Am dengan kembalinya Dr Haron Din kerahmatullah. Mantan alumni Universiti Baghdad ini adalah kader perjuangan Islam semenjak meremaja di Maahad ‘Alawiyyah Perlis dan juga kader dakwah yang ditarbiah oleh Ikhwanul Muslimin di bumi Baghdad.

Keupayaan intelektual, kematangan pengalaman dengan paduan dokongan ahli-ahli Majlis Syura Ulama, insyaallah Musyidul Am keempat ini akan memacu jamaah dengan segenap keupayaan. Moga Allah mmberkahi harakatul ummah ini! – HARAKAHDAILY 14/10/2016

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat)

img-20160921-wa0002

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/09/21/tokoh-azhari-yang-mesti-kita-contohi/

TOKOH AZHARI YANG MESTI KITA CONTOHI

Oleh : Muhammad Abdul Rahim

Kepada para Azhari (khususnya) dan semua ilmuan yang cintakan perjuangan menegakkan syariat Islam. Ini antara tokoh-tokoh Azhari yang perlu kita contohi. Keilmuan mereka tinggi dan amat disegani. Mereka istiqamah membimbing dan membela hak ummah serta mencegah kezaliman:

[1] Al-Marhum Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

M.A. Universiti Al-Azhar, Syariah Perundangan Islam.
B.A. Universiti Al-Azhar, Pengajian Bahasa Arab.
[2] Al-Marhum Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din
Ph.D Universiti Darul Ulum, Syariah.
MA. Universiti Al-Azhar, Syariah.
[3] Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
M.A. Universiti Al-Azhar, Siyasah Syar’iyyah (Sains Politik).
B.A Universiti Islam Madinah, Syariah.

Ini contoh tokoh lepasan Azhari terdekat kita dalam konteks Malaysia. Mereka bukan Khawarij. Bukan ekstrimis. Tidak pernah berjuang secara ganas angkat senjata. Mereka istiqamah “Muwajahah Silmiyyah”. Lebih utama, mereka menyokong dan membela perjuangan Ikhwanul Muslimin !

Tarikh : 2 Jun 2016

Lokasi : PUTIK Pangkalan Chepa Kelantan

c360_2016-06-02-12-51-22-975 c360_2016-06-02-12-51-39-712 c360_2016-06-02-12-51-56-099 c360_2016-06-02-12-52-04-267 c360_2016-06-02-12-52-10-889 c360_2016-06-02-12-52-23-595 c360_2016-06-02-12-52-51-024 c360_2016-06-02-12-53-06-827 c360_2016-06-02-12-53-13-338 c360_2016-06-02-12-53-23-101 c360_2016-06-02-12-53-35-380 c360_2016-06-02-12-53-46-518 c360_2016-06-02-12-54-28-957 c360_2016-06-02-12-54-36-388 c360_2016-06-02-12-54-44-979 c360_2016-06-02-12-55-41-004

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/40212-tg-nik-abdul-aziz-tokoh-penggiat-al-quran-negara

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 02 Mac 2016.

Sosok ini berjaya membudayakan al Quran dalam masyarakat, bukan sahaja dengan pengajaran tafsir al Quran, namun berjaya menggalakkan masyarakat Melayu menghafal al Quran. Semenjak pulang dari Asia Barat setelah bermukim ilmu, beliau sangat obses dengan pendidikan Islam. Tak lengah dan tak lelah, terus menceburi bidang pendidikan Islam dan bercita-cita untuk membentuk generasi al Quran di tanahair ini. Sekolah agama Darul Anuar adalah manifestasi keseriusan beliau dalam membangun pendidikan al Quran, juga dengan zuriat beliau yang ditekankan pendidikan al Quran.

Menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, telah membuka ruang yang luas untuk almarhum merealisasikan cita-citanya. Beliau memberikan fokus kepada sekolah-sekolah agama di Kelantan, terutama maahad tahfiz yang akhirnya berkembang menjadi fenomena negara ini. Hasrat beliau agar Kelantan kekal dengan reputasi sebagai ‘Serambi Mekah’ yang meranum subur dengan ilmu-ilmu pengajian Islam dan al Quran.

Di antara institusi pendidikan Islam yang semakin berkembang di Malaysia khususnya di Kelantan ialah sekolah tahfiz al-Quran. Di negara ini kewujudan tahfiz menjadi fenomena dalam dekad 1990-an akibat kesedaran Islam yang semakin meluas dikalangan kelas menengah Melayu dan juga aktivis pendidikan Islam di negara ini. Kelantan menjadi tapak subur kepada sekolah tahfiz al-Quran sama ada yang ditubuhkan oleh kerajaan ataupun yang ditubuhkan oleh pihak persendirian dengan bantuan daripada pihak kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS.

Kerajaan Kelantan memandang serius keperluan untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz berasrama penuh di mana kemasukan pelajarnya ditapis dengan syarat yang ketat. Kerajaan Kelantan akhirnya melalui idea Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menubuhkan Maahad Tahfiz Pulai Condong (MTAQ) pada tahun 1992, pelajar-pelajar yang  mendapat sekurang-kurangnya empat ‘A’ dalam UPSR dengan kemampuan membaca al-Quran dengan baik akan diterima belajar di sini. Maahad ini akhirnya menjadi sebutan negara apabila sentiasa muncul cemerlang dalam keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM.

Matlamat penubuhan Maahad Tahfiz Pulai Condong ialah untuk melahirkan generasi yang celik al-Quran secara bersistematik, melahirkan pelajar-pelajar yang berpegang kepada al-Quran dan juga memberi kesedaran betapa pentingnya pendidikan al-Quran bagi mengimbangi tuntutan semasa. Matlamat lain yang ingin dicapai ialah melahirkan ulama hafiz yang mampu memahami isi kandungan al-Quran serta memelihara al-Quran daripada sebarang bentuk penyelewengan.

Sehingga kini Kelantan mempunyai lebih daripada 100 buah sekolah tahfiz akibat rangsangan dan pemupukan yang berterusan daripada kerajaan negeri. Antara sekolah tahfiz yang telah beroperasi ialah Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat di Repek Pasir Mas, Maahad Tahfiz di Kampung Slow Machang Pasir Mas, Al-Imam International Institute di Kubang Kerian, Kota Bharu, Maahad Tahfiz Ummu Qura di Kampung Kolam Kota Bharu, Maahad Tahfiz Sains dan banyak lagi yang didirikan di setiap daerah di Kelantan. Maahad Tahfiz Pulai Chondong merupakan sekolah tahfiz paling cemerlang, bukan sahaja dalam peperiksaan awam, tetapi juga kerana menjadi model untuk kurikulum bagi sekolah-sekolah tahfiz di Brunei, Johor, Selangor, Terengganu dan Pahang.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengasaskan juga Maahad Tahfiz Nikmatillah yang terletak di Pulau Melaka dengan matlamat ‘sebuah keluarga seorang hafiz’ bagi rakyat Kelantan. Tahfiz ini mula beroperasi pada tahun 2004 dan menerima pelbagai latar belakang akademik (tidak semestinya cemerlang dalam UPSR). Ini bertujuan supaya ruang yang luas dapat diberikan kepada pelajar yang berminat mendalami pengajian al-Quran.

Almarhum telah meninggalkan kita semua dengan jasa yang besar, menjadi cermin keteladanan yang memantulkan keseimbangan watak siasah, dakwah dan tarbiah. PAS wajar  melanjuti apa yang almarhum tinggalkan, menggerakkan jihad ta’lim sepenuh hati sehingga kefahaman Islam meratai seluruh sektor masyarakat. Menghasilkan para huffaz yang juga sebagai kelompok profesional dan aktivis Islam, bukan sekadar memimpin solat berjemaah tetapi memandu manusia ke arah menegakkan pemerintahan berlandaskan al Quran. –HARAKAHDAILY 2/3/2016

Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Tarbiah Pusat.

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/40062-setahun-pemergian-tgna-kelebihan-seterang-rembulan

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | 22 Februari 2016.

Minggu lepas, sempena genap setahun pemergian almarhum ayahanda Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat menemui Penciptanya, ramai rakyat Malaysia, terutama anak-anak muridnya yang menzahirkan rasa kehilangan dan kesedihan melalui doa-doa yang baik untuk al marhum. Ada juga yang menitipkannya melalui tulisan yang bagus dan menarik.

Saya dan seluruh keluarga al marhum mengucapkan banyak-banyak terima kasih. Semoga Allah mengurniai yang sama untuk kita semua. Hidayah, rahmat, keampunan, tutupan aib dan tingkatan darjat adalah impian paling besar setiap kita.

Saya pula banyak bermusafir ke sana ke mari sehingga tidak sempat menulis sesuatu sebagai kenangan dan amal soleh untuk dikongsi bersama pembaca yang budiman. Mengingati sejarah kehidupan dan qudwah orang-orang alim dan para pejuang ugama adalah satu sunnah yang baik dalam kehidupan umat Islam.

Tiada yang bernilai sunnah pada genap setahun kematian itu. Saya berdoa buat ayahanda setiap hari. Setiap hari dan setiap masa adalah penting untuk saya menyahut peringatan dan janji indah Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam buat mana-mana ibu bapa yang berjaya mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang soleh. Anak yang soleh, antara kerjayanya setiap hari adalah berdoa buat kedua ibu bapa mereka sama ada yang masih hidup ataupun yang telah mati.

Dalam ugama, tiada ketetapan hari-hari tertentu untuk mengingati kematian keluarga atau sesiapa dengan doa dan hadiah khas buat mereka. Nilai dan kelebihan masa hanyalah untuk yang masih hidup. Yang masih hidup, bolehlah mencari hari-hari kelebihan untuk diri mereka.

Yang telah pergi menemui pencipta, yang bernilai bagi mereka adalah apa yang mereka kumpulkan di dunia untuk dibawa ke alam barzakh. Antara yang paling berharga buat mereka adalah anak-anak yang soleh yang setiap hari dan masa akan berdoa untuk kesejahteraan ibu bapa mereka di sisi tuhan. Bagaimana pula jika dibayangkan berpuluh atau beratus ribu yang berdoa sebagai hadiah anak murid kepada tuan guru mereka yang telah pergi?

Cuma setahun adalah sebagai petanda perjalanan masa. Ditanda umur yang meningkat sebagai peringatan dan tazkirah. Kematian di hadapan semakin mendekati. Lari daripada kematian adalah menuju kematian. Justeru sebagai ingatan yang berguna buat yang hidup, elok juga saya paparkan beberapa butiran bernilai emas permata sebagai tribut buat ayahanda, susuk tubuh hebat yang telah meninggalkan kita setahun yang lepas.

Ulama berkata, tuah dan kelebihan besar seorang hamba Allah adalah apabila dia dikurniakan dengan tiga kelebihan yang disatukan.

Pertama, dia dikurniakan ilmu yang tinggi. Dengannya dia mengenal Allah dan kehidupan di dunia dan akhirat secara makrifat yang benar.

Kedua, dia dikurniakan kebolehan dan kepetahan bercakap yang hebat. Dengannya dia dapat mengajar ilmu dan berdakwah dengan lebih berkesan.

Ketiga, dia dikurniakan rasa keinginan, iradah atau kehendak yang tinggi. Dengannya dia membina tekanan dalam diri untuk menyampaikan ilmu dan melaksanakan tanggungjawab dan amanah ugama sesempurnanya. Inilah kelebihan yang paling diperlukan oleh setiap pendakwah dan pejuang.

Anda perhatikan, ada yang ilmunya tinggi tetapi tiada kebolehan untuk bercakap dengan baik. Ilmunya gagal diperolehi manusia. Lidahnya gagal memahamkan manusia.

Anda juga yang petah dan mahir bercakap tetapi ilmunya sedikit. Justeru walaupun dia mampu memahamkan manusia dengan mudah, tetapi dia sendiri kekurangan bekalan ilmu untuk diberikan.

Ada pula yang dikurniakan kedua-duanya, tetapi iradah dan kehendaknya pula kurang. Dia tiada tolakan dan rangsangan dalaman yang memaksanya untuk turun ke medan ilmu dan dakwah sebagai memenuhi tuntutan kewajiban dan amanah ugama. Justeru penyampaian ilmunya tidak disulami keikhlasan dan rasa tanggung jawab ugama.

Lebih malang, ada orang alim yang begitu petah bercakap, tetapi hanya wang dan harta duniawi yang menjadi perangsangnya untuk turun ke medan. Maka kesannya teruk dan keberkatannya hilang dan cacat.

Rasulullah telah dikurniakan ketiga-tiga kelebihan di atas. Dengan ilmu yang memuncak, kepetahan lidah yang memuncak dan iradah yang memuncak, baginda adalah sebaik-baik insan dan sebaik-baik qudwah dan ikutan sepanjang zaman.

Daripada kalangan para sahabatnya yang mulia, ada yang dikurniakan ketiga-tiga kelebihan di atas dan juga yang sebaliknya. Begitulah para ulama dan pejuang yang datang selepas mereka. Masing-masing dengan kelebihan masing-masing dengan kehendak dan izin Allah.

Adakah anda dapat merasakan tuah dan kelebihan yang dimiliki oleh al marhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah kurniaan Allah ke atasnya dengan ketiga-tiga kelebihan tersebut?

Ya, saya mendapatinya begitu. Sejarah jihadnya menuntut ilmu sedari zaman remajanya dan istiqamahnya mencintai ilmu sehingga akhir hayatnya adalah persaksian jelas yang mengesahkan ketinggian ilmunya. Itu belum lagi dilihat kepada keupayaannya mengulas hal-hal kehidupan duniawi dan ukhrawi dengan cukup mendalam.

Saksikan juga keupayaan al marhum berhujah dan bersilat tari dalam menyampaikan ilmunya kepada kita semua. Ia begitu jelas, mudah, segar dan meyakinkan. Saya sering medengar kalangan pendamba ilmu ugama yang mengatakan bahawa kepetahan dan kekuatan berhujah al-marhum tuan guru adalah begitu unik dan sukar dicari ganti. Begitulah persaksian terhadap kelebihan kurniaan Allah yang dimilikinya.

Begitu juga perihal keinginan, iradah dan kehendaknya yang membuak-buak untuk melaksanakan tanggung jawab dan amanah sebagai tuan guru, pendakwah dan pemimpin. Siangnya adalah dakwah dan jihad. Malamnya adalah kuliah dan tahajjud. Mudanya adalah kekuatan. Tuanya adalah ketinggian. Sunyinya adalah tafakkur. Bisingnya adalah hujah dan ilmiah.

Dalam bahasa mudah, Tuan Guru adalah seorang mujahid agung yang hidup matinya adalah demi perjuangan yang diimani dan dicintainya. Sebagai balasan yang nyata, Allah mengurniai beliau dengan darjat ‘istiqamah’ di atas jalan perjuangan sehingga akhir hayatnya.

Pada hari terakhirnya di dunia, saat al marhum melangkah ke alam barzakh, seluruh makhluk Allah berkabung di atas pemergiannya yang telah menghidupkan kembali jutaan hati manusia untuk turut beriman dan mendukung perjuangannya menegakkan ugama Allah di muka bumi.

Itulah kelebihan Allah yang dikurniakan kepada sesiapa saja yang dikehendakinya. Justeru adalah sayugia sekali sejarah hidup tuan guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan perjuangannya digali dan diangkat sebagai qudwah untuk kehidupan setiap kita. Begitu juga para pejuang ugama tanah air yang lain yang telah pergi meninggalkan kita. Ia adalah khazanah umat Islam yang mesti dipugar dan diteladani.

Bergembiralah kita yang telah dikurniakan seorang guru dan pemimpin yang hebat sepertinya. Semoga kita dapat menumpang pada ilmu dan perjuangannya. Semoga kehidupan kita dan umat Islam terus diserikan dan disinarkan dengan kehadiran para ulama yang menjadi cahaya yang terpantul dari benderang cahaya al-Quran dan cahaya nabi agung sallaLlahu alaihi wasallam.

* Artikel adalah untuk siri kolum ‘Terang Rembulan’ akhbar Harakah.

ZIARAH KUBUR TGNA

Tarikh : 17 Oktober 2015

Lokasi : Kg Pulau Melaka Kelantan

20151017_151005 20151017_151238 20151017_151649 20151017_151657 20151017_151705TGNA

Siaran oleh Astro Oasis pada 2 Mac 2015

Tarikh : 13 Febuari 2015

Lokasi : Surau ar-Rahman, MTQQNS

Warga MTQQNS turut merasa dukacita atas pemergian TGNA pada malam tadi. Pagi ini warga maahad mendirikan solat janazah ghaib untuk janazah TGNA. Semoga Allah SWT merahmati ruh TGNA dan menempatkannya bersama para nabi, siddiqin, syuhada dan orang-orang soleh.

Solat Ghaib TGNA  (1) Solat Ghaib TGNA  (2) Solat Ghaib TGNA  (3)

Solat Ghaib TGNA (4) Solat Ghaib TGNA (5) Solat Ghaib TGNA (6)

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/33863-tribut-buat-sang-pencerah

SEAKAN petir menyambar relung hati apabila mesej kepulangan abadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat aku terima saat sedang berforum memperingati as-syahid Hasan al-Banna di masjid al Azim Pandan Indah. 12 Februari 1949, umat Islam kehilangan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin dan 12 Februari 2015, dunia Islam kehilangan pula Mursyidul Am PAS. Air mata mula bergenang dan aku menamatkan forum malam itu tanpa ada sesi soal jawab, terasa jasad longlai dan kehilangan patah-patah kata. Terpanar!

Aku mula merasakan kehadiran Ayah Ziz dalam hidupku pada tahun 1986, apabila Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu memberikan kuliah subuh di Masjid Rusila sempena Muktamar PAS Pusat. Sejujurnya aku tertidur culas semasa kuliah subuh berlangsung, suara perlahan yang penuh mutiara ilmu itu tak mampu dicicip oleh aku dan teman-teman remaja berseluar jeans lusuh dan berbaju T. Kami mengambil Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun tersebut. Pada malam itu hujan turun ketika kami melabuhkan badan di perkarangan Masjid Rusila, kami berlari masuk menyambung dengkuran dalam masjid dan menyambung tidur lagi semasa kuliah subuh berlangsung. Aku merenung kembali nostalgia ini dengan dada sebak dan air jernih mengalir dipelupuk mata, merasa beruntung kerana jamaah ini dipandu oleh ulama dan tidak meminggirkan kami anak-anak remaja yang jahil.

Pada tahun 1990 pula bersama teman-teman yang mengambil peperiksaan STPM, kami bertakbir kegembiraan di perkarangan Pejabat Daerah Marang, bukan sahaja meraikan kemenangan Tuan Guru Haji Hadi Awang di Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang, juga kerana keberhasilan PAS menawan kembali Kelantan melalui pemuafakatn politik APU.

Nama Tuan Guru Nik Aziz mulai diratib oleh rakyat negara ini apabila menjadi Menteri Besar Kelantan, dengan penampilan sederhana, alumni Deoband dan al-Azhar ini mula mendapat sorotan lensa dan menjadi tajuk utama berita. Sosok ini menjadi fenomena politik dan dakwah tanah air, ribuan manusia menghadiri kuliah dan ceramahnya di mana sahaja beliau hadir. Paling menarik, kejayaan almarhum melintasi garisan politik kepartian, sosok dan aura sebagai negarawan mengiringi pelbagai  ilmu yang beliau miliki.

Tuan Guru Nik Aziz semenjak usia mudanya sehinggalah sebelum beliau dimasukkan ke wad ICU berhempas-pulas berjuang untuk mewajahkan Islam yang sebenar kepada masyarakat negara ini yang telah jauh meninggalkan agama akibat penjajahan dan juga pengisian kemerdekaan oleh parti pemerintah yang tidak meletakkan Islam sebagai agama sistem hidup. Tuan Guru seorang tokoh yang tidak berhenti untuk mendidik dan men’tarjih’ masyarakat untuk menjadi subur jiwa dengan haruman ketaqwaan. Hujan, panas, kekangan masa serta kepenatan diri tidak menjadi alasan untuk beliau berhenti mengajar dan menyantuni segenap lapisan masyarakat. Beliau telah menjadi milik masyarakat dan negara bahkan menjadi simbol kepada rakyat tertindas di negara ini.

Semenjak dilantik sebagai MB beliau kekal mendiami rumah kampungnya yang serba sederhana yang dijirani dengan masjid dan Sekolah Agama Darul Anuar yang didirikan oleh Almarhum orang tuanya sendiri. Segak bergaya dengan lilitan serban, bersampin dan berbaju melayu dan beliau juga memulangkan elaun rumah sebanyak RM3,000 kepada perbendaharaan negeri. Tidak ada jurang diantara beliau dengan rakyat pelbagai peringkat, datanglah seusai subuh setiap hari Jumaat, Tuan Guru melayan tetamu yang datang dari seluruh negara. Rumah dan masjidnya menjadi produk pelancongan bagi negeri Kelantan. Kuliah Subuh pagi Jumaat mempunyai tarikan yang besar kepada anak-anak tempatan dan pelancong luar Kelantan. Hidupnya tidak dikelilingi oleh pengawal peribadi seperti pemimpin lain di Malaysia, tiada skuad motor atau ‘out rider’ mengiringi beliau ke hulu ke hilir.

Jika hari lebaran tiba, berkunjunglah ke Pulau Melaka dan santaplah apa yang ada sekadarnya. Tuan Guru tidak membazirkan duit rakyat untuk jamuan raya rumah MB, elaun keraian MB juga diserahkan kepada perbendaharaan negeri, bahkan gajinya dipotong sebanyak 45 peratus untuk rakyat dan parti yang didokongnya. Seperti kata seorang sahabat, bahawa sosok ini akan muncul sekali dalam seabad malah permata kepada PAS yang ingin menterjemahkan konsep ‘good governance’. Bayangan Umar Abdul Aziz memerintah (99H-101H)kini dan telah muncul di Kelantan. Tuan Guru mengingatkan kita kepada akhirat dalam arus pemodenan yang sarat dengan perlumbaan untuk meraih kemewahan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah sosok yang wajar diteladani oleh pemimpin-pemimpin gerakan Islam di negara ini. Beliau berjaya menunjukkan kepada rakyat negara ini dan juga dunia bagaimana untuk mengaplikasi ilmu-ilmu Islam yang dipelajarinya. Keupayaan ini sangat terserlah sehingga banyak ditiru olek kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri BN yang lain. Beliau mempunyai kekuatan spiritual yang ampuh bagi menghadapi serangan liar musuh dengan tidak mengabaikan amalan-amalan sunat bagi melestarikan amalan fardhu, tutur patahnya di saat tenang mahupun saat cemas semuanya dikaitkan dengan nas yang kukuh. Figur ini sering pula menjadi bidikan media milik BN dengan memutar belit kenyataan supaya sosok mulia ini dilihat angkuh, bodoh dan menjadi liabiliti kepada PAS, namun semua serangan ini akan dan telah menjadi ‘boomerang’ yang membahang batang tengkuk diri mereka kembali.

Almarhum Tuan Guru yang telah menikmati saat-saat gemilang dalam kehidupan. Beliau telah diangkat menjadi ikon kepada seluruh masyarakat. Beliau bukan sahaja milik kepada ahli-ahli PAS namun juga rakyat biasa yang tidak menyertai mana- mana parti politik juga sangat senang apabila berbicara tentang beliau. Umno sendiri mengakui bahawa agak sukar untuk mereka merampas kembali Kelantan ketika Tuan Guru masih berkuasa, sebagai mana yang kita lihat dalam PRU12, kempen ‘pade doh 18 tahun’ yang dilancarkan oleh pemuda Umno Malaysia dilihat tidak berhemah sehingga menimbulkan kemarahan rakyat Kelantan yang masih setia bersama Tuan Guru selepas 18 tahun memerintah Kelantan

Abad 20 telah menyaksikan ramai tokoh- tokoh Islam dengan kerencaman bakat dan kepakaran, Hassan al-Banna,Sayyid Qutb, al-Maududi, Dr M. Natsir, Yusuf Qaradhawi, Dr Mustapha as-sibaie, Abul Ali Hassan an-Nadwi, Ahmad Yassin, serta ribuan tokoh lain yang menulis sejarah dengan tinta emas. Namun, Tuan Guru bukan sekadar ideologue kepada gerakan Islam malah pentadbir yang berkesan, satu ruang yang jarang dikecapi oleh tokoh-tokoh besar gerakan Islam yang lain. Tidak kurang pula tokoh gerakan Islam yang berada di singgahsana kekuasaan akhirnya terkumpul dengan imej kejabatan dan kebobrokan.

Almarhum Tuan Guru dalam tempoh lima penggal mentadbir Kelantan telah berinteraksi dengan khalayak yang pelbagai. Beliau tidak pernah berhenti untuk mendidik masyarakat Kelantan dan juga luar Kelantan. Pemikirannya sentiasa dikaji dan diperdebatkan. Tidak kurang pula kenyataannya dipolemikkan seperti isu ‘tuhan samseng’, ‘bekerjasama dengan syaitan’ dan pelbagai isu lain yang telah dipolitikkan dengan cara berlebihan oleh media. Tuan Guru dalam membuka ruang perdebatan telah memungkinkan rakyat dihidangkan dengan Islam yang sebenar, terlalu banyak isu yang berakhir dengan ramuan kesempurnaan disebelah Tuan Guru dan juga PAS serta negeri Kelantan.

PENUTUP

Tokoh murabbi ummah ini meninggalkan kita dengan seribu kebaktian dan menjadi cermin keteladanan di jalan dakwah, tarbiah dan siasah. Maestro dakwah ini menjadi arca yang memantulkan cahaya pembias sehingga mengharumkan gerakan Islam ini, pemergiannya ke negeri abadi untuk selamanya telah ditangisi jutaan manusia, melepasi sempadan geografi dan politik. Ratusan ribu menyolatkan jenazah almarhum serta menyempurnakan pemakaman insan yang bukan hanya milik PAS tetapi ummah seluruhnya. Bersemadilah dengan penuh bahagia wahai sang  murabbi dan kami akan terus menyambung perjuangan membentengi agama Allah ini sehingga Deenullah ini tegak di tanah leluhur ini. – HARAKAHDAILY 14/2/2014

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Timbalan Pengerusi Lujnah Kebajikan Pusat)

Tarikh : 13 Februari 2015

Lokasi : Kg Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan

Sumber foto : Internet (FB, Whatsapp)


Pemergian TGNA (0) Pemergian TGNA (1) Pemergian TGNA (2) Pemergian TGNA (3) Pemergian TGNA (4) Pemergian TGNA (5) Pemergian TGNA (6) Pemergian TGNA (7) Pemergian TGNA (9) Pemergian TGNA (10) Pemergian TGNA (11) Pemergian TGNA (12) Pemergian TGNA (13) Pemergian TGNA (14) Pemergian TGNA (15)Pemergian TGNA (16)Pemergian TGNA (17)Pemergian TGNA (18)Pemergian TGNA (19)Pemergian TGNA (20)Pemergian TGNA (21)Pemergian TGNA (22)Pemergian TGNA (23)Pemergian TGNA (24)Pemergian TGNA (25)Pemergian TGNA (26)Pemergian TGNA (27)Pemergian TGNA (28)Pemergian TGNA (29)Pemergian TGNA (30) Pemergian TGNA (31)Pemergian TGNA (32)Pemergian TGNA (33)Pemergian TGNA (34)Pemergian TGNA (36)Pemergian TGNA (37)Pemergian TGNA (38)Pemergian TGNA (39)Pemergian TGNA (41)Pemergian TGNA (42)Pemergian TGNA (43)Pemergian TGNA (44)Pemergian TGNA (45)

%d bloggers like this: