Tag Archive: Pakatan Rakyat


 Sumber : Harakah

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, terpulang kepada mana-mana parti termasuk dalam Pakatan Rakyat untuk menyatakan pendirian mereka terhadap usaha perlaksanaan hudud di Kelantan.

Ini kerana katanya, tidak ada sebarang perjanjian untuk menghalang PAS daripada mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berhubung perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 negeri itu ke Parlimen.

“Isu hudud di Kelantan ini mendahului Pakatan Rakyat. Ianya sejak tahun 90an. Awal lagi sebelum ada Pakatan Rakyat. Dengan sebab itu tidak ada masalah untuk kita kemukakan (RUU Persendirian). Adapun pendirian parti lain, terpulang kepada mereka. Kita konsisten dalam isu ini,” kata beliau yang ditemui di luar Dewan Undangan Negeri Terengganu, di sini.

Beliau juga menjelaskan, PAS menyokong penuh tindakan Kerajaan Kelantan pimpinan Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob yang mahu mengemukakan RUU Persedirian itu selewatlewatnya Disember tahun ini.

Isu hudud kembali diperkatakan selepas Kelantan mengumumkan akan mengemukakan Rang Undang- Undang Persendirian (RUU) berhubung perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 negeri itu ke Parlimen. Ekoran itu, pihak-pihak tertentu cuba mengambil kesempatan dengan cuba melaga-lagakan parti-parti dalam Pakatan Rakyat khususnya antara PAS dan DAP.

Ketika isu ini hangat diperkatakan pada 2011 lalu, Pakatan Rakyat telah menyatakan pendirian bersama dalam isu ini melalui satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 29 September di Pejabat Agung PAS.

Dalam sidang media yang dihadiri bekas Pengerusi DAP Karpal Singh, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu, mereka mengumumkan mengambil pendirian menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga parti khususnya dalam isu hudud.

Ia termasuk menghormati aspirasi PAS mahu melaksanakan hudud disamping menghormati pandangan DAP yang membantahnya ekoran bertentangan dengan perlembagaan. Mereka juga bersetuju memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yang wujud sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat.

Tarikh : 29 Ogos 2013

Lokasi : Dewan Ilmu Perpustakaan MBPJ, Petaling Jaya

a-samad-said-poster

Sumber : http://www.themalaysianinsider.com/opinion/dinsman/article/a.-samad-said-sasterawan-kehormat-unisel

Oleh : Dinsman atau nama sebenarnya Che Samsudin Othman adalah budayawan, penulis dan sastrawan. Beliau menulis untuk kepuasan dan kebebasan berkarya.

Dia ikon generasi abad ini, bukan sahaja sebagai penyair atau sasterawan yang membesarkan khazanah bangsa dengan karya-karyanya, tetapi juga tokoh kemanusiaan yang hidup di tengah-tengah khalayak massa.

Beliau negarawan yang menyimpan banyak rahsia sejarah bangsa dan negara dan terus prihatin dengan permasalahan negara-bangsanya, seniman yang sentiasa mengalir bersama sungai dan bergolak bersama gelora bangsa, berdenyut rasa bersama nadi dan amarah rakyat.

Beliau juga pemikir yang telah menghazam dan mencernakan kebijaksanaan dan kearifan kehidupan dunia ke dalam dirinya hingga tutur katanya pun kini menjadi indah bak mutiara puisi.

Ya, itulah A. Samad Said yang hari ini disebut Pak Samad saja pun orang sudah tahu siapa yang dimaksudkan. (Seperti disebut pada sepanduk bicara bukunya Di Atas Padang Sejarah di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam 14 September lalu).

Saya terfikir orang seperti Samad Said itu, usianya 81 tahun, masih menghasilkan karya sehebat Di Atas Padang Sejarah itu (dan saya mengharapkan ada yang lebih hebat lagi akan dilahirkannya), dan pihak polis di Malaysia masih sanggup “menyerbu” rumahnya (3 September) mengganggunya di waktu lewat malam dan membawanya ke balai hanya untuk mengambil sedikit info darinya.

Saya terfikir, dengan khazanah yang telah disumbangkannya kepada tamadun bangsa kita yang begitu besar maknanya, dan dengan sumbangannya kepada pihak Pakatan Rakyat yang tidak kurang besarnya dibandingkan dengan tokoh-tokoh pimpinan politik sendiri.

Saya terfikir – apakah kita sebagai bangsa yang bermaruah dan berbudi mulia (dikatakan lebih mulia budi kita daripada budi orang-orang di sebelah Umno-Barisan Nasional), dengan negeri Selangor yang menteri besarnya terkenal pandai mengumpul wang simpanan hingga RM3 bilion untuk kesejahteraan rakyat.

Saya terfikir – apakah kita hanya mampu menunjukkan hormat kita kepadanya dan rasa bangga kita mempunyai tokoh/watak seperti dia itu di tengah kita dan bersama dengan kita, hanya dengan sesekali menjemput dia membaca puisi dengan bayaran ala kadar dan Kerajaan Negeri Selangor menganugerahkan dia satu anugerah (yang saya pun tak ingat lagi apa namanya) yang disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis yang dibuat tergesa-gesa (entah kenapa) hingga para budayawan yang selalu bersama dengan dia pun tak dijemput, dan dengan hadiah wang sebanyak RM10 ribu.

Apakah sebesar itu sahaja kemampuan yang kita ada untuk menyatakan rasa syukur dan bangga kita terhadap khazanah budaya dan harga diri bangsa kita yang sehebat itu?

Tentulah tidak, ya! Makanya alangkah suka dan bangganya kita sekiranya diberitahu bahawa sebuah institusi pengajian tinggi seperti Universiti Selangor (Unisel) itu misalnya, berbangga kerana mereka mempunyai seorang tokoh kreatif seunggul Samad Said bersama mereka, sebagai seorang daripada keluarga besar mereka, sebagai seorang daripada sarjana, pemikir dan penulis besar mereka, yang bertaraf dunia.

Apabila sebuah universiti kita mempunyai dan berbangga mereka ada orang seperti Samad Said itu di kalangan mereka, saya fikir, ia tentunya dapat memberi sumbangan yang besar kepada universiti itu.

Samad Said telah dianugerahkan ijazah kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kesarjanaannya sebagai seorang yang memiliki ilmu dan kepakaran dalam bidang sastera, penulisan, kesenian, kebudayaan, falsafah dan kesusasteraan dunia, tentulah tak dapat dipertikai. Maka tidak hairanlah kalau dia akan dianugerahkan pula gelaran Profesor.

Akan bersemaraklah nanti kampus Unisel, di Shah Alam dan di Bestari Jaya, dengan kehadiran Samad Said yang ramah dan mudah berinteraksi dengan para pelajarnya, para pensyarahnya dan juga kakitangannya. Akan bersemaraklah kampus Unisel itu dengan aktiviti-aktiviti seni-budaya, di samping keilmuan dan falsafah, dengan kehadiran novelis Salina yang namanya sudah dikenal di peringkat antarabangsa itu.

Samad Said, nama yang sudah menjadi sebuah institusi kesusasteraan itu barangkali akan menghidupkan satu keghairahan baru terhadap seni dan sastera yang berteraskan keilmuan di kampus Unisel. Walaupun buat masa ini universiti itu belum ada pengajian kesusasteraan dan penulisan, tidak mustahil kehadiran A Samad Said di situ akan mengubah keadaan.

Sebagai Sasterawan Kehormat satu-satunya di universiti di negara ini, yang diinstitusikan oleh Kerajaan Negeri Selangor, kehadiran Samad Said di kampus Unisel itu bukanlah semata-mata kehadiran kosong. Ia akan hadir bersama dengan sokongan para budayawan seperjuangannya, juga sokongan dana daripada Kerajaan Negeri Selangor, untuk menghidupkan potensi kesenian dan kesusasteraan Melayu diangkat statusnya ke persada dunia.

Beberapa program yang sesuai akan dirancang untuk memanfaatkan kehadiran seniman berusia 81 tahun ini. Tentunya perancangan yang mengambil kira bahawa tujuan utama dari pelantikan Samad Said ini ialah sebagai menghormati dan menghargai pencapaiannya, dan tidak akan mengganggu proses kreatifnya ke arah melahirkan karyanya yang baru.

Misalnya antara program yang dirancang ialah menganjurkan satu pertemuan penyair-penyair terkenal dari seluruh dunia, khasnya penyair-penyair yang memang sudah ada hubungan dengan Samad Said.

Bukanlah Samad Said yang akan disibukkan dengan kerja-kerja persiapan ke arah menjayakan pertemuan itu. Tidak. Ada pihak lain yang akan melakukan kerja-kerja itu.

Samad Said hanya akan menjadi tempat rujukan dan sebagai penasihat sahaja. Namun pada hari pertemuan itu nanti dialah yang akan menjadi tumpuan penyair-penyair yang datang dari seluruh dunia, kerana mereka itu semua adalah tetamunya.

Itu sekadar satu contoh program yang dirancang. Program lain ialah seperti kuliah penulisan secara bersiri kepada pelajar yang berminat; syarahan budaya kepada pelajar-pelajar dan kakitangan akademik; majlis baca puisi dua bulan sekali, dan sebagainya.

Semoga pihak Pakatan Rakyat, khasnya pimpinan tinggi PAS yang berfikir serius mengenai seni-budaya hingga mewacanakan Malaysia sebagai “Kuasa Budaya Dunia”, boleh memulakan langkah menuju ke arah matlamat besar itu dengan membuat langkah ini – sebagai mesej menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat adalah lebih baik daripada pihak lawannya, dalam hal menghargai seni-budaya dan mengakui pentingnya peranan seni-budaya dalam membina tamadun manusia. – 23 September, 2013.

haron din

Sumber : http://www.pas.org.my/v2/index.php/artikel/timb-mursyidul-am/1710-pas-sesat-bertahaluf-dengan-orang-kafir

Datuk, mengapa PAS bertahaluf dengan DAP? Tidakkah DAP itu kafir? Mengapa PAS tidak bertahaluf dengan Umno? Umno jelas Islam, mana lebih baik bertahaluf sesama Islam atau bartahaluf dengan orang kafir? Penjelasan ini amat perlu khususnya dalam keadaan gawat seperti sekarang ini yang ditunjukkan oleh keputusan PRU13 yang boleh merugikan Islam.

Abdul Quddus Abdul Mukmin, Padang Jawa, Klang, Selangor.

PERKARA pertama yang perlu anda tahu dan faham, bahawa tahaluf itu adalah sesuatu yang diharuskan oleh hukum syara’ dengan syaratsyaratnya. Apa yang dilakukan oleh PAS dalam isu tahaluf dengan DAP, sebenarnya tidak bercanggah dengan syarat-syarat syarak.

Kedua tahaluf yang dilakukan bersama orang kafir, akan tetapi jika sesama Islam tidak pula dinamakan dengan tahaluf. Kerana asasnya umat Islam adalah bersatu pada asalnya, kerana umat Islam perlu bersatu dan tidak boleh berpecah-belah.

Ketiga, Rasulullah s.a.w. pernah bertahaluf dengan Yahudi Madinah apabila kabilah-kabilah Arab Musyrikin Makkah membuat onar dan menimbulkan penindasan dan kezaliman terhadap Rasulullah dan juga Yahudi, maka apa yang dilakukan oleh Rasulullah untuk bertahaluf menghadapi kezaliman Musyrikin adalah diharuskan.

Keempat, banyak kali berlaku pada Rasulullah s.a.w. bermuamalah dengan orang kafir sedangkan baginda boleh bermuamalah dengan orang Islam, contohnya ketika Rasulullah hendak berhijrah ke Madinah, baginda bermuamalah dengan Abdullah bin Uraiqit iaitu seorang musyrik, sedangkan pada waktu itu ramai lagi orang Islam yang boleh Rasulullah bermuamalah dengan mereka.

Begitu juga Rasulullah pernah bermuamalah dengan seorang Yahudi dengan menggadaikan baju besinya kepada Yahudi itu untuk mengambil bahan makanan bagi keluarganya.

Persoalannya di sini, mengapa dengan Yahudi Nabi bermuamalah? Mengapa tidak dengan orang Islam? Kalau dengan orang Islam, mungkin Nabi tidak perlu menggadai baju besinya atau tidak perlu membeli atau berhutang, mungkin orang Islam akan memberi sebagai satu hibah (pemberian) secara percuma kepada Nabi.

Namun demikian, Nabi meninggalkan orang Islam dan bermuamalah dengan orang Yahudi. Mengapa berlaku demikian? Kerana hendak menyatakan ada ketika-ketikanya dengan sebab-sebab tertentu umat Islam diharuskan bermuamalah atau bertahaluf dengan orang kafir dan tidak dengan orang-orang Islam.

Kelima, PAS pernah memasuki Pakatan Barisan Nasional dengan Umno pasca tragedi 13 Mei 1969, dengannya terselamat Umno daripada tumbang atas gelombang rakyat menolak Umno – Perikatan ketika itu. Dengan penyertaan PAS ke dalam Barisan Nasional (menggantikan Perikatan) ketika itu, maka selamatlah Umno, maka kuat semula Umno dan tegak semula BN.

Maka ia terselamat daripada tumbang dan ditumbangkan oleh rakyat. Selepas Umno kuat semula dan merasakan PAS tidak diperlukan, maka Umno memecat dan menghalau PAS keluar daripada BN.

Banyak pihak yang mengetahuinya, maka PAS ditendang daripada BN, kesannya PAS berpecah dan bercelaru serta banyak ahlinya meninggalkan PAS, ada yang menubuhkan Parti Islam yang perlu menandingi PAS, PAS hampir terkubur ketika itu angkara perbuatan Umno, pengalaman itu amat pahit dan PAS berhempas pulas untuk bangun semula, dan sekarang sudah terbangun.

Sejauh ingatan saya, Umno tidak pernah menyatakan kekesalannya kerana memecat dan menghalau PAS keluar daripada BN, malah Umno tidak pernah meminta maaf kepada PAS hingga ke hari ini.

Kalau itulah sikap Umno, maka bagaimana orang PAS mahu memikirkan untuk mendampingi Umno semula seperti ada usaha membayangbayangkan isu itu, pengalaman amat pahit itu bagi PAS amat berguna.

Apabila PAS bertahaluf dengan Pakatan Rakyat khasnya dengan DAP, jelas PAS mengaut keuntungan yang ketara hasil daripada keputusan undi dalam PRU13 baru-baru ini, PAS semakin mendapat pertambahan pengundi dan penyokong.

Namun demikian, ramai orang menyedari, bahawa ‘Tahaluf Siayasi’ bukanlah satu perkara yang qat’ie, ini adalah satu hasil ijtihad daripada ahli-ahli PAS yang layak, hasil ijtihad itu diterima pakai dan namun demikian ia tetap terdedah kepada pelbagai kemungkinan, ijtihad boleh kekal selagi tidak ada keperluan untuk menyemaknya seperti timbul masalah.

Ada perkara-perkara penting yang menjadikan ijtihad itu lagho, maka barulah timbul keperluan untuk melihat semula perkara-perkara ijtihad yang lampau, atas dasar itulah persoalan mengapa PAS dan Umno tidak dapat disatukan yang dapat dilihat dari perkaraperkara yang telah saya sebutkan tadi, sekian wassalam.

WARGANEGARA EXPRESS

 

1. Dr Haron Din 2. Ust Azizan 3. Azmin Ali 4. Nik Abdul Aziz 5.Abdul Hadi Awang 6. DSAI 7. Salahuddin Ayub 8. Husam Musa 9. TITM 10. Riduan Md Nor 11. Nasrudin Tantawi

dghafir

 

S: Bagaimana Datuk melihat situasi peralihan kuasa secara aman sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya? Ada teori berkata angkatan tentera akan berpihak atau huru-hara berlaku.

J: Saya yakin angkatan tentera profesional. Mereka dapat menjalankan tugas dengan adil dan saksama untuk mengekalkan kedaulatan undang-undang walau apa pun yang berlaku. Saya yakin bahawa mereka tidak akan berpihak. Saya berharap tentera akan menjalankan tanggungjawab seperti yang selalu mereka jalankan.

S: Situasi di Sabah. Datuk melihat pencerobohan adakah mempunyai agenda tertentu?

J: Perairan Sabah begitu luas, tak ada jaminan tak boleh dibolosi. (Saya tidak menolak) mungkin ada satu perancangan. Yang penting. Kita kena selesaikan masalah akar umbi, orang Sulu. Kalau kita selesaikan keresahan mereka dia di sana, masalah tidak akan merebak ke sini.

S: Adakah senario ketenteraan ini untuk wujudkan kebergantungan rakyat kepada kerajaan sedia ada?

J: Mungkin berlaku secara kebetulan sebelum pilihan raya. Pada pandangan saya ada kemungkinan ini dirancang oleh sesetengah pihak. Tetapi keutamaan kita menyelesaikan (peringat akar umbi). Jika bertindak secara ketenteraan ada implikasi masa panjang hubungan diplomasi dua negara. 

Tetapi menceroboh sesebuah negara secara bersenjata merupakan kesalahan besar. Keyakinan rakyat tergugat kalau kita sentiasa lepaskan orang yang bersenjata dengan aman. Ia akan mengundang kumpulan-kumpulan lain datang buat benda sama.

S: Mengenai isu kebajikan tentera semasa bertugas dan selepas bersara. Tentera tak berpencen adakah kebajikan mereka terbela?

J:Saya berpandangan kita kena melihat masalah ini secara menyeluruh. Pada saya perlu ditengok syarat perkhidmatan. Adakah membenarkan tentera berhenti pada umur 30an atau 40an bijak? Atau pun pilihan untuk sambung jawatan seperti pegawai kerajaan lain. Perkara itu kena kaji secara menyeluruh. Mengenai pencen, misalnya jumlah yang diberi ikut kadar perbelanjaan sekarang tidak mencukupi.

Yang tidak berpencen lebih rugi kerana walaupun mereka dapat gratuiti, bayaran itu tidak banyak. Kena naikkan gratuiti. Kadang-kadang mereka ada tanah tetapi tak cukup duit nak bina rumah. Badan seperti (Jabatan Hal Ehwal) Veteran pula kena monitor mereka yang telah berhenti. Saya rasa peruntukan geran yang lebih besar harus diberi. 

S: Kebajikan polis misalnya lebih terbela. Ada taman koperasi polis, ada IPT polis. Tetapi perumahan tentera mengecewakan……

J: Dulu ada koperasi tentera. Tugasnya membina rumah untuk mereka yang akan pencen. Tetapi skim ini diberhentikan kerana kos membina rumah tinggi. Saya rasa koperasi ini amat penting. Satu lagi, anggota tentera kadang-kadang tak minat kerja di Kuala Lumpur kerana kos hidup tinggi. Mereka ini juga perlu diberi perhatian. Cadangan saya hidupkan balik koperasi atau wujudkan skim-skim yang lain yang boleh bina perumahan, tentera boleh beli dengan harga yang lebih sesuai dalam keadaan pencen atau dengan gratuiti mereka

S:Apa yang perlu ditawar oleh Pakatan dalam hal ini?

J:Kerajaan baru yang ambil alih, memang saya yakin kalau benda ini dikaji dan sebagainya ia dapat dilaksanakan.

S:Bagaimana jika Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) buat anak syarikat yang bina rumah?

J:LTAT boleh sediakan perumahan kos rendah dan menjual balik kepada anggota. Buat bisnes dari duit caruman. Buat sedikit keuntungan untuk perumahan dan jual rumah dengan murah. 

S: Isu peralatan pertahanan. Misalnya persediaan anggota terlibat di peringkat nasional atau antarabangsa?

J: Saya bangkitkan isu untuk tunjukkan keperitan tentera yang berkhidmat tapi tidak dibalas secara berpatutan walaupun keadaan sekarang dalam perkhidmatan lebih baik. Bagaimanapun dari segi keseluruhan, ada lagi yang mengecewakan seperti prasarana. Alasan tidak cukup peruntukan. Peruntukan yang begitu banyak mana perginya?

S: Boleh Datuk berikan sedikit perincian

J:Saya kira dalam tempoh berkhidmat. Selama 36 tahun ada lima Rancangan Malaysia. Dalam setiap rancangan peruntukan pertahanan RM5 – RM7 bilion. Keseluruhan RM35 – RM49 bilion. Setiap tahun kita dapat belanja mengurus RM2 bilion setahun. RM1 bilion bayar gaji.

Jumlah keseluruhan RM75 bilion banyak. Kita tengok peralatan dan kemudahan untuk tentera adakah seimbang dengan peruntukan. Kalau tak seimbang mana pergi duit yang lain? Itu yang saya katakan budaya tak betul. Kita buat pilihan untuk beli secara runding terus. Kos terlampau tinggi.

S:Bukankah ada soal kerahsiaan dalam peralatan pertahanan?

J:Parlimen sepatutnya boleh bertanya, berdebat . Tapi masalahnya benda ni tak telus. Kadang-kadang ahli parlimen pun tak tahu. Sebaiknya mereka mesti telus di parlimen dan sebagainya. Baru ada check and balance.

Saya jumpa dengan bekas anggota PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Parlimen). Dia kata Datuk, selepas dengar Datuk punya pendedahan baru tahu apa yang berlaku. Saya ahli PAC. Kalau ahli PAC pun tak tahu maknanya tak ada ketelusan di kalangan ahli PAC. Kalau audit tak tahu, audit kata harga itu sahih. Tetapi kepada mereka yang tahu kos mereka akan bertanya mengapa bayar mahal sangat. 

Satu lagi ialah pemindahan teknologi. Bila dah beli senjata. Kita kena senggara senjata. Alat ganti sangat mahal. Dalam hal ini pemindahan teknologi sangat penting…..

S: Bukakah kita mampu ubahsuai jet MIG?

J:Ubahsuai ikut keperluan. Pemindahan teknologi lain. Selepas habis anggota kita semua tahu nak baiki enjin. Buat alat ganti, sesetengah alat ganti yang tidak rumit boleh dibuat di sini. 

Ada yang dibuat tetapi secara kecil-kecilan.(Kemahiran) tukar bateri atau cat body. Benda yang tak penting. Misalnya, radar atau peralatan lain yang penting tak diajar. Dalam perjanjian tak tegas untuk pindah teknologi. Kalau tak ditekankan, sampai bila pun kita tak dapat.

S: Timbul pertanyaan kenapa semasa berkhidmat tak nak tegur perkara tersebut?

J:Saya berhenti dalam tentera setahun lebih awal. Kajilah apa yang berlaku. Kalau semuanya baik tentu saya tak berhenti awal.

S: Kalau dibandingkan dengan tentera negara jiran

J:Askar kita antara yang terbaik di dunia. Semasa nak pergi ke Namibia. Satu batalion dari kem Terendak disediakan selama setahun untuk ke sana. Tapi saat akhir PBB kata tambah satu lagi batalion. Saya ambil batalion dalam hutan. Tempoh persediaan seminggu dan terus pergi ke padang pasir. Askar mana boleh buat begitu? Kalau dilengkapkan mereka dengan peralatan terbaik kita akan dapat askar terbaik dalam dunia. 

S: Apakah harapan Datuk kepada kerajaan Pakatan dalam membela kebajikan tentera?

J:Apabila seseorang masuk tentera ada dua kontrak mereka tandatangan. Satu kontrak askar berjanji akan berkhidmat bila-bila masa, di mana sahaja diperlukan. Satu lagi kerajaan berjanji untuk memberi apa yang mereka perlukan; gaji, perumahan, kemudahan, pencen dan kebajikan selepas berhenti.

Saya selalu sebut kepada Datuk Seri Anwar perkara ini (agar diambil berat oleh kerajaan baru)

Aisyah

SN A Samad Said

ITO

Anthony Loke

Mohd Sabu

Lim Kit Siang

TG Hj Abdul Hadi Awang

DSAI

Sumber : http://www.pas.org.my/

Para ulama meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :

.لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا لو دعيت به في الاسلام لأجبت
(السيرة النبوية لابن كثير – (ج 1 / ص 258

(Sesungguhnya aku pernah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jud’aan satu persefahaman, sekiranya aku diajak bersamanya dalam Islam nescaya aku menerimanya).

Peristiwa bersejarah ini berlaku dimasa jahiliyah, ketika Rasulullah S.A.W. belum dilantik menjadi Rasul dalam usia dua puluhan. Apabila  bapa-bapa saudara baginda  membawanya menyertai pertemuan khusus dikalangan pemimpin utama Makkah. Rasulullah S.A.W. diizinkan menyertai perjumpaan khas itu dalam usia yang dianggap terlalu muda dan mentah, tetapi  diakui kebijaksanaanya yang luar biasa dan akhlaknya yang sangat mulia.

Peristiwa ini berlaku apabila seorang pengunjung Makkah daripada Qabilah Zubaid  Yaman yang berniaga, dizalimi oleh seorang bangsawan Makkah  bernama Al ‘Aas bin Waael. Pendatang yang dizalimi gagal mendapat pertolongan daripada rakan-rakan kenalannya, kerana kedudukan bangsawanan si zalim itu. Lalu mangsa kezaliman mendaki bukit Qubais berhampiran Kaabah melaungkan rayuan pertolongan dan mencabar bahawa kesucian Makkah dan keamanannya sudah tidak ada lagi.

Apabila seruannya didengari oleh para pemimpin Makkah yang sedang berkumpul, mereka merasa malu dan tercabar. Maka diadakan perjumpaan tergempar di rumah Abdullah bin Jud’aan dengan membuat keputusan satu muafakat yang dinamakan Half Al Fudul bagi menentang kezaliman dan membela sesiapa yang dizalimi.

Rasulullah S.A.W. bersabda  tersebut diatas dengan huraiannya : (Kalaulah persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam  Islam pun nescaya aku menerima dan menyertainya).

Rasulullah S.A.W. juga bersabda secara umum:

 (الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها .(ابن ماجه

(Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak memungutnya).

Di atas konsep inilah maka Rasulullah S.A.W. menerima persefahaman  tersebut, walaupun mereka itu daripada  kalangan pemimpin jahiliyah. Banyak perkara baik daripada amalan zaman jahiliyah dan kalangan yang berperikemanusiaan  daripada berbagai bangsa bukan Islam, seperti melayan utusan daripada negara luar  termasuk negara musuh, perlindungan keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian antarabangsa dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam. Rasulullah S.A.W. juga menyatakan sempadan dengan sabdanya :

 (المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا وأحل حراما (البخاري وغير

(Orang-orang Islam itu hendaklah bertanggungjawab diatas segala syarat yang mereka tetapkan, malainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram).

PAS adalah Parti Islam yang berpaksi dan berpandukan hukum tertinggi mengikut undang-undang tubuhnya (Perlembagaan). Pelaksanaannya dikawal oleh Majlis Syura Ulama, sehingga boleh membatalkan segala keputusan dan langkah yang bertentangan  dengan ajaran Islam. Maka PAS tidak boleh disamakan dengan UMNO. Begitu juga hubangan PAS dengan DAP dan kalangan bukan Islam, sangat berbeza dengan hubungan diantara komponen Barisan Nasional yang tidak berdasar dan berkonsepkan Islam daripada Al Quran dan Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qias.

Hubungan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan Tahaluf  yang berpandukan nas tersebut diatas. Pakatan Rakyat adalah satu muafakat politik dalam konsep Tahaluf  Siyasi  yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dalam skop hukum Feqah politik Islam.

Bekerjasama dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran negara  yang dialami oleh seluruh rakyat, seperti  amalan demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, mesyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah.

Umno yang mewakili Melayu Islam dalam Barisan Nasional mencalarkan Islam dan merosakkan imejnya. Sangat malang bagi sesiapa yang tidak mebezakan diantara Islam dan Melayu, seperti Arab yang tidak membezakannya dengan Islam. Islam pernah memperkasakan Arab dan Arab tumbang setelah menjadikan  Islam hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan yang sempurna, walaupun memiliki kekayaan melempah ruah.

Begitulah maknanya, tegakkan Islam bersama PAS Melayu selamat dan semua kaum selamat. Tegakkan Melayu bersama UMNO, Islam hanya menjadi jenama yang ditampal pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah seperti meletakkan ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat  gatal.

Cukuplah menegakkan Islam ala UMNO yang bergantung dengan politik wang, pangkat dan tawaran mewah bersamanya tanpa jati diri yang sebenar. Hanya menjadi penyakit yang memakan diri laksana pemelihara  hantu  yang menjadikan tuannya, makan tidak kenyang walau pun makan sebanyak-sebanyaknya.

Melayu yang perkasa bersama UMNO, hanya sekadar bertempik menghunus keris taming sari sesama sendiri sehingga negeri dijajah. Merekalah baka yang menyerah diri kepada penjajah dahulu  dan mewarisi kemerdekaan  yang diletak diatas dulang  emas dan menerimanya dengan melalui hamparan permaidani dan taburan bunga. Sejarah tetap tidak boleh dibohongi bagaimana golongan Islam bermandi darah dan air mata menentang penjajah walau pun disembunyikan dibawah tikar yang hina.

PAS ditubuhkan menjadi mata rantai kumpulan Islam terdahulu yang pernah diharamkan silih berganti. PAS tetap Istiqamah dengan Islamnya menyatakan Islam adil terhadap semua manusia. Bukan hanya Arab dan Melayu sahaja atau hanya penganut Islam sahaja. Islam adalah rahmat Allah kepada seluruh alam. PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dan tegas berpegang kepada dasarnya dan boleh bertasamuh mengikut batas-batas Allah.

PAS pernah bersama UMNO di tahun 70-an dan  menubuhkan Barisan Nasional bersama UMNO dan rakan-rakannya. Penyertaannya  dengan keputusan Muktamar Khas  supaya teguh membawa mesej Islam secara tahaluf siyasi. Ketika bersama UMNO, PAS memecat sesiapa kalangan ahlinya, termasuk  ahli parlimennya  yang berjoget dan minum arak bersama UMNO.

Kemudian PAS dihalau keluar daripada Barisan Nasional tahun 1978 dan selepas itu kerajaan PAS Kelantan dijatuhkan dengan perisytiharan darurat yang diluluskan oleh UMNO dan rakan-rakannya melalui sidang khas parlimen dan pilihanraya khas  selepas itu. Lalu PAS bersendirian mara ke hadapan dengan cita-cita Islamnya. PAS adalah tersendiri, tidak sama dengan UMNO.

Maka PAS tidak perlu berkiblat ke arah UMNO dan berimam mengikut arah kiblatnya, kerana kiblat politiknya salah. Tegasnya PAS tidak menghalang ahli DAP minum arak, makan babi, berjudi dan sebagainya. Tetapi PAS memecat kalau ahlinya melakukan perkara yang sama.

PAS pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Melayu Semangat-46 yang berpecah daripada UMNO. Parti Semangat-46 pula mengadakan kerjasama dengan DAP. Parti ini tidak ada lagi dan gagasan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan PAS, Parti Melayu Semangat-46, Berjasa dan Hamim sudah tamat. Akhirnya PAS mengadakan  tahaluf  siyasi bersama Parti Keadilan Nasional yang juga berpecah daripada UMNO. Kemudian diiikuti pula tahaluf siyasi dengan DAP.

PAS mengucapkan terima kasih kepada UMNO dan media yang menjadi khadamnya,  kerana sangat bersimpati terhadap PAS, kerana kononnya bimbang  PAS akan menjadi parti melukut ditepi gantang. Percayalah orang Melayu Islam tidak akan hilang jati dirinya bersama- sama dengan PAS selagi PAS tidak meminda kedudukan Islam sebagai dasar dalam perlembagaannnya, seperti Melayu bersama UMNO sehingga tidak bermaya di Singapura, Pulau Pinang  dan lain-lain.

Kaum lain dikalangan bukan Islam pula jangan takut bersama PAS, kerana kumpulan dan gerombolan yang mengapi-apikan semangat perkauman dan fanatik buta agama berada dalam UMNO atau bersekongkol bersama UMNO. Di sepanjang kerjasama PAS dalam tahaluf siyasi tidak pernah rugi. Walau pun ditendang dan dipandang lekeh. Kerjesama PAS dalam BN di awal tahun 70-an dan sehingga akhirnya tidak rugi dengan kehilangan Kelantan setelah PAS ditendang keluar.

Pengaruh PAS dalam kerajaan berjaya masuk ke dalam jasad jentera kerajaan dan institusi pengajian dalam negara dan luar negara dan bertunjang sehingga hari ini dan mereka adalah bakal menjadi jentera pentadbiran PAS dalam Pakatan Rakyat sekiranya berjaya. Kerjasama PAS bersama Angkatan perpaduan Ummah (Parti Melayu Semangat-46 dan DAP) tahun Sembilan puluhan berjaya menawan Kelantan sehingga hari ini. Kerjasama PAS dengan Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat berjaya menawan Terengganu pada tahun 1999 walaupun hanya satu penggal kerana ditumbangkan dengan zalim.

Tahun 2008 pula berjaya menawan lima negeri dan PAS memimpin tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Manakala Selangor dipimpin  Parti Keadilan Rakyat dan DAP memimpin Pulau Pinang. Walau pun dijatuhkan begitu rupa di Perak. Inilah sinario tahaluf siyasi yang dilaksanakan selama ini. Kerjasama tahaluf siyasi mutakhir ini berjaya memecahkan tembok yang melindungi pandangan bukan Islam terhadap Islam. Usaha media berbagai bahasa termasuk bahasa Melayu beragama Islam bagi mengelirukan menemui kegagalan.

Sehingga akhirnya mendedahkan kepura-puraan UMNO berjuang menegakkan hukum Hudud  laksana ayam jantan kukuk berderai  pada hal ekornya bergelimang tahi sejak lebih lima puluh tahun. Sebenarnya UMNOlah penghalang besar kepada perlaksanaan Islam kerana telah berkuasa diperingkat negeri dan pusat.

Ketahuilah bahawa pengajian politik bukan sahaja tersurat dalam tulisan buku dan pengajian akademik di bilik kuliah. Terpenting  juga ialah ijtihad dengan Istiqamah ditengah medan perjuangan. PAS mempunyai semua aspek ini dengan beristiqamah kepada ajaran Islam yang menjadi akidah dan teras kepada semua amalannya. Negeri Kelantan adalah satu-satunya negeri paling lama diperintah oleh PAS sejak tahun 1959 sehingga 1977 dan kali kedua 1990 sehingga kini adalah penyumbang besar kepada kejayaan Melayu Muslim dalam bidang pendidikan, perkhidamatan awam, keselamatan  dan ekonomi.

Diikuti pula Terengganu Tahun 1959 sehingga 1961 dan kali kedua 1999 sehingga 2004 dan Kedah 2008 sehingga kini. Apabila giliran PAS dikurniakan kemenangan di negeri-negeri ini maka secara automatik  menjadi sasaran UMNO bagi melemah dan menjatuhkannya diatas nama Melayu dan Islam. Paling malang menggunakan kedudukannya menguasai kerajaan pusat dan melanggar konsep demokrasi dan federalisma.

Mengepung media dan menyusahkan pentadbiran dan kewangan negeri-negeri ini, sehinggalah merampas royalti petroleum di Terengganu dan menafikan hak Kelantan. Namun perkara ini  tidak pernah dilakukan kepada Singapura ketika dalam Malaysia, Pulau Pinang di bawah Parti Gerakan sebelum BN dan Sabah dibawah PBS. Inilah hakikat UMNO dengan Melayu dan Islam anutannya. Kepada semua pihak yang bersimpati dengan PAS, saya tegaskan, percayalah kepada kami dengan semua pengalaman yang  tersebut dan hilangkan khurafat beriman kepada UMNO parti Maha Esa.

Kepada ahli dan penyokong PAS saya nasihatkan supaya merujuk kepada sumber ilmu Islam yang ada dalam PAS, bukannya belajar melalui media yang bersukan dengan Islam dan berniaga dengan politik. PAS tetap berpegang bahawa politik adalah amanah terbesar daripada Allah. Bahagialah mereka yang menunaikannya dengan istiqamah dan celakalah mereka yang mengkhinatinya. Pikul amanah ini secara berjamaah jangan berseorang diri dan memencilkan diri.

Pesanan Rasulullah S.A.W.  “sesiapa yang memencilkan  diri daripada jamaah  akan ditawan syaitan, laksana serigala yang menawan kambing yang terpencil daripada kawanannya.” Maka amat bodoh kalau ditipu oleh syaitan yang dikenali.

*Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

Sumber : di sini

Tempoh masa lebih setengah abad sudah mencukupi bagi orang Melayu memberi kepercayaan kepada UMNO menjadi teras BN memimpin negara. Jangan salahkan kaum lain sekiranya berlaku kesilapan sehingga Melayu, agamanya, bangsanya dan bahasanya terpinggir. Semua kaum telah menerima hakikat secara perlembagaan bertulis bahawa Islam agama persekutuan, hak istimewa bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Raja berperlembagaan. Dalam masa yang sama hak kaum lain wajib diberi dengan adil.

UMNO yang berkuasa dengan sokongan majoriti besar khususnya daripada penganut Islam berbangsa Melayu wajib dilakukan muhasabah dengan adil, bijak dan bertanggungjawab. Orang Melayu jangan menipu diri sendiri. Allah berfirman dalam surah Arra’du, Ayat 11 yang bermaksud

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya  dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa Yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadanya.”

Agama Islam

Walaupun Islam diletakkan dalam perlembagaan atas desakan kumpulan Islam bersama PAS kepada Suruhanjaya Reid, tetapi mereka menerima dengan penafsiran bahasa dan fahaman mereka terhadap agama. PAS menghargai dan menerima hakikat mencapai kemerdekaan terlebih dahulu, bersama pemimpin generasi awal UMNO dengan iringan doa dirahmati Allah di alam barzakh kerana bersama mendukung kemerdekaan. PAS mengambil keputusan bersusah dan berkorban menjadi parti pembangkang, supaya manjadi kekuatan di luar kerajaan bagi menyempurnakan kemerdekaan itu dengan acuan maruah agama dan bangsa tanpa terikat lagi dengan acuan  pemikiran warisan penjajah.

Al Marhum Tan Seri Syed Ja’afar Al Bar menegaskan kepada saya, hanya beberapa minggu sebelum beliau meninggal dunia ; ”Adalah lebih baik PAS berada diluar BN membetul keadaan dan tidak bijak berada didalam.” Tegas beliau ketika PAS berada dalam Barisan Nasional.    Kenyataan ikhlas kerana melihat UMNO tidak mempedulikan kepada perubahan yang sepatutnya selepas mencapai kemerdekaan.

Sepatutnya Islam ditafsirkan dengan bahasa Al Quran, bukannya bahasa Inggeris. UMNO yang tidak membuat perubahan menyebabkan Islam terus berada ditahap yang tidak berdaulat, dengan cara pentadbiran agama Islam yang lama diatur sejak zaman penjajah. Namun ketinggian moral pentadbiran bersih oleh generasi awal UMNO dapat menarik beberapa orang tokoh bangsa lain menganut Islam.

Mengikut kajian ilmu pentadbiran dan pengurusan Islam, menunjukkan bahawa penjajah British lebih banyak terpengaruh dengan sistem pentadbiran Islam melalui kajian orentalisnya, tetapi mereka menolak aqidah dan syariat yang sempurna. Adalah lebih mudah mengambil alih negara daripada penjajah British daripada penjajah bangsa lain. Hanya sedikit perubahan perlu dilakukan dengan dimasukkan roh Islam dan petunjuk syariatnya.

Malangnya UMNO tidak mengorak langkah yang maju dengan membuat perubahan yang positif dan pro-aktif dengan yang baik dikekalkan yang tidak baik dibuang. Para pemimpin UMNO lebih leka dengan perubahan bersifat kebendaan untuk menarik rakyat memberi sokongan semata-semata untuk menang pilihanraya. Tanpa dinafikan perlunya banyak masjid yang didirikan, bangunan pusat Islam, bangunan sekolah agama, Tabung Haji, Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam dan sebagainya. Masalahnya ialah roh dan pengisiannya tidak mengikut acuan Islam yang sempurna secara ikhlas dan berta’abud dengan petunjuk Al Quran dan Sunnah yang banyak. Keadaan ini menjadikan sehingga  asasnya bocor, kedudukan Islam lebih lemah daripada zaman penjajahan, sehinggakan pemimpin Melayu Islam dan bangsanya tidak mampu menjadi contoh Islam yang sempurna kepada seluruh manusia.

Al Marhum Maulana Abu Hasan Ali Al Nadawi, tokoh ulama dan pemikir Islam yang tersohor menegaskan dalam bukunya : (Kembali Semula Kepada Islam ), menegaskan :” Pelaksanaan Islam dengan cabarannya  berlaku dua cara pendekatan. Samada melaksanakan Islam secara Ibadah, dengan yakin kepada janji Allah dunia dan akhirat, atau laksanakan Islam secara Jibayah, dengan mimilih secara akal manusia yang hanya mencari pengaruh untuk berkuasa dengan sokongan rakyat semata-mata “.

Yang kedua inilah yang dilakukan oleh UMNO sehingga boleh berlaku salah faham terhadap Islam dikalangan penganut yang jahil dan lebih lagi dikalangan bukan Islam. Apabila Islam dilihat  bukan melalui kacamata ajarannya yang sempurna dan murni, tetapi dilihat daripada kecuaian pemimpin UMNO. Lebih merbahaya lagi apabila menunjukkan contoh negatif saperti tidak bermoral, rasuah, penyalahgunaan kuasa, politik wang dan sebagainya. Sehingga Tun Dr Mahathir sendiri pernah membuat kenyataan terbuka dan telah dua kali keluar masuk UMNO. Al Marhum Tunku Abdul Rahman pula meninggalkan UMNO dan berucap di pentas PAS sebelum meninggal dunia.

Peranan pengajian Islam kalangan umat Islam dilemahkan dengan kawalan bertauliah sejak zaman penjajahan, diteruskan oleh Umno bagi meneruskan pengaruh sekulerisme dalam masyarakat Islam. Agenda menghapuskan tulisan jawi yang tidak dapat dilaksanakan oleh penjajah dan melemahkan penguasaan bahasa Arab dikalangan pelajar aliran Islam berjaya dibuat dibawah pemerintahan UMNO.

Seterusnya UMNO menggunakan media khususnya berbahasa Melayu, bagi mencetuskan perkara yang meragukan dan salah faham terhadap Islam, seperti Isu Syariat Islam. Ia difikirkan boleh menjadi bahan untuk menakutkan kalangan bukan Islam dan mengelirukan penganut Islam yang jahil seperti  hukum poligami, pesaka, undang-undang jenayah hudud dan qisas, haramnya riba secara menyeluruh, hak wanita, hiburan  dan lain-lain yang memerlukan ilmu dan pelaksanaan untuk difahami.

Islam itu wajib diimani seluruhnya dan dilaksanakan semuanya. Beriman sebahagian dan menolak atau ragu sebagiannya adalah merosakkan iman. Beramal dengan sebahagian dan menolak sebagiannya pula menyababkan tasawur yang salah terhadap Islam dan menyebabkan  celaka dunia dan akhirat.

Hak Istimewa

Kaum bukan Melayu yang faham tidak membantah adanya hak istimewa kerana memahami hakikat majoriti Bumiputera khususnya orang-orang Melayu terpinggir dengan penyusunan masyarakat ciptaan penjajah. Mereka tidak membantah hak istemewa yang dicatit tanpa menafikan hak yang adil kepada semua  kaum lain. Namun hak ini disalah guna, sehingga kaum Melayu dan bumiputera tidak mampu bersaing dengan sendiri, tetapi ditongkat oleh UMNO demi agenda politik berkuasa semata-mata dan mengambil kesempatan mencari kekayaan diri, keluarga dan rakan sekeliling tetapi tidak memperkasakan kaum Melayu dan bumiputera. Contoh yang jelas ialah tanah rezab Melayu dan pinjaman disalah gunakan, sehingga Bank Bumiputera dileburkan dan beberapa agensi dijadikan alat mengaut keuntungan bagi kalangan tertentu sahaja dan banyak bantuan tidak sampai kepada sasaran dan tidak mencapai matlamat.

Bahasa Kebangsaan

Bahasa Melayu yang dijadikan bahasa kebangsaan terpinggir bukan sahaja dilemahkan daripada menjadi bahasa ilmu, bahkan dipinggirkan penggunaannya dalam amalan rasmi dan masyarakat umum. Bahasa yang pernah diperkasakan oleh tamadun Islam serantau dan digunakan oleh lebih tiga ratus juta manusia, tiba-tiba menjadi dagang terpinggir ditengah pemimpin dan masyarakatnya sendiri.

Ketika bangsa lain berjaya diperkasakan dengan bahasa masing-masing, seperti Jepun, Jerman, China dan lain-lain, kita hanya sekadar bergaya dengan bahasa penjajah tetapi bangsa sendiri lemah jiwanya kerana membelakangi bahasanya, kerana bahasa adalah jiwa bangsa.

Kedudukan Politik

Kelemahan kuasa politik Melayu terhakis adalah kerana mengatur strategi kemenangan UMNO secara salah dan jangka pendek. Kelemahan politik Melayu di Singapura, Pulau Pinang dan Pantai Barat, adalah kerana penyusunan kerusi menguatkan kuasa UMNO bukannya memperkasakan Melayu Islam. Melayu ditanam semangat hanya UMNO parti tunggal yang menjaga hak Melayu, seolah-olah mengganti Tuhan  Maha Esa, memberi rezeki dan menyara hidup mereka.

Kaum lain boleh memilih parti lain dan menguasainya. Apabila MCA, MIC dan Gerakan tidak bermaya, mereka berpindah kepada DAP atau PKR atau DHPP. Maka Melayu terus berpaut dengan ranting UMNO yang sudah berpenyakit dan menyalahkan kaum lain.

Kedudukan jumlah kerusi Melayu masih besar kerana kedudukan majoritinya, tetapi  jumlah kerusi tanpa perubahan politik dalam kalangan bangsa Melayu sendiri tidak mampu mempertahankan kedudukan mereka. Melayu Islam dapat diperkasakan dengan PAS yang berdasarkan Islam mengikut undang-undang tubuhnya yang berbeza dengan UMNO. PAS telah membuktikan kemampuannya di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Walaupun UMNO menghalang pemerintahannya secara khianat terhadap agama dan bangsanya sendiri secara tidak bermoral dan melanggar adab demokrasi dan perlembagaan semata-mata mahu berkuasa dalam penyakit tua yang tidak sembuh. UMNO sanggup bermusuh dengan PAS dan kerajaan pimpinan PAS kerana Islamnya, lebih dahsyat daripada bermusuh dengan kaum lain.

Mutakhir ini adanya kalangan tokoh Melayu Islam dalam UMNO meninggalkan UMNO, bersama kalangan tokoh ilmuan, kakitangan kerajaan dan pasukan keselamatan menyertai PAS. Ia adalah petunjuk positif kepada pengundi Melayu Islam secara khusus supaya mereka membuat perubahan bersama PAS menggantikan UMNO sebagai kuasa pemerintahan. Perubahan sekadar ini tidak mencukupi tanpa sejumlah besar ahli UMNO dan orang-orang Melayu yang bergantung dengannya secara khurafat.

Kalau mahu selamatkan Melayu dan perkasakannya, wajib masuk PAS yang mendaulatkan Islam, bukannya masuk UMNO yang memikul Islam tanpa pelaksanaan sepenuhnya setelah lebih satu abad memikul amanah. Inilah pembetulan yang wajib dilakukan. Kata Khalifah Umar bin Al Khattab R.A. “Kembali kepada yang benar adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan “. Akhirnya renunglah kepada firman Allah yang tersebut diatas.dan Firman Allah yang bermaksud :

“Dan jika kamu berpaling (daripada menegakkan Islam) ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.”

Melayu Tegakkan Islam yang sempurna, bersama PAS Melayu selamat dan semua kaum juga akan selamat, kerana Islam itu Rahmat Allah kepada seluruh alam dan adil untuk semua kaum. Tegakkan Melayu dengan mengapikan semangat perkauman, Islam hanya sampingan, Melayu bersama UMNO, tidak mampu lagi memimpin, kerana hilang meruah dan lemah jiwanya. Selamat berhijrah kepada ahli-ahli UMNO kepada PAS.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

%d bloggers like this: