Tag Archive: Masjid Kg Muhibbah Petagas


Tarikh : 24 Mei 2016

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

img-20160524-wa0108 img-20160524-wa0109 img-20160524-wa0112

Tarikh : 19 April 2016

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Penceramah : Tuan Haji Ayub Abd Rahman

20160419_191042 20160419_191107 20160419_191134 20160419_191238img-20160419-wa012020160419_213307

Tarikh : 17 Febuari 2015

Lokasi : Masjid Kg Muhibbah Petagas

Seorang jamaah Masjid Kg Muhibbah Petagas telah kembali kerahmatullah malam tadi.

Pakcik Goriaman Bin Aman, 75 tahun saya akui sebagai jamaah masjid yang sangat istiqamah solat fardhu berjamaah di masjid dan hadir dalam kuliah-kuliah maghrib. Kehilangan beliau pasti dirasai oleh kami semua.

Semoga Allah mengampuni beliau dan menempatkan di kalangan orang soleh.

Goriaman Aman (1) Goriaman Aman (2) Goriaman Aman (3) Goriaman Aman (4)

 Allahyarham Pakcik Goriman (di tengah) dalam kenangan.

Tarikh : 4 & 6 Januari 2015

Lokasi : Masjid Kg Sembulan dan Masjid Kg Muhibbah Petagas

Semoga Allah SWT mengganti dengan rezeki dan nikmat yang lebih baik kepada jamaah Masjid Kg Sembulan dan Masjid Kg Muhibbah Petagas yang sudi menghulurkan sumbangan kepada rakyat Kelantan yang ditimpa musibah banjir.

Derma Kelantan (1) Derma Kelantan (2)

Tarikh : 5 Disember 2014

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Khatib : Abu Nuha

Di dalam perkara yang berkaitan dengan beriman kepada hari kiamat yang begitu luas huraian dan perjalanannya, ada suatu perkara yang wajib kita imani iaitu kewujudan kolam atau telaga Rasulullah SAW yang begitu istimewa sekali. Pada saat yang begitu genting pada hari kiamat ini, umat Baginda SAW berpeluang meminum air telaga ini dengan syarat-syarat yang begitu ketat sekali.

Ada banyak hadith menceritakan tentang telaga atau al-haudh ini. Antaranya ialah sebuah hadith daripada Kaab bin Ujrah yang bermaksud :

Pada suatu hari Rasulullah SAW bersabda : “Wahai Ka’ab, aku mohon perlindungan daripada Allah SWT supaya melindungimu daripada pemerintah-pemerintah yang datang selepas aku. Barangsiapa yang mendatangi pemerintah di tempat kediaman rasmi mereka, serta membenarkan pembohongan para pemerintah dan menolong segala kezaliman mereka, sesungguhnya mereka bukan daripada umatku, ia tidak dapat menemui aku dan menghampiri telagaku (Telaga Kauthar) di akhirat kelak. Barangsiapa yang terpaksa pergi ke istana pemerintah sedang dia tidak membenarkan pembohongan pemerintah dan tidak membantu di atas kezaliman pemerintah, sesungguhnya aku adalah sebahagian daripadanya”.

Hadith ini menceritakan tentang orang-orang yang tidak dapat meminum air Telaga Kauthar di akhirat kelak, atas sebab-sebab mereka telah mengingkari sunnah Rasulullah SAW. Di antara mereka ialah golongan yang suka mendekati istana ataupun mengampu pemerintah bagi mendapatkan habuan-habuan tertentu.

Mereka mempunyai tujuan duniawi dalam kegiatan mereka mendekati pemerintah, sedangkan mereka sedar bahawa pemerintah tidak mengikut sunnah Rasulullah. Mereka mengampu dan sanggup membenarkan segala pendustaan dari istana ataupun pemerintah zalim itu kerana mempunyai tujuan tertentu.

Sikap buruk orang-orang yang suka mendampingi sehingga tidak sanggup mempertahankan prinsip hidup bagi menyatakan kebenaran, tidak berani menegur penyelewengan pemerintah yang telah menyalahi sunnah Rasulullah SAW. Bukan sahaja mereka membiarkan pembohongan yang dilakukan oleh pemerintah, malah sebaliknya mereka sanggup mengiyakan atau membenarkan pembohongan pihak pemerintah.

Bukanlah sikap orang mu’min yang suka mendampingi raja atau pemerintah jika dengan maksud untuk mendapatkan habuan tertentu. Ini tidak bererti Islam tidak membenarkan penganutnya mendekati pemerintah, ia suatu yang diharuskan andainya pemerintah yang melaksanakan hukum syariat Allah SWT.

Namun bukan sikap orang mukmin yang gemar mendekati pemerintah sedangkan mereka tidak sanggup menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan yang dilakukan oleh pemerintah.

Saya tidak ingat sudah berapa tahun berkuliah di sini. Tetapi kuliah maghrib di sini sudah mencapai kitab yang ketiga. Kitab pertama ialah Hadith 40, yang kedua Indahnya Hidup Bersyariat dan kini buku ketiga Huru Hara Hari Kiamat. Kehadiran di sini turun naik, kadang-kadang boleh mencapai 50-60 orang, yang kurangnya sekitar 20 orang.

Namun yang lebih berharga selain perkongsian ilmu ialah perkenalan dan persahabatan bersama jamaah masjid yang sesekali jika berkelapangan kami minum-minum bersama di restoran berhampiran.

Masjid Kg Muhibbah (1) Masjid Kg Muhibbah (2) Masjid Kg Muhibbah (3) Masjid Kg Muhibbah (4)

Huru Hara (1)

Tarikh 19hb Ogos 2014 adalah minggu pertama kuliah maghrib di Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas menggunakan buku Huru Hara Hari Kiamat, terjemahan kitab susunan Imam Ibn Kathir.

Buku ini dan topik berkenaan hari kiamat ini saya pilih sebagai melaksanakan tuntutan kefahaman kepada rukun iman : beriman kepada hari kiamat, supaya jamaah mengetahui ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith yang berkaitan dengannya bermula dengan amaran-amaran Rasulullah SAW tentang petunjuk dan petanda hari kiamat, sama ada yang kecil dan besar sehinggalah tentang azab neraka dan nikmat syurga.

Sebelum kitab ini dimulakan, kami sudah membaca buku Hadith 40 susunan Imam an-Nawawi, dan buku Indahnya Hidup Bersyariat susunan Ustaz Ismail Kamus. Semoga Allah SWT membantu dan memudahkan.

IHB @ Masjid Kg Muhibbah

Rasanya ada 3-4 tahun kuliah kami berjalan di Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas menggunakan buku Indahnya Hidup Bersyariat hasil tulisan Ybhg Dato’ Ustaz Haji Ismail Kamus, pendakwah yang sangat saya minati. Ini buku kedua kuliah saya di masjid ini selepas buku Hadith 40 yang juga memakan masa bertahun.

Kebetulan ini minggu terakhir kuliah sebelum masuk bulan Ramadhan, kami mengambil masa sehingga jam 8.30 malam untuk baca lebih kali ini. Setinggi kesyukuran akhirnya dapat menamatkan bacaan buku ini semoga ada pahala hasil ilmu dan amal soleh sepanjang pengajian buku ini. Saya merancang untuk membaca buku lain selepas hari raya nanti.

Selain masjid ini, buku Indahnya Hidup Bersyariat juga kami baca di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan (setiap isnin malam selasa), Masjid Kg Sembulan (setiap ahad malam isnin), Surau ar-Rahman Maahad Tahfiz Negeri Sabah (setiap jumaat malam sabtu) dan kuliah mingguan di Bank Rakyat Donggongon Penampang.

Masjid Kg Muhibbah

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Mahabbah, Kg Muhibbah Petagas

Mengapa Saidina Umar RA memilih hijrah sebagai permulaan takwim Islam dan bukannya tarikh lahir atau kewafatan Baginda SAW?

Ini tidak lain dan tidak bukan kerana hijrah merupakan suatu peristiwa yang sangat penting. Hijrah merupakan pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Penghijrahan Rasul SAW menjadi pembeza antara kebenaran dan kebatilan melalui model negara Islam yang pertama yang tertegak di bumi Madinah al-Munawwarah.

Negara Islam yang tertegak berasaskan sumber al-Qur’an dan sunnah Rasulullah SAW yang berpaksikan kepada keadilan dan menjaga kemaslahatan agama, akal, keturunan, jiwa dan harta benda melalui perlaksanaan-pelaksanaan hukum-hakam Islam yang menyeluruh dan bukannya pada hukum-hukum yang tertentu sahaja sepertimana yang berlaku di kebanyakan negara Islam hari ini.

Kalau setakat untuk solat, puasa, zakat dan haji, Nabi SAW tidak perlu berhijrah ke Madinah. Dengan hijrah, Islam dapat ditegakkan secara keseluruhannya,  daripada peraturan berumahtangga sehinggalah kepada peraturan bernegara.

Dengan peristiwa hijrah Nabi SAW dapat menunjukkan kepada kita secara praktikal bagaimana Islam dilaksanakan meliputi segala aspek kehidupan samaada aqidah, ibadat, perkahwinan, kehidupan bersosial, ekonomi, menangani masalah jenayah sehinggalah hukum-hakam berkaitan dengan orang bukan Islam dan hubungan diplomatic dengan negara luar.

Tanpa hijrah tidak akan berlaku peristiwa-peristiwa besar yang lain. Tanpa hijrah tidak akan terbinanya Masjid Nabawi, tidak berlakunya persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar, tidak terbentuknya piagam Madinah yang menjadikan rujukan dalam pembentukan perlembagaan.

Tanpa hijrah tidak akan berlakunya perang Badar, perang Uhud, perang Ahzab. Tanpa hijrah bumi Mekah tidak dimerdekakan dari belenggu penyembahan berhala. Tanpa hijrah tidak akan berlakunya perang Hunain, perang Tabuk.

Hasil daripada hijrah, negara Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW yang berpusat di Madinah terus diperluaskan empayarnya padazaman Khulafa’ al-Rasyidin oleh empat khalifah Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali RA. Islam berjaya menumpaskan dua kuasa besar dunia Rom dan Parsi. Semua ini adalah hasil dari hijrah yang diperintah Allah SWT.

Masjid Muhibbah

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Hari ini kita menyambut hari raya bersempena dengan ibadah haji dan qurban, yang telah diasaskan oleh Nabi Ibrahim AS dengan perintah Allah SWT. Ia menunjukkan betapa besar dan pentingnya kedua-dua ibadah ini di sisi Allah dan betapa besar fadhilanya serta banyak hikmah dan pengajarannya.

Dua ibadah yang dimulakan di bumi Makkah yang dinamakan sebagai Ummul Qura (ibu segala negeri dan kampung), tempat suci yang dipilih menjadi qiblat ibadah, tempat dilahirkan nabi akhir zaman Muhammad SAW dan bermulanya al-Quran diturunkan. Negeri Makkah dipilih untuk mengajar manusia bahawa matlamat atau tujuan mereka dijadikan oleh Allah ialah supaya memperhambakan diri kepadaNya dengan ibadah hanya kepada Allah SWT sahaja.

Ini sekaligus menafikan segala tuhan yang lain daripadaNya, dengan menolak segala syirik, menyekutukan Allah SWT dengan yang lain, dan manusia juga diperintah memakmurkan bumi dengan mengguna dan mentadbir makhluk bumi dengan syariat Allah dan menolak segala hukum dan undang-undang yang berlawanan dengannya.

Manusia diperintahkan agar tidak mengada-adakan undang-undang dan cara hidup sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT, dengan janji oleh Allah SWT kepada sesiapa yang menunaikannya diberi kelebihan ganjaran di negeri akhirat kelak, serta jaminan rezeki yang baik dan berkat daripada Allah SWT di atas dunia ini.

Tugas itu semua boleh dilakukan oleh makhluk manusia sahaja, kerana kelebihan yang ada pada diri mereka, yang berbeza dengan para malaikat di langit, binatang yang tidak berakal di bumi serta batu dan kayu yang tidak dapat bergerak dengan sendiri. Firman Allah SWT (bermaksud) :

“Dan sesungguhnya Kami telah muliakan anak-anak Adam, dan Kami tempatkan mereka boleh berada di atas darat dan laut, serta Kami berikan kepada rezeki daripada segala yang baik, dan Kami beri kelebihan daripada kalangan makhluk yang Kami ciptakan, dengan kelebihan yang istimewa yang tidak ada pada makhluk lain.” (Surah al-Israk : 70)

%d bloggers like this: