Archive for September, 2016


Tarikh : 30 September 2016

Lokasi : Medan Ilmu Kota Bharu Kelantan

Pengkuliah :

  1. Ustaz Asri Mat Daud
  2. Ustaz Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz

Sumber : Web JHEAINS

“Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Dia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua – kebudak-budakan), sehingga menjadilah dia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.” (S. An-Nahl: 70).

Berpandukan kepada mafhum firman Allah SWT ini, kita beroleh pengajaran bahawa setiap fasa dalam proses kehidupan dan perkembangan seorang insan mempunyai matlamat tersendiri, baik fasa bayi dalam kandungan atau fasa bayi selepas kelahiran, fasa kanak-kanak, remaja dan dewasa, dan akhirnya tua.

Kita makhluk bernama manusia dituntut supaya memastikan perubahan fasa kehidupan yang berlaku itu diurus sebaik mungkin agar pengakhiran daripada proses penghidupan di dunia ini bernoktah pada husnul khatimah atau kesudahan yang baik, yakni mati dalam keadaan beriman dan Islam. Dengan kata lain, setiap fasa perubahan yang berlaku khususnya fasa umur baligh hingga usia emas perlu dilihat sebagai satu peluang serta kesempatan untuk mengumpul seberapa banyak bekalan untuk dunia kekal selepas nyawa diambil pemiliknya iaitu Allah Yang Maha Esa.

Perkara ini perlu diberikan perhatian oleh setiap Muslim mengingat bahawa jangka hayat manusia secara umumnya berligar sekitar 60 hingga 70 tahun sebagaimana Hadith daripada Abu Hurairah, katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Usia umatku antara 60 hingga 70 tahun. Sedikit antara mereka yang melebihi usia tersebut”. (HR AtTirmidzi).

Sementelahan, kita menyedari bahawa hidup di dunia ini amatlah singkat berbanding kehidupan abadi di akhirat, maka kita sewajarnya menyusun strategi supaya dapat memanfaatkan masa hidup untuk memperolehi ganjaran pahala berlipat kali ganda. Kita perlu faham bahawa Allah SWT sangat kasihkan hamba-Nya, selalu mendengar doa-doa dan munajat kita dan menyediakan syurga bagi siapa yang mengharapkannya.

Justeru, menjejaki usia emas bukan bererti hanya menumpukan kepada aspek menjaga makan, minum dan kesihatan semata-mata. Lebih penting daripada itu ialah memastikan tauhid benar-benar meresap ke dalam hati kita. Sangat penting kita mengenali Allah SWT dan sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna, seterusnya mengerjakan segala perkara yang telah disyariatkan-Nya dengan penuh keikhlasan.

Sebab kewajipan serta tugas manusia dalam kehidupan adalah untuk menyembah dan tunduk mengabdi diri kepada perintah Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (S. Az-Zariat: 56).

Mengabdikan diri kepada Allah SWT bererti melaksanakan semua perintah dan menjauhi laranganNya dan juga mengekalkan rasa kehambaan kepada-Nya pada setiap masa. Ia merupakan peranan serta kewajipan asasi setiap manusia di muka bumi ini yang nantinya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT pada hari akhirat.

Seiringan itu, kita hendaklah berlumba-lumba mengisi hidup ini dengan amal ibadat wajib dan sunat supaya hidup lebih diberkati dan diredhai Ilahi. Ia juga sebagai bekalan di hari kemudian sebagaimana dianjurkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada Hari Kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (S. Al-Baqarah: 148).

Selaras dengan anjuran Allah SWT tersebut, setiap individu Muslim dituntut supaya meneruskan kewajipan mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan amal-amal soleh lainnya selagi ada kudrat bagi mencapai status hamba yang terbaik di sisi Allah SWT.

Ini kerana sebaik-baik manusia adalah mereka yang panjang usianya dan baik amalnya menurut Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: Ketika Rasulullah SAW ditanya: “Siapa manusia terbaik?” Baginda menjawab: “Orang yang panjang usianya dan baik amalnya.” Baginda ditanya lagi: “Lalu siapa manusia terburuk?” Jawab Rasulullah SAW: “Orang yang panjang usianya tetapi jelik amalnya.” (HR At-Tirmidzi).

Berdasarkan kepada kajian Institut Penyelidikan Penuaan pada tahun 2009, jangka hayat penduduk Malaysia didapati semakin meningkat. Usia kaum lelaki meningkat kepada 72.6 tahun, manakala usia kaum wanita meningkat kepada 77.5 tahun. Jika trend ini berterusan, maka adalah dijangkakan menjelang 2035, kira-kira 15 peratus rakyat Malaysia dijangka terdiri daripada warga tua berusia 60 tahun ke atas.

Peningkatan jangka hayat ini dikaitkan dengan kemudahan kesihatan yang semakin baik di samping timbulnya kesedaran untuk mengamalkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat. Begitu pun, jangka hayat seseorang itu pada hakikatnya adalah ketentuan Ilahi yang wajib diterima dengan penuh redha. Yang jelas, ajal datang tidak mengenal usia sebagaimana terakam pada firman Allah SWT:

Yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka melambatkan sesaatpun dan tidak dapat mereka menyegerakannya.” (S. Yunus: 49)

Sehubungan dengan mafhum firman Allah SWT tersebut, umat Islam diharap tidak mudah dibuai dengan dapatan bahawa jangka hayat rakyat kini semakin panjang. Ini kerana, dari satu sudut, jangka hayat yang panjang merupakan suatu bentuk Istidraj atau umpan kepada manusia untuk menundanunda pekerjaan berkaitan dengan kehidupan hari akhirat.

Namun dari sudut yang lain, jangka hayat yang panjang memberi ruang dan peluang kepada umat Islam untuk bermuhasabah menilai kelemahan serta kekurangan diri sekali gus menggandakan amal ibadat sebagai persiapan menuju kampung akhirat. Dengan hal yang demikian, Hari Warga Tua Sedunia yang dirai dan disambut pada tanggal 1 Oktober setiap tahun diharap menyedarkan kita semua bahawa kita pasti akan menjejaki usia tua jika dikurniakan Allah SWT umur yang panjang.

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/09/21/fiqh-jenazah-beberapa-persoalan/

Mukadimah

Kematian adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Setiap yang bernyawa pasti akan merasainya. Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡسٖ ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati (Aal Imran: 185)

Baru-baru ini kita juga telah dikejutkan dengan kematian seorang pendakwah, tokoh politik yang terkemuka iaitu al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Dato’ Dr. Harun Din Rahimahullah pada hari Jumaat 16 September 2016 bersamaan dengan 14 Zulhijjah 1437 H tatkala menerima rawatan di Hospital Universiti of Stanford, Amerika Syarikat. Sekali lagi kami ucapkan takziah buat ahli keluarga al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Dr. Harun Din. Semoga tabah dan sabar dalam menempuh ujian ini.

Begitulah kehidupan manusia di dunia, pasti akan bertemu juga pengakhirannya. Pengakhirannya yang mana telah ditetapkan sejak azali lagi. Sehubungan dengan itu, Bayan Linnas pada kali ini ingin mengupas beberapa permasalahan berkaitan dengan solat jenazah ghaib, tempat pengebumian dan juga beberapa isu yang lain untuk panduan kita bersama.

Semoga dengan perkongsian selepas ini dapat memberikan kita sedikit bekalan mengenai ilmu yang berkaitan dengan pengurusan jenazah seterusnya dapat difahami serta diamalkan dengan baik.

Sunnah Menerima Berita Kematian

Kematian adalah salah satu dari jenis musibah yang telah disebutkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT:

وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَيۡءٖ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٖ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٰلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّٰبِرِينَ ١٥٥ ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٞ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali (Al-Baqarah: 155-156)

Begitulah petunjuk yang telah diberikan melalui wahyu yang mana apabila berlakunya musibah (kematian) maka antara ciri-ciri mereka yang bersabar dengan musibah tersebut adalah mereka yang mengucapkan istirja’ iaitu ucapan: إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ

Ucapan Takziah

Takziah sepertimana yang didefinisikan oleh sebahagian ulama bermaksud suatu ucapan yang diucapkan bagi menggembirakan hati mereka yang ditimpa musibah serta galakan untuk bersabar serta doa buat si mati dan juga ahli keluarga. Ini sepertimana yang telah ditakrifkan oleh Ibn Muflih di dalam kitabnya al-Furu’.

Begitu juga dengan al-Imam al-Nawawi ketika membicarakan tentang takziah. Kata beliau:

“Ketahuilah, sesungguhnya takziah itu adalah bersabar dengan menyebutkan sesuatu yang baik (untuk menghiburkan hati) mereka yang ditimpa musibah, meringankan kesedihannya dan ianya adalah suatu yang mustahabbah (disunatkan). Ianya termasuk di dalam perkara amar makruf dan mencegah kemungkaran sepertimana firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى (dan bertolong-tolonganlah kamu dalam kebaikan dan juga taqwa)dan inilah pendalilan yang terbaik di dalam takziah. Ianya juga sahih sabit daripada Nabi SAW yang mana telah bersabda: وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ (dan Allah SWT sentiasa membantu hambanya selagi mana hamba-Nya itu membantu saudaranya).”
[Lihat al-Azkar, hlm. 148-149]

Antara ucapan takziah yang disunatkan untuk diucapkan ialah:

نَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ، وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَىْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى…فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبإ

Maksudnya: Sesungguhnya kepunyaan Allah segala yang telah diambil dan kepunyaan-Nya segala yang telah diberi dan bagi setiap sesuatu di sisi-Nya mempunyai tempoh yang tertentu…bersabarlah dan haraplah pahala daripada Allah.Riwayat Al-Bukhari (7377)

Jelas juga pada nas nabawi ini yang menganjurkan kepada mereka yang menerima musibah agar bersabar dan sentiasa bermuhasabah. Ini amat penting dalam sebuah kehidupan muslim sejati.

Solat Jenazah Ghaib

Solat jenazah ghaib adalah solat yang dilakukan ke atas mayat yang tidak ada pada tempat tersebut seperti mayat yang berada jauh dari negara asalnya. Pensyariatan solat jenazah ghaib ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Abu Hurairah RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا‏.‏

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahu akan berita kematian al-Najasyi ketika hari kematiannya. Baginda SAW keluar ke musolla, membuat saf dan bertakbir sebanyak empat kali. Riwayat Al-Bukhari (1245)

Hadith di atas menjadi dalil pensyariatan bagi solat jenazah ghaib bagi mazhab Syafi’e dan juga Hanbali. Adapun mazhab Hanafi dan Maliki, mereka mengatakan bahawa solat jenazah ghaib ini adalah khususiyyah buat Nabi SAW dan tidak disyariatkan bagi yang lain.

Al-Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam al-Majmu’:

“Mazhab kami membolehkan solat jenazah ghaib bagi yang jauh dari sesuatu negeri manakala Abu Hanifah melarangnya. Dalil yang kami gunakan adalah hadith sahih mengenai al-Najasyi…”.[Lihat al-Majmu’, 5/211]

Adapun pendapat mazhab Hanafi dan juga Maliki itu tertolak kerana sekiranya ia adalah khususiyyah Nabi SAW, maka ianya memerlukan kepada dalil yang sahih dan pada asalnya juga, perbuatan Nabi SAW adalah untuk diikuti dan diamalkan sesuai dengannya.

Adapun persoalan ke atas siapa disyariatkan sembahyang jenazah ghaib ini, maka terdapat khilaf dikalangan para ulama’ di dalam permasalahan ini. Kami ringkaskan seperti berikut:

Pendapat pertama: Al-Syafi’eyyah dan juga al-Hanabilah berpendapat bahawa disyariatkan solat jenazah ghaib ini kepada semua yang ghaib dari negerinya meskipun telah disolatkan pada tempat dia meninggal.

Pendapat kedua: Disyariatkan untuk diadakan solat jenazah ghaib kepada jenazah yang semasa hidupnya banyak memberi manfaat kepada umat Islam seperti seorang alim ulama’, mujahid, seorang yang kaya terkenal dengan sifat dermawannya atau yang setaraf dengannya. Ini adalah salah satu pendapat dari pendapat al-Imam Ahmad dan ini juga adalah pendapat Syeikh al-Sa’di dan ini juga adalah fatwa al-Lajnah al-Daimah, Arab Saudi.

Pendapat ketiga: Solat jenazah ghaib hanya disyariatkan sekiranya tiada yang menyembahyangkan mayat tersebut di tempat yang dia meninggal seperti seseorang yang meninggal di negara bukan Islam dan tiada siapa yang boleh menguruskan jenazahnya. Sekiranya di tempat itu, mayat tersebut telah disembahyangkan maka gugur hukum untuk melakukan solat sunat ghaib terhadap mayat tersebut. Ini juga adalah salah satu pandangan dari al-Imam Ahmad dan pandangan ini juga dipegang oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan juga anak muridnya, al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah.

Waktu Solat Ghaib

Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Bermula dari saat berita kematian hingga berlangsung selama tiga hari. Ini kerana tiga hari itu adalah tempoh bertakziah menurut yang maklum dari kitab-kitab fiqh.”

Yang muktamad adalah harus solat selama mana beliau adalah ahli solat ketika kematian berlaku. Lihat al-Tanbih hal. 38, al-Umm 1/244 dan Mughni al-Muhtaj 1/346.

Sebagai penegasan, dinyatakan daripada al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah antara nasnya:

“Jika didapati orang yang lemas maka hendaklah dimandi dan dikafan seterusnya disolat seperti mana mayat. Tetapi, jika tidak menjumpainya maka hendaklah di solat ghaib di sisi mazhab Syafie dan Hanbali. Akan tetapi, kebanyakan ulama’ Syafie mensyaratkan mengikut yang muktamad di sisi mereka hendaklah mayat tersebut didahului mandinya. Sebaliknya sebahagian jemaah mazhab Syafie di kalanga mutaakhir berpendapat sah solat atas mereka sekalipun tidak dimandikan…”Lihat Mughni al-Muhtaj 2/49 dan Asna’ al-Mathalib 1/321

Hukum Memindahkan Jenazah Ke Negara Lain

Berkenaan isu ini para fuqaha berbeza pendapat kepada beberapa pandangan:

Memindahkan mayat ke negara lain sebelum dikebumikan adalah harus hukumnya di sisi Malikiyyah selagi mana perbuatan tersebut tidak mencemarkan kehormatan serta menyakiti si mati.

Manakala di sisi Hanabilah hukumnya adalah makruh melainkan jika ada keperluan. Demikian juga di sisi Hanafiyyah yang menyatakan hukum memindahkan mayat ke negara yang lain adalah makruh.

Di sisi para fuqaha yang bermazhab Syafie, mereka terbahagi kepada dua pendapat di dalam isu ini. Ianya seperti berikut:

Sebahagian mereka mengatakan bahawa hukum memindahkan jenazah dari negeri kematiannya ke negeri yang lain adalah haram. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Ramli di dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj dengan katanya:

Dan diharamkan memindahkan jenazah daripada negara kematiannya sebelum ianya dikebumikan sekalipun jika jenazah selamat dari sebarang perubahan. Ini kerana, perpindahan mayat hanya akan membawa kepada lewatnya urusan pengebumian sedangkan kita diperintahkan untuk menyegerakannya serta ia juga akan mencemarkan kehormatan si mati.

Kata beliau lagi:

Manakala sebahagian mereka mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Ini kerana, tidak ada dalil yang menunjukkan kepada pengharaman hal tersebut. Lihat Nihayah al-Muhtaj, al-Ramli (3/38).

Setelah meneliti beberapa pendapat di atas, kami nyatakan di sini bahawa pendapat yang tidak membenarkan perpindahan jenazah ke negara lain tanpa sebarang keperluan itu adalah lebih tepat untuk keluar dari khilaf. Ini kerana, kita diperintahkan untuk menyegerakan majlis pengebumian manakala perbuatan memindahkan jenazah ke negara yang lain akan melewatkan proses tersebut. Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمْ فَلَا تَحْبِسُوهُ ، وَأَسْرِعُوا بِهِ إِلَى قَبْرِهِ

Maksudnya: Apabila matinya salah seorang dari kamu maka janganlah kalian mengurungnya (melewatkan pengebumiannya) dan segerakanlah membawanya ke kuburnya.Riwayat al-Baihaqi (8689)

Kelebihan Meninggal Dunia Di Luar Kawasan Kelahiran

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amru R.anhuma beliau berkata:

تُوُفِّيَ رَجُلٌ بِالْمَدِينَةِ مِمَّنْ وُلِدَ بِالْمَدِينَةِ فَصَلَّى عَلَيْهِ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ فَقَالَ ‏”‏ يَا لَيْتَهُ مَاتَ فِي غَيْرِ مَوْلِدِهِ ‏”‏ ‏.‏ فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ النَّاسِ وَلِمَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏”‏ إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا مَاتَ فِي غَيْرِ مَوْلِدِهِ قِيسَ لَهُ مِنْ مَوْلِدِهِ إِلَى مُنْقَطَعِ أَثَرِهِ فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya: Seorang lelaki telah meninggal dunia di Madinah yang mana dia di antara manusia yang lahir di Madinah. Maka Rasulullah S.A.W pun solat ke atas jenazahnya lalu bersabda: Alangkah bagusnya sekiranya dia meninggal dunia di tempat selain tanah kelahirannya. Maka seorang lelaki pun bertanya: Mengapakah begitu wahai Rasulullah? Jawab baginda S.A.W: Sesungguhnya seorang lelaki itu apabila dia meninggal dunia di selain tempat kelahirannya maka akan diukur buatnya jarak daripada tempat kelahiran sehinggalah tempat dia meninggal itu di syurga. Riwayat Ibn Majah (1614)

Kata Imam al-Sindi Rahimahullah apabila mengulas berkenaan hadis ini:

Boleh jadi hadis ini tidak warid dengan lafaz tersebut iaitu mudah-mudahan lelaki itu tidak mati di Madinah. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah: Alangkah bagusnya jika lelaki ini seorang asing yang sedang berhijrah di Madinah lalu meninggal dunia di dalamnya. Hal ini supaya ia tidak bercanggah dengan hadis-hadis lain yang menceritakan berkenaan fadhilat meninggal dunia di Madinah. Rujuk Hasyiah al-Sindi, (Hlm. 306).

Kami mengatakan bahawa mafhum daripada hadis di atas, ia menunjukkan yang jarak seseorang lelaki dengan tempat kematiannya akan diganjari pahala. Wallahu a’lam.

Penutup

Sesungguhnya isu berkaitan jenazah begitu banyak dan besar dibincangkan oleh para ulama’. Ini secara tidak langsung menunjukkan betapa luasnya ilmu Islam itu sendiri yang perlu ditelaah dan dikaji untuk mendapatkan jawapan yang tuntas berasaskan dalil dan juga hujjah.

Kami berharap dengan jawapan ini sedikit sebanyak dapat memberikan kelegaan serta kedamaian dalam melayari bahtera kehidupan. Kami mengakhiri perbincangan ini dengan doa yang diajarkan oleh Allah SWT untuk kita sama-sama amalkan iaitu:

رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا وَلِإِخۡوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلۡإِيمَٰنِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِي قُلُوبِنَا غِلّٗا لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٞ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu”.(Al-Hasyr: 10)

Marilah juga kita sama-sama berdoa kepada kedua ibu-bapa, ahli keluarga, sanak-saudara, guru-guru, sahabat handai yang telah pergi dahulu meninggalkan kita. Semoga mereka beroleh maghfirah dan rahmat daripada Allah SWT.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ، وعافِهِمْ واعْفُ عَنْهُمْ

Ameen…

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
20 September 2016 bersamaan 18 Zulhijjah 1437 H.

Pautan asal: http://muftiwp.gov.my/index.php/perkhidmatan-s/bl/1184-bayan-linnas-siri-69-fiqh-jenazah-beberapa-persoalan

Tarikh : 28 September 2016

Lokasi : Bank Rakyat Likas

img-20160928-wa0130 img-20160928-wa0131

Tarikh : 26 September 2016

Lokasi : Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah

img-20160926-wa0112 img-20160926-wa0117

img-20160921-wa0002

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/09/21/tokoh-azhari-yang-mesti-kita-contohi/

TOKOH AZHARI YANG MESTI KITA CONTOHI

Oleh : Muhammad Abdul Rahim

Kepada para Azhari (khususnya) dan semua ilmuan yang cintakan perjuangan menegakkan syariat Islam. Ini antara tokoh-tokoh Azhari yang perlu kita contohi. Keilmuan mereka tinggi dan amat disegani. Mereka istiqamah membimbing dan membela hak ummah serta mencegah kezaliman:

[1] Al-Marhum Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

M.A. Universiti Al-Azhar, Syariah Perundangan Islam.
B.A. Universiti Al-Azhar, Pengajian Bahasa Arab.
[2] Al-Marhum Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din
Ph.D Universiti Darul Ulum, Syariah.
MA. Universiti Al-Azhar, Syariah.
[3] Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
M.A. Universiti Al-Azhar, Siyasah Syar’iyyah (Sains Politik).
B.A Universiti Islam Madinah, Syariah.

Ini contoh tokoh lepasan Azhari terdekat kita dalam konteks Malaysia. Mereka bukan Khawarij. Bukan ekstrimis. Tidak pernah berjuang secara ganas angkat senjata. Mereka istiqamah “Muwajahah Silmiyyah”. Lebih utama, mereka menyokong dan membela perjuangan Ikhwanul Muslimin !

Tarikh : 26 September 2016

Lokasi : Asia City, Kota Kinabalu

Menerima kunjungan dan perbincangan dua hala berkaitan program pendidikan dari Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama (HESA) Negeri Kedah.

img-20160926-wa0097img-20160926-wa0104img-20160926-wa0109img-20160926-wa0112img-20160926-wa0118img-20160926-wa0098

Tarikh : 23 September 2016

Lokasi : Medan Ilmu Kota Bharu Kelantan

Pengkuliah :

  1. Ustaz Muhammad Abdul Malik
  2. Ustaz Azhar Idrus

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/42610-asas-penting-pendidikan-awal-anak-anak

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 26 September 2016.

FIRMAN Allah: “Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami di kalangan suami isteri kami daripada zuriat keturunan kami kalangan yang menjadi pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa.” (al-Furqan: 74)

Marilah kita menghayati apa yang disebut oleh Rasululllah SAW,

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (sifat semulajadi yang sangat bersih) maka kedua ibu bapanyalah yang menjadi sebab anak-anak itu menjadi Yahudi, menjadi Kristian dan menjadi Majusi.”

Menunjukkan betapa Allah SWT menjadikan makhluk manusia dalam keadaan bersih, suci dengan sifat semulajadi ciptaan Allah SWT mempunyai jasad yang mulia, mempunyai roh dan akal fikiran. Itulah asal kejadian manusia sehingga mereka dipilih oleh Allah berada di atas muka bumi. Namun mestilah manusia itu dibentuk mengikut acuan penciptanya Allah SWT.

Untuk membentuk manusia, bukan seperti menternak haiwan, bukan seperti menjaga pokok mendirikan bangunan, hendaklah dita’lim, diberi ilmu, ditarbiyyah dan dididik bukan sahaja untuk mengisi jasad dengan makanan-makanan yang berbeza daripada baja pohon, makanan binatang ternakan, makanan yang halal, yang diizinkan oleh Allah SWT, tepat dengan kejadian mereka.

Yang terpentingnya ialah makanan akal dan roh mereka untuk menjadi seorang manusia yang benar-benar dapat melaksanakan tugas di atas muka bumi Allah SWT. Maka Allah menurunkan petunjuk-Nya melalui Rasul-Rasul AS, acuan yang khusus bagi mendidik manusia, bermula daripada permulaannya, sehingga dia meninggal dunia, adalah menjadi satu hikmat yang besar apabila kanak-kanak yang dilahirkan, ditahnik dengan air zam-zam dan buah tamar yang disebut kemuliaannya oleh Hadis Nabi SAW:

“Sesungguhnya air zam-zam itu mengikut tujuan apa diberi minum, tamar merupakan buahan yang berkat, tumbuh di bumi para anbiya’.”

Maka didoakan dengan doa yang betul-betul mendapat berkat daripada tahnik itu, mengikut doanya untuk diberi roh, jasad dan diri yang baik, iman yang teguh, akhlak yang mulia, ilmu yang memberi manfaat, menjadi satu hikmat yang besar mengapa anak-anak yang dilahirkan itu disunatkan azan pada telinganya. Walaupun riwayat hadisnya dikatakan dhoif, tetapi menjadi amalan yang masyhur di kalangan para ulamak. Yang penting bukan sanad riwayat itu, tetapi laungan suara azan itu, yang terpenting ialah ucapan dua kalimah syahadah sehingga meninggal dunia pun disuruh.

Apa makna anak-anak dan bayi dilahirkan itu diucapkan dua kalimah syahadah yang penuh dengan keberkatan, menandakan di sana ada kaitan yang berbentuk diri manusia mengikut acuan Allah SWT.

Yang paling penting ialah mendidik anak itu dengan asas-asas ilmu fardhu ain, ilmu yang wajib di atas tiap-tiap orang lelaki dan perempuan yang mesti diberi sejak zaman kanak-kanak lagi. Ilmu fardhu ain tentang agama ini, yang berkait dengan aqidah, yang berkait dengan amalan, yang berkait dengan akhlak adalah asas yang penting bagi seorang manusia. Walaupun dia seorang ulama, dia seorang profesional, dia seorang rakyat, dia seorang bijak, seorang yang tidak bijak, tetapi ilmu fardhu ain adalah asas.

Menuntut ilmu wajib di atas tiap-tiap orang lelaki dan tiap-tiap orang perempuan. Dalam dunia hari ini, manusia sudah beralih kepada acuan ciptaan sendiri tanpa peduli kepada asas-asas fardhu ain untuk membentuk diri manusia ini. Maka lahirlah ulama-ulama yang jahat, pemimpin-pemimpin yang jahat, profesional-profesional yang lebih bertujuan untuk cari makan daripada menjadikan khalifah Allah di atas muka bumi Allah SWT.

Tujuan kita membuka PASTI, Pusat Asuhan Tunas ini adalah untuk menyempurnakan acuan yang asas, yang sangat penting, untuk membina jati diri anak-anak kita dengan Islam. Ini tujuannya, membina jati diri anak kita dengan acuan Allah SWT walaupun ilmunya dianggap ilmu yang kecil, yang tipis, yang rendah, tetapi adalah tunjang yang sangat penting bagi membina diri manusia. Kelebihan yang sudah pasti dicapai sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW:

“Apabila matinya seorang manusia, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara, sumbangan harta yang kebajikannya berpanjangan, ilmu yang memberi manfaat, anak yang soleh yang mendoakan untuknya setelah meninggal dunia.”

Di mana inilah hasil yang mesti didapati daripada Pusat Latihan yang kita bina ini, yang penting ini. Menunjukkan bahawa kegiatan kita dalam alam PASTI ini satu kegiatan yang sangat penting dalam pendidikan Islam, tak boleh dianggap sebagai satu perkara yang kecil, perkara yang remeh temeh.

Saya mengalu-alukan majlis Alam Ria yang diadakan ini, bukan sahaja untuk menghiburkan anak-anak kita, menghibur dengan hiburan-hiburan, untuk menilai pencapaian mereka. Dalam masa yang sama untuk melatihkan amal jama’ie, amal berjemaah apabila dihubungkan di antara satu sama lain di seluruh negara. Anggaplah majlis ini satu majlis yang sangat penting bagi kita. Dan teruskan kerja amal yang sangat penting ini, mudah-mudahan diberkati oleh Allah, dan saya menumpang berkat sama, dalam kegiatan yang sangat penting, mudah-mudahan diberkati oleh Allah. – HARAKAHDAILY 26/9/2016

(Ucapan Perasmian Penutup Alam Ria PASTI Malaysia di Rusila, Marang, Terengganu pada 24 September baru-baru ini)

Tarikh : 23 September 2016

Lokasi : Masjid Rusila Terengganu

Pengkuliah : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

%d bloggers like this: