Tag Archive: Khutbah Jumaat


Sumber : Web JHEAINS

Setiap dari kita tidak terlepas daripada menghadapi ataupun ditimpa ujian hidup. Berlegar dari ujian yang paling besar hinggalah ujian paling kecil, semuanya tetap dinamakan ujian atau masalah. Cuma ujian atau masalah yang dihadapi itu mungkin berbeza. Bagaimana cara untuk mengatasinya juga merupakan satu ujian.

Namun, sebagai orang yang beriman kepada qada dan qadar Ilahi harus menginsafi bahawa setiap ujian mahupun masalah yang menimpa mungkin sebahagian daripada cara Allah SWT mengukur sejauh mana tahap keimanan dan ketaqwaan kita kepada-Nya.

Sebab, manusia biasanya sering lupa serta lalai dengan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT apabila hidup dilimpahi kesenangan dan kemewahan. Melalui berbagai bentuk ujian seperti penyakit, kemiskinan, bencana alam dan sebagainya, diharap akan kembali mengingatkan manusia terhadap keadaan hidupnya selama ini sama ada mengikuti peraturan atau landasan ditetapkan Allah SWT ataupun sebaliknya. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan? Dan demi sesungguhnya! Kami menguji orang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian demikian, nyata apa diketahui Allah mengenai orang yang sebenarnya beriman, dan nyata pula apa diketahui-Nya mengenai orang yang berdosa.” (S. AlAnkabut: 2-3).

Sehubungan dengan mafhum firman Allah SWT tersebut, ujian atau dugaan yang datang adalah dari Allah SWT, sama ada ujian itu sebagai ‘kifarah’ dosa yang kita lakukan atau untuk mengangkat darjat kita di sisiNya. Jadi, apabila ditimpa atau berhadapan dengan sesuatu ujian, cuba bawa bertenang, bersabar dan jangan berputus asa untuk mencari jalan mengatasinya. Allah SWT tidak menguji hamba-Nya tanpa mengambil kira kesanggupannya atau keupayaannya untuk menghadapinya.

Kerana itu, iringilah setiap ikhtiar menangani masalah dan ujian hidup yang dihadapi dengan doa memohon pertolongan daripada Allah SWT sebagaimana dianjurkan oleh al-Quran:

Yang bermaksud: “Dan minta pertolongan (kepada Allah) dengan jalan yang sabar dan dengan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk.” (S. AlBaqarah: 45).

Dalam tempoh beberapa bulan sejak akhir-akhir ini, berlaku kes mengamuk dan membunuh yang membabitkan golongan penghidap masalah kesihatan mental. Lebih menyedihkan, ia berlaku dalam kalangan ahli keluarga seperti mana yang terjadi di Melaka dan Kedah. Jika dahulu, kes-kes seumpamanya dianggap kes terpencil, namun pada hari ini ia dilihat sebagai gejala yang membimbangkan kerana ia mengancam nyawa dan ketenteraman awam.

Tambahan pula, data menunjukkan satu daripada tiga rakyat negara ini yang berusia 16 tahun ke atas mengalami masalah berkaitan mental. Dapatan ini berdasarkan kepada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan tahun lalu yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan, di mana kira-kira 30 peratus atau 4.2 juta rakyat negara ini mengalami masalah kesihatan mental. Ia menunjukkan kenaikan dua kali ganda berbanding 10 tahun lalu (10.6 peratus pada 1996 dan 11.2 peratus pada 2006).

Antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan dua kali ganda masalah kesihatan mental sepanjang 10 tahun lalu adalah krisis kewangan, tiada pekerjaan, tekanan dalam pekerjaan, isu keluarga seperti masalah perhubungan, perceraian, kurang kemahiran keibubapaan, keganasan, dan salah guna dadah serta faktor persekitaran.

Hasil kajian ini amat merisaukan kerana ia membabitkan golongan belia yang berumur 16 hingga 19 tahun, iaitu golongan masyarakat yang menjadi pewaris masa hadapan negara ini. Pada usia 16 hingga 19 tahun, mereka sepatutnya memberi fokus untuk menimba ilmu pengetahuan serta melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran bagi melangkah masuk ke alam pekerjaan dan bukannya masuk keluar hospital bahagia untuk mendapatkan rawatan.

Yang pasti, masalah kesihatan mental bukan sahaja suatu ujian kepada pesakit, malahan ia juga suatu ujian kepada keluarga, masyarakat dan pemerintah. Atas hakikat itu, kes kesihatan mental yang semakin merisaukan itu perlu segera ditangani kerana ujian atau masalah kecil apabila tidak dicegah dengan baik dan segera boleh membawa kepada mudarat yang lebih besar.

Ini bermakna, jumlah pesakit masalah kesihatan mental dalam masyarakat akan terus bertambah selari dengan peningkatan kes perceraian, penyalahgunaan dadah, ketidaktentuan ekonomi dan sebagainya jika tidak dilaksanakan sebarang langkah pencegahan. Memang agak mustahil untuk mewujudkan keadaan sifar masalah kesihatan mental, tetapi usaha ke aarah mengurangkannya perlu dilakukan tanpa noktah.

Dalam hubungan ini, institusi keluarga khususnya para ibu bapa boleh memainkan peranan dengan berusaha mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang boleh menjadi punca gangguan kesihatan mental seperti perceraian dan keganasan rumah tangga.

Seiringan itu, ibu bapa juga harus bersifat penyayang kepada semua anak tanpa mengira jantina, usia, prestasi pembelajaran dan status kesihatannya. Manakala, anak atau anggota keluarga yang mempunyai tandatanda gangguan kesihatan mental hendaklah segera dirujuk kepada pakar psikiatri untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Pada masa sama, anggota masyarakat diharap tidak menambah tekanan kepada mereka yang menghidap gangguan kesihatan mental. Tindakan melabel atau memanggil mereka “gila” atau mengherdik, memaki dan mempersenda mereka tidak akan dapat merawat masalah kesihatan mereka, malahan memungkinkan mereka lebih tertekan yang boleh menatijahkan mereka bertindak agresif dan ganas.

Maka, sebaiknya anggota masyarakat yang sihat dan berkeupayaan membantu para pesakit mental menjalani hidup lebih sempurna dengan menanggapi mereka sebagai insan biasa seperti kita yang sihat yang perlu perhatian dan layanan secara manusiawi. Dengan kata lain, kalau tidak mampu untuk merawat dan menggembirakan mereka, jangan pula menambah dukanya.

Sumber : Web JHEAINS

Mutakhir ini, beberapa negara di dunia digemparkan dengan kejadian bencana alam yang meragut ratusan ribu jiwa dan kerugian berbilion ringgit harta benda dalam sekelip mata. Bahkan ada kawasan yang dahulunya menghijau dan indah telah menjadi padang jarak padang tekukur.

Kini, negara kita juga tidak terlepas daripada berdepan dengan kejadian bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, jerebu, ribut, kemarau dan ombak besar Tsunami. Justeru, sekiranya alam sekitar ini tidak dijaga dengan baik nescaya banyak bencana akan berlaku dan menjejaskan kesejahteraan negara.

Menyedari bencana alam adalah sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran tentang peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam mengurus dan mengurangkan kesan bencana alam perlu dipertingkatkan. Lantaran itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri bertindak sepantas mungkin untuk menangani bencana alam bersama-sama dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Namun usaha tersebut perlu diperkukuhkan melalui sokongan dan kerjasama padu semua pihak sama ada swasta, badan bukan kerajaan dan orang ramai. Masyarakat perlu menyedari hakikat bahawa apabila bencana berlaku, masyarakat merupakan kumpulan pertama yang akan berhadapan dengan musibah tersebut. Justeru itu, penerapan terhadap kesedaran bencana dalam kalangan masyarakat adalah amat penting bagi mengurangkan impak sesuatu bencana.

Pada masa yang sama, masyarakat perlu melibatkan diri secara aktif dalam pengurusan bencana ini sama ada sebelum, semasa dan selepas ia berlaku. Bagi memastikan keselamatan kita terjamin maka langkah-langkah berikut perlu dilakukan iaitu

(i) mengenal pasti dan memetakan jenis risiko bencana yang wujud di lokasi penempatan;

(ii) mengenal pasti petunjuk-petunjuk awal sebelum bencana berlaku;

(iii) mengenal pasti tempat selamat atau pusat pemindahan untuk berlindung sekiranya berlaku bencana; dan

(iv) merancang aktiviti-aktiviti sebelum, semasa dan selepas sama ada untuk mencegah dan mengurangkan kesan bencana. Sikap masyarakat yang sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, membersihkan saliran yang tersumbat, mengenal pasti jiran terdekat yang sukar untuk berpindah teutamanya Orang Kelainan Upaya (OKU), warga tua, wanita hamil, kanak-kanak amat diperlukan.

Di samping itu, kita juga perlu menyimpan nombor-nombor perhubungan yang penting seperti pihak polis, bomba, pertahanan awam dan unit kecemasan hospital bagi memudahkan pemindahan dan proses menyelamat dilakukan.

Seiring dengan konsep khalifah yang di beri amanah untuk mengurus dan mentadbir bumi ini dengan sebaiknya, maka sangat penting kita memastikan sumber yang ada dimanfaat sebaik-baiknya serta dijauhkan daripada bencana. Ini bagi memastikan kesinambungan hidup generasi anak cucu kita yang akan datang dapat menikmati dan merasainya. Persoalannya, adakah kita meninggalkan sesuatu yang lebih baik atau sebaliknya untuk anak cucu kita?. Firman Allah SWT dalam ayat 165 Surah Al-An’am: 

Maksudnya: “Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Hakikatnya, pelbagai bencana dan kerosakan alam sekitar yang berlaku di seluruh dunia, khususnya di Malaysia adalah di sebabkan oleh kerakusan dan kecuaian manusia itu sendiri. Oleh itu, kita masih mendengar kejadian pembakaran terbuka, pembuangan sampah sarap, tumpahan minyak, pelepasan kumbahan / industri, pembalakan haram dan pembukaan tanah bagi tujuan pembangunan yang tidak terkawal.

Fenomena ini mengakibatkan sering terjadi musibah dan bencana yang besar seperti banjir, pembakaran hutan, tanah runtuh, ketidaktentuan cuaca, kemarau berpanjangan, pencemaran sumber air serta udara, kejadian ternakan dan haiwan mati (sama ada di darat atau air) dan sebagainya.

Hal ini telah menjejaskan urusan harian manusia dan menyebabkan tadahan air di empangan-empangan utama semakin berkurangan sehingga catuan air terpaksa dilakukan. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ruum ayat 41:

Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Sesungguhnya kejadian bencana yang menimpa di negara ini dan beberapa tempat lain di dunia perlu kita jadikan iktibar. Ia menyedarkan kita bahawa harta benda adalah pinjaman dan dunia adalah sementara sahaja. Selain itu, kita dapat melatih diri dengan sikap redha dan sabar serta menginsafi diri agar jangan sekali-kali lalai terhadap amanah Allah SWT di muka bumi ini.

Sempena minggu Hari Alam Sekitar Negara tahun ini, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan bersatu padu untuk bersama-sama memakmurkan bumi Allah SWT ini dengan sebaik-sebaiknya. Ambillah manfaat segala yang ada di bumi ini tanpa melakukan pembaziran agar dapat diguna dan dinikmati oleh generasi akan datang.

Sumber : Web JHEAINS

Sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut setiap kali pada bulan Oktober, ayuh kita merenung firman Allah SWT tentang anak dan zuriat keturunan, iaitu anak cucu kita:

Maksudnya: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertaqwa”. (Surah Al-Furqaan, ayat 74)

Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menghuraikan maksud ayat ini: Mereka sentiasa memohon kepada Allah SWT semoga anak isteri dan keturunan mereka tetap di dalam iman dan beramal soleh. Mereka juga memohon semoga mereka sendiri diberi ilmu yang luas dan diberi taufiq untuk mengerjakan kebajikan sehingga dapat menjadi ikutan dan contoh yang baik bagi orang yang mahu memelihara dirinya dari larangan Allah.

Hari Kanak-Kanak Sedunia sewajarnya mengingatkan kita sebagai ibu bapa dan guru atau ustaz-ustazah yang mendidik anak-anak, berkenaan kisah Luqman dan anaknya yang teramat masyhur berkenaan peringatan supaya tidak berbuat syirik atau mempersekutukan Allah SWT, firman Allah SWT di dalam AlQuran:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”. (Surah Luqman, ayat 13)

Seterusnya Luqman menasihatkan anaknya tentang solat dan amar makruf wa nahyi mungkar, terakam dalam firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”. (Surah Luqman, ayat 17)

Hari Kanak-Kanak Sedunia diharap dapat mengingatkan kita tentang anak pinak itu adalah hiasan hidup bagi ibubapa, firman Allah SWT:

Maksudnya: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan”. (Surah Al-Kahfi, ayat 46)

Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan ayat ini: Kekayaan dan anak pinak yang ramai memanglah baik, bahkan menjadi perhiasan dunia yang sangat-sangat diperlukan. Tetapi janganlah dijadikan anak pinak dan harta benda itu untuk kesenangan dan perhiasan dunia semata-mata, bahkan hendaklah kita berjaga-jaga menjadikannya sebagai jalan dan alat bagi menerbitkan amal-amal soleh yang kekal faedahnya untuk kesenangan dan kebahagiaan kita di akhirat sama.

Sungguh beruntung orang yang dapat berusaha untuk kebaikan dunianya dan akhiratnya. Oleh itu, sebagai ibu bapa Muslim, sudah seharusnyalah kita manfaatkan segala harta dan anak pinak serta zuriat keturunan yang Allah SWT kurniakan untuk mendapatkan sebanyak-banyak kebaikan dan pahala yang sebaik-baiknya di sisi Allah SWT.

Hari Kanak-Kanak Sedunia juga mengingatkan kita bahawa anak pinak itu merupakan fitnah ujian bagi ibubapa, firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar”. (Surah Al-Anfaal, ayat 28)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menghuraikan tentang maksud ujian dalam ayat ini: Oleh itu, janganlah kamu, kerana kamu sayangkan harta benda dan kasihkan anak pinak lalu kamu terdorong melanggar perintah-perintah Allah SWT, kerana Allah SWT menyediakan pahala yang besar bagi orang yang mematuhi perintah-perintah-Nya dan mengutamakan keredhaan-Nya lebih daripada harta benda dan anak pinak yang dikasihi.

Peringatan Allah SWT ini adalah dengan tujuan supaya kita tidak terperangkap antara kasih sayang dengan batas-batas perintah dan larangan Allah SWT. Sesungguhnya beruntunglah bagi orang yang taat dan patuh perintah Allah SWT. Sebaliknya, rugilah orang yang melanggar perintah Allah SWT dengan alasan kerana sayangkan kepada harta dan anak pinak itu.

Sumber : Web JHEAINS

Menyedari akan nikmat serta peranan mata yang begitu besar bagi manusia, maka sudah sewajarnyalah kita mengambil berat aspek penjagaan kesihatan mata. Penjagaan kesihatan mata merangkumi menggunakan deria penglihatan untuk kebaikan yang mendatangkan faedah, dan bukannya untuk keburukan yang mengundang padah.

Perkara ini hendaklah diberikan perhatian memandangkan kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati bahawa setiap lima saat seorang manusia di muka bumi ini akan menghadapi masalah penglihatan. Salah satu buktinya ialah semakin ramai orang pada hari ini memakai cermin mata atau kanta mata untuk meningkatkan daya penglihatannya.

Keadaan ini berlaku disebabkan kurangnya kesedaran terhadap penjagaan kesihatan dan kepentingan pemeriksaan mata secara berkala. Berikutan senario itu, tanggal 14 Oktober setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Penglihatan Sedunia. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran, pemahaman dan perhatian orang ramai kepada aspek pencegahan masalah penglihatan dan kebutaan. Ini kerana menurut pakar oftalmologi, 80 peratus daripada masalah penglihatan boleh dielakkan dan boleh dirawat jika dilakukan pemeriksaan dan dikesan lebih awal.

Antara masalah kesihatan mata yang paling banyak dikesan dan berlaku di negara kita adalah katarak, glaukoma, kemerosotan makular berkaitan usia (AMD) dan retinopati diabetik.

Katarak adalah sejenis penyakit di mana selaput menyelubungi kanta mata. Ia menyebabkan penglihatan kabur. Antara tandanya ialah nampak objek seperti berkabus, pudar atau penglihatan malam terganggu, kaca mata tidak berfungsi, hilang sensitiviti kontra seperti ketepatan warna, jarak dan kecerahan.

Glaukoma pula boleh menyebabkan pesakit hilang daya penglihatan secara tiba-tiba tanpa disedari. Ia berpunca daripada kerosakan pada saraf optic. Antara tanda awalnya ialah penghidap glaukoma akan merasa sakit di bahagian mata, sekali gus tahap penglihatan merosot, ditambah dengan sakit kepala, mata merah, mual-mual, pening dan muntah.

Sementara itu, kemerosotan makular berkaitan usia (AMD) pula merupakan masalah mata yang menjejaskan makula mata (yang menentukan ketajaman penglihatan). Ia biasanya mempunyai kaitan dengan usia, penghidap tekanan darah tinggi dan mempunyai sejarah keluarga atau perokok.

Satu lagi gejala yang menjejas penglihatan ialah retinopati diabetic. Ia merupakan masalah yang biasa dikaitkan dengan penghidap kencing manis. Risikonya bergantung kepada berapa lama seseorang menghidap diabetes dan berapa teruk kadar gula di dalam darahnya.

Ketahuilah bahawa masalah katarak, glaukoma, kemerosotan makular berkaitan usia (AMD) dan retinopati diabetic boleh dirawat. Namun, banyak juga yang tidak dapat dipulihkan lagi jika sudah menjadi buta. Apa yang penting, adalah langkah pencegahan dan pengesanan awal kerana masih terdapat kemungkinan perkembangannya dilengahkan supaya pesakit tidak hilang penglihatan dalam tempoh singkat.

Untuk itu, kita disarankan agar melakukan pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun. Diagnosis awal membolehkan rawatan serta-merta dan awal diberikan seperti rawatan laser dilakukan bagi mencegah hilang daya penglihatan. Penggunaan peralatan moden seperti laser Quantel Supra Yellow misalnya membolehkan rawatan laser retina dilakukan dengan cepat dan selesa.

Mereka yang mempunyai tahap penglihatan 6/6 pada kedua-dua belah mata, dikategorikan sebagai normal. Mereka yang mempunyai tahap penglihatan 6/9 atau kurang dikategorikan sebagai mempunyai masalah penglihatan. Manakala mereka yang mempunyai tahap penglihatan kurang dari 6/18 pula dikategorikan sebagai penglihatan yang terhad.

Bagaimanapun, kebanyakan daripada kita kurang menghargai dan mungkin mengabaikan aspek pemeliharaan kesihatan mata yang dikurniakan sehinggalah apabila mengalami masalah penglihatan.

Justeru, sementara masih mempunyai daya penglihatan, hargai dan syukurilah nikmat pancaindera kurniaan Allah SWT itu dengan melakukan ketaatan kepada Allah SWT selain menghindari perbuatan-perbuatan yang boleh memudaratkan diri dan kesihatan mata. Salah satu resipinya ialah memelihara pandangan mata daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh agama selaras dengan firman Allah SWT:

Yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu kerjakan. Dan katakanlah kepada mereka perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka;…” (S. An-Nur: 30-31).

Sehubungan dengan mafhum firman Allah SWT tersebut, menjadi kewajipan bagi setiap laki-laki dan wanita Islam menjaga pandangan masing-masing. Tujuannya adalah untuk memelihara diri daripada terjebak maksiat sebab pandangan merupakan salah satu anak panah beracun daripada iblis. Tambahan pula, dosa zina yang sangat dibenci bermula daripada lirikan mata. Daripada Huzaifah, Rasulullah SAW bersabda:

“Pandangan adalah salah satu anak panah beracun daripada iblis. Barang siapa yang meninggalkannya kerana takut kepada Allah, maka Allah akan memberinya keimanan yang manisnya terasa di dalam hati.” (HR Al-Hakim)

Kerana itu peliharalah amanah mata pinjaman Allah SWT daripada perkaraperkara yang memudaratkan dan dilarang Allah SWT kerana penglihatan seperti juga pendengaran dan hati akan ditanya tentang apa yang dilakukannya pada hari kiamat.

Maka betapa pentingnya kita semua sentiasa memastikan mata kita menghayati kekuasaan dan kebesaran Allah SWT selain mengawal mata daripada melihat yang haram dan menghijab penglihatan daripada mengagumi harta serta kebesaran orang lain yang dikhuatiri menjadi punca timbulnya penyakit hati seperti hasad, iri dan dendam.

Sumber : Web JHEAINS

“Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Dia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua – kebudak-budakan), sehingga menjadilah dia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.” (S. An-Nahl: 70).

Berpandukan kepada mafhum firman Allah SWT ini, kita beroleh pengajaran bahawa setiap fasa dalam proses kehidupan dan perkembangan seorang insan mempunyai matlamat tersendiri, baik fasa bayi dalam kandungan atau fasa bayi selepas kelahiran, fasa kanak-kanak, remaja dan dewasa, dan akhirnya tua.

Kita makhluk bernama manusia dituntut supaya memastikan perubahan fasa kehidupan yang berlaku itu diurus sebaik mungkin agar pengakhiran daripada proses penghidupan di dunia ini bernoktah pada husnul khatimah atau kesudahan yang baik, yakni mati dalam keadaan beriman dan Islam. Dengan kata lain, setiap fasa perubahan yang berlaku khususnya fasa umur baligh hingga usia emas perlu dilihat sebagai satu peluang serta kesempatan untuk mengumpul seberapa banyak bekalan untuk dunia kekal selepas nyawa diambil pemiliknya iaitu Allah Yang Maha Esa.

Perkara ini perlu diberikan perhatian oleh setiap Muslim mengingat bahawa jangka hayat manusia secara umumnya berligar sekitar 60 hingga 70 tahun sebagaimana Hadith daripada Abu Hurairah, katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Usia umatku antara 60 hingga 70 tahun. Sedikit antara mereka yang melebihi usia tersebut”. (HR AtTirmidzi).

Sementelahan, kita menyedari bahawa hidup di dunia ini amatlah singkat berbanding kehidupan abadi di akhirat, maka kita sewajarnya menyusun strategi supaya dapat memanfaatkan masa hidup untuk memperolehi ganjaran pahala berlipat kali ganda. Kita perlu faham bahawa Allah SWT sangat kasihkan hamba-Nya, selalu mendengar doa-doa dan munajat kita dan menyediakan syurga bagi siapa yang mengharapkannya.

Justeru, menjejaki usia emas bukan bererti hanya menumpukan kepada aspek menjaga makan, minum dan kesihatan semata-mata. Lebih penting daripada itu ialah memastikan tauhid benar-benar meresap ke dalam hati kita. Sangat penting kita mengenali Allah SWT dan sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna, seterusnya mengerjakan segala perkara yang telah disyariatkan-Nya dengan penuh keikhlasan.

Sebab kewajipan serta tugas manusia dalam kehidupan adalah untuk menyembah dan tunduk mengabdi diri kepada perintah Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (S. Az-Zariat: 56).

Mengabdikan diri kepada Allah SWT bererti melaksanakan semua perintah dan menjauhi laranganNya dan juga mengekalkan rasa kehambaan kepada-Nya pada setiap masa. Ia merupakan peranan serta kewajipan asasi setiap manusia di muka bumi ini yang nantinya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT pada hari akhirat.

Seiringan itu, kita hendaklah berlumba-lumba mengisi hidup ini dengan amal ibadat wajib dan sunat supaya hidup lebih diberkati dan diredhai Ilahi. Ia juga sebagai bekalan di hari kemudian sebagaimana dianjurkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada Hari Kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (S. Al-Baqarah: 148).

Selaras dengan anjuran Allah SWT tersebut, setiap individu Muslim dituntut supaya meneruskan kewajipan mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan amal-amal soleh lainnya selagi ada kudrat bagi mencapai status hamba yang terbaik di sisi Allah SWT.

Ini kerana sebaik-baik manusia adalah mereka yang panjang usianya dan baik amalnya menurut Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: Ketika Rasulullah SAW ditanya: “Siapa manusia terbaik?” Baginda menjawab: “Orang yang panjang usianya dan baik amalnya.” Baginda ditanya lagi: “Lalu siapa manusia terburuk?” Jawab Rasulullah SAW: “Orang yang panjang usianya tetapi jelik amalnya.” (HR At-Tirmidzi).

Berdasarkan kepada kajian Institut Penyelidikan Penuaan pada tahun 2009, jangka hayat penduduk Malaysia didapati semakin meningkat. Usia kaum lelaki meningkat kepada 72.6 tahun, manakala usia kaum wanita meningkat kepada 77.5 tahun. Jika trend ini berterusan, maka adalah dijangkakan menjelang 2035, kira-kira 15 peratus rakyat Malaysia dijangka terdiri daripada warga tua berusia 60 tahun ke atas.

Peningkatan jangka hayat ini dikaitkan dengan kemudahan kesihatan yang semakin baik di samping timbulnya kesedaran untuk mengamalkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat. Begitu pun, jangka hayat seseorang itu pada hakikatnya adalah ketentuan Ilahi yang wajib diterima dengan penuh redha. Yang jelas, ajal datang tidak mengenal usia sebagaimana terakam pada firman Allah SWT:

Yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka melambatkan sesaatpun dan tidak dapat mereka menyegerakannya.” (S. Yunus: 49)

Sehubungan dengan mafhum firman Allah SWT tersebut, umat Islam diharap tidak mudah dibuai dengan dapatan bahawa jangka hayat rakyat kini semakin panjang. Ini kerana, dari satu sudut, jangka hayat yang panjang merupakan suatu bentuk Istidraj atau umpan kepada manusia untuk menundanunda pekerjaan berkaitan dengan kehidupan hari akhirat.

Namun dari sudut yang lain, jangka hayat yang panjang memberi ruang dan peluang kepada umat Islam untuk bermuhasabah menilai kelemahan serta kekurangan diri sekali gus menggandakan amal ibadat sebagai persiapan menuju kampung akhirat. Dengan hal yang demikian, Hari Warga Tua Sedunia yang dirai dan disambut pada tanggal 1 Oktober setiap tahun diharap menyedarkan kita semua bahawa kita pasti akan menjejaki usia tua jika dikurniakan Allah SWT umur yang panjang.

Sumber : Web JHEAINS

Bagi menjunjung Titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang dilafazkan dalam Majlis Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke 13 pada 7 Mac 2016 yang telah bertitah:

“Menyokong penuh segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan damai di negara ini. Berharap langkah-langkah ke arah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan perlaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan mahkamah syariah dapat disegerakan. Isu-isu keagamaan perlu dirujuk kepada pihak berautoriti agama dan tidak wajar dibuat tafsiran secara individu atau berkelompok kerana boleh mencetuskan kecelaruan, ketegangan dan konflik dalam masyarakat.”

Malah ia suatu yang bertepatan dengan roh dan semangat Perlembagaan Negara yang memperuntukan Islam sebagai agama Persekutuan dan sejajar dengan dua prinsip dalam Rukun Negara iaitu keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Apatah lagi ketika Negara kita mencapai kemerdekaan ke 59 tahun pada kali ini, maka adalah wajar segala yang berkaitan dengan Syariat Islam dan maslahat umat Islam di Negara ini terus berkembang dan diperkasakan termasuk memartabatkan lagi institusi perundangan Islam, iaitu Mahkamah Syariah.

Sehubungan dengan usaha memperkukuhkan institusi Islam dan juga pemerkasaan Mahkamah Syariah, satu Usul Persendirian telah dibawa dan dibentangkan dalam Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 yang lalu bagi mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Ahli Persendirian bernama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, selepas ini disebut “Cadangan Pindaan Akta 355”.

Usul Persendirian ini mencadangkan pindaan ke atas undang-undang ibu iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang disebut sebagai “Akta 355”. Selepas pembentangan itu, rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, merentasi kaum, agama, budaya, bahasa dan ideologi telah memberi komen atau pandangan dalam isu ini. Termasuk kalangan orang biasa daripada petani, nelayan, orang kampung sehinggalah ahli akademik, cerdik pandai, profesional, pengamal undang-undang dan ahli politik mengemukakan hujahan masing-masing; sama ada menyokong atau menentang cadangan pindaan Akta 355 tersebut.

Sebagai umat Islam, kita mempunyai tanggungjawab dalam menyatakan pandangan dan sokongan melalui ilmu dan kefahaman terhadap usaha memperkukuh institusi Islam dan Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta 355 berkenaan. Untuk itu, umat Islam hendaklah memiliki ilmu dan pengetahuan serta memahami dan seterusnya menjelaskan dengan sebaik-baik kepada masyarakat agar kebaikan dan kebenaran itu jelas dan tidak timbul kekeliruan.

Dalam hal ini, Syeikh Muhammad al-Ghazali menyatakan,“Apabila kamu ingin memelihara kebenaran dan menentukan batas-batasannya, kamu sepatutnya terlebih dahulu mengetahui kebenaran itu dan pelbagai perkara yang berkaitannya dengan kebenaran tersebut. Kamu mungkin menimbulkan persoalan kenapa perkara-perkara ini begitu penting? Kenapa tidak mengetahui pelbagai perkara yang berkaitan dengan sesuatu kebenaran itu akan merosakkan dan tersalah kefahaman mengenai kebenaran tersebut? Jawabnya, “Pengetahuan yang sempurna pasti memiliki batas-batasannya. Oleh itu, pengetahuan kamu berkenaan sesuatu perkara itu tidak akan pernah sempurna kecuali kamu benar-benar mengetahui perkara-perkara yang lain berkenaan dengan kebenaran tersebut atau yang menyerupai dengannya. Oleh itu, orang terdahulu pernah mengungkapkan sesuatu perkara itu boleh diketahui daripada perkara yang bertentangan dengannya. Kejahilan dalam apa jua perkara akan mengagalkan usaha kita bagi memahamkan masyarakat tentang kebaikan institusi Islam dan keadilan Islam. Benarlah kata, Syeikh Muhammad al-Ghazali, “Musuh utama kita adalah kejahilan kita sendiri.”

Sejarah membuktikan zaman pentadbiran Negara Madinah dibawah kepimpinan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, adalah zaman pentadbiran yang berteraskan melaksana amanah dan menegak keadilan, yang mewjudkan kehidupan yang aman, damai dan semua kaum terbela. Begitu juga di zaman Khalifah Umar Abdul Aziz adalah zaman pentadbiran Islam yang makmur dan sejahtera selepas zaman Rasulullah SAW dan Khulafa’ Ar-Rasyidin. Tiada kerajaan atau pemerintahan sebelum atau selepas dua zaman itu boleh menyamai kepimpinan yang adil yang membawa keamanan, rahmat, keadilan, makmur dan sejahtera kepada Negara dan rakyat, Negara yang melimpah-limpah berkat ke atasnya.

Kerajaan Parsi, Rom dan juga Greek yang berkuasa pada zamannya pun tidak mampu menyamai atau menandingi zaman gemilang dan makmur zaman Madinah dibawah pimpinan Rasulullah SAW dan Khulafa’ Ar-Rasyidin dan zaman Khalifah Umar Abdul Aziz. Ketahuilah, bahawa limpahan berkat, rahmat, aman, damai, makmur dan sejahtera yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas Negara Madinah, kerana musabab kepatuhan, keimanan dan ketaqwaan para pemimpin dan rakyatnya, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al-Quran:

Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (Surah Al-A’raaf, ayat 96)

Kenapa zaman Rasulullah SAW, Khulafa’ Ar-Rasyidin dan Khalifah Umar Abdul Aziz Negara Madinah, walau rakyatnya majmuk yakni berbilang kaum, suku, bangsa dan berbeza agama, ada Islam, ada Yahudi, ada Nasrani, ada Majusi, tetapi negara makmur, masyarakatnya bersatu, aman, damai dan sejahtera?

Sebab segala peraturan dan perundangan yang dilaksanakan zaman itu adalah berdasarkan Syariah atau Syariat Islam yang syumul dan lengkap segala aspek kehidupan umat manusia, tiada yang dizalimi. Malah semua kaum dan agama diberikan keadilan. Inilah antara keutamaan, hikmah, rahmat dan keberkatan yang akan berkembang dan hidup subur dalam kehidupan ummah, jika Syariat Islam terlaksana dengan baik dan sempurna dalam seluruh sistem kekeluargaan, masyarakat, ummah dan Negara.

Justeru, sebagai umat Islam yang cintakan keadilan dan keamanan, adalah sangat dituntut supaya bersama-sama mendokong dan menyokong segala usaha murni mengukuhkan institusi Islam melalui pemerkasaan Mahkamah Syariah . Dalam erti kata lain, pindaan Akta 355 hendaklah dialu-alukan dan disambut baik oleh setiap lapisan masyarakat Islam di negara ini tanpa prejudis. Ini kerana pindaan itu bertujuan menegakkan keadilan dan memelihara maslahat umat Islam dalam hal kekeluargaan, hal kesucian aqidah dan isu-isu masjid, waqaf, zakat dan sebagainya.

Pindaan Akta 355 sama sekali tidak terpakai ke atas golongan bukan Islam kerana akta itu sendiri menjelaskan bahawa ia hanya melibatkan orang Islam sahaja. Maka, selaras dengan kedudukan Islam yang begitu tinggi menurut Perlembagaan Negara, sudah sewajarnya Syariat Islam diperkasakan lagi supaya seiring dengan kehendak zaman dan kemunasabahan semasa. Kebenaran adalah milik Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

Maksudnya: “Kebenaran adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan yang ragu-ragu”. (Surah Al-Baqarah, ayat 147)

Demikianlah, indahnya Islam, syariatnya dan hukum perundangannya dalam menjamin keadilan ditegakkan dan maslahat umat Islam dan manusia seluruhnya terpelihara dengan baik dan sempurna. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan hendaklah ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang yang fasik”. (Surah Al-Maidah, ayat 47)

Sumber : Web JHEAINS

Hari ini, iaitu tanggal 16 September adalah hari penuh sejarah bagi seluruh rakyat negara ini. Ini kerana, pada tarikh ini pada tahun 1963 lalu, terbentuklah negara Malaysia secara rasmi menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Pembentukan Malaysia bukan sahaja membawa kepada penyatuan dua wilayah yang dipisahkan oleh Laut China Selatan, malah ia juga membawa kepada penyatuan pelbagai kaum dan etnik yang berlainan agama dan budaya.

Oleh hal yang demikian, dengan adanya sambutan Hari Malaysia setiap kali tarikh keramat 16 September ini, diharapkan kecenderungan untuk melihat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang berada dalam wilayah yang berasingan akan terhakis. Sambutan hari ulang tahun pembentukan Malaysia ini juga diharap terus dihayati, dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat Sabah dan Sarawak tetapi juga seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira kaum, etnik dan agama.

Menghayati, mengenang dan menghargai pembentukan Malaysia begitu penting kerana membina perpaduan dan kesatuan bangsa dalam masyarakat bersifat majmuk bukanlah satu usaha yang mudah. Sedangkan perpaduan, kesatuan dan keharmonian adalah aset paling berharga untuk mencapai taraf negara yang aman dan maju berpendapatan tinggi. Maka, kini bukanlah masanya untuk rakyat berselisih faham dan berpecah belah, tetapi adalah masa untuk melestarikan kesatuan negara bangsa Malaysia walau apa dugaan yang merintang.

Antara pendekatan dalam melestari dan mengekalkan kesatuan Malaysia ialah menghargai kepelbagaian yang wujud di kesemua negeri di negara ini. Kepelbagaian sosial yang merangkumi etnik, ras, agama, budaya, adat resam dan sosio-ekonomi yang berbeza hendaklah diterima seadanya. Kepelbagaian yang wujud itu adalah anugerah Allah SWT yang secara langsung mencerminkan kebesaran dan kekuasaan-Nya dalam mencipta dan mentadbir alam semesta ini. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (S. AlHujurat: 13).

Berpandukan kepada mafhum firman Allah SWT ini, kepelbagaian negeri, kaum dan etnik yang menghiasi negara kita merupakan sebahagian daripada tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Dengan hal yang demikian, kewujudan negeri-negeri di Malaysia dengan kepelbagaian kaum, etnik dan agama yang menghuninya hendaklah dilihat sebagai satu rahmat.

Sebagai satu rahmat Allah, maka ia hendaklah dihargai, diterima dan disyukuri dengan memastikan kepelbagaian yang wujud itu tidak menjadi tembok pemisah dalam memulihara kesatuan bangsa. Dengan kata lain, meskipun berlainan negeri, berlainan suku keturunan, berlainan bahasa, berlainan agama dan budaya, kita semua mesti berpegang kepada beberapa prinsip untuk melestarikan perpaduan dan kesatuan bangsa. Prinsip-prinsip berkenaan adalah saling menghormati, sikap bertoleransi, menjaga sensitiviti dan saling mempercayai antara satu sama lain di samping mengikis semangat kesukuan, kenegerian dan wilayah.

Lihatlah dan renungkanlah perpecahan dan pergaduhan yang berlaku sesama sendiri di antara pendudukpenduduk di sesetengah negara seperti di Syria, Iraq, Yaman dan lain-lain lagi. Kerana perpaduan dan kesatuan bangsa tidak wujud, maka terjadilah perselisihan, pergaduhan dan juga peperangan saudara. Akibatnya, hidup rakyatnya dipenuhi dengan penderitaan dan kesengsaraan, banyak harta benda musnah dan beribu-ribu nyawa terkorban, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.

Keadaan sedemikian sudah semestinya dijadikan teladan dan pengajaran oleh rakyat negara ini, apatah lagi keadaan masyarakat kita yang bersifat majmuk. Ini berikutan dengan terdapatnya anasir yang tidak suka melihat persefahaman dan kerjasama wujud di kalangan masyarakat kita. Mereka lebih suka melihat masyarakat kita berselisih faham dan tidak bersatu padu sehingga sanggup memainkan isu-isu sensitif seperti sentimen kenegerian, kaum, agama dan sebagainya untuk kepentingan tertentu.

Kita sebagai rakyat beragama Islam bukan sahaja dituntut supaya berwaspada dan mengawasi kegiatankegiatan golongan anti masyarakat berkenaan, malahan kita juga berkewajipan menghindari perselisihan dan perpecahan sesama sendiri. Perbuatan menyala api perselisihan dan anti kesatuan dan perpaduan tidak boleh dibiarkan merebak dan berkembang kerana ia boleh melemahkan kesatuan ummah dan negara bangsa. Ini sejajar dengan firman Allah SWT dalam al-Quran:

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.” (S. Al-Anfal: 46).

Sumber : Web JHEAINS

Tahmid dan syukur kita rafakkan ke hadrat Allah SWT yang menganugerahi negara kita dengan nikmat kemerdekaan dan keamanan. Ia paling berharga dan bermakna bagi setiap warga yang menghuni bumi bernama Malaysia ini. Dengan kemerdekaan dan keamanan yang wujud, rakyat berbilang kaum bebas mencari rezeki di setiap inci muka bumi negara ini. Manakala di pihak pemerintah pula, kemerdekaan dan keamanan membolehkannya melaksanakan segala dasar pembangunan dengan lancar dan berkesan untuk mensejahterakan kehidupan rakyat.

Dengan hal yang demikian, kemerdekaan adalah antara nikmat yang amat bernilai dan besar ertinya dalam suasana dan wajah dunia yang tidak sunyi daripada kekejaman sesama manusia, keserakahan perebutan kuasa, dan penjajahan minda. Maka, kemerdekaan yang telah dikurniakan oleh Maha Pencipta ini seharusnya disyukuri oleh setiap rakyat. Satu daripada caranya ialah dengan memupuk subur dan memelihara nikmat kemerdekaan bagi memastikan obor yang dinyalakan oleh para pejuang terdahulu tidak menjadi kelam dan malap.

Marilah kita insafi bersama bahawa Allah SWT tidak akan mengubah keadaan dan nasib kita kepada keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya jika kita tidak mahu berusaha mengubah keadaan yang ada pada diri kita sendiri. Maka, selaku pewaris kemerdekaan, kita hendaklah sentiasa mengenang dan mengingati betapa payahnya keadaan hidup rakyat semasa dijajah dahulu.

Walaupun barangkali sebahagian besar daripada generasi hari ini tidak pernah merasakan keperitan hidup sebelum merdeka, namun jadikanlah pengalaman pahit serta penderitaan hidup yang dirasai dan dialami oleh datuk nenek atau mungkin ibu bapa kita di zaman pemerintahan British dan Jepun sebagai pengajaran dalam memperbaiki diri dari segi pendidikan, ekonomi, sosial dan sebagainya ke arah membentuk penghidupan yang lebih baik daripada hari kelmarin.

Dalam hubungan ini, renungilah seruan Nabi Musa AS yang menggesa kaumnya supaya mengingati betapa besarnya nikmat kemerdekaan setelah bebas daripada diperhambakan oleh Firaun:

Maksudnya: “Dan (ingatkanlah) mereka wahai Muhammad, ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika Dia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang nabi, dan Dia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orang-orangnya), dan Dia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorangpun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)”. (S. Al-Maaidah: 20).

Inti pati daripada mafhum ayat ini menghimbau setiap warga negara ini supaya tidak pernah alpa daripada mengenang dan mensyukuri nikmat kemerdekaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Semua pihak termasuk pemimpin dan rakyat tanpa mengira ideologi mesti bersyukur dalam menikmati ruang kehidupan yang jauh lebih baik berbanding ketika di awal kemerdekaan dahulu.

Kesyukuran dan kesedaran akan menginsafkan diri untuk melakukan yang terbaik untuk mengisi dan memaknakan kemerdekaan ini dengan berusaha bergerak ke hadapan mencapai kemajuan dalam semua dimensi kehidupan berlandaskan pembangunan jasmani dan rohani yang seimbang. Ini bagi memenuhi aspirasi kemerdekaan mewujudkan negara yang berdaulat dan makmur dalam limpahan rahmat dan keredhaan Allah SWT.

Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun menjadi platform terbaik dalam menyuburkan kesyukuran terhadap nikmat kemerdekaan sekaligus memulihara semangat kesatuan dan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di negara kita.

Hari yang bersejarah itu juga mengingatkan setiap warga supaya memainkan peranan dalam mempertahankan apa yang dimiliki hari ini berkekalan selama-lamanya hingga ke akhir dunia. Ia penting kerana nikmat kemerdekaan, perpaduan, dan keamanan yang ada pada hari ini boleh lenyap mahupun diragut sekelip mata andai kata leka dan lalai.

Kita akui bahawa toleransi yang tinggi antara rakyat serta pemimpin pelbagai kaum di negara ini sepanjang lebih lima dekad lalu berjaya membentuk sebuah negara Malaysia yang aman, stabil dan maju. Tetapi malangnya, semakin negara menginjak usia lebih dewasa, semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat nampaknya semakin pudar.

Perpaduan dan keharmonian antara kaum yang selama ini menjadi teras kepada pembangunan negara mula diganggu-gugat keampuhannya oleh anasir-anasir tidak bertanggungjawab yang menyalakan api kebencian, syak wasangka dan permusuhan melalui pelbagai isu dan sentimen. Memang pada ketika ini pada zahirnya hubungan antara kaum tidak memperlihatkan sebarang tanda-tanda kerosakan.

Tetapi, sampai bila ia mampu bertahan jika ada pihak yang saban hari mengasak dengan bermacam bentuk hasutan serta sentimen agama dan perkauman? Ibarat api yang membakar sekam, sentimen-sentimen berkenaan lama-kelamaan boleh membakar perasaan rakyat secara diam.

Oleh hal yang demikian, senario yang menggugat perpaduan negara dan kaum ini adalah berbahaya dan perlu dibendung segera secara bijak dan tuntas. Kegagalan menanganinya akan memungkinkan kemerdekan dan jambatan perpaduan yang kita bina selama ini akan mengalami keretakan malah keruntuhan andai kita terlalu selesa dengan nikmat yang sedia ada tanpa berusaha menghayatinya dan mempertahankannya.

Sumber : Web JHEAINS

Negara kita menyambut Hari Wanita Kebangsaan pada 25 Ogos setiap tahun. Sambutan ini sebagai tanda pengiktirafan kepada wanita atas sumbangan mereka di dalam pembangunan, kemajuan Negara dan umat Islam di Negara ini.

Wanita juga menjadi ejen kepada perubahan dalam masyarakat dan menyumbang pembangunan ekonomi dan sosial di Negara ini. Manakala antara objektif atau tujuan utama Sambutan Hari Wanita Kebangsaan tahun ini, ialah:

1. Memberi pendedahan, maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat umum terutamanya kepada golongan wanita mengenai isu, peluang dan cabaran yang bakal dihadapi dan persekitaran masa kini dan akan datang agar wanita mempunyai daya saing untuk mencapai perkongsian saksama antara wanita dengan lelaki.

2. Melalui Sambutan ini, kerajaan dapat merealisasikan usaha membentuk masyarakat Malaysia yang progresif dan seimbang dengan luas kepada masyarakat. Golongan wanita dapat mengarusperdanakan kepentingan wanita untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya agar dapat merealisasikan aspirasi kerajaan dengan membangunkan modal insan yang berilmu, berwawasan, mempunyai daya kreativiti dan inovasi serta menghayati nilai-nilai murni.

Untuk mencapai objektif ini, umat Islam mempunyai ramai ikon wanita Islam terhebat sepanjang zaman, antara model dan contoh teladan itu ialah Siti Khadijah binti Khuwailid RA, beliau seorang wanita mulia, berpengaruh, bangsawan, hartawan dan dermawan.

Beliau merupakan isteri Baginda Rasulullah SAW. Inilah ikon tersohor umat Islam, terkenal sebagai tokoh perniagaan di zaman itu. Siti Khadijah RA adalah Ummul Mukminin pertama, seorang wanita yang tabah, gigih, sentiasa memberikan dorongan kepada Rasulullah SAW, suaminya dalam perjuangan dan dakwah suaminya mengajak umat manusia ke jalan Allah.

Malah beliau juga menjadi penolong, pembantu dan pembela Rasulullah SAW dalam melaksanakan tugas mulia menyeru manusia ke jalan Allah SWT.

Allah SWT menjadikan lelaki dan wanita atau perempuan supaya saling kenal-mengenal antara satu dengan lain demi melaksana perintah Allah SWT memakmur dan membangunkan ummah dan Negara, firman-Nya di dalam Al-Quran:

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenalkenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah Al-Hujuraat, ayat 13)

Sehubungan itu, Sambutan Hari Wanita Kebangsaan kali ini juga secara khusus untuk memberikan manfaat dan faedah sebaik-baiknya kepada wanita di Negara ini, antaranya:

1. Sebagai satu platform untuk mengintegrasikan wanita dalam pelbagai aspek atau bidang.

2. Merealisasikan hasrat kerajaan dalam membentuk warga Malaysia yang progresif dan seimbang terutama dikalangan wanita.

3. Menyalurkan maklumat bagi meningkatkan ilmu pengetahuan kepada wanita supaya dapat memberikan sumbangan kepada pembangunan masyarakat dan Negara.

4. Sebagai platform kepada wanita dalam mengutarakan pandangan dan juga isu dalam agenda pembangunan wanita.

5. Mewujudkan jalinan kerjasama dan perpaduan agar dapat diperkukuhkan melalui persefahaman yang terjalin.

Sumber : Web JHEAINS

Ketahuilah, bahawa ibadah Haji itu terbahagi kepada 4 tingkatan, iaitu:

1. Haji mabrur: Haji paling tinggi dan istimewa, sempurna syarat, rukun, diampuni segala dosa dan mendapat balasan syurga.

2. Haji Makhsus: Haji yang dilakukan orang tertentu yang sempurna segala syarat dan rukunnya serta diampun segala dosa.

3. Haji Makbul: Haji yang sah dan diterima oleh Allah SWT mencukupi syarat dan rukunnya dan akan mendapat ganjaran pahala.

4. Haji Mardud: Haji yang tidak diterima oleh Allah SWT kerana kekurangan syarat, rukun dan sebab lainnya.

Haji mabrur merupakan haji paling tinggi dan istimewa. Ia hanya akan dicapai melalui usaha yang ikhlas, bersungguh-sungguh dan pengorbanan. Ingatlah, sesungguhnya amal yang afdal ialah Haji yang mabrur, kerana ketika Rasulullah SAW ditanya seorang sahabat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Amalan manakah yang lebih afdal (yang lebih utama)? Maka sabda Baginda: “Beriman kepada Allah”. Kemudian Baginda ditanya lagi, selepas itu apa? Baginda menjawab: “Berjihad di jalan Allah”. Kemudian Baginda ditanya lagi, selepas itu apa? Baginda menjawab pula: “Haji Mabrur”. (HR Imam Muslim)

Sebaik-baik jihad ialah Haji mabrur. Daripada Aisyah RA, berkata dia kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah! Kami percaya bahawa berjihad itu adalah amalan paling utama, mengapa kita tidak berjihad? Maka sabda Rasulullah SAW, tetapi bagi kami sebaik-baik jihad ialah Haji yang mabrur”. (HR Imam AlBukhari)

Haji mabrur balasannya ialah syurga, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Haji yang mabrur itu tiadalah baginya balasan melainkan syurga”. (HR Imam Ahmad)

Berkaitan dengan ibadah Haji dengan doa Nabi Ibrahim AS yang dicatatkan dalam Kitab Suci Al-Quran untuk keturunannya dari umat Islam, firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Ka’bah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua, orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu dan jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani”. (Surah Al-Baqarah, ayat 127-128)

Demikianlah, kelebihan dan keutamaan ibadah Haji disyariatkan dalam Islam. Ibadah yang tersangat istimewa, kerana itu beruntunglah mereka yang telah menunaikannya. Beruntung juga mereka yang telah berniat serta azam untuk mengerjakannya.

Sebaliknya, rugilah mereka yang telah cukup syarat tetapi tidak mahu memasang niat untuk mengerjakan ibadah haji ke Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah sehingga diancam akan mati sia-sia sebagaimana matinya orang Yahudi, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa memiliki bekal dan kenderaan (perbelanjaan perjalanan) yang dapat menyampaikannya ke Baitullahil-Haram dan tidak menunaikan (ibadah) Haji, maka tidak mengapa baginya mati sebagai orang yahudi atau Nasrani”. (HR AtTirmizi dan Ahmad).

Mudah-mudahan kita, anak isteri, suami/isteri, ahli keluarga dan umat Islam tidak termasuk golongan Yahudi dan Nasrani itu, kerana sengaja tidak melaksanakan ibadah Haji, pada hal telah mencukupi syarat dan rukunnya.

%d bloggers like this: