Tarikh : 16 & 17 Julai 2016
Lokasi : Kota Kinabalu, Tuaran, Putatan, Papar Beaufort
Sumber : http://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2014/07/01/prof-muhaya/
RAMADAN membawa erti yang cukup besar buat saudara baharu, Addaem Chandran, kerana bulan mulia inilah menjadi titik permulaan beliau mendalami dan akhirnya memeluk Islam pada 2009.
“Saya seperti tersedar daripada mimpi. Apa yang berlaku benar-benar membuka mata saya untuk mendalami Islam selepas itu.
“Kali pertama saya mengucap dua kalimah syahadah melalui perbualan telefon dengan seorang rakan muslim dari Singapura. Saya nekad dan tiga minggu selepas itu terus memeluk Islam secara rasmi di pejabat Majlis Agama Islam Selangor pada 10 Oktober 2009, ” katanya kepada mStar Online dalam satu temubual di Country Heights Kajang baru-baru ini.
Apa yang menariknya kata Addaem, selepas itu semua urusannya dipermudahkan Allah s.w.t hinggakan majikannya faham dan menghormati masa beliau untuk bersolat biarpun dia bekerja di sebuah syarikat mutlinasional, Procter & Gamble (P&G).
“Sebagai Pengurus Kumpulan P&G, saya banyak berurusan menerusi ‘teleconferencing’ di luar negara dan pada bulan puasa saya akan beritahu mereka supaya percepatkan urusan kerana saya akan balik pada pukul 5 petang.
“Saya beritahu mereka, waktu solat saya amat penting dan saya tidak ingin diganggu terutamanya pada waktu solat jumaat. Alhamdulillah akhirnya mereka faham dan hormat pada Islam hinggakan mereka pernah bertanya sama ada tahun ini saya pergi menunaikan umrah atau tidak,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Dr Noor Aniah Azmi, pada 27 Januari 2013.
Ternyata tanah suci Mekah cukup mengusik jiwa lelaki kacukan Cina-India ini, kerana di sanalah beliau mendapat hidayah untuk mendirikan rumah tangga.
“Saya menunaikan Umrah pada kali pertama pada tahun 2010 setelah 4 bulan memeluk Islam dan setelah itu, saya mengantikan cuti tahunan saya yang kebiasaannya ke luar negara untuk bercuti untuk menunaikan Umrah.
“Pada satu Jumaat, ketika solat isyak di tempat saie saya didatangi sebuah keluarga Arab. Ada seorang anak kecil datang dan peluk saya seolah-olah tak mahu melepaskan saya. Itulah jadi titik permulaan yang membuatkan saya nekad untuk berumahtangga,” katanya.
Pada tahun 2012 saya sekali lagi menunaikan umrah dan kali ini pada Ramadan, cabarannya cukup besar kerana cuaca agak panas di sana. Inilah saat yang sangat membuka mata untuk betul betul mendirikan rumah tangga.
Biarpun tidak pernah ‘berdating’ dengan anak sulung figura motivasi ini, Addaem berkata, beliau memang mahu mengikut syariat Islam yang mahu menjaga batas pergaulan antara lelaki dan wanita bukan mahram.
“Saya sentiasa berdoa supaya dipertemukan dengan seorang wanita yang akan bersama saya ke jalan yang benar dalam mencari keredhaan Allah. Saya sentiasa mendoakan wanita yang sangat baik, sopan dan sangat menghormati ibu saya,” katanya.
“Alhamdulillah tanpa disangka Allah pertemukan saya dengan Aniah melalui seorang rakan. Kami tak pernah bercinta. Selepas diperkenalkan saya terus buat solat istikharah dan tiga hari lepas kahwin kami terus pergi ke Mekah untuk menunaikan umrah sebagai hadiah bulan madu,” katanya yang dikurniakan seorang cahaya mata perempuan berusia tujuh bulan.
Selepas berkahwin akhirnya Addaem meletakkan jawatan untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan kini bergelar Pengarah Urusan Pusat Rawatan Mata dan Penglihatan: LASIK Prof Dr Muhaya di Kajang.
Bercerita mengenai masa depannya,lelaki berusia 36 tahun ini berhasrat untuk menyampaikan dakwah Islam kepada keluarga dan rakan-rakan yang bukan beragama Islam.
“Islam sangat indah. Saya hendak beritahu kepada mereka tentang keindahan Islam namun pada masa sama saya bangga menjadi seorang India beragama Islam,” katanya mengakihiri perbualan.
Tarikh : 8 Mac 2014
Lokasi : Kelas Pengajian Saudara Kita Teratak Fitrah, Sembulan Kota Kinabalu
Pertemuan dan kunjungan bersama saudara kita adalah sesuatu yang dihajati khusus oleh Sheikh Mustafa. Demikian saya dimaklumkan oleh pembantu dan pelajar beliau. Jadi kunjungan ke kelas ini dengan lebih 100 warga Teratak Fitrah adalah sangat berbaloi kepada kedua-dua pihak iaitu tuan sheikh dan Teratak Fitrah sendiri.
Di sini beliau menceritakan tentang amalan asas dan mudah di dalam Islam, seperti solat, makan dengan tangan kanan, menghormati orang tua walaupun mereka belum beragama Islam dan sebagainya.
Sumber : http://www.islam.gov.my/konvensyen-saudara-muslim-peringkat-kebangsaan-tahun-2013
30 Nov-1 Dis 2013 : Unit Saudara Muslim, Bahagian Dakwah JAKIM dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) , Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Yayasan Taqwa (MAIWP) telah mengadakan Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan Tahun 2013 bertempat di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan Kelantan. Program ini berjaya menghimpunkan peserta seramai 500 orang terdiri dari kalangan Saudara Muslim dari sekitar Jajahan Kota Bharu dan penyertaan dari setiap negeri.
Tujuan konvensyen ini diadakan adalah bertujuan menjadi medan dan mencari formula penyelesaian kepada isu-isu dan masalah-masalah yang membelenggu Saudara Muslim khususnya berkaitan hal ehwal kebajikan, pendidikan, ekonomi dan sosial mereka.
Sebagai platform untuk bertukar pandangan, pengalaman dan maklumat antara sesama peserta di kalangan Saudara Muslim. Menjalin kerjasama dan jaringan maklumat di antara pertubuhan-pertubuhan NGO Saudara Muslim dengan agensi-agensi kerajaan. Membina dan mengembangkan potensi diri Saudara Muslim sebagai agen dan kader dakwah. Memberi ruang perkongsian ilmu dalam menghadapi cabaran-cabaran dakwah kepada Saudara Muslim di era globalisasi.
Antara pengisian konvensyen ini adalah ceramah berkaitan dengan cabaran masa kini saudara muslim sebagai pendakwah, pengenalan kepada isu Syiah, dan ceramah kerohanian telah disampaikan oleh penceramah yang dijemput khas dari kalangan Saudara Muslim. Konvensyen ini telah dirasmikan oleh Ybhg. Dato’ Haji Razali bin Shahabuddin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM.
Konvensyen Saudara Muslim kali ini telah mengiktiraf 2 orang Saudara Muslim sebagai penerima “Anugerah Tokoh Saudara Muslim” iaitu En Adam Khong bin Abdullah dari negeri Melaka dan Puan Nur Shamila Koid dari negeri Perak. Penerima anugerah menerima wang saguhati bernilai RM3,000.00, sijil penghargaan dan hadiah iringan setiap seorang. Konvensyen kali ini juga memperkenalkan kepada masyarakat umum mengenai portal “E-Muallaf” yang akan digunapakai disetiap negeri sebagai penyelarasan kepada pengurusan Saudara Muslim.
Semasa belajar di Maahad Tahfiz bermula Jun tahun 1995-1999, kami pernah tinggal di beberapa lokasi. Pada peringkat permulaan, kami tinggal di asrama putera SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah, Sembulan – kerana kami sendiri belajar dalam tingkatan 4 (tahun 1995) pada waktu pagi dan kemudian ke Masjid Negeri Sabah pula untuk kelas tahfiz di sana. Ketika itu kami dikumpulkan sebilik di bilik 5.
Pada tahun 1996 (tingkatan 5 dan petang ke Maahad Tahfiz), kami berpindah ke rumah MUIS, iaitu sederet quaters yang bersebelahan dengan SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah. Lokasi kelas dengan rumah kami hanya berhadapan, dipisahkan oleh selorong jalan. Rumah MUIS yang sebanyak 10 unit ini asalnya adalah untuk pemandu-pemandu kenderaan MUIS, namun turut tinggal di sini ialah bilal dan imam Masjid Negeri Sabah.
Pada tahun 1997-1999, kami belajar sepenuh masa di Maahad Tahfiz yang beroperasi di Masjid Negeri Sabah. Ketika itu asrama penginapan kami turut berpindah ke Grace Court, Sembulan. Pada zaman awal kami ini, hanya ada dua unit rumah di blok A (1-3-11 & 1-4-11) untuk kami yang baru seramai kira-kira 10 orang.
Antara jiran kami di Grace Court yang sangat rapat ialah Pakcik Fikri Ismail, orang Negeri Sembilan yang kini menetap di Taman Tun Dr Ismail, Damansara. Beliau menjadi jiran kami paling rapat selama beliau bertugas di Jabatan Pertanian, kerana beliau tinggal sendirian sementara keluarganya di Kuala Lumpur. Kami juga pernah berjiran dengan Tuan Haji Zuhaili, pegawai kanan Petronas Sabah (kini di KLCC) yang juga tinggal solo.
Antara jiran sekeluarga yang kami akrab ialah keluarga Kak Liza – orang Selangor, dan keluarga Abang Dzul orang Papar yang ramai keluarga di Brunei. Boleh dikatakan, persahabatan dengan keluarga Abang Dzul masih terjalin hingga kini dan sudah beberapa kali kami bertemu dan berziarah. Sementara keluarga Kak Liza hanya dapat dihubungi lewat facebook kerana mereka sudah berpindah ke Semenanjung. Pakcik Fikri dan isteri pula sesekali saya hubungi melalui telefon dan satu ketika dahulu pernah bermalam di rumah mereka.
Yang ingin saya ceritakan di sini ialah tentang perihal jiran kami yang cuma bersebelahan pintu, seorang perempuan muda beragama Kristian yang tinggal sendirian, hanya sesekali teman lelakinya datang ke situ, kalau tidak silap lelaki itu seorang peguam. Barangkali umur perempuan yang kami kenali Karol itu pun ketika itu sekitar pertengahan 20an, sering berpakaian seksi merah menyala, mungkin seragam tempat bekerjanya di sebuah pusat kecantikan antarabangsa di Kota Kinabalu.
Barangkali dengan keadaannya yang jarang di rumah, dan kalau ada sering menutup pintu atau pintu pagarnya tertutup, kami jarang bertegur sapa. Apatah lagi beliau sendirian, kami muda anak muda lelaki berumur awal 20an, ada juga berhajat untuk bertegur sebagai memenuhi adab berjiran, tapi juga ada perasaan segan. Saya sangat pasti teman-teman serumah dan semaahad (Amir, Syem, Razali, Hafidz, Hj Yakob, Zamrul, Rahim, Awang Ibnu dan lain-lain) mengingati jiran ini dan boleh segarkan balik ingatan.
Allah SWT takdirkan, minggu lepas saya terserempak dengannya tapi belum dapat bertegur sapa. Lalu saya belum dapat mengesahkan benar dia atau bukan. Semalam, saya bertemu lagi di Masjid Negeri Sabah dalam sesi rawatan pengubatan Islam yang diadakan setiap pagi ahad. Saya salah seorang perawat dan ditugaskan merawatnya.
Setelah bersoal jawab, saya dapat mengesahkan bahawa orang ini adalah jiran kami pada tahun 1997-1999 di Grace Court. Lebih indah, apabila kakak ini sudah memeluk Islam sejak tahun 2000. Katanya, beliau berhijrah ke Semenanjung beberapa tahun sebelum kembali ke Kota Kinabalu untuk meneruskan kehidupan melalui perniagaan di Karamunsing. Cuma sejak beberapa minggu kebelakangan, kami membantu beliau melakukan rawatan kerana mendakwa dirinya disihir atau ada gangguan makhluk halus berdasarkan beberapa simptom pada dirinya.
Segala puji milik Allah SWT yang memberikan hidayah kepada kakak ini dengan Islam, semoga terus istiqamah dan thabat dalam keimanan. Beliau juga masih mengikuti kelas saudara kita untuk mendalami al-Quran dan ilmu-ilmu asas Islam. Insya Allah saya berhasrat untuk bertemu lagi dan membantu mana yang wajar, untuk pembaca blog ini doakan kebaikan untuk beliau.
KOTA KINABALU, Tahniah dan syabas kepada Daerah Sipitang yang telah dianugerahkan Pengurusan Pentadbiran terbaik Saudara kita bagi tahun 2011 & 2012 dan mendapat tempat pertama dalam tilawah al-Quran dikalangan saudara kita Peringkat Negeri Sabah 2012 daripada 16 buah daerah yang mengambil bahagian pelbagai pertandingan antaranya majlis tilawah al-quran, hafazan, nasyid, kuiz, pidato dan forum sempena Konvensyen Pembangunan Saudara Kita bagi tahun 2012 yang berlansung selama 4 hari 3 malam di dewan Saadah Wisma MUIS, Kota Kinabalu. Tahniah juga kepada Kelas bimbingan saudara kita dari Al-Raudah Kota Kinabalu yang dinobatkan sebagai johan hafazan peringkat negeri Sabah 2012.
Berucap ketika merasmikan majlis penangguhan konvensyen itu Puan Hajah Zaiton OKK Hj. Anek Setiausaha Politik Menteri Di Jabatan Ketua Menteri yang mewakili Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Dato Seri Nasir Tun Haji Sakaran mengingatkan umat Islam khususnya generasi muda agar tidak terjebak dengan muslihat musuh-musuh Islam semata-mata untuk melemahkan iman serta perpaduan masyarakat Islam yang menjadi tunjang kekuatan perpaduan umat Islam.
Tegasnya, musuh-musuh Islam akan terus sentiasa terus berusaha melemahkan kekuatan umat Islam terutama golong pelajar dengan pelbagai usaha mereka untuk menhancurkan pemikiran golongan tersebut.
Katanya, sebagai pelajar yang menjadi tunjang kekuatan pembangunan negera dimasa akan datang mereka harus ingat untuk menempis semua ini tidak semudah tetepi dengan kekuatan iman serta kekuatan akidah yang menjadi teras dalam menghadapi apa juga cabaran yang mendatang,tegasnya. Hadir sama pada majlis itu Timbalan Pengarah Jheains Haji Rumaling Epit dan Pengerusi Penganjur yang juga Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Hajah Zaloha Haji Ahmad. – teks & foto oleh : Haji Ahmad Haji Yassin.
Buku yang baru dibaca :
Penulis : Ummu Hani Abu Hassan
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
Harga : RM20.00 / RM22.00
Sebuah bacaan yang penuh inspirasi, ketabahan seorang wanita menghadapi bermacam-macam siri ujian daripada Allah wajar ditekuni oleh pembaca! NOORAH merupakan sebuah kisah benar mengenai kisah hidup seorang wanita Inggeris berhati tabah. Perjalanan hidupnya penuh dengan cubaan. Zaman remaja dilatari dengan pelbagai tragedi hitam sehingga dia disumbat ke penjara Yorkshire.
Sama saja bagi Kathryn Bennet sama ada dia tinggal di rumah atau menghuni penjara juvana di Yorkshire. Kedua-duanya dahsyat dan teruk. Namun segalanya berubah selepas dia berhijrah ke Bahrain, seterusnya ke London untuk bergelar Muslimah. Itu saatnya dia sentiasa dapat menghirup sisa manis dalam wadah ujian Allah. Maka dia masih boleh tenang melalui kepahitan hidup berumah tangga.
Dia pasrah meredah ribuan kilometer untuk menjejaki tiga anak yang dilarikan bekas suami. Dia redha bergelar ibu tunggal kali kedua dan sekali gus mengambil peranan ayah untuk menyara enam orang anak di kota London. Dia juga mampu sabar diuji penyakit digeruni. Kerana dia yakin dengan besarnya hikmah di sebalik musibah.
Saya kongsikan beberapa foto menarik program Hari Keluarga anjuran Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT) di Pantai Tanjung Aru pada sabtu lalu. Saya sangat memahami keperluan mengadakan majlis seumpama ini jesteru pernah mengajar mereka suatu ketika dahulu. Kadang-kadang sesi pembelajaran boleh jadi stres juga kerana mereka dikehendaki mempelajari al-Quran daripada peringkat asas.
Selepas itu, mereka berada dalam kuliah pula sehingga tengahari. Pembimbing yang diamanahkan akan mengajar mengikut silibus yang telah ditetapkan. Satu sisi lain, apa yang diajar adalah perkara sangat asas dalam Islam yang berkait dengan rukun iman, rukun islam dan akhlak. Selepas kelas berakhir, mereka akan pulang ke rumah masing-masing dan bertemu kembali pada sabtu akan datang. Demikianlah kelas mereka berlangsung setiap sabtu di Madrasah Islamiah Sembulan.
Justeru apabila majlis hari keluarga dianjurkan, mereka dapat bertemu dalam suasana lebih santai, ceria dan bebas sedikit bersama keluarga masing-masing dengan aktiviti ringan tetapi ada maksud dan objektif tertentu. Tahniah saya ucapkan kepada seluruh AJK SAHABAT dan ahli-ahlinya, semoga program berkenaan mengeratkan ukhuwah sesama mereka disamping para pembimbing. Dengan catatan, jangan lupa hadir kuliah setiap minggu ya..
(Foto-foto disedut dari facebook Teratak Fitrah dengan izin)
Foto lain menyusul..
Sumber : http://www.islam.gov.my/konvensyen-saudara-muslim-peringkat-kebangsaan-tahun-2011
Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan tahun 2011 telah berjaya dilaksanakan pada 22 hingga 24 Disember 2011 di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu. Ia merupakan program ketiga yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan kerjasama MAIDAM dan Yayasan Taqwa. Program ini merupakan wadah yang disediakan oleh JAKIM bagi Saudara Muslim untuk bertemu dan bertukar-tukar pengalaman serta memperoleh maklumat yang berguna dalam menjalani kehidupan seharian seorang Muslim.
Penganjuran Konvensyen ini bukan sahaja melibatkan peserta dari semua Jabatan / Majlis Agama Negeri, Badan Berkanun Badan Bukan Kerajaan ( NGO ), dan lain-lain agensi yang bergiat cergas dalam bidang dakwah bahkan juga menjadi medan kerjasama strategik antara JAKIM, JAIN / MAIN dan NGO Islam.
Perasmian Konvensyen telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM mewakili YB Dato’ Dr. Mashitah Binti Ibrahim Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dalam ucapannya beliau menegaskan setiap Saudara Muslim perlu sentiasa bersyukur dengan nikmat iman dan Islam untuk menjadi umat yang teguh dan berusaha gigih untuk memajukan diri sendiri dengan membina semangat baru dalam menghayati semangat hijrah. Turut hadir memberikan ucapan aluan ialah YBhg. Tuan Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan JAKIM, sementara Majlis Penangguhan Konvensyen pula disempurnakan oleh Tuan Haji Wan Harujan bin Sulaiman CEO MAIDAM.
Konvensyen yang dihadiri seramai 800 orang Saudara Muslim Malaysia ini disusun dengan pengisian ilmu seperti pembentangan kertas kerja dan wacana minda serta pembentangan resolusi untuk memantapkan pengetahuan Saudara Muslim dalam memenifestasikan Islam sebagai cara hidup. Sebanyak 12 resolusi yang dipersetujui telah dibentangkan oleh YBhg. Haji Abdul Nasir bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah sepertimana berikut;
Penganjuran program seperti ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua peserta khususnya Saudara Muslim. Rata-rata peserta yang ditemui berasa begitu gembira dengan program seumpama ini dan berharap ia akan diadakan lagi pada masa-masa yang akan datang.
Saya tidak tahu keseluruhan ini cerita khususnya daripada peringkat awal perkenalan dengan individu yang dimaksudkan, namun apa yang saya tahu pun tidak akan saya catatkan semuanya di sini untuk menjaga hati dan kepentingan beberapa pihak.
Seorang sahabat kami tanpa dirancang, pernah membantu seorang muallaf ini yang kebetulan dalam kesempitan. Pendek cerita peristiwa itu menyebabkan ada hubungan peribadi antara mereka. Beberapa hari sebelum ini mereka kembali berhubung semula dan dia memberi komitmen untuk membantu memperkukuh sebuah organisasi dengan penyertaan rakan-rakannya daripada kalangan muallaf. Apa yang mengejutkan dia mendakwa sudah mengumpul lebih 200 teman-temannya sebagai ahli.
Saya mendengar kisah itu dengan beberapa sikap. Hendak kata tidak percaya, macam iya juga. Sebabnya saya hairan begitu banyak orang yang dihubunginya untuk menjadi ahli dalam masa yang singkat, muallaf pula tu! Dalam masa yang sama, kalau kata tidak mahu percaya, bukankah Allah boleh mengubah hati orang untuk berubah? Daripada suka kepada benci, daripada benci kepada suka, daripada marah kepada sayang, dan sebagainya. Jadi akhirnya saya diamkan saja.
Dalam tempoh itu, lelaki berkenaan ada meminta sumbangan kepada pihak sahabat saya ini untuk disampaikan kepada muallaf lain yang dalam kesusahan. Khabarnya jika ada muallaf yang bermasalah, lelaki berkenaan akan menghubungi atau menghantar sms dengan menyatakan kisah-kisah penderitaan muallaf dengan begitu terperinci sekali, seolah-olah ia benar-benar belaku.
Perancangan dibuat untuk mengadakan makan malam (jadual asal ialah malam tadi) untuk meraikan mereka dengan dihadiri oleh beberapa VIP. Di peringkat akhir, saya sendiri ada bertemu dengan lelaki berkenaan dan dia mengatakan mengenali beberapa pegawai di Bahagian Dakwah JHEAINS, bahkan ada yang dianggapnya sebagai bapa angkat kerana keakrabannya. Katanya sebahagian besar kos akan mereka tanggung dan dia hanya meminta RM1400 untuk beberapa kos awal. Jadi jumlah itu juga diberikan kepadanya.
Selain makan malam yang mengumpulkan kira-kira 200 orang muallaf, sebahagiannya daripada luar Kota Kinabalu, sebahagian mereka akan menyertai kursus keindahan Islam yang saya diminta mengurusnya. Bersama beberapa sahabat, saya merancang sepanjang ahad (hari ini) untuk memberi kuliah teori dan praktikal solat, kuliah maghrib dan sembang santai. Tiada apa-apa kos ditetapkan untuk program ini.
Selepas isyak kami pergi ke lokasi yang dijanjikan untuk makan malam. Laluan sesak, di hati saya gembira juga sehingga saya sukar mencari parkir kereta. Bahkan saya banyak melihat tetamu kalangan tionghua, sebahagiannya seksi pula. Hati saya berkata-kata : Hebat juga mereka promosi program makan malam untuk muallaf sampai yang seksi-seksi pun datang juga!
Gembira itu tidak lama. Belum sempat saya mendapat parkir, teman-teman keluar dari bangunan berkenaan dengan wajah serius dan berkata : Kena sabotaj! Atau dengan kata lain : Kena tipu! Tiada satu pun dewan berkenaan yang digunakan untuk makan malam kami, melainkan acara peribadi seperti majlis hari jadi. Patutlah amoi tadi pakai seksi! Kami berangkat ke sebuah restoran lain di Karamunsing untuk makan-makan sesama kami pula. Panas hati ada, geram ada, tergelak pun ada!
Kesilapan kami barangkali teruja sangat hendak membantu manusia itu, apatah lagi berstatus muallaf sehingga lupa hendak menyemak latar belakang peribadinya. Barangkali ada kebimbangan begini : Dia muallaf, kalau tidak ditolong, nanti pihak-pihak lain pula (khususnya agama lain) yang menghulur bantuan. Apabila pihak lain yang menolong, mahunya muallaf tersebut murtad atau dimurtadkan, nanti orang Islam sendiri pula dituduh tidak menjaga kemaslahatan muallaf.
Walaubagaimanapun, ia satu pengalaman berharga buat kami yang terlibat untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan. Memanglah ‘title’ muallaf sering juga menjadi asbab orang ramai membantu mereka, maka tanpa prejudis sesiapa pun wajar berhati-hati. Apapun saya berharap ini satu kes yang terpencil, dan peribadi saya tidak pernah mengabaikan golongan ini, sedayanya mahu membantu menurut kemampuan.