Tag Archive: Masjid Kg Sipanggil


Abdul Hadi

Khatib : Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

Firman Allah SWT bermaksud : “Iblis berkata : Oleh kerana Engkau wahai Tuhan menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan, belakang, kanan dan kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur” (al-A’raf : 16-17)

Sebagai makhluk Allah SWT yang dijadikan dengan serba kelemahan, kita diperintahkan untuk memohon  perlindungan kepada Allah SWT daripada syaitan. Syaitan adalah musuh berkekalan sejak Nabi Adam AS sehingga ke akhirnya. Sebagaimana Allah SWT menyatakan bahawa iblis telah berjanji untuk menyesatkan manusia.

Sekiranya kita merenung kehidupan manusia pada hari ini, pelbagai bentuk gangguan dilakukan oleh syaitan kepada manusia tidak kira apa latar dan kedudukannya. Orang yang enggan melaksanakan perintah agama seperti meninggalkan solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain termasuk orang yang terpengaruh dengan godaan syaitan.

Sehingga syaitan tetap mengganggu orang-orang yang berilmu dengan perasaan sombong, riyak dan sum’ah. Justeru tiada yang terlepas daripada gangguan ini. Sebagai bukti berlakunya gangguan ini ialah seperti apa yang berlaku di dalam dan di luar Ramadhan. Ramainya orang mudah solat berjemaah dan bersedekah ketika Ramadhan, dan kurangnya jemaah dan sedekah pada luar Ramadhan.

Advertisements

Masjid Kg Sipanggil Putatan

Khatib : Ustaz Haji Jadmin Mohd Soon

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

Allah SWT telah mengurniakan kepada kita agama Islam yang diakui sebagai agama yang diredhai di sisi-Nya. Agama yang lengkap (syumul) dan relevan sepanjang masa dan zaman ini telah disusun begitu sempurna termasuk tatacara mengenai urusan hidup manusia dalam konteks bermasyarakat dan bernegara.

Begitu juga dalam menentukan kesahihan pemerintah, Islam telah menyebutnya dengan jelas tentang konsep yang merangkumi pemilihan ketua negara, undang-undang, rubuwwah, ketaatan, umat dan sebagainya.

Menurut Imam al-Mawardi di dalam kitab Nizam al-Hukm fi al-Islam bahawa: Ketua negara digelar sebagai khalifah dalam urusan agama dan urusan dunia, pemilihan orang yang menjalankan tugas ini adalah wajib mengikut ijmak. 

Justeru, sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Maka pembentukan dan pemilihan seseorang pemimpin itu ditentukan melalui proses yang dipanggil demokrasi melalui pilihanraya. Pemimpin yang dipilih dengan jumlah majoriti, bertanggungjawab memegang amanah sebagai wakil kepada rakyat yang memilihnya.

Sistem ini memberi hak dan kuasa kepada rakyat dalam menentukan masa depan dan martabat negara sentiasa dipelihara di bawah kerajaan yang mereka yakini mampu mengurus, mentadbir dan membangunkan negara serta memastikan kedaulatan agama terus terpelihara.

Namun, pastikanlah pemimpin yang bakal dipilih itu ialah orang yang boleh dipercayai, amanah, berilmu, mampu melaksanakan kewajipan untuk mentadbir negara. Ini bertepatan dengan ingatan Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya.”(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bagi memastikan demokrasi pilihanraya ini tidak pincang, agama Islam telah meletakkan prinsip keimanan yang tinggi kepada Allah SWT sebagai asas utama dan mengangkat manusia sebagai khalifah. Jelasnya, amalan-amalan di dalam demokrasi itu hendaklah sejajar dengan anjuran Islam yang merujuk kepada al-Qur’an dan as-Sunnah.

Dalam konteks ini, kita sebagai khalifah ditegah daripada melaksanakan sesuatu tanpa merujuk kepada syariat Islam terlebih dahulu agar mendapat keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT di dalam surah al-Araaf ayat 3:

Maksudnya: Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu, dan janganlah kamu menurut pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan.

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.”

Kehidupan dunia hanya sementara di mana kita hanya sebagai musafir yang singgah mencari bekalan akhirat. Oleh itu setiap gerak-geri dan tindakan kita mestilah mengikut garis panduan yang telah ditunjuk oleh agama berdasarkan wahyu bukannya terheret dengan godaan hawa nafsu. Apapun yang kita laksanakan dalam kehidupan di dunia ini, mestilah menuju kepada matlamat memperolehi keredaan Allah.

Tidak kira usaha kita sekecil manapun, ia mesti menepati jalan yang dibenarkan oleh agama dan tidak mudah hanyut dan tersasar daripada landasan yang telah ditetapkan oleh syarak. Untuk lebih jelas bagaimana cara kita mampu mencapai keredaan Allah di dunia dan akhirat maka beberapa panduan dikemukakan oleh Imam Tirmizi yang mungkin dapat memberi ruang kepada kita bermuhasabah diri samada telah termasuk dalam golongan yang sentiasa mengejar redha Allah, atau lebih seronok untuk menghimpun dosa yang sepastinya menempah murka Allah.

Antaranya kita mesti bertaubat kepada Allah kerana tiada jalan sebaik taubat dalam usaha meraih keredaan Allah. Allah begitu mencintai hamba yang bertaubat kepadaNya. Allah tidak pelik dengan hamba yang berdosa tetapi Allah begitu pelik dengan manusia yang melakukan dosa tetapi berdegil untuk bertaubat kepada Allah. Firman Allah dalam ayat 8 surah at-Tahrim :

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Insya Allah, kuliah akan kembali selepas cuti hari raya bermula 3 September 2012 (Isnin) menurut jadual yang telah tercatat di atas.

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid as-Sobirin, Kg Sipanggil Putatan

Sihir ada dalam mana-mana masyarakat, baik masyarakat maju seperti yang wujud sekarang ini mahupun masyarakat mundur. Ahli-ahli sihir mengambil kesempatan berlandaskan profesion mereka di mana-mana sahaja dengan taktik dan strategi yang boleh menawan mangsa untuk faedah keduniaan semata-mata tanpa memperdulikan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Ahli-ahli sihir ini biasanya melakukan apa sahaja yang diminta untuk memuaskan hati pelanggan mereka asalkan sahaja sanggup menyediakan bayaran yang lumayan. Kerana itu berlakulah perbuatan sihir yang mengakibatkan mangsa tersebut jatuh sakit dengan tiba-tiba tanpa sebab yang jelas, berlaku permusuhan, perceraian, gila, runsing yang kronik malah sehingga membawa maut yang berpunca daripada sihir.

Oleh sebab sihir itu wujud dan berlaku di alam nyata, ia bukan lagi khalayan. Kemudharatannya amat ketara dan boleh berlaku ke atas sesiapa sahaja yang ditujukan oleh pengamal-pengamal sihir tersebut. Bahkan Rasulullah SAW sendiri pernah disihir oleh ahli sihir pada zamannya sebagaimana yang sabit dalm sebuah hadith sahih, menunjukkan seriusnya fenomena sihir itu yang mesti ditangani oleh pihak berwajib.

Melalui pelbagai dalil al-Quran dan sunnah, jelas menunjukkan bahawa sihir adalah perbuatan yang dilarang. Bahkan dalam sebuah hadith ada menjelaskan bahawa sihir berada pada kedudukan kedua selepas syirik dan mendahului perbuatan membunuh. Ini menggambarkan seolah-olah membunuh manusia tidaklah seteruk perbuatan sihir. Oleh itu hukum sihir adalah haram berdasarkan dalil-dalil yang jelas.

Khatib : Ustaz Haji Mohammad Ibrahim

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Tg Dumpil Putatan

Firman Allah SWT bermaksud : Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Quran ini dan Kami-lah yang menjaganya (al-Hijr : 9)

Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda bermaksud :  Terjemahan: “Orang yang membaca Al-Qur’an sedangkan dia mahir melakukannya, kelak mendapat tempat di dalam Syurga bersama-sama dengan rasul-rasul yang mulia lagi baik. Sedangkan orang yang membaca Al-Qur’an, tetapi dia tidak mahir, membacanya tertegun-tegun dan nampak agak berat lidahnya (belum lancar), dia akan mendapat dua pahala.” (HR Bukhari dan Muslim).

Daripada Abu Umamah RA katanya : Aku medengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud : “Bacalah Al-Qur’an karena dia akan datang pada hari Kiamat sebagai pemberi syafaat bagi pembacanya.” (HR Muslim).

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA katanya : Rasulullah SAW bersabda bermaksud : “Barangsiapa membaca satu huruf Kitab Allah, maka dia mendapat pahala satu kebaikan sedangkan satu kebaikan dibalas sepuluh kali lipat. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf, tetapi Alif, satu huruf dan Lam satu huruf serta Mim satu huruf.” (HR At-Tirmidzi)

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

Manusia dituntut untuk menggunakan seluruh masa dan usianya yang telah dikurniakan oleh Allah SWT untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Inilah matlamat utama penciptaan manusia. Firman Allah SWT :

“Dan tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk (beribadah) mengabdikan diri kepada-Ku”

Pengabdian diri atau ibadah mempunyai makna yang luas. Ia bukan sekadar bermaksud ibadah ritual yang dilakukan oleh umat Islam seperti solat, puasa, zakat, haji, membaca al-Quran. Tetapi ia merangkumi setiap perkara yang disukai dan diridhai oleh Allah SWT sama ada berupa tindakan dan perlakuan atau ucapan dan perkataan.

Justeru ia merangkumi segala aktiviti kehidupan manusia, sama ada pemikiran, kepercayaan, keyakinan di dalam hati, ucapan dan pandangan yang disampaikan melalui lidah dan perlakuan dan pergerakan yang dilakukan dengan anggota, seperti bekerja, berjalan, bergembira, berseronok, bergurau senda, makan, minum, tidur dan lain-lainya. Inilah bacaan yang selalu diungkapkan dalam solat ketika berdiri rakaat pertama :

“Katakanlah : Sesungguhnya solatku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku hanyalah untuk Allah, Tuhan yang mencipta, memiliki dan menguruskan seluruh alam.”

Justeru manusia tidak mungkin dapat hidup walaupun sesat tanpa ada tugas dan tanggungjawab. Dalam setiap masa dan keadaan dia terikat dengan arahan dan larangan daripada Allah yang Maha Berkuasa yang mencipta dan menguruskan kehidupannya di alam maya ini. Justeru itulah Rasulullah SAW menyifatkan segala tindak tanduk seharian manusia sebagai satu usaha menunaikan hak dan tanggungjawab sebagaimana sabda baginda :

“Sesungguhnya untuk badanmu perlu ditunaikan hak. Sesungguhnya untuk keluargamu perlu ditunaikan hak. Sesungguhnya untuk tetamu kamu perlu ditunaikan hak. Justeru berilah hak kepada setiap orang yang berhak.”

Khatib : Ustaz Abdul Rahman Mohammad

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya : Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah; segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya; diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar;  amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku; dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat. (Al-Hadith)

Sabda Nabi (s.a.w) : Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu, dan amal fardhu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar (sabar dalam berbuat taat kepadaNya), dan sabar itu adalah syurga balasannya bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambanya orang mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa. Barang siapa memberi makan kepada orang berpuasa pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya, berkata sahabat : Bagaimana kami tak sanggup memberi makan orang yang berpuasa (berbuka puasa) ya Rasullullah – Allah memberi pahala ini kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma atau segelas air, barang siapa kenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya, diminumkan Tuhan dari kolam Haudh sejenis minuman yang tiada dahaga lagi kemudiannya hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa. (Al-Hadith)

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

Pada tahun ke 8 Hijrah dalam sejarah Islam, tercatat suatu sejarah yang berlaku di negara Jordan suatu peperangan bernama Peperangan Mu’tah. Ia berlaku disebabkan oleh pengkhianatan terhadap seorang utusan yang telah dihantar oleh Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra iaitu Harith bin Umair al-Azdi di mana beliau telah gugur syahid apabila direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas.

Peperangan Mu’tah turut mengajar kita bagaimana ketegasan Rasulullah s.a.w terhadap musuh Islam di mana walau pun seorang utusan Islam yang dibunuh namun nyawanya mesti ditebus sehingga dihantar tentera ke Mu’tah dengan motif dakwah terlebih dahulu sebelum melakukan serangan jika musuh tidak mahu tunduk.

Jika Rasulullah s.a.w dan banyak pemimpin Islam zaman silam sanggup menghantar tentera walau pun seorang umat Islam yang dibunuh atau dihina oleh musuh sebaliknya pada hari ini ramai pemimpin umat Islam sendiri sanggup bersekongkol dengan penjenayah dan pengganas dunia iaitu Amerika Syarikat dan zionis yahudi dalam menjajah dan membunuh umat Islam seperti di Palestin, Iraq dan terbaru di Libya.

Kita lihat Libya bakal menjadi Iraq kedua di mana atas alasan mahu menggulingkan pemimpin berkuku besi maka musuh Islam melakukan serangan dan akhirnya ia dijajah dengan pemimpin boneka dijadikan sandaran. Inilah antara amaran nabi Muhammad s.a.w apabila sesebuah negara tidak melaksanakan sistem Islam dan memilih pemimpin yang jahat maka negara tersebut akan dijajah oleh penjajah yang jauh lebih jahat dan kejam.

Peperangan Mu’tah juga menyaksikan bagaimana Rasulullah s.a.w telah melantik tiga panglima perang sekaligus iaitu Zaid bin Harithah di mana jika beliau gugur syahid maka tempatnya akan digantikan oleh sepupu nabi Jaafar bin Abi Tolib dan seterusnya jika beliau turut gugur syahid maka tempatnya akan diganti oleh Abdullah bin Rawahah. Ketiga-tiga panglima perang yang dilantik ini menerima tugas yang diberikan dengan penuh kerelaan di mana mereka yakin bahawa perkataan nabi adalah benar dan mereka tidak sekali-kali merasa takut walau pun dari segi arahan nabi tadi bermakna mereka bertiga akan gugur syahid dalam peperangan nanti.

Pemilihan sebagai pemimpin mesti berlandaskan syarak bukannya hawa nafsu dan rasuah bagi memastikan keadilan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat antaranya ialah mesti sanggup berkorban bukan sahaja harta benda malah jiwa raga dalam mempertahan dan menjulang sistem Islam bukan memilih mereka yang hanya tahu mengumpul kekayaan dengan merompak hasil mahsul negara dan rakyat.

Memilih pemimpin yang sanggup menjaga maruah dan nyawa rakyat jelata bukannya pemimpin yang membiarkan budaya fitnah dan pelanggaran maruah. Memilih pemimpin yang menjadikan Allah sebagai Penguasa yang paling berkuasa sehingga tunduk patuh terhadap segala sistemNya bukannya pemimpin yang hanya melaungkan hak asasi manusia sedangkan hak Allah dilanggar sesuka hati.

Kesungguhan dan kecekalan nabi Muhammad s.a.w dan pejuang Islam dalam menjaga dan mengembangkan dakwah Islam sehingga sanggup gugur syahid di medan perjuangan wajib diteruskan barulah kita dianugerahkan dengan kemuliaan di dunia dan akhirat. Tugas menyebarkan Islam bukan dijanjikan dengan kejayaan yang mudah sebaliknya menuntut kepada penat dan lelah, tidak dihamparkan dengan permaidani merah sebaliknya menuntut kepada tumpahnya darah merah ke tanah.

Kita sepatutnya merasa malu dengan gerakan Kristian contohnya yang begitu bersungguh dalam menyebar luas ajaran mereka termasuk melalui tekanan politik yang membolehkan mereka mengedar Bible berbahasa Melayu. Bagaimana pula dengan usaha kita dalam mempertahankan aqidah umat Islam yang semakin luntur disamping dakwah kepada orang bukan Islam agar mereka sama-sama merasai nikmat iman dan Islam atau sekurang-kurangnya mereka tidak menentang sistem Islam.

Berapa ramai umat Islam yang menyampaikan seruan Islam kepada rakannya yang bukan Islam, berapa ramai yang menghadiahkan buku-buku dakwah Islam kepada mereka yang belum memeluk Islam sedangkan dalam masa yang sama kita marah golongan bukan Islam mengedar risalah agama mereka kepada orang Islam?

Ketika menyoroti sejarah bagaimana umat Islam di China yang mampu mempertahankan agama walau pun ratusan tahun berada di bawah cengkaman komunis antaranya dengan menjaga solat berjemaah sehingga ada masjid bilangan jemaah solat Jumaatnya menjangkau 30 ribu orang manakala hari raya 200 ribu orang.

Dalam masa yang sama kita menunaikan solat jumaat seperti hari ini, berapa ramai pula di kalangan umat Islam khususnya lelaki yang mukallaf yang tidak menunaikan solat Jumaat, masih berada di tempat kerja, melepak di pusat membeli belah, bersembunyi dan mendiamkan diri di rumah atau di pejabat, berada di dalam kenderaan, di jalanraya dan sebagainya? Kita di negara ini wajib merasa gerun dan bimbang sekiranya semakin ramai umat Islam sendiri semakin jahil dan menjauhi cara hidup Islam apatah lagi bilangan orang bukan Islam yang membenci Islam semakin bertambah.

%d bloggers like this: