
Dipetik dari : http://pasabah.wordpress.com/
Oleh : Mohd Jain Mahrup – Walai tokou, Kg Kopuron Jalan Tongod, Beluran.
“Mat Sabu, Kita kasi tumbang BN !!”
Jeritan itu mengejutkan kami di perhentian bas Pasar Besar Kota Kinabalu.
Kami bersama saudara Haji Mohd Sabu sebenarnya berjalan kaki menuju ke Pasar Kraftangan atau lebih popular dengan pasar filipina. Jeritan tersebut datangnya dari seorang pemandu Bas mini yang sedang menunggu penumpangnya di dalam bas.
Beliau bersalaman dengan Haji Mohd Sabu sambil menyatakan dengan penuh semangat : “Kali ini kita kasi menang Pakatan Rakyat !!” Kami tersenyum bercampur gembira kerana pemimpin PAS kini semakin dikenali ramai.
Reaksi spontan ini juga berlaku di lobi Hotel Kapitol (Capital Hotel) yang terletak di jantung Bandaraya Kota Kinabalu apabila beliau disapa oleh seorang lelaki cina Sabah yang agak berusia.
“Ini pemimpin PAS ka?”, dia bertanya.
“Ya saya Mohd Sabu!!”, Jawab Sdr Mohd Sabu.
“Saya selalu tengok muka dato’ di TV”, tambah beliau lagi. Beliau nampak gembira kerana dapat berbual seketika dengan Abang Mat.
Dua suasana spontan ini sangat memberi erti kepada kami di Sabah. Saya masih ingat di awal 90an sehinggalah diawal tahun 2000 ramai sahabat Sabahan berasa berputus asa dengan perjuangan PAS di Sabah.
Ada beberapa tokoh yang berbakat akhirnya meninggalkan PAS dan menyertai UMNO kerana mereka merasakan PAS tidak mempunyai masa depan di Sabah. Kalau pun ada mungkin 100 tahun lagi.
Tapi saya tetap berpendirian PAS mempunyai masa depan di Sabah. Seperti yang lain, masih ramai istiqamah dengan PAS sehingga hari ini.
Sewaktu membentang kertas kerja pada tahun 1998 di Pusat Tarbiah PAS Sabah yang bertajuk “Masa Depan PAS Sabah : Cabaran dan Harapan” saya menyebut, satu hari nanti PAS akan mendapat tempat dihati rakyat.
Salah satu kekuatan yang ada PAS ialah perjuangannya yang meletakkan Islam sebagai dasar. Dasar Islam ini telah melahirkan ahli PAS yang mempunyai tahap disiplin yang tinggi (akhlak), kekuatan mental (aqidah), sanggup berkorban (mujahdah) dan komited (istiqamah) demi sebuah perjuangan yang suci.
Dasar ini juga menjadikan ahli PAS bekerja kerana Allah, kita percaya kita membawa tugas menyebar risalah Islam yang telah diwarisi oleh para Nabi dan Rasul. Kerja-kerja membawa rahmat kepada seluruh alam ini akan berterusan sampai bila-bila walaupun kalah dalam pilihanraya.
Saya masih ingat, dikala gelombang reformasi tahun 1998 dan 1999, PAS telah menyertai pilihanraya negeri pada mac 1999, rata-rata rakyat ketika itu menggelarkan PAS sebagai parti Jipun (”Jepun”) dek lambang bulat (bulan) yang ada pada bendera PAS.
Pun begitu, PAS telah berkembang sejak awal penubuhannya pada tahun 1986 lagi. Sewaktu saya baru kembali ke Sabah pada tahun 1996, PAS hanya mempunyai 4 kawasan, 1 kawasan aktif manakala 3 kawasan hidup segan mati tak mahu.
Di Pantai Barat yang ada cuma PASTI iaitu iaitu di tiga di Kota Kinabalu dan satu di Tuaran. Kawasan yang nampak PAS ada kekuatan ketika itu ialah kawasan Tawau manakala yang lain bergerak sekadar yang mampu.
Hari ini PAS sudah mempunyai 6 PAS kawasan (bahagian), 2 kawasan menunggu kelulusan pendaftaran dan beberapa kawasan lagi dalam peringkat jawatankuasa penaja. Manakala ahli PAS pula bertambah di merata tempat.
Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) iaitu sebuah pusat pendidikan pra sekolah di bawah Dewan Pemuda PAS Sabah telah berkembang dengan pesat dengan melebihi 40 buah semuanya. Hari ini PASTI sudah berada di Pekan Keningau, Kg. Sukau dan di Pinggan-Pinggan, Pitas.
Pendewasaan PAS ini telah meletakkan PAS bukan lagi parti yang asing di Sabah. Akhbar Harakah kini dibaca oleh anak-anak muda yang bekerja di kilang, bengkel-bengkel kereta malahan yang berseluar pendek pun membaca harakah tanpa segan dan silu ditempat awam.
Tinggal lagi ialah sejauh manakah usaha-usaha yang dilakukan para pemimpin dan ahli PAS di Sabah menarik rakyat negeri ini bersama-sama dengan PAS. PAS Sabah mempunyai ahli yang berkualiti, ada doktor, peguam, jurutera, profesor, pengarah jabatan, tokoh korporat, tokoh agama dan wanita.
Perkara yang tidak mengizinkan mereka aktif dengan PAS disebabkan sekatan dan halangan sebagai penjawat awam.
Siapa tahu, pilihanraya negeri ke 13 kali ini PAS berjaya menghantar wakil ke dewan undangan negeri dan parlimen Malaysia.
Selamat bermuktamar !!