Archive for November, 2008


LEMAH SEKETIKA

Ia seperti kaitan dengan pasang surut, putaran roda di atas dan di bawah.

Sejak telefon bimbit tertinggal di dalam bas KDN 2 minggu lepas, – yang saya yakini ‘belum’ hilang – saya agak lemas seketika.

Walaupun sudah punya handphone baru dan menggunakan nombor lama, ralat rasanya kerana banyak data tersimpan di dalam handphone lama. Selain memuatkan koleksi nombor telefon seperti orang lain, di dalamnya juga saya muatkan sinopsis bahan yang hendak saya tulis di dalam blog ini.

Agak banyak juga bahan-bahan yang saya muatkan tetapi kini saya hampir lupa kesemuanya.  Setiap perjalanan, buku yang telah dibaca, apa yang terpandang, juga sesuatu yang terlintas di fikiran, segera saya catatkan di dalam handphone.

Apabila kembali ke rumah, saya mencari ruang sendirian seperti ini, seperti waktu damai tengah malam sambil berhadapan dengan kaca tv juga, menulis kembali apa yang catatan ringkas di telefon bimbit tadi; di samping anak isteri yang sudah jauh terlena menerawang entah ke mana ruh mereka.

Tetapi itulah, dengan handphone baru saya belum mahir dan mesra dengannya, menyebabkan banyak pemandangan seharian terlepas daripada catatan. Saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan teman baru ini.

Sementara 4-5 hari lepas, hambatan kerja di pejabat dan di rumah benar-benar merumitkan lagi keadaan untuk menulis.

Saya mengambil cuti isnin dan selasa lepas untuk mengecat semula bilik yang dibesarkan, – tidak semudah yang disangkakan rupanya, menyiapkan kandang arnab-arnab saya yang semakin membesar (kini sebanyak 11 ekor).

Tambahan kerja-kerja di pejabat menuntut kudrat yang lebih berbanding kebiasaan. Persiapan menganjurkan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah sudahpun bermula dan bahagian kami menjadi urusetia induk.

Saya diamanahkan menjaga hal ehwal buku aturcara sambutan. Tidak juga mudah tetapi tidak terlalu sukar. Mudah jika kerjasama diberikan oleh mereka yang berkaitan.

Mana lagi kerja-kerja unit yang tidak kesudahan bahkan semakin rumit dan kompleks bentuknya.

Buku rampasan perlu disemak kesahihan dan kebatilannya, begitu juga poster-poster, surat-surat serta aduan yang memerlukan penjelasan hukum, begitu juga dakwaan ajaran sesat dan salah yang sukar dibuktikan.

Itulah kerja saya sejak berada di unit penyelidikan genap 9 bulan lalu.

Sebenarnya ini hanya luahan perasaan untuk mengangkat kembali semangat menulis yang terganggu sedikit seminggu ini.

Kini kamera sudah kembali ke tangan setelah dibaiki 3 minggu lepas di KL, telefon bimbit baru menggamit semangat baru, sementara bilik di rumah sudah hampir kemas sepenuhnya.

Banyak bahan menuntut untuk dicatat di dalam blog ini.

KENAPA LENGANG

Malam jumaat lepas, bersama Che’gu Jamil, kami berkunjung ke dua buah surau.

Maghrib di Surau Kg Lobou dan Isyak di Surau Kg Keliangau. Kedua-duanya adalah kampung yang penduduk muslimnya adalah muallaf. Sudahlah muallaf, minoriti pula.

Tujuan kunjungan ke sana untuk mengatur sedikit program sempena eidul adha yang mendatang.

Kedua-dua surau ini tidak pernah saya kunjungi walaupun nama kampung sudah saya ketahui beberapa tahun lalu. Kedua-dua wakil surau ini pernah saya jemput ke Istana Negeri satu masa dulu untuk menghadiri usrah Istana. Nostalgia..

pb270016Lewat tiba maghrib di Lobou, tetapi ada beberapa orang dewasa di sana dan beberapa kanak-kanak belajar mengaji.

Yang memimpinnya pun seorang muallaf yang saya kenal namanya sebagai Miasin.

Ada cerita menarik tentang Miasin ini. Masa lain akan saya cerita secara khusus.

Hampir Isyak kami berangkat pula ke Surau Kg Keliangau. Sekitar 10 minit dari Lobou.

Surau berada di atas bukit, dan kelihatan pemandangan malam yang indah bandaraya Kota Kinabalu.

pb270024Tiba di surau, nampak gelap. Ruang dalaman surau agak sederhana luas tetapi cantik dengan lantai berkarpet.

Harap-harap ada jamaah untuk melakukan sedikit rundingan program sambutan dan jamuan eidul adha.

Kami solat berdua saja setelah Che’gu Jamil melaungkan azan. PA system pula rosak.

Selesai solat, kami menanti seketika kot ada orang kampung turun untuk bincang dengan mereka soal sambutan itu nanti. Adalah seorang turun setelah dipanggil.

Tapi yang saya ingin sentuh di sini tentang sambutan masyarakat tentang surau dan masjid yang bagi saya belum memuaskan. Bukan saja di sini tapi di kebanyakan masjid dan surau.

Sesetengah masjid hanya dikunjungi ramai menjelang tengahari jumaat. Solat fardhu tidak seramai mana walaupun penduduk majoriti muslim.

Kadang-kadang kita gembira 10 orang ada berjamaah di masjid setiap malam. Kita gembira ada 20 orang, 30 orang, 40 orang jamaah Isyak di masjid.

Sedangkan kita tahu di luar sana ada lagi beratus bahkan mungkin ribu yang beragama Islam tidak hadir kerana hanya menonton tv di rumah, lepak di warung, jalan-jalan, tanpa urusan yang wajar ditakrifkan sebagai uzur syar’ie.

“Alah, sunnat muakkad saja”. Nanti jawab seorang.

“Alah, paling tinggi pun fardhu kifayah saja”. Nanti jawab seorang lagi.

Remehkah persoalan solat berjamaah?

Kami sembang-sembang konon bahawa kerajaan telah mendirikan masjid dan surau untuk kemudahan masyarakat Islam.

Persoalannya, yang mengarahkan pembinaan masjid pun tidak ke masjid untuk berjamaah. Cukup hari jumaat.

Di mana kita letakkan firman Allah ini :

“Orang-orang yang Kami beri kekuasaan memerintah di bumi, mereka MENDIRIKAN solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat baik, dan menegah berbuat mungkar. Kepada Allah kembali segala urusan”.

MENDIRIKAN SOLAT bukan mendirikan masjid.

Bila jenis pemimpin memang mendirikan solat, insya Allah dengan sendirinya masjid terbangun.

Tapi bila pemimpin hanya memikir membangun masjid tapi sendiri tidak solat, inilah salah satu punca masjid dan surau akan lengang.

ISU-ISU BERKAIT QURBAN

1) Hukum

Hukum asal qurban ialah sunnat muakkadah iaitu sunnat yang sangat dituntut. Jumhur ulama mengatakan sunat melakukan ibadah qurban bagi yang mampu dan makruh meninggalkannya.

Walaubagaimanapun, jika ditinggalkan tidak berdosa dan tidak wajib mengqadha’nya sekalipun tanpa keuzuran.

Hukum sunnat ini akan menjadi muakkadah ainiyyah iaitu sunnat yang dituntut ke atas individu jika ia tinggal sendirian di dalam sebuah rumah. Sebaliknya, menjadi sunnat muakkadah kifayah iaitu sunnat yang dituntut secara umum bagi sebuah keluarga dalam sebuah rumah.

Ertinya, jika salah seorang daripada ahli keluarga  berkenaan melakukan qurban, gugurlah tuntutan sunnat kifayah keatas anggota keluarga yang lain. Dalam maksud yang lain, memadai jika dalam sebuah rumah ada seorang yang melakukan qurban. Jika ramai berqurban adalah lebih baik.

2. Waktu Penyembelihan Qurban.

Masa penyembelihan binatang qurban ialah bermula selepas naik matahari pada hari raya sekira-kira berlalu 2 rakaat solat dan khutbah hari raya sehingga terbenam matahari pada hari terakhir tasyriq iaitu hari ke 13 Zulhijjah.

Jika penyembelihan dilakukan sebelum atau selepas waktu itu, ia tidak termasuk ibadah qurban. Hanya menjadi sembelihan biasa sahaja.

3. Umur Binatang Qurban.

Unta yang gugur gigi hadapannya, yang sempurna umur lima tahun masuk tahun keenam. Lembu, kerbau dan kambing yang gugur gigi hadapannya, sempurna umur dua tahun masuk tahun ketiga.

Kambing biri-biri berumur setahun; atau gugur gigi hadapannya walaupun belum cukup umur setahun, sesudah berumur 6 bulan.

4. Masalah Kecacatan Atau Aib Binatang Qurban.

Binatang yang buta atau rosak matanya atau yang tidak dapat melihat walaupun biji matanya masih ada tidak boleh dibuat sembelihan. Jika matanya sedikit rabun tetapi boleh melihat, sah dijadikan qurban.

Binatang yang jelas tempang kakinya, jika ia berjalan bersama sekumpulan kawan-kawannya yang lain di padang untuk mencari makan, ia tidak dapat ikut bersama atau ketinggalan jauh di belakang, tidak boleh dijadikan qurban. Jika tempangnya sedikit, iaitu tempang yang tidak menghalang daripada mengikuti kawan-kawannya, maka sah dibuat qurban.

Binatang yang nyata sakitnya sehingga menyebabkan kurus dan kurang dagingnya tidak boleh dijadikan qurban. Jika sakitnya itu sedikit dan tidak mengurangi dagingnya, maka sah dibuat qurban.

Haiwan yang kurus sama ada kerana sakit, gila, kurang makan atau sebagainya tidak boleh dibuat qurban.

Haiwan yang terpotong telinganya walaupun sedikit, atau yang tidak bertelinga sejak awal tidak boleh dijadikan qurban kerana hilang sebahagian anggota yang boleh dimakan dan mengurangkan dagingnya. Tetapi tidak mengapa jika hanya terkoyak atau berlubang dengan syarat tidak gugur daripada dagingnya walaupun sedikit.

Haiwan yang terpotong ekornya walaupun sedikit tidak boleh dijadikan qurban. Adapun yang dilahirkan tanpa ekor semulajadinya adalah sah dibuat qurban. Tidak memadai (tidak sah) jika yang terpotong sebahagian lidahnya atau pahanya.

Haiwan yang gugur semua giginya sehingga menghalangnya makan rumput tidak boleh dijadikan qurban. Jika hanya tanggal sebahagiannya dan tidak menghalangnya makan rumput dan tidak mengurangkan dagingnya (kurus) ia boleh dibuat qurban.

Haiwan yang berpenyakit gila atau yang kena penyakit kurap sekalipun sedikit tidak boleh dijadikan qurban.

Haiwan yang bunting tidak boleh dijadikan qurban kerana bunting itu mengurangkan dagingnya. (al-Majmu’ dan Mughni al Muhtaj). Jika binatang itu baru beranak, boleh dibuat qurban berdasarkan pendapat Ibnu Hajar dan ar-Ramli dalam an-Nihayah.

5. Hukum Memakan Daging Qurban Wajib

Seseorang yang telah berqurban wajib iaitu ia bernazar, ia diharamkan memakan daging itu walaupun sedikit. Jika daging itu dimakannya wajib diganti kadar yang dimakannya, tetapi tidak wajib menyembelih binatang lain sebagai ganti.

6. Pembahagian Daging Qurban

Sunat orang yang berqurban sunnat memakan sebahagian atau sedikit daging qurbannya itu. Yang baiknya disedekahkan sebahagian daripada daging itu dalam keadaan mentah dan belum dimasak kepada orang fakir miskin yang Islam.

Harus juga orang yang berqurban itu membahagikan qurbannya kepada tiga bahagian, satu pertiga untuk dimakan; satu pertiga untuk disedekahkan kepada fakir miskin dan satu pertiga lagi dihadiahkan kepada orang kaya.

Tetapi yang paling afdhal ialah disedekahkan kesemuanya kecuali sedikit untuk dimakan beberapa suap untuk mengambil barakah, kerana itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan menjauhkan diri kepada tamak dan mementingkan diri sendiri.

7. Daging Qurban Untuk Orang Bukan Islam.

Haram hukumnya memberi atau menghadiahkan daging qurban – sama ada mentah atau dimasak – kepada orang kafir sekalipun dia kaum kerabat, sama ada qurban wajib atau qurban sunnat walaupun sedikit, kerana qurban itu adalah perkara yang berhubung dengan ibadah. (I’anah at-Tholibin)

8. Daging Qurban Dijadikan Upah.

Kulit atu daging binatang qurban haram dijadikan upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya sebagai sedekah jika ia miskin atau sebagai hadiah jika dia bukan orang miskin.

9. Berqurban Bagi Pihak Orang Lain.

Tidak sah melakukan ibadah qurban bagi orang yang masih hidup kecuali dengan ada izinnya, dan tidak sah juga melakukan ibadah qurban bagi orang yang telah meninggal dunia kecuali dengan ada wasiatnya.

10. Menjual Daging Qurban.

Menjual daging qurban sama ada qurban wajib atau sunnat adalah haram hukumnya bagi orang yang berqurban dan orang yang menerima qurban kecuali orang fakir dan miskin. Termasuk dilarang dijual ialah kulit, tanduk dan lain-lain anggota tubuh binatang qurban itu.

11. Perkara Sunnat Ketika Menyembelih.

– Menajamkan pisau yang akan digunakan.

– Menekan pisau pada leher binatang dengan kuat dan bersungguh dengan cepat supaya mudah putus urat halqum dan mari’nya.

– Orang yang menyembelih menghadap qiblat dan menghalakan leher binatang itu juga ke arah qiblat.

– Ketika hendak menyembelih sunnat membaca basmalah dan solawat.

– Sunnat diberi minum binatang yang akan disembelih.

– Sunnat dibiarkan sembelihan sehingga mati setelah selesai disembelih.

12. Perkara Yang Makruh Dilakukan Dalam Penyembelihan.

– Menajamkan pisau di hadapan binatang.

– Sengaja meninggalkan bacaan basmalah sebelum menyembelih.

– Menyembelih dengan pisau yang tumpul.

– Menyembelih binatang di hadapan binatang yang lain.

– Memutuskan, mematahkan kepalanya, anggota binatang sembelihan, menggerakkannya, memindahkannya sebaik sahaja selepas penyembelihan dilakukan.

– Menyembelih pada waktu malam tanpa sebab yang memerlukannya.

13. Berkongsi Seekor Binatang Untuk Qurban, Aqiqah, Dam Haji Dan Lain-Lain.

Seekor unta, lembu atau kerbau dagingnya boleh dikongsikan sama ada kesemua dagingnya khusus untuk aqiqah atau sebahagiannya untuk daging biasa atau sebahagiannya untuk qurban, asalkan sahaja pembahagian setiap seekor unta, lembu atau kerbau tidak lebih daripada tujuh bahagian. (al-Majmu’ Imam an-Nawawi)

Dipetik dan disesuaikan semula daripada buku Ibadah Korban Hukum & Cara Pengendaliannya, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam.

KHUTBAH TIDAK BERKESAN

Baru-baru ini, JHEAINS mengadakan Bengkel Penulisan Khutbah di Hotel King Dynasty Park selama 2 hari. Ia mengumpulkan hampir 30 orang peserta daripada JHEAINS sendiri dan JAKIM.

Saya bagaimanapun tidak hadir atas faktor-faktor tertentu.

Saya sendiri melihat secara kasarnya ada empat faktor menyebabkan khutbah khususnya Jumaat kelihatan tidak berkesan.

Pertama, masalah teks. Masalah isu yang tidak relevan dengan jamaah, bahasa dan istilah yang sukar difahami atau terlalu bombastik menyebabkan khutbah tidak berkesan ke telinga jamaah.

Kedua, faktor khatib. Khatib tidak membuat persediaan, tidak memahami situasi setempat, suara tidak lantang dan bersemangat dan sebagainya.

Ketiga, faktor masjid. Misalnya situasinya terlalu panas, masalah PA sistem menyebabkan isu yang hendak diketengahkan tidak sampai.

Keempat, faktor jamaah. Jamaah datang lambat, bersembang semasa khutbah ataupun tidur.

p8080018Minggu demi minggu khutbah berlangsung, ia mungkin bermasalah dengan satu faktor sahaja atau mungkin saja keempat-empat faktor itu berlaku secara serentak.

Teks tidak sesuai, tambah pula khatib tidak bersedia; PA sistem bermasalah dan jamaah pula ramai lena.

Atau ada ketikanya teksnya sangat bagus, khatib pula tidak hadam dengan apa yang dibacanya. Tidak bersemangat, gagap, lagak seperti membaca berita atau membaca talkin sehingga tidak menusuk ke sudut hati yang mendengar.

Pernah kedengaran khatib terdiam seketika sambil mengeja satu istilah tulisan jawi. Kelihatan mulutnya kumat kamit mengeja sehingga rasanya jamaah tahu apa yang hendak disebutnya, cuma dia saja belum dapat menangkap lagi.

Ada juga ketikanya khatib bersemangat dan nada suara jelas, cuma isunya tidak relevan dengan situasi setempat. Pernah di kampung saya berlaku khatib membaca teks berkenaan dengan isu saham dan pelaburan BSKL. Ia langsung tiada kaitan dengan penduduk kampung yang mendengar.

Atau isu pertanian di kampung nelayan dan sebaliknya. Atau isu yang berat dibawa ke kampung-kampung sehingga jamaah sukar memahami. Atau juga isu terlalu remeh dan ringan dibawa ke masjid-masjid di tengah kota.

Sebaik-baiknya sederhanalah. Jika khatib tidak mampu mengarang dan berkarya sendiri, cuma mampu membaca teks yang tersedia, hadamkanlah teks sebelum naik ke mimbar.

Ulangi sehingga lancar terutama petikan berbahasa arab seperti puji-pujian dan salawat di muqaddimahnya, ayat al-Quran dan Hadith Nabi SAW.

Pastikan juga isunya sesuai dengan jamaah.

Konsep saya berkhutbah, jika di kampung-kampung saya akan bawakan isu yang rendah seperti hal orang kahwin, pengisian cuti sekolah untuk anak-anak, dan seumpamanya bersesuaian dengan tahap orang kampung.

Setengahnya saya tanya terlebih dahulu kepada pengerusi atau beberapa JK masjid, masalah yang berlaku di tempat itu.

Sementara jika di bandar, isunya berat. Rasuah, kepimpinan, isu antarabangsa seperti Palestin, dan seumpamanya.

Faktor ketiga pernah saya alami ketika berkhutbah di sebuah masjid di Tuaran. Pihak teknikal masjid sebenarnya sudah memastikan mikrofon berfungsi. Cuma apabila naik ke mimbar, mikrofon yang menggunakan bateri habis pula.

Sepanjang khutbah dan solat jumaat saya terpaksa berteriak. Mujur masjid kampung, yang jamaahnya agak sederhana sekitar 50-60 orang.

Saya tidak marah kepada mereka. Cuma selepas itu saya mengatakan ini satu pengajaran kepada mereka. Saya bimbang mereka malu kerana jumaat hari itu dihadiri oleh TYT.

Jika ketiga-tiga faktor sudah beres – teks bagus dan sesuai, khatib pula lancar dan bersemangat, masjid selesa dan PA sistem berfungsi baik; jika bermasalah juga, ia adalah pada diri jamaah itu sendiri.

Sikap yang tidak mahu berubah, menganggap khutbah jumaat hanya sebagai rutin hari jumaat, datang pula lambat, bila hadir berbual sakan dengan teman sebelah, atau khusyuk tertidur.

Sebenarnya majlis khutbah dan solat Jumaat adalah ruang wajib untuk setiap diri lelaki mukallaf untuk memperkukuh kekuatan iman dan Islam.

Jika tiada kuliah maghrib atau subuh sekalipun, khutbah jumaat itulah ruang untuk mengecas diri, mendengar ucapan dasar mingguan untuk dipegang dan diamal sebelum tiba Jumaat mendatang.

MOHON BANTUAN SEGERA!

Saya menerima amanah untuk menyampaikan maklumat ini kepada para pembaca sekalian.

Bagi pihak Ustaz Ithnin Hashim, (550701-10-6075) seorang guru di SMK Bandaraya juga aktivis Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Cawangan Sabah, saya memohon ihsan saudara-saudara untuk memberikan sumbangan derma bagi meringankan beban bagi menampung kos perubatan anak beliau yang kini menderita sakit.

Syuhaib Ithnin (851019-14-5839) mengalami sakit ‘Adolescent Idiopathic Scoliosis’, iaitu penyakit bengkok tulang belakang. Itu yang dimaklumkan kepada saya oleh Dr Razin, sahabat di Hospital Likas apabila saya bertanya tentang istilah itu.

gambar-09-225Jumlah kos perubatan dinilai sebanyak RM18 ribu, bagaimanapun separuh daripadanya ditampung oleh pihak UIA, di mana anak beliau menuntut kini.

Mereka yang ingin terus menyumbang boleh bank-in ke dalam akaun BIMB 100 160 202 513 71 milik Ust Ithnin.

Sebaiknya, hubungi Che’gu Jamil Dayan 013-8517282.

Saya tinggalkan pesan ini dengan bersama kita menghayati maksud hadith Rasulullah SAW :

“Sesiapa yang menyenangkan orang yang susah, Allah akan menyenangkannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutup keburukan seorang muslim, Allah akan menutup keburukannya di dunia dan di akhirat. Allah akan sentiasa menolong seorang hamba selama ia berusaha menolong saudaranya”. (Hadith riwayat Muslim daripada Abu Hurairah RA.)

JANGAN LUPA DOA INI

Ketika mengisi kuliah maghrib di Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru 2 malam lalu, menyambung bab berkenaan zikir selepas solat, saya tertarik dengan satu hadith yang mempunyai banyak memberi manfaat kepada diri saya sendiri khususnya.

Buku yang saya pegang untuk kuliah di masjid ini ialah kitab al-Azkar susunan Imam an-Nawawi RH.

Ia memuatkan pelbagai jenis zikir yang dibaca dan diajar oleh Rasulullah SAW sama ada di luar atau di dalam solat; zikir umum atau khusus waktunya; dan sebagainya.

Kini buku ini terdapat dalam bahasa Melayu; ada saya lihat di kedai buku di Wisma MUIS khususnya.

Daripada Muaz RA : Sesungguhnya Rasulullah SAW mengambil tangannya seraya bersabda :

‏”‏يا مُعَاذُ‏!‏ وَاللَّهِ إِنّي لأُحِبُّكَ، فَقالَ‏:‏ أُوصِيكَ يا مُعاذُ‏!‏ لا تَدَعَنَّ فِي دُبُرِ كُلّ صَلاةٍ تَقُولُ‏:‏ اللَّهُمَّ أعِنِّي على ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبادَتِكَ‏

“Wahai Muaz, demi Allah sesungguhnya aku sangat mengasihimu. Aku berpesan kepadamu wahai Muaz, jangan abaikan doa ini selepas solat : [Ya Allah, bantulah aku untuk mengingatiMu dan mensyukuriMu serta bantulah aku agar dapat melakukan ibadah yang terbaik kepadaMu]”. (HR Abu Daud & an-Nasa’ie)

Banyak pengajaran yang dapat diambil daripada hadith ini.

Pertama sekali, Rasulullah mendidik kita semuanya untuk mengambil perhatian seorang sahabat lain dengan sentuhan dan memegang erat tangan sahabatnya.

Kebanyakan kita agak janggal melakukan hal ini. Tambah lagi zaman sekarang. Lain pula anggapannya. Tapi itu yang dilakukan oleh Rasulullah kepada sahabatnya.

Saya pernah mendengar siri motivasi Dr Fadzilah Kamsah menyebutkan hal yang sama. Sentuhan kepada sahabat itu sangat penting.

Kedua, Rasulullah SAW tidak menyembunyikan perasaan kasih sayangnya kepada sahabatnya. Baginda memberitahu dan setelah itu memberikan satu pesanan berharganya.

Ini juga adalah satu teknik berdakwah, tidak kira kepada anak, rakan sekerja atau orang lain. Sentuhan tangan, bisikkan perasaan kita kepadanya, kemudian barulah pesanan penting kita.

Ketiganya, pesanan Rasulullah yang sangat penting bukan saja buat Muaz tetapi juga kepada kita semua. Baginda mengajar satu doa yang sangat baik dan saya kira sangat wajar sekali dibaca.

“Ya Allah, bantu aku untuk mengingatiMu…”

p8250050Dalam ilmu tauhid, kita selalu diajar oleh para guru kita bahawa iman itu sentiasa bertambah dan berkurang. Naik dan turunnya iman itu terlihat dengan amal soleh kita.

Adakalanya rajin, adakalanya suram. Adakalanya sedekahnya banyak, adakalanya pula malas langsung bersedekah.

Adakalanya awal dan sering ke masjid berjamaah, adakalanya pula datang sekadar hari Jumaat.

Kita juga sering lalai dan alpa. Kadang-kadang ingat Allah ini hanya di masjid, hanya pada bulan Ramadhan, hanya ketika ada orang meninggal; tetapi lupa kepadaNya ketika di jalanraya, di pasar, dan sebagainya.

Sebab itu wajar kita pohon kepada Allah agar Dia memimpin kita agar sering mengingatinya.

“… dan mensyukuriMu..”

Inilah adalah perkara yang sering disalahfaham oleh masyarakat. Syukur hanya sekadar ucapan alhamdulillah atau berterima kasih saja kepadaNya.

Sedangkan konsep yang lebih tepat ialah, syukur itu ialah menggunakan nikmat yang diberi sesuai dengan kehendak pemberi iaitu Allah SWT.

Allah beri kita mata, telinga, tangan, kaki dan sebagainya. Allah beri kita duit, motorsikal, kereta, rumah dan sebagainya. Semua itu diberi dan diguna ke jalan yang diredhaiNya. Barulah syukur namanya.

Kalau duit gaji yang diterima diguna untuk memberi nombor ekor, itu bukan syukur tapi kufur. Kufur nikmat.

Kita juga mesti mempunyai sifat qana’ah atau merasa cukup dengan yang ada. Bak sabda Rasul, dalam soal nikmat dunia, melihat orang yang dibawah daripada kita.

Syukur punya kereta saga sebab ada orang hanya ada kancil. Syukur punya kereta kancil, sebab ada orang hanya naik motor. Syukur punya motor, ada orang hanya punya basikal. Syukur punya basikal, ada orang hanya berjalan kaki. Syukur masih punya kaki, ada orang kaki pun tiada.

 “… dan bantulah aku agar dapat melakukan ibadah yang terbaik kepadaMu”

pa100071Kita adalah hamba Allah yang sangat lemah. Sedikit gangguan boleh merosak dan merencatkan amal ibadah.

Lihatlah, gara-gara siaran langsung badminton di TV kita berenggang dengan surau dan masjid.

Bahkan rupa bentuk sajadah saja kadang-kadang cukup mengganggu kekhusyukan ibadah kepadaNya.

Begitulah juga gangguan lain ketika berpuasa, berzakat, bersedekah, dan sebagainya menuntut kita menjadi hamba yang lebih tabah dan sabar dalam melaksanakannya.

Mohonlah kepada Allah agar memberikan ruang, kondisi dan natijah terbaik dalam melaksanakan ibadah sama ada yang khusus atau yang umum.

CINTA DI RUMAH HASSAN AL-BANNA

pb081204Sepanjang penerbangan ke KL minggu lepas, alhamdulillah saya dapat menghabiskan sebuah buku.

Buku ini saya beli pada Oktober lepas di Galeri Buku Nufair di Jalan Pahang Barat dekat pejabat Harakah dan Hospital Tawakkal.

Jarang sekali kita mendapatkan sebuah buku berkenaan kisah dalam rumahtangga tokoh dan mujaddid hebat ini.

Semua orang mengakui betapa asy-Syahid Hassan al-Banna adalah tokoh dakwah terkemuka abad moden ini. Beliau dan gerakan Ikhwan Muslimun tidak boleh dipisahkan.

Buku ini serba sedikit menceritakan beberapa babak peranan Imam Hassan al-Banna dalam memimpin dan mentarbiyah anak-anaknya.

Ia diceritakan sendiri oleh anak-anak beliau yang teratas. Babaknya  ringkas-ringkas tetapi tetap menyentuh hati apabila membaca dan mengamatinya.

Walaubagaimanapun, daripada enam orang anaknya, – seorang lelaki, lima perempuan – hanya tiga orang yang benar-benar mendapat sentuhan didikannya, kerana beliau meninggal dunia dalam usia yang agak muda sekitar umur 40an.

Di hujung buku ini dimuatkan wawancara dengan anak lelaki tunggalnya, Saiful Islam al-Banna yang juga seorang peguam. Lahir tahun 1934 dan berumur 14 tahun ketika kewafatan bapanya.

Anak-anak Hassan al-Banna :

1) Wafa : Anak sulung. Isteri kepada pendakwah terkenal Dr Said Ramadhan al-Buthi. Berumur 17 tahun ketika al-Banna wafat.

2) Ahmad Saiful Islam : Bekas anggota parlimen Mesir. Seorang kader Ikhwan yang aktif sehingga kini.

3) Dr Thana : Pensyarah urusan rumahtangga di pelbagai universiti di Arab Saudi. Berumur 11 tahun ketika al-Banna meninggal dunia.

4) Ir Raja’: Berumur 5 tahun ketika bapanya meninggal dunia.

5) Dr Hala : Pensyarah kedoktoran di Universiti al-Azhar

6) Dr Istisyhad : Pensyarah ekonomi  Islam. Berada dalam kandungan ibunya ketika bapanya syahid.

Benar kata pengantar buku ini Dra Hjh Wirianingsih bahawa isteri dan anak-anaknya adalah penerima sentuhan dakwahnya yang utama.

Buku 75 muka surat ini ditulis oleh Muhammad Lili Nur Aulia terbitan Alam Raya Enteprise. Selamat membaca.

Pagi tadi saya berkesempatan mengisi slot di kelas Teratak Fitrah. Tajuknya berkenaan kaedah menjaga aqidah.

Sebelum menuju ke tajuk berkenaan, saya bercerita kepada mereka beberapa kisah teladan yang patut diambil pengajaran.

Antaranya kisah ketabahan seorang ibu bernama Yuhanidy yang melahirkan seorang manusia mulia iaitu Nabi Musa, bagaimana keteguhan aqidah dan imannya kepada Allah telah menghanyutkan bayinya ke sungai Nil.

Tetapi Allah SWT telah menjanjikan bahawa anaknya itu akan diselamatkan dan dipertemukan kembali dengan ibunya. Akhirnya, sebagaimana yang kita maklum, Nabi Musa membesar di istana Firaun sendiri, dan Nabi Musa disusukan oleh ibunya sendiri.

Saya juga menceritakan kepada mereka kisah malang yang menimpa Sayyidina Umar al-Khattab RA, apabila satu hari pada zaman jahiliyyahnya telah menanam anak perempuannya hidup-hidup.

Perkara itu adalah antara kisah yang dikenangnya setelah Amirul Mu’minin memeluk Islam. Tetapi yang membanggakan Islam sepanjang zaman, Sayyidina Umar  telah menjadi salah satu wira utama dalam perjuangan menegakkan Islam.

Baginda Umar adalah orangnya yang menjelmakan keislamannya secara terang-terangan, bahkan hijrahnya juga terang-terangan di hadapan musyikin Quraiysh Makkah sedangkan sahabat lain terpaksa menyembunyikannya.

Saya juga menceritakan satu babak hebat perdebatan anak muda bernama Nu’man yang akhirnya dikenali sebagai Imam Abu Hanifah dengan seorang dahriy – yang cuba hendak mencabar ketuanan Islam bahkan memperlekeh ulama yang ada pada zaman itu.

Pendek cerita, Imam Abu Hanifah menjadi wira umat Islam apabila berjaya menumbangkan si Dahriy itu tatkala ulama pada zaman itu satu demi satu tewas dalam perdebatan dengan Dahriy.

Saya menyebutkan contoh-contoh demikian sebagai suatu galakan dan motivasi kepada pelajar Teratak Fitrah yang kesemuanya muallaf,  mudah-mudahan hidup mereka sebagai seorang Islam akan sentiasa subur dan mekar sehingga nyawa kembali kepada Allah SWT walaupun berhadapan dengan bermacam dugaan hidup.

Saya membawa contoh ibu Nabi Musa yang tabah, membawa kisah Sayyidina Umar (yang juga seorang muallaf), juga Imam Abu Hanifah seorang pemuda yang berani lagi bijaksana.

HAJI MUDA

Ini bukan nama orang.

pb170584Ini adalah satu tajuk buku yang saya khatam baca ketika ‘terbang’ balik ke Kota Kinabalu dari KLIA ahad lepas.

Sebenarnya saya tertonton promo buku ini oleh penulis di TV1 minggu lepas dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Lalu saya terlihat pula buku ini di kedai buku di Terminal KLIA lantas membelinya.

Ia berbentuk cerita dan catatan perjalanan penulis tentang hajinya pada tahun 2002 bersama beberapa ahli keluarganya.

Pun ia satu diari perjalanan, ia juga memuatkan beberapa tips untuk menjadi tetamu Allah di bumi barakah itu.

Ini termasuk cadangan-cadangan kaedah mengumpul wang agar dapat dicukupkan kos dalam tempoh usia muda.

Memang menjadi lumrah dan sebutan umum pelbagai alasan diberi apabila seseorang enggan pergi haji pada usia muda. Jawapan paling nakal ialah belum puas enjoy.

Satu jawapan yang dangkal juga apabila mengatakan haji itu untuk orang-orang pencen saja.

Saya turut mengakui hakikat bahawa saudara kita dari Indonesia lebih ke hadapan dalam hal ini.

Saya yang turut menunaikan haji pada tahun penulis ini pergi melihat ramai di kalangan jamaah haji Indonesia terdiri daripada kalangan belia.

Ketika itu umur saya 23 tahun dan bermusafir haji dari Mesir bersama 17 lagi siswa Sabah serta ratusan siswa Malaysia yang menuntut di bumi Anbiya’ itu.

Ibadah haji antaranya adalah ibadah harta dan fizikal.

Ia memerlukan kekuatan stamina kerana perlu melalui jalan yang jauh, berada dalam kesesakan kelompok manusia yang sangat ramai jumlahnya serta berjalan kaki dalam jarak yang boleh tahan juga.

Dari hotel ke masjid dan sebaliknya, pusingan 7 kali tawaf, 7 kali saie, melontar di mina dan sebagainya memerlukan kudrat yang bukan sedikit.

Ridzwan Bakar, penulis buku ini turut menyarankan agar pembaca mengkhatamkan terlebih dahulu buku ‘TRAVELOG HAJI’ : MENGUBAH SEMPADAN IMAN’ yang ditulis oleh Prof Dr Md Kamil Ibrahim, Pengarah UiTM Johor.

Saya kira buku sebegini sangat perlu dibaca khusus mereka yang khuatir untuk pergi haji kali pertama. Catatan ini membuatkan pembaca seolah-olah bersama dalam perjalanan mereka. Sebenarnya tiada apa yang harus dibimbangi apabila kita jujur dan suci hati menuju ke arahnya.

Haji sebenarnya adalah ibadah yang sangat menyeronokkan apabila kena gayanya.

Juga kunjungi blog penulis buku ini di http://ridzwan-bakar.blogspot.com

SUDAH 56 TAHUN RUPANYA

Saya ada satu rahsia yang ingin saya kongsikan bersama.

p9010008Hari ini 20 November 2008, genaplah umur Tuan Haji Omar Tompang ke-56 tahun.

Beliau adalah Setiausaha Surau Riyadhus Solihin Taman Austral.

Beliau lahir pada tahun 1952.

Daripada segi perjawatan, beliau adalah salah seorang pengarah di Lembaga Koko Malaysia (LKM) yang beribu pejabat di Kota Kinabalu.

Di LKM terdapat Ketua Pengarah, 2 Timbalan Ketua Pengarah dan 7 jawatan Pengarah. Hj Omar adalah Pengarah Pengawalseliaan dan Kualiti.

Beliau dikenali sebagai orang kuat surau, konsisten dengan amanah yang dipegang, dan sentiasa istiqamah dengan hadir ke surau. 

Kata orang, Surau Austral dan Hj Omar umpama irama dan lagu, bak isi dan kuku, bagai ombak dan pantai.

(Ada juga yang kata, Hj Omar dan koko juga tidak boleh dipisahkan. Ingat koko, ingat Hj Omar. Ingat Hj Omar, ingat koko. Sampaikan kalendar surau pun gambar koko juga).

p9020008Justeru, sedikit masa dulu apabila beliau mendekati umur persaraan 56 tahun, ramai yang bimbang bakal kehilangan Hj Omar.

Terdapat suara-suara ghaib mengatakan beliau akan kembali ke bumi Hang Tuah, negeri pejuang itu.

Tapi entah siapa yang ‘meniup angin’ ke telinga Pak Lah, tiba-tiba umur persaraan dilanjutkan ke 58 tahun. Tertangguhlah cerita kepulangan itu.

Entah-entah bila Najib naik jadi PM nanti, kot-kot umur persaraan naik pula 65 tahun. Lama lagilah Hj Omar di Sabah.

Dahulu beliau adalah jamaah Masjid Negeri yang aktif, terutama jamaah subuh khususnya subuh ahad.

Setiap ahad, sekiranya tidak ke mana-mana, beliau hadir sambil menadah buku yang dibawanya, mengaji bersama Ust Hj Muchlish Ali Kasim yang menempati jadual kuliah subuh ahad di Masjid Negeri.

Sementara Ust Muchlish pula sudah memulakan kuliah subuh ahad di Masjid Negeri itu sejak saya di bangku sekolah menengah lagi.

Bermacam buku yang sudah dikhatamkan. Buku I’tiqad Ahli Sunnah wal Jamaah, Fathul Mu’in, Halal & Haram Dalam Islam, Fiqh al-Awlawiyyat dan sebagainya.

Saya lihat Hj Omar adalah jamaah yang konsisten dengan buku dan pen di tangannya, menepati kaedah belajar; sementara jamaah yang lain memadai dengan hanya mendengar, sesekali terhangguk-hangguk tidur semasa kuliah subuh itu berjalan.

p9200390Walaupun kini aktif di Surau Riyadhus Solihin, selepas subuh ahad di surau beliau akan bergegas ke Masjid Negeri pula.

Apabila Surau Riyadhus Solihin kehilangan Ust Zulkifli Mustafa yang akan berpindah, sebelum ini Ust Fadlullah Shuib dan Ust Iyen yang uzur, Hj Omar pernah menyuarakan kerisauannya surau kekurangan ustaz.

Saya kira, bagus juga Hj Omar sendiri ambil satu slot kuliah.

Almaklum, ilmu yang dicurah Ust Muchlish sepanjang lebih 15 tahun di Masjid Negeri itu, bolehlah dikongsi Hj Omar kepada jamaah surau pula. Lepas ni, Ustaz Hj Omar la pulak.

(Gambar atas – Dah ada gaya Tok Guru tu. Ada rupa macam Sheikh Nuruddin. Amacam?)

Artikel ini bukan nak menyuruh Hj Omar pindah.

Cuma sebagai satu solidariti, penghormatan dan penghargaan ahli jamaah surau atas komitmen beliau yang tidak berbelah bagi buat surau walaupun memegang jawatan sebagai pengarah.

Jawatan selaku setiausaha surau, sementara beliau seorang pengarah; sesuatu yang sukar dicari  kepada mana-mana pengarah sesebuah jabatan. 

pb1005631Yang ramainya, semakin tinggi pangkat dan jawatan, semakin jauh diri daripada surau.

Hj Omar telah membuktikan beliau tidak begitu.

Bahkan sepanjang beliau ‘memerintah’ ini, surau nampaknya sangat meriah dengan pelbagai program.

Terima kasih kepada Hjh Zuraidah yang memberi maklumat ‘sulit’ ini.

Semoga pasangan evergreen ini tetap segar bersama anak cucu yang dikasihi.

%d bloggers like this: