Archive for Jun, 2012


Sumber : Harakahdaily

KAHERAH: Calon Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi telah diisytiharkan secara rasmi memenangi pilihan raya Presiden negara itu. Pengisytiharan itu disambut jutaan rakyat Mesir yang membanjiri Dataran Tahrir dan bergemalah sahutan Allahu Akhbar. Morsi mendapat 13.2 juta undi dari 26 juta rakyat Mesir yang keluar mengundi iaitu 51.7 peratus dari jumlah undi. Lawannya, Ahmed Shafiq, bekas Perdana Menteri di era Hosni Mubarak mendapat 12.3 million undi. Lebih 800,000 undi diisytiharkan tidak sah.

Keputusan diumumkan oleh Farouq Sultan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir dalam satu ucapannya yang panjang sebelum memberikan keputusan. Beliau mempertahankan intergriti suruhanjaya yang dipengerusikannya.

Sumber : http://www.mohamadazhan.com/2012/06/siapa-dr-muhammad-mursi-sejarah-ringkas.html

Kisah Pilihan Raya Mesir

Pelajaran dakwah dri Pilihanraya Presiden Mesir… Ada dua calon iaitu Mohammed Mursi dan Ahmed Syaffiq. Mursi merupakan calon presiden dari Ikhwan. Sedangkan Syaffiq merupakan perwakilan dari regim lama, Hosni Mubarak. Ada kisah menarik yang terjadi di salah satu daerah di Mesir.

Seorang gadis naik teksi. Setelah duduk dalam teksi, si pemandu bertanya, “Siapa yang anda akan pilih?” Si gadis menjawab, “Mohammed Mursi.” Si pemandu hairan dan bertanya “Kenapa? Diakan Ikhwan…” Si pemandu semangat mengkritik Morsi, “Saya ini seorang muslim dan nama saya juga Mohammed.” Si gadis lantas menjawab : “Saya Kristian dan nama saya Maria.”

Si pemandu teksi hairan dan semakin bingung dan berkata : “Bukankah Shafiq akan membenarkan Injil dalam buku pelajaran dan menghapus ayat-ayat Al-Quran?” Si gadis menjawab : “Bagaimana mungkin saya akan memberikan suara saya kepada orang yang tidak menghormati agamanya?”

Si gadis berkata lagi.. “Ketika gereja saya diledakkan, Shafiq ada bersama Mubarak, sementara Ikhwan ketika itu di penjara…. Ketika syuhada’ berguguran, Shafiq menjawat sebagai Perdana Menteri, sementara Ikhwan ada bersama para demonstrasi.” Kelu pemandu teksi dengan huraian si gadis Kristian…lalu bersetuju turut sama menyokong Mursi!

Revolusi 2011 yang telah mengorbankan 1,000 nyawa itu tidak sewajarnya berakhir dengan sebegitu rupa. Pengorbanan mereka yang tak ternilai harganya itu tidak sewajarnya dibayar dengan memilih untuk kembali kepada pemerintahan silam. Sesungguhnya cabaran besar sedang menanti Presiden dan kerajaan yang baru untuk menyatukan kesemua rakyat samada Muslim, Kristian, liberalis dan golongan kiri di bawah satu lembayung pemerintahan baru Mesir.

Kini, amanah besar sedang digalas oleh setiap rakyat Mesir untuk melakar masa depan mereka sendiri. Janganlah pula tersilap langkah kerana buruk padah pasti menanti bak kata pepatah “terlepas mulut harimau, masuk mulut buaya”. Sungguhpun golongan liberalis berpendapat pusingan run-off ini adalah the ‘worst-case’ scenario yang membuatkan mereka terpaksa memilih antara dua persimpangan namun bagi kita semua yakinlah bahawa hanyalah Islam ad-Din yang akan menjadi penyelamat bukan sahaja di dunia mahupun akhirat sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mencari agama (ad-Din) selain daripada Islam maka ianya tidak sesekali akan diterima dan di akhirat kelak tergolong dalam golongan yang rugi.”

BIODATA PROF. DR. MUHAMMAD MURSI

Dr. Mursi lahir pada 20 Ogos 1951 di Wilayah As-Syarqiyah, di sebuah perkampungan Al-Udwah. Beliau hidup dalam sebuah keluarga sederhana dan beragama, bapanya seorang petani dan ibunya seorang suri rumah. Berkahwin pada tahun 1978, mempunyai lima anak dan tiga cucu ini. Difahamkan kelima-lima orang anaknya adalah hafiz dan hafizah al-Quran, malah beliau sendiri dan isterinya juga adalah hafiz/hafizah al-Quran.

Pengajian tinggi Dr. Mursi apabila beliau berpindah ke Kaherah dengan melanjutkan pendidikannya di Universiti Cairo dalam bidang Kejuruteraan pada tahun 1970 hingga 1975. Selepas itu, beliau memperoleh Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Metalurgi di Universiti yang sama (Cairo) pada tahun 1978. Tahun yang sama beliau berangkat ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajarannya memperoleh Sarjana Kedoktoran, memperolehnya pada tahun 1982 di Universiti Southern California.

Beliau dilantik untuk menjadi pensyarah di Universiti Southern California, kemudian menjadi pembantu Prof. di Universiti California-North Ridge. Setelah kembali dari Amerika Syarikat, beliau ditawarkan sebagai Profesor dan Ketua di Jabatan Fakulti Kejuruteraan Material pada tahun 1985 hingga tahun 2000 di Universiti Zaqaziq.

Dakwah dan Politik

Dr. Mursi tidak hanya berkhidmat sebagai ahli akademik, malahan turut terjun ke gelanggang dakwah dan konsisten membela dan memperjuangkan keadilan dan kebebasan, menentang segala bentuk kezaliman dan kekejaman. Beliau yang aktif sebagai ahli Maktab Irsyad (Dewan Syura) Ikhwanul Muslimin ini, ikut bertarung dan terpilih sebagai ahli parlimen tempoh 2000-2005. Dan pada pilihanraya parlimen 2005, Dr. Mursi meraih suara terbanyak, mengalahkan musuh politiknya daripada Nasional Demokratic Party (NDP) parti Mubarak, namun keluar keputusan yang tidak berpihak, hingga dilakukan pemilihan semula yang memenangkan parti Mubarak.

Permasalahan lain yang menjadi perhatian utamanya adalah berkaitan Palestin dan Al-Quds, sebagai permasalahan Umat Manusia yang mempunyai hati nurani, dan tidak hanya permasalahan Bangsa Palestin sahaja, tapi menjadi permasalahan bersama umat Islam. Dr. Mursi terpilih sebagai ahli Majlis Penentangan Terhadap Zionisme di Wilayah Syarqiyah. Selain itu, Dr. Mursi juga terlibat sebagai pengasas Jawatankuasa Mesir Menentang Projek Zionisme.

Dr. Muhammad Mursi sangat terkenal dalam bidang akademik melalui pelbagai kajian dalam bidang industri yang menyentuh pengeluaran hasil bumi Mesir, malah mempunyai puluhan kajian dalam menyelesaikan kajian permukaan logam yang dianggap sebagai bidang utama kepakarannya, sehingga kajiannya diiktiraf oleh NASA pada tahun sekitar lapan puluhan yang lalu.

Penjara dan Penangkapan

Dr. Mursi antara pendakwah yang bergiat cergas dalam Jemaah Ikhwanul Muslim, perjuangan, pengorbanan, diri, jiwa dan harta telah diwaqafkan dalam jalan dakwah. Sedar dengan akibat yang akan hadapinya, melawan kezaliman rejim dan sistem kezaliman, penjara, pengusiran, dan sebagainya, adalah istilah yang tidak pernah lepas dari benak para pejuang.

Sikapnya yang terus menentang tindakan dan perilaku rejim zalim, menyebabkan beliau berkali-kali ditangkap. Selepas terjadinya pemalsuan parlimen pada pemilihan tahun 2005, Dr. Mursi menjadi tulang belakang dalam melakukan demonstrasi dan menyokong kehakiman yang bebas. Akibatnya, pada tarikh 18 Mei 2006 beliau ditangkap bersama 500 orang anggota Ikhwanul Muslimin di depan bangunan Mahkamah Cairo dan bangunan mahkamah Al-Jala di ibu negara Cairo, dan menghuni jeriji besi selama 7 bulan.

Dr. Mursi juga pernah ditangkap bersama-sama dengan sebahagian besar pimpinan Ikhwanul Muslimin yang lain, pada hari Jumaat pagi, yang terkenal sebagai Jumaat Amarah (Jumaat Al-Gadhab), 28 Januari 2011 supaya tidak terlibat dengan demonstrasi. Tidak hanya beliau yang dizalimi, keluarganya turut menjadi sasaran penangkapan, anaknya Dr. Ahmad ditangkap di saat Dr. Muhammad Mursi mencalonkan diri pada pemilihan tahun 2000.

Setelah prestasinya dalam politik selama lima tahun, Majlis Syura Ikhwanul Muslimin memilihnya sebagai anggota Maktab Irsyad, dan pasca Revolusi Mesir. Majlis Syura Ikhwanul Muslimin memilihnya sebagai Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) iaitu sebuah parti yang ditubuhkan oleh Ikhwanul Muslimin.

Perlu diungkapkan kembali bahawa Ikhwanul Muslimin selama lebih kurang 80 tahun berjuang demi sebuah keadilan dan kebebasan. Selama itu pula mereka ditindas dan dizalimi. Telah banyak jiwa dan darah yang mengalir sepanjang jalan dan langkahan dakwah mereka bermula dari pengasasnya Assyahid Imam Hassan Al Banna, yang syahid terbunuh secara misteri, malah saat kematian dilayan dengan keji oleh pemerintah disusuli Sayyid Qutub, Muhammad Al- Farigili, Abdul Qadir Audah, hingga As-Syahid Nashir Uwais, dia antara pemuda Ikhwan yang syahid pada Revolusi 25 Januari 2011.

Olahan semula sumber: http://www.islamicgeo.com

Hampir 200 peserta dari 10 agensi-agensi di bawah Kemeterian Dalam Negeri (KDN) Negeri Sabah telah menghadiri Seminar sehari al-Quran Rasm Uthmani yang diadakan di dewan penjara pusat, Jabatan Penjara Negeri Sabah Kota Kinabalu pada 28 Jun 2012 lepas. Seminar berkenaan diadakan bagi mendedahkan umat Islam terutama warga KDN akan sejarah dan kaedah penulisan dan penandaan al-Quran.

Agensi yang terlibat dan menghantar peserta mereka ke seminar tersebut ialah PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, RELA, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Bahagian Kawalan Filem dan Penguatkuasaan, dan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran.

Tiga panel membentangkan tajuk masing-masing, iaitu Ustaz Khairul Anuar Mohamad al-Bakri dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyampaikan dua kertas kerja iaitu ‘sejarah penulisan & pengumpulan al-Quran’ dan ‘kaedah penulisan (rasm) al-Quran’, Ustaz Mohd Rahimi Dato’ Ibrahim dari Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks al-Quran KDN Putrajaya dengan topik ‘akta penerbitan teks al-Quran’ dan saya sendiri selaku panel ketiga membawa tajuk ‘ilmu penandaan (dhobt) al-Quran’.

Saya dimaklumkan terdahulu penganjur iaitu Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks al-Quran KDN juga menerima permohonan daripada  jabatan lain dan daerah-daerah serta orang awam untuk menyertai program ini. Insya Allah penganjur sedang mengatur untuk membawa program dan seminar seumpama ini ke daerah-daerah lain di seluruh Sabah pada tahun akan datang. Terima kasih di atas kepercayaan penganjur mengundang saya. Insya Allah seminar berikutnya di Labuan.

Khatib : Ustaz Abu Nuha

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Firman Allah SWT maksudnya : Dan ditanya kepada orang-orang yang bertaqwa: “Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan” orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa.

Bertaqwa itu secara mudahnya ialah apa-apa perbuatan, perkataan dan niat yang betul serta baik menurut ajaran Islam, menepati syarat yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Dalam masa yang sama meninggalkan dan menjauhkan apa juga larangan Allah dan rasulNya. Justeru para ulama ramai menasihatkan agar kita tidak memandang remeh sesuatu perbuatan atau perkataan yang baik walaupun kelihatan kecil, boleh jadi perkara itu yang menyebabkan Allah ridha dan kita dimasukkan ke dalam syurga.

Pada masa yang sama, jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan yang jahat walau kecil sekalipun, bimbang-bimbang perkara itu yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT dan menyebabkan dihumbankan ke dalam api neraka.

Ada suatu kisah benar yang berlaku pada hari kiamat nanti, ada seorang hamba Allah yang sedang berbaris dalam barisan ahli neraka, dan dia melihat seseorang yang soleh yang dikenalinya semasa di dunia sedang berbaris masuk menuju ke syurga, lalu bakal penghuni neraka ini menyapa :

“Hai fulan, apakah kamu masih ingat pada suatu hari, saat aku pernah berbuat suatu kebajikan kepadamu? Aku adalah orang yang pernah memberimu minum seteguk air semasa di dunia. Maka tolonglah aku, tolonglah rekomenkan aku kepada Allah SWT.” Lalu hamba Allah yang soleh ini bermunajat kepada Allah SWT : “Wahai Tuhanku, si fulan dahulu di dunia pernah memberiku seteguk air. Berilah aku kesempatan untuk memberinya syafaat.”

Allah menjawab : “Memang, memang, aku telahpun mengizinkanmu untuk memberikan pertolongan kepadanya. Maka bawalah dia, ajaklah dia. Maka seteguk air di dunia itu dahulu telah menjadikan Allah memberi rahmat kepadanya, mengampunkan dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.

Justeru, jangan anggap sedekah yang sedikit itu tidak bermakna apa-apa. Walaupun seteguk air, walaupun sebiji kurma. Ia tetap bermakna dan bernilai di sisi Allah SWT. Bahkan ia juga boleh menjadi penyelamat di akhirat nanti.

Sumber : di sini

Saya merasa hairan sekiranya Umno yang memimpin kerajaan BN tidak mengizinkan pilihanraya diadakan di musim haji, kalau berlaku sebaliknya memang menghairankan. Umno pernah menggunakan kuasanya mengadakan pilihanraya umum di musim haji, kerana dasar dan konsep perjuangannya terus berpegang teguh dengan nasihat Suruhanjaya Reid yang meletakkan agama sebahagian sahaja daripada aspek politik dan urusan negara sebagaimana Umno melaksanakan tugasnya menghapuskan tulisan jawi dan meletakkan kedudukan agama yang ada di bawah kuasa raja-raja sekarang tanpa perubahan walaupun kemerdekaan sudah berlalu lebih lima puluh tahun.

Maka mengadakan pilihanraya di musim haji terlalu kecil bagi Umno, kerana pilihanraya dianggap tidak ada hubungan dengan dosa dan pahala boleh menipu, rasuah dan sebagainya. Kalau berdosa pun boleh ditampung dengan haji dan umrah subsidi.

Kepada Umno ibadat haji boleh dipolitikkan, bukan sahaja mengadakan pilihanraya di musim haji dengan menafikan hak mengundi kepada kalangan umat Islam yang berada di Makkah atau Madinah. Pilihanraya boleh diadakan di musim haji sekiranya mengurangkan sedikit undi yang boleh memberi kemenangan kepada BN  walaupun dengan majoriti kecil khususnya di negeri-negeri utara dan Pantai Timur Semenanjung. Bahkan Umno boleh mempolitikkan haji dengan mengeluarkan wang peruntukan kerajaan bagi memberi subsidi haji kepada imam-imam, JKKK dan sebagainya.

Walaupun rukun haji diwajibkan kepada seseorang yang mampu secara individu bagi dirinya dan berbuat kebajikan sunat kepada kalangan keluarga dan sahabat. Maka memberi subsidi haji dan umrah oleh kerajaan tidak wajib dan menerimanya juga tidak wajib, bahkan haram sekiranya menjejaskan peruntukan rakyat miskin yang pendapatannya tidak mencukupi  sara hidup, begitu juga pelajar-pelajar miskin yang menuntut ilmu fardu kifayah. Memang ternyata masih ramai yang tercicir dan ada yang dinafi dan dibatalkan haknya kerana tidak menyokong Umno.

PAS tetap menegaskan bahawa memilih musim haji bagi tarikh pilihanraya adalah bercanggah dengan Islam, kerana politik adalah sebahagian penting bagi agama Islam dan menjadi syarat kepada melaksanakan hukum-hukum Islam yang banyak, termasuklah membuktikan Islam itu adil kepada seluruh manusia dan seluruh alam serta melaksanakan kewajipan amar makruf dan nahi munkar dengan kuasa pemerintahan negara.

Saya telah menjelaskan hujah syarei dalam tulisan sebelum ini, walaupun ramai yang tidak boleh menerimanya kerana asas ilmu feqah politik yang tidak ada sedikit pun. Allah pernah menempelak para pemimpin Makkah yang berbangga dengan khidmat hajinya dan memakmurkan Al Masjid Al Haram, di mana pahalanya seratus ribu kali ganda daripada beramal di masjid yang lain daripada Masjid Madinah dan Masjid Aqsa.

Firman Allah:

أجعلتم سقاية الحاج وعمارة المسجد الحرام كمن آمن بالله واليوم الآخر وجاهد في سبيل الله , لا يستوون عند الله والله لا يهدي القوم الظالمين . التوبة 19

(Adakah kamu jadikan amalan memberi layanan minuman air kepada para jamaah haji dan mengimarahkan Al Masjid Al Haram itu, sama seperti kalangan yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, serta berjihad pada jalan Allah (menegakkan agamanya )? Sebenarnya mereka tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim ).

Mengundi adalah hak yang ditunaikan bagi memilih pemimpin dan kerajaan. Kewajiban ini mengikut ajaran Islam adalah satu amanah yang sangat besar dibebankan kepada umat Islam.

Firman Allah:

إن الله يأمركم أن تؤدوا الآمانات إلى إهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل إن الله نعما يعظكم به إن الله كان سميعا بصيرا  . (النساء ).

Sesungguhnya Allah memerintah kamu supaya menunaikan amanah dengan menyerahkan kepada orang yang mampu menunaikannya. Dan apabila kamu melaksanakan hukuman di kalangan manusia hendaklah berlaku adil, sesungguhnya Allah menyuruh kamu melakukan ajaran yang terbaik, sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Maka pilihanraya memilih pemimpin dan kerajaan adalah kewajipan besar dalam ajaran Islam, bagi menunaikan amanah, menyerahkan amanah yang menentukan baik dan buruk, adil dan zalim yang menjadi kepentingan umum dan masa depan dunia sehingga akhirat. Rasulullah S..A.W. meletakkan hilangnya amanah memberi tugas memimpin umat kepada orang yang tidak melaksanakan Syariat Allah menjadi punca kemusnahan yang membawa berlakunya ajal dunia. Memilih pemimpin bukan kerana kelayakan agama, akhlak dan ilmunya tetapi kerana wang, pangkat dan sebagainya adalah mengkhianati Allah dan Rasul.

Sebahagian besar para sahabat R.A. hanya bersembahyang jenazah Rasulullah S.A.W. kemudian berundur meninggalkan upacara mengebumikan jenazahnya yang mulia kerana menghadirkan diri dalam perhimpunan di Thaqifah Bani Saidah, melaksanakan amanah yang lebih besar daripada mengebumikan jenazah Rasulullah S.A.W. iaitu amanah pemilihan Khalifah pertama, yang membuat keputusan majoriti memilih Abu Bakar R.A.

PAS hanya mampu mengerahkan segelintir ahlinya sahaja dengan penyebaran ajaran politik Islam, supaya menangguhkan haji wajib kalau berlaku pilihanraya, kerana memilih wajib menunaikan amanah besar yang tidak boleh ditangguh kerana dipaksa. PAS tidak mampu menyebarkan kefahaman ini kepada masyarakat Islam seluruhnya, kerana khutbah Jumaat di masjid-masjid, ustaz-ustaz upahan dan media digunakan oleh BN bagi menyempitkan fahaman umat Islam terhadap ajaran Islam dan menyebarkan fitnah terhadap PAS melalui segala medan, termasuk media yang berlagak Islam, mencampurkan dosa dan pahala, benar dan bohong, laksana lembu yang mengibas ekor di belakang terhadap sesiapa sahaja dan hanya melihat ke hadapan ke arah rumput yang boleh diisi ke dalam perut.

Warga Turki yang bekerja di Australia yang peka dengan amanah ini, pulang ke negaranya dengan tambang berlipat kali ganda daripada menunaikan haji. Mereka pulang untuk mengundi parti Islam sehingga mengalahkan kaum Kamal Atarturk yang memaksa umat Islam Turki dengan pemerintahan sekularisme yang melemahkan Turki dan merosakkannya. Warga Mesir dan Tunisia di luar negara berjaya memenangkan parti Islam setelah berlakunya kesedaran politik sehingga mengalahkan parti ala Umno di negara masing-masing.

Harapan PAS kepada umat Islam di negara ini supaya bersedia menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 walaupun Umno BN melaksanakannya tanpa mengira musim haji. Tema politik itu kotor (politic is dirty), adalah penipuan penjajah terhadap umat Islam supaya meninggalkan politik dan memberi ruang dan peluang kepada mereka dan pengikut mereka menjajah selama-lamanya dan menghalang Islam berdaulat.

Sebenarnya merekalah yang mengotorkan politik yang menjadi amanah Allah yang termasuk dalam perkara kerasulan yang membawa rahmat Allah kepada seluruh  alam dengan melaksanakan Islam yang adil kepada semua dan matlamat kejadian manusia yang dihisab pada Hari Akhirat nanti. Akhirnya Rasulullah S.A.W. memberi jaminan daripada Allah, bahawa sesiapa yang melaksanakannya dengan sempurna menjadi kalangan pertama daripada tujuh jenis manusia yang bernaung di bawah naungan Allah di padang Mahsyar.

Presiden PAS

Sumber : http://www.islam.gov.my/ziarah-dan-dakwah-di-pulau-mantanani

Dari mata kasar, Pulau Mantanani adalah ‘syurga’ bagi golongan penyelam kerana ia adalah antara lokasi tercantik di negeri ini untuk pelbagai aktiviti laut. Kedudukannya di bahagian barat laut daerah Kota Belud dan 80 kilometer dari bandar Kota Kinabalu. Namun apa yang tersirat di sebalik segala keindahan ciptaan Allah S.W.T itu ialah gerakan dakwah perlu diperkasakan. Penduduk pulau berkenaan sangat ‘dahagakan’ bimbingan dakwah.

Justeru, pada 23 Jun 2012 yang lepas, Jakim Cawangan Sabah dengan kerjasama JHEAINS Daerah Kota Belud, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Cawangan Selangor, PUSPANITA Jakim Cawangan Sabah dan KAFA Daerah Kota Belud telah mengadakan Program Ziarah Mahabbah ke Pulau Mantanani, Kota Belud. Perjalanan dari Jeti Kampung Rampaian Laut, Kota Belud ke Pulau Mantanani dengan menaiki bot nelayan telah mengambil masa selama 2 jam. Ombak kuat yang mengiringi di sepanjang perjalanan itu langsung tidak melunturkan semangat 35 ahli rombongan yang mengikuti ekspedisi ini.

Objektif utama program ialah untuk menyuburkan rasa kasih sayang, menyampaikan ilmu agama serta menyuntik elemen motivasi iaitu dengan menjadikan ‘Islam Sebagai Cara Hidup’ kepada masyarakat Islam pulau berkenaan. Antara pengisian yang diterapkan kepada masyarakat kampung itu termasuklah kuiz kepada kanak-kanak, sesi halaqah ilmu, soal jawab agama dan beramah mesra. Para peserta yang hadir sangat teruja dan dan memberikan respon yang sangat menggembirakan ahli rombongan.

Tuan Haji Ahmad Zaki bin Haji Arsad, Pengarah Jakim Cawangan Sabah sendiri telah menyelitkan tazkirah ringkas dalam ucapan perasmian beliau. Sambil menyifatkan setiap manusia perlu gigih untuk menuntut ilmu agama, beliau juga mengharapkan agar lebih banyak NGO seperti PUM dan lain-lain agensi dapat mencurah khidmat bakti dan berdakwah di kawasan pedalaman dan pulau-pulau. Turut hadir, Ustaz Mohamad Zamri bin Mohamad Shapik, Pengerusi PUM Cawangan Selangor, Encik Albi bin Alad, Ketua Kampung Pulau Mantanani, Pengerusi Puspanita Jakim Cawangan Sabah dan Penyelia KAFA Daerah Kota Belud.

Yang terakhir, para penduduk dan masjid pulau tersebut telah dihadiahkan dengan pelbagai sumbangan berupa bahan keperluan asas, buku-buku agama dan alat kelengkapan pengurusan jenazah.

SEMINAR KEBANGSAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH DI MALAYSIA

SABTU , 7 JULAI 2012 / 18 SYA’ABAN 1433H

AUDITORIUM DAENG CHELAK, MUZIUM SULTAN ALAM SHAH, SHAH ALAM, SELANGOR.

PENGENALAN

Islam adalah al-din yang mengatur keseluruhan kehidupan manusia di muka bumi ini. Ia merupakan satu pakej yang lengkap merangkumi semua aspek seperti aqidah, ibadat, muamalat, munakahat dan jenayah. Justeru keindahan Islam akan terserlah apabila semua pengajarannya dalam kesemua aspek di atas dilaksanakan. Di Malaysia sebagai contoh, aspek-aspek di atas dilaksanakan dengan baik, namun persoalan mengenai undang-undang jenayah islam seperti qisas, hudud terus menjadi polemik. Perbincangannya mengalami pasang surut.

Dari senario masyarakat di Malaysia hari ini, saban hari akhbar-akhbar, televisyen mendedahkan kepincangan masyarakat terutama dari aspek kejadian-kejadian jenayah. Pembunuhan, pembuangan bayi, penculikan, mencederakan, pukul, merompak, mencuri, menyamun, meragut, zina, rogol, pelacuran, judi, minum arak, penagihan dadah, murtad, qazaf, pecah amah dan sebagainya. Adakah undang-undang sedia ada gagal mencegah dan menghalang individu daripada melakukan perkara-perkara di atas?

Oleh itu, Persatuan Ulama Malaysia cuba mengambil inisiatif untuk menganjurkan seminar ini agar segala tanggapan negatif terhadap undang-undang jenayah Islam dapat diperbetulkan. Pada masa yang sama dapat menyatakan kedudukan sebenar undang-undang jenayah Islam.

OBJEKTIF

1. Menghuraikan Islam sebagai sebuah cara hidup yang komprehensif.

2. Menghuraikan falsafah undang-undang jenayah Islam.

3. Menjelaskan kategori-kategori jenayah mengikut Islam.

4. Menjelaskan senario kesalahan dan jenayah yang berlaku di Malaysia

PENYERTAAN

Seminar ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat, para ulama’, intelektual, pegawai-pegawai agama, penyelidikan, pertubuhan-pertubuhan gerakan Islam dan badan-badan NGO, agensi-agensi kerajaan, wakil institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta, badan-badan kebajikan dan lain-lain pertubuhan serta orang perseorangan.

ATUCARA

8.15 am Pendaftaran

9.00 am Aluan Pengerusi Majlis

9.10 am Majlis Perasmian/Ucaptama

9.40 am Minum pagi

10.00 am Pembentangan 1

Islam Agama Komprehensif – Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman – Universiti Malaya (UM)

10.45 am Pembentangan 2

Falsafah Uqubah Dalam Kesalahan Jenayah Islam – Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri – Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus dan Negeri Terengganu Darul Iman

11.30 am Pembentangan 3

Adakah Sistem Federalisme Penghalang Kepada Pelaksanaan Syariah di Malaysia – Puan Nurhafilah bt. Musa – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

12.15 pm Pembentangan 4

Kedudukan Undang-Undang Jenayah Islam Di Malaysia – Tuan Hj Mahamad Naser bin Disa – Biro Undang-Undang, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan

1.00 pm Rehat/makan tengahari

2.00 pm: Pembentangan 5 

Penerimaan Non Muslim Terhadap Undang-Undang Jenayah Islam – Ustaz Nik Muhammad Zawawi bin Salleh

2.45 pm Pembentangan 6

Political Will Dalam Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam – Prof. Madya Dr. Hasan Bahrom – Universiti Teknologi MARA (UiTM)

3.30 pm Pembentangan 7

Hukuman Mati dan Hak Asasi Manusia – Prof. Madya Dr. Azman bin Mohd Nor – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

4.15 pm Pembentangan 8

Kemalangan Jalanraya Dan Penyelesaiannya Mengikut Islam – Ustazah Shahidra Abdul Khalil – Universiti Malaya (UM)

5.00 pm Pembentangan 9

Kaedah-Kaedah Pembuktian Dalam Undang-Undang Jenayah Islam – Prof. Madya Dr. Ruzman bin Mohd Nor – Universiti Malaya (UM)

5.45pm Pembentangan 10:

Kesalahan Murtad Dan Senarionya Di Malaysia – Ustaz Mohamad Zamri Mohamad Shafik – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

MAKLUMAT DAN PENDAFTARAN

YURAN PENYERTAAN :

Organisasi / Agensi / Pertubuhan : RM100.00

Individu / Perseorangan : RM100.00

Pelajar / Ahli PUM : RM 50.00

Pendaftaran Penyertaan :

Untuk penyertaan seminar, sila buat pendaftaran sebelum atau pada 05 Julai 2012 dengan menghubungi:

Sdra. Azmi : 013-384 0710 / Pn. Suraya : 013-403 8507 / Pejabat : 03-5512 4300 / 03-5511 4301 / Email : pumpusat@yahoo.com /Website : http://www.pum.org.my/

Pengesahan kehadiran bolehlah difakskan terus ke : 03-5511 4302 atau email ke : pumpusat@yahoo.com atau SMS (sila nyatakan <SYARIAH LAW>-<NAMA PENUH>-<NO.KAD PENGENALAN>) ke nombor 013-3840710.

Segala pembayaran boleh dibuat melalui :

1. Akaun Persatuan Ulama’ Malaysia

(No. Akaun Bank Islam Malaysia Berhad : 12-047-01-000112-7 – Cawangan Seksyen 14, Petaling Jaya).

2. Pembayaran melalui cek/tunai juga boleh dijelaskan pada hari seminar.

 

Kejohanan Sukan Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah berlangsung dengan meriahnya di Kompleks Sukan Likas Kota Kinabalu pada 22-24 Jun 2012 dengan perasmian penangguhan disempurnakan oleh Ustaz Saifuddin Haji Daud, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAINS.

Kemeriahan jelas terasa dengan jumlah warganya yang semakin ramai iaitu mencecah 42 orang siswa siswi yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan Muhammad al-Fateh dan Salahuddin al-Ayyubi; kedua-dua nama berkenaan merujuk kepada tokoh pahlawan dan pemerintah tersohor Islam pada zaman masing-masing.

Sultan Muhammad al-Fateh ialah Sultan yang memerintah Empayar Uthmaniyyah dalam masa singkat iaitu dari tahun 1444 ke 1446 dan kemudian dari tahun 1451 ke 1481. Baginda menakluk Constantinople pada umur 21 tahun yang membawa kepada kehancuran Empayar Byzantine. Sementara Sultan Salahuddin al-Ayyubi  (1137 -1193) mengasaskan dinasti Ayyubi bangsa Kurdis di Mesir danSyria. Beliau juga terkenal dalam kalangan Nasrani dan Muslim dengan kebolehannya sebagai ketua dan ketangkasannya dalam peperangan yang disertai juga dengan sifat kesateriaan dan belas kasihannya semasa Perang Salib.

Dalam kejohanan sukan ini, antara sukan dan permainan dipertandingkan ialah, futsal (lelaki), bola tampar (lelaki / perempuan), badminton (lelaki /perempuan), ping-pong (lelaki / perempuan), bola jaring (perempuan), sepak takraw (lelaki), karom, catur, congkak, sahibba dan scrabble. Kumpulan Salahuddin al-Ayyubi memenangi kejohanan kali ini dengan perolehan 9 emas sementara Muhammad al-Fateh memperolehi 8 emas.

Semoga kejohanan seumpama ini dapat mengeratkan silaturrahim sesama mereka, mengukuhkan kesatuan, semangat bekerjasama serta berjuang melawan musuh dan unsur negatif dalam pengajian dan kehidupan mereka selepas ini. Tahniah kepada semua.

Multaqa Asatizah & Du’at (26 Jun 2012)

Kami, selaku pendakwah dan asatizah telah dan kerap ditanya berkenaan isu mengadakan pilihanraya sewaktu musim haji. Justeru itu, sebagai respon kepada pertanyaan tersebut, pihak Multaqa Asatizah & Duat (MURSHID) dalam mesyuarat yang lalu berpendapat seperti berikut:-

Di dalam sistem demokrasi, pilihanraya dan proses pengundian adalah ibarat suatu mahkamah besar bagi memilih siapa yang lebih layak diberikan amanah memerintah, maka sewaktu sistem demokrasi dijadikan panduan dan diterima oleh majoriti rakyat, tugas terbesar kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah memastikan semaksima mungkin penyertaan rakyat dalam pilihanraya, justeru kempen untuk pendaftaran pengundi mestilah dipertingkatkan kecanggihannya dan dipermudah di seluruh tanahair. Rakyat Malaysia selaku pengundi layak yang berada di luar negara perlu di jamin hak mereka agar boleh mengundi melalui kaedah yang berkesan lagi dipercayai.

Kami juga bersepakat bahawa Pilihanraya dan proses pengundian TIDAK BOLEH atau HARAM dilaksanakan sewaktu musim perayaan dan ibadah umat Islam khususnya musim haji yang mana berpuluh ribu pengundi dan petugas haji sedang berada di luar Negara.

Sekiranya pilihanraya tetap dilakukan di musim haji, itu merupakan suatu pengkhianatan terhadap amanah dan sistem pemilihan. Ini adalah kerana proses pengundi adalah suatu proses KESAKSIAN. Firman Allah:

(وأشهدوا ذوى عدل منكم ..(الطلاق: 2

Mafhum : “Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu”( At-Talaq: 2)

Juga Firman Allah :

وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُوا

Ertinya : Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil ( Al-Baqarah : 282)

Dalil-dalil di atas menunjukkan, apabila kita berada di dalam suatu situasi atau keadaan sistem yang memerlukan mereka yang bermaklumat memberi kesaksian demi memberikan keputusan demi keadilan, mereka adalah dikira sebagai saksi yang diharamkan untuk menolak dari memberikan keterangan dan kesaksian. Dalam konteks pilihanraya, rakyat sebenarnya bertindak sebagai SAKSI sama ada untuk menyokong atau menolak mana-mana calon yang bertanding.

Justeru, SEKIRANYA pihak berkuasa memutuskan pilihanraya akan dijalankan pada musim haji, ia adalah suatu tindakan yang akan menghalang rakyat dari keluar menunaikan tanggungjawab mengundi. Jika seorang saksi TIDAK DIBENARKAN untuk menolak tanggungjawab memberi kesaksian, maka tentunya DIHARAMKAN juga bagi pihak ketiga untuk menghalang saksi dari memberikan kesaksian seperti sengaja mengadakan sesi perbicaraan ketika saksi berada di luar negara.

Justeru, setiap individu yang mempunyai hak dan berkelayakan memberikan kesaksian samada di mahkamah, termasuk kesaksian dalam bentuk mengundi sewaktu pilihanraya, tidak dibolehkan untuk sengaja menyembunyikan kesaksian atau dinafikan hak dan ruang memberi kesaksian termasuk oleh pihak berkuasa sekalipun.Firman Allah Ta’ala:

وَلَا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

“Maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah :283)

Akhirnya, kami menyeru pihak berkuasa agar teguh menjalankan amanah yang terbaik buat rakyat bagi mereka menjalankan tugas dan amanah selaku pengundi yang perlu memberi penyaksian parti dan calon yang dipercayainya. Kami yakin, pihak berkuasa tentunya bijak dalam memutuskan keputusan dalam hal ini.

Sekian dari kami:

1. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
2. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
3. Dr. Zahazan Mohamed
4. Dr. Maszlee Malek
5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7. Dr. Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Sukki Othman
9. Ustaz Roslan Mohammad
10. Ustaz Zamri Zainuldin
11. Ustaz Mohd Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisham Tuan Padang
18. Ustaz Ramadan Fitri Elias
19. Ustaaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20. Xifu Naseer Abd Rahman

Foto oleh Ustaz Jumat Abd Razak albelurani.

Rasanya hanya sekitar 3 minggu membincang dan mengatur sebahagian program sempena kunjungan Persatuan Ulama’ Malaysia Negeri Selangor (PUMSEL) ke Sabah, maka pada hari jumaat malam sabtu lepas, berlangsung pertemuan mahabbah dan muzakarah diantara PUMSEL dan PUM Sabah di Hotel Shangri-La Bandaran Berjaya.

Pertemuan mahabbah berkenaan diatur diadakan bagi mengeratkan silaturrahim, mencambah idea bagi mengatur aktiviti-aktiviti dakwah di kedua-dua negeri dan perkongsian maklumat diantara dua negeri. PUMSEL diketuai oleh Ustaz Mohamad Zamri Mohamad Shafik selaku pengerusinya bersama lapan lagi anggota lain, sementara PUM Sabah diketuai oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim bersama AJK dan ahli yang lain.

PUMSEL dalam rangka kunjungan dakwah ke Sabah, mengisi beberapa program termasuk ziarah ke JAKIM Sabah, misi dakwah di Pulau Mantanani Kota Belud dan kuliah maghrib serentak yang diadakan di lapan buah masjid serentak pada ahad malam isnin di sekitar Putatan dan Kota Kinabalu. Insya Allah, pertemuan dan program lain akan menyusul nanti.

Sumber : http://abdnaddin.blogspot.com/

PROF. DR.HARUN, PENERAJU UNIVERSITI YANG RENDAH HATI

MULANYA beliau bercita-cita menjadi tentera udara. Kalau bukan kerana kasihankan ibunya yang sedih hingga menangis di sudut rumah, kini mungkin beliau sudah menjadi pemandu jet pejuang. Tetapi takdir berkata lain. Setelah lulus universiti, beliau pernah bertugas sebagai kakitangan awam sebelum menjadi tutor sambil meneruskan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi. Profesor yang mempunyai kepakaran dalam bidang penyelidikan air ini, kini dilantik sebagai Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang keempat, berkuatkuasa 18 Jun 2012.

PROF. DR. Mohd. Harun Abdullah dilahirkan pada 1 Januari 1961 di Kampung Gudon, Menggatal, Sabah. Beliau merupakan anak sulung daripada 5 adik beradik hasil perkongsian hidup ayahnya, Abdullah Mohammed dengan ibunya, Normah  Mat Wahid.  Prof. Harun mendapat pendidikan awal di St. Catherine’s Primary School Inanam pada tahun 1966-67 dan kemudiannya di GEPS (Government English Primary School) Tanjung Aru dari tahun 1968-1973.

Beliau mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Maktab Sabah dari tahun 1974-1978 dan lulus M.C.E (Malaysia Certificate of Education) di Tingkatan Lima dalam Aliran Sains. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Pertanian Malaysia sehingga lulus B.Sc Alam Sekitar. Ijazah M.Sc  diperolehinya dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Manakala ijazah doktor falsafah (PhD) diperolehi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.

Beliau adalah penerima AOTS (The Association for Overseas Technical Scholarship) Jepun, Fellowship for NEDO (New Energy & Industrial Technology Development Organization) Program on Industry dan Environmental Protection di Yokohama, Jepun pada tahun 2002.

Prof. Dr. Harun pernah berkhidmat sebagai kakitangan awam pada tahun 1980 di Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Sabah sebelum melanjutkan pelajaran ke UPM sebagai penerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah. Setelah lulus, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik Alam Sekitar di Kementerian Pelancongan & Alam Sekitar sabah dari tahun 1987-1993.

Ketika berkhidmat di kementerian itu, beliau adalah penerima biaya bagi latihan Institute of Hydraulic & Enviromental Engineering) Delft, Belanda dalam bidang Ekologi Gunaan. Kemudian beliau menceburi kerjaya dalam bidang pendidikan sebagai Tutor pada 1994 dan seterusnya Pensyarah pada tahun 1995 di Fakulti Sains dan Sumber Alam, UKM Kampus Sabah. Beliau seterusnya berpindah ke UMS pada tahun 1996 apabila Kampus UKM di Sabah ditutup.

Ketika ini, Mohd. Harun memegang jawatan Profesor dalam bidang Sains Sekitaran di Program Sains Sekitaran, Sekolah Sains dan Teknologi (SST) UMS. Dalam bidang pentadbiran, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Dekan (Akademik dan hal Ehwal Pelajar ) di sekolah tersebut pada tahun 2002-2006 (selama 4 tahun), kemudiannya menjadi Dekan sekolah Sains & Teknologi  pada tahun 2008 hingga 31 Julai 2011 (selama 3 tahun).

Beliau telah dilantik oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia sebagai Timbalan Naib Canselor yang menjaga Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi (berkuatkuasa 1 Ogos 2011. Selepas itu, beliau dilantik oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkuatkuasa 18 Jun 2012) bagi tempoh tiga tahun.

Mohd. Harun merupakan Ahli senat UMS sejak 3 Jun 2008 hingga sekarang dan merupakan Ketua Unit Penyelidikan Air (WRU) yang pertama sejak 15 November 2011 bagi tempoh dua tahun.Beliau dilantik oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah sebagai wakil tetap UMS dalam Majlis Perlindungan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Sabah sejak tahun 2001 hingga sekarang. Selain menerbitkan buku dan artikel-artikel dalam jurnal bertaraf antarabangsa, beliau aktif dalam penyelidikan dan telah mengetuai banyak geran penyelidikan sama ada tajaan dari dalam negara mahupun luar negara.

Di antara penyelidikan yang diketuai oleh beliau telah dibiayai oleh dana dari Kurita Water and Environment Foundation Research Grant (KWEF) Jepun, Geran dari UNU (United Nations University), IERC (International Environment Foundation Research Center) Korea Joint Programme on Science & Technology for  Sustainability 2008-2009; geran Sciencefund  daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Beliau juga mempelopori kumpulan penyelidik mengenai sumber air dari perspektif alam sekitar di pulau-pulau kecil di Malaysia yang dipanggil SIRG (Small Islands Research Group).

Wartawan kanan Utusan Borneo, ABD. NADDIN HJ. SHAIDDIN bersama MOHD. NURAZWAN AUGUSTINE (wartawan pelatih UMS) sempat menemubual PROF. DR. MOHD. HARUN ABDULLAH  pada satu petang yang cerah di Tingkat 6, Bangunan Canselori UMS.

UB:       Tahniah Prof kerana dilantik sebagai Naib Canselor UMS yang keempat. Sebelum ini, pernah terfikir jadi pimpinan di Universiti misalnya jadi Naib Canselor?

NC:       Terima kasih. Sebenarnya saya tidak  pernah terfikir untuk menjadi  pemimpin di universiti, apatahlagi menjadi naib canselor. Mana  ada kaunseling ketika itu, yang memberi nasihat atau membimbing kita untuk memilih kerjaya. Kita belajar saja. Ikut kawan. Masa Tingkatan Lima, salah seorang kawan Salleh Kabul mengajak saya memohon untuk menjadi tentera udara-Air Force.

Ketika itu, tidak ramai pelajar Melayu dalam aliran Sains, mungkin hanya 20 peratus saja, 80 peratus lagi pelajar Cina. Dulu memang tertanam dalam mentaliti masa itu aliran sains sesuatu yang sukar.. Masa itu, selepas lulus LCE, pelajar diberi pilihan sama ada mahu masuk aliran sastera atau sains. Jadi orang takut. Minda orang bumiputera ketika itu takut aliran sains.  Apatah lagi dulu, mentaliti orang lain sikit. Bila nampak orang baca banyak buku sains, tebal-tebal, kawan ejek konon kata kita  berlagak dan sebagainya.

UB:       Rupanya Prof dulu bercita-cita jadi tentera udara ya?

NC:       Kalau saya jadi tentera udara, sekarang mungkin saya jadi pilot jet pejuang. Tetapi ketika tunggu keputusan itu, saya nampak beliau perempuan saya (ibu dalam bahasa Sabah) asyik menangis saja. Ikatan keluarga kami kuat, tidak pernah berpisah. Beliau hanya duduk di sudut, menangis kerana mendengar saya pergi ke Kuala Lumpur masuk tentera udara. Beliau lelaki (bapa) pula marah. Tetapi saya fikir masuk tingkatan enam pun oklah. Jalan hidup kita ini sudah ditentukan, hanya kita manusia, insan yang lemah ini yang tidak tahu.

UB:       Kira-kira apa yang dapat diteladani daripada ayah Prof?

NC:       Ayah saya suka membaca. Suka baca buku. Minat beliau terhadap buku itu, banyak mempengaruhi saya. Kebolehan tulis menulis inipun adalah  pengaruh daripada beliau.

UB:       Mungkin ada pengalaman Prof sewaktu mula masuk universiti dulu, yang boleh dikongsikan kepada pembaca.

NC:       Dulu sebelum ada universiti di Sabah, sukar masuk IPT. Saya ingat sewaktu masuk UPM dulu, arwah Pakcik Atin turut menghantar saya di lapangan terbang. Kasi duit. Bagi saya itulah pertama kali saya berjauhan dengan keluarga. Setibanya di Serdang, sewaktu mendaftar di satu dewan besar, saya tengok semua orang sama saja. Saya hampir tak dapat membezakannya. Yang wanitanya bertudung. Itulah pertama kali saya melihat begitu ramai orang bertudung. Ketika itu di Sabah, masih belum lagi ramai yang bertudung. Itu antara kesan saya sewaktu mula-mula belajar di KL.

UB:       Sewaktu sekolah dulu, siapa cikgu yang paling Prof gemari?

NC:       Bukan gemari, sebaliknya yang paling mengesankan saya. Saya ingat Mrs George. Orangnya tinggi. Memakai sari. Dia guru yang saya paling hormat. Guru matematik. Agak tegas, malah kalau pelajar berselisih jalan, kalau kita Nampak kita menghindar kerana takut. Tapi dia ajar matematik sehingga semua muridnya faham. Dia mahu muridnya dapat yang terbaik. Tanyalah murid di Sabah College ketika itu. Pasti mereka ingat.

UB:       Siapa antara rakan sekolah Prof?

NC:       Ramai. Antaranya Kamil Jamaludin, Roslina Mohd Sharif, Chu Soon Taw, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee, Salleh Kabul dan ramai lagi.

UB:       Sebelum masuk dalam bidang akademik, bukankah Prof pernah bekerja di Kementerian Pelancongan dan  Alam Sekitar? Bagaimana pula Prof boleh tertarik dalam bidang akademik?

NC:       Selama tujuh tahun bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Alam Sekitar di Kementerian Pelancongan & Alam Sekitar Sabah dari tahun 1987-1993. Saya memikirkan sesuatu yang boleh meningkatkan lagi pencapaian. Kalau dulu, setiap tahun ada SKT dan sebagainya. Jadi akhirnya saya menyambung pelajaran di peringkat Sarjana di UKM Kampus Sabah pada tahun 1992. Ketika belajar itulah saya ditanya, mengapa tidak sertai kami. Maksudnya berkhidmat di Universiti. Selepas itu saya meletakkan jawatan di kementerian pada 1993 dan bertugas sebagai tutor sambil menyiapkan ijazah master saya.

UB:       Ketika UKM pindah ke KL, Prof ikut pindah juga?

NC:       Saya tidak ikut. Ketika itu saya sudah dilantik menjadi Pensyarah di Fakulti Sains Sumber Alam UKM Kampus Sabah. Arwah Prof Dr Arbain minta saya jaga kampus “Harun, jangan dulu pindah, jaga kampus Sabah” begitulah kira-kira yang dikatakan arwah Prof Arbain kerana masih banyak khazanah UKM yang masih terdapat di kampus itu. Ketika itu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru dibuka.

UB:       Bila Prof masuk UMS?

NC:       Apabila Kampus UKM di Sabah ditutup, pada tahun 1996, saya berpindah ke Sekolah Sains dan Teknologi (SST) UMS. Ketika itu, kampus UMS masih meminjam bangunan KKYS. Program SST itu dijalankan di Kampus di Jalan Tuaran. Saya menjadi pensyarah pada tahun 1997-2001. Kemudian pada tahun 2003, saya dilantik Profesor Madya dan pada tahun 2007, dilantik pula sebagai Profesor.

UB:       Barangkali Prof boleh beritahu apa antara perancangan Prof setelah dilantik sebagai Naib Canselor?

NC:       Jika boleh kita mahu menerapkan elemen alam sekitar dalam pembangunan Universiti. Banyak yang kita boleh buat untuk melestarikan alam, yang akan kita akan usahakan dalam tempoh tiga tahun saya menjadi naib canselor.

Kita juga mahu sumber manusia  yang kita miliki dapat dimanfaatkan secara lebih bersistem.Kita juga mahu mengembangkan dan meningkatkan potensi sumber manusia yang kita ada. Selain dari itu, kita juga mahu memperkukuh elemen keharmonian. Kita mahu semua harmoni. Kita tak boleh maju ke depan kalau tak harmoni. Sebab itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengilhamkan Konsep 1Malaysia. Antara tujuannya ialah supaya kita bersatu, supaya kita sama-sama, supaya kita berkerjasama, dan membetulkan salah faham.

Saya menekankan bahawa kita mesti bekerjasama sebagai satu pasukan. Perumpamaanya sama seperti kalau kita berkayak. Kita mesti berkayuh bersama-sama. Sama serentak ke satu arah destinasi. Kalau satu mengayuh ke arah yang lain atau tak serentak, kayak tidak dapat bergerak laju, malah kadang-kadang berpusing-pusing. Oleh sebab itu kita mesti mengayuh sama-sama.Itulah yang kita harapkan.

Kita mahu staff memiliki rasa `sense of belonging’, memiliki rasa kepunyaan terhadap universiti. Dengan adanya rasa kepunyaan, barulah terbina rasa kepedulian, rasa keprihatinan terhadap usaha kita membangun, memelihara citra universiti.

UB:       Apa bidang yang akan diberi tumpuan oleh Prof sebagai Naib Canselor?

NC:       Kita juga akan memperkuatkan bidang penyelidikan yang telah kita pelopori sebelum ini. Kita juga akan fokuskan penyelidikan berdasarkan sumber alam yang kita miliki. Negeri Sabah dikelilingi laut, satu-satunya negeri yang mempunyai pantai yang terpanjang di negara ini.

Di samping itu, kita juga akan menjadi peneraju dalam bidang penyelidikan akuakultur. Sebagaimana yang kita tahu, rumpai laut kita mempunyai kualiti yang tinggi, yang sudah pasti memiliki nilai komersil yang tinggi. Selain itu kita akan menjadi peneraju bidang penyelidikan kelapa sawit. Sabah adalah penyumbang atau pengeluar kelapa sawit terbesar di Malaysia. UMS berperanan dalam memajukan bidang kajian dalam bidang kelapa sawit.

Kita juga mahu UMS menjadi peneraju dalam bidang penyelidikan minyak dan gas. Inilah antara hasrat kita. Kini UMS memiliki pusat kecemerlangan penyelidikan antaranya Institut Penyelidikan Biologi Tropika dan Pemuliharaan, Intitut Penyelidikan Marin Borneo dan Institut Penyelidikan Bioteknologi. Kita mahu membangunkan potensi bidang-bidang ini. Kita beri penekanan terhadap penyelidikan bersifat inovasi, pengkomersilan dan sebagainya. Ini tidak bermakna kita tidak memberi penekanan kepada bidang yang lain. Bidang-bidang lain juga turut diberi perhatian selaras dengan hasrat kita menjadi UMS sebagai pusat kecemerlangan ilmu.

UB:       Bagaimana pula dengan pengantarabangsaan UMS?

NC:       Kita akan bekerja kuat ke arah pengantarabangsaan UMS.Kini ramai pelajar dari China,Korea,Jepun, dari Indonesia, Iran, Bangladesh malah dari serata dunia belajar di UMS. Ini menunjukkan UMS salah satu universiti yang terkemuka dan mendapat pengiktirafan dari kalangan antarabangsa.

UB:       Selain itu, apa perancangan dan visi Prof?

NC:       Semua ini saya akan nyatakan dengan jelas dalam ucapan Amanat Naib Canselor yang akan disampaikan pada Isnin (hari ini 25 Jun).

UB:       Oh ya. Tentu tugas baru akan menyita banyak perhatian dan masa Prof. Biasanya jika ada masa terluang, apa hobi Prof, kalau boleh tahu?

NC:       Saya jenis orang yang `family type’. Biasanya saya suka membawa keluarga jalan-jalan. Setiap hujung minggu saya suka berjogging. Senaman baik untuk menjaga kesihatan.

UB:       Mungkin ramai yang ingin tahu, apa motto hidup atau falsafah hidup Prof sehingga mampu mencapai tahap seperti sekarang?

NC:       Sentiasa memperbaiki diri. Hari ini lebih  baik daripada kelmarin. Esok lebih baik daripada hari ini. Itu yang banyak mendorong saya. Saya sentiasa cuba memperbaiki diri.

UB:       Boleh tahu apa jenis buku yang suka Prof baca?

NC:       Waktu muda-muda dulu saya suka baca buku agama, falsafah, novel terutamanya novel-novel Buya Hamka. Beliau seorang ulama, ilmuan,ahli falsafah, penulis, dan sebagainya. Buku-bukunya seperti Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Falsafah Hidup dan sebagainya. Itu sebenarnya yang banyak membentuk fikiran saya. Saya meminati buku Hamka sampai sekarang.Bahkan ketika Di Bawah Lindungan Kaabah difilemkan, bila menontonnya menitis air mata saya.

UB:       Masih ada masa baca novel?

NC:      Sekarang saya baca jurnal, ilmiah. Banyak masa saya gunakan untuk memerika kerja kerja kursus, disertasi dan tesis pelajar. Lebih banyak baca jurnal sekarang, dah tak banyak masa seperti dulu.

UB:       Akhir sekali, apa pesan Prof ?

NC:       Sepanjang tiga tahun menunaikan amanah sebagai Naib Canselor, kita mahu memberikan tumpuan sepenuhnya ke arah memperkasa, menambah baik dan mempertingkan kecemerlangan universiti. Semua orang  ada peranan, tak ada yang lebih mulia daripada yang lain. Orang yang mulia adalah orang yang buat kerja dengan bersungguh-sungguh. Setiap orang ada peranan dan tanggungjawab masing-masing yang sama pentingnya. Kita buat kerja bersungguh-sungguh dan ikhlas. Semua harus saling lengkap melengkapi.

%d bloggers like this: