p6120330

Dato’ Sheikh Hj Md Nor Mansur al-Hafiz bersama YAB MB Dato’ Seri Md Nizar Jamaluddin dalam satu majlis keraian bersama  Ahli Lajnah Tashih al-Quran Malaysia di Perak pada Jun tahun lalu di Ipoh.

Baru dapat tahu semalam, bahawa bekas Imam Besar Negeri Perak Dato’ Sheikh Hj Mohammad Nor Mansur al-Hafiz, 59 tahun, dilantik sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) yang baru menggantikan Dato’ Jamry Sury yang berpindah ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Perlantikan Dato’ Sheikh telah membuka satu lembaran baru dan sejarah gemilang apabila seorang al-Hafiz dan bekas imam besar diberi tanggungjawab memimpin jawatan bertaraf pengarah bermula 1 Januari 2009 lepas.

Dato’ Sheikh yang merupakan lulusan Universiti al-Azhar, Mesir juga adalah Pengerusi Lajnah Tashih al-Quran, Kementerian Dalam Negeri.

Dalam aktiviti kemasyarakatan, Dato’ Sheikh antara lain ialah Pengerusi Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Cawangan Perak. Dikhabarkan, PUM Negeri Perak yang dipimpin Dato’ Sheikh adalah yang paling aktif berbanding PUM cawangan negeri-negeri lain.

Pemegang jawatan Pengarah JAIP juga adalah merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Perak.

Dalam senarai nama ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Perak, antara lain golongan agamawan yang berada di dalamnya ialah Dato Hj Md Salleh Hj Ahmad (Timbalan YDP PUM), Dato’ Dr Siddiq Fadzil (Rektor Kolej Darul Hikmah), Prof Datuk Dr Yusuf Hussain (Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan / Mantan Mufti Wilayah) dan beberapa nama lain. Kesemuanya ada 23 ahli.

Ia dipimpin oleh DYTM Raja Dr Nazrin Shah, Raja Muda Perak selaku Yang diPertua Majlis. 

Teringat petikan ucapan YAB MB (kalau tidak salah) bahawa kalau pengarah JKR seorang jurutera, kalau pengarah jabatan kesihatan seorang doktor, bukankah sepatutnya pengarah jabatan agama adalah seorang ustaz?

Doa kami selaku ahli Lajnah Tashih al-Quran KDN mengucapkan selamat maju jaya kepada Dato’ Sheikh. Inilah dia orangnya!