Archive for Oktober, 2008


JAMUAN RAYA CONCERN

Sekembali dari Kundasang, tengahari Isnin kami selajur ke Dewan Perdana Maktab Sabah di Sembulan, hadir pada masa kecederaan jamuan raya anjuran Majlis Gabungan NGOs Islam Sabah (CONCERN).

Majlis itu bermula seawal jam 9 pagi dengan beberapa penjelasan isu-isu semasa.

Antara yang terawal hadir ialah Tuan Pengarah JAKIM, Ust Abd Aziz Che Yakob dan semua pimpinan tertinggi CONCERN.

Tuan Hj Sainuri, Tuan Hj Khairan, Sdr Abd Manap Mahmud, Ust Bungsu Aziz, Sdr Abd Mohlis, Tuan Zakaria Ahmad, Abu Bakar Ongkosing dan ramai lagi.

Ramai tetamu undangan hadir termasuk wakil JHEAINS dan pegawai-pegawai kerajaan pelbagai peringkat.

Tidak kurang 300 orang hadir memeriahkan majlis yang berakhir pada jam 1.00 tengahari.

CONCERN rasa saya kena concern dengan sukarelawan nombor 1nya, iaitu Che’gu Jamil yang sangat bekerja keras untuk memastikan semuanya beres dan lancar daripada awal sehingga selesai. 

Jangan sampai dia terluka.

Bantu-bantulah dia.

Sama ada untuk peribadi saya, atau untuk keluarga kami, percutian ini sangat banyak manfaat.

Manfaat daripada sudut ukhuwwah Islamiyyah, pengisian sepanjang percutian seperti solat berjamaah, kuliah dan sebagainya, mahupun pengajaran-pengajaran yang berlaku secara tersirat di sepanjang perjalanan pergi dan balik.

Tidak lupa ketika merenung dan melihat keindahan bumi Kundasang,  juga kesegaran dan kedinginannya terutama pada waktu pagi sangat menyentuh perasaan.

Dengan nikmat yang tidak terhitung banyaknya, sangat wajar kuliah subuh itu Ust Azam menyentuh soal syukur dan puja puji kita kepada Allah SWT.

Walaupun hajat tidak terpenuh kerana tidak dapat melihat gunung Kinabalu jarak dekat kerana kabus tebal mengelilinginya, tidak mengapalah.

Sebenarnya, bagi saya keinginan melihat keindahan gunung Kinabalu tidak pernah pudar.

Baik dari jauh bahkan dari Kota Kinabalu, dari udara dan dari dekat, mata sentiasa seronok melihat keperkasaan gunung kebanggaan ini.

Walaubagaimana sekalipun keperkasaan gunung itu, ia tetap makhluk Allah.

Segagahnya pun, ia pasti jatuh rebah jika Allah menurunkan al-Quran ini ke pangkuannya, kerana takutkan Allah.

Allah jadikan gunung menjadi pasak bumi.

Bukan untuk bumi saja, bahkan menjadi tamsilan kepada manusia agar berfikir, gunung yang gagah pun tersungkur takutkan Allah.

Kita pula bagaimana?

Jam 5 petang, masing-masing berkemas untuk kembali ke tempat penginapan. Semua keluarga dibenarkan untuk acara bebas, sama ada hendak terus pulang atau hendak singgah ke mana-mana.

Isteri saya mengingatkan agar singgah ke Pekan Ranau membeli ubat gamat untuk sapuan anak kecil yang kebetulan habis sebelum berangkat bercuti.

Sampai ke bilik, anak-anak hendak mandi sekali lagi.

Sedang 3 orang mandi ditemani oleh isteri saya, tiba-tiba hero saya yang seorang itu meraung kuat.

Rupanya, dia memusing sendiri pemegang air pancut itu sehingga air panas memancut laju menyimbah kepala dan belakang badannya.

Isteri saya segera menyapu ubat gamat yang baru saja dibeli setengah jam tadi.

Saya teringat, Allah SWT rupanya telah gerakkan isteri saya awalnya tadi agar membeli ubat itu, tanda kasihNya kepada kami.

Belakang tubuh anak saya sedikit melecur kemerahan. Aduhai anak lelaki!

Simpang masuk ke sini hanya beberapa minit selepas simpang ke Sabah Tea, dan di sampingnya pula terletaknya Masjid Amal yang menjadi mercu tanda perjuangan Yayasan Amal Malaysia di Sabah.

Di simpang ‘Tagal’ Sg Moroli, setiap dewasa membayar RM5 sebelum dibenarkan masuk.

Tenang dan sejuk mata melihat air sungai yang sangat jernih, sehingga kelihatan ikan-ikan berenang di dalamnya.

Bahkan ikan-ikan itu nampak ‘manja’, apabila berani mendatangi orang-orang yang berada hampir dengan ikan-ikan tersebut.

Ikan-ikan itu mengucup tangan dan kaki dengan mulut mereka.

Sambil-sambil mengambil gambar, anak-anak mula menarik tangan saya minta izin hendak mandi.

Sedang mandi, payah pula hendak berhenti walaupun mulut dan bibir sudah kelihatan menggigil.

Sambil sebahagian anak-anak dipimpin mandi, sebahagian lain pula sibuk membelah durian, asyik merasmi dan mencuba.

Manis rasanya.

“Meh sini sebiji, saya rasmikan sebiji..”

Lepas sebiji, sebiji lagi.

Entah adakah anak-anak yang asyik mandi dan berendam di sungai itu ada diingatkan durian di darat. 🙂

Seronok juga melihat beberapa orang memperlihatkan kebolehan mengopek durian.

Almaklum, orang kampung juga asalnya.

Tapi kalau kepakaran makan durian, lagi ramai. :))

Sementara yang lain asyik merasa, Hjh Zuraidah bersama kroni-kroninya sibuk mengacau nasi pulut durian dengan sentuhan tangannya sendiri.

Sedap, kata yang merasa. Saya tak sempat pun.

Sekitar jam 2 petang, kami semua bertolak pula ke Kg Luanti, sebuah perkampungan betul-betul di tepi jalan utama ke Sandakan.

Perjalanan sejam itu yang dipimpin oleh Ust Mad sebenarnya hendak ke Sungai Moroli untuk memberi ruang kepada anak-anak untuk bermandi-manda dan bergembira bersama ahli keluarga.

Sebelum masuk ke kawasan penempatan sungai, bersama Ust Mad, Ust Zul, Hj Razali dan abang Piee, kami singgah sebentar memborong durian yang dijual di tepi-tepi jalan kampung ini untuk ‘dikerjakan’ semasa berkelah.

Lebih RM300 dihabiskan hasil daripada duit yang dikutip dari semua ahli keluarga untuk membeli durian.

Menurut maklumat yang disampaikan oleh para penjual di situ, jualan kali ini bukannya hasil durian mereka sendiri, tetapi adalah durian yang dihasilkan dari kampung-kampung berdekatan.

Sambil itu, mereka menjemput lagi untuk datang sekitar hujung Febuari atau awal Mac kerana durian dari kampung mereka dijangka akan mula dijual.

Ketika itu kata mereka, bolehlah mereka menjual lebih murah lagi berbanding sekarang.

Selain durian, terdapat juga buah rambutan dan petai yang dijual sama.

Saya dan beberapa yang lain sempat membeli juga durian dan yang lain sebagai buah tangan masing-masing untuk dibawa balik apabila kembali keesokan harinya.

Beberapa minit berada di bilik penginapan masing-masing, kesemua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai kesemuanya, menikmati juadah tengahari.

Sebagaimana yang telah dipesan beberapa hari sebelum berangkat, setiap keluarga dikehendaki membawa juadah tengahari masing-masing dan dikumpul untuk dinikmati bersama setiba di Zen Resort ini.

Seronok melihat semua ahli keluarga duduk santai bersama-sama, membentang tikar dan suratkhabar, duduk bersila, sambil melihat telatah anak-anak kecil merengek meminta itu dan ini.

Bak kata abang Jamil, payah nak memilih menu kerana pilihan yang terlalu banyak.

Syukur alhamdulillah atas nikmat rezeki makanan yang begitu banyak.

Tidak lupa nikmat menghirup udara segar kundasang yang sangat nyaman dan menyegarkan.

Resort ini lokasinya tidak jauh dari Pekan Kundasang.

Jika saudara berada di laluan utama di Kundasang, sebelum bertemu simpang menuju ke Masjid Jamek Pekan Kundasang dan Hotel Perkasa, kita akan bertemu terlebih dahulu satu simpang di kanan yang menunjukkan arah ke resort ini.

Bergerak perlahan dengan kenderaan tidak sampai 5 minit, kita akan bertemu dengan gerbang dan tanda nama resort ini.

Selesai makan, solat jamaah zuhur + asar didirikan dipimpin oleh Ust Nor Azamuddin.

Selepas ini, kesemua rombongan akan bertolak ke Sungai Moroli Kg Luanti untuk menikmati durian dan mandi-manda di sana pula.

Ahad lepas, saya sekeluarga menyertai rombongan 18 keluarga dengan jumlah 15 kenderaan sebahagian besarnya berkonvoi ke Kundasang menghabiskan masa sehari semalam di Kundasang dan Ranau.

Program ini adalah anjuran JK Surau Riyadhus Solihin, Taman Austral yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Ust Mohammad Shuaid yang menjadi penggerak utama bersama SU Hj Omar Tompang.

Perjalanan bermula hampir jam 10 pagi dengan taklimat keselamatan dan adab berkonvoi disampaikan oleh abang Jamil Dan di premis Pusat Pendidikan an-Nur dihadiri oleh semua ketua keluarga.

Beberapa etika dimaklumkan antaranya tidak dibenarkan memotong kenderaan sesama sendiri, kelajuan tidak melebihi 90km, dan setiap pemandu mengenalpasti kenderaan sahabat di hadapan dan di belakangnya bagi memastikan tidak ketinggalan terlalu jauh.

Setelah doa dirafa’kan, perjalanan 2 jam dimulakan dengan abang Piee memimpin kenderaan di hadapan, Ust Mizan di tengah  dan abang Jamil mengawal di belakang 11 kenderaan.

Manakala beberapa kenderaan lain ada yang terpaksa bergerak lebih awal atau lambat sedikit atas urusan yang pelbagai.

Secara umumnya, perjalanan diiringi dengan hujan renyai-renyai di sepanjang laluan 100km itu.

Alhamdulillah, kesemua 18 keluarga selamat  tiba di tempat penginapan Zen Resort Garden, Kundasang hampir jam 12 tengahari dan semuanya mendapatkan kunci bilik untuk meletakkan barang dan rehat seketika…

(bersambung)

 

CERITA MB PERAK DI PAKISTAN

Saya teruja membaca cerita dan melihat gambar-gambar MB Perak Dato’ Seri Md Nizar Jamaluddin ketika berada di Lahore Pakistan sempena Ijtima’ Am Jamaat Islami 24-26 Okt lalu.

Dato’ Seri Nizar diberi penghormatan menyampaikan ucapan di hadapan lebih 500 ribu hadirin yang membanjiri padang yang luas.

Maklumat lanjut boleh dibaca di dua blog berikut :

1) Blog Datin Seri Fatimah Taat (Isteri MB) : http://datinserifatimah.blogspot.com/

2) Blog Ust Misbahul Munir Masduki (SetPol MB) : http://misabah.blogspot.com/ 

SAHABAT SAYA BERSABARLAH

Beritanya sudah dimaklumi ramai. Datin Fatimah Wanchi, isteri pertama Dato’ Suhaili Abd Rahman (Mantan Wakil Rakyat Labuan) kembali kerahmatullah pagi tadi.

Beliau meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

Saya dihubungi sendiri oleh sahabat karib saya, Syahirul Fazly, 29 tahun yang juga anak sulung Dato’ Suhaili.

Fazly menelofon saya menyampaikan khabar duka itu hampir jam 4 petang, setelah ibunya menderita koma selama 10 bulan.

Fazly adalah sahabat pertama dalam kelas ketika saya berpindah ke SK Pekan 2, WP Labuan dalam darjah 4.

Walaupun zaman itu sudah hampir 20 tahun berlalu, hubungan persahabatan saya dengan Fazly kekal erat terjalin dan sesekali kami berhubung melalui SMS dan telefon.

Saya hanya mampu mengucapkan takziah dan berharap mereka sekeluarga bersabar atas kehilangan ibu yang dikasihi. Mudah-mudahan hidupnya diakhiri dengan kesudahan yang baik. Al-Fatihah.

DAKWAH KEPADA BUKAN ISLAM

Sabtu lepas, saya mempunyai jadual mengajar di Teratak Fitrah, sebuah kelas pengajian untuk saudara kita yang kini premisnya terletak di Madrasah Masjid Negeri di dalam kawasan SMAI Toh Puan Hjh Rahmah.

Sementara menanti waktu mengajar pada jam 11 pagi, saya sempat menemubual seorang muallafah bernama Nur Hana Syakirah Tan @ Camela Tan, 29 tahun.

Berasal dari Kota Marudu, dahulunya beragama buddha dan telah menganut Islam pada April lalu.

Dalam temuramah itu, ada dua kesimpulan menurut pandangan saya yang dipersetujui oleh Nur Hana yang menjadi asbab kepada keislamannya.

Pertama, aspek pembacaan dan kedua akhlak orang Islam.

Fahamlah kita, kalau dua perkara ini diteliti dan diambil berat, orang bukan Islam lebih mudah untuk tertarik seterusnya memeluk Islam.

Ertinya, bahan-bahan bacaan sama ada ringan atau berat memperlihatkan keindahan Islam sewajarnya hendaklah ditonjolkan.

Ia memang sudah banyak di pasaran, tetapi mahukah yang bukan Islam hendak ke pustaka Islam untuk mendapatkannya?

Pada pandangan saya, masyarakat kita yang banyak bercampur gaul dalam kehidupan seharian perlu lebih aktif dalam hal ini.

Contohnya, memberi hadiah buku-buku tentang Islam kepada rakan sepejabat, jiran tetangga dan kenalan lainnya.

Berkenaan akhlak, saya teringat pesanan saudara Lim Jooi Soon dalam satu kursus awal tahun ini. Katanya, kepada bukan Islam, kita hendaklah beri mereka makumat asas bahawa bukan semua umat Islam berakhlak dengan akhlak Islam.

Jadi, kita sudah memberi kata kunci awal kepada bukan Islam. Yang mesti dicontohi ialah yang muslim yang berakhlak mulia, bukannya muslim pada nama dan keturunannya sahaja.

Jika kita perhati pada zaman Nabi SAW, kebanyakkannya mereka memeluk Islam setelah melihat akhlak mulia Rasulullah SAW.

Kepada Nur Hana, saya mengucapkan selamat kembali kepada fitrah Islam. Insya Allah saudari akan lebih tenang dan bahagia bersama Islam.

Jika ada sebarang masalah dan cabaran, itu adalah ujian Allah terhadap hambaNya. Jika kita bersabar dengan ujianNya, dapat pahala. Jika kita bersyukur dengan pemberianNya, juga berpahala.