Archive for Januari, 2015


Tarikh : 25 Januari 2015

Lokasi : Kg Sembulan Kota Kinabalu

Maahad Darul Hadis Cawangan Sabah mula beroperasi seminggu dua ini. Nampak sambutannya agak bagus, sama ada permintaan pelajar, sumbangan orang ramai dan sebagainya. Kehadiran pelajar-pelajar sulung di Kg Sembulan ini juga menarik perhatian pimpinan kampung.

Justeru satu pertemuan ukhuwah sambil berkenalan dilakukan antara pihak MDH dan JKKK di rumah Tuan Haji Ambo. Kenduri kecil-kecilan dan doa selamat dirafa’kan agar semuanya berjalan lancar. Nampaknya pihak ketua kampung dan seluruh JKKK serta AJK Masjid Sembulan mengalu-alukan kehadiran mereka dan berharap menjadi sinar yang baik untuk kampung ini khususnya.

Kenduri Hj Ambo (1) Kenduri Hj Ambo (2) Kenduri Hj Ambo (3)

Tarikh : 25 Januari 2015

Lokasi : Darussyifa’ Lok Kawi

Majlis Zikir Darussyifa' Sabah Jan15 (1) Majlis Zikir Darussyifa' Sabah Jan15 (2) Majlis Zikir Darussyifa' Sabah Jan15 (3) Majlis Zikir Darussyifa' Sabah Jan15 (4) Majlis Zikir Darussyifa' Sabah Jan15 (5) Majlis Zikir Darussyifa' Sabah Jan15 (6) Majlis Zikir Darussyifa' Sabah Jan15 (7)Majlis Zikir Darussyifa' Sabah Jan15 (8) Majlis Zikir Darussyifa' Sabah Jan15 (9)

Tarikh : 24 Januari 2015

Lokasi : Hospital Queen Elizabeth II

Menemankan anak-anak muda berhati mulia ini menziarahi pesakit di Hospital Queen Elizabeth II. Menurut mereka, aktiviti ini akan diupayakan agar berjalan setiap bulan.

ARC Putatan @ QEH2 (1) ARC Putatan @ QEH2 (2) ARC Putatan @ QEH2 (3) ARC Putatan @ QEH2 (4) ARC Putatan @ QEH2 (5) ARC Putatan @ QEH2 (6) ARC Putatan @ QEH2 (7)

Tarikh : 16 Januari 2015

Lokasi : Restoran Maimunah, Kinarut

Aktiviti tidak selalu, sesekali bersama para perawat aktif di Darussyifa’ Lok Kawi, kami melepaskan lelah dan penat dengan menjamu selera di restoran berhampiran. Menu yang menjadi pilihan ialah tandoori. Lama menunggu tetapi apabila tiba, tetap menyelerakan.

Perawat DS Lok Kawi (1) Perawat DS Lok Kawi (2)

Tarikh : 21 Januari 2015

Lokasi : Pusat Pendidikan Islam an-Nur Taman Austral Kepayan

KTHM M84 (1) KTHM M84 (2) KTHM M84 (3)

Tarikh : 19 Januari 2015

Lokasi : Taman Ujana Kingfisher

Malam ni ahli usrah menyambung bacaan buku ‘Bahtera Penyelamat’ tulisan Shaikh Fathi Yakan.

Usrah Spagetti (1) Usrah Spagetti (2)

Sumber : http://www.m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/33501-bolehkah-zakat-isteri-bayar-hutang-suami

HAMIZUL ABDUL HAMID | 27 Januari 2015.

Saya seorang isteri yang berkerjaya dan punya pendapatan saya agak besar. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perniagaan suami saya merudum dan beliau menanggung rugi. Akibatnya, beliau hampir diisytiharkan muflis.

Setelah berbincang, saya mahu membantu beliau menyelesaikan masalah hutang piutang dengan cara menggunakan wang zakat saya yang dibayar in-advance. Maksudnya, saya akan mengira jumlah zakat saya buat beberapa tahun ke hadapan dan saya akan menjelaskannya lebih awal kepada suami saya. Soalan saya, adakah syarak mengizinkan perbuatan ini?

Terima kasih kerana mahu bertanya sebelum melaksanakan keputusan perbincangan tersebut. Suka dinyatakan, seorang suami memang boleh menerima zakat daripada isterinya, kerana suami bukanlah tanggungan wajib si isteri. Manakala, orang yang berhutang juga memang merupakan salah satu asnaf zakat, iaitu asnaf al-gharimin. Islam juga memberikan keizinan kepada pembayar zakat untuk menunaikan zakatnya lebih awal dari waktu haul zakatnya, yakni mendahului tempoh wajibnya.

Maka, jika kita melihat secara sepintas lalu, secara asasnya tindakan puan untuk menyerahkan keseluruhan zakat puan kepada suami puan, langsung tidak bercanggah dengan kehendak syarak. Benarkah begitu?

Sebelum kita pergi lebih lanjut, maka terlebih dahulu ada baiknya kita memahami dengan minda yang jernih tentang prinsip, matlamat dan roh zakat. Ini kerana, zakat adalah amalan ijtimai’e (kebajikan dan keadilan sosial) yang ruang lingkupnya amat luas.

Sungguhpun zahirnya kita tidak melanggar kehendak syarak, namun itu tidak bererti apa yang akan kita lakukan itu berbetulan dengan prinsip, matlamat dan roh zakat. Dr Yusuf al-Qaradawi telah pun membicarakan secara rinci perihal ini di dalam kitabnya Hukum Zakat, pada halaman 877-885 dengan tajuk ‘Tujuan zakat dan dampaknya dalam kehidupan masyarakat’.

Realitinya, prinsip, matlamat dan roh zakat amat jelas, iaitu menyantuni dan memenuhi keperluan umat Islam yang termasuk ke dalam kategori lapan asnaf zakat, iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibn sabil.

Maka, dalam hal ini, para fuqaha menyatakan secara jelas, seorang muzakki itu adalah tidak wajar hanya menyerahkan keseluruhan hartanya hanya kepada salah satu asnaf zakat sahaja. Tindakan ini secara langsung telah menidakkan hak asnaf atau mustahiq lain yang juga berhak ke atas harta zakatnya.

Sebagai rujukan, pada pandangan Imam Syafie sendiri, zakat yang hendak diagihkan itu mestilah dibahagikan kepada setiap golongan yang telah disebutkan (kecuali asnaf amil), dan seandainya kesemua golongan asnaf itu ada, maka zakat itu wajib diserahkan kepada semua asnaf dan tidak boleh dikecualikan walaupun satu golongan. Cuma sebahagian fuqaha telah memberikan kelonggaran dengan tidak mewajibkan kesamarataan dalam pengagihan zakat.

Bahkan pada sisi Syafie, seseorang yang mahu mengagihkan sendiri zakatnya, maka mereka mestilah memberikannya kepada sekurang-kurangnya tiga orang daripada setiap golongan asnaf, sekiranya bilangan asnaf itu terlalu ramai.

Maknanya, asnaf fakir tiga orang, miskin tiga orang, mualaf tiga orang dan begitulah seterusnya sehingga memenuhi semua tujuh asnaf (di sini asnaf amil tidak dimasukkan sebagai penerima, kerana ia diagihkan sendiri oleh pemilik harta zakat) (Rujuk Hukum Zakat, hal. 664).

Di samping itu, memang ada juga dalam kalangan ulama fikah lain yang membolehkan ia diserahkan walaupun hanya kepada satu golongan. Namun dalam hal ini, Imam Malik pula menegaskan: “(hendaklah) diserahkan (zakat itu) kepada yang paling memerlukan.” (Rujuk Fiqhul Manhaji al-Shafie, Jilid 1, hal. 466 – 467).

Apa yang dapat difahami di sini ialah, para fuqaha telah meletakkan keutamaan agar pengagihan zakat itu hendaklah berpandukan kepada pertunjuk ayat 60 dalam surah at-Taubah, iaitu mestilah diutamakan golongan fakir, miskin dan mualaf sebelum gharimin (orang berhutang).

Maka, apabila seseorang itu memberikan zakatnya tanpa merujuk kepada hierarki keutamaan asnaf, sudah pasti berlaku ‘ketempangan’ di sini. Ia juga telah mencanggahi pandangan yang dikeluarkan oleh Imam as-Syafie sendiri.

Dalam pada itu, sungguh pun fuqaha menyatakan, adalah harus bagi seseorang muzakki itu untuk mendahulukan haul zakatnya; namun fuqaha juga menyatakan, ia hendaklah dengan syarat bahawa orang yang bakal menerima zakatnya itu, berkekalan dia sebagai mustahiq zakat sehinggalah tempoh yang sepatutnya.

Misalnya, jika puan mengeluarkan zakat bagi suami puan dari tahun 2010 sehingga tahun 2015, maka adakah puan pasti sehingga tahun 2015 itu, suami puan masih lagi seorang asnaf zakat? Ini kerana, dalam perkiraan zakat, ia masih mengambil kira haul sebenar ketika mana zakat itu sepatutnya dikeluarkan. Seandainya ketika itu penerima sudah terkeluar dari kelompok mustahiq zakat, maka pemberian itu bukan lagi dianggap sebagai zakat (rujuk Fiqhul Manhaji al-Shafie, Jilid 1, hal. 458).

Maka, dalam mempertimbangkan pelbagai sudut agar zakat yang dikeluarkan itu benar-benar mencapai matlamat dan menepati rohnya, maka sayugianya dicadangkan agar puan tidak memberikan keseluruhan zakat puan itu hanya kepada satu sasaran sahaja.

Ini kerana, ia bukan sahaja akan menidakkan hak yang sepatutnya turut dimiliki oleh asnaf lain; bahkan dikhuatiri pertimbangan itu lebih kerana atas kepentingan peribadi dan individu.

Sebaik-baiknya, hendaklah puan membahagikan zakat itu kepada tiga bahagian dan menyerahkan dua bahagian kepada institusi zakat agar ia dapat dilestarikan kepada asnaf zakat yang lain dan hanya sepertiga yang puan serahkan kepada suami puan atas asnaf gharimin.

Ini kerana mengambil kira suami puan adalah orang yang rapat dengan puan, dan Islam juga menuntut agar seseorang itu mengambil kira faktor kekerabatan ini dalam memberikan sedekahnya. Manakala jumlah sepertiga, kerana ia adalah jumlah minimal yang sesuai dan tidak dilihat berlebih-lebihan serta tidak pula terlalu kecil bagi menampung keperluan suami puan. Misalnya, jika zakat puan adalah RM1 juta, maka 1/3 adalah RM333 ribu.

Ingin saya nukilkan di sini sedikit cuplikan dari kitab Hukum Zakat, susunan al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Qaradawi, iaitu: “Sesungguhnya keperluan (agihan zakat) itu adalah berbeza antara satu sama lain (dalam kalangan asnaf zakat). Yang penting adalah, kalaupun kelebihan itu ada, maka hendaknya (ia diberikan) berdasarkan sebab yang benar dan demi kemaslahatan, bukan berdasarkan hawa nafsu dan keinginan tertentu, dan dengan tidak merugikan sasaran (asnaf) atau peribadi yang lain.” (Hukum Zakat, hal. 671). Wallahua’lam. – http://www.hamizul.com/

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/33512-meluruskan-tugas-kenegaraan-pimpinan-dan-ahli-parlimen-pas

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | 28 Januari 2015.

1. PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang melibatkan diri dalam demokrasi dan menyertai pilihan raya sebagai wadah membangunkan hadharah Islamiyyah (ketamadunan Islam) di negara ini menjadikan politik Islam sebagai panduan dalam menentukan sikap dan pendirian serta dalam menyusun program dan aktivitinya bagi mendepani pelbagai cabaran semasa dan bagi mencapai matlamat penubuhannya.

2. Tujuan penglibatan dan penyertaan ini adalah untuk menegakkan agama dan merealisasikan perhambaan kepada Allah s.w.t., menegakkan keadilan, serta memperbaiki keadaan manusia. Natijah daripada yang demikian itu, keburukan dan kebobrokan akan hilang, kebaikan akan tersebar luas dan perangai manusia menjadi elok dan sangat bermanfaat untuk orang lain. Demikianlah Islam menjadi rahmat untuk sekalian alam dan memberikan hak kepada semua.

3. Matlamat ini tidak hanya dibatasi oleh gerak kerja kepolitikan untuk mendapatkan kekuasaan semata-mata. Sebaliknya ia bertujuan untuk memperjuangkan di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah. Sama ada dengan atau tanpa kekuasaan, matlamat ini tidak harus sama sekali dikebelakangkan. Keghairahan terhadap kekuasaan semata-mata tanpa bermatlamatkan Islam hanyalah kegemaran orang yang bercita-citakan keduniaan.

4. Politik Islam atau siyasah syar’iyyah yang dimaksudkan itu adalah sebuah keterangkuman ilmu dan kemahiran yang terkandung di dalamnya disiplin, prinsip dan pelaksanaan yang bertepatan dan selari dengan teks al-Quran, as-Sunnah, Qiyas, Ijmak dan kaedah-kaedah syarak serta dasar-dasar amnya bagi menjaga urusan umat manusia.

5. Islam yang menjadi anutan diri, dasar parti dan risalah dakwah ini mestilah disampaikan kepada seluruh manusia lain dalam prinsip dan bentuknya yang sebenar yang bersifat dengan kesyumulan (komprehensif) yang mengandungi ibadah, munakahat, muamalat dan jinayah, bukannya Islam yang terpisah antara agama dan negara, dakwah dan siyasah.

6. Ia mestilah diperjelas secara terang kepada kumpulan sasar sehingga mereka mengetahui, memahami dan meyakini bahawa Islam benar-benar berupaya membela dan memimpin hidup mereka. Sekiranya diberikan hidayah dan taufiq oleh Allah s.w.t. kepada mereka setelah kita bersungguh mendakwahkan mereka, tidak mustahil akhirnya mereka menerima Islam sebagai agama dan wadah perjuangan mereka. Demikianlah jika Allah mahu menganugerahkan kemenangan kepada perjuangan Islam.

7. Kata-kata Rib’ie bin Amir ketika berhadapan dengan Rustom pimpinan tentera Rom boleh menjadi panduan iaitu;

الله ابتعثنا لنخرج من شاء ….من جور الأديان إلى عدل الإسلام

” Allah mengutuskan kami untuk kami keluarkan siapa yang Dia kehendaki …. daripada kezaliman pelbagai isme dan anutan kepercayaan kepada keadilan Islam”.

8. Tidak sewajarnya mengatasnamakan hikmah dalam berdakwah dan kebijaksanaan dalam berpolitik sehingga menenggelamkan nilai-nilai kesyumulan Islam dan mengundang salah faham serta kekeliruan dalam kalangan kumpulan sasar yang majmuk. Ketegasan pada prinsip bukan bermakna menafikan toleransi atau tidak meraikan realiti, tetapi ia adalah sebuah sifat mulia yang mesti dimiliki oleh setiap orang Islam yang beriman.

9. Menjalankan dan meneruskan kegiatan politik sehingga mengakibatkan maruah agama dan bangsa yang beragama Islam yang menjadi majoriti dan teras negara terkorban tidak akan dapat memberikan sebarang manfaat kepada agama, masyarakat dan negara bahkan boleh pula merosakkan struktur sosial masyarakat Islam.

10. Pimpinan dan Ahli-ahli Parlimen PAS khususnya serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri sangat perlu berwaspada dalam menjalankan tugas-tugas kenegaraan agar tidak tergelincir daripada dasar dan akhlak Islam. Penyertaan dalam memberi pendapat terhadap isu-isu semasa haruslah mengambil kira pelbagai aspek termasuklah keselarian dengan dasar dan tujuan serta ketepatan dengan perlembagaan parti; panduan oleh Majlis Syura Ulamak yang diberi kuasa memimpin dan menjelaskan dasar Islam yang dipegang oleh parti dan pendirian Presiden PAS sebagai Ketua Parti yang Wajib (bukannya Sunat atau Harus) diberikan hak ketaatan menurut Islam; dan latar belakang serta implikasi jangka panjang isu tersebut terhadap kepentingan perjuangan parti dan pelbagai aspek lain.

11. Pendirian dan sikap Ahli-ahli Parlimen PAS terhadap sesuatu isu itu mestilah tidak saling bercanggah antara satu sama lain atau dengan Presiden PAS sendiri sehingga boleh merosakkan kepentingan penyertaan dan penglibatannya dalam arena politik negara. Perbezaan yang boleh dan perlu wujud hanyalah yang bersifat kepelbagaian (diversity) bukannya yang bersifat percanggahan (conflict).

Disediakan oleh:

YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
(Ketua Penerangan DUPP/Ahli Parlimen Kuala Nerus)
Tarikh: 28 Januari 2014/7 Rabiul Akhir 1436H

Sumber : http://www.m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/33490-mencari-lelaki-dayus-di-sebalik-rancangan-hiburan

USTAZ ZAINUDIN HASHIM | 27 Januari 2015.

ISLAM tidak sama sekali tidak mengharam atau menghalang manusia untuk berhibur, kerana ia adalah keperluan bagi menenangkan jiwa atau fikiran yang berserabut dengan tugasan harian atau bagi meredakan tekanan akibat terlalu banyak menunaikan tanggungjawab pada diri dan keluarga.

Suami ada tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak dan sebaliknya isteri juga ada tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak, perkara yang boleh menghilangkan seketika tentang kepayahan melaksanakan tanggungjawab masing-masing, begitulah setiap insan di dunia ini akan mengalami keadaan yang serupa.

Maka hiburan adalah ubat atau penawar terbaik bagi mereda, menghilang serta menyisihkan keserabutan ketika menjalankan tanggungjawab, tetapi hiburan itu tidak sama antara seorang individu dengan individu yang lain, kaedah berkesan bagi generasi terawal di kalangan para sahabat dan tabiin menghilang stress atau apapun namanya, ialah dengan membaca atau menghafaz al-Quran.

Ini kerana bagi mereka al-Quran adalah penawar, penghibur, penghilang rasa duka, kecewa, penat, stress dan sebagainya, ia menunjukkan bahawa generasi awal melihat al-Quran sahajalah satu-satunya ubat berkesan untuk tujuan tersebut.

Tetapi ia tidak kepada segenap generasi hari ini, mungkin terdapat di kalangan muslim hari ini yang menjejaki amalan orang-orang yang terdahulu daripada, itu pun yang sentiasa menghubungkan diri dengan program-program masjid atau surau, yang mengikuti panduan dan motivasi penceramah yang mengingatkan mereka untuk berbuat demikian.

Akan tetapi bagi yang tidak menghubungkan diri dengan rumah-rumah Allah, mereka tidak nampak dan tidak ada dalam minda mereka penawar duka ialah al-Quran, tetapi mereka memilih dengan hiburan yang tidak sama sekali mencerminkan kebaikan sama ada untuk agama atau diri mereka sendiri.

Maka bagi penghibur atau selebriti, mereka memilih hiburan yang tidak mencerminkan ciri-ciri tamadun yang telah digaris panduan oleh al-Quran mahupun Sunnah Nabi Muhammad s.a.w., maka muncullah program-program realiti yang kononnya sifatnya menghiburkan penonton, sama ada di rumah ataupun di studio, apa pun ia sedikit pun tidak mencerminkan cara berfikir para peserta dengan ajaran Islam.

Sebagai contoh, pasangan suami isteri yang pernah terlibat dalam rancangan malam ‘Sehati berdansa’ satu ketika dahulu yang menampilkan pasangan suami isteri menari di hadapan khalayak ramai tanpa memakai tudung kepala atau pakaian yang jelas menutup aurat dengan sempurna.

Dalam sesi latihan tangan isteri selebriti tertentu dipegang oleh pakar jurutari lelaki bagi menunjukkan cara yang betul kononnya tarian yang sempurna mengikut rentak muzik, dengan pendedahan aurat dan menampakkan rupa bentuk badan, apakah mereka tidak merasakan bahawa tindakan itu sebahagian daripada ajaran Rasulullah s.a.w.?

Tidakkah sang suami merasakan bahawa tangan isteri dipegang oleh lelaki yang bukan mahramnya, dada dan tubuhnya dilihat oleh mereka yang tidak dibenarkan itu satu kesalahan yang disifatkan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai suami yang dayus?

Sesungguhnya orang-orang yang dayus tidak mendapat tempat di sisi Allah dan Rasul- Nya pada hari kiamat, tidakkah mereka merasa takut akan diheret dan diseret di hadapan mahkamah Allah pada hari di mana segenap manusia sedang menunggu giliran untuk diperhitungkan amalan-amalan mereka? Justeru, marilah kita sama-sama melihat dengan pandangan makrifat ketegasan sabda Nabi Muhammad s.a.w. seperti di bawah ini dengan kedudukan hadis yang sahih: Hadis pertama: Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, wanita yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS” (Riwayat Ahmad & An- Nasaie: Albani mengesahkannya sahih: Ghayatul Maram, no 278).

Hadis kedua: Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga: orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya” (Riwayat Ahmad).

Malah banyak lagi hadis-hadis yang membawa makna yang hampir dengan dua hadis ini.

Secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki dayus. Dayus telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadis yang lain iaitu Sabda Nabi: Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah s.a.w. berkata: ” Tiga golongan yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak” lalu sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS? berkata nabi: Iaitu orang yang tidak memperdulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya) – Riwayat At-Tabrani; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat.

Dari hadis di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki DAYUS adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.

Pernah juga diriwayatkan dalam hadis lain, soalan yang sama dari sahabat tentang siapakah dayus, lalu jawab Nabi maksudnya : Apakah dayus itu wahai Rasulullah ?. Jawab Nabi : Iaitu seseorang (lelaki) yang membiarkan kejahatan (zina, buka aurat, bergaul bebas ) dilakukan oleh ahlinya (isteri dan keluarganya).

Terbaharu, keghairahan anak-anak gadis Melayu bertudung kepala, menaiki pentas yang sarat dengan artisartis K-pop lelaki berpelukan, bercumbuan bagaikan pasangan suami-isteri, apakah para suami ataupun ayah tidak sensitif dengan perlakuan tersebut, apakah agenda tersirat di sebalik kehadiran artisartis K-pop, apakah kehadiran mereka secara sukarela seperti mana sukarelawan yang membantu mangsa-mangsa banjir?

Kita yakin dan percaya, bahawa kehadiran mereka itu bukan satu kebetulan, malah khusus ditaja oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda tersirat, oleh sebab itu, kerajaan memang sentiasa berdalih dalam melaksanakan undang-undang syariah Islam kerana mahu mengekalkan program-program seumpama itu, siapakah dalang di sebalik semua itu? Siapa yang makan cili dialah yang merasa pedasnya.

Keghairahan golongan Liberalisme sejak akhir-akhir ini semakin ketara dengan agenda tersembunyi yang menyinggung kesucian Islam, dari penganjuran ‘I want to touch the dog’ sampaikan kepada K-pop baru-baru ini memperlihatkan kerajaan tiada sensitiviti, ia hasil dari bawa masuk gadisgadis K-pop pada majlis belia kebangsaan 2012 di Putrajaya yang dihadiri oleh perdana menteri ketika itu.

Walau bagaimanapun, kita bersyukur kepada Allah SWT, banyak pihak tampil memberi komentar terhadap penganjuran program K-pop itu, ia memperlihatkan masih terdapat dalam kalangan ummah ini rasa terkilan dan sensitif, namun kita masih menunggu sikap PM, TPM, kementerian dan agensi rasmi di bawah kerajaan seperti JAKIM atau jabatan-jabatan agama Islam negeri tampil untuk menyatakan apakah sebenarnya yang telah berlaku dalam program K-pop tersebut.

Sekurang-kurangnya kita mahu tahu siapa yang bawa masuk, berapa bayaran diperuntukkan kepada artisartis K-pop tersebut pada waktu kebanyakan warga kita menghadapi bencana banjir yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan, apakah ia satu program belia yang terancang dengan peruntukan khas? Rakyat marhaen seperti kita menunggu jawapan dari pihak-pihak yang telah disebutkan.

Apa pun jika diri kita masingmasing mahukan pertolongan dan bantuan Rasulullah s.a.w. pada hari kiamat, tiada jalan lain yang lebih mujarab melainkan kita akur dan menerima segala apa yang disampaikan oleh baginda Rasulullah s.a.w., kerana ketundukan kita kepada arahan baginda adalah juga menunjukkan kita tunduk kepada arahan Allah SWT seperti man yang ditegaskan-Nya menerusi ayat 80 surah an-Nisa’ yang bermaksud: “Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita Wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).”

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/33488-maaf-saya-mohon-untuk-menyokong-tuan-guru-presiden-pas

NASRUDIN HASSAN | 27 Januari 2015.

1. Islam menggariskan kriteria khusus untuk melantik pemimpin, namun tidak menetapkan secara tetap kaedah pelantikannya. Kita tidak perlukan pilihanraya kerajaan tempatan sebaliknya pihak berkuasa negeri boleh memainkan peranan bijak dan pintar untuk melantik individu-individu yang kompeten dan berintegriti bagi mengurus tadbir hal ehwal masyarakat setempat.

2. Kerajaan negeri boleh memanfaatkan peruntukan undang-undang semasa dan proses konsultansi bersama masyarakat untuk memilih pihak berkuasa tempatan. Paling utama ialah penyampaian khidmat kepada masyarakat dapat dilakukan dengan lebih efisyen dan efektif tanpa terlalu banyak berpolitik.

3. Kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat selayaknya menunjukkan praktis terbaik pihak berkuasa tempatan. Dari aspek pemilihan, koordinasi, kerjasama dan tadbir urus yang baik antara kedua-dua pihak. Jika ini dapat dipenuhi, maka ruang memanipulasi sistem pilihanraya untuk kepentingan sempit pihak tertentu dapat dielakkan.

4. Politik bukan sekadar demokrasi dan demokrasi bukan hanya berpilihan raya. Politik adalah mekanisme bagi memastikan negara ditadbir dengan adil untuk mencapai kemaslahatan agama dan rakyat.

5. Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, perpaduan dan keharmonian rakyat perlu diutamakan. Apatah lagi, dalam situasi sekarang, gerakan rasis sering dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, kebimbangan Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS serta faktor sejarah juga perlu diambil perhatian.

6. Saya meneliti pandangan Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS menerusi artikel asal beliau berkait isu ini yang bertajuk: “Pembangunan Bandar Bermasyarakat Madani”, saya rumuskan seperti berikut:

a] Beliau menyeru supaya masyarakat majmuk dalam negara ini dijalin dengan baik termasuk Melayu, India, Orang Asal, Cina dan komposisi kaum lain justeru petualang negara hanya mencari peluang untuk meniup api perkauman.

b] Beliau tidak mahu sebuah kemenangan politik dan pemilikan kuasa ekonomi oleh satu pihak, pula menjarakkan jurang masyarakat desa dan bandar. Justeru ia menafikan keadilan sosial serta mencacatkan keharmonian dan kedamaian bermasyarakat.

c] Beliau tegas menolak faham perkauman dan memberi peringatan agar tidak bermain di sempadan api perkauman. Kebimbangan yang dicetuskan adalah supaya ketegangan hasil elemen perkauman itu tidak berlaku. Beliau bukan menuduh atau mensabitkan sesiapa dengan label perkauman. Peristiwa 13 Mei disebut sebagai satu kebimbangan agar ia tidak berulang dek kerana wujudnya ketidakseimbangan dan bara api perkauman ini boleh dihidupkan pada bila-bila masa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

d] Bermula dengan membawa falsafah pembinaan tamadun Ibnu Khaldun, beliau menyentuh soal pembangunan manusia, bandar dan pentadbirannya dengan peranan federal, sosio ekonomi dan komposisi kaum secara luas dan saksama. Saya melihat pandangan yang dibawa oleh beliau sangat halus, tinggi dan menyeluruh. Tidak terperangkap dalam jalur fikir yang sempit.

Maka tidak selayaknya Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS diseret dalam kancah politik sempit dan tidak matang dengan hanya beliau mengemukakan kebimbangan agar tidak berulang tragedi malang negara itu.

7. Saya melihat penumpuan utama yang perlu difokuskan adalah penyelarasan serta peningkatan kualiti di antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Contohnya apabila wujud pertindanan dasar dan peranan untuk membangun kawasan-kawasan tertentu, maka proses perundingan mesti dilakukan secara bersama dan saling menghormati. Ia adalah mekanisme terbaik bagi memastikan pembangunan seimbang dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

8. Musibah banjir telah mengajar kita bahawa kepentingan rakyat mesti diutamakan. Rakyat telah memilih wakilnya di peringkat negeri dan persekutuan supaya mereka dapat memberikan khidmat yang terbaik. Tanpa mengira fahaman politik, ras dan agama, seluruh rakyat berganding bahu, saling membantu dalam tujuan yang satu. Saya amat mengharapkan agar efisiensi di peringkat kerajaan tempatan dapat dipertingkatkan, dan agenda politik keterlaluan dapat dihapuskan.

Sekian, terima kasih.

AJK PAS Pusat|Ahli Parlimen Temerloh
26 Januari 2015|4 Rabi’ul Akhir 1436

%d bloggers like this: