Archive for September, 2008


DENGAN INGATAN TULUS IKHLAS

Masjid Jamek Layang-Layangan, WP Labuan.

Masjid ini letaknya betul-betul strategik.

Ia berada di simpang empat, tidak jauh dari tepi pantai. Berdekatan dengan deretan kedai-kedai, taman perumahan dan rumah-rumah kampung.

Sebenarnya, setiap kali hari raya semenjak 2-3 tahun kebelakangan ini, saya seringkali menunaikan solat zuhur atau asar di sini, bertepatan apabila sedang berhari raya dan masuk waktu sembahyang pula. 

Reka bentuk masjid ini serupa reka bentuknya dengan 2 lagi masjid yang saya pernah ziarahi. Kata orang sebiji.

Pertamanya masjid ini, kedua Masjid Telekom Malaysia di Menggatal, KK dan Masjid Sahabat yang terletak di sempadan Sabah & Sarawak.

Masjid Sahabat ini pula benar-benar terbahagi dua. Separuh Sabah dan separuh lagi Sarawak.

Di Masjid Jamek Layang-Layangan yang menjadi destinasi tarawih terakhir bagi 1429 ini, saya diminta menyampaikan tazkirah sebelum tarawih bermula, sementara menanti keputusan rasmi cerapan anak bulan Syawal.

Sebagaimana di Masjid al-Muzakkirullah, saya juga menumpukan tentang sambutan Eidul Fitri.

Masjid Jamek Layang-Layangan ini sememangnya aktif dengan pelbagai program dakwah. Masjid ini terkenal dengan ceramah dan tazkirah harian, mingguan atau yang tidak berkala.

Pada setiap tengahari Jumaat, sebelum azan Jumaat jam 12.10 tengahari diadakan tazkirah. Begitu juga pada malam sabtu tazkirah selepas solat Isyak.

Mereka juga mengadakan kuliah-kuliah selepas maghrib.

Saya menangguhkan tazkirah ringkas kerana signal sudah masuk, menandakan tarawih disambung semalam lagi.

Menjelang subuh tadi, saya diminta kembali untuk menyambung tazkirah yang belum selesai.

Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh JK Masjid, imam dan jamaah yang mengimarahkan masjid ini, khususnya buat Hj Basran, Hj Hamir selaku Timbalan Pengerusi dan S/U Masjid dan lain-lainnya.

 Terima kasih atas undangan.

Masjid al-Muzakkirullah, Kg Lubok Temiang WP Labuan

Ini adalah masjid di kampung saya.

Ia siap sekitar tahun 1990 kalau tidak salah dan dirasmikan oleh YB Dato’ Dr Yusuf Noor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ketika itu saya dalam darjah 5 tau 6.

Masjid ini boleh memuatkan 500 jamaah.

Pada awal pembinaannya, bangunan 2 tingkat ini memuatkan masjid di aras atas dan sekolah agama di aras bawah.

Oleh kerana sekolah agama sudah berpindah ke bangunan baru yang lebih besar dan luas, ruang di kawasan bawah masih lagi kosong dan belum dimanfaatkan secara maksima.

Saya ada mencadangkan agar salah satu bilik kelasnya dijadikan kedai gunting rambut.

Masjid boleh mendapat duit sewa daripadanya.

Saya dahulunya bersekolah agama di sini dan pertama kali berkhutbah di masjid ini pada 1995 ketika dalam tingkatan empat.

Malam itu diadakan majlis khatam al-Quran selepas solat tarawih.

Ia dipimpin oleh imam qaryah,  Tuan Imam Awang bin Kamis.

Majlis Khatam al-Quran ini melibatkan lebih 50 peserta terdiri daripada remaja dan belia, beliawanis kampung ini.

Yang menariknya, program tadarrus ini dipantau dan diambil kehadiran oleh JK Masjid.

Peserta yang menghadiri tadarrus kurang 7 hari dikira gagal dan tidak mendapat penghargaan pihak JK Masjid.

Selepas tadarrus, saya mengambil giliran menyampaikan ceramah.

Ceramah saya malam itu berkaitan tadarrus dan khatam al-Quran, kemudian huraian kepada sambutan eidul fitri berdasarkan ‘risalah eidul fitri’ yang saya ada kirimkan dalam blog ini.

Sebelum jamuan makan malam, para peserta tadarrus mendapat cenderamata daripada pihak JK Masjid.

Tidak ketinggalan semua ahli jawatankuasa masjid serta para petugas masjid yang berkhidmat sepanjang Ramadhan.

Semua cenderamata dan saguhati disampaikan oleh Ketua Kampung – Hj Alias Hussin dan Pengerusi JK Masjid – Hj Othman Mahali.

Bagi membantu keselesaan saudara-saudari yang hendak ke Labuan dari tanah besar Sabah atau sebaliknya, saya catatkan jadual perjalanan tambahan sempena hari raya ini.

Secara asasnya, perjalanan Labuan ke Menumbok ialah pada jam 7.30 pagi dan 1.30 petang setiap hari, manakala dari Menumbok ke Labuan ialah pada jam 10.30 pagi dan 4.30 petang.

Jadual tambahan adalah seperti berikut selepas hari raya :

Labuan ke Menumbok jam 7 malam setiap hari 3hb – 8hb Oktober.  Manakala Menumbok ke Labuan jam 9.00 malam setiap hari yang sama 3hb-8hb Oktober.

Walaubagaimanapun, perjalanan 3hb dan 8hb pada 9 malam tidak membawa penumpang kerana khas untuk membawa gas-gas sahaja.

Untuk maklumat lanjut, saudara boleh membaca artikel berkaitan melalui pautan di bawah :

Artikel berkaitan – https://abunuha.wordpress.com/2008/08/19/laluan-darat-ke-labuan/

Sepanjang Ramadhan kali ini, saya ‘berjaya’ tidak ke mana-mana bazar Ramadhan, kecuali ini.

Khabarnya, 28hb itu adalah hari terakhir bazar dibuka di Jalan Dewan, berdekatan dengan bangunan Perbadanan Labuan dan Perpustakaan Labuan.

Saya menyedari kalau pergi ke bazar, sekurang-kurang RM10 sudah terbang.

Kalau setiap hari, habis RM300 selama sebulan.

Itupun kalau sekali bazar, sepuluh ringgit. Biasanya lebih.

Sebenarnya, kalau ikut hati memang banyak hendak dibeli.

Tekak merasa itu sedap, ini sedap. Semua sedap.

Tapi apabila berbuka, seteguk dua gelas air sudah mengenyangkan perut.

Saya sekadar hendak menggembirakan orang tua yang ada di kampung. 

Juga buat anak sulung kami yang berumur 5 tahun kerana dapat menghabiskan 16 hari buat pertama kali berpuasa tahun ini.

Juadah istimewa yang kami beli ialah ayam golek dijual RM18 seekor dan kebab berharga RM3.00 satu.

Tahun ini giliran kampung saya.

Di terminal Menumbok, feri baru tiba jam 9.40 pagi.

Penumpang begitu ramai masuk ke tanah besar Sabah. Masing-masing kembali ke kampung halaman untuk bercuti dan berhari raya.

Kami sekeluarga bersama pembantu rumah selamat tiba di rumah sekitar jam 12.30 tengahari, setelah feri Wawasan Perdana mendarat di Pelabuhan Labuan pada jam 12.10 tengahari seperti yang dijadualkan.

Ketika kereta beratur menuruni feri, saya ternampak kelibat seorang personaliti terkenal negara sedang memandu kereta di sebelah.

Rupanya lagenda bola sepak negara, Hassan Sani turut sekapal.

Perjalanan 140km sehingga ke rumah hanya kami habiskan di dalam kereta, tidak keluar naik ke dalam feri kerana rasa mengantuk yang amat sangat. Sejam setengah di dalam feri tidak terasa.

Insya Allah, saya akan mencuba update blog ini walaupun mungkin tidak sekerap biasa. Maklumlah aktiviti berziarah terutama kepada sanak keluarga perlu lebih diutamakan berbanding hanya terpacak di hadapan komputer.

Dalam kita bergembira, marilah kita mengingatkan sesama diri kita agar bersederhana dalam berhari raya ini. Amalkanlah akhlak yang mulia dalam semua keadaan.

Jangan biarkan anak-anak kita hanya terperap di dalam bilik atau sekadar di hadapan tv daripada melayan tetamu yang berkunjung tiba. Selamat berhari raya.

TAKBIR HARI RAYA

Banyak sangat permintaan untuk mendapatkan lafaz takbir hari raya ini, saya catatkan kembali secara khusus dan untuk edaran semua.


اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ. لآ إِلهَ إِلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ. اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحْمَدُ

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ. اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكَْرَةً وَأَصِيلا

لآ إِلَهَ إِلا اللهُ وَلا نَعْـبٌدُ إلا إِيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَو كَرِهَ الْكَافِرُونَ

لآ إِلَهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ، وَهَزَمَ الأَحْزَاب وَحْدَهُ

لآ إِلَهَ إِلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ. اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ

 

SALAM EIDUL FITRI

Pada kesempatan ini, saya dan keluarga ingin mengucapkan selamat hari raya, maaf zahir batin kepada semua pembaca blog Abu Nuha Corner yang banyak memberi sokongan kepada saya dalam melayari dunia blog – satu lagi medan dakwah yang sangat luas ini.

Saya juga berharap semua amal tarbiyyah yang kita lalui sepanjang Ramadhan ini akan kita teruskan selepas daripada ini nanti, dan menjadikan kita hamba Allah yang lebih baik pada masa hadapan.

Secara khusus saya tujukan ucapan doa serta selamat hari raya aidil fitri, maaf zahir & batin ini khusus buat mereka (sama ada mereka membacanya atau tidak) :

1. Semua warga Istana Negeri, Kota Kinabalu atas tunjuk ajar, persahabatan dan kerjasama erat terutama Tuan Setiausaha Sulit Kepada TYT – Hj Abd Gapar Madin, Juruiring TYT – Hj Abd Latif Ibrahim dan Timbalan SUS – Pak Ibrahim Md Asry serta yang lain; menjunjung kasih khusus buat Tuan Yang Terutama Tun Hj Ahmadshah Abdullah dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Hjh Masuyah Ag Japar;

2. Semua warga Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), terutama Pengarah Hj Amri Suratman, dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Informasi (BPI), Ust Musally Moksin dan khusus buat semua staf BPI – Ust Najion, Ust Jumain, Hj Sotimin, Hj Hassan, Ust Abdillah, Abang Jefry, Hadanan, Ahmad Yasin, Abang Jamiun, Junoh, Khanipah, Maslylah, Anita, Kak Habibah;

3. Ahli Jawatankuasa Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Cawangan Sabah yang semakin subur dibawah pimpinan Ust Hj Muchlish Ali Kasim dan Ust Bungsu Aziz Jaafar;

4. Semua ahli NGO’s Islam yang bergabung dalam Majlis Gabungan NGO’s Islam Sabah (CONCERN) – WADAH, ABIM, JIM, YAYASAN AMAL, SAHABAT, PERTIWISA, PUM, Puteri Islam, KECAPI, PSS, Peguam Muslim, dan lain-lain;

5. Semua jamaah masjid atau surau di mana saya menyampaikan kuliah mingguan, yang bersabar dengan ‘leteran’ dan karenah saya iaitu Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil, Masjid Negeri, Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru, Surau an-Nur Taman Olivia Kepayan dan Surau an-Nur Taman Limauan Kinarut;

6. Para guru yang mencurahkan ilmu dan pengalaman hidup khususnya Mantan Pengetua (kini SS Mufti Negeri) Datuk Hj Ahmad Alawi Hj Adnan dan semua guru di SMAI Toh Puan Hjh Rahmah 1992-1997; Datuk Hj Asmali Bachi serta semua pensyarah di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah 1995-1999;

7. Para ulama dan pendakwah yang cintakan ilmu dan kebenaran, menjadi rujukan kami, khusus buat Ust Hj Muchlish Ali Kasim, Ust Hj Md Iyen Atim, Ust Hj Mursal Muchtar, Ust Hj Abu Hurairah Abd Rahman, Datuk Hj Mokhtar Rapok, Datuk Hj Ismail Abbas, Datuk Ahmad Osman, dan ramai lagi..

8. Sahabat-sahabat seperjuangan dalam meninggikan kalimah Allah tanpa takut dan gentar, khusus buat Ayahanda Hj Mohammad Abdullah (Tawau), Tuan Hj Hamzah Abdullah (Sandakan), Cikgu Md Annuar Ali (KK) serta semua pemimpin, pejuang, ahli, guru-guru PASTI, pendukung serta penyokong harakah Islamiyyah – Parti Islam SeMalaysia di mana saja berada;

9. Sahabat-sahabat seusrah iaitu Abu Aslam, Abu Asyraf, Abu Aiman, Hj Alimin Jasman, Che’gu Jamil (lagi sekali), Cikgu Roslan, Dr Ali, Misbah, Nasrullah, Nordin Saad, Rustam dan tidak lupa yang kami kasihi Ust Hj Abdullah Din (nun di Kedah);

10. Kumpulan Sahabat Bible yang sentiasa tabah dan tekun mendidik, meredah cabaran demi agama tercinta, khususnya Che’gu Jamil, Ust Md Khidir, Cikgu Nasirin, Cikgu Hashim dan Ust Amir Hamzah;

11. Guru-guru serta rakan-rakan lama sepersekolahan di SK Lubok Temiang 1986-1988, SUI Lubuk Temiang 1986-1988, SK Pekan 2 WP Labuan 1989-1991, SUI Membedai WP Labuan 1989-1991;

12. Rakan-rakan seluruh alumni SMAI TPHR khusus 1992-1999;

13. Rakan-rakan karib sepengajian mengenal dunia menghafaz al-Quran di MTQQ 1995-1999 antaranya, Rahim Yahya Abd Rahman, Hj Zamrul Md Aslie, Hj Yakob Jilun, Md Nadzri Hj Mustakim, Md Hafidz Ahmad, Razali Abd Rahman, Kamaronnizam Mat Isa, Abd Amir Arapa, Hj Ibrahim Kisab, Ag Ibnu Ag Tahir dan ramai lagi;

14. Rakan-rakan alumni seluruh negara di Maahad Qiraat al-Azhar, Shoubra Kaherah Mesir 2000-2003; sahabat alumni Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) 2000-2003; dan sahabat-sahabat Bait Muslim di Mansoura, Mesir 2002-2003 serta seluruh kenalan Azhariyyun 2000-2003;

15. Pelajar-pelajar saya semasa di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah 2002-2005;

16. Mereka yang belajar al-Quran dengan saya antaranya :
a. Cikgu Adiah, Cikgu Alhazmi (dan keluarga), Cikgu Bend – Jabatan Pelajaran;
b. Tuan Yunos, Hj Said, Hj Matni, Rusdi, Jamri, Rosli, Hassa, Yana, Metan, KK Abd Mumin, Mohammad, Jijah – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS)
c. Madiee Tuah & Musran Jabri – Jabatan Perkhidmatan Bomba Sabah
d. Ramai lagi yang telah dan sedang meneruskan kelas pengajian ini;

17. Pembaca blog ABU NUHA CORNER sama ada dikenali atau tidak, jauh dan dekat, yang setia melayari sama ada membaca artikel atau sekadar tengok gambar, serta memberikan ransangan dan pendapat – sama ada pro atau kontra;

18. Rakan-rakan baru dalam dunia blogger – sesungguhnya kerja kita semakin berat dan ruang dakwah semakin luas – Salman Md Amin, Ust Abidin Omar, Nadir Kamaruzzaman, Nordin Sakke, Ust Wan Zaidel, Khairul Yusri Mat Jusoh, Nabila Abdullah, Ust Kamaruddin Kassim (Kedah), Cikgu Zakaria Ali Hanapiah, Ust Zulwaqar dan lain-lain;

19. Semua ahli keluarga sebelah saya dan isteri, adik beradik, abang dan kakak ipar serta anak-anak buah yang semakin ramai dan membesar (juga mengembang);

Untuk kesemuanya, maaf dan ampunkan kesalahan saya, zahir dan batin.

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk mempertahankan Islam yang ada di dalam diri kita. Mudah-mudahan ini bukan Ramadhan yang terakhir untuk kita bersama.

Salam eidul fitri.

Hj Muhammad Akmal Othman, Dayang Suzziyana Bongsu, Nuha Wafiyyah, Hana Sumayyah, Abd Hadi & Lu’lu’ Badriyyah.

Surau Perumahan JKR, Putatan

Sebagai penutup perjalanan tarawih tahun ini di Kota Kinabalu, saya mengunjungi surau ini yang letaknya terperosok sedikit di kampung Sipanggil, Putatan.

Ia merupakan surau bagi kakitangan warga JKR yang mempunyai perumahan di sini.

Kehadiran sudah semakin susut, mungkin sudah mula kembali ke kampung masing-masing.

Ataupun sibuk bershopping malam-malam takhir sebelum berhari raya.

Tapi seronok melihat dalam keadaan begitu pun, mereka kelihatan bersemangat bertarawih.

Bukan tujuan untuk menunjuk-nunjuk. Tetapi sekadar berkongsi pengalaman atas kurniaan lebihan rezeki yang Allah kurniakan. Firman Allah : “Dan adapun nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau ceritakan”.

Kalau tahun lepas, malam yang sama, saya bersama Ust Awwaluddin isterinya Ustazah Hjh Maria, Ibrahim Yong, bro Johari yang kedua-duanya aktivis Teratak Fitrah / muallaf, kami berziarah dan menghulur sumbangan kepada 4 keluarga muallaf di Likas, Lobou dan Sepanggar yang hidup dalam kesusahan.

Tahun ini pula, saya bersama isteri dan anak sulung saya kami berziarah dan menghulurkan sumbangan kepada setiap rumah yang berada di lorong menuju ke rumah di Kg Meruntum.

Sumbangan kami berbentuk ayam mentah sama ada seekor atau setengah ekor.

Saya hanya beli dan bawa, manakala isteri dan anak saya yang menghantar ke setiap rumah yang dituju.

Isteri saya yang teraak-agak pada awalnya, kemudian merasa seronok dengan program yang saya cadangkan. Ada 12 rumah yang kami singgah pada jam 10 malam itu.

Anak saya yang berumur 5 tahun itu pula yang berani menjerit-jerit memberi salam kepada penghuni rumah dan menyampaikannya sendiri.

Saya mengajarnya supaya memberi salam dan memberitahu, sedekah Ramadhan.

Insya Allah tahun depan buat lagi.

%d bloggers like this: