Tag Archive: MTQQ Sabah


Banyak pembaikan yang perlu dilakukan lagi.

Demikian ulasan ringkas saya sehabis ‘Majlis Hafazan Peringkat Maahad Tahfiz Sabah’ pada khamis 8hb minggu lepas. Pembaikan yang saya maksudkan, ialah berkenaan kualiti hafazan para peserta. Mungkin mereka agak bagus apabila di dalam kelas pada waktu-waktu tasmik, tapi mungkin kurang mengadakan latih tubi  soal-jawab secara spontan yang perlu diperbanyakkan.

Jika anak-anak kami ini mahu menyedari dan mengambil pengajaran, maka selepas ini siri-siri i’adah atau mengulang mesti digandakan daripada apa yang sudah berlangsung. Kalau ingin berkata cukup seminggu sekali, sebenarnya sangat tidak memadai. Mengulangkaji hafazan masing-masing mesti dimaksimumkan secara bersungguh-sungguh.

Ini kali pertama saringan di peringkat Maahad diadakan bagi memilih wakil ke peringkat Negeri Sabah. Sepanjang tiga tahun sebelum ini Maahad Tahfiz Sabah terus diberi mandat untuk mengadakan majlis hafazan berstatus negeri walaupun kecil-kecilan dan pelajar maahad terus menyertai peringkat berkenaan tanpa ada saringan dalaman.

Selepas ini wakil-wakil yang dimaksudkan perlulah mengadakan latihan intensif untuk menghadapi majlis di peringkat negeri pula.

Alhamdulillah, gembira di hati dapat bertemu Prof Dr Arip Kasmo yang lebih selesa membahasakan dirinya sebagai cikgu. Sejak sahabat-sahabat seperti Cikgu Jamil Dayan, Ustaz Khaidir dan Ustaz Abdullah Din balik ke Semenanjung, sayalah antara orang yang dihubungi oleh Dr Arip jika beliau berhajat datang ke Sabah mengisi program-program beliau terutama yang berkaitan dengan ‘al-Quran dan Sains’.

Kami bermesyuarat bersama dengan sahabat-sahabat Ustaz Arbaen Shawal, Ustaz Amir Hamzah dan lain-lain menyusun letak lokasi ceramah beliau kali ini. Alhamdulillah, setakat ini program berjalan lancar, antaranya ceramah dhuha di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Kinabalu, tazkirah sebelum azan jumaat di Masjid Bandaraya, ceramah di Pejabat Maritim pada sebelah petang dan malamnya di surau Maahad Tahfiz di Kepayan.

Beliau ada menceritakan detik-detik pengislaman beberapa tokoh penting di Barat yang telah diberikan hidayah oleh Allah SWT. Antaranya ialah Yusuf Estes, Jamal Zaraboza, Rahim Green dan lain-lain. Sesungguhnya tiada sesiapa dapat menghalang apabila Allah SWT sudah menentukan kehendak-Nya. Justeru beliau mengharapkan umat Islam menjadi daie, penyebar kepada keindahan Islam melalui apa saja saluran.

Melalui pengalaman beliau menjelajah dan berceramah ke seluruh pelusuk negara, menerangkan tentang keindahan Islam dan al-Quran, ramai di kalangan audien terutama pelajar sekolah beragama Islam sendiri yang tidak mengetahui asas ajaran Islam dan keindahannya. Bahkan ada yang menganggap Islam itu sama sahaja dengan agama-agama yang lain. Tetapi apabila diterangkan melalui ceramah-ceramah seumpama yang beliau sampaikan, ada yang terkejut bahawa Islam yang dianggap sebahagian sebagai agama biasa itu adalah suatu nikmat yang tidak ternilai harganya.

Memang sebahagian orang mudah untuk menurut ajaran Islam mengikut apa yang diajarkan oleh para alim ulama’ tanpa banyak soal. Tetapi dari segi lain ada juga orang yang terlalu banyak menyoal dan melihat logik, munasabah, sains dan seumpamanya. Maka para pendakwah sendiri perlu mempelbagaikan strategi dan teknik untuk menarik minat manusia kepada Islam dan sayang kepadanya.

Turut diatur dalam program ziarah beliau ialah satu program wacana ilmu di audiotorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan bersama 400 guru agama sekitar Kota Kinabalu siang tadi (sabtu), ceramah di Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang pada malam ini dan kuliah subuh ahad di Masjid Bandaraya. Terima kasih atas kunjungan Prof Dr Arip Kasmo dan isteri ke Sabah. Sudi juga beliau bertandang ke Maahad Tahfiz walaupun di hadapan pelajar yang sedikit ini. Buku kedua beliau menjadi buah tangan, yang akan saya hadhamkan sedikit masa lagi.

Sumber foto : Mohd Rizu Abd Danan

Alhamdulillah, pasukan Maahad Tahfiz menyertai majlis perarakan dan perhimpunan Maulidur Rasul SAW peringkat Negeri Sabah tahun 1433 dari Padang Merdeka Kota Kinabalu menuju ke Perkarangan Masjid Negeri Sabah kira-kira 3km bersama hampir 10 ribu umat Islam yang lain.

Seingat saya, perhimpunan di perkarangan Masjid Negeri Sabah seperti tahun ini pernah diadakan kali terakhir pada 1998 ketika kami masih menuntut di Maahad Tahfiz yang ketika itu kelasnya beroperasi di Masjid Negeri Sabah. Perhimpunan diadakan di perkarangan utama sebelah hadapan (kalau menghadap qiblat, di sebelah kiri). Bagaimanapun pengisian dalam perhimpunan di perkarangan masjid ketika itu sedikit berbeza dengan sekarang.

Kalau dahulu, semua acara nasyid, ceramah dan ucapan diadakan di Padang Merdeka, sementara di perkarangan Masjid Negeri Sabah hanya diadakan sedikit persembahan solawat dan kemudian upacara penyampaian hadiah kepada tokoh atau pemenang pertandingan sepanduk dan perarakan. Saya mengingati Maahad Tahfiz pernah menjuarai pertandingan sepanduk (Amir Arapa adalah hero utamanya), dan hadiahnya diterima oleh Ybhg Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi ketika itu selaku pengetua. Saya masih menyimpan foto-foto kenangan perarakan dan perhimpunan ketika itu.

Berbalik kepada majlis tahun ini, rombongan MTQQNS diketuai sendiri oleh Puan Pengetua dan semua siswa siswi huffaz (yang memang sedikit pun) menyertai rombongan dengan keseluruhan penyertaan ialah seramai 99 kontinjen. Sebenarnya ia satu kenangan manis dan saya teringat kisah Tuan Haji Nicholas yang pernah menceritakan antara asbab beliau memeluk Islam ialah kerana mengenangkan dirinya pernah melihat perarakan umat Islam satu ketika dahulu yang menzahirkan kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW.

Tahniah kepada semua yang terlibat. Tapi kecintaan terhadap Baginda SAW tidak wajar hanya dihadkan pada 12 Rabiul Awwal sahaja.

MAJLIS RIDHA MU’ALLIM

Ada satu sesi di Maahad Tahfiz ini apabila saat-saat menjelang imtihan akan diadakan satu program ‘Ridha Mu’allim’ yang dikendalikan sendiri oleh para siswa-siswi al-Huffaz, tujuannya mencari keridhaan para pensyarah terhadap ilmu yang dicurahkan kepada mereka. Biasanya wakil siswa siswi, wakil pensyarah dan pengetua akan menyampaikan ucapan.

Di dewan maahad pada pagi jumaat, diadakan majlis berkenaan untuk sesi ini, kerana menjelang kurang sebulan daripada sekarang mereka akan menghadapi imtihan untuk semester 2, 4 dan 6. Bagi saya pula, ilmu adalah pinjaman Allah SWT, justeru kita semua adalah pemegang amanah sama ada menyampaikan atau menerima ilmu Allah SWT.

Sebahagian keberkatan ilmu itu hakikatnya ada pada adab kepada ilmu dan guru. Antara yang diajar oleh para alim ulama tentang adab ketika belajar sebagai antaranya membuang segala keistimewaan samada dari segi harta atau takhta yang masih tersemat dalam diri agar timbulnya perasaan hormat kepada guru dan bersedia untuk menerima ilmu dengan hati terbuka. Jika perasaan tinggi diri terus menguasai diri maka ilmu yang dicari tidak mampu diperolehi dengan sebaiknya kerana sentiasa diganggu oleh perasaan yang tidak suka ditegur, tidak mahu mendengar nasihat kerana sentiasa merasakan diri ini lebih daripada orang lain.

Pelajar juga tidak boleh berdendam kepada gurunya sehingga hilangnya perasaan hormat kepada guru yang banyak berjasa dalam mendidiknya. Sebarang kesalahan dan kesilapan guru mestilah dimaafkan kerana mungkin ia sebagai suatu ujian atau pengajaran berguna untuk kita jadikan pedoman apabila berada dalam alam yang lebih luas. Jangan banyak menceritakan keburukan yang ada pada guru kepada orang lain sehingga boleh menjatuhkan maruahnya. Tegurlah guru dengan cara yang sopan jika dia tersilap.

Kita pernah mendengar kisah bagaimana ada seorang Putera Mahkota seorang khalifah yang bakal menggantikan tempat ayahnya sebagai khalifah telah dibawa kepada seorang guru yang alim untuk belajar ilmu pengetahuan. Putera Mahkota ini merupakan seorang yang cerdik dan elok budi pekertinya. Pada suatu hari gurunya telah merotannya tanpa sebab tetapi beliau tidak terus bertanya kepada gurunya itu mengenai perkara tersebut.

Setelah beliau besar dan dilantik menjadi khalifah, dipanggilnya gurunya itu serta disoal tentang sebab beliau dirotan sedangkan beliau tidak membuat kesalahan. Dengan tegas gurunya menyatakan bahawa perbuatannya itu merupakan suatu pengajaran agar anak muridnya itu tidak menyakiti hati rakyat walaupun dengan perkara yang kecil setelah menjadi khalifah kerana doa orang yang dizalimi adalah doa yang maqbul.

Sebagaimana khalifah itu boleh mengingati tindakan gurunya itu maka begitulah juga dengan rakyat yang dizalimi akan mengingati kezaliman khalifah walaupun kecil. Mendengar penjelasan gurunya itu lalu khalifah itu mengucapkan terima kasih di atas segala tunjuk ajar yang telah diberi selama ini.

Jika kita perhatikan bahawa ulama’ silam begitu menitikberatkan masalah keberkatan ilmu, sedangkan kita hari ini tidak lagi mengendahkan perkara ini. Ini menyebabkan timbulnya pelbagai masalah terutama keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Guru janganlah dianggap sebagai guru di sekolah, universiti atau di tempat pengajian sahaja tetapi kita mestilah menganggap bahawa dia pengajar dan secara langsung sebagai pendidik yang mesti dihormati walaupun di mana berada.

Dalam majlis di dewan maahad pagi jumaat lepas, para siswa siswi yang telah menamatkan sukatan hafazan mengikut semester masing-masing menerima penghargaan daripada pihak pentadbiran maahad yang disampaikan oleh puan pengetua. Beberapa persembahan juga disampaikan oleh mereka menceriakan pagi jumaat kami. Buat mereka, saya ridha dengan sedikit ilmu yang dicurahkan. Ilmu yang ada hanyalah pinjaman Allah SWT.

HABUK SIMEN

Sedang saya berada di pejabat Maahad, rupanya di persekitaran Maahad Tahfiz berlaku satu ‘letupan’. (Saya tidak tahu hendak menamakan apa nama kejadian ini). Ia berlaku sekitar jam 5 petang isnin, ketika saya hendak mula keluar pulang. Rupanya di luar bangunan sudah penuh dengan habuk. Ia bukan habuk debu biasa, tapi habuk simen!

Sebenarnya maahad kami berjiran dengan sebuah kilang (?) simen, tegasnya bersebelahan. Suasana sejak pagi hingga petang sebenarnya bising dengan bunyian dari kilang berkenaan. Apabila bercerita tentang lokasi maahad ini, ramai menyangka dan menjangkakan ia terganggu dengan deruan kapal terbang yang turun naik kerana landasan berada di hadapan maahad, tetapi sebenarnya tidak.

Deruan bunyi di kilang bersebelahan ini lebih mengganggu telinga dan pendengaran hampir keseluruhan waktu siang. Tapi telinga-telinga siswa-siswi huffaz al-Quran di sini menjadi lali kerana suasana itu sudah berlaku setiap hari sejak maahad ini beroperasi di sini lagi. Selain daripada itu, sebenarnya lokasi maahad di Kepayan ini masih sesuai apatah lagi ada padang menghijau di sebelah lagi satu untuk para siswa mengisi masa petang dengan bermain bola.

Saya pernah diingatkan oleh Irwan, pemandu kami agar berhati-hati meletakkan kenderaan di kawasan Maahad kerana sesekali kilang berkenaan akan melepaskan ‘lahar’nya. Sesudah dua bulan setengah bertugas di sini, kejadian itu berlaku. Takdirnya, debu-debuan simen itu bertebangan ke arah maahad dan kereta saya berada dalam kedudukan yang paling dekat dengan kilang berkenaan. Saya berlari untuk memindahkan kereta dalam keadaan saya langsung tidak nampak apa-apa hadapan saya kecuali warna putih habuk saja.

Petang itu juga sesudah menjemput isteri dan anak-anak di sekolah, saya terus membawa ke premis cuci kereta ‘El Car Wash’ di Jalan Lintas. Nasihat Irwan, kena cepat ‘tembak’ dengan air sebelum simen melekat di kereta. Di persekitaran maahad, rumput hijau menjadi putih, bangunan dan cermin semuanya berhabuk. Baru saja sebelah paginya sebelum itu saya melihat makcik-makcik mengelap dan membersihkan kawasan sekitar. Kasihan mereka.

SEDEKAH YANG MENGALIR

Beberapa minggu sudah saya ada mempromosi kempen wakaf buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ tulisan Ybhg Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus terbitan Telaga Biru. Kempen wakaf saya lancarkan kepada teman-teman facebook saya untuk kegunaan siswa siswi Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat Negeri Sabah. Saya memanfaatkan buku ini dalam siri kuliah maghrib jumaat malam sabtu. Malam ini sudah kali keempat, alhamdulillah.

Apabila dilancarkan tempohari, kurang 48 jam saya sudah menerima sejumlah wang untuk 37 buah buku berkenaan. Terlebih sedikit berbanding jumlah siswa siswi hafiz dan hafizah yang sedang belajar ketika ini. Saya menutup sementara kempen wakaf buku ini sehingga pelajar sesi baru nanti pada bulan April 2012 Insya Allah. Sebelum ini saya sudah mengambil sebahagian buku di Pustaka Aslam dengan harga yang istimewa dan bakinya saya ambil petang tadi kerana stok buku baru sampai dari Kuala Lumpur.

Beberapa ketika selepas kempen wakaf saya tutup, ada seseorang menghubungi bertanya peluang hendak berwakaf buku lagi. Saya katakan buat masa ini sudah memadai, tetapi kalau beliau berhajat juga, saya hendak meminta yang lain sebagai ganti bahan waqaf. Setelah beliau bersetuju, saya nyatakan kami memerlukan rehal meja untuk warga maahad membaca al-Quran, meletak buku rujukan ketika kuliah maghrib dan sebagainya.

Pendeknya, beliau bersetuju dan berjanji untuk mengusahakan sesuatu. Saya hanya bayangkan kalau beliau dapat menyumbang 4-5 buah rehal sebagai ganti nilai buku Indahnya Hidup Bersyariat. Beberapa hari kemudian, beliau memaklumkan sudah berkempen kepada kawan-kawannya dan dapat mengumpulkan sejumlah wang yang dapat membeli hampir 40 buah rehal meja. Alhamdulillah. Kini sebahagian wang yang dibank-in sudah dibelikan dengan rehal berkenaan dan sebahagian lagi masih menanti stok kedai berkenaan yang sudah kehabisan.

Bagi pihak semua siswa siswi hafiz hafizah di Maahad ini saya mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua penyumbang. Insya Allah selama buku ini dimanfaatkan sama ada untuk dipelajari dan diamalkan atau diguna sebagai rujukan dan bahan mengajar, ada pahala yang mengalir ke dalam akaun mereka. Mudah-mudahan Allah membalas dengan harta yang mereka sumbangkan dan seterusnya memberkati harta yang masih berbaki bersama mereka.

Oh ya, satu lagi. Kuliah saya berlangsung setiap jumaat malam sabtu selepas solat maghrib di Surau Maahad Tahfiz, Kepayan. Sahabat-sahabat dari luar, turut serta dijemput hadir.

PILIHANRAYA MAAHAD

Pagi semalam ada sesuatu yang menarik berlaku di Maahad Tahfiz. Siswa-siswi mengadakan pilihanraya bagi memilih 6 pemegang jawatan dalam Persatuan Pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah (PERMATA). Menurut pemerhatian saya, siswa siswi semester 6 bertindak sebagai SPR kerana ini adalah semester terakhir mereka yang akan tamat pada mac akan datang. Terdahulu, pada malam sebelumnya diumumkan senarai pencalonan setiap jawatan.

Siswa siswi tidaklah ramai, hampir 30 orang termasuk semester 6 yang ada. Menariknya semua warga Maahad termasuk pensyarah dan kakitangan bukan mengajar juga diberi peluang memilih. Saya kurang maklum, semester 6 ada mengundi atau tidak. Saya difahamkan ada pertandingan dua penjuru untuk setiap jawatan yang dicalonkan. Yang Dipertua, Timbalan YDP, Setiausaha, Timbalan Setiausaha, Bendahari dan Timbalan Bendahari.

Pertandingan berlaku dalam suasana ceria dan tenang. Kelas berjalan seperti biasa pada pagi khamis, sehingga saya dipelawa agar turut mengundi di tempat yang sudah disediakan. Tempoh masanya sebentar sahaja, tidak sampai setengah jam kerana jumlah warga kami yang sedikit. Biarpun sedikit, saya meraikan dan mengalu-alukan kesungguhan mereka mengadakan pilihanraya walaupun kecil-kecilan.

Pemilihan pimpinan mengajar mereka hidup berorganisasi, erti jamaah, kepimpinan, ketaatan walaupun dalam kelompok yang sedikit sebelum mereka berada dalam masyarakat masing-masing suatu hari nanti. Ia juga mengajar tentang amali/praktikal memilih pimpinan sesama mereka. Walaupun mereka akrab, mereka mesti jujur terhadap teman-teman yang lebih berkualiti untuk diangkat sebagai ketua dan sebagainya.

Tahniah kepada mereka yang dipilih oleh majoriti pengundi terutama anakanda  Khairul Anuar dan pasukan barunya. Nasihat saya agar mereka melaksanakan amanah ini dengan bersungguh-sungguh dan bergerak secara organisasi atau secara berjamaah. Dengan meyakini bahawa semua ‘pesaing’ mereka dalam pertandingan semalam adalah berkualiti semuanya, maka sewajarnya dilantik memegang unit-unit tertentu, apatah lagi dunia maahad ini kecil saja.

Pagi ini Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat Negeri Sabah di Kepayan menerima tetamu dari Pusat Zakat Sabah yang diketuai oleh Ustaz Haji Awangku Raimy Pengiran Abdul Rahman selaku Penolong Setiausaha Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS merangkap Ketua Unit Penganjuran Pelajaran. Sedikit majlis ringkas diadakan bagi meraikan rombongan berkenaan sekaligus penyampaian zakat atas asnaf fi sabilillah sebanyak RM36 ribu untuk para pelajar maahad berkenaan.

Terdahulu, Ustaz Awangku Raimy dalam ucapannya menasihatkan para pelajar agar memanfaatkan wang berkenaan untuk perkara yang berfaedah. Ini kerana wang zakat adalah wang ibadah umat Islam yang disampaikan kepada Pusat Zakat Sabah dan ia menjadi amanah Pusat Zakat Sabah untuk menyampaikan kepada mereka yang berhak. Beliau juga memaklumkan bahawa Pusat Zakat Sabah ada memberikan sumbangan kepada para siswa siswi peringkat diploma dan ijazah pertama.

Bagi pihak seluruh warga Maahad Tahfiz, kami mengucapkan terima kasih atas kunjungan dan sumbangan yang disampaikan.

KELUARGA BARU

Pengetua, tenaga pensyarah dan kakitangan bukan mengajar

Foto-foto ini kami rakamkan akhir minggu lepas kerana kebetulan pengetua dan beberapa pensyarah Maahad akan menyertai satu bengkel pendidikan JHEAINS di Tawau selama 2 hari. Jadi sebagai salah satu bentuk laporan, kami yang sedikit ini mengambil kesempatan untuk merakamkan kenangan bersama. Kiranya saya beruntung juga kerana baru saja menyertai institusi Maahad Tahfiz seminggu lalu.

Di maahad ini ada 30 siswa siswi semuanya, merangkumi semester 2, 4 dan 6. Siswa 17 orang dan bakinya adalah siswi. Sebelum saya masuk ke sini, saya dimaklumkan dua siswi mengambil keputusan untuk berhenti tanpa sebab yang saya ketahui. Jadi sebenarnya inilah antara musim maahad ini mempunyai pelajar siswa siswi yang paling ramai. Sebab pada zaman sebelum ini sejak zaman kami tidak pernah mencapai jumlah 30 orang, dan saya berkeyakinan ia akan terus bertambah pada pengambilan siswa siswi pada tahun hadapan.

Di kalangan tenaga pensyarah yang ada, mereka bukanlah asing dengan saya sendiri sebelum saya berpindah ke sini. Ustaz Haji Azlan Bakri adalah senior di SMAN Toh Puan Hajah Rahmah dan di Mesir, bahkan kami pernah serumah di Kaherah sementara Ustazah Mahliana Mohammad juga pernah seangkatan di Mesir walaupun tidak berapa akrab. Ustazah Dayang Masni adalah tenaga lama di sini dan beliau masuk mengajar apabila kumpulan kami keluar tamat belajar.

Puan Hiryanti, pengetua ketika ini adalah kumpulan yang sama apabila kami menyertai perkhidmatan awam khususnya JHEAINS beberapa tahun lalu. Ustazah Sahiful dan Ustaz Suhaidi adalah alumni pelajar di sini dan kini kembali mencurah khidmat bakti di sini. Suhaidi sendiri baru beberapa minggu kembali ke Sabah setelah 3 tahun berada di Maahad Qiraat al-Azhar Mesir. Kakitangan bukan mengajar pula sudah saya kenali dan biasa kerana mereka sudah lama berkhidmat dengan JHEAINS.

Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah ini, meski kuantitinya sedikit adalah satu institusi yang penting dalam JHEAINS. Ia institusi pendidikan tertinggi yang JHEAINS miliki setakat ini. Saya sangat bersyukur dapat ke sini dan mudah-mudahan dapat membantu khususnya dalam soal hafazan al-Quran mereka. Walaupun sudah kenal lama dengan para pensyarah, buat masa ini saya mengambil sikap memberi tumpuan kepada akademik khususnya hafazan al-Quran dan kembali mengenal hati budi teman-teman sejawat dan para pelajar saya.

Semester 6

Semester 4

Semester 2

RUTIN DI MAAHAD

Sekitar 10 minit bermula jam 7.20 pagi, semua siswa-siswi akan berkumpul di perkarangan maahad untuk perhimpunan pagi. Antara pengisiannya ialah doa, asmaul husna, dan seminggu sekali ada tazkirah beberapa minit yang disampaikan salah seorang daripada kalangan mereka secara bergilir-gilir. Saya berminat untuk mencadangkan tazkirah kultum setiap hari agar mereka dilatih bercakap dengan nas dan hujjah.

TASMIK

Kelas tasmik (memperdengarkan) al-Quran yang baru dihafaz bermula pada jam 7.30 pagi dan berlanjutan selama 2 jam. Saya diamanahkan menjadi guru tasmik al-Quran di kelas semester 2, yang sukatan hafazan mereka antara juzu’ 6 hingga 10. Sebenarnya semester 2 kini ada 15 orang dengan dua guru tasmik, Ustaz Sahiful menjaga 6 siswa dan saya pula 9 orang siswa siswi.

Memang di kalangan mereka ada yang mempunyai kualiti hafazan yang baik, ada yang sederhana dan ada yang lemah dan tertinggal hafazan berbanding rakan-rakan mereka. Memandang beberapa minggu ini semester 2 baru bermula, ada di kalangan mereka yang agak tertinggal berbanding teman-teman mereka yang lain dan belum menyelesaikan sukatan hafazan semester lepas (juzu’ 1 hingga 5).

Saya ada meletakkan sasaran untuk mereka, namun bagaimanapun itu semua terpulanglah kepada usaha mereka sendiri. Buat masa ini saya masih berbaik sangka dan optimis dengan kemampuan mereka dengan serba sedikit motivasi. Beberapa orang pula agak sederhana prestasinya, tidak terlalu terkehadapan dan tidak pula tercorot. Di kalangan mereka ada juga yang suka berlumba-lumba dalam hafazan, saling cantas-mencantas, dahulu-mendahului secara positif dan saya suka sikap itu. Mereka istibaq bil khairat!

Saya berharap mereka mengambil iktibar sepotong ayat al-Quran daripada surah Fathir :

32. Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri, dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah, yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).

Selepas berehat sekitar 15 minit, mereka masuk ke bilik kuliah untuk subjek-subjek berikutnya. Untuk tempoh itu saya diamanahkan subjek tafsir (surah al-An’am dan al-Anfal) untuk semester 4, dan subjek Dhobtul Quran untuk semester 6. Dhobtul Quran adalah suatu ilmu berkenaan titik dan tanda baris di dalam al-Quran seperti sukun, tasydid, baris atas, bawah dan hadapan dan lain-lain. Subjek-subjek lain dipikul oleh pensyarah-pensyarah lain untuk semester 2, 4 dan 6.

MENGULANG

Sebenarnya tugasan rasmi pensyarah berakhir di situ, sementara untuk siswa-siswi ada sesi prep pada sebelah petang antara jam 2.30 hingga jam 4.30. Oleh kerana saya sudah terbiasa dengan kerja waktu pejabat, dan saya punya misi untuk membantu mengemaskan hafazan yang ada di dada mereka, justeru saya tetapkan untuk siswa siswi yang berada dibawah tanggungjawab saya untuk mengadakan kelas i’adah atau muraja’ah atau mengulang al-Quran beramai-ramai. Kelas ini saya wajibkan kepada mereka dan ruang yang sama diberikan kepada siswa siswi lain yang berminat.

Kaedah ini pernah diterapkan kepada kami oleh guru kami Ybhg Datuk Haji Asmali Bachi. Sekumpulan kami – yang memang sedikit pun – datang ke rumah beliau pada waktu petang atau malam, akan mengulangkaji hafazan al-Quran secara bergilir-gilir. Caranya begini, beliau telah menetapkan juzu’ yang diulang pada petang nantinya. Seorang demi seorang akan membaca semuka demi semuka secara bergilir-gilir beberapa pusingan dan ketika itu semuanya dikehendaki menutup al-Quran mendengar ayat yang dibaca oleh kawan-kawan yang lain.

Tempoh membaca satu juzu’ misalnya akan mengambil masa yang tidak begitu lama sekiranya masing-masing telah mempersiapkan diri dengan hafazan masing-masing yang telah ditentukan lebih awal. Jadi, sekiranya yang hadir (contohnya) lima orang untuk mengulangkaji sejuzu’ (20 muka surat), terdapat empat pusingan berlaku dan masing-masing hanya akan membaca sebanyak 4 muka surat sahaja. Satu segi ia ‘menguntungkan’ dan mengurangkan letih mereka, membaca hanya 4 muka surat tetapi sebenarnya sudah mengulang 20 muka surat melalui mendengar hafazan sahabat-sahabat.

Di sini, saya bahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama siswa bermula sekitar jam 2 sehingga asar, dan kumpulan kedua siswi selepas asar sehingga jam 5.30 petang. Tempoh ini mereka akan mengulang juzu’ satu dan akan naik juzu’ dua. Selepas juzu’ dua, turun semula juzu’ satu dan naik hingga dua dan tiga, kemudian turun satu semula. Begitulah yang akan saya lakukan perlahan-lahan.

Baru seminggu di sini, sebenarnya saya keletihan walaupun hanya duduk-duduk mendengar hafazan mereka. Namun keletihan itu terubat dengan nikmat al-Quran yang saya dengar setiap pagi dan petang bersama-sama mereka yang kini menjadi teman saya setiap hari, lalu saya sendiri dapat mengembalikan al-Quran yang sedikit sebanyak dilupakan dari hati saya buat beberapa tahun kebelakangan. Mendengar al-Quran sekitar 2-3 juzu’ sehari bersama-sama mereka adalah satu nikmat yang tidak patut saya lepaskan.

%d bloggers like this: