Archive for 3 Januari 2009


p1020030Sudah lama saya tidak beraksi di atas mimbar masjid yang agak besar.

Sejak 10 bulan berada di unit sekarang, hanya 3 kali saya berkhutbah. Berkhutbah di Masjid asy-Syakirin minggu ini benar-benar mengubat kerinduan itu, tambah lagi masanya sudah masuk ke tahun baru. Tahun baru hijrah dan tahun baru masihi.

Ruang masjid yang luas boleh memuatkan hampir 1000 jamaah.

Saya sudah dipesan awal oleh Penolong Pegawai Tadbir Agama (PPTA) Ust Janis Nawawi agar lebih bersemangat apabila naik ke mimbar.

Sebenarnya, perasaan berkobar itu semakin membara apabila sekitar 12.15 tengahari saya dimaklumkan kehadiran polis Cawangan Khas (SB) yang mengetahui dan menyebut nama saya di hadapan Che’gu Jamil. Terkenal juga saya rupanya. Sampai ke Kudat pun diekori lagi.

p1020032Khutbah seperti yang dirancangkan berkisar tentang memupuk kesedaran kepada jamaah Jumaat akan kepentingan kita menunjukkan sikap dan sokongan kepada umat Islam di Palestin.

Salah satu fahaman ideologi iaitu nasionalisme telah mengajar manusia agar hanya mengambil berat tentang rakyat negara masing-masing.

Fahaman ini juga menjalar di negara kita, apabila kebanyakan umat Islam tidak memperduli tentang peristiwa yang berlaku ketika dan saat ini keatas umat Islam di negara lain.

Walaupun berada di hujung peta, umat Islam di Kudat juga mesti difahami dengan persoalan ini.

Inilah sumbangan kecil yang boleh saya lakukan pada saat sahabat-sahabat dan umat Islam menyertai perhimpunan aman di Kota Kinabalu, bahkan di seluruh negara dan seluruh dunia bagi menunjukkan sikap sokongan kepada Palestin dan kebencian kepada Yahudi Israel.

Ketika solat Jumaat, diadakan qunut nazilah. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan, ketabahan dan kemenangan kepada saudara-saudara kita di bumi suci dan bersejarah – Palestin.

Pagi Jumaat, saya mengisi program 2 setengah jam dalam kelas Titian Murni.

Kelas ini tidak ubah seperti Teratak Fitrah di Kota Kinabalu. Sebuah kelas yang diwujudkan untuk memberi pengetahuan asas kepada para muallaf.

Menurut maklumat yang saya terima, cadangan penubuhan kelas ini sudah disuarakan pada Julai 2006. Sebulan kemudian, setelah diperbincangkan dengan pelbagai pihak, kelas ini menjadi kenyataan.

Ustaz Md Harun Rambe adalah pengasas kepada penubuhan kelas ini. Beliau ketika itu adalah Penolong Pegawai Penceramah JHEAINS Kudat dan kini berpindah ke JHEAINS Keningau pula.

Terdapat lapan tenaga pengajar untuk membimbing 109 pelajar yang sudah berdaftar pada setiap pagi sabtu. Lokasinya di Masjid asy-Syakirin, Masjid Daerah Kudat.

Hanya semalam diadakan pada Jumaat memandangkan sabtu ada majlis Sambutan Maal Hijrah Daerah Kudat. Semua pelajar Titian Murni dipinta hadir sama.

Sebenarnya, teruja melihat para ibu yang hadir sambil membawa bayi dan anak-anak kecil bersama. Kegigihan dan ketabahan mereka sangat kita sanjung tinggi.

p1030226Asalnya, tidak ada jadual khusus untuk berprogram ke masjid ini.

Tetapi saya pohon bantuan Penolong Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Kudat, Ust Janis Nawawi agar dapat memasukkan satu slot ke sini.

Bahkan dalam program asal, saya hanya dipinta memberi ceramah dalam Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Kudat.

Tetapi bagi saya ia membazirkan masa dan tenaga, berjalan sejauh 3 jam hanya untuk satu ceramah.

Alhamdulillah, sepanjang di sini ada 6 ceramah dan 4 program ziarah.

p1010011Saya tidak pernah menjejakkan kaki ke Kudat. Tetapi nama Kg Air Kudat bukanlah asing kepada diri saya.

Dua puluh tahun lalu, ada program lawatan dan anak angkat daripada Persatuan Belia Kg Air Kudat (BAKA). Walaupun masih kecil ketika itu, ia masih segar dalam ingatan.

Jadi berziarah ke masjid kampung ini telah mengimbas kenangan itu.

Kami tiba di Kudat jam 5.30 petang khamis, 1 Januari selepas ziarah di Kiulu.

Selesai urusan penginapan di Rumah Rehat Kudat, bersama Che’gu Jamil yang sudi menemani perjalanan, kami ke Masjid Raya Kg Air.

p1010013Khabarnya ia adalah sebuah masjid lama yang dibina sebelum merdeka lagi dan menjadi masjid daerah sebelum Masjid asy-Syakirin yang ada sekarang.

Kami tiba ketika imam memimpin wirid. Selepas solat kelihatan para jamaah berkumpul dan mengedar surah Yasin.

Sah, ahli jamaah tidak diberitahu program ceramah malam itu.

Walaubagaimanapun, ceramah diteruskan dan saya menghuraikan sepotong ayat dari surah Yasin.

Majlis selesai jam 8 malam dan kebetulan ada jamuan ringan sempena malam Jumaat.

%d bloggers like this: