Archive for Julai, 2008


HANYA IZIN DAN SALAM

Di antara adab yang sangat asas dan mudah, yang diajar kepada kita sejak kecil apabila bertamu ke rumah orang ialah, memberi salam dan meminta izin kepada penghuni di dalam rumah.

Teringat suatu hari, ketika masih sekolah rendah, agak saya belum berumur 10 tahun, bapa saya singgah di rumah kawannya, seorang pengetua yang tidak beragama Islam, kalau tidak silap beragama sikh. Tujuannya hanya untuk menghantar satu surat.

Saya diminta untuk menyinggahkan surat itu. Sampai di hadapan pintu rumah tuan pengetua itu, saya jadi terpaku. Mau kupanggil apa beliau ni..?

Saya tidak pernah berkunjung sendirian ke rumah orang bukan Islam, dan tidak tahu bagaimana hendak memulakan salam hormat saya. Bapa saya hanya menanti di dalam kereta.

Akhirnya, saya teringat cerita-cerita orang putih yang kadang-kadang ditonton di tv2 yang selalu menayangkan cerita begitu, kerana astro belum ada, lalu saya berteriak, helo..helo..!! Sapaan itu tidak bersambut, lalu saya hanya selitkan surat itu di bawah pintu rumahnya.

Walaupun masih kecil ketika itu, saya tahu kita tidak boleh sembarangan masuk atau mengintai rumah orang, walaupun rumah orang bukan Islam. Inilah adab yang diajar di dalam agama Islam bahkan menjadi budaya sebagai seorang melayu.

Saya jadi hairan, sesudah usia saya begini, punya empat anak, ada seorang dewasa yang sudah berumur di kampung tempat saya tinggal, suka masuk rumah orang tanpa izin, dan tanpa salam pun. Tiba-tiba saja duduk di ruang tamu atau di dapur, bercerita tanpa merasa sedikit rasa bersalah pun.

Kebiasaannya, saya amat susah menunjukkan manis muka apabila beliau itu masuk ke rumah dalam keadaan begitu, kerana dia telah mengganggu ketenangan dan privacy saya dan keluarga. Kadang-kadang isteri yang sedang menyusukan anak, melompat lari masuk ke bilik, mencari tudung untuk menutup kepalanya.

Perbuatan itu sangat menyakitkan hati saya, dan menyusahkan orang lain.

Islam ini adalah agama yang sederhana. Ia tidak menutup ruang untuk berziarah, bahkan menggalakkannya tetapi tidak juga membuka ruang itu dengan keterlaluan sehingga seseorang boleh masuk ke rumah orang tanpa izin penghuninya terlebih dahulu.

Apalah susahnya, sekadar hanya meminta izin dan memberi salam.

Firman Allah : Wahai orang-orang beriman! Jangan kamu masuk ke dalam rumah yang bukan rumah kamu, sehinggalah kamu meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Perbuatan itu adalah yang terbaik supaya kamu selalu ingat.

Minggu lepas, saya menyampaikan kuliah di sebuah masjid. Ketika itu, saya sedang menghuraikan bait-bait bacaan tasyahhud. Terdapat satu perkataan ‘al-mubaarakat’ di dalam tasyahhud yang selalu kita baca. Lalu saya menceritakan tentang persoalan berkat.

Berkat ini maksudnya tambahan. Ulama’ memberi contoh, jika makanan 3 orang cukup untuk 5-6 orang, itu ertinya ada keberkatan. Tetapi jika makanan untuk 3 orang, tiba-tiba untuk dia seorang tidak cukup, saya katakan ada masalah di situ.

Ketika itulah ada seorang jamaah menunjuk-nunjuk kawan di sebelahnya, mengisyaratkan bahawa kawannya itu memang kuat melantak, pantang melihat makanan terhidang. Perbuatan jamaah itu dilakukannya beberapa kali, supaya saya mengambil perhatian kepadanya. Saya kurang senang perbuatan itu, lalu saya katakan, “tak payah tunjuk.. sendiri mau ingat.

Saya kira kawan di sebelahnya itu walaupun tersenyum, tetapi malu apabila ditunjuk begitu.

Saya lantas membawakan sebuah kisah yang saya dengar dalam kuliah Ust Yusainee Yahya di internet. Rakaman kuliah beliau di Taman Melewar yang saya ‘cd’kan untuk didengar di kereta.

Kisahnya, ketika Sayyidina Umar menyampaikan kuliah, tiba-tiba tercium semerbak seluruh jamaah dengan bau kentut. Khalifah yang turut terhidu, lantas mengarahkan orang yang kentut itu bangun. Siapa yang kentut tadi sila bangun!

Jamaah yang hadir senyap sunyi. Tiada siapa yang sanggup bangun. Malu bah! Siapa tidak kenal dengan ketegasan Khalifah Umar?!

Tiba-tiba Sayyidina Ali bingkas memberi pendapat : “Bukankah baik, kalau khalifah memerintahkan kita semua yang ada di masjid ini bangun mengambil wudhu’?”

Baginda Umar bersetuju dengan pandangan itu. Sayyidina Ali telah menyelamatkan keadaan dan menutup aib saudaranya yang terlepas kentut tadi. Jelas keterbukaan Sayyidina Umar sebagai pemimpin dan kebijaksanaan Sayyidina Ali menegur pimpinan.

Sabda Nabi SAW : “Sesiapa menutup aib seorang Islam, Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat kelak..”

APA ITU SYUKUR?

Selalu kita mendengar apabila seseorang berkata : “Saya bersyukur kepada Allah kerana telah memberi saya … bla bla bla…”

Lebih dahsyat lagi apabila sang artis berkata : “Syukur alhamdulillah di atas pemberianNya, memberikan saya kemenangan award ini, mengurniakan saya bakat berlakon watak pelacur bla.. bla.. bla..”

Syukurkah itu?

Syukur ertinya menggunakan sesuatu nikmat, sesuai dengan kehendak pemberi, iaitu Allah SWT.

Harta yang dikurnia, digunakan dengan cara sesuai dengan kehendak Allah. Isteri dan anak yang diamanah, digunakan dengan cara yang sesuai dengan kehendak Allah. Panca indera yang diberi, digunakan dengan cara yang sesuai dengan kehendak Allah.

Betulkah kata artis itu sambil memegang award di tangan, dengan pakaian menjolok matanya, mengungkap kata syukur kepada Allah atas bakat yang dikurniakan kepadanya? Untuk itukah Allah memberinya bakat dan kebolehan?

Syukurkah itu apabila gaji yang diterima, disalurkan mengundi artis pujaan?

Syukurkah itu apabila lidah yang dikurnia, diguna untuk mengutuk dan menyebar fitnah?

Saya risau itu bukan syukur, tapi kufur.

Semalam saya mengikuti dari awal kuliah aqidah bersama Ust Hj Muchlish Ali Kasim di Surau Riyadhus Solihin, Taman Austral. Beliau membawa kitab yang membincangkan Asmaul Husna.

Tetapi ada satu ketika, ust Muchlish melontarkan satu persoalan, yang akhirnya beliau terangkan sendiri.

Katanya, ada satu tabiat di kalangan kita terutama orang Melayu, sikap payah untuk mengaku salah.

Misalnya, jika keretapi tersasar dari relnya, orang tidak disalahkan, tetapi kerana relnya sudah lama, berumur 30 tahun umpamanya. Jika dalam penulisan, tidak diakui kesilapan menulis tetapi yang salah mesin taip atau komputer.

Bukankah salah itu berlaku juga kepada manusia kerana tidak memeriksa rel sudah berusia 30 tahun, atau disemak tulisan itu terlebih dahulu.

Sebenarnya, tabiat ini berlaku antara lain kerana sikap ini sudah ditanam sejak kecil lagi, bahkan dari bayi atau alam kanak-kanak berumur 1-2 tahun.

Contoh. Ketika kecil, apabila si anak cuba bertatih, lalu ia terlanggar kerusi dan kemudian menangis, si ibu  akan segera mendapatkan si kecil lalu memukul kerusi tadi, menyalahkan tiang atau kerusi berkenaan.

“Kerusi ini, dia pula di situ” Kata si ibu membela anaknya. Sedangkan ia memang di situ sedari awal.

Perbuatan ini sebenarnya mengajar sesuatu kepada anak bahawa dia tidak dipersalahkan, tetapi tiang atau kerusi itu yang salah. Perbuatan ini berlaku hampir setiap hari, menyebabkan sikap itu tertanam dalam diri si kecil sehinggalah dia membesar. Yang salah orang lain, dia tidak salah!

Kalaulah kerusi itu tadi boleh membalas…

QADHA DAN FIDYAH PUASA

Kira-kira sebulan dari sekarang, dengan izin Allah kita akan menyambut bulan Ramadhan. Dalam tempoh persediaan ini, selain sesetengah kita mula memanaskan badan dengan puasa sunat, saya kira masa ini juga kita hendaklah mengingatkan anak isteri kita agar mengqadha puasa Ramadhan lalu yang masih belum diganti.

Saya catatkan berkenaan qadha dan fidyah Ramadhan.

1. Musafir dan orang sakit

Sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana sakit atau musafir, dia wajib mengqadha’nya sebelum datang Ramadhan berikutnya.

Sekiranya dia tidak menggantinya disebabkan kerana memandang ringan sehingga masuk Ramadhan berikutnya, dia berdosa dan diwajibkan qadha dan fidyah.

Fidyah ialah memberi makan kepada orang miskin dengan satu cupak makanan asasi untuk setiap hari yang ditinggalkan. Kadar ini bertambah dengan bertambahnya tahun. Satu cupak bersamaan lebih kurang 600 gram.

Sekiranya keuzuran berterusan sehingga masuk Ramadhan berikutnya, dia tidak perlu mengeluarkan fidyah tetapi hanya perlu mengqadha puasa sahaja.

Sekiranya dia meninggal dunia sebelum mampu mengqadhanya, maka dia tidak berdosa dan tidak perlu meminta orang lain mengqadha’ bagi pihaknya kerana dia tidak melalaikannya.

Sesiapa yang mati selepas mampu mengqadha’kannya tetapi tidak menggadha’nya kerana lalai, maka walinya disunnatkan mengqadha’ hari-hari yang ditinggalkannya bagi pihaknya.

2. Orang yang terlalu tua dan pesakit yang tiada harapan untuk sembuh

Apabila orang yang terlalu tua terpaksa berbuka, dia wajib bersedekah satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan.

Orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh hukumnya sama dengan hukum orang yang terlalu tua yang tidak mampu berpuasa. Dia dibenarkan untuk berbuka dan bersedekah pada setiap hari yang ditinggalkan dengan satu cupak makanan asasi.

3. Ibu hamil dan menyusukan anak

Apabila wanita hamil dan yang menyusukan anak berbuka, maka tindakannya itu sama ada kerana bimbangkan dirinya atau bimbangkan anaknya.

Sekiranya dia berbuka kerana bimbangkan wujudnya mudharat terhadap dirinya apabila dia berpuasa, maka dia wajib qadha sahaja sebelum datangnya bulan Ramadhan tahun berikutnya.

Apabila wanita mengandung berbuka kerana bimbangkan anaknya seperti bimbang berlakunya keguguran sekiranya dia berpuasa, ataupun wanita yang menyusukan anak bimbangkan kekurangan air susunya, lalu anak itu mendapat mudharat sekiranya dia berpuasa, dalam keadaan ini dia wajib qadha’ dan bersedekah satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan.

Masalah yang sama dengan masalah ini ialah orang yang terpaksa berbuka puasa untuk menyelamatkan orang lain yang sedang diancam kemusnahan. Dia wajib mengqadha’ puasanya dan bersedekah dengan satu cupak makanan.

Rujukan : Kitab Fikah Mazhab Syafie. Jilid 2. Menghuraikan Bab Zakat, Puasa dan Haji.

Saudara yang bersolat di masjid yang selalu dihadiri oleh pembesar dan pemimpin negeri dan negara terutama solat jumaat atau sempena hari-hari kebesaran mungkin pernah melihat keadaan ini. Atau setidak-tidaknya melihat di kaca tv atau gambar dipapar di suratkhabar.

Melihat para pemimpin dan pembesar bersolat dengan setiap seorang mereka mempunyai sejadah yang ruangnya lebih besar dari yang diperlukan. Ajaran siapa ini?

Sedari kecil kita diajar bahawa susunan saf solat berjamaah itu mesti rapat, dan bertemu bahu. Solat berjamaah mengajar kita erti persaudaraan, persamaan dan hubungan erat yang dijalin sesama jamaah yang hadir. Dalam masa yang sama, jika kita renggangkan saf, kita memberi peluang syaitan masuk dan menyelit di ruangan itu.

Bila begitu yang kita fahami, apa ertinya lagi kita masih berkeinginan bersajadah sendirian?

Pada tahun lepas, ketika itu saya masih bertugas di Istana Negeri, mengiringi Tuan Yang Terutama (TYT) ke Sandakan sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sabah.

Selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Daerah Sandakan, TYT memanggil beberapa orang, menunjuk-nunjuk ke arah sejadah yang diguna tadi. Saya yang ketika itu sedikit jauh dari kedudukannya, lantas bergegas menghampirinya.

“Kenapa sejadah besar ni? Untuk apa?” Kata Tun.

“Kalau sejadah besar begini, orang tidak mahu rapat sama aku! Sembahyang ni saf mesti rapat!” Tegasnya.

“Malam ni aku mau sejadah ni ditukar! Jangan terlalu besar!” Beberapa pegawai yang ada bersama di situ terpinga-pinga. TYT berlalu, sementara pegawai-pegawai lain pula tunjuk-menunjuk.

Malam itu ada sambutan Maulidur Rasul di masjid yang sama, ada bacaan barzanji, marhaban dan sebagainya, dan sejadah itu saya lihat sudah ditukar yang lain. 

Bukan susah sangat.

STREAMYX BERMASALAH

Pada rabu, talian telefon di rumah digantung kerana bil tertunggak. Pagi khamis, saya membayar sejumlah wang untuk membayar kesemua tunggakan dan menjelang jam 10.30 pagi, talian telefon dan sekaligus internet dapat dilayari seperti biasa.

Malam yang sama, streamyx saya kembali bermasalah. Internet tidak dapat dilayari sehingga ahad, jam 10.45 pagi ia pulih tetapi tidak sampai 15 minit. Laporan dibuat setiap hari, katanya masalah di ibu sawat. Ntahlah.

Banyak bahan berlonggok untuk dihantar ke blog ini, antaranya yang bakal saya hantar berkenaan ziarah ibadah pesakit Hospital Queen Elizabeth pada petang semalam.

Saya terpaksa log in di luar untuk melepaskan rindu ke blog ini. Adui..! Mudah-mudahan hari ini akan pulih sediakala.

KECEKALAN SALMAN

Dalam hidup saya, saya mengenali nama Salman beberapa orang saja.

Pertamanya, Salman al-Farisi, sahabat Rasulullah yang berasal dari Parsi. Bermula dengan agama Majusi, kemudian Kristian dan akhirnya memeluk Islam kerana cintanya kepada mencari kebenaran. Beliau wafat dalam umur 88 tahun dalam era pemerintahan Sayyidina Uthman Affan.

Beliau mengenali Rasulullah sebelum bertemu dengan baginda melalui ciri-ciri yang dipelajarinya daripada paderi-paderi Kristian. Dia pernah mencium tanda kenabian yang terletak di belakang antara dua bahu baginda.

Salman al-Farisi inilah orangnya yang mencadangkan sekitar Kota Madinah digali dan dibuat parit dalam peristiwa Perang Khandak atau Perang Ahzab yang terkenal itu.

Yang kedua, Tuan Hj Salman Datuk Ismail seorang ahli perniagaan yang cekal dan berjaya di Kota Kinabalu. Seorang yang merendah diri orangnya seperti ayahandanya juga, Tuan Guru Datuk Hj Ismail Abbas, mantan Mufti Negeri Sabah yang lalu.

Orang yang mengenalinya mengetahui cabaran-cabaran perniagaan yang dihadapinya, tetapi kecekalan dan kesabaran itu adalah resepi kejayaannya yang membuatkan beliau bertahan sehingga kini.

Yang ketiga, sahabat saya di Mesir dahulu Hj Mohammed Salman Hj Amir kini kembali ke Labuan. Dia datang ke Mesir pada tahun yang sama saya ke sana dengan reputasi yang hebat, diharap mencipta kejutan dalam pengajiannya selepas menutut sebelum itu di negeri Kelantan.

Saya mengenalinya sebagai seorang yang sangat peramah, baik dan pintar orangnya, minat pada komputer, internet dan yang sewaktu dengannya.

Tetapi Allah menguji dalam pencapaian akademiknya sehingga ia terpaksa kembali semula. Tetapi saya tahu dia tidak mengalah, dia mencari dalam ‘line’ yang lain pula.

Yang keempat, saudara saya Salman Md Amin. Seorang pemuda yang berjiwa kental, bersemangat waja. Saya tidak tahu, apakah dia orang senang atau orang susah, tetapi saya seronok melihatnya kerana, dia murah dengan senyuman.

Saya wajar mencadangkan jika saudara punya masa terluang, jalan-jalanlah mencari alamat ini, tidak perlu kereta, bahkan motor pun tidak perlu, sebab menggunakan kenderaan tidak akan sampai ke sana. Yang penting, asal saja internet saudara berfungsi. http://bayugunung.blogspot.com/ . 

Persamaan mereka tiga yang terakhir ialah, mereka mempunyai sikap seperti Salman al-Farisi. Cekal, dan tidak mudah berputus asa serta sering mencari kebenaran dalam bidang yang mereka teroka.

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada mereka dan kita semua. Amin.

Menziarahi orang sakit adalah kerja orang Islam. Sepatutnya. Tetapi saya melihat ia diabai dan ditinggalkan. Kebanyakan kita jarang menziarahi orang di hospital.

Kalau pun ada, yang sakit itu hanya keluarga terdekat, ibu bapa, adik beradik atau anak. Kalau yang sakit itu  kawan sekerja, jauh agaknya untuk diziarahi. Sekadar bertanya dari jauh dan berkirim salam. Itu pun belum tau juga.

Itu yang kami cuba mahu ubah. Bukan setakat menziarahi ahli keluarga yang sakit, bahkan siapa saja yang sakit, termasuk yang bukan Islam. Tetapi kerja-kerja ziarah ini sekarang banyak dibuat oleh orang bukan Islam.

Kawan-kawan di hospital bercerita, yang datang berkunjung itu terdiri dari kumpulan-kumpulan Kristian dan Buddha. Datang dengan jadual dan giliran tersusun. 

Ada yang datang siap membawa gitar untuk menghiburkan pesakit tertentu. Setengah orang marah dengan aktiviti mereka, tetapi ke mana orang Islam pergi?

Bukan tiada langsung program yang diatur. Tahun lalu cuba untuk disusun secara bergilir antara kumpulan Masjid Negeri, Masjid Bandaraya, Masjid Nurul Hikmah dan Masjid Jamek Kg Likas. Tapi tidak sampai pun satu pusingan, ia terhenti begitu sahaja.

Kelihatan kita tidak nampak peranan dan kesan apabila melakukan dakwah bil hal dengan menziarahi orang sakit. Sedangkan ia mempunyai hikmah yang besar kepada pesakit, ahli keluarganya bahkan kepada diri kita sendiri yang berziarah.

Saya pernah menziarahi seorang pesakit dari keluarga susah, berasal dari Sandakan, dia tidak mempunyai keluarga di Kota Kinabalu, manakala kerana kesempitan hidup, keluarga dari Sandakan tidak mampu datang menemani. Jadi dia hanya sendirian, ditambah dengan ‘jiran-jiran’ sebelah katil di kiri kanan pula bukan jenis kaki sembang, sehingga menyebabkannya kesunyian walaupun wad itu dipenuhi dengan orang. Hanya apabila jururawat dan doktor datang menjadi tempatnya meluahkan perasaan seketika.

Saya memberikan ruang untuknya bercerita tentang diri dan keluarganya. Sebenarnya, bercerita itu saja sudah menyelesaikan banyak masalahnya. Tahulah kita betapa sunyinya hidup tanpa teman dan sahabat.

Ketika kami memulakan ziarah pesakit ini di bawah Masjid Negeri 3 tahun lalu, ada pesakit yang sudah ditempatkan selama hampir setahun untuk berehat di wad perubatan c, katanya :

“Saya sudah hampir setahun di sini, barulah saya nampak orang Islam datang ziarah saya!”

Mendengar itu, apa yang boleh kami katakan lagi. Itulah hakikatnya!

PROGRAM ZIARAH HOSPITAL

Sejak beberapa tahun, Masjid Negeri Sabah selalu mengadakan program ziarah pesakit hospital. Tapi sejak Ramadhan lalu hingga sekarang, ia terhenti begitu sahaja. Kini, program ziarah pesakit hospital Queen Elizabeth akan dimulakan kembali.

Sahabat-sahabat yang berkelapangan dijemput hadir.

Setiap ahad, solat asar di Masjid Negeri, mulai 27 Julai ini. Kemudian kita bersama-sama bertolak ke hospital Queen Elizabeth. Tidak perlu bawa buah tangan, yang penting ziarah dan beramah mesra dengan pesakit.

%d bloggers like this: