Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/presiden/41210-pengajaran-daripada-israk-dan-mikraj
Rasulullah SAW dimuliakan dengan menjadi tetamu Allah. Peristiwa paling bersejarah ini wajib diimani sebenar-benarnya berlaku, ia dinyatakan oleh Al-Quran dan Hadis tanpa menyebut tarikh berlakunya. Tarikh masyhur berlakunya peristiwa ini pada bulan Rejab 27 haribulan, namun para ulamak berbeza pendapat menentukan tahun, bulan dan hari berlakunya. Ada yang menyatakan berlakunya di tahun dilantik menjadi Rasul, tahun kelima, keenam, kesepuluh dan kedua belas. Ada pandangan yang menyatakan berlaku pada bulan Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Muharram, Rabiul Awwal dan Rabiul Akhir. Ada pandangan yang menyatakan peristiwa ini berlaku pada malam Jumaat kerana kelebihannya, ada yang menyatakan malam Sabtu, dan malam Isnin.
Jumhur para ulamak menyatakan peristiwa ini berlaku dengan jasad dan roh. Adapun riwayat Ummul Mukminin Aisyah RA yang menyatakannya dengan roh sahaja ditolak kerana ketika berlakunya peristiwa ini, Beliau belum baligh dan pandangan Muawwiyah juga ditolak kerana beliau belum lagi menganut Islam.
Yang paling penting daripada peristiwa ini ialah pengajaran, bukannya penentuan tarikh berlakunya. Semasa berlaku peristiwa ini, para sahabat sedang menghadapi ujian paling getir, daripada penindasan paling zalim dan mancabar keimanan mereka. Peristiwa ini juga dijadikan senjata fitnah, menguatkan lagi berlakunya dengan roh dan jasad, kerana di luar daripada jangkauan ilmu manusia. Keadaan ini menjadikan generasi awal Islam tidak memberi perhatian penentuan tarikh berlakunya peristiwa besar ini, kerana penumpuan kepada kekuatan iman mereka kepada Allah dan Rasul secara mutlak. Namun mereka bersepakat beriman dengan peristiwa ini dan pada malam itu disampaikan perintah wajib bersolat lima waktu.
Peristiwa ini menjadi dalil ketuhanan dan kebesaran Allah yang tiada bandingan dan tandingan. Allah menjemput Rasul akhir zaman, pilihanNya menjadi tetamu kerajaanNya Yang Maha Agung, supaya melihat secara nyata alam yang sangat besar, walaupun sangat jauh perjalanan, dan lama masanya tidak mampu dikira oleh akal dan ilmu manusia yang sangat lemah sekalipun dengan teknologi terkini yang sudah mampu ke angkasa lepas.
Bukan seperti tetamu kerajaan ciptaan manusia yang lemah walaupun mengaku berkuasa besar, hanya membawa tetamu ke bilik gerakan negara yang kecil bersama lukisan peta dan pelan yang kecil dan dibawa hanya ke projek yang dikira berjaya, yang buruk dan gagal disembunyikan.
Rasulullah SAW dibawa melawat alam yang luasnya daripada dunia sehingga akhirat, alam nyata dan ghaib, merentasi bumi dan mengatasi tujuh petala langit, sehingga luar daripada perbatasan cekerawala yang dilihat dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar serta teknologi paling canggih, juga diluar daripada sempadan kemampuan Jibril AS pemimpin para malaikat. Sempadan yang disebut Sadrah Al-Muntaha mengikut bahasa Al-Quran. Cukup meyakinkan setiap orang yang beriman apabila memahami bahasa Al-Quran dan mukjizatnya. Firman Allah SWT:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
“Maha Suci Tuhan yang telah memperjalankan Hambanya di waktu malam daripada Masjid Al-Haram (Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (Al-Quds, Palestin) yang telah kami berkati di sekitarnya, supaya kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat (tanda-tanda) Kami. Sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Isra’, ayat 01)
Tegasnya, ia adalah perjalanan yang dicipta oleh Allah Pencipta Alam, Yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan kelemahan, Maha Berkuasa di atas seluruh alam, diluar daripada perhitungan masa dan jarak dekat dan jauh mengikut perhitungan makhluknya, Firman Allah SWT:
وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى* عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى
“Dan sesungguhnya Dia Rasulullah SAW telah melihatnya (Jibril) pada kali yang lain, iaitu di sisi Sadrah Al-Muntaha.” (Surah An-Najmu, ayat 13-14)
Ketika Malaikat Jibril mengiringi Rasulullah SAW dalam perjalanan Israk dan Mikraj sehingga berada di sisi Sadrah Al-Muntaha. Sempadan terakhir bagi makhluk langit dan tempat dibawa perkara makhluk bumi, selepasnya adalah kepunyaan Allah yang sedia kala dan tiada kesudahan dan penghujungnya. Firman ALLAH SWT:
وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِلنَّاسِ
“Dan tidaklah kami jadikan segala yang Engkau saksikan, yang telah kami perlihatkan kepada Mu (pada malam Israk dan Mikraj) malainkan menjadi fitnah (ujian) kepada manusia.” (Surah Al-Isra’, ayat 60)
Peristiwa yang menakjubkan di luar kemampuan akal dan ilmu manusia, menjadi ujian terhadap keimanan kepada Allah dan Rasul pilihanNya. Beriman kepada Allah Yang Maha Berkuasa mencipta seluruh alam dan berkuasa mengurusnya dengan Maha Bijaksana. Beriman kepada benarnya Rasul SAW yang dipilihNya.
Apabila Rasul SAW yang mulia itu dinamakan hambanya, maka betapa pula seluruh yang lain adalah kerdil di hadapan Allah yang tidak sama hubungan dikalangan sesama makhluk, di antara anak, ibu dan bapa, raja, pemimpin dan rakyat, ketua dengan pengikut bawahannya, majikan dan buruh serta seterusnya.
Baginda Rasul SAW ditemukan dengan para Rasul dan solat berjamaah di Masjid Aqsa, Palestin menandakan bahawa Islam satu sahaja agama Allah yang dibawa oleh semua para Rasul AS sejak Adam AS sehingga Muhammad SAW. Walaupun adanya perbezaan syariat mengikut zaman dan masyarakat namun bersatu aqidah ketuhanan Allah Yang Maha Esa sahaja dan wawasan dihari Akhirat.
Firman Allah SWT:
أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ
“Adakah mereka mencari-cari dan berpegang kepada yang lain daripada agama Allah (Islam), padahal telah Islam kepada Allah seluruh makhluk langit dan bumi secara taat (mengikut pilihan) dan terpaksa (mengikut fitrah) dan kepadanya dikembalikan (pada hari Qiamat).” (Surah Ali-Imran, ayat 83)
Kalangan para Rasul itu ada yang ramai pengikutnya dan ada yang sedikit, bahkan ada juga yang keseorangan. Menunjukkan kewajipan mereka hanya menyampaikan risalah Islam yang sebenar, adapun penerimaanya, hanya Allah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya apabila menggunakan akal yang bijak dengan berpandukan ilmu yang benar, serta bersungguh dan ikhlas mencari kebenaran. Hidayah itu tidak layak kepada yang sombong seperti iblis walaupun sangat bijak.
Perjalanan Rasulullah SAW di malam itu diganggu oleh seruan iblis, Yahudi, Nasrani, dunia dan segala godaannya, namun Rasulullah SAW menunjukkan jati diri paling kuat beristiqamah sehingga pertemuan dengan Allah.
Peristiwa ini juga menunjukkan betapa kebesaran ketuhanan Allah SWT dan kerajaanNya yang besar. Maka langit dan bumi dengan segala kerajaan manusia termasuk yang bertaraf kuasa besar laksana lebih kerdil daripada zarah (habuk yang paling halus) kalau hendak dibandingkan dengan alam yang luas.
Maka Muhammad SAW yang dilantik menjadi Rasulnya tidak mungkin dihalang mesejnya oleh sesiapa pun, bukan sahaja di Mekah pada masa itu, bahkan daripada seluruh penjuru dunia yang mengepungnya disepanjang zaman.
Islam adalah cahaya petunjuk Allah yang tidak mungkin dipadam oleh segala musuhnya. Firman Allah SWT:
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ * هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ
“Mereka hendak memadamkan cahaya petunjuk (Islam) daripada Allah dengan mulut-mulut mereka, namun Allah tetap menyempurnakan cahayanya walau pun dibenci oleh orang-orang yang kafir (mereka menolak dan menentang Islam). Dialah (Allah) yang telah mengutuskan RasulNya dengan petunjuk dan agama (al-Din ) yang benar, supaya menzahirkannya sehingga mengatasi segala agama dan ajaran yang lain walau pun dibenci oleh orang-orang musyrikin.” (Surah As-Saff, ayat 08-09)
Ditunjukkan juga pada malam bersejarah itu bahawa mereka yang beristiqamah, betapa bahagia dan berjayanya mereka di alam akhirat walaupun matinya dibunuh kejam sehingga jasadnya dihancur lumat. Betapa pula celakanya mereka yang tidak beristiqamah, aqidah, syariat dan akhlaknya walaupun membawa pangkat, harta dan takhta.
Pada malam bersejarah itu juga diperintahkan kewajipan solat lima waktu yang menjadi hubungan langsung di antara hamba dengan Allah tanpa perantaraan, mengadap kearah kiblat yang pada awalnya di Sokhrah Masjid Al Aqsa tempat Nabi Ibrahim AS bermukim, kemudian diubah kearah Kaabah di Mekah dibina oleh Ibrahim AS dan Puteranya Ismail AS.
Perjalanan Israk menggabungkan Mekah dan Baitul Maqdis dan Mikraj pula menggabungkan langit dan bumi. Mekah masih selamat dipelihara Allah dan dimakmurkan oleh umat Islam daripada seluruh penjuru dan pelusuk dunia, manakala Palestin dan bersamanya Masjid Al-Aqsa ditakluk Yahudi pembunuh para Rasul dan makhluk paling merosakkan dunia, kerana kelemahan umat Islam yang tidak istiqamah bersama Islam.
Maka peristiwa Israk dan Mikraj bukan sekadar kisah yang dibaca dan didengar, bahkan satu kewajipan yang wajib dipelihara dengan baik dan amaran kepada pengkhianat agamaNya. Rasulullah SAW memberi peringatan:
لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِى عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلاَّ مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيْنَ هُمْ قَالَ « بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ .( مسند أحمد (48/ 430 بترقيم الشاملة آليا).
“Sentiasa ada kalangan umatku orang yang terbuka dan gagah perkasa menegakkan Islam di hadapan musuh, mereka tidak dapat dimudaratkan oleh orang-orang yang menentang (dan mengecewakan) mereka, melainkan apabila mereka menghadapi kesukaran sehingga datangnya keputusan Allah mereka terus dalam keadaan yang sama (tidak berganjak daripada perjuangan). Para sahabat bertanya: Di manakah mereka? Sabda Rasulullah SAW, Mereka berada di Bait Al-Maqdis dan di sekitar Bait Al-Maqdis.”
Ternyata adanya intifadah di Baitul Maqdis dan di kelilingnya, walaupun negara haram Israel merampas dengan menggunakan kekerasan dan kemewahan. Adanya pula pemimpin dari Negara Arab dan Islam yang bersekongkol dengan Israel dan memujuk kebangkitan (Intifadah) di Baitul Maqdis supaya menyerah kalah dan bersama mengepungnya, serta menuduh kumpulan Islam bersama intifadah sebagai pengganas, bukannya pelampau Yahudi yang ganas. Percayalah bahawa inilah janji yang benar daripada Rasulullah SAW.
BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
9 Syaaban 1437 / 16 Mei 2016 – HARAKAHDAILY 16/5/2016