Archive for April, 2010


DENYUT KASIH MEDIK

Buku Yang Baru Dibaca :

Penulis : Dr Farhan Hadi Mohd Taib

Harga : RM23.00 / RM25.00

Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd

Denyut Kasih Medik merupakan sebuah kisah perjuangan seorang doktor muda mengaplikasikan syariat di hospital ketika bergelar doktor pelatih (houseman). Ia juga kisah masyarakat kerana menyentuh isu-isu perubatan dalam kehidupan masyarakat.

Bukan itu sahaja, ia kisah seorang pemuda yang hidupnya sarat impian dan cita-cita. Lebih menarik, ia bukan hanya menyentuh fiqh perubatan, bahkan turut menyelitkan fiqh wanita dan fiqh cinta.

Nantikan satu kisah indah yang sungguh membina, Denyut Kasih Medik.

***

Saya bersetuju dengan ulasan Dr Basil Towil, Ketua Jabatan Ortopedik Hospital Serdang yang mencadangkan agar novel ini dijadikan rujukan bagi para doktor, staf hospital dan pelajar perubatan dalam konteks memahami cara aplikasi syariat di hospital.

Bahkan bagi saya, orang awam juga sama ada lelaki dan perempuan, tua atau muda wajar membacanya kerana ia turut menceritakan tentang pelaksanaan syariat ketika sedang sakit.

Antara isu-isu yang menarik perhatian saya ialah solat ketika sakit; penggunaan ubat yang mengandungi lemak babi (clexane); solat jama’ atau qadha bagi pegawai perubatan yang terlibat dalam operasi pembedahan; merancang kehamilan; misteri air selusuh dan lain-lain.

Menariknya novel ini mengandung unsur aqidah, syariat dan akhlak yang luhur serta turut memuatkan info-info fiqh yang penting, tips kesihatan, hadith dan nota kaki bagi istilah-istilah perubatan dan agama yang perlu kepada huraian dan maksud.

Tetapi dialog yang paling menarik perhatian saya ialah ketika watak Dr Muslih diarahkan berpindah ke Kota Sabak tanpa kompromi oleh Timbalan Pengarah Hospital. Dr Muslih :

“Dr Rujiah, sekarang doktor mempunyai kedudukan dan kuasa. Doktor boleh buat keputusan sesuka hati tanpa memikirkan orang lain. Tapi ingat, di akhirat nanti semua pangkat ini akan hilang. Kami semua akan menuntut keadilan kelak. Allah Maha Adil!”

Banyak sangat hendak dikomen, saya sarankan agar saudara beli dan baca novel ini sehingga habis! Di Kota Kinabalu, dapatkan novel ini di Pustaka Aslam, Plaza Kingfisher, Likas Kota Kinabalu.

No Akaun Maybank : 110 144 258 219

Namanya Md Fazri Ansun, 21 tahun berasal dari Kg Lohan Ranau. Fazri adalah tamatan Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah tahun 2010 dengan memperolehi diploma tahfiz JAKIM yang baru lalu.

Bapa Fazri, Ansun @ Jahasin Yandarang, 70 tahun adalah pesara pekebun sekolah dan petani kampung. Beliau kini terlantar sakit di rumah, menderita penyakit buah pinggang. Sementara ibunya, Saimah Salimbot, 66 tahun seorang suri rumah sepenuh masa.

Fazri adalah anak bungsu dari 12 adik beradik ( 8 lelaki dan 4 perempuan). Hanya tiga daripada abang-abangnya bekerja sebagai kakitangan awam sementara yang lain bekerja sendiri seperti pengawal keselamatan, petani kampung dan suri rumah.

Teruskan membaca

Sudah lama saya berhasrat untuk mempromosi restoran ini lewat blog Abu Nuha Corner.

Restoran Mai Home Cooking ini mula beroperasi menjelang Ramadhan tahun lalu dengan ‘perasmiannya’ dibuat oleh Ust Azam. Restoran ini terletak di Putatan Plaza, sebaris dengan restoran KFC dan Chan Electrical.

Alhamdulillah, sudah beberapa kali berkunjung dan menjamu selera di sini, masakannya begitu sesuai dengan selera saya. Satu lagi, saya tidak menanti masa terlalu lama meski pada waktu puncak.

Restoran ini dibuka pada jam 6 pagi sehingga 10 malam dan diketuai oleh Tuan Hj Jafre Hj Abd Rashid Shirlin sebagai pengurusnya. Hj Jafre juga adalah pengerusi JK Masjid al-Hilal Kg Tanjung Dumpil Putatan yang kini sedang diroboh bagi memberi laluan pembinaan masjid baru.

Buku Yang Sudah Dibaca :

Penulis : Ust Nasrudin Hj Hassan at-Tantawi

Harga : RM15.00 / RM17.00

Penerbit : Akademi ar-Rasyidin (019-9168182 / 019-9848182)

Buku ini saya beli setahun lalu dan baru saya baca minggu lalu. Seingat saya ini merupakan kompilasi artikel-artikel berharga beliau lewat blog http://episodeperjuangan.blogspot.com/.

Di awal catatan presiden, saya sudah teruja dengan ayat beliau :

“..Para pemuda mesti lapang dada dan membuka minda untuk menerima ilmu. Mereka mesti menelan hakikat bahawa ilmu yang diumpamakan dengan aliran air. Makin rendah sesuatu tempat, maka makin banyak air yang ditakung.

Begitu juga ilmu, perlu ‘ditakung’ dengan hati yang merendah diri. Semakin tawaduk seseorang itu, semakin banyak ilmu yang bakal dimiliki dan diwarisinya”.

Bukunya nipis, 75 muka surat dan hanya mengambil masa yang singkat untuk membacanya.

Namun, untuk menghadamkannya dalam perjuangan, sudah tentu mengambil masa yang tidak sedikit. Saya saran buku ini untuk dibaca dan dibincang dalam usrah pelbagai peringkat.

Kandungan : Bingkisan Untuk Pejuang; Manhaj Pemikiranku; Bagaimana PAS Berjuang; PAS Menegur dan Menasihati Pemerintah; Memurnikan Fikrah Perjuangan; Jaga Keabsahan Perjuangan; Cabaran dan Masa Depan Pemuda; Cabaran Utama Yang Mesti Dihadapi; Serangan Pemikiran.

Bagi pencinta ilmu, kesempatan hadir dalam mana-mana kuliah agama begitu ditunggu dan dinanti-nanti. Sikap demikian saya perhatikan berlaku dalam program kuliah bimbingan agama yang dianjur oleh Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah.

Budaya menuntut ilmu jelas kelihatan apabila hampir kesemua mereka membawa buku yang disarankan sama ada subjek tasauf, fekah, tauhid atau tajwid yang menjadi bualan peminatnya ketika ini.

Bagi kuliah tasauf, fekah dan tauhid yang diadakan 8.30 malam isnin, selasa dan rabu, pelajarnya siap menanti ustaz masuk dan memulakan kelas, sementara di penghujungnya ada sesi soal jawab dan kemudian beratur untuk bersalam-salaman sambil mengalunkan solawat badriyyah.

Catatan bagi menceritakan situasi seperti ini boleh jadi tidak begitu asing di sesetengah negeri di Semenanjung atau di Timur Tengah di mana kuliah-kuliah tafaqquh fiddin berjalan begitu rancak. Namun bagi saya di Sabah, ia seperti baru bermula.

Sebenarnya kuliah-kuliah maghrib dan subuh semakin bersemai di masjid dan surau di negeri ini. Namun, berdasarkan pengalaman saya yang sedikit ini, budaya suka bersandar ke dinding, ‘berceramah’ sesama sendiri dan suka menganga dan mendengar semata tanpa sebarang catatan ini begitu sebati.

Saya mengimpikan kuliah ini satu hari nanti melimpah melewati bilik kuliah ini dengan kehadiran ratusan orang dan kemudiannya menjadi budaya menuntut ilmu dengan penuh adab dan keberkatan.

Kuliah fekah lepas, Ust Hj Muchlish menceritakan tentang adab-adab hari Jumaat. Ustaz bercerita panjang tentang fadhilat surah al-Kahfi berdasarkan hadith nabawi dan pengalaman hidup beliau yang begitu menarik sekali.

Jemput hadir ke kelas bimbingan ini. Isnin (Tasauf), selasa (Fekah), rabu (Tauhid) dan sabtu (Tajwid). Masanya jam 8.30-9.30 malam, kecuali kelas tajwid pada jam 6.00 – 8.00 pagi sabtu. Percuma! Dapat ilmu dan pahala.

Kalau saudara belum pernah datang, cuba sekali dahulu. Kalau kedatangan itu dipimpin dengan niat yang ikhlas untuk menuntut ilmu, insya Allah saudara akan merasa nikmatnya.

Allahumma Ya Allah, fahamkan kami tentang agama, dan ajarkanlah kami tentang ilmu ta’wil. Allahumma amin!

Buku Yang Sudah Dibaca :

Penulis : Zulkifli Khair

Harga : RM 13.00 / RM 15.00

Penerbit : PTS Islamika Sdn Bhd

“Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul daripada dia. Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya daripada lumpur.”

Begitulah kata-kata syaitan dengan angkuh dan sombong di hadapan Allah apabila disuruh bersujud kepada Adam. Ini menunjukkan syaitan merasakan dirinya lebih bertaraf tinggi daripada Adam kerana dia diperbuat daripada api dan Adam diperbuat daripada tanah, yang dianggap tidak bersih dan rapuh.

Oleh sebab Allah menjatuhkan hukuman dicampakkan ke dunia, dia berjanji dan berkata di hadapan Tuhan, Nabi Adam dan para malaikat, dia akan membinasakan Adam dan seluruh keturunannya sampai hari Akhirat kelak. Syaitan diciptakan sebagai ujian tahap keimanan manusia kepada Allah.

Siapa yang terpedaya dengan ajakan syaitan, Allah membalasnya dengan azab sengsara yang pedih di dunia dan di akhirat. Manakala orang yang berjaya melawan dan menyekat kejahatan syaitan, Allah memberikannya penghargaan yang tidak terkira dan dibalas dengan syurga.

Buku di tangan anda ini membawa kita mengenali makhluk perosak terbesar di muka bumi dan bagaimana mereka merosakkan seluruh keturunan Adam di muka bumi secara halus.

Dapatkan juga tip dan langkah kawalan bagi menghadapi dan menghalang bisikan dan hasutan mereka seterusnya menjalani hidup dalam keadaan aman dan menenangkan. Selamat membaca!

Bahagian 1 : Mengenali Iblis dan Syaitan

Bab 1: Siapa Kami?

Bab 2: Aku Jutawan!

Bab 3: Ketika Remang Senja

Bab 4: Allah Lebih Perkasa

Bahagian 2 : Teknologi Syaitan Menyesatkan Manusia

Bab 5: Obsessive-Compulsive Disorder (OCD)

Bab 6: Bahaya Virus P1A1

Bab 7: Bahaya Pihak Ketiga

Bab 8: Sihir dan ‘Bomohisme’

Bab 9: Filem Seram dan Mesra Magis

Bab 10: Zaman Gawat, Iman Tenat

Bab 11: Wanita Agen Syaitan?

Bab 12: Seksi yang Seksa

Bab 13: Lawrence of Arabia

Bab 14: Mustafa Kemal Ataturk

Bab 15: Mirza Ghulam Ahmad

Bab 16: Salman Rushdie

Bab 17: Mengapa Makan Guna Tangan Kiri?

Bab 18: Dunia Siber

Bab 19: Dajal

Bahagian 3 : Firewall daripada Syaitan

Bab 20: Kemas Kini ‘Perisian’ Anti Syaitan

Bab 21: Klik ‘Refresh’

Bab 22: Solat Di Mana-mana

Bab 23: Kuruskan Nafsu, Perkasakan Akal

Bab 24: Muat Turun Ayat Kursi

Bab 25: Klik Zikir Delete Sihir

Bab 26: Melontar Jamrah Secara Maya

Bab 27: IT untuk ‘Ilm Technology

Bab 28: Ouija Board Vs Istikharah

Bab 29: Membina ‘Blog’ Takwa

Bab 30: Dr. Yusuf Estes

Bab 31: Dr. Zakir Naik

Bab 32: Kemuncak Offline

Bab 33: Malunya Ber-Facebook di Padang Mahsyar

Dapatkan buku berkenaan di Pustaka Aslam, Plaza Kingfisher, Likas Kota Kinabalu.

ORANG ITU MARAH-MARAH

Artikel ini saya baca lewat blog sahabat juga seorang wartawan masyarakat Sdr Abd Naddin daripada Utusan Borneo. Saya sering melayari blog beliau, sebagaimana beliau juga melayari blog saya (menurut katanya).

Perkara yang membuatkan saya gemar membaca catatan beliau adalah kerana kebanyakan isinya berkait dengan catatan perjalanan beliau khususnya sebagai seorang wartawan, ahli bahasa dan sastera. Beliau bertemu dengan pelbagai ragam orang, orang politik, orang kampung, orang bandar, orang seni dan bermacam-macam jenis orang.

Demikianlah meski jarang bertemu muka, tetapi dengan sering membaca catatan beliau menjadikan seolah kami rapat seperti bertemu setiap hari. Apabila kami bertemu, memang terasa akrab meski bilangan pertemuan itu rasanya boleh dibilang dengan jari.

Tersengih sendirian apabila saya membaca catatan beliau baru-baru ini :

Orang itu marah-marah kepada Ketua Menteri.

Katanya, Ketua Menteri tidak mahu menemuinya walaupun dia sudah ke pejabat. “Tidak patut Ketua Menteri tidak mahu jumpa saya padahal saya telah berjasa turut membawa UMNO masuk ke negeri ini”.

Dia perlihatkan surat-suratnya yang menyatakan bahawa dia salah seorang yang telah berjasa membawa UMNO masuk ke Sabah.

“Saya kecewa Ketua Menteri tidak mahu jumpa saya,” katanya.

Saya bertanya apa perlunya beliau berjumpa Ketua Menteri?

“Saya mahu hantar surat permohonan kepada CM tetapi tidak dilayan,” dia memberitahu.

“Mana suratnya…mari saya tengok,” kata saya.

Diapun mengeluarkan surat yang dimaksudkan itu.

Ada tiga perkara yang dipohonnya untuk dipertimbangkan oleh Ketua Menteri.

Setelah membaca surat itu, saya berasa ingin marah juga. Saya mahu marah kepada orang yang telah mendraf surat dan memberi nasihat yang salah kepada orang tua itu.

“Siapa yang menulis surat ini, pakcik?” saya bertanya.

“Saya sendiri tulis,” katanya dengan yakin.

“oh!”

“Apa pendapatmu, ngamkah surat pakcik itu?”

“Kenapa CM tidak mahu kasi? Tidak mahu kasi lulus permohonan saya?” Apa salahnya surat itu?” tanyanya.

Saya mahu mengatakan bahawa surat itu tidak sepatutnya ditulis begitu tetapi memikirkan dia orang tua, saya tidak mahu menyinggung perasaannya.

Kalau saya katakan surat itu betul, saya merasa saya pula tidak betul dalam memberikan nasihat kepadanya.

Dia mengaku seorang ketua cawangan Umno di sebuah daerah di Pantai Timur Sabah. Berdasarkan surat-suratnya, belaiu memang pernah terlibat dalam usaha menubuhkan cawangan-cawangan UMNO pada awal pertumbuhannya di Sabah pada 1991 dahulu.

“Saya kecewa kerana CM tidak mahu jumpa,” katanya lagi. Saya membaca suratnya dengan teliti.

Perkara pertama yang dimintanya ialah menjadi anggota kanan kabinet negeri! Bagaimana dia boleh menjadi anggota kanan kabinet sedangkan dia bukan wakil rakyat atau YB yang dilantik?

Saya memandangnya, cuba membaca air mukanya. Beliau seorang yang waras, saya kira tetapi kenapa dia terfikir begitu?

Perkara kedua yang dimintanya ialah menjadi TYT. Apa kelayakan menjadi TYT? Saya cuba memperhalusi kewajarannya.

Perkara ketiga yang dimintanya, membuat saya berfikir masih wujudkah lagi jawatan itu. Katanya, dia mahu menulis juga kepada Datuk Seri Najib untuk memohon jawatan itu.

Orang tua itu memohon untuk jawatan `pengintip rahsia’.

Saya fikir kalau orang tua ini minta diberikan projek, akan lebih mudah barangkali ia dipertimbangkan oleh Ketua Menteri.

Tapi beliau meminta jawatan pengintip rahsia.

Dia memohon mahu menjadi sepai? Saya teringat James Bond yang popular dengan filem 007nya yang berkisah mengenai spy.

Orang dahulu menyamakan pengintip sebagai talibarut. Jawatan pengintip rahsia? Berapa gajinya ya?

 

Beritanya hangat. Sehangat hati mereka yang menjadi mangsa. Perobohan rumah manusia seagama  begitu menyayat hati. Mangsanya orang Islam. Yang tukang roboh juga orang Islam.

Saya kurang maklum, di mana mereka meletakkan hadith Nabi bahawa umat Islam itu bersaudara. Seperti satu badan yang turut merasa sakit anggota yang lain, seperti sebuah bangunan yang saling melengkapi.

Khabarnya, ada manusia-manusia rakus dibalik tragedi menyedihkan ini. Pekerja DBKK dan RELA hanya sebagai alat sahaja. Ada pembesar yang berhati kecil menempah kawasan tanah untuk kepentingan sendiri. Mengaut keuntungan di atas penderitaan orang lain.

Perobohan rumah mereka bermula sejak 12 April lalu dan ia terhenti pagi jumaat setelah mahkamah menerima injuksi sementara terhadap DBKK. Hujung minggu lalu kebetulan ada urusan di kawasan berdekatan, saya singgah dan mendengar cerita-cerita duka mereka.

Saya cadang, yang simpati berkunjunglah ke sana walau seketika. Berikan mereka khabar gembira bahawa Allah SWT bersama orang yang sabar.

Akhbar Daily Ekspress hari ini, selasa 27 April 2010 :

49 penduduk dapat injuksi sementara terhadap DBKK

Jo Ann Mool

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan injuksi sementara untuk 49 penduduk kampung Bakau di Likas untuk menghalang Dewan Bandaraya Kota Kinabalu daripada memasuki, mengusir dan merobohkan rumah mereka serta struktur bangunan di kampung tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman Dato’ Abdul Rahman Sebli mengeluarkan perintah itu di kamarnya selepas mendengar saman ex-parte oleh plaintif, diketuai Dimulu @ Nasir Ahid dan 48 penduduk lain.

Penduduk kampung itu melalui peguan Erveana Ansari memfailkan permohonan mereka dan menamakan Datuk Bandar Kota Kinabalu sebagai defendan tunggal mengikut Perintah 29, Peraturan 1 (2) dan Perintah 92 Peraturan 4, Peraturan Mahkamah Tinggi 1980.

Para penduduk kampung itu, dalam afidavit sokongan mereka, mendakwa mereka terdiri daripada pelbagai suku kaum asal dan memiliki sebidang tanah di bawah Geran Tanah Natif No 011243330 dikenali sebagai Kampung Bakau, Likas.

Mereka mendakwa telah tinggal secara kekal atas tanah tersebut sebelum ia dipindahmilik kepada defendan oleh pihak berkuasa Negeri.

Plaintif itu juga mendakwa, Kerajaan dan DBKK telah mengiktiraf dan meluluskan hak adat penduduk apabila mereka meluluskan antara lain bangunan sekolah, lot parkir, rumah ibadat, pengubahsuaian serta menyediakan kemudahan telefon dan elektrik.

Mereka mendakwa, rumah-rumah mereka sedang dirobohkan tanpa perintah mahkamah sewajarnya dan tanpa defendan memastikan sempadan tanahnya dengan tanah Negeri, merobihkan struktur dan kemudahan tanpa garis panduan sempadan yang sempurna.

Plaintif mendakwa mereka telah dimaklumkan Jabatan Tanah dan Ukur pada 2008, bahawa jabatan itu tidak ada diberitahu oleh defendan yang defendan akan merobihkan rumah atas tanah Kerajaan sekitar tanah tersebut.

Mereka mendakwa, defendan telah memusnahkan 70 peratus daripada rumah di situ tanpa mendapatkan perintah mahkamah terlebih dahulu dan akan merobohkan rumah-rumah selebihnya.

Plantif berkata, perlakuan berterusan defendan dan atau ejennya merobohkan struktur dan rumah atas tanah itu adalah menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan peraturan ‘keadilan asasi’ dan menggesa mahkamah memberikan injuksi kepada plaintif terhadap defendan.

Mengangkut barangan yang berbaki..

GERAI TERBUKA IKAN BAKAR

Sebenarnya selesai zuhur di Masjid Negeri, saya lalu saja di Surau Austral. Saya sudah berjanji menjemput anak yang keluar sekolahnya jam 1 tengahari di SK Kem Lok Kawi. Hari itu ada program Kem Solat.

Kereta saya perlahankan ketika lalu di Surau Austral, pelanggan gerai sudah mulai ramai. Terfikir mahu berhenti singgah, tapi sudah berjanji dengan anak. Kasihan kalau dia menunggu terlalu lama.

Jadi saya pulang duluan menjemput anak.

Hampir jam 3, saya datang semula bersama isteri yang kebetulan ada kelas tambahan untuk pelajar darjah 6 di Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur. Kebetulan pula saya belum sempat makan tengahari.

Buka dompet, usinnya hanya tinggal beberapa ringgit. “Mana cukup untuk makan tengahari”, kata saya kepada isteri. Hendak keluar mencari ATM, jauh pula. Isteri mengunjuk duit RM50.00. Saya tersenyum.

“Kenyang laa aku kali ni…”

Menu yang dijanjikan dalam iklan sudah hampir kehabisan. Baru jam 3 petang, jualan mereka laku kali ini. Pelanggan yang datang masih kelihatan. Kasihan juga yang datang dari Kinarut, Kolombong dan lain-lain melihat juadah sudah banyak yang habis. Penganjur terpaksa menempah dan memasak nasi yang sudah kehabisan.

“Janji sampai jam 5, pelanggan mesti marah sebab makanan kamu sudah habis”, gurau saya.

Semua senyum melihat saya lalu dengan kamera menyangkut di leher. Untuk tatapan peminat setia Abu Nuha Corner yang jauh di mata dan dekat di hati. Oh teringat Hj Omar di Bukit Mahkota, Kajang.

Orang yang paling sibuk sudah tentu Ust Zulhazmi yang empunya program. Begitu juga isteri dan para pembantu beliau yang tidak cukup tangan melayan pelanggan.

Program kali ini – gerai terbuka ikan bakar dan makanan semenanjung ini di bawah anjuran as-Solihin Management & Consultant milik Ust Zul. Memang di kalangan rakan-rakan, Ust Zul memang minat berniaga dan pandai cari duit.

Yang paling best sekali, dia suka bantu orang.

“Ustaz, ada orang pesan kat ana, kalau anta datang makan hari ini, tak payah ambil duit. Ada orang belanja, nanti dia bayarkan”, kata Ust Zul.

Alhamdulillah, semoga orang yang baik hati itu sekeluarga dimurahkan rezeki sehingga bila-bila.

Kadang-kadang saya perasan juga mungkin rezeki saya mengajar dan ceramah di mana-mana masjid, surau, pejabat dan lain-lain, selalu sangat dibelanja orang terutama yang pernah menjadi audien saya.

Di gelanggang masakan, saya nampak kelibat Cikgu Borhan melayan pelanggan. Saya baru tahu Cikgu Borhan yang murah dengan senyuman itu pandai memasak orangnya. Siaplah dia kali ini. Beliau bertugas di SK Pulau Gaya sementara isterinya seorang doktor perubatan di Hospital Queen Elizabeth.

Beliau baru bertugas awal tahun ini di Sabah. Orangnya peramah dan kaki surau juga. Nampaknya ramai selesa dengan kehadirannya.

Selesai asar di Surau Taman Austral, hujan turun dengan lebatnya. Sesuai juga ketentuan Allah hari ini. Jualan gerai habis tanpa menunggu jam 5 petang, hujan pun turun. Semua orang berkemas untuk balik ke rumah.

Terima kasih.

Dua peserta Sabah, Nazran (kiri- wakil 1-10 juzu’) dan Khairul Razikin (kanan sekali – ketiga kategori 1-20 juzu’) bergambar kenangan bersama Ust Hj Khairul Anwar Mohammad yang juga hakim munabbih.

Ahmad Mujahid johan Pertandingan Menghafaz al-Quran Kebangsaan

MELAKA 25 April – Peserta Wilayah Persekutuan, Ahmad Mujahid Salleh Sani muncul johan Pertandingan Menghafaz al-Quran Ke-31 Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini yang berakhir hari ini.

Peserta kategori lelaki bagi juzuk 1-30 itu memperoleh markah 97.88 peratus yang membolehkan beliau membawa pulang hadiah berupa pakej menunaikan haji, wang tunai RM10,000, piala iringan dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Tempat kedua kategori lelaki juzuk 1-30 dirangkul peserta Kelantan, Muhammad Hariz Syazwan Mohd. Ariffin dengan markah 97.85 peratus, manakala tempat ketiga dimenangi Mohd. Labib Mohamad Anuar dengan markah 94.93 peratus.

Bagi kategori wanita juzuk 1-30, Siti Nadhira Mohd. Shafie dari Selangor muncul sebagai johan dengan kutipan markah 97.33 peratus dan beliau juga menang anugerah Peserta Wanita Terbaik.

Tempat kedua disandang oleh Mazian Abu Bakar dari Wilayah Persekutuan dengan markah 94.83 peratus dan tempat ketiga dimenangi oleh Siti Farhana Zainudin dari Melaka dengan markah 86.75 peratus.

Kategori lelaki juzuk 1-20 pula dimenangi oleh Mohd. Iqram Niyaz Ahmad (Kelantan), tempat kedua Mohamad Fida’iy Zainal Abidin (Kedah) dan tempat ketiga Muhamad Khairul Razikin Abdul Razak (Sabah).

Pemenang wanita bagi kategori yang sama disandang peserta dari Selangor, Farah Nabilah Amindin diikuti peserta dari Johor, Khairunnisah Zaini dan peserta dari Melaka, Nur Amalina Azharuddin di tempat ketiga.

Pemenang tempat pertama kategori itu menerima hadiah wang tunai RM6,000, piala iringan dan sijil selain memenangi pakej menunaikan umrah.

Peserta Terengganu, Ahmad Tirmizi Ali muncul johan kategori lelaki bagi juzuk 1-10 dan beliau juga diumum sebagai Peserta Lelaki Terbaik pertandingan manakala tempat kedua disandang peserta tuan rumah, Muhammad Haikal Mohd. Aris dan tempat ketiga, Muhammad Naazir Sheikh Alaudeen dari Selangor.

Pemenang kategori wanita bagi juzuk 1-10 disandang peserta Wilayah Persekutuan, Farihah Zulkifli diikuti Siti Hajar Nabilah Mohd. Darha dari Selangor di tempat kedua dan tempat ketiga, Zainab Sapiuddin dari Sabah.

Ahmad Tirmizi dan Farihah membawa pulang wang tunai RM4,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Sebanyak 40 peserta lelaki dan 33 peserta wanita menyertai pertandingan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Tahap Pertama (juzuk satu hingga 10), Tahap Kedua (juzuk satu hingga 20) dan Tahap Ketiga (juzuk satu hingga 30).

***

Ulasan saya

Alhamdulillah, kebangkitan sudah bermula.

Dalam rekod, (Datuk) Hj Asmali Bachi pernah mendapat tempat ketiga dalam majlis yang sama pada tahun 80an. Cuma saya kurang maklum kategori yang disertainya ketika itu. Beliaulah satu-satunya peserta Sabah dalam majlis menghafaz yang mendapat tempat yang baik.

Setelah hampir 30 tahun, barulah kini ada pelapis yang baru dan meningkat naik.  Khairul Razikin berasal dari Papar adalah pelajar Darul Quran.

Namun secara peribadi saya dan beberapa rakan masih ada sedikit kecewa kerana tiada peserta Sabah dari Maahad Tahfiz al-Quran Negeri yang menyertai majlis menghafaz ini sejak peringkat negeri lagi.

Mudah-mudahan kejayaan Md Khairul dan Zainab ini membuka mata semua pihak (khususnya maahad dan JHEAINS)agar kita mengambil berat hal majlis menghafaz baik di peringkat negeri dan seterusnya kebangsaan yang selama ini boleh dikatakan kurang diambil perhatian.

KEPUTUSAN PENUH

Kategori 1-10 Juz (Lelaki)

1- Ahmad Tirmizi bin Haji Ali (Terengganu) : 99.19%

2- Muhammad Haikal bin Mohd Haris (Melaka) : 97.58%

3- Muhammad Naazir bin Sheik Alaudeen (Selangor) : 96.42%

Kategori 1-10 Juz (Perempuan)

1- Farihah binti Zulkifli (Wilayah Persekutuan) : 96.04%

2- Siti Hajar Nabilah binti Mohd Darha (Selangor) : 95.22%

3- Zainab binti Sapiuddin (Sabah) : 94.80%

Kategori 1-20 Juz (Lelaki)

1- Mohamad Iqram bin Niyaz Ahmad (Kelantan) : 97.80%

2- Mohd Fida’iy bin Zainal Abidin (Kedah) : 95.70%

3- Muhamad Khairul Razikin bin Abdul Razak (Sabah) : 95.08%

Kategori 1-20 Juz (Perempuan)

1- Farah Nabilah binti Aminudin (Selangor) : 95.75%

2- Khairunnisa binti Zaini (Johor) : 94.63%

3- Nur Amalina binti Azharuddin (Melaka) : 91.80%

Kategori 1-30 Juz (Lelaki)

1- Ahmad Mujahid bin Salleh Sani (Wilayah Persekutuan) : 97.88%

2- Muhammad Hariz Syazwan bin Mohd Arifin (Kelantan) : 97.85%

3- Muhammad Labib bin Mohamad Anuar (Selangor) : 94.93%

Kategori 1-30 Juz (Perempuan)

1- Siti Nadhira binti Mohd Shafie (Selangor) : 97.33%

2- Mazian binti Abu Bakar (Wilayah Persekutuan) : 94.83%

3- Siti Farhana binti Zainudin (Melaka) : 86.75%

***

HUFFAZ DIBERI PENGITIRAFAN

MELAKA 25 April – Kerajaan akan memberi pengiktirafan akademik kepada semua huffaz di negara ini tanpa mengira di mana mereka menyelesaikan syahadah tahfiz mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata satu mekanisme sedang disusun bagi membolehkan pengiktirafan itu dapat membantu huffaz sama ada bagi tujuan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau bagi membina kerjaya mereka.

“InsyaAllah, strategi jangka pendek yang kita persetujui ialah menubuhkan Dewan Huffaz Kebangsaan yang akan direalisasikan dalam tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada penutupan Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-31 di sini, malam ini.

Jamil Khir berkata para huffaz sebagai orang yang mendalami ilmu al-Quran dan amat dekat dengan ayat-ayatnya, wajar menjadi ejen pengubah masyarakat yang perlu dikembalikan kepada fitrah manusia sebenar.

“Kita tidak boleh lagi “berpeluk tubuh, bersilang kaki” dalam menyaksikan kemunduran akhlak yang menular dalam masyarakat.

“Persediaan dan persiapan dari sudut fizikal dan mental perlu diperkukuh pada setiap masa untuk melaksanakan kewajipan berdakwah yang diamanahkan ke atas bahu setiap umat Islam,” katanya.

Beliau berkata gabungan peranan golongan profesional dan intelek al-Quran sangat diperlukan bagi mencapai kejayaan yang seimbang dalam pembinaan ummah yang bertamadun. – BERNAMA

Gambar-gambar diambil dari Facebook Muhammad Khairul Razikin atas izin beliau. Terima kasih.

%d bloggers like this: