Tarikh : 12-15 Julai 2016
Lokasi : Papar, Putatan
Sudah lama seorang rakan memaklumkan hal ini tetapi saya hampir terlupa menyiarkannya di dalam blog ini. Dua lokasi tetapi kedua-duanya dalam daerah Putatan. Foto yang dirakamkan pada akhir September 2012.
Foto pertama dirakamkan di Jalan Tapikong dan foto kedua di Taman Pasir Putih Putatan. Harapnya pihak berkenaan dapat mengambil tindakan untuk kemaslahatan pengguna jalanraya. Walaubagaimanapun mohon maaf dan tahniah jika tindakan sudah diambil. Terima kasih.
Satu ketika timbul beberapa polemik untuk membina sebuah masjid bertaraf masjid daerah di Putatan apatah lagi apabila Putatan mula dinaiktaraf sebagai daerah penuh dan tidak lagi bernaung di bawah daerah Penampang. Timbul beberapa lokasi cadangan untuk menempatkan masjid daerah. Bahkan TYT sebelum ini Tun Ahmadshah pernah mencadangkan Masjid al-Hilal sebelum diroboh dan dibina semula (yang baru sekarang) dijadikan sebagai masjid daerah.
Masjid yang ada sekarang telah dibina pada tahun 2010 dan mula digunakan pada akhir Julai 2011. Bangunan utamanya telah siap dan digunakan sepenuhnya khususnya untuk solat fardhu, solat tarawih termasuk di dewan di aras bawah untuk program ceramah, kursus dan sebagainya. Hanya kawasan perkarangannya, sesudah setahun masih belum diaspal sepenuhnya. Bahkan ada kenyataan pembinaan fasa ke-2 yang sepatutnya bermula awal tahun ini belum kelihatan lagi.
Fasa kedua berkenaan dengan kos RM4 juta akan merangkumi sekolah agama, bazar, rumah imam dan kemudahan yang lain. Semoga pihak berkuasa akan melihat lebih serius dan tegas berkenaan hal ini. Berkenaan aktiviti pengimarahan, setinggi tahniah atas program setakat ini dan diharap dapat dipertingkatkan khususnya kuliah-kuliah maghrib dan ceramah bulanan.
Suatu malam saya pulang lewat.
Hampir Putatan saya teringat pesanan isteri untuk membeli sedikit keperluan anak-anak yang agak mendesak. Saya keletihan dan tidak berhajat untuk patah balik ke arah Kepayan, Tanjung Aru, Sembulan atau ke Kota Kinabalu. Putatan menjadi daerah penuh dan semakin berkembang pesat pembangunannya, jadi saya terpaksa meronda mencari kedai-kedai runcit 24 jam sekitar pekan.
Nampaknya tiada.
Saya lihat poliklinik 24 jam, restoran india 24 jam, premis atm bank 24 jam, tapi belum ada kedai runcit seperti ‘Seven Eleven’, ‘Orange’ dan sebagainya di kawasan pekan. Belum ada. Barangkali kosnya tinggi, risikonya juga besar. Dalam keletihan itu, saya gagahi juga memandu ke arah Kg Ketiau, manalah tau ada bertemu kedai-kedai runcit yang masih buka tengah malam.
Rezeki saya bertemu dengan sebuah rumah berdekatan Kg Serigai di tepi jalan, selepas SK Tansau dan sebelum SMK Tansau. Rumah 2 tingkat, dan di bawahnya ada kedai runcit. 24 jam, akui mereka. Apa yang saya cari, saya temui di situ. Saya lupa nama kedai tersebut, tapi saya tolong promosi di sini, untuk orang Putatan. Saya ucapkan tahniah kepada mereka, walaupun sepatutnya di tengah pekan Putatan yang semakin berkembang itu sudah ada kedai runcit 24 jam.
“Lebih 30 gerai semuanya di sini”. Kata seorang makcik, salah seorang penjual di gerai yang saya tanya beberapa hari lalu. “Kami berjualan di sini lebih sepuluh tahun, ada yang lain barangkali lebih 15 atau 20 tahun”, katanya. Ada yang mendakwa berjualan lebih dari 20 tahun.
Gerai-gerai tepi jalan di Jalan JKR Putatan, berdekatan sederet kedai ‘Putatan Lama’ (menurut sebutan orang awam)Â sudah dirobohkan beberapa hari lalu bagi memberi laluan kepada pelebaran jalan. Saya sudah mendengar ura-ura perobohan ini sebulan dua lalu dan mereka khabarnya hendak dipindahkan ke kawasan lain. Sejauh mana cerita lanjutnya, saya kurang maklum.
Putatan mengalami perkembangan pesat yang memberansangkan beberapa tahun kebelakangan sehingga menyebabkan kesesakan teruk khususnya pada waktu puncak pagi dan petang. Terdapat beberapa hypermarket seperti Giant dan Servay selain beberapa premis utama di Putatan seperti Supermarket Standard, Kamdar dan lain-lain. Beberapa buah bank juga menempatkan cawangan atau sekurang-kurangnya mesin ATM mereka. Antaranya Bank Islam, CIMB, Maybank dan BSN. Projek yang sedang membangun sekarang ialah projek perumahan di belakang hypermarket Giant yang menempatkan lebih seribu unit.
Sementara itu difahamkan, gerai-gerai berkenaan yang menjual makanan, minuman, buah-buahan dan sayuran itu didirikan di atas kawasan JKR. Buat sementara mereka masih diberikan kebenaran sementara berjualan di tapak berhampiran sehingga satu masa yang akan dimaklumkan kelak.
Ada rumah yang meninggi ke atas. Ada rumah yang menurun ke bawah. Rumah meninggi ke atas menjadi sebahagian tempat mengumpul amal untuk dibawa ke rumah menurun ke bawah, alam sempadan sebelum dihadapkan di mahkamah Allah SWT.
Ada tiga yang akan mengiringi jenazah ke kubur. Ahli keluarganya, hartanya dan amalannya. Dua akan kembali ke rumah sementara yang satu tinggal bersamanya. Yang balik adalah ahli keluarga dan hartanya, sementara amalannya tinggal bersama. Ramai orang menyibukkan diri terhadap sesuatu yang bakal ditinggalkan. Tidak ramai orang yang menyibukkan diri terhadap sesuatu yang akan dibawanya ke dalam kubur.
Jumaat lalu saya diundang ke surau ini untuk menyampaikan khutbah.
Surau al-Bari’ Taman Ketiau baru sahaja mendapat kebenaran menunaikan solat Jumaat sejak April lalu. Demikian saya dimaklumkan oleh Ustaz Ali Abdullah, orang kuat surau berkenaan.
Surau ini kecil sahaja, tetapi pihak pengurusan menambah sedikit ruang dan atap di bahagian sayap kanan dan kiri surau. Saya memahami permohonan jumaat mereka memandangkan masjid terdekat iaitu Masjid Kg. Ketiau juga penuh sesak pada setiap jumaat sehingga melimpah keluar.
Doa saya semoga surau ini terus diimarahkan dengan aktiviti bermanfaat untuk umat Islam yang menjadi penduduk majoriti di taman ini.
Sudah ramai rakan-rakan memberi maklum akan Pasar Nelayan Pasir Putih ini. Letaknya berdekatan jalan masuk ke Taman Teluk Vila. Saya pula oleh kerana jarang lalu di kawasan ini, tidak pernah pula singgah di sini kecuali semalam, buat pertama kalinya.
Sebelum ini pernah juga hendak singgah tetapi apabila masa tidak kena dan kelihatan lengang, saya tidak jadi hendak berhenti.
Saya dapati ikan-ikan segar yang para nelayan tangkap sama ada dengan pukat atau pancing. Katanya, mereka memukat atau memancing sekitar kawasan berhampiran sehinggalah ke kawasan arah tengah laut Papar, Pulau Mengalun atau ke Pulau Tiga.
Kebiasaannya, bot yang membawa ikan akan tiba di lokasi pada jam 8.30 pagi dan jam 5 petang untuk memunggah hasil tangkapan dan seterusnya dijual kepada para pelanggan.
Ketika saya berkunjung petang semalam, kebetulan ikan-ikan segar baru tiba beberapa minit sebelumnya. Ada ikan tenggiri (RM16 sekilo), bakulan (RM6 sekilo), rumahan (RM7 sekilo) dan lain-lain.