Bertemu tanpa disangka dengan pendakwah, Ustaz Rustamin Amak Jamilah, 62 tahun. Beliau berasal dari Lombok dan berhijrah ke Sabah sejak tahun 1981. Berkhidmat di Tambunan sehingga tahun 2007 dan kemudian menjadi guru besar di SAN Kg Timbua Ranau. Setelah bersara beliau berkhidmat pula di Hospital Ranau di bawah PERKIPS. Antara pertemuan kami ialah pada 2008 di Kg Timbua dalam program dakwah dan pemantapan aqidah.
Tag Archive: Pendakwah Sabah
Hujung minggu sudah, saya dimaklumkan ada satu pertemuan kecil-kecilan di Shah Alam menemukan beberapa para asatizah dan aktivis dakwah yang pernah berkhidmat di Sabah dan kini mereka sudah berpindah ke Malaya.
Meskipun liqo’ ini dalam bilangan yang kecil namun hasrat mereka cukup besar untuk melihat dan membantu kerja dakwah di Sabah. Antara perkara yang dibincangkan ialah berkenaan proses mengatur program dakwah, bantuan ekonomi bagi menggerakkan dakwah dan sebagainya.
Sekadar menyebut beberapa nama, antara yang terlibat ialah Drs Zainuddin @ Cikgu Din yang pernah berkhidmat di Keningau, Ustaz Wan Azhar yang pernah bertugas di beberapa daerah di Sabah, Cikgu Jefry dahulunya di Politeknik Kota Kinabalu, Ustaz Zulhazmi Osman yang dahulunya berkhidmat di Kota Kinabalu dan nama-nama lain.
Maklumat yang sampai ialah, ramai kalangan alumni ini berminat hadir tetapi berhalangan pada saat akhir. Sebahagian lagi meski tidak dapat hadir bersetuju memberi komitmen menurut kemampuan masing-masing. Cikgu Din dan Ustaz Wan Azhar akan menjadi teraju penting dalam misi ini. Jika ada alumni pendakwah Sabah yang membaca maklumat ini dan berminat membantu sama, hubungi Ustaz Wan Azhar 019-9619876 /019-9243951.
Ustaz Haji Mohammad Ibrahim, imam rawatib di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan memutuskan untuk balik ke Semenanjung Malaysia setelah berkhidmat di bumi Sabah lebih 40 tahun.
Beliau adalah guru agama kepada ramai orang, termasuk isteri saya pada zaman persekolahan dahulu. Ustaz Haji Mohammad berasal dari Melaka, melalui cerita lisan yang sampai kepada saya pernah serumah dengan guru kami Allahyarham Ustaz Haji Abu Bakar Omar (yang baru meninggal bulan oktober lepas) semasa tinggal bersama Allahyarham Ustaz Datuk Haji Mohammad bin Ahmad, Mufti Sabah ketika itu.
Ustaz Haji Mohammad sudah beberapa tahun bertugas sebagai imam di masjid ini, bahkan ketika masih di lokasi masjid (surau) lama yang masih wujud di kawasan yang sama di sini. Pada peringkat awal saya tidak mengetahui ketokohan beliau, beliau mendatangi saya ketika saya bertugas di Masjid Negeri Sabah – sekitar tahun 2005-2006 – untuk tasmik hafazan beberapa surah al-Quran.
Beberapa bulan kemudian saya jadi rasa terkedu apabila mendapat tahu beliau adalah orang lama dalam dunia dakwah di Sabah bahkan guru agama kepada isteri saya. Apabila saya berkuliah maghrib setiap isnin di masjid ini, beliau adalah orang yang istiqomah untuk berjabat tangan dan mengucapkan terima kasih setiap selepas kali selesai kuliah sebelum azan isyak dikumandangkan. Luhurnya akhlak beliau walaupun kepada orang muda seperti saya.
Isteri Ustaz Haji Mohammad meninggal dunia beberapa bulan lepas ketika mereka berziarah ke Semenanjung, juga seorang guru agama dan mereka adalah pasangan suami isteri yang sangat konsisten hadir ke masjid solat berjamaah, sama ada ketika Ustaz bertugas imam solat atau tidak.
Ustaz Haji Mohammad memutuskan untuk berpindah ke Negeri Sembilan, kita doakan beliau dikurniakan umur yang panjang, tubuh yang sihat, dimudahkan beramal ibadah. Semoga ada kesempatan bertemu dengan beliau lagi selepas ini.
Beliau seorang yang saya kenali sejak pertengahan 90an, ketika kami mula menuntut di Maahad Tahfiz al-Quran, barangkali agak terlambat saya mendengar nama beliau berbanding perjuangannya dalam dunia dakwah khususnya di Sabah sejak awal tahun 70an lagi. Tahun-tahun pertengahan 90an itu, saya mengetahui beliau bertugas di SMKA Kota Kinabalu dan pernah mengajar ilmu tarannum di beberapa lokasi.
***
Ustaz Haji Parmin Sahlan, anak jati Pontian Johor dilahirkan pada 10 Ogos tahun 1942. Di kampungnya di Kg. Parit Bugis, beliau menjadi imam dan mengajar orang kampung dengan ilmu-ilmu asas al-Quran dan Islam, suatu kerja yang amat diminatinya sebagai guru kepada masyarakat.
Hasrat untuk berhijrah ke Sabah timbul pada tahun 1973, apabila beliau dikhabarkan hendak dilantik sebagai Naib Qadhi di daerah Pontian. Oleh kerana minatnya kepada dunia pendidikan, menjadi guru agama kepada masyarakat menyebabkan beliau akhirnya berhijrah ke Sabah meninggalkan kampung halaman dan jawatan yang bakal ditawarkan kepadanya.
Pada peringkat awal hijrahnya ke Sabah, beliau ditempatkan di pejabat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang ketika itu beroperasi di Bandaran Berjaya, tidak jauh dari Padang Merdeka kini bersama-sama dengan Muhiddin Yusin (Ybhg Datuk) kini mantan Pengarah Pelajaran Negeri Sabah.
Tidak lama, beliau dihantar bertugas di lokasi pertama iaitu di SK Tagaroh Kota Marudu. Tahun 1973 ketika itu, perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kota Marudu memakan masa perjalanan sekitar setengah hari. Beliau berhadapan pengalaman manis dengan kebanyakan masyarakat di kampung tersebut majoritinya adalah saudara baru yang sangat memerlukan bimbingan tentang asas ajaran Islam.
Hanya lapan bulan di kampung tersebut, beliau kemudian dipindahkan ke pekan, iaitu di SMK Pekan Kota Marudu pula. Di sini beliau selain mengajar ilmu fardhu ain dan al-Quran kepada masyarakat setempat di masjid-masjid yang beliau kunjungi, beliau juga mula membimbing kumpulan nasyid, satu seni dakwah yang sangat beliau minati.
SETAHUN DI DAKWAH SENI
Selepas lapan bulan di sini, sekali lagi beliau dipindahkan, kali ini ke Kota Kinabalu. Beliau dimaklumkan oleh Datuk Hamid Egoh bahawa Tun Datu Mustapha sendiri mahu beliau dibawa ke Kota Kinabalu, khususnya bertugas di Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), dengan ditempatkan di satu bahagian yang dinamakan Dakwah Seni. Tun Datu Mustapha dikatakan tertarik dengan kebolehan Ustaz Parmin membimbing kumpulan nasyid dari Kota Marudu yang membuat persembahan dalam mesyuarat agung USIA.
Beliau turut mengimbas kenangan, bersama-sama dengan Ustaz Jalidar Abd Rahim dan Ustaz Bahri, mereka diberikan dana sebanyak RM15 ribu untuk membeli alat-alat muzik sebelum dimanfaatkan dalam majlis-majlis rasmi dan keramaian bersama USIA. Setahun di USIA, beliau dibawa menjelajah seluruh Sabah mengiringi majlis-majlis pengislaman yang dianjurkan oleh USIA dengan persembahan nasyid bagi menarik perhatian masyarakat ketika itu.
KEMBALI KE DUNIA PENDIDIKAN
Selepas itu beliau berpindah lagi dek minat beliau dalam dunia pendidikan. Kebanyakan lokasi beliau tidak lama seperti sebelum ini. Hanya sekitar setahun, beliau berkhidmat pula di SUI Sembulan pada tahun 1977, kemudian berpindah ke Maktab Sabah pada tahun 1978 sebelum ke SRK St Agnes Likas pada tahun 1981-1990.
Beliau terkenang ketika mengajar di sekolah ini, beliau dipanggil sebagai ‘cikgu ustaz’, kerana turut mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan jawi. Anak-anak beliau turut bersekolah di sini, sambil menjual kuih-muih kepada murid-murid beragama Islam kerana pengusaha kantin dikendalikan oleh bukan muslim.
Sekitar tahun 1985, ketika masih bertugas di SRK St Agnes, beliau turut diundang dan mula mengajar secara sambilan ilmu fardhu ain dan al-Quran kepada warga kerja Istana Negeri Sabah, yang ketika itu berketuakan Tun Said Keruak (Allahyarham) sebagai Yang Di Pertua Negeri Sabah. Ketika itulah beliau mencadangkan kepada Allahyarham Tun dan (Tan Sri) Sukarti Wakiman yang bertugas sebagai Setiausaha Sulit TYT agar membina sebuah surau di kawasan istana bagi kegunaan para pekerja istana.
Sesuatu yang menarik perhatian, dalam tempoh itu pihak istana dengan bimbingan Ustaz Parmin turut mengadakan solat hajat banyak kali memohon agar Allah SWT memberi peluang kepada umat Islam memimpin negeri ini. Untuk rekod, sekitar tahun 1985-1994 kerajaan Sabah dipimpin oleh Parti Bersatu Sabah diketuai oleh Datuk Seri Panglima Pairin Kitingan.
Pada tahun 1991, beliau berkhidmat di SMK Agama Kota Kinabalu sehingga pencen dalam perkhidmatan awam pada 1997. Dalam tempoh antara tahun 1995-1997, Ustaz Haji Parmin juga bertugas sebagai pensyarah sambilan di Maktab Perguruan Gaya (kini Institut Pendidikan Guru Gaya).
Apabila pencen pada 1997, tidak bermakna beliau turut bersara daripada dunia pendidikan yang sangat dicintainya. Beliau terus berkhidmat dengan membimbing sebuah tadika yang diadakan di Masjid Jamek Kg Likas.
Ketika umur menganjak ke angka 59 tahun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah menagih kudrat dan kepakaran beliau sebagai Penyelia KAFA selama 8 tahun sekali lagi mengimbas kenangan bersama USIA, dengan sering meninggalkan rumah untuk menjelajah pelusuk Sabah memberi kursus pula kepada para guru-guru KAFA.
Selepas lapan tahun itu, beliau mengakui dengan umur yang semakin lanjut beliau mengangkat tangan tidak mampu lagi berjalan jauh dan berhenti perkhidmatan bersama JAKIM Sabah.
Pada tahun 2008, beliau diamanahkan sebagai guru besar di Madrasah al-Mubarak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu sekaligus ahli jawatankuasa masjid berkenaan sehingga kini walaupun sudah berusia 71 tahun.
Demikianlah beliau, Ustaz Haji Parmin Sahlan yang mendambakan dirinya dalam dunia pendidikan khususnya pengajaran al-Quran sejak usia mudanya sehingga kini dek mengambil manfaat hadith Nabi SAW (bermaksud) : “Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya”.
Dalam masa yang sama, kepakaran beliau dalam bidang tarannum al-Quran turut dimanfaatkan oleh negeri ini dengan sering diundang menjadi hakim dalam majlis-majlis tilawah al-Quran pelbagai peringkat di Negeri Sabah. Di peringkat negeri contohnya beliau sudah terlibat sebagai hakim sejak tahun 1975 lagi dengan kebanyakan dalam kategori tarannum (lagu).
Begitu juga dalam bidang-bidang seni suara lain seperti nasyid, marhaban, barzanji dan lain-lain beliau juga sering diundang sebagai hakim dan pembimbing. Jabatan-jabatan kerajaan dan swasta, institusi pengajian tinggi, sekolah-sekolah juga sering memanfaatkan ilmu beliau kepada warga kerja dan pelajar mereka mempelajari ilmu asas al-Quran khususnya ilmu tarannum.
KELUARGA
Ustaz Haji Parmin mendirikan rumahtangga dengan Puan Suti binti Yusuf yang berasal dari Singapura pada tahun 1961, seorang suri rumah dan pendidik anak-anak mereka sepenuh masa. Anak-anak mereka seramai tujuh orang juga terdiri daripada mereka yang mencintai dunia pendidikan Islam.
Mereka ialah Norhidayah, Jauhariah, Khairul Bashah, Siti Khairiah, Khairunnisak, Siti Faridah dan Mohd Shalahuddin, yang sebahagian mereka terlibat dalam dunia pendidikan juga. Bahkan sehingga kini Ustaz Parmin dibantu oleh salah seorang anaknya Ustazah Siti Khairiah masih mengajar al-Quran di rumah untuk anak-anak penduduk sekitar.
Sumber asal : http://abdnaddin.blogspot.com/2012/11/ustaz-jalidar-tokoh-nasyid-yang-banyak.html
“SETELAH bermusim musafir di sini, di dunia tiada kekal abadi, sediakan amal sebelum kau pergi..”
Itulah antara bait-bait lirik nasyid bertajuk Muhasabah ciptaan Tokoh Nasyid yang tidak asing lagi, Ustaz Haji Jalidar Abdul Rahim. Lagu yang pernah dinobatkan sebagai pemenang lirik terbaik kebangsaan itu amat menyentuh dan menginsafkan. Ukhuwah membina umat yang padu, jangan memandang bangsa dan suku, kasih sayang jalinlah selalu, bagaikan ansar muhajirin selalu.
USTAZ HAJI JALIDAR ABDUL RAHIM dilahirkan di Bedagai, sebuah daerah terpencil, di Medan Sumatera Utara pada 21 Julai 1949. Beliau mendapat pendidikan awal sekolah rendah dan sekolah agama hingga peringkat sanawi di daerah kelahirannya. Haji Jalidar kemudian mengikuti pendidikan guru agama atas di peringkat aliyah di Tanjung Balai, Asahan.
Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Fakultas Tarbiyah di Universiti Islam Sumatera Utara sehingga lulus sarjana muda pada tahun 1973. Setahun kemudian, beliau berhijrah ke Sabah dan berkhidmat di beberapa buah sekolah agama sebelum dilantik sebagai Penyelia Dakwah di Majlis Ugama Islam Sabah. Disamping tugasnya sebagai guru agama, Haji Jalidar lebih dikenali sebagai seorang tokoh nasyid yang telah mengangkat nama Sabah ke peringkat Kebangsaan.
Beliau telah membimbing pelbagai kumpulan nasyid di negeri ini, mencipta hampir 300 lirik dan lagu nasyid.Bermula dengan kejayaan kumpulan Noor El Kawakib yang menjadi Johan Pertandingan Nasyid Peringkat Kebangsaan pada 1979, beliau telah membimbing pelbagai kumpulan nasyid, termasuk Kumpulan Orkestra Dakwah Noor El Sabah yang telah mewakili Asia Tenggara ke Festival Die Garten des Islam ( The Garden of Islam) di Berlin, Jerman. Beliau pernah menjadi hakim pertandingan nasyid di peringkat kebangsaan dan rantau Asean.
Haji Jalidar juga adalah seorang pemuisi yang tidak asing lagi di Sabah yang menjadi kampung halamannya sejak 38 tahun lepas. Atas jasanya yang tidak terhingga terhadap perkembangan seni nasyid di Sabah, Ustaz Jalidar telah menjadi penerima Anugerah Al-Farabi yang pertama pada tahun 2001. Beliau juga pernah dianugerahkan Tokoh Penyair Islam Sabah.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD. NADDIN HJ. SHAIDDIN sempat menemubual beliau pada satu tengahari di salah sebuah restoran terkemuka di Jalan Gaya untuk berkongsi sedikit pengalaman beliau sepanjang terlibat dalam seni nasyid di negeri ini.
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit bagaimana mulanya Ustaz hijrah ke Sabah?
USTAZ JALIDAR: Saya menjejakkan kaki ke Sabah 29 Mac 1974 setelah lulus temuduga yang dikendalikan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) setahun sebelumnya. Kami telah diminta oleh Haji Bahrum Jamil SH untuk menghadiri temuduga itu. Hanya 18 daripada 40 yang hadir temuduga itu dinyatakan lulus dan terpilih untuk Sabah.
Sebelum itu, Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun telah meminta bantuan Buya Hamka, seorang ulama terkenal, ketika itu Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) untuk membantu gerakan dakwah di Sabah.
UB: Dimana ustaz bertugas sebaik tiba di Sabah?
UJ: Ketika itu isteri saya, Hajah Husna Mohd. Yatim sedang sarat mengandung anak kami yang pertama. Selepas Ibnus Shobah lahir pada 5 Mei 1974 di Hospital Queen, saya dihantar bertugas ke Sekolah Agama Islam Papar. Pada tahun 1976, saya ditugaskan ke Sekolah Menengah Rendah Islam Papar. Dua tahun selepas itu, saya dilantik sebagai Guru Besar Sekolah Ugama Islam (SUI) Kampung Pengalat Besar Papar yang ketika itu baru dibuka. Pada tahun 1980, saya dilantik pula sebagai Penyelia Dakwah di ibu pejabat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
UB: Bagaimana pula Ustaz terlibat dalam aktiviti Nasyid?
UJ: Semasa berkhidmat di Papar, saya telah mewujudkan Kumpulan Noor El Kawakib, kumpulan nasyid yang kemudian menjadi juara nasyid di peringkat negeri pada tahun 1979, johan peringkat Kebangsaan anjuran RTM. Ketika itu, Datuk Mohammad Rahmat menjadi Penerangan. Kumpulan Noor El Kawakib sempat merakamkan album lagu-lagu nasyid. Salah seorang penyanyi solo kumpulan Noor El Kawakib ialah Hajah Norsiah Talip (kini almarhumah).
Selepas menjadi johan nasyid, kami terus merakamkan album pada tahun 1979. Bila kita buat album yang pertama, seni nasyid mendapat lonjakan baru. Orang yang banyak membantu ialah Datuk Haji Mohd.Noor Mansoor, Menteri Kewangan pada ketika itu. Beliau membantu apa-apa saja keperluan untuk menerbitkan album nasyid itu. Ketika itu, kita buat album di Kuala Lumpur. Sesuai dengan nama Noor El Kawakib yang bermakna cahaya bintang-bintang, lagu-lagu nasyid mula menyinar selepas itu.
UB: Sebelum itu belum ada album lagu nasyid di Sabah?
UJ: Album Kumpulan Noor El Kawakib itulah album nasyid pertama di Sabah.
UB: Bagaimana pula perkembangan nasyid selepas itu?
UJ: Selepas itu, Sabah telah mencipta banyak kejayaan di peringkat kebangsaan. Sampai hari ini, jika menyertai pertandingan, menang atau tak menang, Sabah sentiasa digeruni kerana kehebatannya.
UB: Apa kumpulan yang Ustaz bimbing selepas Noor El Kawakib?
UJ: Setelah berpindah ke ibu pejabat di MUIS, di samping menjalankan khidmat sebagai penyelia dakwah, saya juga keliling mengajar dan membimbing kumpulan nasyid. Saya juga pernah membimbing kumpulan nasyid di Semporna hingga mereka muncul johan. Ketika itu, Datuk Haji Salsidu Ibrahim menjadi Pegawai Daerah di Semporna. Beliau juga seorang pencinta nasyid. Pemimpin prihatin. Alhamdulillah.
Saya juga membimbing Kumpulan Shoutol Hadhari dari Tawau, hingga mereka menjadi Johan peringkat bahagian, negeri dan kebangsaan sebanyak dua kali 2005 dan 2007. Masa itu, Haji Salsidu Haji Ibrahim menjawat presiden MPT. Selain itu, saya juga pernah membimbing kumpulan nasyid dari Kota Belud, yang juga muncul johan kebangsaan. Saudara Lamsil Hamidsor adalah orang kuat dakwah di Kota Belud. Pernah juga di Kinabatangan, dimana kumpulan nasyid dari Kinabatangan menjadi johan, di Sipitang juga, mereka muncul johan. Alhamdulillah, sudah terbangun asas yang baik nasyid ini.
UB: Biasanya siapa yang buat lagu ?
UJ: Kadang-kadang mereka yang buat lagu. Saya Cuma perhalusi. Tapi kebanyakan saya buat sendiri. Alhamdulillah, Allah berikan saya maziah, kelebihan iaitu boleh menulis lirik dan boleh membuat lagu, selain boleh bermain muzik. Ada orang boleh menulis lirik, tapi tak boleh buat lagu. Alhamdulillah, ada beberapa kali, tak kurang lima kali, ciptaan saya menjadi lirik terbaik kebangsaan.
Sabah pula lebih sepuluh kali menjadi johan kebangsaan. Kumpulan Noor El Sabah terpilih mewakili Malaysia dan juga Asia untuk menyertai Festival Garden of Islam pada tahun 1993. Itu dianjurkan oleh Kerajaan Jerman. Sepanjang festival itu, diadakan persembahan, seminar, pameran tentang Islam. Ia diadakan selama empat bulan.Acaranya dibuat di Berlin.
UB: Mungkin banyak kenangan sewaktu di sana?
UJ: Banyak juga. Tapi yang paling mengesankan bagi saya ialah apabila Tun Haji Ahmadshah Abdullah, mantan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri, waktu itu beliau masih menjadi setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) membelikan saya gambus. Beliau memang seorang yang prihatin. Ia satu kenangan yang manis bagi saya. Dibelikannya saya gambus di Berlin. Gambus itu buatan Turki. Sampai sekarang, saya tak bagi bagi orang main.
Masa itu, kami berkunjung ke sebuah kedai muzik di Jerman. Ketika ternampak gambus itu, beliau bertanya saya. Walaupun teringin memilikinya tapi harganya mahal iaitu kalau tak silap 600 mark, mata wang Jerman. Tapi Tun Ahmadshah, beliau orang yang baik, membelikan saya gambus yang sangat berharga itu.
UB: Wah, rupanya ada kenangan manis bersama Tun. Sudah lama kenal beliau?
UJ: Beliau pernah jadi bos saya di MUIS, Ketika beliau menjadi Setiausaha MUIS, waktu itu diselenggara Pengucapan Puisi Islam Sabah, yang kemudian dikenali dengan Mahrajan Sastera Islam. Sebagai pengendali, saya selalu melaporkan proses kemajuan kerja. Tapi beliau selalu memberi keyakinan kepada saya dengan mengatakan beliau yakin saya boleh melaksanakan kerja yang diamanahkan.
UB: Saya tertarik dengan persembahan di Festival The Garden of Islam di Jerman itu. Bagaimana sambutan khalayak di Jerman ketika itu?
UJ: Sambutan khalayak di Jerman agak luar biasa. Benarlah kata orang, bahawa bahasa muzik boleh difahami secara sejagat. Bahasa seni boleh difahami oleh khalayak yang kebanyakannya terdiri daripada orang Jerman itu. Mereka di Eropah sana, sangat menghormati seni. Ketika kita tampil ke pentas, semua hadirin berdiri dan bertepuk tangan.
Begitu juga ketika membuat persembahan, mereka duduk diam, bahkan jika ada jarum jatuhpun boleh kedengaran. Sampai begitu sekali penghargaan mereka terhadap seni, hormat mereka terhadap seni. Setelah kita membuat persembahan, mereka bertepuk tangan. Memang seni ini bahasa dunia, bahasa yang melintasi benua.
UB: Berapa lama membuat persembahan di sana?
UJ: Kami membuat persembahan selama dua malam di sana, dengan sambutan yang begitu membanggakan. Bahkan kami sempat tampil dalam slot tv selama sepuluh minit yang ditayangkan di TV Jerman.
UB: Oh ya, selain Festival The Garden of Islam itu, pernahkah Orkestra Dakwah Noor El Sabah membuat persembahan di tempat lain?
UJ: Kita pernah buat persembahan dalam Pertemuan Seniman Muslim MABIM Asean di Ambon, Maluku pada tahun 1996. Kita juga pernah buat persembahan nasyid di Medan Sumatera Utara pada tahun 2000.
UB: Bagaimana mulanya lahir minat Ustaz terhadap nasyid? Boleh ceritakan sedikit?
UJ: Dulu rumah kami di kampung, selalu menjadi tempat tumpuan guru-guru lagu al-Quran, guru qasidah dan sebagainya. Rumah kami jadi tempat belajar. Waktu itu umur saya lapan tahun, saya ikut belajar dan sudah akrab dengan lagu-lagu arab. Ketika itu saya tinggal tempat bapa saudara saya, Mukhtar Umar. Beliau yang telah membela saya, orang yang terkenal kedermawanannya. Bila ada bot besar, mereka akan singgah di rumah kami, yang terletak di tepi laut. Semasa berada di Indonesia, saya sudah terlibat dalam seni lagu nasyid melalui Kumpulan El-Surayya di Tanjung Balai Asahan.
UB: Apakah kehidupan masa kecil itu mempengaruhi karya-karya Ustaz?
UJ: Tentu sekali ia banyak mempengaruhi karya saya. Ketika di kampung, saya berguru dengan Ustaz Haji Mohd. Iyen Atim. Malah, saya khatam Quran dengan Ustaz Iyen, guru saya yang kini jadi besan saya.
UB: Barangkali banyak lagi pengalaman Ustaz yang boleh dikongsikan dalam bidang seni nasyid ini?
UJ: Antara kenangan manis saya dalam bidang nasyid ini ialah apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Festival Nasyid Peringkat Asean di Kuala Lumpur pada 1994. Saya menjadi ketua hakim dalam panel hakim yang dianggotai oleh hakim dari Singapura, Negara Brunei Darussalam dan Indonesia. Selain itu, saya pernah menjadi hakim di peringkat negeri, di peringkat kebangsaan malah pernah pula dijemput menjadi hakim dalam satu festival vokalis qasidah dan nasyid Peringkat Nasional di Jakarta.
UB: Apa yang ustaz lihat masalah nasyid kita sekarang?
UJ: Masalah kita ialah kita selalu menggunakan muzik secara live. Dulu termasuk dalam satu syarat. Tetapi sekarang, kumpulan nasyid hanya menggunakan minus one. Ini secara tidak langsung mematikan bakat pemuzik kita. Dulu banyak orang boleh bermain gambus, violin, tapi sekarang orang terpaksa gunakan minus one, yang tidak banyak membantu mengembangkan nasyid kita, kerana muzik latarnya tidak original. Patutnya kita benarkan orang menggunakan muzik secara live.
UB: Sekarang masanya pun pendek Ustaz. Apa komen?
UJ: Dulu dua lagu diberi masa 15 minit iaitu tujuh minit bagi setiap lagu. Sekarang ia menjadi empat minit bagi satu lagu. Ini tidaklah memadai. Tahsin lagu, intronya hilang keindahannya. Lagu tidak boleh kita buat kelamkabut. Ia bukan siaran langsung. Sepatutnya waktu tujuh minit itu kita pertahankan. Bagi saya waktu tujuh minit itu, sudah bersesuaian. Biar berkembang nasyid kita, baru ada indahnya.
Empat minit tidak mencukupi. Ia sebenarnya tidak baik untuk kelangsungan perkembangan seni nasyid kita. Saya pun tidak tahu sama ada mereka ada berbincang dengan tokoh-tokoh seni sebelum membuat peraturan itu.
UB: Apa pendapat Ustaz mengenai kategori nasyid moden dan tradisi itu?
UJ: Kalau saya, nasyid ini satu saja. Iramanya irama timur tengah. Tak perlu ada kategori nasyid moden dan tradisi. Cukup nasyid saja. Bahkan tokoh nasyid, Tan Sri Hassan Azhari juga hairan juga kerana ada nasyid moden, ada nasyid tradisi. Lagu nasyid berbeza dengan lagu dakwah. Lagu dakwah lain. Sekarang timbul lagu pop dakwah, lagu rock dakwah. Itu tak jadi masalah. Cuma jangan sebut ia nasyid kerana nasyid, sudah jelas ia lagu daripada irama Timur Tengah. Yang mereka sebut moden itu, itu bukan moden, Cuma kreativiti saja, yang berkembang dari zaman ke zaman.
UB: Apa pula cadangan ustaz untuk mengatasi pro kontra nasyid moden dan tradisi ini?
UJ: Sebaiknya adakan satu bengkel di peringkat kebangsaan. Kita bincang balik hala tuju nasyid kita. Perbincangan itu haruslah melibatkan tokoh-tokoh yang terlibat dalam nasyid. Dulu sewaktu zaman Tan Sri Hamid Othman, selalu ada seminar kebangsaan yang mendatangkan pelbagai pemakalah untuk mencari satu peraturan mengenai nasyid itu termasuk penentuan waktu tujuh minit itu.
Sekarang dengan waktu empat minit, seni nasyid jadi tidak indah. Terpaksa potong sana, potong sini. Apa salahnya kalau ia diteliti dan ditinjau kembali. Buat seminar. Tan Sri Hassan Azhari masih ada, ilmunya boleh dimanfaatkan. Tokoh-tokoh ini boleh dijemput untuk bertanya, mewujudkan suasana yang lebih subur dalam lagu nasyid disamping dapat membina jati diri kita.
UB: Bagaimana pula dengan nasyid etnik dalam bahasa tempatan?
UJ: Itu bukan nasyid. Sebut saja ia irama dakwah, atau lagu etnik dakwah.
UB: Di Sabah ini, mungkin ustaz boleh beberapa nama yang berjasa menghidupkan festival nasyid di peringkat awal?
UJ: Antaranya Haji Yahamad Budin, Haji Ahmad Yakub, Awang Mumin dan lain-lain lagi. Sewaktu zaman PBS, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri ketika, Datuk Haji Hassan Ibrahim adalah Pengerusi Pertama Festival Nasyid. Saya jadi Timbalan Pengerusinya yang pertama, tapi kemudian saya mengundur diri dan menjadi pegawai teknikal dan penasihat saja.
Selepas itu, Timbalan Pengerusinya disandang oleh Maming Staming, Pengarah Protokol ketika itu. Kita jangan lupakan sejarah. Jangan kita tinggalkan mereka. Tidak ada hari ini tanpa orang terdahulu.
UB: Selepas bersara, apa kegiatan Ustaz?
UJ: Alhamdulillah, sekarang saya sedang membimbing belia-belia Islam dalam seni nasyid di daerah Membakut selain giat mengadakan ceramah-ceramah di masjid-masjid di daerah itu dan sekitarnya atas pelawaan Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif. Kami juga sudah menerbitkan Orkes Gambus Bustanul Arifin dengan album Satu Malaysia. Bukanlah maksudnya terlalu taksub. Ia lambang kecintaan saya kepada Malaysia.
Selain itu pula, di Kampung Brunei, Membakut, saya membimbing kumpulan Syukbanul Arifin. Sebelum ini, sewaktu bermukim di Kuala Lumpur, atas ihsan Tengku Arrafiah Sultan Salahuddin, kami telah berjaya menerbitkan album Kumpulan marhaban Al-Badar.
UB: Saya terjumpa ada nasyid Ustaz di Youtube juga? Dimana tu?
UJ: Oh itu! ia album nasyid yang diterbitkan di Balai Asahan sebagai tanda rasa cinta saya kepada tanah leluhur.
UB: Setelah lebih 30 tahun terlibat dalam nasyid, berapa jumlah lagu nasyid yang pernah ustaz lahirkan?
UJ: Kira-kira 200 lagu. Dalam sisa-sisa umur ini, kalau boleh saya mahu mencipta hingga 500 lagu.. Mudah-mudahan umur panjang, dan tiap tahun boleh melahirkan album. Yang penting dalam berbuat ini, ikhlas saja. Buat baik. Soalnya kita berlari dengan masa. Kalau tak bolehpun, tak apa. paling tidak saya berasa bahagia kerana pasti ada yang meneruskannya.
UB: Siapa idola Ustaz ya dalam seni nasyid ini?
UJ: Idola saya ialah guru saya Prof Haji Ahmad Baqi. Selain itu Tan sri Hassan Azhari. Sewaktu bermukim di Kuala Lumpur, saya selalu bertandang ke rumahnya. Saya bawa violin, main sama-sama. Saya kagum semangatnya. Sebenarnya dalam nasyid ni, saya tak berani juga mengatakan bahawa saya pencipta. Barangkali boleh saya katakana saya pengumpul. Dalam ciptaan saya, ada pengaruh Abdul Wahab, Umi kalsom, Farid al Atras, Wardah Al jazirah dan banyak lagi.
UB: Akhir sekali apa harapan Ustaz?
UJ: Saya berharap seni Islam akan terus subur dan mempunyai masa depan yang cerah.
18 Mac 1929 – 9 November 2011
Hujan lebat pada awal pagi ini seolah-olah turut bersedih dengan pemergian seorang tokoh ulama’ yang tidak asing di bumi Sabah. Al-Fadhil Tuan Guru Datuk Ustaz Haji Ahmad Othman (82 tahun) disahkan kembali kerahmatullah sekitar jam 4.25 petang semalam di Sabah Medical Centre (SMC) setelah ditahan sejak hari isnin. Menurut sumber, Allahyarham sempat menunaikan solat hari raya aidil adha di Masjid Bandaraya pada pagi ahad sebelum masuk ke hospital keesokan harinya. SMS menyebarkan pemergian beliau pada saat akhir hari tasyriq itu mula berterbangan selepas maghrib dan umat Islam bertalu-talu berziarah ke rumah beliau di Kg Likas.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah, Alor Setar Kedah (1941-1945); Sekolah Pondok Pantai Cegar, Alor Setar Kedah (1947-1948); Maahad Saulatiah, Makkah (1948-1955); Ma’ahad Ulumudiah, Makkah (1955-1962). Ketika belajar di Masjid al-Haram Makkah (1951-1962) beliau pernah berguru dengan seorang ulama tersohor Sheikh Abdul Kadir al-Mandili; kemudian di Universiti Islam Madinah (1962-1968) sehingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda Syariah.
Beliau pernah berkhidmat sebagai guru di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu; pensyarah agama di Maktab Perguruan Kent Tuaran (1972-1974); Pegawai Bahagian Pendidikan MUIS (1974-1976); Nazir Bahagian Pendidikan MUIS (1976-1981). Ketua Nazir Pendidikan MUIS (1981-1983); Pemangku Pengarah Bahagian Pendidikan MUIS (1983-1986), Timbalan Pengarah Amar Makruf (Dakwah) MUIS (1986-1989), Pengarah Dakwah MUIS (1989-1994) dan Timbalan Mufti Negeri Sabah (1994-1996). Beliau juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sabah (1974-1997). Terlibat secara langsung dalam program keagamaan, antaranya Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah sebagai Pengerusi JK Kehakiman MTQ (1977-1994), Ketua Jamaah Hakim MTQ Negeri (1977-1994).
Tidak sedikit jasa beliau dalam perkembangan dakwah di bumi Sabah khususnya sejak beliau mula berhijrah ke Sabah pada awal tahun 70an. Antara sumbangan besar beliau ialah menyusun kurikulum baru SUIS dan SMU (1976); berusaha mendapatkan pengiktirafan dan kouta untuk pelajar Sabah di Universiti Ummul Qura’ Makkah (1980). Beliau juga antara orang yang berperanan mendapatkan pengiktirafan pelajar lepasan SMU Toh Puan Hajjah Rahmah KK bagi melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar Mesir; menyusun aktiviti dakwah dan perlantikan Pengerusi JK Dakwah Daerah, sebagai AJK Penggubal Undang-Undang Syariah Negeri Sabah, pendakwah USIA dan sebagainya.
Selepas menamatkan perkhidmatan dengan kerajaan, beliau terus menyumbangkan ilmu dan kepakaran beliau dengan memberikan kuliah-kuliah al-Quran, tauhid, fiqah dan sebagainya di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Jangan lupa, beliau adalah penerima Tokoh Maal Hijrah Negeri Sabah pada 1431/2009 di Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu Sabah. Allahyarham yang dilahirkan pada 18 Mac 1929 di Kg Alor Merah, Alor Setar Kedah, menetap di Sabah sejak tahun 1971 sehingga pemergiannya. Beliau meninggalkan isteri (yang kami panggil Ummi) dan 10 orang anak (3 lelaki dan 7 perempuan).
Beliau adalah seorang ulama’ yang tegas tetapi tetap dikasihi oleh para murid yang menadah ilmu dengannya. Ketika ziarah kami pada awal tahun 2010 ke rumahnya saat beliau uzur, saya mengiringi Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, Ustaz Haji Nahar dan Ustaz Arbaen, beliau sempat memperlihatkan beberapa kitab yang ada dalam maktabahnya, menyebut nama kitab, pengarangnya serta tempat letak kitab tersebut dengan begitu lancar sekali. Barangkali ada pendapatnya yang tidak dipersetujui namun itu tidak mengurangkan penghormatan dan kasih kepada beliau yang bertaraf tuan guru. Bahkan Ustaz Muchlish sendiri mencium tangan beliau saat kami bertemu dan berpisah.
Barangkali ramai mengingat ketegasan beliau yang tidak bersetuju dengan sebutan penama jawatan Yang Dipertua Negeri Sabah dalam doa khutbah kedua yang pernah menimbulkan perbincangan satu ketika, sehingga TYT ketika itu, Tun Ahmadshah Abdullah sendiri meleraikan khilaf itu dengan tidak mahu namanya disebut, memadai dengan hanya menyebut gelaran ‘Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah’ sahaja tanpa menyebut nama orangnya dan isterinya. Ketika Presiden PAS Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor meninggal dunia, beliau menggesa masyarakat Islam di Masjid Bandaraya, Likas agar turut menunaikan solat janazah ghaib, katanya bagi membuktikan kata-kata orang UMNO yang bercerita hal perpaduan bangsa dan agama ketika itu.
Ada beberapa kisah menarik yang saya ketahui termasuk soal pendirian politik beliau serta isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat, tetapi buat masa ini biarlah saya pendamkan dahulu untuk saya kisahkan pada masa yang sesuai nanti. Namun dari sudut agama, pemergian seorang ulama’ adalah satu bencana kepada umat yang masih tinggal kerana Allah SWT mencabut ilmu dengan mematikan para ulama’. Hayat dunia masih panjang selama ulama’ masih ada dan berjuang untuk Islam. Namun apabila ulama’ semakin berkurangan, maka orang akan bertanya hukum kepada orang jahil lalu orang jahil menjawab dengan jawapan yang menyesatkan.
Pemergiannya ditangisi oleh pencinta agama di negeri ini khususnya mereka yang mengenali dan menuntut ilmu dengan beliau. Saya sendiri sebak dengan doa yang dirafa’kan oleh Ustaz Haji Muchlish pagi tadi di Masjid Jamek Kg Likas dengan kehadiran kira-kira 500 orang. Pemergian beliau telah mengumpul dan menemukan para pendakwah dan alim ulama’. Solat janazah dipimpin oleh Ustaz Haji Muhammad Iyen Atim sementara doanya oleh Ustaz Haji Muchlish. Antara yang saya lihat ialah Ustaz Haji Ghazali Sulaiman, Ustaz Datuk Mohammad Nor Wahab, Datuk Haji Mokhtar Rapok, Ustaz Nor Azamuddin Umar, Ustaz Haji Arifin Ali, Ustaz Haji Awang Laiman Ikin, Ustaz Haji Saifuddin Daud, Ustaz Sidik Ag Adi, Ustaz Haji Khamis Jamil, Ustaz Haji Awwaluddin Nasution, Ustazah Hajah Zaloha, Ustazah Hajah Maria Hasibuan dan ramai lagi. Turut kelihatan Speaker DUN Sabah Datuk Salleh Said dan Ahli Parlimen Kalabakan YB Datuk Ghafur Salleh.
***
Di bumi Likas ini, sesiapa menyedari bahawa ramainya alim ulama’ dan para pendakwah yang masih hidup, tinggal dan menetap di sini. Tuan Guru Datuk Haji Ismail Abbas (mantan mufti), Ustaz Haji Muhammad Iyen Atim, Datuk Ustaz Haji Mohammad Nor Wahab (mantan qadhi besar) dan ramai lagi. Di Taman Perkuburan Umat Islam Kg Likas, juga ramai para pendakwah disemadikan di sini. Sekadar mencatat beberapa tokoh besar di negeri Sabah, Allahyarham Ustaz Umar Sidik, Allahyarham Ustaz Haji Nahar Matamin dan hari ini Tuan Guru Datuk Ustaz Haji Ahmad Othman. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya keatas arwah mereka, memberikan balasan yang hebat di atas jasa-jasa besar mereka serta menempatkan mereka di kalangan orang yang bertaqwa.
Jasad Allahyarham Datuk Ahmad Othman disemadikan beriringan dengan kubur Allahyarham Ustaz Haji Nahar Mantamin. Al-Fatihah.
“Alhamdulillah, tiada amalan khusus. Ini hanya pemberian Tuhan”, kata Tuan Haji Suratman Abdullah, 88 tahun dari Ranau yang kelihatan masih sihat dan bertenaga. Saya menyertai sembang santai bersamanya dan Datuk Haji Mokhtar Rapok sempena majlis perkahwinan cucunya, Dr Mohd Fariz Datuk Amri. Dalam usia sebegini katanya, beliau masih ke masjid dengan memandu kenderaan sendiri.
Mengimbas kenangan, beliau yang dilahirkan pada tahun 1923 telah memeluk Islam pada tahun 1947 iaitu ketika berumur 23 tahun oleh seorang pendakwah dari Jawa bernama Raden Wira. Terdahulu itu katanya, beliau sendiri pernah hidup sebagai pagan dan Kristian Roman Katholik dan kemudian Kristian Sidang Injil Borneo (SIB) sebelum memeluk Islam.
Tuan Haji Suratman juga mengakui beliau adalah ahli Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan pernah bergiat aktif dalam program-program dakwah di merata tempat satu masa dahulu. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik kepada beliau dan gembira bersama anak cucu cicit yang tersayang.
Satu majlis ringkas diadakan baru-baru ini bagi meraikan dua sahabat kami yang akan berpindah ke tempat baru. Cikgu Mohd Nordi Mohd Daud sahabat yang murah dengan senyuman dan sudah bertugas selama 13 tahun di Sabah akan kembali ke Kelantan – sama ada di Jeli atau di Kota Bahru. Senyuman manis beliau khususnya akan diingati oleh anak-anak murid di Maktab Sabah dan kami semua.
Ustaz Wan Zaidel yang bakal berpindah ke Kuching Sarawak sudah saya kenali sekitar 10 tahun lalu. Tidaklah terlalu rapat, tetapi sesekali bertemu di mana-mana masjid dan surau. Pernah bertugas di SMK Pulau Gaya sebelum berpindah ke SMK Likas. Beliau tamatan al-Azhar dan isterinya adalah orang Sabah. Untuk kedua-dua mereka, Abu Nuha Corner mengucapkan selamat berjaya di tempat baru bertugas.
Sejak masuk ke dalam dewan utama solat Masjid Bandaraya, saya sudah melihat beliau duduk di atas kerusi rodanya menghadap ke kiblat, bersama-sama ribuan jamaah lain mendengar khutbah jumaat yang disampaikan oleh Ustaz Haji Parmin Sahlan. Sayu hati saya melihat keuzuran yang menimpa Datuk Haji Ahmad Othman, mantan Timbalan Mufti Negeri Sabah ini.
(Ziarah terakhir ke rumah beliau adalah pada awal tahun 2010 bersama-sama dengan Ustaz Haji Muchlish, Allahyarham Ustaz Haji Nahar Mantamin dan Ustaz Arbaen Shawal)
Selesai solat fardhu jumaat, hati saya ingin terus bersalaman dengan ulama’ ini tetapi saya perhatikan ramai jamaah masjid yang hendak pulang berpusu-pusu bersalaman dan mencium tangannya, bahkan ada yang memeluk dan mencium pipinya. Saya perhatikan suasana itu sehingga sedikit lengang. Saat saya menuju ke arahnya, beliau memandang dan memanggil nama saya. Oh, beliau nampaknya masih mengingati saya.
Saya fikir meski fizikalnya semakin susut, tetapi fikirannya masih sihat bahkan barangkali semakin baik. Ramai jamaah yang mengetahui bahawa emosinya terganggu selepas menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Sabah pada 1431H/2009M. Saya tidak berhasrat bercerita di sini hal itu kerana terdapat beberapa insiden yang membuatkan beliau berkecil hati. Selepas daripada itu keadaan emosi beliau semakin terganggu khususnya apabila beliau solat berjamaah di Masjid Kg Likas.
Keluarga beliau membawanya balik ke kampung di Kedah beberapa ketika. Saya diceritakan bahawa tiada sesiapa lagi yang mengenalinya di kampung halaman sendiri sehingga beliau mahu kembali ke Kota Kinabalu. Maklumlah umur sudah semakin lanjut dan beliau sudah meninggalkan kampung halaman sejak puluhan tahun untuk belajar di tanah suci dan kemudian berhijrah ke Sabah.
Seperti tiada soalan lain, selepas mencium tangannya saya tanyakan kesihatan beliau sambil mengurut-urut lengan beliau yang semakin tidak berisi. Sayu juga beliau menceritakan bahawa katanya dirinya semakin susut. Beliau juga bercerita sebentar kisah kepulangannya ke Kedah dan kemudian kembali ke Kota Kinabalu. “Saya mahu ke Sabah”, katanya.
Datuk Ahmad Othman yang dilahirkan pada 18 Mac 1929 itu kemudiannya disapa oleh Ketua Menteri Datuk Haji Musa Haji Aman bersama beberapa kenamaan lain yang turut menunaikan solat jumaat di masjid ini. Beliau yang masih duduk di kerusi roda kemudiannya disorong keluar masjid. Saya berhasrat untuk menziarahi beliau lagi selepas ini. Semoga Allah memberi kekuatan kepada beliau untuk menikmati sisa kehidupan ini.
Kami bertemu pada petang ahad di Hospital Queen Elizabeth saat dia menemani ibunya yang ditahan di wad berkenaan. Nampaknya kesihatannya semakin baik walaupun berat semakin susut daripada 120kg kepada 70kg setelah menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu, kini beliau sudah mula mengajar di sekolahnya di Tenom.
Cikgu Rizal dalam sembang kami masih bersemangat dan menunjukkan kepada saya risalah yang dibuat untuk diedarkan kepada jamaah Masjid ar-Rahman Pekan Tenom. Katanya ada risalah mingguan dan ada risalah bulanan. Bahkan beliau mengajak saya untuk menulis sedikit artikel untuk risalah bulanan itu nanti yang bermula pada februari.
Jiwa pendakwahnya masih belum luntur apabila setiap kali selepas rawatan dialisis, beliau terus melakukan ziarah kepada pesakit di Hospital Tenom. Selain itu, beliau juga mula kembali sebagai khatib di masjid dan mengisi program menurut kemampuan beliau. Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepadanya.