Archive for Jun, 2011


Pertama kali berkunjung ke Surau al-Mu’minin Kg Andus Papar yang terletak cuma di tepi jalanraya utama Papar-Beaufort. Selama ini hanya menjeling surau kecil ini apabila lalu ketika permusafiran baik ketika balik kampung atau ke destinasi tertentu. Bahkan beberapa minggu sebelum ini ada seorang pengomentar dalam blog ini mencadangkan saya berziarah ke surau mereka. Maka apabila pengerusi surau, Tuan Haji Ismail Ag Damit mengundang hadir, saya tidak keberatan untuk bersama-sama mereka pada selasa malam rabu lalu.

Saya tiba sedang mereka berdoa selepas solat maghrib, memandangkan saya tidak mengambil cuti hanya bekerja seperti biasa dan keluar dari rumah pada jam 6 petang. Lucu juga sejak awal pagi tuan pengerusi menelefon beberapa kali walaupun saya sudah menyatakan persetujuan. Katanya mereka sekampung sibuk memasak menyediakan makan malam selepas ceramah nanti. Memang di kampung-kampung saya mengakui kemeriahan mereka menyambut peringatan isra’ mikraj dengan acara gotong royong dan sebagainya.

Banyak saya luahkan malam itu, sehingga ceramah saya memakan masa hampir dua jam lamanya. Saya bermula dengan latar belakang sirah nabawi – dakwah secara sembunyi sehinggalah kemasukan sayyidina Umar ke dalam Islam, pemboikotan keatas umat Islam, tahun kesedihan sehingga membawa kepada berlakunya isra wal mi’raj. Ulasan saya berkenaan ayat 1 surah al-Isra juga panjang lebar, dan masih berkait dalam perkara asas. Di hujungnya saya tekankan kefardhuan solat yang baginda terima menunjukkan solat dan perhambaan kepada Allah adalah jawapan kepada permasalahan yang berlaku dalam masyarakat sepanjang zaman.

Tarikh : 16 Julai 2011 (Sabtu)

Masa : 8.00 pagi- 3 petang

Tempat : Bilik Kuliah 2, Masjid Negeri Sabah

Yuran : RM10 sahaja

Peserta : Muslimin khususnya muazzin di surau dan masjid sekitar Kota Kinabalu, Putatan, Papar dan Sepanggar.

Peserta akan didedahkan berkenaan sejarah pensyariatan azan, hukum hakam yang berkait dengannya, adab dan kelebihan seorang muazzin menurut Islam. Selain itu pendedahan berkenaan asas lagu dan fasohah dalam melaungkan azan. Sesi praktikal juga akan diadakan jika berkesempatan. Untuk pendaftaran, sila datang pada pagi 16 Julai (bermula jam 7.30 pagi), sebelum seminar bermula. Seminar ini adalah anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah.

KHASIAT DAUN BIDARA

Salah satu ikhtiar yang diusahakan di Darussyifa’ ialah rawatan menggunakan daun bidara. Ia secara khusus digunakan dalam merawat penyakit-penyakit bersihat rohani seperti gangguan emosi, susah tidur, gangguan makhluk halus dan sihir. Kaedah ini sebenarnya bersumberkan amalan para ulama terdahulu yang menjadikan daun bidara sebagai bahan rawatan utama dalam mengatasi orang yang terkena sihir.

Antara dalilnya ialah sebagaimana yang dsebutkan oleh Abul Hasan Ali ibn Khalaf yang dikenali Ibn Battal al-Maliki yang mensyarahkan sahih Bukhari ketika menghuraikan hadith berkenaan sihir :

“(Hendaklah dia mengambil tujuh helai daun bidara yang segar hijau lalu menumbuknya di antara du abatu (iaitu menggunakan lesung) kemudian digaul dengan air lalu dibacakan ayatul kursi, tiga qul (ada yang mengatakan empat qul termasuk surah al-Kafirun) kemudian dihirup tiga kali dan hendaklah dia mandi dengan air tersebut. Sesungguhnya ia akan menghilangkan apa sahaja yang dihidapinya dengan izin Allah, ia baik bagi lelaki yang tertahan daripada mendatangi isterinya (tidak boleh berjimak disebabkan sihir)”

Dalam contoh lain, Nabi SAW juga menjelaskan  bahawa ketika memandikan mayat selain dimandikan dengan air bersih, salah satu mandian mayat tersebut perlu menggunakan campuran air dengan daun bidara. Ini menunjukkan terdapat khasiat khusus pada daun bidara sehingga digunakan ketika memandikan mayat.

Kaedah rawatan :

Ambil sekurang-kurangnya 21 helai daun bidara untuk kegunaan tiga hari iaitu setiap hari menggunakan 7 helai. Ambil tujuh helai daun bidara ini kemudian tumbuk dengan lesung batu sehingga separuh hancur. Campurkan daun yang separuh hancur itu dengan air yang telah didoaka. Minum sedikit air ini kemudian dibuat bilasan mandi di waktu petang. Lakukan kaedah ini selama tiga hari berturut-turut.

Rujukan : Rawatan Penyakit Jasmani (I), Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din

Bilik kuliah 2 Masjid Negeri Sabah selepas solat maghrib pada sabtu lalu bergema dengan bacaan surah Yasin, zikir, tahlil dan doa dalam program kuliah Darussyifa’ Sabah dipimpin oleh Ustaz Shaharuddin Saad. Ini kali pertama majlis zikir diadakan bagi memenuhi permintaan pembimbing dari Darussyifa’ dalam kuliah 2 minggu lalu. Selepas solat isyak berjamaah, kuliah diteruskan dengan menyambung huraian buku ke-2 iaitu tajuk penyakit-penyakit jasmani.

Ketika sesi ini Ustaz Shaharuddin dan Ustaz Haji Towil –  sehingga petang ahad – mensyarahkan tiga jenis penyakit jasmani iaitu gout, gastrik, demam campak,  mandul, kolestrol, darah rendah, lekat atau tercekik tulang, benda tajam dalam badan, barah, barah tulang, penyakit buah pinggang, jantung, sopak, sawan tarik, lumpuh dan koma. Dalam pengajian ini kami didedahkan dengan penggunaan herba atau bahan lain seperti madu lebah, kapur sirih dan buah limau nipis untuk rawatan penyakit gout dengan bacaan kombinasi doa di atas air.

Begitu juga pengunaan bunga betik jantan yang segar untuk rawatan gastrik, daun mamu untuk rawatan demam campak, akar pokok jejawi atau akar pokok kayu ara untuk rawatan mandul, habbatus sauda’ dan batang saderi untuk rawatan kolestrol. Menarik juga petua menggunakan tangan/kaki kucing dan menggarukannya beberapa kali di leher orang yang tercekik tulang, dengan melihat tabiat kucing yang makan tulang, apabila tercekik di tekaknya kucing akan menggarukan kakinya di lehernya.

LEPAK DENGAN HAJI AYUB

Selalu juga mengajak Tuan Haji Ayub Abdul Rahman Abdullah ke Sabah untuk mengisi program dakwah. Bagi yang belum kenal, beliau adalah mantan paderi @ pengampun dosa antarabangsa ketika beliau dalam kristian di Jerman Barat pada tahun-tahun 70an. Memeluk islam di Sarawak meski beliau berasal dari Pulau Pinang. Kesempatan yang ada selepas solat jumaat di Masjid Negeri Sabah tempohari, kami berehat seketika dan makan tengahari di restoran D’Lengkuas Sembulan bersama rakan-rakan lain.

Barangkali ia menjadi kenangan terindah juga khususnya kepada Tuan Haji Ruslin Abdul Samad, Abang Ribbang Haji Ampong dan anaknya Mohd Amin yang pertama kali makan tengahari bersama-sama beliau. Tuan Haji Ayub bukan calang-calang orang, berdakwah ke merata negara berkenaan perbandingan agama tambahan lagi beliau ditakdirkan menjadi orang besar dalam kristian satu ketika dahulu, dan menjadi antara penuntut ilmu dakwah dan perbandingan agama bersama Dr Zakir Naik sesudah memeluk Islam. Terima kasih juga atas kesempatan Tuan Haji Mohd Pozi Awang dan Sdr Fanshuri yang hadir sama.

LEGO

Saya mencadangkan antara permainan yang baik untuk diketengahkan kepada anak-anak ialah permainan lego ini. Sejak 7-8 bulan lalu saya membelikan mereka permainan ini dan melihat kreativiti mereka sendiri. Nuha, Hana, Hadi malahan Lu’lu’ yang baru 3 tahun itu suka permainan ini. Saya meletakkan syarat kepada mereka bahawa permainan ini tidak boleh dibawa keluar dari bilik, kerana ia kecil dan mudah hilang. Selain itu isteri saya menyediakan kotak untuk mereka mengemas selepas selesai membuat reka bentuk yang mereka inginkan.

Anak-anak memang sukakan pujian. Setiap kali mereka menunjukkan kreativiti membina sesuatu, saya puji mereka sekadarnya. Mereka pula mensyaratkan kepada saya agar hasil kerja mereka digambar. Setakat ini syarat tidak boleh keluar dari bilik itu mereka penuhi kecuali sekali dua. Hasilnya, baru-baru ini saya tambahkan lagi koleksi lego mereka supaya mereka puas bermain dan lebih banyak rekaan dapat mereka buat. Saya rasa berbaloi kerana ia meningkatkan daya fikir mereka walaupun membeli lego yang original.

CEMPAKA TERSENYUM

Ayat al-Quran dibacakan kepadanya yang sudah terbaring. Sejak awal dia duduk di bilik itu saya perhati matanya sudah menjeling tajam walaupun kepalanya sedikit tertunduk. Dia gadis muda berumur 20an dari sebuah daerah di Kota Belud tetapi bekerja di Kota Kinabalu.

“Diamlah!!” jerit Cempaka. Beberapa ustazah terus membacakan ruqyah walaupun suara Cempaka semakin tinggi menyuruh orang sekelilingnya diam. Antaranya dibacakan surah al-Fatihah, ayatul kursi, tiga qul, beberapa ayat lain dari surah al-Mukminun, al-Anbiya, al-Hasyr, Ghafir serta beberapa doa bersumber hadith Nabi yang berkaitan.

“Cempaka dari mana?” Tanya saya. Cempaka marah-marah. Dia hanya menjerit dan tidak mahu menjawab soalan.

“Aku mau ikut dia balik bah!”

“Cempaka asal dari mana?” Saya bertanya lagi.

“Kampung Kelawat bah!”

“Kenapa Cempaka kacau perempuan ini?” Tanya ustazah Elfi pula.

“Aku mau ikut dia balik. Ada orang tunggu aku di sana. Abang dia mau kawan dengan aku tapi perempuan ni tidak suka kami tinggal di sana. Dia kacau kami. Aku mau dia mati!!” Saya baru memahami kemudiannya, maksud perempuan itu mengacaunya kerana perempuan itu seorang muslimah yang baik, rajin membaca al-Quran dan ma’thurat, lalu Cempaka dan kawan-kawannya terganggu.

“Kalau begitu tinggalkanlah dia”, pujuk ustazah. Sementara yang lain terus membacakan ruqyah.

“Baca kuat lagi”, kata Ustaz Muchlish yang ada di samping ustazah. “Aku tunggu dia dengan air”, kata Ustaz. Sesekali Cempaka cuba mengamuk dan melepaskan diri. Tangannya digenggam erat menunjukkan penumbuknya. “Eiihhh!!!!”. Marah benar Cempaka apabila ayat-ayat itu dibacakan.

Imam Amiruddin kemudian turut tampil membantu mengazankan gadis berkenaan. Cempaka berteriak kuat, barangkali kesakitan. Lima muslimat memegang erat seluruh tubuh perempuan berkenaan yang meronta-ronta. Sehabis azan, Imam menghembus ke arah muka perempuan berkenaan.

“Nah, bau KFC kan?” Saya menyakat Cempaka. Kami melihat Cempaka hanya tersenyum.

p/s : Cempaka adalah nama jin perempuan yang berada dalam tubuh muslimah berkenaan.

Saya jarang ke 1Borneo, bahkan boleh dibilang dengan jari. Sekali dua itu pula datang dengan kenderaan jabatan atas tugasan rasmi untuk membuat pemeriksaan keatas sebuah restoran yang lantainya tertulis kalimah Allah, beberapa tahun lalu. Sekali dua pula datang dengan kenderaan sendiri dan selesa parkir di tepi jalan besar di hadapan, yang percuma.

Baru-baru ini datang bersama isteri dan anak, jadi saya parkir di kawasan dalam. Saya baru tahu dan perasan kadar bayaran parkir kereta ialah sebanyak RM6.00 sekali masuk sehari. Bayangkanlah orang yang datang berurusan dengan waktu yang singkat terpaksa membayar kos yang tinggi. Ya saya terlupa, rakyat didahulukan rupanya.

Kredit foto : http://albashirah.com/

Kerja-kerja dalam Syukbah Dakwah Masjid Negeri semakin hari semakin banyak dan bertimbun berbanding beberapa tahun kebelakangan ini. Dahulu, aktiviti tertumpu pada hujung minggu apabila ada kursus-kursus tertentu. Itupun hanya beberapa kali setahun. Selain itu ada jadual kuliah maghrib dan subuh yang sudah ditetapkan pembimbingnya.

Setahun dua ini, dan makin galak pada tahun ini aktiviti anjuran Syukbah Dakwah semakin banyak. Kursus hujung minggu masih berterusan, ditambah lagi dengan kuliah selepas isyak, seperti aqidah, fekah, tasauf, al-Quran dan pengubatan Islam. Kudrat aktivis Syukbah Dakwah juga ditagih membantu Tabung Haji dalam mengatur kursus haji setiap tahun, penglibatan dalam perjalanan kelas Darussyifa’ Sabah dan bermacam-macam lagi. Sejak februari lalu, tazkirah zuhur setiap rabu dimulakan dengan menampilkan penceramah-penceramah sekitar Kota Kinabalu bergilir-gilir. Ini belum lagi mengira kesibukan dalam mengatur program dalam bulan Ramadhan nanti.

Memikirkan kerja-kerja pengurusan dan keurus setiaan yang semakin berat, apatah lagi di kalangan aktivis Syukbah Dakwah hampir kesemuanya bertugas tidak sepenuh masa dengan hambatan tugas di jabatan dan agensi masing-masing (walaupun tidak sedikit masa dicurahkan untuk Syukbah Dakwah), kami memutuskan untuk mencari seorang sukarelawan dakwah untuk membantu meringankan kerja-kerja berkenaan dengan sedikit elaun bulanan akan diberikan.

Antara kriteria yang ditetapkan adalah seperti berikut :

1) Lelaki berumur 18 tahun keatas dan tinggal di sekitar Kota Kinabalu (lebih hampir dengan Masjid Negeri lebih baik);

2) Berminat dengan kerja-kerja dakwah terutama yang membabitkan masjid (kelulusan tidak semestinya dalam pengajian Islam tetapi itu dikira satu kelebihan);

3) Mahir dalam penggunaan asas komputer dan internet (mempunyai laptop dan broadband sendiri adalah satu bonus);

4) Bersedia tampil ke khalayak (seperti menjadi pengacara majlis) dan sanggup bertugas pada waktu malam atau hujung minggu (terlibat sebagai urus setia dalam program, mesyuarat dan perjumpaan).

Tawaran ini adalah segera dan jika berminat sila maklumkan kepada saya melalui blog ini atau facebook dan bertemu dengan saya untuk ditemuduga bersama dokumen yang munasabah dan berkaitan.

%d bloggers like this: