Archive for 20 Januari 2009


TELADAN KELUARGA HAJI AHMAD

Mendapatkan satu ilmu, pengajaran dan teladan bukan mesti daripada seorang guru, ustaz atau ulama terbilang tetapi boleh jadi daripada orang biasa saja, bahkan boleh saja daripada haiwan dan alam ini.

Kisah ini saya sudah pendam dan ketahui sejak sekolah menengah lagi tetapi sangat baik untuk dijadikan pengajaran. Baru-baru ini saya bertemu dengan empunya kisah setelah berkuliah di Surau an-Nur Taman Limauan, Kinarut.

Pernah seorang junior sekolah di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah dahulu bercerita tentang keluarganya, khusus bapanya sendiri.

Bapanya bernama Tuan Hj Ahmad Hassan. Dia cuma orang biasa, bukan ustaz, bukan ulama’, bukan pegawai tinggi, dia seorang hamba Allah yang bekerja sebagai juruwang di Restoran Rahmat di Segama sejak 30 tahun lalu.

Sebenarnya yang paling menarik perhatian saya, ialah unsur didikan yang diterapkan oleh Hj Ahmad ini kepada anak-anaknya yang seramai 9 orang itu.

Kata salah seorang anaknya, ketika mereka masih bersekolah, setiap minggu mereka akan berkumpul sekeluarga dan membaca hadith-hadith Rasulullah SAW. Tidak lama, cuma sekitar 10-15 minit. Anak-anak yang masih kecil juga mesti duduk mendengar dan berada di dalam majlis itu walaupun mereka tidak memahaminya.

Sebagai seorang bapa, apabila dia pulang daripada bekerja, soalan wajib untuk anak-anaknya ialah : “Sudah sembahyang?”

Peristiwa itu berlaku lama dahulu, kira-kira 15 tahun lalu dan berlangsung agak lama.

Tetapi kesannya boleh mula kelihatan sekarang, apabila 5 daripada mereka sudah / hampir menamatkan pengajian di peringkat universiti. Ada yang mengaji di UMS, UIA, Unitar dan UiTM dengan tidak mengabaikan akhlak Islam yang diterapkan dalam keluarga sedari kecil mereka.

Pengajaran paling penting buat kita hari ini, mampukah kita mengumpulkan ahli keluarga, duduk bukan untuk menonton tv atau makan bersama tetapi berkumpul bagi mendengar hadith-hadith Rasulullah SAW?

Sesungguhnya Tuan Hj Ahmad sudah melakukan sesuatu untuk ahli keluarganya agar cintakan Rasulullah SAW.

Ahad lepas, bersama beberapa sahabat CONCERN – Yayasan Amal Malaysia, Persatuan Ulama Malaysia, Persatuan Siswazah Sabah, Teratak Fitrah dan beberapa individu lain – kami berziarah ke Hospital Queen Elizabeth, khususnya wad lelaki di bangunan lama.

Sering saya katakan, apabila kita berada di luar, di jalanraya, di pasaraya, di padang bola atau di mana-mana kita lihat semua orang nampak ceria, sihat dan gembira.

Tetapi sesekali ada baiknya untuk muhasabah diri kita dengan menziarahi penghuni hospital. Hakikatnya ramai manusia sedang terlantar sakit. Terakhir kami berziarah pada 1 Januari lepas.

Suasana wad sangat sesak, terdapat banyak katil dan tilam tambahan untuk pesakit. Tambah mengesankan ada di kalangan penghuni wad itu orang yang dikenali, atau berasal dari kampung sendiri ataupun orang agamawan.

Salah seorang yang saya kunjungi ialah Ustaz Abdullah Mahdi, penceramah USIA. Beliau yang kini berumur 64 tahun, ditahan kerana kekurangan darah.

Sebenarnya saya memang tidak mengenali beliau, tetapi saya teruja untuk menemuinya di satu sudut ketika saya melihat seorang yang memakai kopiah putih duduk-duduk santai sambil mengupas oren sunkist. Tambah di sisinya terdapat sebuah buku aqidah yang sedang dibacanya.

Ustaz Abdullah Mahdi sebenarnya berasal dari Pulau Panai di Filipina dan memeluk Islam ketika berumur 27 tahun di Merawi Mindanao. Katanya, pencarian terhadap Islam itu berjalan selama 12 tahun sedang dia ketika itu adalah seorang penganut Kristian Katholik.

Pada awal 80an, beliau berhijrah ke Sabah menyampaikan risalah Islam menggunakan bahasa Suluk khususnya di sekitar Kota Kinabalu.

Saya menyarankan kita semua agar mengambil berat terhadap para guru dan ustaz-ustazah yang berada dalam masyarakat kita sama ada mereka sihat atau sakit.

Kalau ibu bapa sebagai penyuluh hidup di dunia, para guru adalah penyuluh ilmu dunia dan akhirat.

%d bloggers like this: