Archive for November, 2011


PAYUNG TERJUN

Sumber : http://www.ustazamin.com/2011/11/universiti-kehidupan-213-pelajaran-dari.html

“Ustaz, ada rasa takut tak?” tanya Capt Sidek, juruterbang MAS yang dulunya berkhidmat dengan TUDM.

“Sebagai manusia, memang ada juga, tapi kita boleh cari kekuatan untuk itu” kata saya.

“Kalau ustaz ada rasa takut maknanya ustaz orang normal sebab orang yang tak ada rasa takut hanya orang gila dan orang bodoh sahaja” terangnya pada saya sambil tergelak kecil.

Saya adalah kumpulan kedua yang akan terjun. Bersama saya yang akan terjun adalah penerbit program Usrah TV9, Rozimalini, InsyaAllah, program ini akan kita kongsikan di dalam “Usrah” awal tahun depan nanti. Saya sudah siap memakai pakaian khas. Kainnya agak tebal, di bahagian lutut dan lengan lebih tebal, mungkin sebagai pertahanan pada kedua sendi ini ketika turun ke bumi.

“Ok ustaz, Rozi, sedia naik kapal” kata En.Idrus, jurulatih saya.

Saya melihat wajah penerbit saya, mulutnya berkumat kamit membaca selawat, wajahnya agak pucat, tapi saya tabik semangatnya, dia nak juga terjun dan akan mengambilkan gambar saya ketika di atas kapal untuk dikongsikan bersama penonton rancangan usrah nanti. Bagi diri saya pula, saya cuba membayangkan saat saya keluar dari kapal terbang, saat bergayut di ketinggian lebih 3000 kaki, atau dua kali KLCC. Macam mana rasanya ketika mahu melepaskan tangan dari kepak kapal terbang. Capt. Azim mula memecut kapal Cessna 172, kerusi dalam kapal terbang telah dikosongkan, hanya untuk Pilot sahaja. Pintu sebelah kanan pula telah ditanggalkan untuk memudahkan penerjun keluar. Saya melihat altimeter yang dipasangkan di dada saya, alat untuk mengukur ketinggian. Sedikit demi sedikit jarum meter itu naik

1000 kaki….

1500 kaki….

2000 kaki…

2500 kaki…

3000 kaki…

3300 kaki…

Saya melihat ke bawah, semuanya kecil, semuanya nampak halus. En. Idrus mengeluarkan tangannya, kemudian cepat-cepat memasukkannya kembali.

“Alamak, hujan pulak….” Katanya.

Saya cuba merasa hujan dari ketinggian 3000 kaki dengan kapal terbang yang sedang bergerak laju. Memang tajam, macam kena cucuk jarum. Capt. Azim membelok ke kiri, lari dari hujan renyai-renyai tersebut.

“Ok ustaz..ready..” jerit En. Idrus…

Capt. Azim memperlahankan sedikit kapal.. Saya mengeluarkan kaki kiri saya, kaki kanan saya letakkan ke di tayar, tangan saya memegang erat palang pada kepak kapal terbang…. Saat-saat akhir ini saya cuba mengimbau kembali pelajaran yang dipelajari..

“Ingat, jangan lepaskan tangan dulu, nanti kamu akan terpusing, lepaskan kaki dulu..” pesan En. Idrus ketika kursus.

Teringat juga seloroh Lt. Kol. Kamaruddin ketika kursus..

“Kalau dalam tentera, sebelum terjun kami semua akan menyanyi ramai-ramai.. kalau payung tak kembang, berikan isteri pada kawan…”

“Go ustaz…” tiba-tiba En. Idrus memekik.

“Ok..” jerit saya kembali sambil berkata dalam hati..

Lepaskan kaki dulu,, lepaskan kaki dulu..

“Go ustaz..” kata En. Idrus lagi, rupanya saya telah melepaskan kaki tetapi tangan saya masih erat memegang besi pada kepak kapal, saya tergantung seperti Superman,

Saya melihat ke bawah, semuanya nampak kecil, muka saya hampir dengan tayar..

“Go ustaz..” kata En. Idrus lagi..

“Ok..” buat kali ketiga saya mengatakan ok..”

Saya memejamkan mata, hati saya berkata…

“Ya Allah, hanya padamu hambamu ini berserah…”

Saya melepaskan tangan saya, menggelongsor keluar, badan saya terpusing-pusing, saya tidak tahu saya berada di arah mana… Hati saya tidak putus-putus menyebut nama Allah, kadang kala ternampak bumi, kadang kala ternampak langit. Dalam lebih kurang 7 saat terjatuh, badan saya terasa diangkat.. Saya melihat ke atas… Alhamdulillah.. payung saya telah terbuka… hati saya sayu, “Terima Kasih Allah…” saya sangat- sangat bersyukur pada Allah, teringat firman Allah di dalam surah Muluk ayat 19….

Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu

Ya.., Allahlah yang mengembangkan payung ini dengan makluknya bernama angin, jika udara kosong tanpa angin di langit, maka payung tidak akan kembang. Suasana sangat sunyi di atas ketinggian lebih 2500 kaki ini. Saya menarik nafas panjang. Mula mengambil “Toggles” (macam stering bagi kereta) saya mengawal payung ke kanan dan ke kiri mencari anak panah, tempat saya kena mendarat. Memang, secara peribadi, sukan ini sangat bagus untuk melatih hubungan kita dengan Allah. Ia juga sangat bagus untuk melatih kita mengawal emosi takut kita kerana dalam diri manusia ada tiga emosi yang kalau kita matang di dalam mengendalikannya, maka separuh ketenangan telah Allah berikan pada kita. Ia adalah perasaan marah, takut dan sedih. Sebab itu banyak dalam al-Quran Allah menyatakan orang beriman, tidak dia merasa takut dan bersedih.

Saya melihat altimeter, saya semakin hampir dengan bumi, lagi 500 kaki… Saya sudah mula menghampiri tempat pendaratan… Ok 10 kaki.. saya menarik habis “toggles” sebagai brek pada payung. Kaki saya mula menjejaki rumput di lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Subang ini. Teringat kata jurulatih saya, tak ramai orang berpeluang untuk berada di tengah-tengah landasan kapal terbang ini kerana ia kawasan larangan bagi orang awam. Jurulatih yang berada di bawah bersama krew TV9 berlari mendapatkan saya, merakamkan perasaan saya ketika mendarat.

Mereka semua memeluk saya tanda syukur, saya mengangkat tangan sekali lagi mengucapkan syukur pada Allah.. Saya memandangkan ke langit, melihat Penerbit Usrah juga sudah menghampiri bumi, semua kami mendapatkannya.. Alhamdulillah, beliau juga selamat mendarat….

Semua jurulatih gembira kerana kumpulan sebelum kami turun tidak pada tempatnya, dan seorang dari mereka telah mengalami kecederaan, kalau kurang ambil perhatian pada semua pelajaran yang diajar, memang boleh mengalami kecederaan dan jika cedera, orang ramai akan takut pada sukan ini, kebetulan pula kami terjun di hadapan ribuan pengunjung pameran kapal terbang sempena 100 tahun DCA (Jabatan Penerbangan Awam Malaysia), jadi kalau cedera ramai yang akan takut nanti. Saya mengambil payung, meletakkannya ke dalam beg yang khas. Meneguk sebotol kecil air mineral, saya menulis ke dalam buku log terjun payung..

Jump. No (1)

Date : 26 Nov 2011

Place : Sky Park Subang

Aircraft : C-172

Equipment : Static Line

Altitude : 3000 ft

En. Idrus menandatangani bukulog saya.. “Idrus.. Parajump Instructur”

Sambil memandang saya En. Idrus berkata..

“Jom ustaz, kita terjun pulak dari 10 000 kaki..”

Jom, boleh aja… kata saya sambil saya memandang penerbit saya pula, amacam..?

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

2 Muharram 1433/ 28 November 2011 jam 8.15 pagi

Ada beberapa perbezaan apabila saya tiba bersama anak-anak ke kawasan permainan di Pantai Pancur Hitam dekat Kg Pohon Batu Labuan tempohari berbanding beberapa ketika lalu. Dalam blog ini juga saya pernah mencatatkan satu artikel kunjungan kami ke sini. Lokasi ini hampir menjadi kunjungan wajib kami sekeluarga terutama menjadi tuntutan anak-anak untuk mereka bermain apabila bercuti ke Labuan.

Papan tanda mencatatkan kawasan ini sedang diselenggarakan oleh satu syarikat kontraktor bermula tarikh 1 Februari 2010 hingga 31 Januari 2012. Saya kurang maklum apakah kriteria penyelenggaraan yang dimaksudkan, hanyakah sekadar kerja-kerja pembersihan – sedangkan kawasan berkenaan tidak juga terlalu terjaga kebersihannya, atau termasuk memperbaiki prasarana yang disediakan kerana saya melihat beberapa kemudahan sudah tidak ada dan rosak.

Jika mereka yang bertanggungjawab, tarikh yang ada berbaki sekitar sebulan setengah lebih kurang, sedangkan contohnya ‘sudut cabaran’ yang dimaksudkan hanya tinggal nama dan batuan saja. Kemudahan yang disediakan seperti tidak dibersihkan, kelihatan comot walaupun kebanyakannya yang lain masih elok dan boleh digunakan. Ketika kami berkunjung pada awal pagi isnin lalu, kelihatan ramai juga pengguna terutama penduduk berhampiran. Anjung Selera Pohon Batu juga siap beroperasi pada  pagi itu menanti pelanggan mereka.

Sebahagian besar foto ini membuktikan kawasan ini seperti kurang diselenggara sebagaimana dimaksudkan.

SURAU NURUL ISLAM, BANDAR LABUAN

Ketika saya datang awal julai tempohari, surau ini belum siap. Kawan-kawan memaklumkan ia mula digunakan pada bulan Ramadhan tidak lama kemudian. Khabarnya meriah juga surau ini terutama Ramadhan lalu dan banyak digerakkan oleh kawan-kawan india muslim. Selain Masjid Jamek an-Nur di pinggir bandar, tiada masjid lain di kawasan bandar yang mengadakan solat jumaat di sini. Ada juga saya mendengar jamaah surau ini hendak memohon solat jumaat.

Surau ini ada 2 tingkat, di atasnya untuk jamaah muslimat. Ruang bawah saya anggarkan boleh memuatkan 100 orang, dan lebih lagi kalau dicampur kawasan perkarangan luar, sementara kira-kira 40-50 orang untuk satu-satu masa di aras atas. Surau ini hanya kira-kira 100 meter dari Terminal Feri Antarabangsa Labuan, terletak di tepi laut dengan pemandangan yang indah. Semoga surau ini terus makmur dengan pengimarahan dan aktiviti yang bersesuaian.

Sumber : http://zainurrashid.com/

Salam Doktor ! Saya Ahnaf Abdul Qais dari Seoul, Korea. Boleh doktor datang ke sini untuk memenuhi jemputan kami sebagai penceramah? Komuniti masyarakat Malaysia di Korea akan mengadakan program kemuncak Demi al Aqsa pada Novemver 2011 ini ? Begitulah di antara teks ringkas yang saya terima daripada saudara Ahnaf Qais, seorang jurutera Malaysia yang kini bekerja di Seoul, Korea Selatan.

Ini adalah kunjungan sulung saya ke Korea Selatan bagi memenuhi undangan ceramah di sana disamping membuat liputan mengenai perkembangan Islam di bumi Sonata ini. Alhamdulillah, rancangan ini menjadi kenyataan apabia saya mula bermusafir dengan pesawat MH 67 ke Seoul dengan penerbangan yang mengambil masa selama 7 jam. Saya selamat mendarat di awal pagi pada jam 6.45 pagi dan agak teruja dengan kedinginan suhu paginya yang mencecah 5’C di kala musim sejuk sebenar belum pun menjelang tiba.

Setelah berehat buat seketika di penginapan yang disediakan, saya memulakan lawatan ke Korea ini dengan bersolat Jumaat di Seoul Central Mosque di Itewon. Subhanallah, masjid ini merupakan sebuah Pusat Islam dan masjid jamek yang besar lagi tersergam indah di atas sebuah bukit di tengah-tengah ibu kota Korea ini. Saya terpaksa mencuri peluang masuk dengan berhimpit sebelum berjaya ke dalam dewan solat masjid kerana jemaah yang hadir telah pun memenuhi ruang solat sehingga melimpah ke bahagian luar masjid. Kelihatan khatib tempatan yang bernama Ustaz Sulaiman sedang berkhutbah dengan penuh bersemangat di dalam bahasa ibunda iaitu bahasa Korea. Para Jemaah yang hadir kelihatan khusyuk mendengar khutbah yang disampaikan.

Jelas kelihatan bahawa mereka mempunyai asal latar-belakang yang berbeza, seolah-olah kami sedang berada di sebuah perhimpunan umat Islam antarabangsa. Selain daripada masyarakat tempatan dari Korea, ramai juga kelihatan orang-orang Islam yang berketurunan Pakistan, Bangladesh, Turki, Arab, Malaysia dan Indonesia. Selepas solat Jumaat, saya mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan masyarakat Islam di sini. Saya juga bersempatan melawat Seoul Central Mosque dengan lebih dekat lagi. Pejabat operasinya nampak kemas dan kakitangannya sentiasa kelihatan mesra menyambut kedatangan tetamu dari dalam dan luar Negara. Kelihatan juga sebuah sekolah rendah Islam yang telah dibangunkan bagi memberikan pendidikan Islam secara khusus kepada anak-anak Muslim terletak di perkarangan kawasan masjid ini.

Majoriti penduduk Korea Selatan yang berjumlah seramai 48.8 juta orang ini secara rasminya tidak menganut sebarang agama. Manakala umat Islam pula adalah kaum yang begitu minoriti di sini. Namun begitu, syiar Islam semakin hari semakin terserlah perkembangannya. Pada setiap minggu dan bulan, semakin ramai bilangan rakyat Korea yang membuat keputusan untuk memilih Islam sebagai agama mereka. Kini, penduduk beragama Islam di negara yang terkenal dengan produk ginseng itu dianggarkan mencecah kira-kira 140,000-150,000 orang termasuk pelajar dan pekerja yang menetap di situ. Daripada jumlah ini, kira-kira 35,000 orang adalah Muslim daripada kalangan rakyat tempatan Korea Selatan.

Perkembangan Islam di situ dapat dilihat dengan jelas apabila semakin banyak masjid dan surau dibina di beberapa penempatan penduduk Islam. Ia bukan hanya berfungsi sebagai tempat menunaikan solat, bahkan sebagai pusat pengajian dan penyebaran Islam. Apa yang jelas, dakwah yang dijalankan oleh imam dan pemimpin agama terdahulu dan sekarang terutamanya di kalangan rakyat tempatan telah berjaya menyedarkan masyarakat Korea untuk memilih agama Islam dengan rela hati.

Menurut sejarah, Islam telah mula bertapak di Korea sejak ratusan tahun dulu tetapi subur bercambah di antara tahun 1950-1953 yang lalu ketika negara itu berada di dalam kancah peperangan dan rakyatnya berada di dalam keadaan yang sangat miskin. Risalah Islam mula dibawa dan kemudiannya disebarkan oleh beberapa orang tentera dari battalion ketenteraan Turki yang bertugas di Korea. Kini, penyebaran agama Islam di negara ginseng ini banyak dibantu oleh Korean Muslim Federation (Persekutuan Korea Muslim –KMF ) yang telah ditubuhkan bagi menangani kebajikan dan dakwah kepada masyarakat Islam setempat serta kepada rakyat Korea yang lainnya.  Seoul Central Mosque yang merupakan masjid yang pertama dibina di Korea Selatan iaitu pada 1976, telah dipilih oleh KMF sebagai pusat dakwah dan pusat pendidikan Islam kepada penduduk setempat di situ.

Saya sempat menemui saudara Dr Hussein Janj, pegawai eksekutif KMF yang berketurunan Turki yang memiliki ijazah sarjana muda, sarjana dan kedoktoran (PhD) di bidang bahasa Korea. Dr Hussein yang telah berdakwah selama 16 tahun di Korea menyatakan bahawa semakin hari semakin ramai rakyat Korea yang memilih Islam sebagai agama mereka. Saban hari dan di hujung minggu terutamanya, semakin ramai rakyat tempatan yang datang ke masjid untuk mempelajari Islam dengan lebih dekat dan kemudiannya memeluk Islam. Melalui kelas pengajian ‘What Is Islam? yang dijalankan di Seoul Central Mosque sahaja telah berjaya menarik kira-kira seramai 150 orang memeluk Islam pada setiap tahun.

Sehingga kini perkembangan Islam di Korea Selatan cukup membanggakan apabila 10 buah masjid, 40 buah surau dan lima buah Pusat Islam telah didirikan di seluruh negara. Di antara masjid yang ada di Korea Selatan ialah di Seoul (1976), Pusan (1979), Anyang (1986), Jeonju (1986), Ansan (2001), Incheon Bupyong (2004), Paju (2005), Pochean (2005) dan Gwangju (2005). Ada di antara surau-surau di negara itu yang dibina oleh para pekerja yang datang dari negara Arab, Pakistan dan Bangladesh tetapi ianya cukup bermakna kepada pembangunan Islam di negara Sonata ini.

Kekuatan umat Islam yang paling ketara ialah apabila setiap hari Jumaat, lebih 1,000 orang jemaah berhimpun menunaikan solat Jumaat di setiap masjid utama di seluruh Korea Selatan termasuklah rakyat asing dan pelajar-pelajar universiti yang datang dari negara luar. KMF bukan hanya berperanan membimbing umat Islam, malah menyediakan perkhidmatan membekalkan daging lembu, kambing dan ayam untuk diedarkan di restoran yang menyajikan hidangan halal di seluruh Korea Selatan. Kebanyakan daging lembu serta kambing yang dibekalkan oleh KMF biasanya diimport dari New Zealand dan Australia. Jadi masyarakat dan pelancong Islam tidak perlu merasa bimbang untuk mendapatkan makanan halal kerana KMF memainkan peranan mereka dengan baik.

Walaupun setakat ini Islam tidak disekat atau dihalang di sini, namun ianya mempunyai cabaran tersendiri termasuklah hijab bagi wanita yang bekerja, makanan halal dan pendidikan Islam untuk generasi anak-anak mereka.  Umumnya, rakyat Korea adalah masyarakat yang mempunyai daya saing yang tinggi yang telah menjadi budaya kerja dan budaya hidup mereka. Rata-rata di kalangan mereka bekerja dengan penuh kesungguhan sejak awal pagi dan hanyalah pulang ke rumah menjelang lewat malam. Kesannya kini terbukti bahawa Korea Selatan begitu terkenal dengan kejayaan mereka yang telah menempah nama di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang termasuklah teknologi, ekonomi, sukan dan lain-lain lagi.

Namun begitu, kebanyakan rakyatnya jelas di dapati merasai kekosongan dari sudut rohaninya. Majoriti daripada mereka tidak mempercayai kewujudan tuhan dan tidak menganut sebarang agama. Sebagai contohnya, kadar membunuh diri di kalangan rakyat Korea adalah merupakan kadar yang tertinggi di dunia bersama Negara Jepun. Di sini, jelas kelihatan bahawa kemajuan dunia yang hebat tidak mempunyai apa-apa erti yang besar jauh apabila rohani masyarakatnyanya kosong daripada petunjuk Ilahi. Dengan berlalunya masa, cahaya Islam dilihat oleh masyarakat tempatan Korea semakin jelas mempunyai jawapan kepada erti kehebatan dan kecemerlangan kehidupan yang sebenar.

Seoul, Ibu kota Korea Selatan yang merupakan kawasan metropolitan yang ke 2 besar di dunia

Seoul Central Mosque, Itaewon

Khutbah Jumaat di Seoul Central Mosque

Anggota tentera Korea yang memilih Islam sebagai agama

Pendakwah dari Turki yang memiliki BA, MA dan PhD dalam Bahasa Korea

Masjid Chongju

Masjid di Pusan

Kadar bunuh diri tertinggi di dunia

Cuba saksikan beberapa tayangan yang membuktikan betapa cahaya Islam semakin berkembang di bumi Sonata ini.

1-Anak muda Korea membaca al Quran

2-Islam di Korea

Semakin terbukti bahawa cahaya Islam kian mekar berkembang ke seluruh pelusuk alam dengan dakwah Islamiah yang disebarkan. Subhanallah, Alhamdulillah, Allah Akbar…… Salam perjuangan.

Penghargaan :

  • Dr Hussein Jan, KMF Executive, Seoul Central Mosque, Itaewon, Seoul
  • En Abdullah Zawawi Tahir, Deputy Chief of Mission, Embassy of Malaysia, Seoul
  • Sdr Ahnaf Abdul Qais, Pengerusi ISMA Korea & komuniti Malaysia di Korea

HIJRAH KOTA RAYA

Hijrah : Kebangkitan Anak Muda

Perutusan Maal Hijrah Ketua DPP Malaysia :

1. Hijratur Rasul S.A.W adalah satu lembaran agung yang telah memahat sejarah gemilang buat perjuangan Islam yang didokong oleh al Musthafa saw tatkala ia adalah garis pemisah yang membebaskan ummah dari belenggu jahiliyyah dan noktah gemilang pembentukan sebuah baldatun toyyibah wa rabbun ghafur [ Negara yang baik – aman, sejahtera dan membangun – sementara tuhan mengurniakan keampunanNya ]

2. Justeru memperingati ulangtahun perisiwa hijrah, selayaknya setiap individu  khasnya anak muda menghayati sejarah agung ini dan bersedia untuk  melakukan sebuah perubahan total ke arah pembentukan masa depan negara yang aman, sejahtera, harmoni dan mendapat lindungan rahmat serta keampunan Allah swt.

3. Peristiwa Hijratur Rasul sarat dengan kisah pengorbanan. Samaada pengorbanan nyawa sebagaimana yang dibuktikan oleh Saidina Ali Karramallahuwajhah, pengorbanan harta seperti yang dipamerkan oleh Suhaib ar Ruumi sehingga kisahnya dirakam oleh Allah swt di dalam al Quranil Kareem :

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya. (Al Baqarah:207)

4. Sunnatullah, bahawa perjuangan besar untuk melunaskan sebuah perubahan dan amanah gerakkerjanya, menghadapi cabaran yang mengundang implikasi besar, namun itulah harga sebuah perjuangan yang mesti dibayar oleh para pejuang . Harta dan nyawa menjadi taruhan demi sebuah perjuangan suci.

5. Bangkitlah wahai sekalian anak muda dari tidur yang panjang. Kini kita berada selekoh akhir untuk membuat pecutan kemenangan ke garis penamat. Sempena ulangtahun  Hijrah ar Rasul saw kali ini, kebangkitan anak muda mewarnai gerakan perubahan adalah suatu yang sangat didambakan.

Inilah tujuan pertama saya sekeluarga balik ke Labuan kali ini. Sebenarnya hati  saya berbelah bagi untuk pulang kerana hendak melihat Majlis Sambutan Maal Hijrah Negeri Sabah 1433 di Kota Kinabalu. Lebih khusus menyaksikan beberapa sahabat dan kenalan yang menerima anugerah hijrah kali ini kerana saya sempat dilantik sebagai urus setia anugerah sebelum berpindah ke maahad.

Tetapi kerana abang dan kakak ipar meminta saya pulang, dan mereka membelikan tiket feri untuk kami pulang juga meraikan perkahwinan dua mempelai, maka kami pun setuju. Azmahyanti adalah adik kepada kakak ipar saya, Cikgu Zunika yang berasal dari Semporna. Sementara suami Yanti, Satria berasal dari Tangkak Johor.

Yang seronoknya dalam majlis pada petang sabtu lepas, diadakan secara adat sahaja acara merisik, kemudian bertunang selama beberapa minit dan terus dinikahkan sejurus selepas itu. Semua acara pada sabtu dan ahad dilakukan di rumah abang saya, Azri Onn dan isteri Cikgu Zunika di rumah baru mereka Kg Ganggarak, dengan dihadiri oleh ahli keluarga kami dan keluarga dari Semporna.

Abu Nuha Corner mengucapkan tahniah kepada kedua-dua mempelai dan semua keluarga yang terlibat. Terima kasih juga kepada semua tetamu yang sudi hadir termasuk Ahli Parlimen Labuan YB Datuk Yussuf Mahal, sanak saudara dan sahabat handai seluruh Labuan.

 

 

 

KOTA KINABALU, 28 Nov: PAS meminta pihak Kerajaan Negeri Sabah membantu mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru untuk jangka panjang bagi mendapatkan tempat tinggal. Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, penyelesaian itu sama ada mangsa-mangsa dibenarkan kembali ke tapak lama untuk membangunkan semula kampung mereka atau dihantar ke rumah-rumah projek kerajaan dengan pertimbangan harga yang munasabah. Beliau yang juga ahli Parlimen Kuala Krai turut meminta kerajaan negeri membenarkan mereka tinggal di dewan masyarakat di situ untuk sementara sebelum dihantar ke tempat-tempat penempatan alternatif.

“Kami dan rakan-rakan di Sabah melahirkan rasa dukacita di atas musibah yang berlaku dan meminta mangsa yang terlibat bersabar dan menerimanya sebagai satu takdir,” ujarnya selepas menyampaikan sumbangan daripada pihak PAS kepada mangsa kebakaran itu, semalam. Beliau memberitahu, PAS akan cuba membawa bantuan keperluan harian kepada mangsa-mangsa dan mengenengahkan masalah mereka kepada pihak berkuasa supaya diberikan pertimbangan untuk satu tempoh yang terdekat ini. Katanya, pihak berkenaan digesa untuk memberikan bantuan makanan kepada mereka yang berada dalam keadaan susah untuk memasak.

Sementara itu, pihak PAS negeri merayu kepada orang ramai agar membantu mangsa-mangsa kebakaran dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam di atas nama Tetuan PAS Tanjung Aru bernombor 1001-6010-0259-73.

Pada kejadian khamis lalu, lebih 1,000 orang kehilangan tempat tinggal apabila sekurang-kurangnya 55 buah rumah di kampung tersebut musnah dalam kebakaran yang berlaku menjelang subuh pada jam 2.15 pagi. Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dikawal sepasukan bomba yang menggunakan lima buah jentera daripada Balai Bomba Sembulan, Lintas dan Penampang. Kebakaran itu juga berjaya dikawal pada jam 5.15 pagi dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 6.30 pagi. Dalam kejadian itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni berjaya menyelamatkan diri.

CERAMAH HIJRATUR RASUL 1433 DI KML

Saya suka mengisi program ceramah di sini.

Kehadiran yang memberansangkan dan sistem suara yang sangat bagus, jelas dan terang. LCD juga disediakan untuk memudahkan saya membentangkan ceramah hijratur rasul 1433 kepada semua penghuni Kolej Matrikulasi Labuan (KML). Saya dimaklumkan pelajar muslim lebih ramai sedikit berbanding bukan Islam. Jumlah keseluruhannya kira-kira hampir dua ribu pelajar dan lebih seribu sedikit beragama islam.

Kali pertama bertazkirah di sini beberapa tahun lepas di surau ini tetapi tidaklah seramai kali ini, sementara kali kedua saya memberi sedikit pengisian kepada siswa siswi baru beberapa bulan lepas di kantin mereka. Sebagai penghuni matrikulasi, mereka berada di sini sekitar satu hingga dua tahun dan saya sangat berharap mereka pantas merebut peluang dengan merintis kebaikan-kebaikan melalui aktiviti persatuan dan seumpamanya menurut syariat Islam.

Dalam ceramah hijratur rasul, selain menceritakan serba sedikit penghayatan sirah nabawi, antara perkara yang saya titik beratkan ialah memperbaiki dan memperbetulkan niat mereka dalam setiap perbuatan. Niat datang ke KML contohnya, diperbetulkan agar selaras dengan ajaran Islam, iaitu mencari ilmu dan mencari keridhaan Allah SWT agar dengan ilmu itu boleh berbakti kepada masyarakat dan menjadi ibadah yang akan menjadi saham yang baik pada hari kiamat.

 

 

Saya pernah bertemu secara langsung dengannya sekali ketika Pesta Buku 2011 di PWTC. Di kawasan gerai Syarikat Galeri Ilmu, Catriona Ross tampil untuk membantu promosi Majalah Anis yang dalam keluaran itu, wajahnya menjadi pilihan di kulit hadapan majalah berkenaan.

Setinggi tahniah kepada Catriona Ross dan teman-teman artis seumpamanya seperti Wardina, Irma, dan sebelum ini Norkumalasari serta ramai lagi. Di kalangan artis perempuan sudah mula ada yang mengenakan tudung walaupun masih dalam dunia nyanyian dan lakonan yang tidak syarie. Adakah itu boleh diibaratkan penghijrahan sedikit demi sedikit, sebelum mereka berubah secara total? Mudah-mudahan iya dan mereka diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk terus berhijrah.

Saya yakin ramai percaya artis sama ada yang baik atau sebaliknya memberi pengaruh yang besar kepada para peminatnya. Sama seperti pemimpin, jika mereka melakukan atau merintis satu kebaikan dan dicontohi oleh rakyat dan peminat, mereka pasti mendapat pahala, sedikit pun tidak kurang. Sebaliknya, jika mereka melakukan kemungkaran dan diikuti oleh rakyat dan penyokong mereka, mereka (pemimpin & artis) telah memikul dosa kerana memberi contoh yang tidak baik, sedikit pun tidak berkurang.

Justeru peluang dan kesempatan menjadi orang terkenal dan popular – melalui kepimpinan di pentas politik, atau seni hiburan atau sukan dan sebagainya, boleh menjadi jambatan ke syurga atau ke neraka. Allah SWT sudah menunjukkan dua jalan fujur dan taqwa, maka beruntunglah mereka yang mensucikan diri mereka di atas landasan Islam dan taqwa kepada Allah SWT.

%d bloggers like this: