Archive for Ogos, 2008


AZHAN ATAN JUARA AKADEMI NASYID TV9

Sekitar 8.25 malam tadi, saya kembali ke rumah selepas kuliah di Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru.

Saya memang berhajat meluangkan masa itu untuk menonton konsert akhir Akademi Nasyid TV9. Sambil-sambil itu sempat juga menulis dan meninjau-ninjau blog lain.

Tengah-tengah menonton, saya juga buka blog Us Nasruddin Tantawi.

Ust Tantawi juga memuatkan artikel ringkasnya berkenaan finalis Akademi Nasyid – Azhan Atan, seorang OKU dari Johor. Suaranya merdu, memang sejak awal menontonnya saya meremang bulu roma mendengar suaranya.

Ust Tantawi mengajak pembaca melakukan undian SMS kepada Azhan. Rupanya beliau adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tanjung Piai, Johor.

Malam tadi memang ‘milik’ Azhan, malahan minggu-minggu sebelumnya pun. Dia wajar menang dan membawa balik RM100 ribu itu. Ada keikhlasan dalam nyanyiannya.

Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepadanya untuk memartabatkan nasyid sebagai wadah dakwah, dan tidak terlalai dengan mata wang dihambur kepadanya. TAKBIR!

Kunjungi blog : http://azhan-atan.blogspot.com/

Advertisements

Tiada siapa mempertikaikan kepentingan bendera. Ia adalah lambang dan maruah.

Sebagai seorang Islam, kita tidak lupa kisah di dalam perang Mu’tah.

Perang Mu’tah yang berlangsung pada Jamadil Awwal, 8 hijrah bersamaan bulan Ogos atau September tahun 629 Masihi itu adalah peperangan paling hebat berlaku yang dialami oleh tentera Islam ketika baginda SAW masih hidup.

Ia berlaku di satu kampung bernama Mu’tah yang berdekatan dengan wilayah Balqa di Syam. Jaraknya dengan Baitul Maqdis hanya sekitar 2 marhalah sahaja.

Tentera Islam yang seramai 3 ribu orang itu akan berhadapan dengan tentera musuh sejumlah 2 ratus ribu.

Rasulullah SAW melantik Zaid bin Harithah sebagai panglima perang dalam misi ini. Baginda juga berpesan, jika Zaid terbunuh, penggantinya adalah Jaafar bin Abi Tolib. Jika Jaafar terbunuh,  penggantinya adalah Abdullah bin Rawahah

Lalu baginda menyerahkan bendera kepada Zaid bin Harithah sebagai tanda melepaskan pemergian ketumbukan perang Islam.

Di dalam perang itu, Zaid yang memegang bendera bertarung dengan hebat sehingga ditusuk dengan lembing-lembing musuh.

Zaid gugur lalu Jaafar datang mengambil bendera, berjuang dengan tangkas.  Jaafar turun dari kudanya dan bertarung sehingga terputus tangan kanannya. Bendera beralih ke tangan kirinya.

Jaafar terus berjuang sehingga tangan kirinya pula putus, bendera dipeluknya dengan kedua-dua lengannya. Saat Jaafar terbunuh, ia masih mengangkat bendera itu. Seorang tentera Rum mencantas tubuh Jaafar sehingga terbelah dua.

Allah telah mengganti untuknya dengan dua sayap untuk terbang di dalam syurga. Oleh itu, Jaafar digelar dengan Jaafar at-Tayyar (yang terbang).

Ibnu Umar menceritakan, mereka mengira terdapat lebih 90 tusukan lembing dan panah di tubuh Jaafar.

Bendera beralih ke arah Khalid al-Walid yang digelar pedang Allah. Khalid bercerita, di dalam perang itu sembilan pedangnya telah patah ketika bertarung, dan pedang terakhirnya sebilah pedang lebar buatan Yaman.

Pertolongan Allah telah memberikan kemenangan kepada tentera Islam sehingga musuh berundur. Tentera Islam yang terkorban adalah seramai 12 orang, manakala tiada angka pasti di pihak musuh. Tetapi berdasarkan perjalanan perang, angka korban mereka juga ramai.

Itu kisah bendera dalam perang Mu’tah.

Oleh itu bendera bukan sekadar dikibar dan digantung begitu sahaja. Menjadi rakyat yang bertanggungjawab itulah yang utama.

Bukan pelik pada hari ini, ada orang yang mengibarkan bendera di rumah, di pejabat, di kereta kononnya dialah patriotik dan cinta negara. Tetapi rupanya dia seorang perasuah, perompak duit rakyat, pembunuh dan sebagainya.

Mengibar bendera bukan sekadar itu. Ia mesti disertai dengan tanggungjawab dan ruh perjuangan.

Selamat menyambut hari kebangsaan.

28-8-1948

Itu tarikh lahir guru kami, dan guru ramai orang – Datuk Hj Asmali Bachi.

Banyak benar jasanya kepada saya sendiri terutama tentang al-Quran.

Dialah mendedahkan kepada kami kaedah menghafaz al-Quran yang betul. Antaranya beliau mengajar kami agar menghafaz tidak manja dengan masa dan suasana.

Ada orang yang menghafaz pada waktu subuh, sunyi, sendirian dan segar. Itu baik. Tetapi mesti dipelbagaikan.

Kami diajar menghafaz waktu pagi, tengahari, petang dan malam. Menghafaz berdiri, duduk dan baring. Menghafaz ketika sunyi dan bising. Menghafaz ketika sendirian dan di khalayak.

Jangan manja, kata Ustaz Asmali.

Ketika kami tasmi’ di hadapannya setiap hari, sesekali dia akan menceritakan kisah satu-satu ayat dan kelebihan ayat-ayat tertentu dari segi perubatan Islam.

Orang memanggilnya dengan panggilan Imam Asmali. Kami pula memanggilnya dengan nama ustaz Asmali. Katanya, semasa belajar tahfiz di KL dulu, dia dipanggil dengan gelaran Ustaz Sabah.

Dia pernah bercerita, merekalah kumpulan pertama yang dibuatkan peperiksaan diploma tahfiz. Kalau tidak salah, pengetua mereka ialah Dato’ Salahuddin Omar. Pelajar-pelajar terdahulu dari mereka, dianugerahkan saja diploma berkenaan tanpa ada peperiksaan.

Satu lagi pencapaian Ustaz Asmali ialah, beliau adalah satu-satunya orang Sabah yang pernah dapat nombor dalam majlis menghafaz al-Quran kebangsaan. Dapat no 3.

Saya lupa tahun bila. Tetapi zaman itu kategorinya bukan macam sekarang – 5 juzu’, 15 juzu’ dan 30 juzu’. Kalau tidak salah ketika itu kategorinya 8 juzu’.

Ust Zaidi Edward, Datuk Hj Asmali dan Ust Hj Muchlish. Ketiga-tiga mereka adalah tenaga pengajar awal di Maahad Tahfiz Negeri Sabah. Gambar lama ini pada tahun 1998, ketika sambutan Maulidur Rasul SAW di Padang Merdeka Kota Kinabalu.

Ustaz Asmali adalah pengetua pertama Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah. Ketika itu kelas kami di Masjid Negeri Sabah. Dia cukup sabar dengan karenah kami terutama dalam soal menghafaz al-Quran.

Dia boleh beri kami peluang berkali-kali untuk menghafaz semula walaupun dalam keadaan sangkut yang teruk benar.

Ketika kami tinggal di no 7 rumah kakitangan MUIS bersebelahan dengannya, terkenang pada zaman Ramadhan 1996.

Ustaz Asmalilah menjadi tukang masak kami. Pukul 3-4 pagi kami bergilir-gilir setiap hari membantu beliau menyediakan bahan masakan.

Saya bukan reti masak masa tu. Sekarang pun sama juga. Heheh.

Ada masa terluang, kami bersama-sama main badminton di Wisma MUIS. Bahkan pergi memukat di Sungai Kinarut, Karambunai dan sebagainya.

Beliau begitu rapat dan mesra dengan kami. Oleh itu, apabila orang berkata tidak baik tentangnya, saya tidak suka mendengarnya.

Orang yang tidak mengenalinya menganggap dia sombong dan kasar, sedangkan apabila didekati, mesra orangnya.

Saya sendiri terlalu rapat dan selalu tidur di rumahnya. Cuma sekarang kerana hambatan tugas, jarang berhubung dan berziarah.

Jasanya terhadap kami bukan sedikit. Kami kumpulan pertama pelajarnya di maahad dulu memang dianggap anak emasnya.

Kini kami masing-masing sudah berkerjaya. Ada yang bergaya dengan rumah dan kereta masing-masing.

Tapi Ustaz Asmali masih lagi di no 8, rumah panjang kakitangan MUIS, berhadapan dengan SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah, rumah yang hanya punya dua bilik itu. Cuma dulu dia hanya jalan kaki ke Masjid Negeri, sekarang sudah ada kereta kancil.

Semoga beliau terus diberikan kesihatan dan umur yang panjang. Berbakti mengajar al-Quran dan membimbing masyarakat.

“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami pasangan dan zuriat keturunan yang menyejukkan mata. Dan jadikanlah kami pimpinan kepada orang orang yang bertaqwa”.

Pertama kali saya melihat penampilan anak kecil ini, sejuk mata saya memandang. Saya kira, susah hendak melihat  penampilan  begini dari anak sekecil ini di bumi Sabah.

Muhammad Hafizullah Mustaqim, berumur 5 tahun. Sekarang belajar di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Firdaus, Pekan Kota Belud.

Orang yang tunduk dengan perintah agama, akan mendidik anak dengan Islam sedari kecil lagi.

Tetapi orang yang sombong dengan perintah agama akan berkata, alah masih kecil lagi.

Biarlah dulu dia puas-puas tidur, puaskan berhibur,   puaskan itu dan puaskan ini. Sudah besar nanti, pandailah dia tuu!

Akhirnya ibu bapa jenis begini dengan kedegilan lampau akan menyesali keadaan anak mereka yang enggan patuh perintah agama.

Ketika ini, barulah sibuk cari ustaz sana sini, minta air penawar, minta jampi, minta tiup.

Dulu masa kecil, enggan dibawa ke masjid, tidak diajar sembahyang, tidak dilatih menutup aurat dan sebagainya.

Muhammad Hafizullah adalah anak sulung  dari empat kepada saudara Mustaqim Aling, seorang muallaf dari Kota Belud dan isterinya kak Sri Wahyuni berasal dari Tawau.

Belum apa-apa, Kak Sri selalu mengusik saya beberapa kali hendak berbesan dengan kami!

Saya hubungi Mustakim sebentar tadi, rupanya Kak Sri bersalin lagi anak keempat 2 minggu lalu. Anak lelaki. Tahniah.

Dalam tazkirah akhirnya berkenaan persiapan Ramadhan, Ust Nasaruddin Mat Isa antara lain mengingatkan para ‘amilin agar melaksanakan tuntutan al-Quran dari 5 segi :

1) Membaca al-Quran. Jangan kosong hari-hari kita dengan tilawah al-Quran.

Sepatutnya tidak timbul lagi kisah para amilin tidak membaca al-Quran.

Ini adalah asas. Ruh dan nyawa kita.

Saya terdengar kisah beberapa hari lepas, ada rakaman forum perdana. Para panel tidak dibenarkan membacakan ayat al-Quran dan hadith Nabi SAW.

Alasannya kerana antara yang hadir di sana ialah orang bukan Islam. Entah siapa punya arahan nda taulah. Malang sungguh!

2) Membaca terjemahan al-Quran. Kita ini bukan bangsa Arab yang memahami bahasa al-Quran. Oleh itu, perlu kita membaca terjemahan al-Quran supaya kita mendapat pengetahuan daripada apa yang kita baca.

3) Membaca tafsir al-Quran. Ertinya huraian-huraian setiap ayat al-Quran. Tidak memadai terjemahan kerana terdapat ayat yang perlu kepada keterangan tertentu.

Berapa ramai umat Islam membaca al-Quran tetapi selalu menentang perintah al-Quran. Antara sebabnya kerana tidak memahami apa yang dibaca.

4) Tadabbur al-Quran. Tadabbur ertinya merenung, mengkaji, meneliti dan seumpamanya.

Biasanya kalau kita membaca satu buku, kita bukan semata-mata mahu membaca, dan kemudian habis begitu saja. Tetapi kita mahu maklumat, ilmu pengetahuan dan sebagainya.

Begitulah sepatutnya dengan al-Quran. Ramai umat Islam rajin baca al-Quran tapi tidak mahu mengambil manfaat ilmu pengetahuan darinya.

Ramai yang baca hanya sekadar mahu pahala baca, tidak mahu faham dan meneliti ayat al-Quran.

5) Istiqamah dengan al-Quran. Istiqamah baca, seterusnya istiqamah beramal dengan perintah al-Quran. Perintah dan larangan. Mengambil manfaat dengan peristiwa yang diceritakan di dalamnya.

Berdoalah kepada Allah mudah-mudahan kita diberikan kekuatan untuk melaksanakan kelima-lima tuntutan berkenaan.

Sebentar tadi, mulai jam 6.30 petang saya dijemput ke SK Bahang Penampang. 

Hajat mereka ialah saya  memimpin solat maghrib, bacaan yasin, tazkirah dan solat hajat untuk anak-anak darjah enam yang bakal menduduki UPSR mulai 9 Sept akan datang.

Terdapat 100 orang murid tahun enam dengan hanya 35 orang beragama Islam.

SK Bahang terletak di Penampang, bersebelahan dengan SMK Bahang dan berhadapan dengan deretan kedai yang menempatkan Servay Hypermarket yang baru terbakar minggu lepas.

Walaupun pernah berkunjung ke sini beberapa tahun lepas, petang tadi saya hampir terlimpas simpang sekolah, rasanya tiada papan tanda yang menunjukkan sekolah ini.

Sekali lalu, sekolah ini tidak begitu kelihatan dari tepi jalan besar. Kedudukannya masuk ke dalam sedikit. Jadi ketiadaan papan tanda menyukarkan tetamu seperti saya untuk ke sekolah tersebut.

SK Bahang kalau tidak salah mula beroperasi pada 1995. Sesudah 13 tahun, kini ia mempunyai 600 pelajar, dengan satu pertiganya adalah beragama Islam.

Terdapat 45 orang guru termasuk 8 orang guru agama Islam, yang kini dipimpin oleh Puan Sabariah Hj Haris selaku Guru Besar.

Katanya tadi, beliau berasal dari Kg Kelanahan Papar.

Setinggi tahniah untuk sekolah yang melakukan aktiviti bermanfaat ini.

Mungkin ada baiknya juga kalau pihak sekolah terutama guru agama memikirkan agar solat hajat ini diadakan setiap bulan bermula Januari sehingga menjelang peperiksaan.

Anak-anak ini bagi saya mesti diajar memohon pertolongan kepada Allah daripada awal, bukan hanya menjelang peperiksaan.

Melakukan sekali, mungkin menyukarkan mereka melakukan sendiri pada masa lain.

Tetapi jika dilakukan lebih kerap, seperti setiap bulan atau lebih kerap lagi, sudah tentu mereka mempunyai pengalaman dan ilmu yang lebih baik untuk melakukannya sendiri di rumah.

Apa pun, kita sama-sama mendoakan kejayaan mereka semua.

Terima kasih ust. Mad.

Sekitar jam 10 pagi, saya ke tingkat 2 yang menempatkan pejabat Takaful Malaysia,  mengurus insuran kereta Kelisa yang sudah tersadai sebulan di rumah kerana cukai jalan sudah tamat.

Ada beberapa salah faham maklumat yang menyebabkan saya menangguhkan urusan bayaran takaful.

Awal Ogos tahun lalu, kereta kelisa saya mendapat kemalangan di bulatan Kopungit.

Kereta itu dipandu oleh Mahmud, sahabat yang selalu menemani saya ke masjid dan ke surau untuk menyampaikan kuliah.

Ketika itu, saya berada di Tawau, mengiringi TYT Tun Ahmadshah, merasmikan sebuah masjid di sana. Semua urusan laporan polis, bayaran saman dan lain-lain diurus oleh Mahmud.

Pertembungan antara kelisa dan kancil. Pendek cerita kelisa salah dan kancil ‘terbaring’ di tepi jalan.

Beberapa sahabat seperti Hj Rahimin yang melalui jalan tersebut, perasan kereta kelisa saya baru kemalangan. Tuan haji menyangka saya di sana, sedangkan saya di Tawau.

Hj Rahimin segera melaporkan kejadian dengan  SMS kepada sahabat-sahabat perihal kejadian yang mengejutkan itu.

SMS itu hanya menjelaskan kereta saya kemalangan tetapi semua selamat. Saya tidak putus-putus menerima SMS dan telefon sahabat. Ramai! Letih saya menjawabnya.

Itu ceritanya.

Jadi, awal bulan Julai lalu, apabila cukai jalan kelisa saya sudah tamat tempoh, saya ke Bank Islam Automobil di Bangunan UMNO, menyerahkan RM30.00 untuk urusan cukai jalan.

Kemudian ke Takaful Malaysia untuk urusan insuran.

Ada salah faham antara saya dan pegawai di sana. Maklumat yang saya diberitahu, bayaran takaful saya kali ini tinggi kerana pernah kemalangan dalam tempoh setahun. Itu okey.

Tetapi saya tersalah faham, atau dia salah beri maklumat, jika eksiden itu sudah berlalu setahun, bayaran takaful akan kembali normal kepada sekitar RM500 ++.

Jadi saya mengambil keputusan menangguhkan urusan takaful sehingga genap setahun dari tempoh kejadian kemalangan iaitu pertengahan Ogos ini.

Tetapi apabila saya hadir semula pagi ini, rupanya maklumat yang saya pegang selama ini salah. Entah saya yang khayal atau tuli masa itu, atau dia yang mamai memberi maklumat yang salah.

Bagaimanapun, itu sudah berlalu. Saya terpaksa bayar RM719 semuanya. Mujur ada duit lebih, senang la bayar. Kalau kering tadi, mau memanas juga.

Lagipun layanan mereka sangat mesra. Bersembang bagai sahabat lama. Jadi suasana itu memadam kegeraman saya. Terima kasih Takaful Malaysia.

Lewat petang kelisa saya sudah punya cukai jalan kembali.

Pejabat Takaful Malaysia di Kota Kinabalu : Tingkat 2, blok A, Wisma MUIS, Sembulan Kota Kinabalu.

BERDOA KETIKA HUJAN

Semenjak dua menjak ini lewat petang selalu hujan.

Ada orang bila hujan, menyumpah-nyumpah. Ada orang marah-marah.

Entah siapa disumpah, dimarah atau disalahkannya.

Menyalahkan air hujan? atau Allah yang pencipta air hujan dan penggerak awan?

Kereta yang baru dibasuh bersih, kotor semula. Baju yang mulai kering, basah kembali. Program yang diatur terpaksa ditunda atau dibatal.

Di dalam kitab al-Azkar, Imam an-Nawawi merekodkan pernyataan Imam asy-Syafii yang meriwayatkan sebuah hadith mursal di dalam kitab al-Umm dari Nabi SAW :

“Tuntutlah doa yang mustajab ketika tentera sedang bertarung, ketika iqamat solat dilaungkan dan ketika hujan turun”.

Selama ini orang selalu menyalahkan hujan, rupanya begitulah Allah menurunkan rahmat ketika hujan, salah satunya waktu mustajab berdoa.

Menjadi kebiasaan setiap Ramadhan, tenaga penceramah agak laku apabila dipanggil di sana sini menyampaikan ceramah, kuliah atau tazkirah sama ada di masjid, surau, pejabat, sekolah dan sebagainya.

Banyak tajuk boleh dibawa dalam ceramah atau tazkirah Ramadhan ini.

Puasa

1. Hukum hakam puasa  2. Puasa yang diterima Allah  3. Adab dan akhlak berpuasa  4. Sunnat puasa  5. Hikmah puasa  6. Sejarah puasa  7. Huraian ayat-ayat puasa 8. Huraian hadith-hadith puasa  9. Bagaimana puasa Nabi SAW 10. Qadha dan fidyah puasa.

Solat

1) Solat Nabi SAW  2) Solat berjamaah  3) Solat tarawih dan witir  4) Qiyamullail  5) Kesilapan dalam solat  6) Solat yang diterima Allah  7) Solat-solat sunnat   8) Huraian ayat-ayat berkenaan solat  9) Huraian hadith-hadith tentang solat 10) Akhlak orang bersolat

Lain-lain

1. Iktikaf  2. Zakat  3. Persoalan niat  4. Sedekah  5. Huraian kepada rukun iman  6. Mengimarahkan masjid  7. Taat kepada ibu-bapa 8. Amar ma’ruf, nahi mungkar  9. Ukhuwwah Islamiyyah 10. Tafsir surah-surah lazim  11. Perang ahzab 12. Muhasabah ramadhan  13. Huraian takbir raya  14. Berbelanja menurut Islam  15. Fathu Makkah  16. Umrah dan haji  17. Huraian 2 kalimah syahadah  18. Mewujudkan keluarga beriman  19. Batas iman dan kufur  20. Persoalan aurat  21. Tadarrus al-Quran  22. Kerja adalah ibadah  23. Riba’  24. Dakwah kepada bukan Islam  25. Rasuah

Terlalu banyak tajuk boleh dibentang ketika kita menyampaikan tazkirah atau ceramah.

Saya mencadangkan, oleh kerana Ramadhan adalah musim syaitan ditambat, dan ramai umat Islam yang mula berjinak-jinak atau lembut hati mendengar ceramah, apalah kiranya tazkirah atau ceramah yang disampaikan tidak semestinya menyentuh persoalan puasa semata-mata.

Ini kerana, orang yang saban Ramadhan mendengar ceramah tetapi menyepi pada masa yang lain, pada masa Ramadhan inilah diperdengarkan kepada mereka tajuk-tajuk lain tanpa mengabaikan masalah puasa dan Ramadhan.

Kalau hanya ceramah soal melewatkan sahur, atau berbuka di awal waktu, atau larangan mengumpat itulah saban tahun didengarnya saja, bilakah lagi masanya dia hendak mendengar persoalan-persoalan lain yang berlaku di dalam masyarakat?

Inilah masanya!

NOR MUHAMMAD ABDULLAH (III)

Petang selasa 26 Ogos, saya meluangkan masa menziarahi Nor Muhammad di SMC setelah ziarah terakhir kalau tidak salah pada 10 Ogos.

Pada ziarah terakhir kami, ketika itu bersama Cikgu Hashim, Cikgu Yusuf, Ridhuan dan Mahmud, kami membacakan doa angin ahmar yang panjang.

Tetapi semuanya dengan izin Allah SWT, kami meninggalkan Muhammad dalam keadaan dia dapat menjawab salam kami, walaupun agak payah lidahnya berkata-kata. Itu 10 Ogos.

Selasa lepas, saya pergi sendirian.

Satu perubahan yang mengejutkan tetapi semuanya dengan kuasa Allah SWT, Muhammad sudah boleh bertutur seperti biasa.

Walaupun tangan dan kaki kirinya masih belum pulih, tetapi kemampuannya bertutur hampir 100% sangat menggembirakan.

Setelah beberapa kali berziarah dengan hanya berinteraksi dengan kertas dan pen, saya bercerita panjang dengannya.

Dalam keadaan mulutnya tidak putus mengucap syukur, tahmid, syahadah dan takbir, dia sempat menceritakan saat-saat mudanya yang nakal, sehingga ia jatuh cinta dengan Islam dan Allah SWT pada 20 April 2004 di hadapan Ust Mas Daud di Petronas Labuan.

Muhammad juga bercerita berkenaan pergaulannya dengan saudara-saudara dari Jamaah Tabligh sepanjang bertugas di Bintulu.

Bercerita soal keluarga, dia sangat menghormati mereka walaupun orang tua dan ahli keluarganya belum memeluk Islam.

Katanya, walaupun ahli keluarganya masih lagi memujuk-mujuknya agar kembali ke agama asal sehingga saat ini, dia tetap bertahan dengan aqidahnya.

Katanya agama bukan perkara main-main. Bahkan di hatinya selalu mendoakan mereka turut memeluk Islam sepertinya juga.

Walaupun ada petugas SMC menyatakan hairan dengan perkembangan positif Muhammad, tetapi tidak ada yang susah bagi Allah SWT.

Jika Ia boleh menjadikan Adam dan Hawa tanpa ibu bapa, menjadikan isteri Nabi Ibrahim dan Zakaria hamil dalam usia mereka sudah tua, menjadikan Maryam hamil tanpa suami, mengangkat DS Nizar menjadi MB Perak dalam keadaan kerusi PAS hanya 6 kerusi, apalah susahnya bagi Allah menjadikan Muhammad boleh bertutur seperti biasa, sedangkan ketika kali pertama kami berziarah awal bulan ini keadaannya sangat membimbangkan.

Sebelum berpisah, Muhammad berpesan agar saya menyampaikan terima kasihnya kepada mereka yang berziarah dan mendoakan kesejahteraannya dari jauh.

Teruskan doa saudara, semoga dia bertahan dengan Islamnya.

%d bloggers like this: