p1160035Sebenarnya berat hati untuk berceramah di sekolah menengah akibat pengalaman lalu.

Atas kelemahan diri, saya pernah gagal mengawal audien yang terdiri daripada kalangan pelajar menengah ketika berceramah di sebuah sekolah pada Ramadhan lepas. Tension dibuatnya.

Tetapi berat hati pun kena pergi juga – kali ini ke SM La Salle untuk menambah pengalaman dan memperbaiki kesilapan lalu. Tambahan lagi ia adalah jemputan sahabat karib Ust Md Khidir Ishak.

p1160024Syukur alhamdulillah, masa 40 minit berada di pentas dewan SM La Salle semalam, saya mendapati respon lebih 500 pelajar lelaki sangat baik.

Pelajar bersembang dan ada segelintir nampak terlelap saya anggap biasa saja tetapi sebahagian besarnya memberi reaksi dan tindak balas apabila saya bertanya sesuatu kepada mereka.

Bahkan di hujung ceramah, kesemuanya nampak bersemangat melafazkan takbir sebanyak 3 kali.

Ceramah berkisar tentang Maal Hijrah. Untuk pelajar ini, pertamanya saya menyeru mereka bersama-sama menyebut 12 bulan Islam. Alhamdulillah, nampak mereka tahu dan hafal.

Keduanya, saya hanya sempat menyebutkan 4 watak dalam peristiwa hijrah Nabi SAW.

Pertamanya diri Baginda SAW sendiri sebagai seorang pemimpin, Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq RA sebagai seorang sahabat setia dalam susah dan senang, Sayyidina Ali RA yang mempertaruhkan nyawa untuk Rasulullah dan berkorban untuk Islam dalam usia remajanya dan Abdullah bin Abu Bakar RA sebagai pemberi maklumat kepada Nabi SAW dan Sayyidina Abu Bakar RA.

Semua itu saya bandingkan secara ringkas dalam kehidupan selaku seorang pelajar. Kepimpinan, persahabatan, pengorbanan dan dokongan kepada perjuangan Islam.

p1160026Pelajar Islam wajib menjadi contoh terbaik kepada rakan sekolah yang bukan Islam, tambahan lagi mereka menuntut di sekolah missionary Kristian.

Mereka mesti menunjukkan bakat kepimpinan dan etika persahabatan yang luhur.

Saya kaitkan juga erti pengorbanan Sayyidina Ali dalam praktikal hari ini.

Contohnya memberi separuh belanja saku ke sekolah untuk disumbangkan kepada umat Islam di Gaza, memboikot 7 barangan terpilih, dan mengirimkan doa mereka kepada saudara seaqidah mereka.

Mereka yang terdedah dengan dunia cyber internet juga mesti memaklumkan kepada pihak berkuasa jika ada maklumat di media internet seperti YM, blog, friendster dan lain-lain yang cuba memperlekeh dan menghina Islam dan Rasulullah SAW sebagaimana tugas yang diamanahkan kepada Abdullah bin Abu Bakar.

Untuk rekod, sekolah ini mempunyai sekitar 1200 pelajar dan separuh daripadanya beragama Islam.

Hanya 4 guru pendidikan Islam, dan majoriti daripada 70 guru di sini beragama Islam. TYT Tun Ahmadshah adalah alumni sekolah ini.

p1160033Tahniah buat kesemua guru pendidikan Islam – Ust Md Zulkifli Saari (Ketua Panatia Pendidikan Islam), Ust Md Khaidir Ishak, Ust Osman Mehat dan Ust Suhaineh Sainan, yang berjaya mengadakan dan mengawal dengan baik majlis semalam.

Kepada pelajar yang hadir dan membaca blog ini agar dapat mengambil pengajaran dan mengukuhkan kefahaman Islam di dalam diri masing-masing.

Salah seorang pelajar yang menerima anugerah tokoh Maal Hijrah peringkat sekolah.