Archive for April, 2012


Saya seperti ketagih untuk hadir walaupun sebentar ke pesta buku ini, setelah mengalami suatu pengalaman yang sangat berharga pada tahun lalu bersama kawan-kawan. Kalau tahun lalu saya hadir dengan sahabat-sahabat, kali ini saya datang sendirian walaupun bertemu juga dengan kawan-kawan tahun lepas dengan rombongan yang berasingan.

Cuma kelebihannya kali ini saya sudah tahu serba sedikit simpang siur di dalam kawasan PWTC khususnya dewan-dewan di aras bawah yang menempatkan pasukan-pasukan penerbit atau pengedar buku termasyhur negara. Saya tersilap waktu tutup, kerana menyangka berakhir jam 10, tetapi rupanya jam 9 malam, maka saya hanya ada masa hampir 2 jam untuk meronda kawasan pesta buku ini.

Hampir tiada masa untuk membelek satu persatu buku yang nampak menarik. Saya meninjau beberapa buku yang disasarkan berdasarkan tajuk atau subjek, berjumpa dan terus ambil. Begitu juga buku yang disasarkan berdasarkan penulis atau pengarangnya. Terus saja saya sambar tanpa banyak songeh lagi. Antara kepuasan kali ini ialah saya bertemu dengan Pak Abdul Latip Talib, penulis buku sirah Islam tersohor negara kita di gerai PTS.

Akhirnya, saya dapat membeli sejumlah 35 buah buku pelbagai tajuk dan penerbit dari Galeri Ilmu, PTS, Pelima Media, Pustaka Sheikh Nuruddin (PSN), Pustaka Salam dan seumpamanya dengan kos sekitar RM800. Saya sudah membuat sedikit persediaan dari Kota Kinabalu, membeli troli kecil untuk diheret ke hulu ke hilir dan melancarkan pergerakan dari tempat penginapan – pwtc – dan kembali ke tempat penginapan semula. Akhir sekali, di LCCT, beg yang penuh dengan buku itu, pemegangnya patah kerana keberatan.

Sumber : http://www.islam.gov.my/lambaian-datong-laut-pengikat-persaudaraan

Oleh : Mohd Marzuki

Pada 22 april yang lepas, Jakim Cawangan Sabah dengan kerjasama JHEAINS Daerah Pitas, Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Negeri Sabah (JPINS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Datong Laut, Pitas telah mengadakan Program Ziarah Mahabbah bertempat di Surau Nur Hidayah, Kampung Datong Laut, Pitas.

Objektif utama program ialah menyuburkan rasa kasih sayang serta semangat persaudaraan dengan kumpulan sasaran di dalam suasana mahabbah dan mawaddah dan memberi motivasi dan sokongan moral disamping menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan serta memberi kefahaman akidah Islam yang sebenar.

Antara pengisian yang dijalankan ialah Halaqah Ilmu (Bab Taharah), Tazkirah, solat zohor berjamaah dan ramah mesra. Para peserta yang hadir juga begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Turut hadir ialah Ustaz Mohd Shamsuri bin Ghazali, Penolong Pengarah Jakim Cawangan Sabah, Ustaz Kamal Sindong, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Daerah Pitas, Encik Nasarudin bin Ahmad, Pegawai JPINS, Encik Dulah bin Kurus, Pengerusi KRT Kampung Datong Laut dan Encik Arif bin Adol, Ketua Kampung Datong Laut. Sumbangan berupa keperluan dapur turut diberikan kepada saudara baru, fakir miskin dan anak yatim.

SOROTAN BERSIH 3.0

Sumber asal : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/9917-langsung-himpunan-duduk-bantah-bersih-30-?device=xhtml

9 am: Laluan ke Kg Baru dari Jalan Semarak ditutup kepada semua pengguna jalan raya. Beberapa pengguna jalan raya dilihat turun dari kenderaan masing-masing untuk berbincang dengan pihak polis. Semua kenderaan diarahkan melalui jalan Tun Razak.

9.05am: Trafik dari Kajang sehingga tol Sungai Besi berjalan lancar setakat ini. Tidak ada sebarang sekatan dibuat. Bagaimanapun trafik mulai sesak di Lapangan Terbang Sungai Besi dan kelihatan tidak bergerak kerana beberapa jalan telah ditutup.

9.10am: Orang ramai mula tiba di stesen LRT KLCC dan kelihatan pihak polis berkawal.

9.15am: Jalan Tun Razak sesak apabila polis trafik telah menutup susur jalan ke Tabung Haji menghala ke KLCC.

9.35 am: Di pusat membeli -belah Sogo, puluhan polis menghalang laluan masuk ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan mendirikan ‘pagar manusia’ yang terdiri daripada anggota polis. Kelihatan sekumpulan orang yang dipercayai peserta himpunan Bersih 3.0 berkumpul di hadapan Kompleks Pertama. Bilangan mereka bertambah dari semasa ke semasa.

9.57 am: Sekitar pasaraya Sogo – Sebuah helikopter kelihatan berlegar-legar di udara. 10 am:

Pusat Membeli Belah Sogo mula membuka premis perniagaan, bagaimanapun pihak polis meletakkan pita yang dikenali ‘tali merah’ di kalangan pihak polis di hadapan pintu masuk Sogo. Hanya satu pintu di bahagian tepi kompleks Sogo dibuka.

10.20 am: Sekitar Sogo – Pihak polis memperkemas barisan bagi menghadapi sekumpulan peserta di hadapan premis KFC. Beberapa individu yang berjalan dalam kelompok kecil dimita kembali ke kompleks Pertama.

10.22 am: Orang ramai beratur untuk membeli tiket di Stesen LRT Titiwangsa

10.30 am: Lokasi Masjid India – peserta Bersih memenuhi sekitar masjid india dianggarkan mencecah 3 ribu orang.

10.35 am: Lokasi Dataran Merdeka – dianggarkan melebihi 6 ribu orang berkumpul diatas jalan raya.

10.41 am: Meskipun kawasan Dataran Merdeka ditutup dan dikawal polis, peserta Duduk Bantah duduk santai di kawasan sekitar dengan berpakaian kuning. Laungan “reformasi” dan “bersih bersih” turut kedengaran. Lebih 500 orang di sini. Peserta berehat menunggu detik 2 petang.

10.50 am: Sekita Sogo – Laungan “reformasi” mula kedengaran dari kumpulan orang ramai yang dianggarkan seramai 200 orang di hadapan kompleks Pertama.

10.54 am: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tiba di Masjid Negara diiringi dengan laungan “duduk”

10.57 am: Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS “Kita minta semua peserta bersih 3.0, disamping duduk bantah, boleh lah berbelanja RM10 seorang untuk menyemarakkan lagi himpunan pada hari ini.”

11 am: Dataran Merdeka: Lebih 2,000 peserta sudah berkumpul di sini. Ada yang bermalam dari malam tadi di sini.

11.05 am: Jumlah yg tiba di dataran semakin bertambah. Laungan “Bersih, Bersih!, Reformasi, hidup rakyat” kedengaran sejak tadi. Sebahagian peserta ada yang duduk dan berehat sementara menunggu jam 2 petang. Turut dilaungan ‘kuning-kuning Najib pening’ disamping beberapa ucapan bersemangat dikalangan peserta.

11.10 am: Polis terus berkawal di sekitar KLCC.

11.12 am: PDRM akan guna LRAD = Long Range Acoustic Device, alat yang akan buat demonstran sakit telinga & hilang imbangan. Bawa earplug/kapas.

11.20 am: Lokasi SOGO – Timb Presiden PKR, Azmin Ali tiba dan bertemu dengan peserta Bersih.

11.23 am: Dataran – Seorang pemuda menarik perhatian orang ramai apabila berjalan dihadapan barisan kawalan polis sambil menayangkan kertas bertulis ‘Semoga Allah lembutkan hati abg polis’.

11.25 am 9 trak polis dengan 6 daripadanya dipenuhi anggota tiba di Dataran Merdeka.

11.30 am Kira-kira 4,000 orang berkumpul di pekarangan Masjid Negara dan stesen KTM Kuala Lumpur. Jumlah dilihat semakin bertambah.

11.32 am: Kira-kira lebih 2000 peserta Bersih memenuhi ruang letak kereta di depan Central Market (CM). Beberapa kedai di dalam CM ditutup bagaimanapun orang ramai boleh memasuki bagunan itu tetapi tidak di benarkan bersantai di situ. Kelihatan beberapa anggota RELA mengawal pintu masuk CM. Kira-kira 200 orang anggota Unit Amal Malaysia sedang bersiap sedia untuk mengawal peserta himpunan, mereka kini berkumpul di astaka di hadapan CM. Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga dan beberapa anggota Bersih turut berada bersama anggota unit amal.

11.35 am: Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam mengharap pihak berkuasa memberi ruang kepada peserta berhimpun secara aman sehingga selesai. Perhimpunan aman dijamin perlembagaan. Kedua dua pihak sama ada pihak keselamatan mahupun peserta diharap bersabar dan menahan diri dari melakukan tindakan yang tidak wajar. “Saya lihat semua peserta berhimpun secara aman, dan saya rasa tiada sebab untuk mana-mana pihak bertindak diluar batasan,” katanya.

11.37 am: Sebahagian peserta kini mula bergerak dari dataran ke masjid negara. Difahamkan pimpinan Bersih dan Pakatan Rakyat akan berada di sana. Hampir 4,000 peserta sudah berada di sini memenuhi jalan bersebelahan dataran merdeka yang dipagar. Dianggarkan lebih separuh dari peserta di sini sedang bergerak ke masjid negara

11.40 am: Lebih 1,000 peserta Duduk Bantah berkumpul di perkarangan Masjid Negara sementara menunggu jam 2 petang.

11.42 am: Kumpulan dari Masjid Jamek kini mula beransur-ansur bergabung dengan kumpulan yang berkumpul di dataran merdeka.

11.45 am: Kumpulan dari Masjid Jamek dipimpin Azmin Ali tiba di dataran dengan laungan reformasi.

11.46 am: Kira-kira 300 peserta dari Kajang berarak dari stesen KTM Kuala Lumpur ke Masjid Negara.

11.50 am: Azmin Ali memberikan ucapan dihadapan ribuan peserta.

11.52 am: 2 buah helikopter polis berlegar rendah di perkarangan masjid Negara.

11.55 am: Dianggarkan jumlah peserta di Dataran Merdeka kini mencecah 7,000 orang. Kumpulan dari Masjid Jamek turut bergabung di sini. Sepanjang jalan dari persimpangan Bank Rakyat ke stesen masjid jamek penuh dengan peserta. Mereka kini mula memenuhi simpang Jalan Tunku Abdul Rahman pula.

11.57 am: Hampir 1000 orang menghampiri Sogo sambil melaungkan takbir, reformasi dan pelbagai kata-kata semangat. Terdapat beberapa provokasi kecil, bagaimanapun tiada sebarang kekacauan berlaku.

11.59 am: Kumpulan di Masjid negara melaungkan “Bangkit Melayu, Bangkit Cina, Bangkit India, Kita Sama, Sokong Bersih”

12.00 pm: Lebih 5,000 berkumpul di perkarangan Masjid Negara. Sebahagiannya menyanyikan lagu Negaraku.

12.02 pm: Zunar yang baru tiba di perkarangan CM meminta semua peserta Bersih tunggu di situ sementara menunggu arahan daripada pimpinan Bersih. Menurut zunar para peserta akan bergerak ke Dataran Merdeka jam 1.30 petang. Para peserta Bersih kelihatan bersemangat dan tidak sabar-sabar untuk ke Dataran Merdeka. Ketika ini suasana di depan CM bertambah meriah dengan iringan sajak yang disampaika oleh salah seorang peserta bersih. Sebelum itu, para peserta turut menyanyikan lagu Negaraku.

12.04 pm: Seorang peniaga di kompleks Pertama melahirkan rasa kesal dengan melaungkan kata-kata kekesalan terhadap peserta yang berkumpul. Pihak polis sebelum ini cuba mententeramkan beliau. Ramai peserta menganggap ia sebagai satu provokasi.

12.05 pm: Kumpulan dari KLCC tiba di hadapan kompleks Pertama. Kelihatan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Dr Hatta ramli dan Dr Syed Azman berada dalam kumpulan tersebut.

12.06 pm: 16 belas trak FRU termasuk 1 trak water canon dilihat mula bergerak masuk dari jalan parlimen menuju ke Masjid Negara.

12.08 pm: Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir tiba di perkarangan Masjid Negara.

12.10 pm: Dataran – Peserta beramai-ramai melaungkan lagu negaraku.

12.30 pm: Pasukan Unit Amal mula mengawal ketat keselamatan pemimpin utama di Masjid Negara.

12.31 pm: Peserta dari Sogo mula bergerak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman. Perarakan diketuai oleh Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli sambil diiringin laungan kata-kata semangat. Polis mula bergerak menghampiri Dataran Merdeka, dipercayai bagi menyekat kemaraan peserta.

12.35 pm: Kereta Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat melalui Masjid Negara menuju ke Dataran Merdeka. Bagaimanapun masih belum diketahui beliau akan turun di mana.

12.37 pm: Trak water canon fru kini mula memasuki kawasan dataran merdeka. Dianggarkan lebih 20 buah. Naib Presiden PAS mula bergerak dari Pejabat Agung Pas menuju ke Dataran Merdeka. Jumlah peserta di dataran merdeka kini dianggarkan mencecah 10,000 orang. Turut kedengaran laungan ‘Duduk bantah, berdiri Umno’.

12.40 pm: Wakil Juham, Abang Mohd Kerdee Abang Masagos berkata, pihak polis enggan berunding. Ketibaan peguam Juham disambut dengan sorakan peserta yang menunggu di Dataran.

12.45 pm: Lebih 500 anggota polis dihat bergerak menuju ke persimpangan hadapan Bank rakyat. Mereka berkumpul di bawah jejantas berhampiran medan selera D’ Tebing. Pasukan LSF mula membuat sekatan di persimpangan jalan di hadapan medan selera D’ Tebing. Di sini dipercayai laluan kumpulan dari Masjid Negara untuk bergabung dengan kumpulan Dataran Merdeka. Dianggarkan hampir 1,000 anggota LSF dan polis berhimpun menutup jalan di sini

12.50 pm: Dataran – Pasukan polis sudah bersedia untuk lepaskan gas pemedih mata.

12.52 pm: Lokasi KLCC – Polis mula menganas dengan menangkap 3 pemuda peserta himpunan sebaik sahaja semua peserta himpunan dari KLCC bergerak menuju Dataran Merdeka. Mereka ditangkap, ditendang dan diheret ke dalam van polis. Peserta lain yang melihat kejadian mengecam tindakan ganas polis. Antara peserta yang lihat kejadian berkata, “Sekiranya mengapa-apakan peserta yang ditangkap, PRU 13 kita tolak Umno. Najib tak layak jadi PM.” Tinjauan di tempat kejadian di KLCC. Didapati hampir 20 ribu mula bergerak ke dataran merdeka namun Jalan Pudu ditutup.

12.55 pm: Pemimpin-pemimpin utama, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan beberapa orang lagi memulakan ucapan semangat sementara menunggu masuknya waktu Zuhur di Masjid Negara.

12.59 pm: Amaran bersurai diumumkan pihak polis.

1.02 pm: Pasukan FRU bersedia melepaskan tembakan.

1.04 pm: Peserta di Dataran Merdeka mula berundur ke jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak berhampiran Masjid Jamek.

1.05 pm: Lokasi Masjid Negara –  pihak polis membuat sekatan ketat dilaluan menghala ke Dataran Merdeka dengan anggota melebihi 200 orang bagi tujuan menghalang kemaraan pemimpin PR dan peserta Bersih di Masjid Negara dianggar melebihi 10 ribu orang.

1.15 pm: Sebahagian besar masih tetap di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Tunku Abdul Rahman berhampiran Dataran.

1.20 pm: Polis dalam keadaan bersedia melepaskan tembakan gas pemedih mata.

1.30 pm: Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam berpendapat perhimpunan hari ini berlangsung dengan aman. Beliau berharap semua pihak memberikan kerjasama selaras dengan semangat Perlembagaan Malaysia yang menjamin hak rakyat untuk berkumpul dan berhimpun. Suhakam meletakkan 15 orang wakilnya bagi memantau himpunan ini.

1.34 pm: Peguam Karpal Singh yang berkerusi roda cuba memohon untuk melepasi sekatan pihak polis. Perbincangan sedang berlaku.

1.37 pm: Lokasi Masjid Negara – Presiden PAS TG Abdul Hadi tiba di lokasi dan akan bersama-sama berarak ke Dataran.

1.43 pm: Kumpulan peserta di Central Market mula bergerak ke Dataran sambil melaungkan “Bersih, bersih , bersih”. Kumpulan ini bertambah ramai dengan kehadiran peserta dari Brickfields. Dianggarkan jumlah peserta kumpulan ini kira-kira 10 ribu orang.

1.45 pm: Karpal Singh dibenar melepasi sekatan pihak polis selepas perbincangan antara mereka. Dua jenis senapang dilihat digunakan pihak polis. Senapang biasa untuk gas pemedih mata dan juga senapang peluru getah. Bagaimanapun polis masih belum melepaskan sebarang tembakan, hanya bersedia. Seorang lelaki cuba menghadiahkan jambangan bunga kepada anggota polis yang sedang berbaris, tetapi tidak dilayan.

1.48 pm: Lokasi Masjid Negara – perarakan bermula dan peserta seramai 10 ribu orang.

2 pm: Para peserta Bersih dari CM sedang berarak menuju Dataran, bagaimanapun perarakan agak perlahan di depan Bangkok Bank kerana sekatan polis di hadapan BAR Council.

2.15 pm: Lokasi Dataran Maybank – Peserta perarakan Bersih berhenti di Dataran Maybank, menanti kumpulan perarakan yg lain. Jumlah peserta kini mencecah angka ratusan ribu.

2.24 pm: Peserta yang berkumpul di jalan berdekatan Dataran Merdeka melaungkan “We Want Dataran”, diselangi laungan “Buka, buka, buka Dataran”.

2.30 pm: Para pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sedang berucap di tengah-tengah jalan Tun Perak menghala ke Jalan Pudu di depan Wisma Permim. Sambil melaungkan “Hidup Rakyat”.

2.58 pm: Arahan bersurai kali kedua dikeluarkan pihak polis.

3 pm: Loceng amaran FRU dibunyikan. Sebahagian orang ramai merempuh masuk ke Dataran. Water cannon sudah mula ditembak dan gas pemedih mata dilepaskan. Orang ramai berlari ke bangunan DBKL. Difahamkan ketika itu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru memulakan ucapan.

3.05 pm: Peserta yang tersekat di Jalan Tun Perak berpatah balik ke Dataran Maybank setelah FRU menembak gas pemedih mata.

3.40 pm: Polis mula menyembur gas pemedih mata ke arah Puduraya. Peserta himpunan dari Jalan Tun Perak lari bertempiaran ke Jalan Raja Chulan selepas ditembak FRU.

3.59 pm: Berpuluh orang ditangkap. Ada peserta yang sesak nafas dan pengsan, dibawa dengan ambulan untuk rawatan. Sebuah kenderaan pacuan empat roda milik DBKL pecah cermin belakang selepas terkena canister gas pemedih mata yang dilepaskan polis.

4.05 pm: Lagi tembakan gas pemedih mata di Jalan Tunku Abdul Rahman di hadapan bangunan KWSP. 6 buah trak FRU termasuk water canon ditempatkan di sini.

4.10 pm: Sebahagian kumpulan peserta yang terpecah kini berkumpul berhampiran stesen KTM Bandaraya.

4.25 pm: Hampir 30 orang yg ditahan di Jalan Tunku Abdul Rahman sedang dikumpulkan dihadapan pintu masuk ke bangunan DBKL.

4.30 pm: Polis mula membuat tangkapan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman. Mereka mengkhususkan kepada mereka yang memakai baju berwarna kuning.

4.35 pm: Pertama Kompleks – Peserta himpunan dipukul oleh pihak polis, dianggarkan lebih kurang 15 orang polis terlibat, sementara itu wartawan bernama ditendang pihak polis kerana mengambil gambar.

4.48 pm: Anggota FRU mula berkumpul di hadapan bangunan Maju Junction bagi menghalang orang ramai terus berhimpun di sepanjang Jalan TAR. Ketika ini ramai peserta berhimpun di persimpangan Jalan Sultan Ismail yang terhalang untuk bergerak ke tempat lain kerana stesen LRT ditutup.

4.56 pm: Sebuah kereta yang diparkir di hadapan Dataran Maybank pecah cermin belakang akibat terkena peluru gas pemedih mata.

5:28 pm: Diberitakan terdapat peserta Bersih yang cedera parah akibat dilanggar oleh kenderaan polis di hadapan Sogo.

6.30 pm: Walaupun sebahagian besar sudah bersurai, masih ada sekumpulan peserta Bersih yang masih berkumpul di Jalan Tun Perak berhampiran Masjid Jamek. Kesemua peserta himpunan yang ditahan dibawa dengan menaiki 4 buah bas PDRM dan dua trak polis. Difahamkan kesemua hampir 300 yang ditahan dibawa ke Pulapol. Peserta dilihat bersurai kira-kira jam 5 petang. Wartawan Harakah, Izwan Abdul Halim antara yang ditahan.

Peniaga atau penjual-penjual yang membuka premis mereka pada 28hb April ternyata mendapat keuntungan berganda kerana menerima sejumlah pelanggan yang lebih ramai. Bayangkanlah peserta-peserta BERSIH 3.0 yang datang dari seluruh pelusuk negara, yang saya yakini hanya datang sekali-sekala ke ibu negara, sesudah atau sebelum perhimpunan sudah tentu meluangkan masanya untuk membeli belah, hendak makan minum di sepanjang perjalanan dan sebagainya.

Bayangkan jika seorang peserta saja membelanjakan RM10, jika digandakan dengan 300,000 peserta, sudah tentu yang dibelanjakan sebanyak RM3 juta. Tapi kalau dikira-kira sejumlah wang dibelanjakan untuk minyak kereta yang datang dari utara, selatan, timur atau tiket kapal terbang dari Sabah Sarawak; belanja penginapan hotel, kos makan minum – pagi, tengahari, malam serta bekalan air semasa perhimpunan, serta kos-kos lain seperti belanja membeli belah, maka anggarkan saja belanja sekurang-kurangnya seorang RM100, maka kos keseluruhan untuk 300 ribu peserta ialah RM30 juta, yang boleh meningkatkan ekonomi negara dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Apa yang menyebabkan kerugian pada hari 428 ialah kerana sebahagian kompleks membeli belah memutuskan premis atau bangunan mereka ditutup, menyebabkan peniaga-peniaga yang menyewa turut kerugian. Kenapa mereka menutup bangunan mereka? Adakah pihak-pihak tertentu yang membuat arahan? Sehingga akhirnya mereka boleh menuduh pihak BERSIH 3.0 menjadi penyebab ruginya perniagaan mereka?

Sebenarnya yang mengganggu perniagaan pada 428 ialah apabila premis-premis turut terkena sisa-sisa semburan gas pemedih mata yang merebak begitu pantas sekali. Bukannya peserta BERSIH 3.0 yang menjadi penyebab rugi mereka.

Edit : Lihat video klip youtube di bawah sekali, bagaimana anggota polis mengganggu pelanggan sebuah restoran, sedangkan kawasan yang menjadi larangan hanyalah Dataran Merdeka.

Atau adakah aksi sebegini yang membuatkan peniaga bakal rugi?

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : Ada dua golongan manusia daripada kalangan ahli neraka yang tidak sempat aku melihatnya. Pertamanya ialah orang yang zalim yang melakukan kerja-kerja zalim, bertindak kepada orang ramai seperti ekor lembu yang memukul ke kiri dan ke kanan. Kedua ialah orang perempuan yang memakai pakaian tetapi bertelanjang, menghias kepala mereka seperti bonggolan unta, mereka tidak dapat masuk ke dalam syurga dan tidak dapat mencium bau syurga. Sesungguhnya bau syurga itu dapat dicium dari jarak yang terlalu jauh. (HR Muslim)

Antara perkara yang diwahyu dan diilhamkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW ialah perkara-perkara akhir zaman. Walaupun perkara seumpama itu tidak berlaku pada zaman baginda dan tidak sempat dilihat olehnya, namun ia adalah perkara yang benar-benar akan berlaku. Sebahagiannya berlaku pada zaman kita ini dan sebahagiannya berlaku kemudian hari.

Perkara-perkara yang berlaku itu adalah kemungkaran yang membuka jalan bagi Allah SWT menurunkan azab dunai kepada manusia berbentuk bala bencana sebelum azab seksa sebenar di neraka. Bala bencana itu akan berlaku sekiranya tidak ada orang Islam yang berani menyuruh kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran. Dua kaum yang disebut oleh Rasulullah SAW ini benar-benar belaku dalam masyarakat kita hari ini.

Yang pertama, wujud mereka yang berkuasa yang melakukan kezaliman dengan sebab meninggalkan hukum hakam Allah SWT, maka mereka melakukan tindakan-tindakan mengikut hawa nafsu mereka seperti lembu yang mengibas-ngibas ekornya dan menggerakkan ekornya tidak henti-henti. Kezaliman kerana mengikut hawa nafsu seolah-olah tiada akal fikiran yang mampu menyekat mereka daripada menghukum manusia yang tidak bersalah, kejam terhadap harta benda manusia, rumah kediaman dan tanaman mereka.

Yang kedua, ialah golongan perempuan yang memakai pakaian yang menjolok mata, tidak menutup aurat, berpakaian dengan ketat sehingga menzahirkan bentuk tubuh badan seperti bertelanjang. Pada hari ini kita dapat melihat kegiatan mendedahkan wanita kepada kemungkaran. membuka aurat dianjurkan secara berleluasa dengan mendapat sokongan daripada pemerintah, atas nama pertunjukan kesenian, kebudayaan dan memperagakan pakaian. Di media, bermula daripada pembaca berita, pengacara program, penyanyi, pelakon sehingga sesetengah pembesar negara yang tumpang sama mendedahkan aurat.

“Di pekan kami ni, ada bangunan ‘a famosa’,” gurau seorang kawan sembang.

Kenapa ‘a famosa’? tanya saya kehairanan.

Rupanya dia merujuk kepada sederet bangunan asrama putera Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pekan Kunak, yang musnah terbakar. Saya turut mendapat maklum akan kejadian itu melalui facebook, seingat saya di penghujung Ramadhan lepas. Kawan-kawan yang prihatin menyebarluaskan maklumat kebakaran dan memohon yang memiliki sedikit kelebihan agar menyumbang kewangan untuk sekolah berkenaan.

“Bangunan ni terbakar bulan Ramadhan, sudah 9 bulan berlalu, tiada cerita apa-apa”, katanya menjelaskan kekesalannya. Dari situ baru saya tahu beliau merupakan bapa kepada salah seorang pelajar sekolah berkenaan. Katanya kejadian itu berlaku pada tengah malam, sekitar jam 1 pagi. Mujurlah katanya tiada kemalangan jiwa, tetapi para pelajar lelaki terpaksa menyelamatkan diri, tinggal sehelai sepinggang, kehilangan semua barang peribadi mereka termasuk  pakaian dan kelengkapan sekolah.

Apa yang saya dimaklumkan, selepas kebakaran berlaku, pihak berwajib membina sederet blok bangunan papan seperti berek untuk kegunaan para pelajar lelaki (mungkin bersifat sementara), sementara asrama putera yang terbakar masih terbiar begitu sahaja. Walaubagaimanapun, saya berharap mereka tetap bersabar atas ujian ini dan semoga kejadian itu tidak menjejaskan tumpuan pembelajaran mereka.

Sumber : di sini

Oleh : Ahmad Haji Yassin

PAPAR – Bahagian Pantai Barai Utara (PBU) muncul sebagai johan keseluruhan Majlis Ko-Kurikulum Peringkat Sekolah Agama Islam Negeri (SAN) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Peringkat Negeri 2012 yang didakan di Sekolah Menengah Agama Islam Negeri Pantai Manis Papar.

Pantai Barat Utara muncul sebagai johan keseluruhan dengan mendapat 14 mata. Tempat kedua jatuh kepada Bahagian Tawau dengan memperolehi 13 mata manakala tempat ketiga jatuh kepada Bahagian Pantai Barat Selatan dengan 11 mata. Pedalaman Atas mendapat tempat keempat dengan 9 mata, Pendalaman Bawah 4 mata dan Bahagian Sandakan dengan mata 3 mata. Sebanyak 5 kategori telah dipertandingkan dalam majlis tersebut iaitu Tilawah Al-Quran, Hafazan, Bercerita, Maharah dan Nasyid.

Majlis Penutupan Ko-Kurikulum telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Hajah Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang juga Ahli Parlimen Papar. Ketika berucap merasmikan majlis, Datuk Hajah Rosnah menyeru kepada semua pihak terutama ibubapa dan guru agar bekerjasama dalam mengangkat martabat ko-kurikulum sebagai elemen penting yang lengkap dalam sistem pendidikan negara seperti yang terkandung di dalam pelan Induk Pembangunan, katanya.

Ko-kurikulum amat penting bagi pembangunan sekaligus dalam melahirkan modal insan dan kekuatan bangsa dengan nilai-nilai murni yang menjadi pegangan diri, selain menjadikan pendidikan sesuatu yang amat menyeronokkan, tegasnya.Beliau juga mahu penglibatan semua pihak termasuk ibubapa dan guru dalam aktiviti ko-kurikulum ini sekaligus dapat mengharumkan nama sekolah dan negara kerana ia merupakan titik permulaan para pelajar mengembangkan bakat yang terpendam dalam diri mereka, katanya. Beliau juga menyambut baik rancangan tranformasi pendidikan yang meliputi dasar satu murid bergiat dalam satu sekurang-kurangnya satu jenis sukan yang telah mula dilaksanakan pada tahun ini.

Pada majlis itu, Datuk Hajah Rosnah juga turut menyampaikan sumbangan yang disalurkan oleh Pusat Zakat dari Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) berjumlah RM168,000 kepada 2 buah Sekolah Menengah Negeri Toh Puan Hajah Rahmah, Kinarut dan Sekolah Menengah Agama Negeri Pantai Manis, Papar dan 10 buah Sekolah Agama Negeri (SAN).

Menurut Datuk Hajah Rosnah, sebagai umat Islam, kita bertanggungjawab membuktikan kepada masyarakat bukan Islam bahawa sistem pendidikan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W amat sempurna dan keindahan Islam itu sebenarnya diterima & dihormati oleh semua bangsa di dunia ini dan sehingga kini ianya menjadi model serta ikutan sepanjang zaman. Ini jelas bahawa pendidikan ko-kurikulum adalah satu pendidikan yang amat penting bagi pembangunan modal insan kepada kita, tegasnya.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAINS, Ustaz Haji Saifuddin Haji Daud, Pengetua Sekolah Menengah Agama Negeri Pantai Manis Papar, Ustaz Hamdani Omar, Ustaz Abdul Rahman Talipuddin, Ustaz Mohd Taif Kassim, Ustazah Aisah Kasan, Ustazah Hajah Zubaidah Jumadi dan Ustazah Hajah Zaiton Abdul Rahman.

Ini satu kejutan dan perkembangan yang sangat memberansangkan bagi dunia tahfiz khususnya Maahad Tahfiz Negeri Sabah apabila sebelum berangkat ke Kunak untuk melaksanakan amanah mengadakan temuduga kemasukan ke Maahad Tahfiz Sabah, saya dimaklumkan jumlah calon mencecah hampir 30 orang. Bagi saya pihak-pihak bertanggungjawab dan berkenaan wajar memikirkan secara positif, serius dan bersungguh-sungguh akan masa depan kompleks Maahad Tahfiz Sabah yang masih tertangguh-tangguh itu.

Kenapa saya katakan demikian, kerana dalam kunjungan saya ke Kunak, saya mendapati daripada 27 orang calon, hanya seorang sahaja yang mendapat markah di bawah 50, manakala selebihnya 60% ke atas. Namun apakan daya, pengurusan maahad hanya berdaya mengambil pelajar seramai sekitar 20-26 orang berdasarkan kapasiti asrama dan tenaga pengajar yang terbatas. Ini belum lagi diambil kira calon-calon yang ditemuduga lebih awal di Kota Kinabalu apatah lagi sekiranya promosi ke Maahad Tahfiz dilakukan secara optima dan bersungguh-sungguh ke seluruh Sabah.

Dalam pembahagian tugas di Maahad, tahun ini saya diamanahkan untuk melakukan kerja-kerja promosi khususnya ke sekolah-sekolah menengah agama sama ada milik kementerian pelajaran atau kerajaan negeri. Bahkan atas bantuan rakan-rakan di sektor pendidikan islam jabatan pelajaran Sabah telah memaklumkan kepada saya senarai sekolah-sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang mempunyai kelas aliran arab (KAA) yang akan saya cuba datangi untuk mempromosi kepada sasaran khususnya tingkatan 4-6 akan peluang belajar serta kelebihannya di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah.

Dalam konteks kunjungan dan tugasan saya ke Kunak, kami mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Tuan Pengetua Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pekan Kunak, Ustaz Bambang Muhamad Rafadi Yusoff yang bersungguh-sungguh mempromosi perihal maahad tahfiz kepada para pelajarnya. Saya dijemput sendiri oleh beliau dan kemudian menghantar kembali ke Lapangan Terbang Tawau dalam perjalanan sekitar 45 minit setiap satu perjalanan. Daripada sejumlah 27 orang, saya dimaklumkan hanya dua orang yang datang dari luar (bukan pelajar di sana).

Seperti temuduga di Kota Kinabalu pada rabu lepas, sistemnya juga sama hanya saya sendirian mengendalikan ujian bertulis sementara ujian lisan saya dibantu oleh Ustaz Bambang sendiri dari bahagian Bahasa Arab. Beberapa guru dan pelajar juga banyak membantu menyediakan keperluan yang berkaitan. Ujian bertulis bermula jam 10.30 pagi selama setengah jam sementara ujian lisan bermula seorang demi seorang bermula jam 12 tengahari setelah mereka dibahagi-bahagikan ayat tertentu untuk dihafaz. Sesi kedua ini hanya berakhir menjelang maghrib, di mana hajat saya untuk meronda sekolah tidak kesampaian, apatah lagi untuk melihat-lihat Pekan Kunak.

Secara langsung ketika temuduga berjalan, saya melihat bakat-bakat yang baik dan bakal-bakal calon penghafaz al-Quran untuk diterbangkan ke Kota Kinabalu. Saya melihat potensi cemerlang mereka, kerana 11 calon mendapat markah 80% ke atas, insya Allah jika mereka menerima tawaran ini nanti, saya kira kegemilangan dunia menghafaz al-Quran pada tahun 2012 akan lebih terserlah dari dunia Pantai Timur Sabah khususnya di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

Saya menanti mereka di Kota Kinabalu!

SMAN PEKAN KUNAK

Pertama kali saya berziarah ke daerah Kunak atau lebih tepatnya ke Sekolah Menengah Agama Negeri Pekan Kunak dalam misi pencarian calon-calon penghafaz al-Quran yang akan dipilih untuk ke Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah bagi sesi kali ini. Kesibukan mengendalikan sesi temuduga menyebabkan saya tidak dapat meronda seluruh kawasan sekolah kendalian Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) ini.

Pengetua sekolah ini Ustaz Bambang Muhamad Rafadi Yusoff yang menjemput saya di Lapangan Terbang Tawau begitu mesra orangnya. Bahkan mesranya luar biasa sekali, kerana jujurnya seingat saya kami tidak berbual sebegini mesra tetapi kami seperti sudah saling mengenali berpuluh tahun lamanya. Saya sebenarnya sekadar mengenal namanya dari jauh saja kerana beliau seorang pengetua dan diceritakan sebagai pegawai JHEAINS yang baik hati, namun kami tidak pernah bertemu wajah seperti hari ini. Kalau ada pun mungkin dari jauh saja.

Ustaz Bambang adalah pengetua kedua di sekolah ini selepas Ustaz Hamdani Omar yang kini berkhidmat di SMAN Pantai Manis Papar pula. Sekolah ini ditubuhkan pada awal tahun 1997 dengan keluasan 7 ekar di pinggir Pekan Kunak. 15 tahun berlalu, bermula tahun ini sekolah ini akan membuka pusat peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sekaligus melengkapkan sijil peperiksaannya selain PMR, SMU, SPM dan kini STAM.

Dengan kekuatan 253 orang pelajar dan saya yakini ia akan terus bertambah daripada tahun ke tahun berdasarkan sambutan umat Islam sekitar Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Tawau. Begitu juga sejumlah 14 orang guru, (saya mengharapkan jumlah ini ditambah), telah menggembeleng tenaga untuk memartabatkan kedudukan pengajian Islam peringkat menengah demi kecemerlangan umat Islam seluruhnya. Insya Allah, saya turut mendoakan kejayaan sekolah ini.

Seminar Akidah : “Ancaman Fahaman Moden Terhadap Umat Islam”
Fasilitator : Al-Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar, Pensyarah Kanan UiTM, Kota Kinabalu, Sabah.
Tempat : Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu.
Tarikh/Masa : 06 Mei 2012/Jam 8.30 pagi – 12.00 tengahari.

Yuran Penyertaan : RM10 sahaja.

Muslimin dan Muslimat dijemput hadir.

%d bloggers like this: