Minggu ini seperti kebanyakan orang, sudah kembali bertugas setelah lebih seminggu bercuti raya. Walaubagaimanapun, ziarah raya masih diteruskan pada malam-malam, sekurang-kurangnya sebuah rumah.
1) Abd Rahman Hj Abd Rahmat, Taman Jumbo Petagas.
Sudah lama saya melihat wajahnya, ketika zaman sekolah lagi. Tetapi sejak bertugas di JHEAINS, dan tambah kukuh lagi apabila saya ada jadual kuliah di Masjid Mahabbah Kg Muhibbah, persahabatan itu semakin erat.
Keluarga mereka punya restoran di tingkat 2 Wisma MUIS, iaitu Restoran Hajjah Che Yam sejak 15 tahun lalu dan bertahan sehingga kini. Ia menjadi antara tempat lepak saya sejak beberapa bulan kebelakangan.
Apabila saya memulakan kuliah di masjid mereka sejak 5 bulan lalu, beliaulah antara tempat saya merujuk kerana beliau juga timbalan setiausaha JK masjid. Pandangannya tentang sikap jamaah sentiasa saya ambil berat.
Berziarah ke rumahnya di Taman Jumbo yang padat dengan penduduk, hati sejuk melihat anak-anak dan isterinya menutup aurat secara sempurna. Untuk anaknya yang bakal PMR minggu depan, semoga berjaya.
2) Ust Hj Muchlish Ali Kasim, Taman Bersatu Putatan.
Dia guru dan ayah kepada kami. Banyak urusan agama dan kekeluargaan dirujuk kepadanya.
Sehingga kini, walaupun sudah bersara daripada perkhidmatan awam sejak hampir 10 tahun lalu, beliau masih aktif menyampaikan kuliah, ceramah di merata tempat.
Beliau datang pada 1974, pernah bertugas di Tawau, Kunak, Sipitang dan Kota Kinabalu. Di Tawau, semua adik beradik Dr Badrul Amin adalah muridnya, bersama Datuk Taufik dan lain-lain. Terakhir beliau bertugas di MTQQ sebelum bersara.
Dalam PUM Sabah, beliau menjadi pengerusinya. Beliau adalah tempat kami meminta nasihat dan motivasi, sementara kami akan melaksanakan program yang diatur.
Terkini, kami akan mengadakan nadwah pewaris nabi sekitar november ini.
Nadwah itu akan mengumpulkan sekitar 100 pendakwah lama yang berjuang di bumi Sabah sejak 1960an. Kunjungan malam rabu kami ambil kesempatan untuk berbincang.
Perbincangan berlarutan sehingga 11.30 malam. Nuha sudah tertidur di rumah ustaz dan hero saya pula masih bertahan.
3) Ust Hj Mohammad Ibrahim, Taman Darius Putatan.
Ustaz ini termasuk orang lama yang berjuang di Sabah. Datang dari Melaka ke Sabah pada 1969, beliau menabur ilmu yang tidak sedikit.
Sembang tadi, beliau menjelaskan Ust Hj Nahar adalah antara pelajar awalnya di Likas satu masa dulu. Ummu Nuha juga pernah berguru dengan beliau dan isterinya juga seorang guru agama, Ustazah Jamaliah Talip, orang Negeri Sembilan.
Saya mengkagumi kerendahan diri beliau.
Pernah ketika di Masjid Negeri, ketika saya belum begitu mengenalinya. Kami sering bertemu dan dia akan tasmik dengan saya buat beberapa bulan lamanya, menghafaz surah-surah tertentu dengan saya yang boleh dianggap sebagai anak ini.
Sesekali kami juga meneruskan sesi tasmik itu di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil, setelah jamaah pulang daripada menunaikan solat isyak. Kami berdua, dan Ust Mohammad tekun membaca surah yang baru dihafal.
Apabila saya mengetahui kemudian harinya bahawa dia adalah diantara pendakwah lama di Sabah ini, kemudian tanpa segan datang tasmik al-Quran dengan saya pula, saya jadi malu sendiri.
Kini, Ust Mohammad menjadi imam rawatib di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan. Daripada beliau, saya mendapat beberapa nama lagi senarai pendakwah dan guru-guru agama yang datang ke Sabah dan bermastautin sehingga kini.