Kelas untuk kanak-kanak diadakan pada setiap sabtu, 8.30-10 pagi atau 10.30-12 tengahari. Kelas untuk remaja diadakan pada setiap khamis, 8.15-9.45 malam. Kelas untuk dewasa diadakan pada setiap sabtu 8.15-9.45 malam. Selain untuk sesi menghafaz al-Quran, sesi asas al-Quran juga diterima.
Archive for September, 2013
Sesi 1 : Ustaz Mohd Asri Mat Daud
Sesi 2 : YB Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak kembali kerahmatullah pada jam 11.10 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah. Jenazah almarhum disolatkan di Markas PAS Kawasan Pokok Sena, Jalan Langgar dan dikebumikan di Muasasah Darul Ulum selepas solat Asar. Foto saya ceduk dari pelbagai sumber maya.
CATATAN PENGHORMATAN USTAZ AZIZAN ABDUL RAZAK
Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/22333-catatan-penghormatan-ustaz-azizan-abdul-razak
Oleh Mohd Zuhdi Marzuki, 27 Sept 2013
Ustaz Azizan Abdul Razak adalah sebuah nama besar dalam gerakan Islam di Malaysia, malah turut dikenali di kalangan pimpinan gerakan Islam di luar negara. Seorang yang hidup secara sederhana, suka bergurau tetapi sangat tegas dalam membuat keputusan.
Sifat-sifat yang ada pada beliau, menjadikan setiap mesyuarat yang beliau hadiri menjadi hidup dan begitu bermakna. Dalam mana-mana mesyuarat yang beliau hadiri, beliau antara yang kerap memberi pandangan dan komentar.
Pernah ketika aku menghadiri satu mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, aku bertanya kepada Setiausaha Politik beliau, Saudara Muhammad Sanusi Md Nor, “Apa khabar Ustaz Azizan?”. Kata Sanusi: “Kalau dia banyak cakap dalam mesyuarat tu, tandanya dia sihat”.
Ketegasan beliau ini dibawa ke mana-mana sama ada semasa beliau berkhidmat sebagai pensyarah di UKM sehinggalah terlibat secara sepenuh masa dengan PAS. Aku pernah mendapat pengkhabaran, beliau pernah menempelak Dr Yusof al-Qaradawi sewaktu sama-sama hadir mewakili PAS dalam persidangan gerakan Islam sedunia.
Beliau menempelak Dr al-Qaradawi disebabkan beliau pernah menyebut PAS sebagai musta’jilun (golongan yang tergesa-gesa) dalam persoalan melaksanakan hukum hudud. Aku diberitahu, Ustaz Azizan bertanya Dr al-Qaradawi, adakah beliau benar-benar faqih dengan realiti Malaysia dan kalau beliau tidak faqih sepatutnya bertanyalah kepada PAS, bukannya ke datang Malaysia terus berjumpa dengan golongan sekular di dalam UMNO.
Aku mula mengenali Ustaz Azizan hampir 20 tahun yang lalu, ketika itu beliau dalam tahun-tahun terakhir berkhidmat di UKM. Ketika itu aku bertemu dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk menyampaikan jemputan memberi pengisian ilmu kepada anak-anak muda yang bakal bertamrin.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi tidak dapat memenuhi jemputan, lalu beliau mencadangkan nama Ustaz Azizan. Ketika itulah aku mula mengenali nama Ustaz Azizan, salah seorang ulama yang mula berkecimpung sepenuh masa dengan PAS. Selepas bergraduasi, aku menjadi salah seorang ahli jawatankuasa Lajnah Tarbiyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat, dan Ustaz Azizan adalah salah seorang anggotanya. Di kesempatan itulah aku semakin mengenali Ustaz Azizan dengan sifat-sifat yang dinyatakan sebelum ini.
Dalam mesyuarat-mesyuarat yang dihadiri bersama, Ustaz Azizan adalah kuat mempertahankan pandangannya, malah beliau begitu tegas dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan kewangan. Beliau sering mengingatkan supaya ‘ikut buku’ ataupun sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang dibuat.
Sebagai contoh katanya, “sekiranya enta berniaga, enta jangan sesuka hati beri anak enta barangan yang diniaga (seperti gula-gula dan lain-lain). Kalau mereka ambil, minta mereka bayar atau enta sendiri keluarkan duit enta untuk membayarnya”. Ketegasan Ustaz Azizan itu, menyebabkan kadang-kadang berlaku ketegangan dalam mesyuarat, tetapi selepas selesai mesyuarat, Ustaz Azizan akan kembali ramah seperti biasa.
Bagi mereka yang tidak biasa dengan sifat-sifat Ustaz Azizan ini, pasti mereka akan terkedu pada permulaannya, tetapi setelah mengenali beliau barulah kita akan memahami tingkahlakunya. Demikianlah sifat-sifat Ustaz Azizan dalam berkecimpung sepenuh masa dengan PAS, sehingga beliau menjadi salah seorang pimpinan PAS yang sangat kritis dalam memberi pandangan dan membuat keputusan.
Ustaz Azizan terlibat dengan organisasi PAS di peringkat tertinggi, iaitu Majlis Syura Ulama sehinggalah ke peringkat akar umbi kawasan dan cawangan. Beliau mula menjadi tulang belakang utama PAS di Kedah selepas pemergian Ustaz Fadzil Mohd Nor. Selepas kemenangan PAS di Kedah dalam PRU 2008, beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kedah.
Sewaktu menjadi Menteri Besar Kedah, beliau menunjukkan kesederhanaan sebagaimana Mursyidul Am PAS yang menjawat jawatan Menteri Besar di Kelantan. Ustaz Azizan tidak mengambil elaun-elaun selaku pengerusi beberapa syarikat berkepentingan kerajaan negeri (GLC), malah memotong elaun Menteri Besarnya untuk diinfaqkan bagi kegunaan rakyat dan parti.
Beliau tidak mendiami rumah rasmi MB, sebaliknya terus hidup di tengah-tengah rakyat bawahan di rumah yang serba sederhana. Cara beliau berpakaian juga sangat sederhana, dengan membeli pakaian-pakaian yang berharga murah sepertimana rakyat kebanyakan. Banyak sekali catatan mereka yang bersama-sama dengan Ustaz Azizan, melihat sendiri kesederhanaan beliau dalam kehidupan sehari-hari.
Ramai yang tidak menyedari bahawa Ustaz Azizan berpendidikan tinggi disebabkan kehidupannya yang seperti orang kampung. Ketika beliau mula menjawat jawatan Menteri Besar, ramai juga yang menyangka beliau berkelulusan sekolah pondok, bekas guru sekolah rendah dan lain-lain sangkaan.
Bila diberitahu Ustaz Azizan adalah bekas pensyarah UKM dan berkelulusan sarjana dari University of Kent, United Kingdom, ramai juga yang terkejut. Beliau menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris disebabkan pengalamannya hidup beberapa tahun di Mesir dan United Kingdom.
Pengkhususan Ustaz Azizan adalah Syariah dan Perundangan Islam, di samping beliau mahir dalam Usul al-Fiqh. Dengan latar belakang tersebut, Ustaz Azizan sering menjadi kepercayaan Tuan Guru Haji Abdul Hadi untuk menyemak buku-buku yang ditulisnya sebelum diterbitkan.
Ketika aku menziarahi bekas Ketua Pemuda PAS, Ustaz Jais Anwar, di rumahnya di London sekitar tahun 2008, aku diberitahu bahawa Ustaz Azizan adalah salah seorang rakan karibnya. Ketika berbual tersebut, Dr Mahfuzd Mohamad yang ada bersama dalam rombongan itu menyatakan, bahawa selepas tamat pengajian di Universiti Azhar Mesir, mereka seramai empat orang mengambil keputusan tidak mahu kembali ke Malaysia.
Sebaliknya mereka merancang untuk menyambung pengajian di United Kingdom. Keempat-empat sahabat itu ialah Ustaz Jais Anwar, Ustaz Azizan Abdul Razak, Dr Mahfuzd Mohamad dan seorang lagi bekas pensyarah UKM yang aku lupa namanya. Mereka berkelana ke UK dengan tiada sebarang biasiswa atau bantuan kewangan dari mana-mana pihak.
Mereka memulakan kehidupan mereka di UK dengan melakukan pelbagai pekerjaan termasuklah membasuh pinggan, menjadi buruh kasar keretapi, berniaga sate dan lain-lain. Bila mereka mempunyai kewangan, barulah mereka menyambung pengajian mereka di peringkat sarjana. Tiga orang dari mereka berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana dan PhD, dan kembali ke Malaysia menjadi pensyarah di UKM dan UM.
Manakala Ustaz Jais Anwar terus menentap di UK sehinggalah beliau meninggal dunia di sana. Aku diberitahu oleh Ustaz Jais dan Dr Mahfuzd, pengalaman mereka di sana menyebabkan mereka tidak begitu bergantung kepada orang lain dan berani untuk menyatakan pendirian masing-masing. Ustaz Jais Anwar yang merupakan menantu Dato Asri Muda, juga meninggal dunia dalam keadaan hatinya terus komit bersama dengan PAS.
Ustaz Azizan telah dijemput oleh Allah pada hari semalam 26 September 2013, meninggalkan jasanya yang begitu besar kepada anak bangsa yang pernah menuntut di UKM dan UIA, dan lebih utama lagi jasanya kepada masyarakat Kedah termasuk legasinya yang cemerlang dalam melaksanakan pentadbiran yang berhemah dan telus.
Sudah barang pasti, jasanya kepada perjuangan Islam melalui PAS juga cukup cemerlang, sehingga beliau berjaya mengemudi PAS Kedah untuk menawan negeri Kedah dalam PRU yang ke 12. Semoga ALlah memayungi Ustaz Azizan dengan rahmatNya dan mengampunkan dosa-dosanya, agar ia ditempatkan bersama-sama dengan para anbiya’, siddiqin, shuhada’ dan salihin. Semua kita akan pasti melalui detik itu, yang berbeza ialah sama ada kita akan mati dalam perjuangan meninggikan kalimah Allah atau tidak.
Sumber : http://www.tarbawi.my/2013/09/memahami-perjuangan-dakwah-ustaz-fathi.html
Al-Ustaz Dr. Fathi Yakan, nama sebenarnya Mahmud Fathi ibnu Muhammad ‘Inaayat Syarif Yakan. Susur galur keturunannya berasal daripada bangsa Turki, dilahirkan pada 9 Februari 1933 di Tripoli, Utara Lubnan.
Isterinya bernama (Dr.) Muna Haddad, dikurniakan lima orang anak (4 perempuan 1 lelaki) dan 20 orang cucu. Tokoh karismatik gerakan Islam ini telah menghasilkan puluhan buku-buku dakwah yang mencerahkan langit kebangkitan Islam dengan lantera ilmu dan cahaya kebenaran. Selain tulisan-tulisan yang dicurahkan ke dalam lembaran-lembaran kitab, seminar dan syarahan, beliau bersama isterinya turut menubuhkan universiti di Lubnan iaitu Jami’ah Al-Jinan.
Falsafah pembangunan universiti tersebut adalah untuk membentuk graduan Muslim yang hidup bermasyarakat berteraskan akhlak yang luhur. Antara fakulti-fakulti yang ditawarkan di universiti tersebut adalah fakulti perguruan, media dan teknologi, mekanikal dan kejuruteraan, sains dan farmasi.
Dr. Fathi Yakan meninggal dunia pada 13 Jun 2009 ketika usianya menjangkau 76 tahun. Ketiadaannya merupakan kehilangan besar kepada gerakan Islam ketika para aktivisnya masih dahagakan rumusan-rumusan kognitif, menilai aspirasi massa dan pertembungan ummah di seluruh dunia. Pemikiran beliau tetap menjadi sebahagian legasi kepada khazanah intelektual gerakan Islam dan menjadi rujukan dari semasa ke semasa. Benarlah kata Hasan al-Basri r.hm;
مَوْتُ العَالِمِ ثَلْمَةٌ فِيْ الإِسْلاَمِ لاَ يَسُدُّهَا مَا اخْتَلَفَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ
“Kematian seorang alim adalah suatu kelompongan dalam Islam, ia tidak dapat ditutup walau bertukar ganti malam dan siang.” (Riwayat ad-Darimi dan Baihaqi)
Sangat sedikit ulama’ sepertinya, bukan sahaja arif dalam ilmu agama tetapi juga memahami isu-isu pergolakan semasa selain memiliki semangat waja merakyatkan gagasan dakwah dan mendaulatkan Islam di tanah airnya. Beliau adalah ulama’ al-amilin, bukan ilmuwan yang sekadar berbasa-basi dengan kelantangan suara, tetapi kata-katanya adalah perbuatannya manakala perbuatannya adalah kata-katanya. Sabda Rasulullah s.a.w;
اِبْدَأ بِنَفْسِكَ ثُمَّ بِمَنْ تَعُولُ
“Mulakan dengan dirimu kemudian kepada orang yang hendak kamu serukan (dakwahmu)”(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Seperti pemimpin-pemimpin gerakan Islam yang lain, Dr. Fathi Yakan juga pernah dipenjara dan diseksa kerana dituduh melancarkan rampasan kuasa. Namun, beliau adalah antara orang-orang yang kental menjalankan urusan dakwah, sehingga beliau menulis sebuah buku berjudul (المتساقطون على طريق الدعوة) “Al-Mutasaqitun ‘ala Toriq ad-Dakwah” sebagai panduan kepada aktivis Islam umumnya, agar tidak terkandas di dalam perjuangan Islam.
Beliau pernah memegang kerusi Parlimen di Lubnan pada tahun 1992, sekalipun pada hakikatnya beliau tidak bersetuju dengan sistem-sistem demokrasi yang sedia ada di negara tersebut. Pada beliau perkataan “demokrasi” hanyalah muluk-muluk kediktatoran pemerintah dengan menyandarkan adagium masyarakat Latin “Vox Populi Vox Dei”.
Begitupun beliau mengakui bahawa pendekatan gerakan Islam mestilah “muwajahah as-silmiyyah”untuk mengekspresikan wawasan dakwah dan keadilan Islam kepada rakyat Lubnan yang umumnya memiliki pelbagai pemikiran dan latar belakang pegangan.
Maka, sistem demokrasi dimanfaatkan sebagai salah satu wadah yang dapat menguasai negara tanpa berlaku sebarang rusuhan atau pertumpahan darah. Komitmen beliau di dalam politik adalah membentuk masyarakat Islam yang berwibawa dan mengeluarkan masyarakat Arab daripada kepompong perkauman dan fanatik mazhab. Keazamannya itu menyebabkan wujud tindakan beliau yang mencetuskan polemik.
Namun begitu, semua ciri-ciri tersebut menjadikan tokoh aktivis Islam tersohor ini seorang yang unik, berbeza, sekaligus menunjukkan beliau adalah seorang pemikir yang substantif dan ulama’ yang memiliki daya prinsip. Sabda Rasulullah s.a.w;
لَا تَكُونُوا إِمَّعَةً، تَقُولُونَ؛ إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَحْسَنَّا وَإِنْ ظَلَمُوا ظَلَمْنَا، وَلَكِنْ وَطِّنُوا أَنْفُسَكُمْ، إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَنْ تُحْسِنُوا وَإِنْ أَسَاءُوا فَلَا تَظْلِمُوا
“Janganlah seseorang daripada kamu menjadi orang yang tidak punya prinsip dengan berkata; Jika kami bersama manusia yang berbuat baik maka kami pun berbuat baik, jika mereka berbuat zalim (jahat) maka kami pun turut berbuat zalim. Tetapi jadilah kamu orang yang punya pendirian (prinsip), jika manusia berbuat baik maka hendaklah kamu berbuat baik, jika mereka berbuat jahat maka janganlah kamu berlaku zalim.” (Riwayat Tirmizi)
Beliau mempunyai hubungan rapat dengan pimpinan-pimpinan gerakan Islam di luar negara, antaranya Dr. Mustafa as-Siba’ie, Sayyid Qutb, Syeikh Hassan al-Hudaibi (Mursyidul ‘Am Ikhwanul Muslimin ke-II), Syeikh Abu ‘Ala al-Maududi, termasuklah Dato’ Fadzil Noor dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Sahabat beliau yang paling akrab dalam perjuangan Harakatul Islamiyah di Lubnan adalah Dr. Faisal al-Maulawi, mantan Setiausaha Umum “Al-Jama’ah al-Islamiyah”.
Mencermati liku-liku perjuangan Dr. Fathi Yakan akan menarik kita mengamati politik praktis yang berlaku di Lubnan. Lubnan merupakan wilayah kecil yang bersempadanan dengan Syria dan Palestin. Sejak empayar kerajaan Uthmaniyah, keragaman kaum, puak dan mazhab (Sunni dan Syiah) telah wujud di wilayah tersebut.
Namun, di sebalik keragaman itu suasana konsolidasi masih wujud dalam hubungan sosial mereka, masih terpasak kerukunan saudara sesama saudara dan agenda nasihat-menasihati. Detik-detik keharmonian tersebut mula meratapi saat penghujungnya apabila kekalahan kerajaan Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama.
Pasca kekalahan kerajaan Uthmaniyah telah mendorong gerakan kolonialisme British dan Perancis menduduki wilayah Syam. Lalu wilayah Syam dibahagikan menjadi empat wilayah, Perancis mendapat wilayah utama Syam (Syria sekarang) dan Lubnan, manakala British mendapat Palestin (kemudian dituntut Israel) dan Jordan.
Sikap totalitarian Perancis di Lubnan telah menjadikan ibu kota Beirut ibarat “Paris” di Asia Barat. Hitunglah sahaja berapa ramai artis yang lahir dari Lubnan, pasti ada yang tidak menyangka bahawa wilayah kecil itu menghasilkan jumlah artis yang lebih ramai daripada negara-negara Arab yang lain. Seperti aktor filem terkenal “The Matrix”, Keanu Reeves sendiri berasal dari Beirut, Lubnan.
Selain itu, Perancis turut campur tangan dalam hal politik Lubnan. Pada tahun 1943 Perancis membentuk “Piagam Kebangsaan” – “Al-Mithaq al-Watani” – dengan meletakkan syarat bahawa Presiden Lubnan mestilah daripada kelompok Kristian, Perdana Menteri daripada Muslim Sunni, Wakil Perdana Menteri daripada Kristian Orthodoks, manakala Ketua Parlimen daripada Muslim Syiah.
Piagam itu dibuat berdasarkan agama dan wilayah dengan perbandingan 6 Kristian dan 5 Muslim. Perbandingan tersebut ditentukan berdasarkan kosensus bagi kependudukan warga Lubnan pada tahun 1932. Ketika itu jumlah masyarakat Kristian lebih ramai daripada masyarakat Muslim. Ketika itu juga Perancis tidak mengenal siapa Sunni dan siapa Syiah, mereka hanya tahu bahawa Sunni dan Syiah adalah kelompok Muslim yang saling bertelagah.
Berdasarkan fahaman politik di Lubnan, ia bolehlah dibahagikan kepada beberapa varian aliran, agama, mazhab dan perkauman seperti, Kristian, idealogi-idealogi pemikiran – “tayyarat fikriyah” –, mazhab Syiah, Sunni, komuniti Druze dan Kurdish. Antara pergerakan parti politik berorientasikan agama di Lubnan, terdiri daripada;
- “Al-Kataeb al-Lubnaniyya”, parti yang ditubuhkan oleh Amin Gamayel pada tahun 1936, mewakili parti masyarakat Kristian pelbagai aliran di Lubnan.
- “Hizb al-Wataniyyin al-Ahrar”, parti liberal yang ditubuhkan oleh Camille Chamoun pada tahun 1958. Majoriti keanggotaannya ialah penganut Kristian.
- “Marada Movement”, mewakili golongan feudal daripada penganut Kristian Maronites. Diasaskan oleh Sulaiman Farangieh pada tahun 1967.
- “At-Tayyar al-Watani al-Hurr”, mewakili kumpulan Kristian Katholik yang ditubuhkan oleh Jeneral Micheal Naem Aoun pada tahun 2005.
- “Liberty Front” ditubuhkan mewakili masyarakat Kristian Orthodoks di Lubnan pada April 2007 oleh Fouad Abu Nader.
Antara pergerakan parti politik berorientasikan idealogi-idealogi sekularisme, kapitalisme dan nasionalisme di Lubnan, terdiri daripada;
- “Lebanese Communist Party” parti komunis ini ditubuhkan oleh Khaled Hadadi pada tahun 1924.
- “Hizb al-Nejjadeh” parti nasionalis Arab yang ditubuhkan oleh Mustapha Hakem sejak tahun 1940-an, majoritinya dianggotai masyarakat Muslim Sunni.
- “Arab Socialist Ba’ath Party”, parti sosialis ini ditubuhkan oleh Fayez Shukr pada tahun 1966 di Beirut.
- “Harakat Al-Shaab”, parti nasionalis Arab ini ditubuhkan oleh Najah Wakim pada tahun 2000.
- “Harakat al-Istiqlal”, awal penubuhannya di Zgharta, Lubnan oleh Michel René Moawad pada tahun 2006 yang mewakili kumpulan nasionalis. Pertubuhan ini dianggotai masyarakat Kristian dan Muslim.
Antara pergerakan parti politik berorientasikan mazhab Syiah di Lubnan, terdiri daripada;
- “Amal Movement” atau “Afwaj al-Muqawama al-Lubnaniyya”, diasaskan daripada ideologi ulama Syiah konservatif, iaitu Musa al-Sadr dan Hussein el-Husseini pada tahun 1974.
- “Arab Democratic Party”, parti nasionalis Arab yang ditubuhkan oleh Ali Eid yang berfahaman Syiah pada tahun 1974. Adiknya, Rifa’at Eid pula menubuhkan pertubuhan parti Syiah aliran Alawi “Harakat al-Shabab al-Alawi”.
- “Hizbullah”, mewakili kumpulan para-militer Syiah, pro-Iran dan anti-imperialisme. Dilabel terroris oleh kesatuan negara Eropah, Amerika, Kanada, Israel dan Australia.
- “Tayyar el-Shi’e el-Hurr”, parti berorientasikan mazhab Syiah ditubuhkan oleh Mohammed al-Hajj Hassan pada tahun 2006. Menyertai “March 14 Alliance”, anti kepada kumpulan“Hizbullah” dan “Amal Movement”.
- “Islamic Amal Movement”, merupakan parti yang berorientasikan mazhab Syiah dan diasaskan oleh Syeikh Subhi at-Toufaily pada tahun 1982, beliau pernah menjadi Setiausaha ‘Am pergerakan “Hizbullah” sebelum lantikan Hassan Nasrallah.
Antara pergerakan parti politik berorientasikan mazhab Sunni di Lubnan, terdiri daripada;
- “Al-Jama’ah al-Islamiyah”, parti politik gerakan Islam yang didominasi masyarakat Muslim Sunni Lubnan. Antara pengasas gerakan politik ini ialah Dr. Fathi Yakan dan Syeikh Dr. Faisal Maulawi pada tahun 1964. Pemimpin pertama gerakan ini ialah Syeikh Ibrahim al-Masri.
- “Harakat al-Tawhid al-Islami”, pergerakan mujahidin yang dianggotai Muslim Sunni yang pernah terlibat dalam perang sivil Lubnan seawal 1980-an. Secara rasmi diasaskan pada tahun 1982 oleh Syeikh Said Shaaban, rakan akrab kepada Dr. Fathi Yakan. Memiliki hubungan kerjasama dengan PLO, Hizbullah dan HAMAS.
- “Tayyar al-Mustaqbal”, parti berideologi sekular yang ditubuhkan pada 1992 oleh Rafik al-Hariri. Diketuai oleh Saad al-Hariri selepas berlakunya pembunuhan abangnya Rafik al-Hariri, dan majoritinya dianggotai masyarakat Muslim Sunni.
- “Glory Movement” atau “Harakat Majd”, mewakili kumpulan Muslim Sunni yang diasaskan oleh Najib Mikati pada tahun 2004.
- “Jabhat al-Amal al-Islami” ditubuhkan pada tahun 2006 oleh Dr. Fathi Yakan setelah melihat pengkhianatan “March 14 Alliance” yang memiliki agenda pro-Amerika. Beliau memutuskan untuk berkoalisi dalam “March 8 Alliance”.
Antara pergerakan parti politik berorientasikan komuniti perkauman Druze dan Kurdish di Lubnan terdiri daripada;
- “Progressive Socialist Party”, mewakili komuniti Druze yang berfahaman sosialis dan diasaskan oleh Kamal Jumblatt pada tahun 1949.
- “Al-Hizb Al-Kurdi Al-Dimoqraty”, parti politik yang mewakili masyarakat Kurdish di Lubnan. Ditubuhkan pada tahun 1960 oleh Jamil Mihhu.
- “Razkari Party”, parti politik mewakili masyarakat Kurdish di Lubnan, ia ditubuhkan oleh Faissal Fakhroo pada tahun 1975.
- “Lebanese Democratic Party”, mewakili komuniti Druze yang berfahaman sekular. Diasaskan oleh Putera Talal Arslan pada 1 Julai 2001.
- “Al-Hizb al-Jumhury al-Hurr” parti sekular yang ditubuhkan oleh Khaled al-Hassaneh yang dianggotai oleh komuniti Druze.
Pergerakan bukan parti politik berpengaruh di Lubnan pula terdiri daripada;
- “Tajamo’ al-Ulama’ al-Muslimin”, diasaskan pada tahun 1982 ketika Beirut dalam kepungan rejim Zionis, IDF – Israel Defence Forces. Pertubuhan cendekiawan ini diketuai oleh Syeikh Mahir Hammud (wakil Sunni) bersama Syeikh Zuhayr Kanj (wakil Syiah).
- “Jam’iyat al-Mashari’ al-Khayriya al-Islamiya al-Ahbash”, atau gerakan al-Ahbash yang diasaskan oleh Abdullah al-Harari.
- “Hizbu at-Tahrir”, di Lubnan pergerakan ini diketuai oleh Ata’ Abu Rashta sejak 1953. Majoritinya dianggotai masyarakat Muslim Sunni.
Terdapat banyak lagi parti-parti politik yang ditubuhkan di Lubnan berasaskan aliran-aliran pemikiran dan perkauman. Dari negara inilah dimensi konflik Timur Tengah kelihatan dan sukar mencapai kata kesepakatan. Ada yang pro-Sunni anti-Syiah, pro-Syiah anti-Wahabi, pro-Wahabi anti-Sufi, pro-Sufi anti-Ikhwanul Muslimin, ada juga yang pro-Syiah ‘tetapi’ anti-Hizbullah, termasuklah pro-Sunni ‘tetapi’ berfahaman sekular.
Dalam geo-politik di Lubnan, strategi Barat sememangnya berkepentingan menjadikan negara tersebut sebagai salah satu lubuk medan laga – “proxy war” – masyarakat Muslim di Timur Tengah dan merebut apa yang disifatkan sebagai “geopolitic of pipeline” – minyak dan kepentingan Israel. Mereka mencegah kesatuan bangsa Arab dan melindungi negara Israel sehingga “Perang Saudara Lubnan” tercetus pada 1975 akibat rusuhan golongan Kristian, pengikut Sunnah, Syiah, Druze dan Kurdi.
Pada ketika itu ratusan ribu orang terbunuh, hampir sejuta penduduk melarikan diri keluar dari Lubnan termasuklah mangsa pelarian Palestin yang sebelum ini menghuni di negara tersebut. Dunia terpaku dan kembali mengoborkan isu Sunni versus Syiah, sedangkan kekaburan yang berlaku sebenarnya adalah kejayaan imperialis Perancis menggugat kestabilan politik di wilayah Lubnan saat jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniyah pada tahun 1924.
Hampir 15 tahun, akhirnya perang sivil akibat rusuhan tersebut ditamatkan pada tahun 1990 melalui “Persetujuan Taif” (Ittifaqiyatu at-Taif) – National Reconciliation Accord. Antara syarat yang terkandung dalam persetujuan tersebut ialah mengenai penggubalan semula pembahagian kuasa selepas kegagalan “Al-Mithaq al-Watani” :
- “Presiden” daripada Kristian Maronites.
- “Perdana Menteri” daripada pengikut Sunnah.
- “Speaker Parlimen” daripada pengikut Syiah.
Inilah antara cabaran dan masalah yang berlaku kepada gerakan Islam di Lubnan. Persetujuan politik sekalipun distrukturkan sebagai solusi damai antara puak di negara tersebut, ia masih menatijahkan pertikaian sesama mereka lebih-lebih lagi sikap ketidak-sepakatan antara pengikut Sunni dan Syiah.
Namun, ketika pencerobohan Israel ke atas Lubnan (Perang Israel-Lubnan) pada tahun 2006 (yang digelar Perang Tammuz), Dr. Fathi Yakan menjadi salah seorang aktivis yang menghalau Yahudi Zionis keluar dari Lubnan. Beliau memprotes tindakan Perdana Menteri Lubnan, Fouad Siniora kerana menjadi boneka Barat. Fouad Siniora menjadi Perdana Menteri pada 9 Julai 2005 selepas terbunuhnya Rafiq Hariri daripada parti “Tayyar al-Mustaqbal” dalam serangan bom di Beirut.
Apa yang menarik perhatian dalam perang Israel-Lubnan 2006 itu ialah berlakunya tahaaluf antara Dr. Fathi Yakan dari “Jabhat al-Amal al-Islami” dengan Setiausaha Am pergerakan“Hizbullah”, Hassan Nasrallah. Fakta konsolidasi ini adalah fakta unik ketika pertikaian Sunnah-Syiah yang tidak menampakkan noktah berakhirnya kekusutan dua kumpulan ini. Dalam sebuah hadis marfu’ daripada Abi Hurairah r.a ada dicatatkan;
لا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَكْثُرَ الْهَرْجُ، الْقَتْلُ، لاَ تُقَاتِلُوْنَ الْمُشْرِكِيْنَ وَلَكِنْ يُقَاتِلُ بَعْضَكُمْ بَعْضًا، فَتَعَجَّبُ الصَّحَابَةَ رِضْوَانَ اللهَ عَلَيْهِمْ قَالُواْ، يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَوَلَيْسَ لِهؤُلاَءِ عُقُوْلٍ؟ قَالَ، لَتُنْزَعَنَّ عُقُوْلَ أَهْلِ ذَلِكَ الزَّمَانِ
“Tidak berlaku Kiamat sehinggalah banyak berlaku rusuhan, pembantaian (pembunuhan yang melibatkan kaum Muslimin) di mana mereka tidak memerangi kaum musyrikin akan tetapi memerangi sesama sendiri (berlaku pembunuhan di mana pembunuh sewenang-wenangnya membunuh, dan yang terbunuh tidak tahu atas dasar apa dia dibunuh).” , Para sahabat kehairanan lalu bertanya, “Wahai Rasulallah, apakah mereka hilang akal?” Jawab baginda s.a.w,“Telah tercabut akal-akal warga penduduk di zaman itu.”
Pada 8 Disember 2006, Dr. Fathi Yakan mengimami solat Jumaat yang dihadiri para makmumnya yang memiliki pelbagai latar belakang mazhab, Sunni dan Syiah sebagai simbol persatuan melawan Fouad Siniora. Antara yang disebut oleh beliau pada tarikh tersebut;
إننا حين ندعو إلى الإسلام لا ندعو إلى عصبية ولا إلى طائفية ولا مذهبية سنيا ولا شيعيا. نحن مسلمون قبل أن نكون سنة وشيعة، و لا يمكن أن يوحد أمة الإسلام إلا كلمة الإسلام. هو سماكم المسلمين من قبل وفي هذا ليكون الرسول شهيدا عليكم وتكونوا شهداء على الناس
“Sesungguhnya kami sekarang ini menyeru kepada Islam bukan kepada semangat fanatik kepuakan, kumpulan ataupun mazhab dokongan Sunni mahupun Syiah. Kami orang-orang Muslim sebelum menjadi Sunni atau Syiah, dan adalah mustahil umat Islam ini bersatu kecuali dengan kalimah Islam. { Dia (Allah) yang telah menamakan kamu orang Islam sebelum ini (dibuktikan di dalam Kitab-Kitab-Nya) agar Rasulullah menjadi saksi terhadap perbuatan kamu, dan kamu pula menjadi saksi terhadap sekalian manusia } – petikan dari surah al-Hajj ayat 78.” – rakaman IslamOnline, 2007
Sememangnya Lubnan sebuah negara yang unik dan kompleks, ia menagih strategi yang mapan daripada gerakan Islam di sana. Justeru, Lubnan tidaklah seperti negara-negara Arab yang lain seperti Dubai misalnya, yang mewah menakluk latar langit dengan menara Burj Khalefa-nya.
Lantaran kesungguhan Dr. Fathi Yakan dalam memartabatkan Islam sebagai agama yang mesti didaulat, bukan sekadar dibangga-banggakan sebagai warisan dan khazanah peninggalan, maka beliau menulis buku “ماذا يعني انتمائي للإسلام” – “Maza Yakni Intima’ie lil Islam” dengan kupasan yang cukup jelas bertujuan untuk menyedarkan kaum Muslimin tidak kira apapun aliran mereka agar kembali berpegang teguh kepada ajaran Islam yang asli daripada baginda Rasulullah s.a.w, serta menggabungkan hubungan mereka dalam perjuangan Islam di segenap bidang kehidupan dengan penuh kerelaan.
Referensi:
- Dr. Fathi Yakan, “Abjadiyat at-Tasawwur al-Haraki lil Amal Islami”
- Dr. Fathi Yakan, “Harakat wa Mazahib fi Mizan al-Islam”
- Dr. Dhia’uddin ar-Ris, “Al-Islam wa al-Khilafah fi ‘Asri al-Hadis”
- Dr. Sa’ed Ramadan al-‘Ibadi, “Al-Ikhwanul Muslimun wa as-Syi’ah bayna Ru’ya Syar’iyyah wa Mumaarasat as-Siyasah”
Biodata Penulis
Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Tarikh : 26 Sept 2013
Maahad Tahfiz al-Quran was Sunnah Sandakan agak rapat dengan maahad kami daripada segi menghantar produk-produk mereka ke maahad ini sejak 2-3 tahun kebelakangan. Syukur alhamdulillah, pelajar mereka yang dihantar ke sini setakat ini tidaklah menghampakan kami secara keseluruhannya.
Justeru apabila mereka datang berkunjung buat kali kedua, ia amat menggembirakan dan membuatkan saya sendiri teruja. Ustaz Haji Azizul Ramli antara orang kuatnya, adalah abang kami sejak zaman sekolah dan saya sendiri pernah menziarahi beliau ketika beliau menyambung pengajian di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran Kuala Lumpur.
Saya gembira dapat berkongsi dengan mereka dan perkongsian sejarah maahad mereka kepada kami, dengan suatu harapan mereka terus menghasilkan produk yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat mereka suatu hari nanti.
Khatib : Habib Abd Rahim Habib Abd Rahman
Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas
Firman Allah SWT : Katakanlah wahai Muhammad, jika kamu mencintai Allah maka ikutlah aku (Rasulullah), nescaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Semua manusia suka agar dicintai oleh Allah SWT dan tidak dibenci Allah SWT. Namun agak menghairankan tidak ramai manusia suka melakukan sesuatu yang menyebabkan dia dikasihi Allah SWT, bahkan melakukan sesuatu yang menyebabkan dia dimurkai oleh Allah SWT.
Bahkan dalam kehidupan seharian, kita sendiri mahu agar disukai oleh jiran tetangga dan tidak mahu dibenci mereka. Satu segi yang lain, jika kita dibenci oleh jiran tetangga kita boleh berpindah ke tempat lain. Tetapi bagaimana pula jika kita dibenci oleh Allah SWT, hendak ke mana dibawa diri dan hidup kita yang semua alam semesta ini semuanya dijadikan oleh Allah SWT?
Untuk bersedekah contohnya, orang yang bersedekah ke masjid bimbangkan pengerusi masjid adakah akan memberikan balasan untuknya? Bersedekah ke anak yatim piatu, adakah mereka akan memberikan balasan kepadanya? Bersedekah untuk membina jalanraya, adakah penggunanya akan memberikan balasan kepadanya?
Hakikatnya, iman kita masih lemah mengharapkan balasan manusia sedangkan Allah SWT boleh dan berkuasa memberikan balasan berkali ganda kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Sedangkan sedekah adalah antara amalan yang menyebabkan seorang hamba dikasihi oleh Allah SWT. Beramallah kerana Allah SWT bukan kerana yang lain, agar Allah SWT mencintainya.
Sumber : http://darussyifa.org/SJ011.php
Ada seorang ditempat saya, disebut oleh orang kampung bahawa dia telah berkahwin dengan jin Islam, mempunyai anak dan hidup dalam keadaan rukun damai. Kebetulan saya pernah ke tempat orang ini, ke rumahnya. Saya dapati dia tinggal seorang diri, tetapi rumahnya bersih seolah-olahnya ada yang menguruskannya. Persoalan besar saya bolehkah kita manusia, berkahwin dan beranak pinak dengan makhluk halus?
Jawapan :
Seperkara yang jelas kepada kita bahawa makhluk ini wujud dan boleh menyerupai dengan rupa-rupa yang mereka kehendaki dengan izin Allah S.W.T. Persoalan sama ada boleh atau tidak manusia berkahwin dengan makhluk halus dari segi sejarahnya banyak yang kita dengar bahawa Balqis adalah seorang raja di zaman Nabi Sulaiman. Bapanya manusia dan ibunya daripada jin, ibunya bernama Balqmah binti Saisan.
Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w pernah berkata bahawa salah seorang daripada ibu bapa Balqis adalah jin. Hadis ini ada dalam Kitab al-Jami’ as-Saghir oleh Imam as-Sayuti.
Tetapi apabila balik kepada masalah hukum, dengan jelas al-Quran, Allah berfirman (mafhumnya), “Dan Allah telah menjadikan bagi kamu pasangan hidupmu dari jenis kamu juga”. (Surah an-Nahli ayat 72)
Firman Allah (mafhumnya), “Dan di antara tanda-tanda keagungan Allah dijadikan bagi kamu dari jenis kamu juga, pasangan-pasangan hidup, supaya kamu mendapat ketenangan dengannya dan dijadikan bagi kamu kasih sayang dan rahmat daripada Allah S.W.T.” (Surah ar-Rum, ayat 21).
Kedua-dua ayat ini boleh difahami dengan mudah bahawa pasangan hidup manusia adalah manusia juga. Barulah akan wujud ketenangan, kasih sayang, tambatan hati dan saling percaya mempercayai.
Bayangkan jika kita mempunyai isteri dari kalangan makhluk halus orang lain tidak nampak, kita nampak seorang sahaja, atau mungkin kita pun tidak nampak tetiba kita berselisih faham, bergaduh dan sebagainya, bagaimana akan terjadi kepada rumah tangga kita.
Hadis yang diriwayatkan oleh Yunus bin Yazid daripada Azzubri katanya, Rasulullah s.a.w menegah manusia mengahwini jin.
Berpandu kepada ayat dan hadis saya sebutkan, atas alasan ini jumhur ulama berpendirian, tidak harus mengahwini jin, jika berlaku perkahwinan, maka perkahwinan itu tidak sah. Kalau berlaku perhubungan jenis, mereka berkesedudukan dalam keadaan haram.
Tetapi Imam Malik bin Anas mengatakan perkahwinan itu adalah makruh dan ada ulama yang sependapat dengan Imam Malik.
Namun apapun yang dapat dilihat maka perkahwinan ini suatu yang kudus, yang pasti diketahui syarat sah perkahwinan, yang paling asas adalah agama.
Jika jin itu bukan Islam maka perkahwinan tidak sah. Jika dikatakan jin itu Islam, bagaimana boleh kita pastikan benar-benar bahawa dia Islam, apakah dengan pengakuan mulut yang mengatakan bahawa dia (jin) Islam boleh diterima.
Jika dikatakan jin itu mempunyai keilmuan Islam yang tinggi dan dia beramal dengannya, maka sama juga dengan manusia yang mengkaji Islam, tetapi tidak Islam.
Malah ada kalangan sarjana Barat yang banyak menghafal al-Quran, menghafal hadis dan mengetahui banyak hukum (terutama orientalis), kalau di alam manusia boleh berlaku, maka tidak mustahil di alam jin juga ianya boleh wujud.
Maka jalan yang terbaiklah, kahwinilah dengan manusia, seperti yang disebut Rasulullah, “Kahwinilah perempuan-perempuan manusia, kerana mereka boleh mendatangkan harta.”
Tarikh : 29 Ogos 2013
Lokasi : Dewan Ilmu Perpustakaan MBPJ, Petaling Jaya