Archive for Jun, 2013


Tarikh : 29 Jun 2013 (Sabtu)

Lokasi : Dewan Datuk Asmali Bachi, Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah

Bagi pihak maahad mengucapkan setinggi penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana sudi membawa datang ke maahad kami Brother Lim Jooi Soon, seorang pendakwah yang terkenal dalam bidang perbandingan agama. Saya sendiri satu ketika sekitar 6-7 tahun sudah pernah mengaji ilmu perbandingan agama dengan beliau juga anjuran JAKIM, dalam siri Training of Trainer.

Alhamdulillah, warga maahad mendapat banyak input dan manfaat terhadap ceramah yang disampaikan. Insya Allah sekiranya ada kesempatan lain, akan bertemu lagi. Sebagaimana yang disebutkan oleh puan pengetua, aktiviti-aktiviti bersifat keilmuan seperti ini wajar diberi keutamaan apatah lagi kesemua siswa siswi kami yang menghafaz al-Quran ini bakal berhadapan dengan masyarakat yang pelbagai warna.

Terima kasih juga buat sahabat saya Ustaz Fadhli Amat dan rombongannya yang sudi menjejakkan kaki ke sini. Insya Allah kerjasama lebih erat selepas ini.

Lim Jooi Soon @ MTQQNS (1) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (2) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (3) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (4) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (5) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (6) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (7) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (8) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (9) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (10) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (11) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (12) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (13) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (14) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (15) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (16) Lim Jooi Soon @ MTQQNS (17)

Tarikh : 28 Jun 2013 (Jumaat)

Lokasi : Surau ar-Rahman, Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah

Selain sebagai individu muslim, para siswa siswi di hadapan saya ada potensi besar sebagai pendakwah dalam masyarakat masing-masing. Mereka menghafaz al-Quran dan terutamanya lelaki kebiasaannya akan menjadi imam baik berjawatan imam atau diminta menjadi imam dalam majlis-majlis tertentu.

Dalam masa yang sama pula,  bacaan kitab rujukan kami ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ sudah tiba ke perbincangan pergerakan solat. Jadi amat sesuai kami melihat semula pergerakan solat yang tepat atau kurang tepat sebagai perbandingan. Segala kesilapan jika berlaku hendaklah diperbaiki agar menepati syarak sementara jamaah pula lebih merasa yakin dengan kredibiliti imam mereka.

Pada masa akan datang, perbincangan akan diteruskan bagi membetulkan bacaan dalam solat pula. Insya Allah.

Amali Solat (1)

Amali Solat (2) Amali Solat (3) Amali Solat (4) Amali Solat (5) Amali Solat (6) Amali Solat (7) Amali Solat (8)

Tarikh : 28 Jun 2013 (Jumaat)

Lokasi : Pejabat Makmal Kesihatan Awam, Bukit Padang Kota Kinabalu.

Allah SWT menentukan peristiwa besar ini berlaku pada waktu malam dan baginda dalam keadaan sendirian, tiada seorang manusia yang tahu baik kalangan sahabat-sahabat baginda ataupun juga kalangan musyrikin. Ia menjadi ujian kepada semua orang sama orang terdahulu sehingga akhir zaman, percaya atau tidak akan suatu peristiwa hebat ini.

Ia tidak berlaku pada waktu siang agar semua orang menyaksikannya beramai-ramai dan lebih mudah mengimani perkara ini. Demikianlah dalam kehidupan ini Allah SWT tentukan adanya dosa dan pahala, syurga dan neraka, malaikat, syaitan dan iblis, semuanya tidak kelihatan oleh mata, tetapi diwajibkan kita mengimani akan adanya.

Justeru, dengan masa yang terus berlalu, manusia wajib kembali kepada Allah membuktikan keimanan dan keyakinannya dengan beramal soleh. Antara perkara asas yang manusia perlu lakukan ialah solat fardhu, belajar membaca al-Quran dan sebagainya. Semoga ada kebaikan untuk semua.

Israk Mikraj @ Makmal Kesihatan (1) Israk Mikraj @ Makmal Kesihatan (2) Israk Mikraj @ Makmal Kesihatan (3) Israk Mikraj @ Makmal Kesihatan (4) Israk Mikraj @ Makmal Kesihatan (5)

Hanya ada kelas untuk remaja, sementara kelas untuk kanak-kanak dan dewasa ditangguhkan pada minggu ini kerana saya keluar daerah.

KTHM, M29 (1) KTHM, M29 (2) KTHM, M29 (3) KTHM, M29 (4) KTHM, M29 (5)

Masjid Kg Contoh Petagas

Khatib : Ustaz Haji Masduki Umar

Lokasi : Masjid as-Salam Kg Contoh Petagas

Firman Allah SWT : Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang satu; oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”. (al-Kahfi : 110)

Allah SWT yang Maha Esa telah menjadikan manusia ini telah menetapkan bahawa sekiranya seorang hamba bercita-cita hendak bertemu Allah SWT dalam suasana yang indah, ada dua syarat yang ditetapkan iaitu beriman dan beramal soleh.

Keimanan yang sohih dan benar, menerima Islam dengan bersungguh-sungguh serta tidak berlaku syirik kepada Allah SWT. Kesaksian terhadap keesaan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Yang kedua, apabila seseorang itu sudah beriman kepada Allah hendaklah ia taat melakukan amal soleh dan meninggalkan segala tegahan. Ia mesti memenuhi perkara yang namanya kewajiban terlebih dahulu berbanding perkara yang lain.

Sesuatu yang menunjukkan keganjilan dan kejanggalan umat ialah apabila masjid-masjid penuh untuk solat tarawih yang bertaraf sunat sedangkan dalam masa yang sama meninggalkan solat fardhu yang sudah tentu akan disoal oleh Allah SWT.

Buku yang baru dibaca :

Untitled-1

Penulis : Dr Muhaimin Sulam

Penerbit : Kemilau Publika

Harga : RM22.00/RM25.00

‘Aku Melayu di Kota Inggeris’ merupakan satu catatan pengembaraan anak Melayu. Setelah lebih setahun selepas kembali ke tanah air, di fikiranku memang ingin membukukan kembali pengalaman berada di tanah Inggeris.

Kukongsi catatan setengah dekad suka duka kepada yang ingin membacanya. Membaca tentang episod separuh jiwa yang tersiat dalam mencari makna kehidupan. Hidup merantau di bumi asing memang tidak sama menempurung di kampung sendiri.

Telah ramai anak-anak Melayu yang merantau, hidup jauh lebih mencabar. Masing-masing dengan cabaran mereka sendiri. Sedikit kesempatan yang kumiliki terlalu kerdil untuk dikongsi baca.

Sebelum matinya seorang anak Adam, berbekal titisan hikmah al-Furqan, mutiara sabda Nabi junjungan. Meminjam azimat sang pendekar silam, mantera tabib sufi dan kiasan pujangga. Begitu juga dari bicara lembut bapa yang tidak pernah jemu ditelaah kembali.

Resah rindu seorang ibu. Belajar daripada ajaran guru-guru biasa yang luar biasa. Sindiran kawan, cabaran musuh. Mengembara di bumi asing sebenarnya merupakan proses belajar bertawakal, menguji sabar diri dan mencari erti diri sendiri.

Plan MTQQ

Kami dimaklumkan oleh Puan Pengetua bahawa baru ini berlaku satu mesyuarat pengurusan JHEAINS. Antara isu penting ialah blok panjang tiga tingkat sekolah lama Toh Puan Hajah Rahmah di Sembulan bakal diubah suai untuk menjadi kampus Maahad Tahfiz al-Quran yang baru.

Kisah lokasi maahad bakal berpindah ini sudah lama kami dengari dan kali ini cerita pengubahsuaian pula menjadi tajuk utama. Memang ada sebelum ini pihak kami ada diminta pendapat tentang pengubahsuaian ini dan nampaknya banyak cadangan yang diterima.

Pelan pembangunan ditunjukkan kepada kami dan gayanya sekiranya terlaksana semua yang dirancangkan, kampus berkenaan memang nampaknya agak cantik. Bilik kelas tasmik al-Quran akan terasing dengan kelas subjek, sementara kemampuan menampung warga maahad akan bertambah sehingga 100 orang pada satu-satu masa.

Pengubahsuaian dijadualkan akan bermula dalam dua tiga minggu daripada sekarang dan dijangka selesai selepas 18 bulan dengan kos menjangkau RM2 juta. Semoga projek ini berjalan lancar dan Maahad Tahfiz dapat beroperasi dengan lebih baik lagi.

PSS

aib

Sumber : http://www.pas.org.my/v2/index.php/artikel/mursyidul-am/1709-tidak-dedah-aib-setelah-bersengketa

KERJASAMA dalam masyarakat umpama dua belah tangan, saling membersihkan apabila menyedari sebelah tangannya kotor. Begitulah keadaan di antara ahli masyarakat jika melakukan kesilapan, hendaklah saling tegur menegur tanpa menyinggung perasaannya.

Setiap kali berlaku tegur menegur janganlah berkecil hati atau masam muka, dengan syarat orang yang menegur itu mesti mengguna bahasa yang sopan dan lemah lembut. Agar yang mendengar nasihat dapat menerimanya dengan hati terbuka, kerana nasihat itu tidak menyinggung perasaan orang yang menerimanya.

“Rohama-u bainahum,” di antara satu sama yang lain dalam keadaan kasihan belas dan berkasih sayang. Itulah sikap luhur yang mesti wujud dalam masyarakat Islam. Untuk mengetahui sama ada seorang kawan itu sungguh bersimpati dan baik hati iaitu; dia tidak menikmati makanan yang lazat sendirian tanpa ditemani bersama kawannya.

Jika dia merasai lazat dan seronok makan sendirian, maka itu tandanya dia tiada sikap ingin berkawan dengan orang lain. Terpaksa berkawan dengan sesama manusia, lantaran mereka duduk sekampung atau setaman dengannya. Sedangkan maksud berkawan bukan atas alasan begitu.

Bahkan kerana agama mengajar supaya anggota masyarakat itu ada sifat “suhbah” (persahabatan) dan “ukhuwah” (persaudaraan) dalam diri masing masing.

Antara tandanya lagi ialah jika seseorang pergi ke tempat yang menggembirakan hati, tetapi tidak mempelawa bersama kawannya. Itu tandanya dia tidak suka berkongsi kegembiraan dengan orang lain. Sikap dirinya terlalu keakuan dalam perkara yang sepatutnya boleh dikongsi.

Sewajarnya dia merasa terkilan apabila tidak mengajak kawannya bersama ke tempat tersebut. Di hatinya berkata; alangkah baiknya jika kawanku turut bersama, tentu dia rasai gembira bersama seperti yang dirasainya.

Selepas memperkatakan tanggungjawab tenaga dan jiwa raga terhadap kawan atau sahabat, kini diperkatakan pula tentang tanggungjawab lisan (lidah) ketika bersahabat. Ada ketikanya kita kena cakap perkara tertentu, ada masanya lebih baik diam senyap tanpa kata-kata, apabila berdepan dengannya jika dia kawan atau sahabat kita.

Adapun perkara yang sepatutnya senyap tanpa ucapan, ialah dari menyebut keaiban dirinya. Sama ada di hadapan atau belakangnya. Jika seringkali menyebut keburukannya, perbuatan itu menjadi bukti bahawa anda tidak bersahabat dengannya.

Bahkan menjadi kewajipan kita berdiam diri, seolah-olah tidak tahu langsung wujudnya keaiban kawan kita itu. Seperti orang jahil langsung tidak mengetahuinya. Menjadi tanggungjawab seseorang itu membisu daripada menyebut keaiban kawannya, wajib bersikap jahil atas keaiban orang lain.

Hendaklah senyap tanpa kata daripada membalas balik, perkataan kawan yang boleh menjejaskan diri atau peribadi kita. Jangan berbalah dan berbantah atas isu tersebut.

Sebolehnya mengelak daripada meneruskan pertuturan tersebut, atau lencongkan daripada bercakap topik itu kepada isu yang lebih bermanfaat, atau berdiam diri. Supaya akhirnya dia sedar bahawa perbualan buruknya, tidak mendapat sambutan dan perhatian daripada kita.

Hendaklah senyap dan berdiam diri, daripada berkata yang bersifat menyelidiki (tajassus) hal ehwal peribadinya. Kerana perbuatan mencungkil rahsia adalah ditegah oleh Islam, seperti yang ditegaskan dalam ayat 12 Surah Al-Hujraat. Perbuatan yang perlu dielakkan apabila berkawan, kerana ia boleh menimbulkan masalah dan menjejaskan hubungan persahabatan antara kedua-dua pihak.

Mungkin dia tidak suka orang lain terlalu ambil tahu tentang ehwal diri dan pekerjaannya. Apakah sebabnya yang perbuatan itu tidak manis jika terlalu bertanya khabar, ketika bertemu di saat dia membuat sesuatu perkara. Kerana boleh meninggalkan kesan berat atasnya, untuk menjelaskan sesuatu yang ditanya itu. Kadang kala mereka terpaksa tidak bercakap benar untuk menjawabnya, pertanyaan kita itu menyebabkan dia jadi pendusta.

Hendaklah tidak berkata akan rahsia-rahsia yang dia telah menceritakan kepada kita, sedangkan dia telah meletakkan kepercayaan sepenuhnya. Hingga dia sanggup mendedahkan rahsia kepada kita, sekali-kali tidak boleh mendedahkan rahsia tersebut, walaupun kepada kawan paling rapat dan dipercayai.

Tidak boleh mendedahkan walau sedikit pun rahsia seseorang, sekalipun setelah berselisih faham dan berbalah antara kedua-duanya. Orang mukmin tidak mendedahkan rahsia, sama ada ketika berkawan baik atau ketika bersengketa atau selisih faham.

Membuka rahsia seseorang walaupun setelah berbalah dengannya, jadi bukti bahawa hakikat peribadi yang berkenaan terlalu hodoh dan kotor. Sebagaimana ditegah mencaci peribadinya, begitu juga dilarang mencaci keburukan orang yang menjadi kawan temannya dan keluarganya.

Janganlah menyebut mengenai orang yang menceritakan hal keburukan kawannya kepada kita, kerana golongan itu kelak yang akan dedah keaiban peribadi kita kepada pihak lain. Wajar menasihati orang yang berurusan dengan golongan tersebut, sekadar mengingatkan agar berhati-hati tanpa menyebut dan menyenarai keburukannya.

syria

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/presiden/20288-rakyat-syria-mangsa-kezaliman-dan-kesilapan-negara-umat-islam

Ketika ini seluruh dunia bersepakat untuk wajib mempertahan dan membela hak asasi manusia yang juga menyentuh hak majoriti dan hak minoriti seperti mana dalam Universal Declaration of Human Rights (United Nations) di Paris pada tahun 1948 dan Cairo Declaration on Human Rights in Islam (OIC) pada tahun 1990.

Walaupun kedua-dua deklarasi ini ada perbezaaan teras tertentu, tetapi semua negara-negara yang menandatanganinya telah bersetuju bahawa tiada lagi mana-mana pihak yang boleh dizalimi, tidak boleh dinafikan haknya sebagai manusia, bahkan ada yang berfikir lebih melampau sehingga mempertahankan hak binatang lebih daripada hak manusia.

Tetapi semuanya ini tidak diambil peduli apabila menangani isu besar dan mendesak yang menyentuh hak rakyat Syria, kerana pihak yang menjuarai hak asasi ini sibuk menjaga kepentingan negara masing-masing dan mempertahankan hak keselamatan negara haram Israel, samada secara sedar atau tidak sedar.

Begitulah rupanya apabila pengaruh Zionis dan agendanya masuk ke dalam kepala para pemimpin  dunia, negara kuasa besar dan lebih malang lagi termasuklah pemimpin negara Arab dan pemimpin negara umat Islam.

Perlulah kita ingat bahawa para pemimpin kanan Israel, sama ada pimpinan politik atau tentera, tlahpun membuat kenyataan terbuka bahawa Israel akan campur tangan menyerang secara lansung ke dalam Syria sekiranya senjata jatuh ke tangan kumpulan Islam, sama ada Ikhwan Muslimin, al-Qaeda atau Hizbullah.

Nampaknya Israel tetap menjaga kepentingannya tanpa mengira apakah mazhab yang dianut oleh kumpulan yang bernama Islam. Inilah sikap sebenar negara haram Zionis ini yang menunjukkan sikapnya yang paling bermusuh terhadap Islam.

Aspek yang lain pula, jangan dilupai bahawa semua negara kuasa besar terlibat mewujudkan negara haram Israel sejak tahun 1948 menerusi British Mandate for Palestine. Sejak saat inilah semuanya terpengaruh dengan agenda Zionis yang menjadi guru mencipta ideologi kepada semua negara kuasa besar dan sekutunya yang berbeza ideologi  itu. Seterusnya rangkaian Zionis mempengaruhi  politik dalaman dan antarabangsa, ekonomi dunia dan medianya.

Sejarah membuktikan, bahawa Zionis ini tidak akan mengizinkan mana-mana kumpulan Islam, samada kumpulan itu dari mazhab Sunni, Salafi  atau tidak. Mereka juga tidak mengira samada kumpulan itu adalah Syiah muktabar atau tidak, dan tanpa mengira pendekatan  sederhana atau melampau, Ikhwan atau al-Qaeda atau Hizbullah, semuanya diletakkan dalam satu bakul.

Semuanya tidak diizinkan sekiranya  yang mengambil alih kuasa di Syria bagi mengganti Basyar Asad dan Parti Ba’athnya. Israel dan semua kuasa besar itu  boleh menerima siapa sahaja yang tidak berjenama  Islam tanpa mengira ideologinya.

Pendirian mereka ialah bahawa Basyar Asad tetap lebih baik daripada semua kumpulan Islam tanpa mengira mazhab, kerana sebarang perubahan kepada Islam dikira paling membahayakan keselamatan Israel dan menjejaskan kepentingan  negara barat  dan sekutunya dan juga Russia, China  dan sekutunya.

Bacalah kenyataan Ketua Turus Pasukan Pertahanan Israel (IDF Chief of Staff) Benny Gantz pada Januari 2012 lalu bahawa Israel boleh menerima puak Alawi dari kumpulan Basyar Asad sebagai pelarian akibat dari Revolusi yang berlaku di Syria, kerana kumpulan ini tidak membahayakan Zionis Israel.

Maka akhirnya Kerajaan kumpulan minoriti Alawi  yang sesat dan Parti Ba’ath berideologi kiri pimpinan Basyar Asad adalah paling diterima oleh semua kuasa besar itu demi kedudukan masing-masing.

Maka akhirnya rakyat Syrialah yang menjadi mangsa pertembungan bersenjata yang melibatkan  kuasa besar timur dan barat yang melibatkan  Amerika, Kesatuan  Eropah dan sekutunya, dan juga Russia, China dan sekutunya.

Terheret sama dalam konflik berdarah ini ialah negara serantau, Turki, negara Arab dan Iran  di atas nama strategi masing-masing. Akhirnya Basyar Asad juga yang dilihat lebih berpeluang  mengikat  semua pihak kerana tidak ada pengganti yang lebih baik daripadanya demi menjaga kepentingan masing-masing.

Kezaliman dan kekejaman keluarga Asad menerusi Hafeez al-Asad terhadap rakyatnya sendiri telah berlaku sejak dari tahun 1970an lagi. Walaupun kumpulan Alawinya yang terlalu kecil (10%)  tidak muktabar dalam mazhab Sunni dan Syiah yang muktabar, parti Ba’athnya dapat terus memerintah secara diktator sejak sekelian lama.

Adapun negara serantau pula bertegas dengan strategi masing-masing. Iran dan Hizbullah menjadikan alasan bahawa Basyar Asad adalah rakan strategi jalinan pembekal senjata menentang Israel  dan membantu garisan hadapan Palestin dan Selatan Lubnan; dan dalam masa yang sama Syria di bawah kerajaan Alawi dan parti Ba’ath tidak menjadi ancaman besar terhadap Israel.  Akhirnya  Basyar Asad juga dipertahankan di atas alasan strategi, dengan berlarutan, walau pun membunuh rakyatnya sendiri.

Adapun setengah negara Arab Teluk dan bukan Teluk  menganggap Iran dan Hizbullah bersama  mazhab syiahnya adalah ancaman kepada mereka setaraf dengan Israel, maka Iran dan Hizbullah perlu dihapuskan. Akhirnya mereka meletakkan Israel dan Basyar Asad sebagai bukan ancaman sebenar, maka Basyar Asad dan parti Ba’athnya tidak penting, maka selamatlah dia.

Dalam masa yang sama Amerika dan sekutunya mengira  Iran dan Hizbullah adalah ancaman terbesar, menyebabkan negara-negara barat itu meletakkan semua kumpulan yang berjenama Islam dalam satu bakul bahaya, tanpa mengira mazhab Sunni atau Syiah, Salafi atau Khalafi, Syiah Muqtada al-Sadr atau Sistani, Konservatif atau Reformasi,  tanpa perbezaan di antara kumpulan sederhana  yang mememilh Demokrasi atau pelampau yang mengharamkan Demokrasi.

Semua yang berjenama Islam adalah pelampau dan mengancam keamanan dunia, khususnya kedudukan keselamatan Israel lebih penting  bagi mereka. Rusia dan China juga masing-masing ada saham  mewujudkan negara haram Israel, dalam masa yang  sama ikut berlumba dalam persaingnan mendapat pengaruh dan pasaran di Asia Barat yang berisikan sumber tenaga  yang menjadi rebutan.

Ada pun sebahagian lagi negara Arab pula sangat bergantung dengan kuasa besar, sehingga menjadikannya pelindung lebih daripada Allah SWT. Manakala kumpulan Islam Sunni juga dianggap sebagai ancaman kepada sebahagian negara Arab ini, bukan hanya Syiah, sehingga mengizinkan buminya menjadi pengkalan tentera asing yang diambil kesempatan bukannya menjaga kawan, tetapi lebih utama menjaga Israel dan telaga minyak di rantau itu.

Hakikatnya ada negara Arab dan negara umat Islam sekitarnya yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Akhirnya tindakan mengekalkan Basyar Asad di Syria adalah boleh mengekalkan pasaran dan menambah nilai semua pihak, kerana daripada pihak lain khususnya kumpulan Islam, adalah lebih baik dibiarkan sahaja Basyar Asad dan parti Ba’athnya yang tidak berpegang dengan agama dan mana-mana mazhab yang muktabar.

Sepatutnya umat Islam tidak celaru dalam menentukan sikap. Umat Islam sepatutnya jelas bahawa negara haram Israel diwujudkan secara haram dan dipaksakan ke atas umat Islam, dan dalam masa yang sama negara kuasa besar tidak boleh diberi kepercayaan dalam menyelesaikan konflik yang berlaku.

Kuasa besar Barat ini hanyalah melihat dua perkara yang paling penting iaitu (1) survival negara haram Israel dan (2) kekuasaan mereka kepada sumber petroleum sebagai asas tenaga negara Barat; bukannya kepentingan rakyat negara-negara Arab yang berdepan dengan konflik berdarah ini, ataupun keselamatan negara-negara Arab rantau teluk itu sendiri.

Bagi penyelesaiannya,  semua  negara serantau, Arab, Turki dan Iran bersama seluruh negara umat Islam sepatutnya bebas daripada pengaruh negara pengacau yang datang dari timur dan barat dan bersatu strategi  kembali kepada Islam.

Selesaikan masalah umat dengan Islam, khusus Palestin dan ancaman Zionis negara haram Israel, sebagai perkara paling mudah untuk difahami dan sepatutnya menyentuh hati sanubari setiap umat Islam.

Ada pun  perbezaan mazhab yang masih berpegang dengan rukun-rukun Islam yang asasi, boleh dibincang secara ilmu oleh kalangan ilmuan  yang bebas daripada pengaruh kerajaan yang menolak Islam, jangan serah  kepada yang jahil, sama ada individu  atau media.

Perbezaan kebangsaan dan sempadan negeri di kalangan umat Islam boleh disatukan oleh ajaran Islam sekiranya kita benar-benar berpegang kepadanya. Tolonglah diri sendiri, jangan  bersekongkol dengan kuasa besar Timur dan Barat. Kembalilah kepada Islam.

PRESIDEN PAS

25 Jun 2013

%d bloggers like this: