Archive for Oktober, 2011


Sejak tahun 2007, kami sekeluarga adalah pengunjung setia kepada majlis konvokesyen Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) apatah lagi ketika itu bermulanya anak kami dalam dunia pendidikan formal pra-sekolah. Walaupun sebenarnya beberapa tahun sebelum itu saya sendiri pernah menghadirinya dan terlibat sebagai petugas kecil-kecilan di balik tabir.

Saya mengakui tidak sama suasana ketika itu berbanding melihat anak seorang demi seorang tampil di pentas untuk menerima penghargaan daripada pihak pentadbir PASTI. Nuha Wafiyyah menyertai PASTI pada tahun 2007, ketika PASTI Nur al-Fathonah memulakan operasinya di Taman Union Putatan dengan murid yang sangat sedikit dan bajet yang tidak kecukupan untuk menampung kos operasi dan elaun guru. Ketika itu ketika konvo, masih ada anugerah dan hadiah untuk murid berumur 4 tahun dan Nuha adalah salah seorang penerimanya.

Barangkali kerana jumlah murid yang sedikit – murid satu kelas sekitar 10 orang ke bawah, anak-anak kami setiap tahun naik pentas menerima hadiah. Saya menaruh sangkaan baik dan berfikiran positif dengan suasana itu agar anak-anak tetap bermotivasi dengan hadiah yang mereka terima, walaupun pada satu sisi yang lain, ada pendapat mengatakan anak-anak kurang tercabar kerana bilangan mereka yang sedikit. Padahal sebenarnya soalan peperiksaan bukanlah dibikin sendiri oleh guru tetapi soalan berpusat dan ada kalanya anak-anak memperolehi markah yang cemerlang atau sangat baik.

Saya merasa tenang apabila melihat anak-anak mampu membaca doa amalan harian – walaupun tidak semua – seperti doa sebelum dan sesudah makan, doa sebelum dan sesudah tidur, doa keampunan untuk ibu bapa dan lain-lain, aqidah kekuasaan Allah diterap di dalam diri mereka, bahawa Allah yang mencipta pokok, laut, bumi, awan, hujan, Allah yang menjadikan sihat dan sakit dan seumpamanya.

Maka jika PASTI mengekalkan pembelajaran seumpama ini (dengan memperbaiki kaedah, kualiti dan sebagainya) saya tidak ragu mengekalkan anak-anak berikutnya untuk terus mendapat pendidikan di PASTI. Saya tetap akan menyokong PASTI dan pejuang-pejuangnya.

 

 

 

 

Di Dewan Sa’adah Wisma MUIS Kota Kinabalu siang tadi, seramai 253 murid berumur 6 tahun telah menerima sijil konvokesyen dan tamat belajar dalam satu Majlis Konvokesyen Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Pantai Barat Sabah bagi sesi 1432H/2011M. Mereka adalah murid-murid daripada 16 buah PASTI yang terdapat di sekitar Kota Kinabalu, Sepanggar dan Putatan.

Sementara itu, dua murid terbaik diisytiharkan sebagai penerima anugerah Tokoh Ibnu Sina. Aisyah Mahfuzah Bt Bachotang (5 tahun) daripada PASTI al-Amal Likas dan Nur Nassahel Hassan (6 tahun) daripada PASTI Nurul Hasanah Bukit Padang. Selain itu, murid-murid cemerlang dan mendapat tempat pertama hingga ketiga yang berumur 5 tahun juga menerima hadiah masing-masing dalam majlis berkenaan.

Majlis juga dimeriahkan dengan beberapa persembahan murid-murid seperti tilawah al-Quran, nasyid, praktikal pembelajaran al-Quran teknik al-Baghdadi, cabutan tiket bertuah dan sebagainya. Ketua Penerangan PAS Sabah, Hishamuddin Sulaiman hadir merasmikan dan seterusnya menyampaikan sijil konvokesyen berkenaan yang turut dihadiri tidak kurang 500 orang tetamu termasuk ibu bapa, keluarga murid dan tetamu undangan yang lain.

Alhamdulillah, kami sekeluarga hadir bagi memberi sokongan kepada dua orang anak yang tampil ke pentas kali ini. Hana Sumayyah, 6 tahun – anak kedua kami menamatkan pengajian di PASTI al-Fathonah Pasir Putih Putatan menerima sijil konvokesyen dan hadiah tempat pertama di PASTInya. Seorang lagi, Abdul Hadi turut menerima hadiah tempat kedua dari PASTI yang sama untuk kelas murid 5 tahun. Sehingga kini, 3 orang anak-anak kami menuntut di PASTI dan insya Allah seorang lagi akan memasuki institusi yang sama tahun hadapan.

 

 

Terlalu banyak bait-bait nasihat yang diungkapkan oleh penceramah, Tuan Guru Zulkifli Muhammad Shuhaimi Syatiri dari Pondok Sungai Dedak Kedah dalam syarahan beliau di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral malam ini. Ceramah beliau dilimpahi oleh jamaah surau sempena pelancaran dana amal untuk Pusat Pendidikan Islam an-Nur, Taman Austral yang kini meneruskan fasa pembinaan dan menyiapkan blok menempatkan bilik guru.

Benar seperti yang beliau ungkapkan, bahawa manusia adalah jenis makhluk atau baka yang mempunyai akhir hayat, justeru apakah yang diinginkan oleh setiap manusia pada akhir hayatnya? Adakah dia menginginkan kematian yang dipenuhi dengan kebaikan, serta saham amal jariah yang berpanjangan walaupun sesudah kematiannya? Atau dia mahu memenuhkan kehidupannya dengan kejahatan dan pulang ke sisi-Nya dengan dosa yang bertimbun tanpa mendapat keampunan-Nya?

Dari satu sisi, kebaikan yang hendak dilakukan oleh manusia di dalam kehidupan hendaklah berpandukan kepada al-Quran dan Hadith Nabi SAW serta tunjuk ajar para alim ulama’ sebagaimana seorang yang hendak bermusafir di dunia memerlukan panduan seperti peta, GPS, papan tanda dan sebagainya. Maka demikianlah juga kehidupan sebagai hamba Allah mestikan berpandukan sesuatu yang benar iaitu al-Quran dan Hadith baginda SAW.

Semoga nasihat-nasihat tuan guru akan dapat sama-sama kita manfaatkan.

Alhamdulillah, dalam keterbatasan masa, tenaga dan seumpamanya, Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah dapat menganjurkan Kursus Ibadah Qurban dan Penyembelihan pagi tadi di bilik kuliah 2 Masjid Negeri. Sebenarnya idea untuk mengadakan kursus berkenaan pada tahun ini sudah saya lontarkan sekitar sebulan lalu, tetapi ketika itu belum ada muafakat tarikh dan pembimbing atas beberapa sebab yang tidak perlu dinyatakan di sini.

Dua kertas kerja dengan dua pembimbing mengisi slot yang diamanahkan. Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim dengan  tajuk ‘ibadah qurban’ dan Ybhg Datuk Haji Asmali Bachi dengan topik ‘wakalah’. Ustaz Muchlish Ali Kasim memberi tumpuan kepada sejarah, keutamaan dan hukum asas ibadah qurban seperti hukum pelaksanaan, waktu penyembelihan, umur haiwan, masalah kecacatan atau aib haiwan, pembahagian daging qurban dan adab-adabnya. Sementara Datuk Haji Asmali memfokuskan tentang masalah berwakil ketika berqurban, kerana ramai orang yang berqurban tidak menghadiri majlis qurban dan hanya mewakilkan kepada pihak penganjur, maka kaedah berwakil dan adab-adabnya perlu difahami.

Jujurnya kesuntukan masa dalam menghebah dan mempromosikan program menyebabkan kehadiran agak kurang memuaskan. Berdasarkan pengalaman kami menganjurkan kursus, walaupun hebahan dibuat di Masjid Negeri Sabah melalui pengumuman sebelum azan jumaat, notis iklan di papan kenyataan, promosi di blog, facebook dan sms, biasanya sambutan tetap berkurangan. Strategi yang agak memenatkan, gaya lama tetapi berkesan ialah menghantar surat undangan ke masjid-masjid dan surau.

Ia kami lakukan ketika menganjurkan seminar azan tempohari. Kehadirannya lebih 200 orang, surat dan maklumat sampai ke masjid dan surau kerana ia berbentuk surat rasmi kepada pengerusi dan imam. Tetapi ia memerlukan kerja keras, bergerak ke masjid-masjid dan surau-surau, dan masa yang lebih luas kerana petugas adalah sukarelawan, bukan pekerja sepenuh masa. Kerja-kerja menghantar surat dibuat pada hujung-hujung minggu dan untuk kepuasan, ia dibuat oleh sukarelawan sendiri, bukan dikirimkan kepada sebarangan orang.

Insya Allah kualiti penganjuran perlu dan akan dipertingkatkan pada masa akan datang, dan kami sangat memerlukan tenaga sukarelawan untuk membantu kerja-kerja ini. Kasihan juga sahabat-sahabat yang mengendalikan pelbagai kursus terpaksa bertungkus lumus daripada awal sehingga ke akhirnya. Daripada bab kerja susun kerusi, kebersihan, jaga kaunter pendaftaran, pengacara majlis, jaga jamuan, tahniah kepada Tuan Haji Mohd Pozi Awang, Chef Abdullah Ahmad, Ribbang Haji Ampong, Cikgu Zainal Yussuf dan lain-lain. Semoga ada pahala untuk kalian.

AKAN PINDAH

Saya dipindahkan ke sini.

Mengejutkan.

Saya dimaklumkan petang tadi surat pertukaran beberapa orang pegawai JHEAINS dan nama saya terkandung di dalamnya. Surat itu, arahan pertukaran nama yang terlibat adalah bersifat serta merta. Walaubagaimanapun, berdasarkan amalan biasa, surat melapor diri ke tempat baru akan dikemukakan dalam masa terdekat, hanya tarikh mula bertugas akan dibincangkan kemudian.

Ketua saya juga terkejut dengan perpindahan saya. Maklumlah, bilik saya bersebelahan dengannya dan saya salah seorang teman bualnya khususnya berkenaan isu-isu dakwah dan isu semasa. Jujurnya saya tidak ada memohon secara rasmi dan bersurat walaupun saya pernah menulisnya. Hanya pernah meluahkan isi hati melalui pertemuan saya dengan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Islam, itu pun rasanya sudah lebih setahun lalu. Alhamdulillah, beliau memahami dan saya meyakini beliau amat berperanan.

Orang pertama saya maklumkan ialah isteri saya. Dan masih ramai rakan-rakan belum mengetahui pertukaran itu. Allah SWT maqbulkan doa saya sejak Mac 2010, ketika kami menunaikan umrah. Saya panjatkan doa ketika tawaf, di hadapan maqam ibrahim, di multazam, hijir ismail, di raudhah bahkan sesudah pulang ke tanahair. Sedikitpun saya tidak benci bahagian saya bertugas sekarang, kerana saya mempunyai ketua dan rakan-rakan sepejabat yang baik dan memahami.

Hanya di tempat baru ini memang sudah lama saya impikan, demi al-Quran yang berada di dalam hati saya. Atas kelemahan diri, saya memerlukan suasana dan lokasi yang kondusif untuk menjaga al-Quran ini. Insya Allah saya akan melapor diri minggu hadapan kepada puan pengetua di sana. Bila mula bertugas, akan dibincangkan nanti. Semoga Allah memudahkan urusan dan memberikan yang terbaik untuk saya dan kita semua.

Khatib : Ustaz Haji Abu Hurairah Abdurrahman

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

Firman Allah SWT :

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil) : “Sesungguhnya Aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab : “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa. “Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku pula tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang mentadbirkan sekalian alam;

“Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri, maka dengan itu engkau menjadi ahli neraka, dan itulah balasan orang-orang yang zalim”. Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya, oleh itu dia termasuk golongan orang-orang yang rugi. Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata : “Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?” kerana itu ia termasuk golongan orang-orang yang menyesal.” (al-Maidah : 27-31)

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya; dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya” (al-Hajj : 37)

“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (setelah itu) Allah berfirman : “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata : “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman : “(Permohonanmu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.” (al-Baqarah : 124)

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya : Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” (al-Baqarah : 214)

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah suci Makkah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahmu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (Ibrahim : 37).

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu ; maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Anaknya menjawab : “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami). Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

“Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!”. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. (as-Soffat : 102-111).

KEMBARA KE DUNIA SEMUT

Sumber : http://www.islam.gov.my/kembara-ke-dunia-semut

Oleh: Nurul Amira Abd Talib

Majalah Pendidik keluaran November/ Disember 2009

Tahukah adik-adik tentang kebesaran Allah dalam mencipta seekor semut yang merupakan binatang paling kecil di dunia? Tentu adik-adik tertanya-tanya siapa itu semut sebenarnya. Untuk pengetahuan adik-adik, semut merupakan haiwan serangga yang hidup secara bermasyarakat. Cuba adik-adik perhatikan. Apabila semut berjalan, semut akan berjalan secara berkelompok. Semut tidak seperti manusia kerana semut tidak membezakan antara yang kaya dan miskin.

Sebagai contoh mari kita lihat kehidupan semut Formica Yesensis, yang hidup di pantai Ishikari, Afrika. Masyarakat semut ini tinggal di 45,000 sarang yang saling berhubung di wilayah seluas 2.7 kilometer persegi. Masyarakat yang memiliki sekitar 1 080 000 ratu dan 306 000 000 pekerja ini dinamakan sebagai “masyarakat super’’ oleh para pengkaji. Para pengkaji mendapati bahawa semua alat produksi dan makanan ditukar dalam masyarakat semut secara teratur tanpa sebarang masalah dalam tempat yang sedemikian luas.

Ratu semut ditugaskan untuk meningkatkan jumlah semut dengan menghasilkan sejumlah telur. Dalam sesebuah masyarakat semut akan terdapat lebih dari satu ratu. Tubuh ratu lebih besar dari tubuh semut yang lain. Manakala tugas semut jantan hanya mengawan dengan sang ratu. Hampir semua semut jantan mati setelah mengawan.

Sang semut juga memiliki disiplin yang sangat mirip dengan ketenteraan. Namun, dalam ketenteraan semut, tidak mempunyai sang perwira tetapi mereka menjalankan tanggungjawab dengan sempurna. Cuba adik-adik fikirkan bagaimana seekor haiwan biasa mampu mempunyai disiplin sedangkan golongan serangga ini tidak dikurniakan akal fikiran seperti kita manusia. Mereka sangat berdisiplin dengan amanah yang diberikan kepada mereka. Setiap kelompok semut mempunyai tugas masing-masing.

Misalnya semut penjaga pintu. Untuk pengetahuan adik-adik, sarang semut dihubungkan dengan dunia luar melalui lubang kecil yang hanya berukuran seperti saiz seekor semut. Untuk melalui lubang ini setiap semut perlu meminta izin daripada semut yang bertugas sebagai penjaga pintu. Penjaga pintu bertugas menutup pintu dengan kepalanya yang sesuai dengan lubang masuk. Lebih menarik, warna kepalanya sama dengan warna kulit pohon dimana sarang itu berada. Semut yang dipertanggungjawabkan menjaga pintu akan duduk berjam-jam di lubang masuk dan hanya membenarkan semut-semut dalam masyarakatnya sahaja untuk melalui pintu itu.

Istimewanya sang semut adalah kerana persahabatan yang murni antara mereka. Golongan serangga ini sanggup berkorban apa sahaja. Misalnya jika berlaku kekurangan makanan dalam masyarakat semut, semut pekerja akan berubah menjadi semut pemberi makanan kepada semut-semut yang lain dengan partikel makanan yang ada dalam perut mereka. Apabila masyarakat berlebihan makanan, mereka akan ber-tukar menjadi semut pekerja. Ini adalah satu pengorbanan yang cukup tinggi, jauh mengatasi pergorbanan yang boleh dilakukan oleh manusia. Semut sanggup memberi segala milik mereka kepada semut lain tanpa rasa ragu agar semut lain tetap hidup, sedangkan di dunia hari ini ramai manusia yang mati kelaparan tanpa mendapat bantuan makanan secukupnya.

Firman Allah SWT, “Hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut: Hai semut-semut masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.” (an-Naml : 18 )

Semut juga merupakan makhluk yang sungguh luar biasa. Kajian membuktikan bahawa golongan serangga kecil ini memiliki jaringan komunikasi yang luar biasa. Semut mempunyai kaedah komunikasi yang cukup canggih kerana pancaindera mereka sangat peka. Ia digunakan pada setiap ketika. Terdapat 500,000 sel saraf yang termuat dalam dua atau tiga milimeter tubuh mereka. Oleh itu, adik-adik perlu tahu bahawa sekecil-kecil serangga ini, ia tahu meletakkan dirinya di tempat yang sewajarnya.

Adik-adik perlu menjadi seperti semut, walaupun kecil tetapi kualiti kehidupannya sangat bermakna. Semoga adik-adik menjadi seorang kanak-kanak yang kecil fizikal tapi besar mentalnya.

%d bloggers like this: