Archive for Januari, 2009


AL-FATIHAH BUAT ISMAIL GHAFFAR

Rupanya ahad lepas kira-kira 10.25 pagi, saudara Ismail Ghaffar, 28 tahun, disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Queen Elizabeth. Alahyarham Ismail disemadikan di kampungnya di Pitas.

Saya hanya mengetahui berita ini malam tadi sekembali dari Jakarta. Ketika ia berlaku, kami sedang berada di Bandung.

Sebenarnya, semasa di dalam wad lagi, doktor ada memberitahu pendarahan yang teruk di bahagian kepalanya. Jantungnya berdenyut hanya dengan bantuan alat pernafasan.

Sementara keluarganya kehilangan seorang anggota, kami pula kehilangan seorang sahabat yang periang.

Saya mengamati dengan penuh keinsafan, dengan peristiwa yang menimpa seorang rakan dan junior yang baik serta boleh dikatakan rapat, menyentuh hati dan naluri bahawa ajal tidak mengira umur.

Semoga keluarganya tabah menghadapi musibah ini, sementara kita pula mesti mengambil iktibar. Al-Fatihah.

SEBELUM PULANG

Pagi selasa, beberapa jam sebelum keluar hotel untuk kembali ke Malaysia, kami terkejut membaca berita ‘lompat kijang’ Datuk Nasaruddin Hashim, 58 tahun dari UMNO-BN ke Pakatan Rakyat.

Berita itu dimuatkan dalam koran (akhbar) Media Indonesia, selasa 27 Januari. Nampaknya media Indonesia berminat dengan perkembangan politik Malaysia.

Cuma artikel itu kurang jelas sama ada dia ahli parlimen atau ADUN. Sampai di rumah malam tadi, baru tahu bahawa beliau adalah ADUN Bota, Perak.

Petikan daripada Media Indonesia

Petikan daripada Media Indonesia

Gambar yang diemelkan melalui Yahoo Messengger oleh kakak saya untuk tatapan bersama khusus buat ahli keluarga yang setia melayari blog ini.

Jangan lupa agar masing-masing kirimkan doa untuk keampunan dan kesihatan bapa dan mama.

Sebenarnya sejak kecil saya asalnya memang malas ke sekolah tadika. Bayangkan ketika tadika yang tidak jauh letaknya dengan rumah, seingat saya lebih banyak ponteng berbanding hadir ke kelas. Masih terbayang saya pernah bersembunyi di bawah kerusi. Bawah kerusi, bukan bawah meja!

Tapi di rumah saya rajin buat latihan yang disediakan oleh bapa yang juga seorang guru. Ketika itu dia adalah pengetua SMK Membedai WP Labuan. Ketika konvo tadika 1985, saya mendapat anugerah murid terbaik. Entah pasal apa pun nda taulah.

Ketika darjah 4 di SK Pekan 2 WP Labuan, saya pernah mengikuti kursus kewartawanan anjuran Persatuan Penulis WP Labuan (PERWILA), yang kebetulan bapa saya adalah setiausahanya ketika itu.

Ingat lagi yang memimpin kursus itu ialah bekas pengarang akhbar Sabah Times iaitu Encik Emin Madi. Oleh kerana bapa saya adalah urusetia kursus, dia duduk berdekatan Encik Emin dan saya pula duduk bersebelahan dengan bapa saya di hadapan.

Diajarlah teknik menulis berita, yang saya rasa tidak sesukar mana kerana saya selalu melihat bapa saya menulis berita akhbar untuk dihantar ke Kota Kinabalu sebelum disiarkan. Saya masih ingat teknik 5W 1H itu.

Apabila Encik Emin memberikan beberapa fakta untuk masing-masing mengarang berita, saya pun mula menulis. Geram juga apabila saya dapat menulis sebuah berita menurut kaedah yang betul itu, saya dimarah Encik Emin pula. Saya dituduhnya meniru.

Entah adakah itu hanya gurauan atau tanda kehairanannya, itu memang mencabar saya kerana beranggapan dia tidak percayakan saya yang menulis sendiri berita berkenaan.

Ketika darjah 4 itulah saya menulis berita untuk siaran akhbar buat pertama kalinya sempena sukan sekolah pada 1989 yang diadakan di Kompleks Sukan Labuan. Saya menulis, bapalah yang menghantar ke akhbar Sabah Times.

Ketika di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah, saya menjadi AJK Sidang Redaksi Majalah sekolah, bahkan ketika di tingkatan 3 sudah menjadi jurugambar sekolah. Terdapat juga beberapa tulisan saya di majalah USWAH itu.

Semasa mengaji di Mesir pula, saya sering menulis emel kepada sahabat-sahabat dan keluarga menceritakan peristiwa yang berlaku di Mesir dalam bentuk catatan perjalanan. Pernah juga menulis ke ruang surat pembaca Harakah dan beberapa laman-laman web yang masyhur ketika itu.

Tidak ketinggalan pernah menulis beberapa artikel kempen bersama sahabat lain ketika siswa Sabah di Mesir menghadapi pilihanraya memilih pimpinan mahasiswa Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM). Manis kenangan itu, apabila calon yang kami letakkan menang 12-0.

Kini, muncul pula medium baru untuk menulis di arena blog. Ia bagai luahan peribadi untuk tatapan bersama. Insya Allah, saya akan meneroka satu dunia baru pula, menulis buku selepas ini yang baru saya mulakan seminggu lalu.

TANGAN USTAZ MAD SEPANGGAR

Harap-harap catatan ini tidak dianggap sebagai mengumpat Ust Mad. Rasanya Ust Mad juga adalah pengikut setia blog ini.

Tetapi siapa perasan apabila melihat Ust Mad beraksi dalam ceramah, tazkirah, mesyuarat dan usrah, perhatikan tangan Ust Mad yang bergerak aktif sama seperti mulut dan lidahnya.

Sebenarnya, gaya tangan, lenggok badan dan memek muka adalah sebahagian kaedah komunikasi untuk membantu bagi menyampaikan maksud maklumat yang ingin disampaikan. Ia dipanggil bahasa badan.

Sesiapa yang belum pandai tentang bahasa badan ini, bolehlah berguru dengan Ust Mad Sepanggar. Rasanya selepas ini, tangan Ust Mad akan jadi perhatian pula. Perhatikan gambar-gambar ini…

 

 

 

Lapan puluh pelajar sekolah menengah terdiri 37 perempuan dan 43 lelaki mengikuti program berkenaan yang dianjurkan oleh Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Cawangan Sabah dengan kerjasama Masjid Nurul Hikmah yang menjadi lokasi program.

Pelajar-pelajar berkenaan terdiri dari SM La Salle, SMK Sanzac,  SMK Kolombong, SMP Likas, SM Teknik, SM St Peter  Telipok dan SMK Tebobon.

Program yang bermula dengan pendaftaran jam 7 pagi semalam dan dijangka berakhir menjelang zuhur hari ini dipimpin oleh Ust Md Khaidir Ishak dibantu oleh Ust Amir, Sdr Nordin Saad, Ust Shahir dan beberapa tenaga lain.

(Simpati buat Che’gu Jamil yang terpaksa balik ke Perak atas urusan keluarga tengahari semalam).

Terdapat beberapa ceramah berkaitan dengan mukjizat al-Quran, sejarah bible, perbandingan agama Islam dan Kristian dan sebagainya. Selain itu diselitkan juga Latihan Dalam Kumpulan (LDK) untuk memahirkan peserta tentang tajuk yang diberikan.

Fasilitator dijemput khas dari UMS dan Persatuan Siswazah Sabah (PSS) yang diketuai oleh Sdr Fairuz Bend dan mereka banyak membantu program ini sehingga berakhir dengan jayanya.

Program akan ditutup oleh Ust Bungsu Aziz Jaafar selaku Timbalan Pengerusi PUM Negeri Sabah.

Mudah-mudahan program seumpama ini akan memberi impak yang baik untuk melahirkan pelajar yang mantap aqidah Islamiyyahnya, kasihkan Allah dan RasulNya serta tidak mudah terpedaya dengan dakyah agama lain yang mengancam umat Islam akhir-akhir ini.

Terima kasih dan tahniah buat semuanya yang terlibat.

Dari lokasi masjid tertinggi, di Pusat Islam UiTM jam 8 pagi tadi saya menyampaikan ceramah berkaitan aqidah dan kecemerlangan.

Di hadapan kira-kira 200 siswa siswi baru itu, saya menjelaskan kecemerlangan dunia akhirat dan kaitannya dengan aqidah.

Ada kawan-kawan yang bukan Islam, nampak baik tetapi rugi sebab tidak beriman kepada Allah SWT. Ada orang Islam pula, cukup mengucap 2 kalimah syahadah di bibir tanpa bukti amalan. Sembahyang tidak, puasa tidak, sedekah tidak, berjudi tidak, minum arak pun tidak.

Jadi kecemerlangan itu bermula dengan aqidah yang sahih dan mantap.

Dalam petunjuk hadith-hadith Nabi SAW juga menjelaskan kaitan iman dengan kemasyarakatan. Sering kita mendengar hadith sedemikian, iaitu iman dikaitkan dengan kejiranan, tamu, menjaga lidah, mengasihi orang beriman lain, dan seumpamanya.

Perkara itu juga saya kaitkan dengan persoalan kubur, soal jawab di dataran mahsyar supaya dalam hidup ini kita tidak melakukan sesuatu perbuatan dengan semberono saja.

Jadi jelaslah bahawa iman itu bukan sekadar ucapan di bibir, tetapi dibuktikan dengan amalan, sama ada hubungan kepada Allah atau hubungan sesama manusia.

Ceramah berakhir 9.20 pagi dengan laungan takbir sebanyak 3 kali.

ANJING MABUK

Tengah malam tadi selepas menziarahi Sdr Ismail, saya ke Pasir Putih untuk gantung banner PASTI di beberapa lokasi. Tapi mungkin Ridhuan sudah tidur agaknya. Nda apalah.

Tapi keluar dari kawasan taman itu dan melepasi perlahan laluan Kompleks Belia, tiba-tiba kelisa saya diterjah tiba-tiba oleh seekor anjing, mabuk agaknya.

Entah apa jadi dengan anjing tu, tapi hampir ke simpang empat saya berhenti sekejap melihat apa sudah jadi dengan hadapan kelisaku. Kemalangan lagi sekali..

p1240020

Memang mabuk anjing tu..

Sebentar lagi saya akan menyampaikan ceramah di Pusat Islam UiTM Kota Kinabalu berkenaan aqidah. Khabarnya peserta mencecah 100 siswa siswi baru. Ceramah dijadualkan pada jam 8.00 dan berakhir 9.30 pagi.

Pada jam 10 pagi pula bergegas ke Jabatan Pelajaran di bangunan KUWASA mengajar mengaji beberapa pegawai pendidikan sekejap dan berakhir jam 11 pagi.

Kemudian saya akan bergerak pula ke Menara Petronas di Sembulan yang tidak jauh dari KUWASA, menyambung kelas Tajwid al-Quran buat pegawai di sana pada jam 11 pagi sehingga 1 tengahari.

Minggu ini tidak ada jadual sebelah petang tetapi Insya Allah saya akan berkunjung ke Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang kerana  sebenarnya hari ini bermula Kursus Pemantapan Aqidah anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Cawangan Sabah kepada 70 pelajar yang dipilih dari beberapa buah sekolah sekitar Kota Kinabalu.

Kursus ini dipimpin oleh Ust Md Khaidir Ishak dan Che’gu Jamil bersama kawan-kawan lain.

Sebelah malam pula ada majlis ‘Malam Bersamamu Palestin’ anjuran bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah, JAKIM, JHEAINS dan CONCERN di Dewan Saadah Wisma MUIS mulai jam 8 malam.

Mohon maaf tidak dapat terlibat banyak dalam kursus aqidah dan program Palestin ini kerana menjelang 8.50 malam  nanti saya akan bertolak ke Jakarta bersama beberapa sahabat. Persiapan pakaian dan sebagainya belum selesai semuanya.

Tiba di Jakarta pada jam 11.40 malam dan terus ke Bandung. Kembali ke Jakarta mungkin tengahari isnin dan insya Allah kami dijangka kembali pada selasa malam rabu dengan membawa cerita-cerita enak dari Jakarta dan Bandung.

“Wak! Sirap bandung satu!”

USTAZ ISMAIL GHAFAR KRITIKAL

Seorang sahabat kami ketika di Universiti al-Azhar Mesir, Ismail Ghafar dari Pitas yang kini bertugas sebagai guru JQAF di SK Salimandut telah ditimpa kemalangan pagi tadi di Pitas.

Maklumat mengatakan Ismail dari rumah menuju ke sekolah sekitar jam 9 pagi.

Di satu selekoh, dia bertembung dengan sebuah kereta lain yang kemungkinan memandu laju sehingga termasuk ke laluan bertentangan.

Ismail dikatakan mengelak sehingga kenderaannya berpusing di tengah jalan, dan dia sendiri terhumban keluar, sementara kereta yang satu lagi masuk ke dalam parit. Begitulah dikhabarkan.

Kini saudara Ismail berada di ICU Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Menurut laporan awal doktor yang memeriksa mengatakan bahawa keadaan Ismail terlalu kritikal kerana kecederaan parah di bahagian kepala.

Ismail Ghafar sudahpun berumahtangga dengan seorang guru yang sama mengajar dengannya. Walaubagaimanapun, kini isterinya berada di kampung asalnya di Negeri Sembilan kerana baru bersalin sebulan lalu.

Menurut cerita, hari ini Ismail dijadual ke Negeri Sembilan untuk menziarahi isteri dan anaknya kerana cuti empat hari sempena Tahun Baru Cina.

Saya sempat berkunjung sebentar tadi, dan sedih melihat keadaannya. Mata kirinya nampak lebam dan otaknya rosak akibat hentakan. 

Kelihatan sahabat-sahabat lama ketika di Mesir dahulu silih berganti datang ke wad di mana Ismail ditempatkan.

Antara yang datang berziarah tadi ialah Hj Norazlan @ Altboy, Saifuddin Matzin, Syed Mahadzir @ Onn, Hj Zuhaili, Ust Sufian Yatim, Firdaus Faizal @ Chal, Hafiz Ahmid dan ramai lagi.

Ketika di Mesir dahulu, antara kawan-kawan rapat beliau ialah Firdaus Faizal, Hj Salman, Hj Sahrum, Nubli dan Amirul.

p1240023

Gambar lama yang saya selongkar semula. Ia dirakam pada 12 Nov 2000 di hadapan Wisma Yayasan Sabah Kaherah (WYSK), Mesir. Ia diambil sempena perasmian bangunan Rumah Sabah oleh Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Panglima Osu Hj Sukam. Kelihatan dalam gambar Ismail Ghafar dua dari kanan (yang dibulatkan). Di kanannya ialah Ust Hj Abd Hamid Ridwan (kini di Masjid UIA Petaling Jaya), YB Datuk Hj Suhaili Said (kini ADUN Tungku), SS Datuk Hj Ahmad Alawi Hj Adnan (Mufti). Di belakang Suhaili ialah Datuk Hj Arifin Arif (kini ADUN Membakut). Mereka hadir selaku alumni al-Azhar Sabah dan memberi motivasi kepada kami.

Harap sahabat-sahabat di mana sahaja berada khususnya Azhariyyun di Mesir sana, dan juga sahabat-sahabat yang telah kembali ke tanahair, serta sahabat-sahabat J-QAF yang lain dapat mendoakan kesejahteraan beliau dan diselamatkan oleh Allah SWT.

Sementara kawan-kawan yang berdekatan di Kota Kinabalu diharap dapat berziarah ke Wad A Neurosurgery tingkat bawah bangunan lama HQE, berhadapan dengan taman. (Laluan ke surau).

KepadaNya kita berserah.

%d bloggers like this: