Tag Archive: Ramadhan


TAZKIRAH RAMADHAN (21-23)

YB Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (21)

Jika anda mahu makan rasuah, besar atau kecil atau mega, berbentenglah dalam kubu UMNO. Anda akan selamat. Sejak regim Tun Mahathir lagi, kubu itu dibina kukuh dan kini ia bagai sebuah kota yang ampuh. Tiada siapa boleh meruntuhkannya lagi.

Tetapi jika anda mahu lebih selamat, berbentenglah dalam kubu taqwa. Daripada makan rasuah, anda sebaliknya selamat daripada dimakan rasuah. Sejak zaman nabi Muhammad saw lagi, taqwa adalah sebuah kota yang tersergam megah bagi membentengi para penguasa dan rakyat daripada dimakan barah rasuah.

Semoga berbahagialah Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dan Tan Sri Ustaz Hj Azizan bin Abdul Razak yang telah kembali kepada Penciptanya dengan puji-pujian tanpa dipalit dosa rasuah.

Semoga istiqamahlah Dato Sri Tuan Guru Hj Abdul Hadi bin Awang yang telah berjaya memimpin negeri Terengganu tanpa palitan dosa rasuah untuk terus memimpin PAS dan mengajak ummah untuk berbenteng dengan kota Islam yang kukuh.

Yang paling mulia daripada kalangan manusia adalah yang paling bertaqwa kepada ALLAH. Taqwa adalah impian tertinggi bulan Ramadhan al mubarak. Marilah bersama kita berikrar menolak dan memerangi rasuah. Rasuah adalah musuh utama negara. Ia ketagihan para penguasa tanpa taqwa.

*****

Tazkirah Ramadhan (22)

Takut kepada ALLAH itu bermula dengan mengenal ALLAH. Mengenal ALLAH bermula dari kotak fikir yang murni. Ia kemudiannya menjalar ke dalam hati lalu membersihkannya daripada syirik.

Hati yang bersih menyinarkan kesemulajadian fitrah yang telah sedia tercipta dalam diri mengenali dan memperakui ALLAH sebagai ILAH yang disembah. Fitrah yang suci itulah yang menggegarkan seluruh tubuh badan dek takut dan taqwa kepada ALLAH.

Ramadhan berakhir dengan Eidul Fitr, hari raya bagi meraikan kejayaan diri menyucikan fitrah daripada kelam noda duniawi dalam diri. Ia hari bersyukur di atas sebesar-besar nikmat-NYA ke atas hamba-NYA yang terpilih.

Jika dirimu ingin tahu, sudah berjayakah dirimu memenangi Ramadhan, maka janganlah engkau sekadar membilang banyak mana solatmu, qiammu, tilawahmu, sedekahmu dan zikirmu. Tetapi kembalilah ke lubuk hatimu dan tanyakan, adakah engkau sedang merasai kehangatan takut dan cinta kepada tuhanmu?

Itulah cinta dan takut yang akan membawamu menuju kejayaan hidup pada menjunjung tauhid dan menolak syirik. Engkau menjadi tenteram dengan solat dan tadabbur al Quran. Engkau menjadi pejuang siang dan malam melangsai amanah menegakkan syariat ALLAH di muka bumi. Engkau bangga dan bersyukur menjadi umat nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.

*****

Tazkirah Ramadhan (23)

Rahmat dan kasih sayang ALLAH adalah untuk semua hamba-NYA yang berdosa kecuali:
– Mereka yang takbur dan sombong.
– Mereka yang bangga dan bersahaja dengan dosanya.
– Mereka yang menentang ugama dan syariat-NYA.
– Mereka yang putus asa daripada rahmat dan kasih-NYA.

Maka marilah berazam untuk menjauhi sifat-sifat terkeji tersebut dengan sentiasa khusyu’, hina diri di hadapan-NYA, sedih dan menyesal terhadap dosa, menyokong dan memperjuangkan ugama-NYA serta yakin dengan kerahmatan dan belas kasih daripada-NYA.

*****

 

Tarikh : 30 Jun 2016

Lokasi : Dewan Jubli Perak SMK Majakir Papar

20160630_10423320160630_104205 20160630_104239 20160630_104349 20160630_114504 20160630_114521 20160630_114927

Tarikh : 27 Jun 2016

Lokasi : Lobi Kompleks Bersepadu KKMM

20160627_180356 20160627_194939 img-20160627-wa0107

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (16)

Sebaik mana dan seadil mana seseorang itu, tetap adalah kekurangannya. Sejahat mana dan sezalim mana seseorang itu, tetap adalah kelebihannya. Tapi takkan sama antara keduanya. Yang baik dicontohi dan dibaiki kekurangannya. Yang buruk dijauhi, cuma dicontohi kebaikannya.

Justeru janganlah menerima pemimpin yang jahat kerana kebaikannya. Tolak mereka dan ambil saja kebaikannya. Sebaliknya, junjunglah dan contohilah pemimpin yang baik. Kekurangannya pasti terbaiki di tanganmu.

*****

Tazkirah Ramadhan (17)

Orang yang kurang kesungguhannya pada awal Ramadhan tetapi menambah dan memperbaikinya di akhir Ramadhan adalah lebih baik daripada orang yang bersungguh-sungguh pada awal Ramadhan tetapi layu di akhir Ramadhan.

Di dalam satu hadis:

إنما اﻷعمال بخواتيمها

“Sesungguhnya segala amalan itu dikira berdasarkan penamatnya.”

Justeru bangkitlah wahai tetamu Ramadhan pada 10 terakhir Ramadhan ini. Baikilah segala yang kurang dan cacat. Semoga ALLAH menganugerahi kita yang terbaik sepanjang umur kita ini.

*****

Tazkirah Ramadhan (18)

“Seterusnya, dipersilakan Mek binti Awang…” ujar Bilal Khairul Azwar, selaku pengacara mempersilakan dia untuk menerima sumbangan Ramadhan. Program ini diadakan di Masjid Muhammadi Kota Bharu selepas Kuliah Asar hari pertama puasa pada tahun ini.

Mek tampil ke depan menuju ke arah YB SS Dato’ Mufti Negeri ini yang sedang mengagihkan sumbangan itu. Mek tersenyum. ” Dato’, Mek inilah satu- satunya ahli jemaah Muslimat yang hadir solat berjemaah sewaktu Banjir Besar 2014, di Masjid Muhammadi ini. Orang lelaki hadir sembahyang hanyalah empat orang sahaja solat Subuh, Mek ini mengharungi air bah besar untuk mari solat…” beritahu ambo kepada Dato’ Mufti. Mek hanyalah tersengih. Dato’ Mufti juga tersengih, menyerahkan sumbangan tersebut kepada Mek.

Hari ini, Mie Kerani, staf ambo yang menguruskan urusan pengurusan jenazah di masjid ini telah memaklumkan kepada ambo bahawa Mek telah meninggal dunia tadi. Ambo terkejut kerana sehari dua ini ambo ada berseloroh dengan dia di kala berselisih di lorong kediamannya. Dia ketawa kerana ambo memujinya yang sentiasa awal ke masjid.

“Mek rebah ketika sedang membaca al Quran di masjid kita kelmarin. Terus tidak kabar. Dia dibawa ke hospital. Hari ini disahkan meninggal. Gemulah ini pesan, sekiranya dia meninggal, hendaklah diuruskan segalanya di masjid kita, jangan dibawa balik ke rumah lagi. Gemulah ini berpesan sebelum rebah lagi….” ujar Mak Nik Sah, guru al Quran kepada Mek dan juga Muslimat lain di masjid ini.

Kami menerima pesanan Mek ini. Jenazah beliau dimandi, dikapan dan disolatkan di Maajid Muhammadi petang ini.

Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun…
Allahummaghfir laha, warham ha, wa ‘afiha wa’fu ‘anha…

Kembalinya Mek di bulan mulia
Menemui Penciptanya Yang Maha Esa
Rebah tidak kabar di masjid yang dicinta
Dimandi, dikapan, disolat sangatlah mulia
Solat diimamkan oleh Tuan Imam Tua
Meskipun di dunia tidak sempat berhariraya
Namun akan berhariraya di akhirat sana

Sejujurnya, ambo terasa kehilangan dia..
( Mek binti Awang – Lahir 1938, Meninggal 26 Jun 2016 )

Catatan Sebelum Iftor
Imam Tua
Masjid Muhammadi Kota Bharu
Ahad, 21 Ramadan 1437H

*****

Tazkirah Ramadhan (19)

Beruntunglah kita dengan rahmat-NYA yang luas meliputi segala..

Walau banyak dosa kita, kita masih seorang MUSLIM yang kekal di jalan-NYA yang lurus.

Walau berulang-ulang maksiat kita, kita masih seorang MUKMIN yang diseru-NYA dengan penuh kasih dan sayang.

Walau keras hati kita, kita masih mendengar ketukan lembut panggilan-NYA

Walau begitu lalai dan alpa kita, kita masih melihat lambaian pintu taubat-NYA yang luas.

Tuhanku,

Ampunilah dosaku
Maafilah kesalahanku
Tutupilah keaibanku
Afiatkanlah tubuhku
Kasihanilah diriku

Tuhanku,

Bersihkanlah hatiku
Cerahkanlah dadaku
Sempurnakanlah imanku
Tambahkanlah amal solehku
Tinggikanlah darjatku

Tuhanku,

Muliakanlah diriku
Berkatilah umurku
Bahagiakanlah hidupku
Terimalah daku
Hidup dan matiku..

*****

Tazkirah Ramadhan (20)

Jika hidupmu penuh aman, maka ketahuilah bahawa hidup umat nabimu penuh ketakutan. Bagaimana engkau boleh merasa aman daripada pertanggungan di hadapan ALLAH nanti?

Jika hidupmu senang lenang, maka ketahuilah saudara seIslammu di mana-mana sedang hidup dalam kesempitan. Bagaimanakah engkau boleh hidup senang sedang engkau melihat kesempitan di sekelilingmu?

Jika hidupmu penuh bebas, maka ketahuilah ugama Islammu terpenjara di mana-mana. Bagaimana engkau boleh merasa bebas membiarkan Islammu diperhambakan musuh?

Jika keamanan milikmu, maka ketahuilah ia adalah milik umat nabimu juga. Engkau merampasnya tanpa belas kasihan.

Jika kesenangan milikmu, maka ketahuilah saudaramu juga berhak hidup senang sepertimu. Engkau meragutnya demi kepentingan diri sendiri.

Jika kebebasan milikmu, maka ketahuilah itu adalah pemberian dan anugerah ugamamu. Engkau memerangkapnya dengan penuh kezaliman.

Ketahuilah Ramadhan hadir untuk mengingatkan dirimu akan kesalahan dan jenayahmu terhadap ugama dan umatmu. Masihkah engkau lalai?

Segala nikmat adalah daripada-NYA. Segala nikmat mestilah dikembalikan demi ugama-NYA. Hidup mati adalah untuk ALLAH tuhan semesta alam.

Tarikh : 22 Jun 2016

Lokasi : Masjid Nurul Hidayah, Kg Wonod Telupid

Pengisian : Qiyamullail, Makan Sahur, Subuh Berjamaah dan Tazkirah.

20160623_035450 20160623_041706 20160623_041849c360_2016-06-23-05-40-29-211 c360_2016-06-23-05-40-39-181img-20160623-wa0000img-20160623-wa0012

TAZKIRAH RAMADHAN (15)

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (15)

Anda harus berubah. Bahkan anda kena berubah. Tetapi biarlah ia perubahan yang akan membina anda. Perubahan yang membina pula hanya berlaku apabila ianya berubah menuju syukur dan taat.

Adapun berubah tanpa menambah taat dan syukur, itu bukan berubah namanya. Itu hanyalah berputar dari satu gelap ke satu gelap yang lain. Ia menjunamkan ke lembah binasa.

Justeru beriktibarlah bahawa Ramadhan bukanlah calang-calang perubahan. Ia bukan soal berubah makan dan minum. Ia bukan soal tubuh yang letih dan lemah. Ia bahkan satu proses perubahan dari dalam diri. Daripada maksiat kepada taat. Daripada kufur kepada syukur. Daripada lalai kepada khusyu’.

Itulah maksud perubahan. Itulah tuntutan Ramadhan anda, Ramadhan kita semua. Jom hayati Ramadhan dari dalam diri, dengan hati, jiwa, naluri dan sanubari.. “..sehingga mereka mengubah apa yang ada di dalam diri mereka.” – al ayat

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (14)

Kita menghampiri 10 terakhir Ramadhan. Ia adalah seruan perlumbaan menuju ALLAH pada puncaknya. RasuluLlah صلى الله عليه وسلم digambarkan begitu ceria dan bersungguh-sungguh menghidupkan malam-malam akhir Ramadhan sehingga baginda turut menyuruh ahli bait baginda untuk turut bersama.

Malam Lailatul Qadr adalah janji ILAHI yang agung. Malam 1000 bulan yang penuh kesejahteraan dan kebahagiaan. Berbahagialah mereka yang memperolehinya dan rugilah mereka yang diharamkan daripada mengecapinya. Bayangkan, amalan semalaman ditukar menjadi amalan lebih 80 tahun!

Itulah matlamat pensyariatan ibadah di bulan Ramadhan yang mulia ini. Ia adalah perisytiharan bahawa ALLAH adalah tuhan yang maha pengasih dan maha penyayang terhadap para hambaNYA.

Justeru mari persiapkan diri dengan jadual kehidupan yang terbaik untuk malam-malam akhir Ramadhan ini. Kesungguhan kita adalah tanda keikhlasan menagih janji dan kasih sayang rabbul jalil..

 

TAZKIRAH RAMADHAN (13)

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (13)

Kepada rakan-rakan yang menjadi penyebar pertama kalam-kalam nasihat dan motivasi almarhum ayahanda Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, saya sarankan agar disertakan juga dua perkara utama: Pertama, penerbit dan kedua, dari sumber mana kalam itu diambil.

Rujukan ini amat penting bagi mengelak perbuatan golongan yang beringan-ringan dan tidak bertanggung jawab sehingga menukilkan kalam yang bukan daripada ayahanda. Begitulah Islam mementingkan keaslian sumber yang sahih bagi menghidupkan hati-hati manusia dengan cara yang benar dan diredhai.

Semoga ALLAH menjadikan kita semua dari kalangan orang-orang yang berjaya membersihkan diri di bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan dan ketinggian ini.

TAZKIRAH RAMADHAN (12)

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (12)

Berkata al Syeikh Yusuf al Qaradhawi:

من لوث صيامه بالمعاصي؛ فقد أضاع على نفسه فرصة التطهر، ولم يستحق المغفرة الموعودة. وفي حديث جبريل:”من أدرك رمضان فلم يغفر له، فأبعده الله”.

Barang siapa yang mencemarkan puasanya dengan maksiat maka sesungguhnya dia telah benar-benar mensia-siakan peluang untuk membersihkan dirinya sendiri. Dia juga tidak lagi berhak untuk memperolehi keampunan yang dijanjikan ALLAH.

Di dalam satu hadis Jibril: “Barang siapa yang sempat bersama Ramadhan, tiba-tiba dia tidak juga diampuni, maka ALLAH akan menjauhkannya (daripada rahmatNYA).”

Sumber: twitter @alqaradawy

TAZKIRAH RAMADHAN (11)

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (11)

1)

قال فتْح بن سعيدٍ المَوصلي ت(220):
من أدَامَ النَّظَرَ بقلبِه أوْرَثَه ذلكَ الفَرحَ باللهِ .

– سير الأعلام للذهبي

Berkata Fath Ibn Saied al Mausiliy:

“Barang siapa yang sentiasa melihat (renung) dengan hatinya, itu akan warisinya rasa gembira dengan ALLAH.”

2)

قال بشر بن الحارث الحافي ت(227):
لا تعمل لتُذكرَ
اكتُم الحسنةَ كما تكتمُ السيِّئةَ .

– سير الأعلام للذهبي

Berkata Bisyr Ibn al Harith al Hafiy:

“Janganlah kamu beramal untuk disebut-sebut. Sembunyikan amal baikmu sebagaimana kamu sembunyikan amal burukmu.”

3)

قال بشر بن الحارث الحافي ت(227):
ما اتَّقى اللهَ من أحبَّ الشُّهرةَ.

– سير الأعلام للذهبي

Berkata Bisyr Ibn al Harith al Hafiy:

“Bukanlah takut pada ALLAH orang yang sukakan kesohoran.”

4)

قال بشر بن الحارث الحافي ت(227):
الجوعُ يُصفِّي الفؤادَ ويُميتُ الهَوى ويورثُ العلمَ الدقيق.

– سير الأعلام للذهبي

Berkata Bisyr Ibn al Harith al Hafiy:

“Kelaparan itu membersihkan jiwa, mematikan hawa nafsu dan mewariskan ilmu yang dalam.”

5)

قال الخليفةُ المأمون ت(218):
الناس ثلاثة
رجل مثل الغذاء لا بد منه
ورجل كالدواء يُحتاج إليه
ورجل كالداء مكروه على كل حال.

– سير الأعلام للذهبي

Berkata Khalifah al Makmun:

“Manusia itu ada tiga:
1) Lelaki yang umpama makanan. Tidak dapat tidak daripadanya.
2) Lelaki yang umpama ubat. Dia diperlukan.
3) Lelaki yang umpama penyakit. Dia dibenci dalam setiap keadaan.

%d bloggers like this: