Jika saudara berada di tanah besar Sabah dan ingin ke WP Labuan dengan jalan darat, ada beberapa tips yang perlu diikuti terlebih dahulu.
Jika saudara berhasrat menaiki bot laju, saudara tidak perlu terikat dengan masa ketibaan di pekan Menumbok.
Perkhidmatan bot laju disediakan antara Menumbok-Labuan-Menumbok seawal jam 7 pagi hingga jam 5 petang dengan kadar RM15.00, dengan kapasiti penumpang seramai 12-15 orang selama lebih kurang setengah jam perjalanan.
Saudara boleh meninggalkan kenderaan di kawasan-kawasan berdekatan, di perkarangan rumah penduduk dengan kadar sewa antara RM5 hingga RM10 ringgit sehari.
RM5.00 adalah tempat parking tidak berbumbung, manakala RM10.00 untuk parking berbumbung.
Tetapi jika berhasrat membawa kenderaan ke Labuan, adalah lebih baik saudara membeli tiket seminggu dua lebih awal terutama jika perjalanan itu pada waktu atau musim puncak, seperti cuti sekolah dan hari perayaan.
Caranya ialah dengan menghubungi pejabat feri wawasan perdana (Labuan Ferry Corporation Sdn Bhd) di Menumbok 087-831333, atau di Labuan 087-41333, 087-419333 (Fax).
Tanya kekosongan feri pada tarikh yang dikehendaki dan bank-in sejumlah wang ke akaun bank mereka. Saya tiada menyimpan no akaun mereka, dan boleh dihubungi melalui no telefon di atas.
Atau jika saudara punya kenalan atau keluarga di sebelah Menumbok atau Labuan, bolehlah meminta mereka belikan terlebih dahulu tiket berkenaan.
Perlu diingat, pengurusan feri tidak menerima sebarang booking tanpa apa-apa bayaran.
Kadar bayaran untuk sebuah kereta ialah RM40.00 sahaja dan cukai Jabatan Pelabuhan & Dermaga sebanyak RM14.00.
Yang penting, bayaran untuk kereta sebanyak RM40.00 dibayar awal, manakala bayaran cukai Jabatan Pelabuhan & Dermaga boleh dibayar sesudah mendapat boarding pass di Menumbok nanti.
Jika saudara membawa keluarga atau sahabat, bayaran untuk tiket ialah sebanyak RM5.00 seorang. Tidak ada bayaran untuk pemandu kenderaan dan kanak-kanak di bawah 3 tahun.
Waktu perjalananan dari Menumbok ke Labuan ialah pada jam 10.30 pagi dan 4.30 petang, manakala dari Labuan ke Menumbok ialah pada jam 7.30 pagi dan 1.30 petang.
Sebaik-baiknya saudara tiba di kawasan terminal Menumbok sejam sebelum perjalananan.
Ertinya jika memilih perjalanan 10.30 pagi, sebaik-baiknya tiba di sana jam 9.30 pagi atau lebih awal untuk urusan mendapatkan pas masuk, bayaran cukai Jabatan Laut dan tiket penumpang.
Tambahan lagi jika pelayaran pada musim puncak, jika saudara tiba lewat, kereta akan beratur panjang dan saudara akan berjalan kaki jauh selama 10-15 minit dengan cuaca panas terik menuju ke kaunter tiket yang penuh dengan ramai orang.
KK-MENUMBOK
Jika dari Kota Kinabalu, perjalanan saudara akan melalui Daerah Putatan, Kinarut, Papar, Kimanis, Bongawan dan Membakut.
Perjalanan KK-Membakut memakan masa tidak kurang sejam, manakala kira-kira 15 minit dari Membakut, sebelum tiba di Pekan Beaufort, saudara akan bertemu dengan simpang kanan by pass yang agak baru sebelum bertemu lagi satu simpang tiga.
Dari sana saudara akan belok kanan lagi dan memandu selama 20-25 minit sebelum tiba di simpang tiga. Kanan ke arah Pekan Kuala Penyu dan ke kiri ke arah Menumbok.
Perjalanan ke Menumbok dari sini mengambil masa juga antara 20-25 minit sebelum tiba di bulatan pekan Menumbok.
Laluan untuk ke feri Menumbok-Labuan berada di kiri saudara.
Selamat jalan dan selamat berkunjung ke WP Labuan, Pulau Mutiara Laut China Selatan.
alhamdulillah …. mudah2an dipermudahkan urusan ketika bermusafir. kalau2 ada kelapangan jom join konvoi amal ke pitas 23-24 ogos ni. dan uar2kan kepada yang lain sesiapa yang nak join. hubungi 0195367902 / 0198502525 sebelum khamis ni. ok..syukran.
terima kasih…..sy nak pergi besk.. terima kasih byk2
boleh saya dapatkan nombor telefon untuk pengangkutan bas express dari kota kinabalu ke menumbok?
Mcamana caranya untuk meninggalkan kereta di perkarangan rumah penduduk di menumbok? Walk in saja?
cari parking, bagitau tuan rumah dan terus bayar. rm10 sehari kalau parkir berbumbung, rm5 kalau terbuka.