Archive for Julai, 2012


BACA AL-QURAN

Ketika kami bermalam di asrama Kompleks Sukan Tawau pada tengah malam ahad hingga ke paginya, kami disambut oleh seorang pengawal keselamatan yang menjaga lokasi berkenaan sekaligus menjaga kaunter ketika ketibaan kami. Waktu itu masa sudah menunjukkan lebih jam 1 pagi.

Waktu sahur tiba, kami dibangunkan dan seorang sahabat di Tawau membawa bekalan untuk kami makan sahur berjamaah. Saya kemudiannya bergegas ke sebuah masjid untuk menyampaikan kuliah subuh atas inisiatif ‘Abang Dai’. Alhamdulillah, dalam letih itu sebenarnya saya penuhi hasrat mereka dan saya isi dengan topik berkenaan keutamaan tilawah al-Quran.

Menariknya sebelum kami bergerak untuk ke masjid, saya melihat abang pengawal keselamatan itu mengisi masanya asyik membaca al-Quran bersama-sama dengan tadarrus al-Quran yang disiarkan di televisyen. Allahu rabbi, amat jarang saya sebenarnya mengikuti siri-siri tadarrus al-Quran lewat televisyen. Namun rupanya rancangan sebegitu ada peminatnya sendiri. Abang sekuriti itu tenang dan khusyuk membaca bersama-sama dengan para peserta tadarrus di tv berkenaan.

Jelas abang sekuriti tau menghargai masa dengan tilawah al-Quran walaupun sekadar mengikut bacaan di televisyen. Mudah-mudahan beliau istiqamah dengan tilawah al-Qurannya, bermula dengan tv kemudian mencari guru untuk bertalaqqi pula.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ada sedikit ruang sebelum balik ke Tawau, saya dan sahabat-sahabat lain dijemput bertarawih di Surau al-Falah Taman St Paul Semporna. Surau comel yang dibina pada tahun 2002 ini boleh memuatkan sekitar 170-200 orang pada satu-satu masa.

Saya diminta menjadi imam tarawih dan menyampaikan tazkirah selepas rakaat ke-8 dan saya mengulas topik sedekah. Saya dimaklumkan pengimarah surau ini kebanyakannya para guru yang mengajar di sekitar daerah ini. Mereka bercerita juga tentang kontroversi pembinaan surau ini di peringkat awal dan penentangan yang berlaku oleh beberapa penduduk taman yang berhampiran.

Semoga surau ini terus makmur dengan aktiviti dakwah buat umat Islam dan masyarakat sekitarnya. Amin.

Sumber : http://sabah.pas.org.my/

Pada 31 Julai ini maka genaplah 25 tahun bertapak di Sabah. Sepanjang 25 tahun PAS berjuang di bumi di bawah bayu PAS terus berkembang. Bermula dengan 4 Kawasan iaitu PAS Kawasan Sandakan, Kinabatangan, Tawau dan Kota Belud kini telah berkembang  hampir melengkapi 25 kawasan parlimen di Sabah.

Walaupun belum menang dalam mana-mana pilihanraya yang disertai PAS tidak pernah kecewa mahupun berundur. Ini kerana PAS bukan sekadar sebuah parti politik semata-mata tetapi ianya juga sebuah badan dakwah dan tarbiah. Gerak kerja PAS akan terus berjalan sepanjang masa diseluruh pelusuk negeri Sabah.

Jika Ikhwan Muslimin mengambil masa 80 tahun untuk mengambil alih tampuk kuasa di Mesir, PAS percaya satu hari nanti perkara yang sama juga boleh berlaku di Sabah walaupun terpaksa menunggu 100 tahun lagi.

Bersempena jubli perak PAS Sabah, kami berhasrat menerbit satu catatan sejarah PAS yang lebih lengkap berdasarkan kajian, bahan dan dokumen daripada pelbagai sumber. Jika ada bahan-bahan yang boleh disumbangkan seperti gambar-gambar lama, dokumen-dokumen parti, keratan akhbar, diari dan sebagainya kami amat mengalu-alukannya.

InsyaAllah jika diizinkan Allah PAS Sabah akan menerbitkan sebuah buku perjuangan PAS selama 25 tahun di Sabah.

SESI PENGUBATAN ISLAM @ SEMPORNA

Antara tujuan ziarah kami ke Semporna ialah menyempurnakan satu sesi pengubatan Islam di PASTI Nur al-Islah. Kami tiba beberapa minit sebelum jam 10 pagi, dan kami dimaklumkan penduduk kampung sudah berada di lokasi bermula jam 8 pagi. Kasihan mereka, mereka tiba sedang kami masih berada di perut pesawat. Kemudian perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau menuju ke daerah ini juga mengambil masa lebih sejam.

Majlis berkenaan kami mulakan dengan ceramah ringkas sekitar 30 minit yang saya sampaikan berkenaan perkara khurafat dan kaedah rawatan yang akan dijalankan selepas itu. Tuan Haji Ahmad Kambar, Cikgu Zaidi dan saya kemudian mengambil tempat melakukan rawatan sehingga zuhur dan keseluruhannya dapat melakukan khidmat ini kepada lebih 50 orang peserta yang rencam asbab penyakitnya.

Antara yang akan saya kenang ialah seorang perempuan berumur 27 tahun tetapi bisu sejak kecil. Selain ujian bisu itu, kakinya sering bergetar pada masa-masa tertentu setiap hari yang menyebabkannya tidak dapat berjalan betul. Juga seorang suami yang mengalirkan air mata melihat isterinya sakit dibawa ke hadapan saya, tiada yang saya ucapkan kepada sang suami melainkan agar berdoa dan bersabar. Seorang ibu yang berumur lebih 90 tahun juga datang membawa harapan, dan kami menyatakan agar pergantungan kita kepada Allah SWT.

Di daerah ini juga kami dapat bertemu dengan sepasang suami isteri yang merupakan lepasan Darussyifa Melaka, syukur sang ustazah dapat membantu kami melaksanakan ibadah rawatan ini. Letih memang letih tapi kami bersyukur dapat membantu masyarakat di daerah ini. Insya Allah jika ada kelapangan akan berziarah lagi.

Bicara Selebriti yang diadakan 18 Julai 2012 di Balai Islam Kota Bharu yang menampilkan Mass Azzam iaitu Hero Ketika Cinta Bertasbih, Yatt Hamzah, Ana Raffali, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan juga moderator sensasi Amin Idris.

Sudah lama saya mendengar kewujudan satu-satunya Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di daerah Semporna. Saya dimaklumkan penubuhannya sejak tahun 2002 lagi dan ia mendapat sambutan hangat daripada umat Islam di daerah berkenaan. Kunjungan ke Semporna kali ini, dapatlah kami berziarah ke sana dan meninjau lebih dekat.

Jumlah semasa murid di PASTI berkenaan saat ini ialah seramai 160 orang dengan sesi pagi dan petang sentiasa padat dengan anak-anak murid mereka. Sebelum berpisah dengan sahabat-sahabat di sana, kami ada mencadangkan agar mereka menambah lagi premis PASTI di daerah berkenaan. Tempoh 10 tahun dengan sebuah PASTI yang padat sepatutnya sudah mewajarkan mereka menambah bilangan premis PASTI yang baru di kawasan yang lain pula.

Walaubagaimanapun, tahniah kepada semua pejuang-pejuang yang menghidupkan tarbiyah ugama melalui PASTI ini. Sila berkunjung dan berikan sokongan kepada PASTI Nur al-Islah di Jalan Persisiran Pantai, Kg Bubul Lama Semporna. Fb : http://www.facebook.com/pasti.semporna?sk=wall

Khatib : Ustaz Awang Juri Awang Tahir

Lokasi : Masjid al-Kauthar Kg Tanjung Aru Lama, Kota Kinabalu

 

Disyariatkan ibadah zakat bertujuan untuk mendidik diri kita supaya bersifat pemurah dan prihatin terhadap kesusahan insan lain. Allah SWT. juga memfardhukan ibadah zakat kepada hamba-Nya adalah untuk menyucikan harta dan dosa-dosa orang yang kaya dan memenuhi keperluan sara hidup bagi yang miskin. Bahkan amalan berzakat itu sebenarnya dapat mengukuhkan tali silaturrahim sesama manusia. Orang-orang fakir dan miskin akan mendoakan kebaikan kepada orang kaya yang pemurah. Ini akan menghilangkan perasaan benci, cemburu, marah si miskin kepada si kaya.

Manusia yang bersikap bakhil dan mementingkan diri sendiri, Allah SWT memberi ingatan dan ancaman kepada mereka sepertimana firman-Nya yang cukup keras di dalam surah Al-Haaqqah ayat 30 – 34 :

“(Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): “Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia, kemudian masukkanlah dia ke dalam neraka jahim; kemudian, belitlah dia dengan rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah yang maha besar dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makan (yang berhak diterima oIeh) orang miskin”.

Dalam sebuah hadith yang lain daripada Abu Hurairah r.a. berkata: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Tidak ada yang mempunyai simpanan harta yang tidak menunaikan zakatnya kecuali dipanaskan atasnya di neraka jahanam, lalu dijadikan kepingan-kepingan logam, lalu diseterika dengannya kedua rusuk dan keningnya, sehingga Allah SWT. memutuskan di antara hamba-hamba-Nya pada satu hari yang ukurannya lima puluh ribu tahun”. (Riwayat Muslim)

KONTI RADIO JHEAINS

Sumber : di sini

Oleh: Ahmad Haji Yasin

KOTA KINABALU – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) telah menubuhkan Konti Radio JHEAINS dengan fungsi utamanya buat masa ini hanyalah untuk membuat rakaman Ceramah-Ceramah Agama, Tazkirah daripada tetamu jemputan selain rakaman Sambutan Perayaan-Perayaan Islam Negeri seperti Sambutan Maal Hijrah (Awal Muharram), Maulidur Rasul, Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Negeri dan Festival Kesenian Islam Peringkat Negeri selain membuat rakaman petikan ucapan pemimpin negeri untuk dihantar ke RTM Sabah.

Demikian dimaklumkan oleh Ketua Operasinya, Ustaz Jumain Abdul Ghani. Menurut Ustaz Jumain, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) juga bercadang pada masa akan datang untuk melebarluaskan siaran Radio JHEAINS ini melalui Kontinya ke Pejabat-Pejabat JHEAINS Daerah di seluruh negeri Sabah dalam Bahasa Malaysia. Katanya lagi, JHEAINS juga bercadang akan menggunakan pelbagai bahasa pada masa akan datang dan buat masa ini Konti Radio JHEAINS akan beroperasi di pejabat-pejabat Bahagian JHEAINS Kota Kinabalu.

Menurut Ustaz Jumain lagi, beliau telah mengenal pasti beberapa orang Pegawai JHEAINS untuk dilatih menjadi Penyampai Radio JHEAINS (DJ) dengan kerjasama-kerjasama Jurutera RTM Sabah, Encik Cyril Saimun Gonsilau.

1 Ramadhan : Isyak & Tarawih di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan. Zuhur (sabtu) di Masjid Negeri Sabah.

2 Ramadhan : Isyak & Tarawih di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral. Zuhur (ahad) di Masjid Negeri Sabah.

3 Ramadhan : Isyak & Tarawih di Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas. Zuhur (isnin) di Masjid Negeri Sabah.

4 Ramadhan : Isyak & Tarawih di Masjid Daerah Putatan. Zuhur (selasa) di Masjid Negeri Sabah.

5 Ramadhan : Isyak & Tarawih di Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan. Zuhur (rabu) di Masjid Negeri Sabah.

6 Ramadhan : Isyak & Tarawih di Masjid Negeri Sabah. Zuhur (khamis) di Masjid Negeri Sabah.

7 Ramadhan : Isyak & Tarawih di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

 

 

 

 

%d bloggers like this: