Sebenarnya sejak kecil saya asalnya memang malas ke sekolah tadika. Bayangkan ketika tadika yang tidak jauh letaknya dengan rumah, seingat saya lebih banyak ponteng berbanding hadir ke kelas. Masih terbayang saya pernah bersembunyi di bawah kerusi. Bawah kerusi, bukan bawah meja!

Tapi di rumah saya rajin buat latihan yang disediakan oleh bapa yang juga seorang guru. Ketika itu dia adalah pengetua SMK Membedai WP Labuan. Ketika konvo tadika 1985, saya mendapat anugerah murid terbaik. Entah pasal apa pun nda taulah.

Ketika darjah 4 di SK Pekan 2 WP Labuan, saya pernah mengikuti kursus kewartawanan anjuran Persatuan Penulis WP Labuan (PERWILA), yang kebetulan bapa saya adalah setiausahanya ketika itu.

Ingat lagi yang memimpin kursus itu ialah bekas pengarang akhbar Sabah Times iaitu Encik Emin Madi. Oleh kerana bapa saya adalah urusetia kursus, dia duduk berdekatan Encik Emin dan saya pula duduk bersebelahan dengan bapa saya di hadapan.

Diajarlah teknik menulis berita, yang saya rasa tidak sesukar mana kerana saya selalu melihat bapa saya menulis berita akhbar untuk dihantar ke Kota Kinabalu sebelum disiarkan. Saya masih ingat teknik 5W 1H itu.

Apabila Encik Emin memberikan beberapa fakta untuk masing-masing mengarang berita, saya pun mula menulis. Geram juga apabila saya dapat menulis sebuah berita menurut kaedah yang betul itu, saya dimarah Encik Emin pula. Saya dituduhnya meniru.

Entah adakah itu hanya gurauan atau tanda kehairanannya, itu memang mencabar saya kerana beranggapan dia tidak percayakan saya yang menulis sendiri berita berkenaan.

Ketika darjah 4 itulah saya menulis berita untuk siaran akhbar buat pertama kalinya sempena sukan sekolah pada 1989 yang diadakan di Kompleks Sukan Labuan. Saya menulis, bapalah yang menghantar ke akhbar Sabah Times.

Ketika di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah, saya menjadi AJK Sidang Redaksi Majalah sekolah, bahkan ketika di tingkatan 3 sudah menjadi jurugambar sekolah. Terdapat juga beberapa tulisan saya di majalah USWAH itu.

Semasa mengaji di Mesir pula, saya sering menulis emel kepada sahabat-sahabat dan keluarga menceritakan peristiwa yang berlaku di Mesir dalam bentuk catatan perjalanan. Pernah juga menulis ke ruang surat pembaca Harakah dan beberapa laman-laman web yang masyhur ketika itu.

Tidak ketinggalan pernah menulis beberapa artikel kempen bersama sahabat lain ketika siswa Sabah di Mesir menghadapi pilihanraya memilih pimpinan mahasiswa Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM). Manis kenangan itu, apabila calon yang kami letakkan menang 12-0.

Kini, muncul pula medium baru untuk menulis di arena blog. Ia bagai luahan peribadi untuk tatapan bersama. Insya Allah, saya akan meneroka satu dunia baru pula, menulis buku selepas ini yang baru saya mulakan seminggu lalu.