Malam ini saya menyambung kuliah di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan. Buku Mukhtasor Ibnu Abi Jamrah, 294 hadith terpilih dari sahih Bukhari. Kitab ini hampir sampai ke penghujungnya.
Selesai membacakan 4 buah hadith berkaitan mimpi, saya mengambil ruang untuk menyebut sedikit soal qurban dan bulan zulhijjah.
Walaupun hari-hari tasyriq sudah berlalu, saya sebutkan juga sebagai peringatan pada masa akan datang.
Antara yang saya sebutkan ialah tuntutan berpuasa pada awal Zulhijjah atau sekurang-kurangnya pada 9 Zulhijjah, hari Arafah, sehari sebelum menyambut raya haji.
Saya sebutkan kelebihan berdasarkan hadith Nabi SAW iaitu diampunkan dosa dua tahun, setahun sebelum dan setahun selepas.
Ada di kalangan jamaah yang tercengang dan merasa kesal yang amat sangat kerana tidak mengetahui amalan tersebut beserta kelebihannya.
Selesai kuliah, seorang daripada mereka menyapa : “Ruginya kami ustaz.. saya langsung ‘nda tau, tiada yang kasi ingat kami..”
“Berdoalah mudah-mudahan panjang umur, tahun depan bertemu lagi. Banyakkan berpuasa, nanti awal Muharram jangan lupa..” Saya mengingatkan.
Bukanlah tujuan saya menyebut hal itu untuk menimbulkan rasa susah hati dan sesal mereka, hanya bertujuan supaya mereka melakukan persediaan tentang perkara yang menjadi tuntutan agama sama ada sunat atau wajibnya.
Sebenarnya, saya sedikit rasa bersalah kerana tidak hadir berkuliah pada isnin minggu sudah di masjid mereka, supaya boleh disebut lebih awal.
Tetapi saya sudah mengingatkan persediaan berpuasa pada 9 dan 10 Muharram, menyarankan JK masjid membuat majlis berbuka beramai-ramai serta mengiklankan kepada jamaah yang berminat tentangnya.