Pengajian adalah secara percuma. Sebaik-baiknya membaca terjemahan al-Quran untuk mengikuti kuliah berkenaan.
Archive for Mac, 2012
Sumber : http://syeikh-takiri.blogspot.com/
Menurut pengarang kitab al-Muntaqa syarah Muwatta, Ribat pada asalnya bermaksud mengikat kuda untuk dimiliki. Seterusnya ia digunakan dengan maksud mengikat kuda sebagai persiapan jihad dan mewakafkan diri menjaga perbatasan negara Islam. Ribat di dalam alQuran dan al-Hadis merujukmkepada 3 maksud seperti berikut:
Pertama: Mengikat Kuda Sebagai Persiapan Jihad Di Jalan Allah.
Menurut pengarang al-Muntaqa, maksud mengikat kuda di jalan Allah ialah mempersiapkannya untuk tujuan tersebut. Ia merupakan salah satu bentuk kebajikan yang mana pemilik kuda tersebut akan diberikan ganjaran walaupun dalam keadaan ia belum digunakan untuk jihad dan menyerang musuh kerana ia tergolong dalam sebahagian infaq di jalan Allah, sebagai persiapan jihad dan usaha untuk menggerunkan musuh (irhab). Menyiapkan kuda ini berlaku samada di tempat tinggal orang yang menyediakannya atau di luar dari tempat tinggalnya Sekiranya ia digunakan untuk berperang ia mendapat pahala jihad. Dalilnya ialah firman Allah Taala:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ
Maksudnya: Dan persiapkanlah bagi menghadapi mereka apa sahaja yang kamu mampu sama ada kekuatan dan juga kuda-kuda yang terikat, yang boleh kamu gunakannya untuk menggerunkan musuh Allah dan juga musuh kamu.” (al-Anfal : 60)
Konsep Ribat ini termasuk dalam sebahagian infaq di jalan Allah. Konsep infaq pula dijelaskan oleh Allah Taala menerusi firman-Nya:
مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِئَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: Bandingan mereka yang menginfaqkan harta-harta mereka di jalan Allah seperti bandingan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkainya mengandungi 100 benih, dan Allah menggandakan untuk sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah: 126)
Kedua: Ribat Mengikat Diri Untuk Berada Di Perbatasan
Ribat ini bermaksud mengikat diri untuk menjaga perbatasan dan sempadan Negara Islam. Menurut Ibn Hajar al-`Asqalani, Ribat bermaksud melazimi tempat yang terletak antara orang Islam dan orang kafir untuk menjaga orang islam daripada musuh. Ribat ini dirujuk oleh firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang beriman, bersabarlah kamu, sama-samalah bersabar (berhadapan dengan musuh), lakukanlah ribat dan bertaqwalah kepada Allah mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan.
Kelebihan Ribat ini disebut dalam banyak hadis Nabi saw antaranya Hadis riwayat Imam Bukhari daripada Sahl bin Sa`ad al-Sa`idi r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
رِبَاطُ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا عَلَيْهَا
Maksudnya: Ribat sehari di jalan Allah lebih baik daripada dunia dan isinya.
Muslim meriwayatkan daripada Salman al-Farisi r.a katanya, saya mendengar Rasulullah saw bersabda:
رِبَاطُ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ وَإِنْ مَاتَ جَرَى عَلَيْهِ عَمَلُهُ الَّذِي كَانَ يَعْمَلُهُ وَأُجْرِيَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ وَأَمِنَ الْفَتَّانَ
Maksudnya: Ribat sehari semalam lebih baik daripada berpuasa dan mengerjakan qiyam selama sebulan. Dan sekiranya dia mati akan berterusanlah amalan yang sebelumnya sentiasa dilakukannya. Rezkinya pula akan diteruskan dan terselamat daripada para penguji (kubur).
Dalam riwayat Tirmizi daripada Salman al-Farisi menyebut Rasulullah saw bersabda:
رِبَاطُ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَفْضَلُ وَرُبَّمَا قَالَ خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ وَمَنْ مَاتَ فِيهِ وُقِيَ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَنُمِّيَ لَهُ عَمَلُهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: Ribat sehari di jalan Allah lebih afdhal –mungkin beliau berkata – lebih baik – berbanding puasa dan qiyam selama sebulan. Dan sesiapa yang mati dalam keadaan Ribat terselamat daripada ujian kubur dan dicambahkan untuknya amalannya sehingga ke hari Qiamat.
Nasaei pula meriwayatkan daripada Uthman bin Affan r.a bahawa Nabi saw bersabda:
إِنَّ رِبَاطَ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ يَوْمٍ مِمَّا سِوَاهُ فَلْيُرَابِطْ امْرُؤٌ حَيْثُ شَاءَ
Maksudnya: Sesungguhnya Ribat sehari di jalan Allah lebih afdhal daripada seribu hari selainnya. Maka hendaklah melakukan ribat seseorang itu di mana sahaja dia mahu.
Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Makhul r.a bahawa Nabi saw bersabda:
تمام الرباط أربعون يوما
Maksudnya: Kesempurnaan Ribat ialah 40 hari.
Ketiga : Ribat Dalam Ibadah
Ribat dalam ibadah disebut di dalam hadis riwayat Abu Hurairah bahawa Nabi saw bersabda:
أَلا أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتِ إِسْبَاغُ الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ وَكَثْرَةُ الْخُطَا إِلَى الْمَسَاجِدِ وَانْتِظَارُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ فَذَلِكُمْ الرِّبَاطُ
Maksudnya: Mahukah kamu saya tunjukkan perkara yang dipadamkan oleh Allah dengan sebabnya segala kesalahan dan diangkat oleh Allah dengan sebabnya beberapa darjat, iaitu menyempurnakan wudu’ di waktu sukar, membanyakkan langkahan ke masjid-masjid dan menanti solat seterusnya selepas mengerjakan solat. Semua itu adalah Ribat.
Menurut Ibn Kathir, Ribat atau Murabatah ialah berkekalan dan tetap berada di tempat ibadah. Sebahagian ulama seperti Mujahid, Ibn Abbas, Sahl bin Hunaif mentafsirkannya sebagai menanti waktu solat selepas dikerjakan satu solat di masjid. Menurut Imam Nawawi, Ribat asalnya bermaksud menahan diri atas sesuatu. Seolah-olahnya dia menahan dirinya untuk melakukan ketaatan tersebut. Ada pandangan menyatakan ia merupakan sebaik-baik Ribat sepertimana dikatakan jihad itu ialah jihad menentang hawa nafsu.
Sirah Sahabat Dalam Ribat Harta
Sirah para sahabat menunjukkan kepada kita kesungguhan sahabat menyediakan kelengkapan perang yang melibatkan harta antaranya. Ketika berlangsungnya peperangan Tabuk, Othman yang sudah bersiap dengan kelengkapan unta dan barang dagangan telah mendermakan semua unta berjumlah beserta dengan muatan yang berada di atas untuk persiapan perang. Menurut hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi daripada Abd Rahman bin Hubab al-Sullami bahawa Uthman telaah menyediakan 300 ekor unta. Menurut riwayat Abd Rahman bin Samurah, Uthman telah menyediakan 1000 dinar. Riwayat yang lemah pula oleh Ibn `Adii daripada Huzaifah menyebut 10,000 dinar. Menurut Ibn Hajar barangkali ia bermaksud 10,000 dirham yang nilainya menyamai 1000 dinar ketika itu.
Abu Bakar menyerahkan semua hartanya bernilai 4000 dirham. Umar pula memberikan separuh harta. Abd Rahman menyediakan separuh harta sebanyak 2000 dirham. Sahabat yang tidak berkemampuan seperti Abu Uqail pula menyediakan setengah gantang kurma. Abu Khaithamah mempunyai 2 gantang kurma; separuh untuk keluarga dan separuh disediakan untuk perang.
RUJUKAN
Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, http://www.al-islam.com
Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-`Azim, Dar Tayyibah, 1420/1999.
Al-Muntaqaa syarh al-Muwatta’, http://www.al-islam.com
Musannaf Ibn Abi Syaibah
Musnad Ahmad. http://www.al-islam.com
Nawawi, Syarah Sahih Muslim, http://www.al-islam.com
Sahih Bukhari
Sahih Muslim
Sunan Tirmizi
Sunan Nasaei
Lenguh tangan dan lengan saya apabila rakan-rakan serombongan meminta saya merakam beberapa lokasi jalanraya yang bermasalah di sepanjang perjalanan khususnya antara Sandakan ke Telupid. Tidak semua dapat saya rakamkan, tetapi seingat saya beberapa foto yang saya paparkan ini ‘mewakili’ suasana jalanraya yang bermasalah di sebahagian perjalanan tersebut.
Kelajuan perjalanan tidak begitu lancar sebenarnya kerana banyak kali bertemu jalan yang berlubang dan bermasalah. Tapi jalan dari Sandakan menghala ke Telupid agak kurang sedikit masalahnya berbanding jalan dari arah Telupid ke Sandakan yang lebih banyak masalahnya. Bahkan kami berpendapat sesetengahnya agak berbahaya.
Sebenarnya isu ini bukanlah berbentuk satu pendedahan kerana ia bukanlah suatu rahsia. Ia perkara yang diketahui oleh ramai orang apatah lagi para pengguna jalanraya di sana. Saya dimaklumkan ada satu facebook khusus berkaitan dengan masalah-masalah jalanraya, dan saya yakin perkara ini sangat dimaklumi. Semoga masalah ini dapat diselesaikan dengan segera demi kebaikan para pengguna.
Khatib : Ustaz Jasimin Mohd Rashid
Lokasi : Masjid al-Kauthar Kg Tanjung Aru Kota Kinabalu
Dalam menghadapi kehidupan yang serba mewah dan canggih ini, ramai manusia tidak mampu membezakan garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Bagi mereka yang tidak mendapat nur hidayah petunjuk, mereka mengganggap kebenaran itu bagaikan ranjau-ranjau yang berduri, sebaliknya mereka merasakan bahawa kesesatan atau kekeliruan bagaikan taman indah yang dipenuhi dengan bunga yang berwarna warni.
Alangkah sesatnya mereka ini, ruginya kehidupan mereka kerana telah dipengaruhi oleh musuh Allah SWT iaitu Syaitan laknatullah. Ingatlah bahawa dalam sejarah kewujudan dunia, didapati Syaitan atau Iblis merupakan makhluk pertama yang berada dalam kesesatan dan kemungkaran serta berjanji untuk menyesatkan seluruh umat manusia di muka bumi ini.
Menurut Ulama, syaitan adalah golongan kafir daripada Jin. Bapa mereka ialah Iblis. Syaitan adalah musuh utama manusia dan syaitanlah yang mengeluarkan Adam dan Hawa daripada Syurga. Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia tidak dapat memasuki syurga dan menjauhkan diri daripada jalan ke arahnya. Walaupun demikian sifat syaitan, namun masih ada manusia yang menurutnya dan meninggalkan syariat Allah SWT dan petunjuk para Nabi dengan menerima pujuk rayu Syaitan.
Antara amalan syaitan ialah melakukan kezaliman dan pengkhianatan kepada umat manusia, Syaitan melakukan tipu daya supaya manusia berbuat kejahatan dan mengajak ke arah keburukan dan kekejian. Manusia yang zalim iaitu yang berhati kejam, mereka tidak merasa takut kepada Allah SWT dan perbuatan mereka melanggar hukum-hukum Allah. Syaitan akan meninggalkan dan membiarkan manusia pada saat genting apabila manusia telah terjebak mengikut telunjuk Syaitan.
Manusia yang berhati Syaitan atau saudara Syaitan adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya dan menjadi pengikut jalan para perosak. Mereka ini tidak mendapat petunjuk dari Allah SWT sedikit pun. Di dalam hatinya terdapat sifat-sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, zalim, melakukan kemaksiatan malah mendorong ke arah kederhakaan kepada Allah SWT. Sayidina Ali RA berkata :
“Yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran.”
Mimbar ingin menegaskan bahawa mereka yang dikuasai oleh Syaitan, sebenarnya kebatilan telah menguasai hati mereka dan menyangka bahawa Syaitan adalah teman karibnya sehingga menjadi pengikut Syaitan, maka ingatlah bahawa musuh Allah SWT ini sentiasa mengintai-intai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam.
Satu projek sumbangan buku ‘Negara Berkebajikan Tawaran PAS’ dilancarkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah baru-baru ini, mempelawa mereka yang berkelebihan untuk menaja atau menyumbang dalam bentuk kewangan. Buku-buku ini akan diedar dan disumbangkan kepada sasaran di seluruh Sabah.
Buku ini berharga RM6.00 sahaja setiap satu dan sebarang sumbangan boleh dimasukkan ke dalam akaun bank islam : 100 160 100 828 55 atau akaun maybank : 560 214 051 832. Sila maklumkan jumlah dan tarikh sumbangan ke emel : pas_sabah@yahoo.com
***
Buku setebal 59 muka surat ini mengandungi tujuh bahagian antara lain memuatkan penjelasan konsep negara berkebajikan, teras-teras utama, polisi-polisi umum dan 10 agenda permulaan jika PAS diberi mandat bersama Pakatan Rakyat untuk memerintah Malaysia. 10 tawaran PAS adalah seperti berikut :
1- Kerajaan beramanah, adil dan bersih
2- Masyarakat penyayang , aman dan bersatu
3- Ekonomi mampan, seimbang dan saksama
4- Pendidikan berkualiti, berdaya saing dan boleh capai
5- Perkhidmatan kesihatan cekap, berkualiti dan boleh capai
6- Kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat
7- Keluarga harmoni, bahagia dan bermoral
8- Belia, pekerja produktif, berdaya saing dan terbela
9- Kemudahan prasarana berkualiti, cekap dan bertaraf dunia
10- Alam sekitar segar, terpelihara dan lestari
(Datuk Tuan Ibrahim memacakkan kayu tanda hasrat membina surau di pulau Shanghai, Sandakan 31 Disember lalu)
KUALA LUMPUR, 28 Mac : Selepas seminggu Tabung Pembinaan Surau Shanghai dilancarkan, tabung itu kini berjaya mengumpulkan sejumlah RM25,162.23. Ia dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai secara terus ke dalam akaun bank itu atau melalui kempen yang dibuat oleh Lajnah Penerangan PAS Pusat. Menurut pegawai penerangan PAS, Mohd Shahir, jumlah itu adalah sehingga pagi 28 Mac. Mereka mensasarkan sekurang-kurangnya RM100,000 untuk projek ini.
Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat pada 31 Disember 2011 lalu dalam ekspedisinya ke Sabah telah berjanji akan membina sebuah surau di pulau Shanghai, Sandakan, Sabah. Keputusan ini diambil memandangkan pulau ini tidak mempunyai sebarang kemudahan asas samada masjid, surau, dewan orang ramai, kemudahan air bersih dan letrik. Ternyata pulau ini terus terabai dari arus pembangunan negara dalam keghairahan pemimpin melaungkan negara maju menjelang 2020, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pengerusi lajnah berkenaan yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.
“Sehubungan itu kami merayu kepada para dermawan untuk turut menyumbang bagi menjayakan hasrat pembinaan Surau tersebut. Semoga Allah menggantikannya dengan yang lebih baik dan mengampuni dosa sebagaimana yang dijanjikan,” kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pengerusi lajnah yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.
Satu akaun telah dibuka di Bank Islam atas nama Tabung Pembinaan Surau Shanghai dengan nombor akaun 14041010080138 untuk tujuan itu. Ekoran itu, sumbangan mula diterima dari orang ramai bagi menjadikan cadangan pembinaan surau ini satu realiti. Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS menjangka, tapak asas surau ini akan dibina pertengahan bulan April nanti apabila pimpinannya turun semula ke sana nanti. (Sumber : Harakahdaily)
***
Terkini : 3 April: Selepas 10 hari dilancarkan, tabung pembinaan surau Shanghai, Sandakan, Sabah telah mengumpulkan dana sebanyak 30,959.57.
Nota : Sebuah artikel panjang sempena majlis menghafaz al-Quran negeri Sabah
Sekitar seminggu daripada sekarang, Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sabah akan diadakan. Mengikut hitungannya ini kali keempat diadakan tetapi kali pertama diadakan secara besar-besaran, diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu pada sabtu 7 April 2012 akan datang.
Nampaknya ada sedikit peningkatan daripada segi penganjuran bagi memilih wakil Sabah ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan selepas ini. Saya diamanahkan untuk melatih sedikit sebanyak kepada peserta dari Maahad Tahfiz Negeri, mengadakan latih tubi soal jawab khususnya apabila berada di pentas. Insya Allah, latihan sedang berjalan sehingga sehari dua sebelum majlis berlangsung. Dalam dunia menghafaz, kami sekadar membantu dan mendorong mana yang patut, selebihnya ia bergantung kepada mutu hafazan mereka sendiri.
Kepada mereka seramai 10 orang, di peringkat awal saya ceritakan tentang sejarah penglibatan peserta Sabah ke Majlis Menghafaz Peringkat Kebangsaan berdasarkan apa yang saya ketahui melalui kisah senior-senior dan juga pengalaman peribadi yang pernah menyertai majlis ini dua kali pada 1995 dan 1997. Ia kisah yang seingat saya belum pernah saya catatkan melalui blog ini dan saya bersangka baik serta positif dengan apa yang telah berlaku berdasarkan perkembangannya sehingga kini.
PERINGKAT 1
Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah mula beroperasi pada pertengahan tahun 1995. Sebelum kewujudannya, wakil-wakil Sabah untuk menyertai Majlis Menghafaz al-Quran peringkat Kebangsaan dipilih terus dari pelajar-pelajar Sabah yang menuntut di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran (IPTQ) yang kini dikenali sebagai Darul Quran. Antara mereka ialah Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi, Ustaz Adam Abdul Hai, Ustaz Pajudin Nordin, Ustaz Imran Anggun, Ustaz Azizul Ramli Saparuddin dan lain-lain.
Seringkali terdapat kelompangan dari segi jumlah perwakilan ke peringkat kebangsaan. Ketika itu setiap negeri sepatutnya menghantar 6 orang wakil, 3 lelaki dan 3 perempuan untuk mengisi setiap kategori juzu’ 1-3, 1-15 dan 1-30. Menjadi kebiasaan Sabah hanya menghantar seorang atau dua orang peserta daripada kalangan pelajar tahfiz di Kuala Lumpur. Bahkan saya pernah dimaklumkan bahawa ada ketikanya sekitar tahun awal 90an pelajar tahfiz dari negeri lain menawarkan diri bagi mewakili Sabah kerana ketiadaan atau kekurangan peserta.
PERINGKAT 2
Apabila Maahad Tahfiz Sabah diwujudkan, peserta Majlis Menghafaz al-Quran ke Peringkat Kebangsaan menjadi lebih terbuka. Pada awal-awal penubuhannya, perwakilan dipilih dari kalangan pelajar maahad sahaja mengikut prestasi dalam kuliah masing-masing. Masih belum ada sebarang pertandingan atau majlis bagi pemilihan peserta di peringkat negeri.
Sebagai orang yang pernah mewakili negeri Sabah pada 1995 dan 1997, saya memahami hakikat bahawa ketika itu objektif penyertaan kami ialah sekadar untuk memaklumkan bahawa Sabah sudah mempunyai maahadnya sendiri. Ketika itu belum timbul objektif persaingan di peringkat kebangsaan kerana maahad yang masih baru dipupuk diperingkat awal. Penyertaan dari pelajar Sabah di Darul Quran juga dibuka semula kerana wakil dari Maahad Tahfiz Sabah masih belum mencukupi.
PERINGKAT 3
Sejak 4 tahun lalu, seingat saya JAKIM mahukan Sabah mengadakan majlis menghafaz al-Quran di peringkat negeri. Ini kerana prestasi Sabah di peringkat kebangsaan masih di takuk yang lama seperti tahun-tahun 80an dan 90an. Tidak usah malu kepada sejarah, zaman awal dahulu ramai yang naik pentas dan kemudian geleng kepala terhadap soalan yang dilontarkan. Kemudian mendapat saguhati ‘hasil gelengan kepala’ tersebut.
Saya pernah utarakan kepada ramai pihak yang berautoriti dan mereka yang berada dalam bidang ini, bahawa sudah sampai masanya Sabah menghantar pesertanya untuk bersaing di peringkat kebangsaan, bukan lagi sekadar menghantar wakil seperti zaman kami dan zaman sebelumnya. Jadi apabila JAKIM mahukan Sabah mengadakan majlis menghafaz di peringkat negeri, saya antara individu yang sangat gembira.
Tidak mengapalah majlis pada kali pertama dan kedua diadakan sekadar di bilik kuliah Maahad Tahfiz – walaupun bagi memilih peserta negeri untuk ke kebangsaan dan kemudian pada kali yang ketiga ‘diangkat ke Dewan al-Azhar juga di Maahad Tahfiz. Pada tahun 2012 ini ia dinaiktarafkan lagi dengan diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS, satu dewan yang biasa mengadakan majlis bertaraf negeri dan kebangsaan khususnya dalam acara keagamaan.
Daripada segi perasmian majlis sebagai perbandingan, pada kali pertama dan kedua seingat saya tidak ada perasmian sangat, sementara kali ketiga dirasmikan oleh Ustaz Haji Abdul Rahman Talipuddin, selaku pegawai Bahagian Pendidikan JHEAINS yang diamanahkan menyelia perkembangan Maahad Tahfiz al-Quran. Khabarnya tahun ini majlis akan dirasmikan oleh Pengerusi MUIS YB Datuk Suhaili Said.
Saya melihat di negeri-negeri lain majlis menghafaz mereka dirasmikan oleh Sultan atau wakilnya atau Menteri Besar atau setidak-tidaknya exco yang menjaga hal ehwal agama. Apa signifikannya majlis perasmian? Sebenarnya dengan kehadiran pembesar-pembesar negeri, ia akan ‘mengheret’ lebih ramai tetamu berkepentingan untuk hadir bersama-sama.
Dalam konteks Sabah, saya percaya jika Pengerusi MUIS merasmikan, ia mungkin sekadar menarik beberapa pegawai kanan JHEAINS untuk hadir. Jika Menteri di Jabatan Ketua Menteri yang hadir, sudah tentu lebih ramai ketua jabatan dan pegawai kanan yang hadir. Jika Ketua Menteri yang hadir, ia akan menarik ramai YB dan ketua-ketua jabatan hadir bersama-sama. Jika TYT Yang DiPertua Negeri Sabah hadir, majlis ini dihadiri oleh semua jemaah menteri dan majoriti ADUN beragama Islam.
Kesannya ialah lebih ramai yang mengetahui dan mendengar kualiti peserta dan majlis menghafaz al-Quran itu sendiri. Bajetnya sudah tentu meningkat, dan ini sudah tentu sangat baik untuk perkembangan ilmu al-Quran di kalangan umat Islam di Sabah. Tidak mengapalah untuk kali ini, kerana itu mungkin sekadar cita-cita dan impian saya melihat majlis ini akan lebih meriah dan gah pada tahun mendatang.
Saya merasa bersyukur, dua tahun kebelakangan Sabah sudah menonjolkan peserta yang berbakat di peringkat kebangsaan. Muhammad Khairul Razikin sudah pernah mendapat tempat terbaik dalam majlis menghafaz peringkat kebangsaan pada tahun 2011 dan 2010. Begitu juga Zainab Sapiuddin yang pernah mendapat tempat ketika pada tahun 2010. Ustaz Kadri Abdul Hamid selaku orang lama sebagai hakim majlis menghafaz kebangsaan pernah memaklumkan kepada saya, kualiti peserta Sabah sudah jauh berbeza berbanding dahulu.
DORONGAN
Kepada anak-anakanda peserta saya minta mereka bayangkan beberapa situasi dalam majlis berkenaan. Pertama, seorang pelajar remaja yang terpegun mendengar kualiti hafazan peserta, sehingga Allah SWT menggerakkan hatinya untuk memasuki mana-mana institusi tahfiz selepas itu. Kedua, seorang ibu mendengar hafazan seorang peserta, sehingga hatinya terbuka untuk menghantar anaknya masuk ke maahad tahfiz. Ketiga, seorang ahli korporat muslim yang menyaksikan kehebatan peserta menjawab soalan hafazan, sehingga ia tertarik dan mengeluarkan sedikit hartanya untuk menaja atau mendirikan sebuah institusi tahfiz di Sabah.
Sudah tentu peserta-peserta berkenaan akan mendapat saham yang tidak sedikit daripada situasi yang berlaku tadi. Apa yang saya maksudkan ialah Majlis Menghafaz al-Quran bukan sekadar satu acara rasmi kerajaan. Lihatlah majlis menghafaz ini dari konteks dan kacamata dakwah. Insya Allah bumi Sabah akan terus subur dengan para penghafaz al-Quran dengan kaedah dan strategi yang betul, seiring dengan petunjuk Allah SWT.
Sumber : http://malaysiakini.com/news/193242
ULASAN oleh Amin Iskandar
Semenjak Merdeka, Selangor sentiasa berada di bawah kekuasaan BN atau dahulu dikenali sebagai PERIKATAN. Pilihan raya umum ke-12 merubah sejarah politik negara. Buat pertama kalinya Selangor tumbang ke tangan pembangkang. Anak jati Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang ke-14.
Selain daripada mempunyai hasil dan kekayaan yang terbesar, negeri ini juga adalah tempat letaknya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya. Dan jangan lupa, Kuala Lumpur itu juga pada satu ketika dahulu adalah sebahagian daripada negeri Selangor. Dalam sejarah, rekod paling lama memegang jawatan menteri besar Selangor adalah Datuk Harun Idris iaitu dari tahun 1964 – 1976. Itu pun berakhir dengan tragis apabila beliau dijatuhkan dengan dakwaan skandal rasuah.
Selepas Datuk Harun, beberapa mantan menteri besar Selangor seperti Tan Sri Muhammad Taib, Datuk Seri Abu Hassan Omar dan Dr Khir Toyo turut menamatkan karier dengan skandal. Khir Toyo lebih malang lagi oleh kerana beliau adalah menteri besar Selangor dari BN yang pertama menyebabkan negeri jatuh ke tangan pembangkang. Akhir tahun lalu, beliau dijatuhkan hukuman bersalah di atas pertuduhan rasuah. Dengan itu, beliau tidak lagi memakai gelaran “Datuk Seri” yang diberikan oleh Istana Selangor.
Selangor di bawah Pakatan
Khalid Ibrahim bukanlah satu nama yang begitu popular dalam politik Malaysia pada ketika beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor. Beliau lebih dikenali dalam dunia korporat. Jawatan terakhir dalam dunia korporat adalah sebagai ketua pegawai eksekutif kepada Kumpulan Guthrie Berhad. Semenjak menjadi menteri besar sehinggalah hari ini, serangan bertali arus terpaksa dihadapi oleh Khalid. Lebih ngeri lagi, serangan datang dari luar dan dalam Pakatan Rakyat.
Namun ini tidak menghalang ADUN Ijok itu untuk mentadbir negeri Selangor dengan baik. Kedudukan kewangan negeri berada pada tahap yang membanggakan. Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan pada Oktober 2011 berpuas hati dengan kedudukan kewangan negeri Selangor, di antaranya :
-
Kerajaan negeri berjaya mengurangkan tunggakan hasil berjumlah RM99.87 juta kepada RM502.05 juta berbanding tahun sebelumnya.
Baki hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan menurun sejumlah RM58.91 juta (5.5 peratus) menjadi RM1,004.64 juta berbanding RM1,063.55 juta pada tahun 2009.
Penurunan ini disebabkan kerajaan negeri telah membayar balik hutang sejumlah RM58.91 juta bagi menjelaskan pinjaman bagi rumah awam kos rendah dan projek ladang hutan masing-masing sejumlah RM52.42 juta dan RM6.49 juta.
Reformasi di Selangor
“Orang-orang reformasi tidak boleh menipu rakyat,” kata Khalid Ibrahim dalam ucapannya di sebuah majlis di Shah Alam. Sebaik sahaja mengambil alih Selangor, Khalid berusaha untuk memenuhi janji-janji pilihan raya dalam manifesto bersama PKR, DAP dan PAS – pilihan raya umum ke-12 lalu. Di zaman pentadbiran Khalid, exco kerajaan negeri dan ADUN tidak boleh berbuat sesuka hati sepertimana dalam pentadbiran lalu. Exco dan ADUN perlu sentiasa bersih dan dilihat bersih sepanjang pentadbiran.
Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, Ketelusan (Selcat) akan menyiasat segala perbelanjaan exco dan ADUN bagi memastikan ketelusan dan integriti dipertahankan. Anugerah tertinggi negeri tidak disalahgunakan. Sewaktu pentadbiran terdahulu, anugerah “Datuk” diberikan kepada pemimpin BN dan sekutu rapatnya.
Di zaman Khalid, pimpinan tertinggi seperti exco kerajaan negeri tidak diberikan anugerah Datuk. Mungkin Khalid mahu memelihara keunggulan anugerah tertinggi negeri Selangor. Rakyat dapat melihat perubahan dan reformasi di negeri Selangor. Walaupun tidak sempurna, Selangor hari ini amat berbeza dengan yang terdahulu. Hasil dan kekayaan negeri bertambah. Nikmat dapat dirasai oleh golongan rakyat terbanyak dalam program merakyatkan ekonomi Selangor.
Mampukah Selangor terus dipimpin oleh Khalid Ibrahim dan Pakatan selepas pilihan raya umum ke 13? Apakah halangan-halangan yang boleh menyebabkan negeri terkaya di Asia Tenggara ini dirampas semula oleh BN?
Buku Yang Baru Dibaca :
Penulis : Isyak Radhiah
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
Harga : RM25.00 / RM27.00
Pada pertengahan 2010, mereka diduga Allah dengan penyakit yang digeruni yang dihidapi anak ketiga mereka, Ahmad Mahir Baihaqi atau nama panggilannya Aqi, yang ketika itu (pertengahan 2010) berumur 9 tahun. Anak yang cergas sejak lahir itu mendapat sakit kepala yang berterusan dan muntah-muntah selama seminggu. Dia disahkan menghidap ketumbuhan otak (brain tumour) oleh Hospital Pakar Damansara.
Maka bermulalah episod dugaan hidup yang terpaksa ditempuhi oleh isteri yang ketiadaan suami di sisi, iaitu tatkala Che Amran ke Australia selama 10 hari untuk pelancaran album Raihan. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Kebahagiaan dan kegembiraan bagaikan diragut. Perasaan berkecamuk berlegar di dalam diri. Benarkah anak ini menghidap penyakit bahaya yang menjadi igauan ngeri setiap insan? Kepulangan suami menjadi pengubat jiwa yang gundah.
Namun, empat hari mereka dalam keadaan buntu, sambil tetap pasrah dengan ketentuan Ilahi dan redha dengan ketetapan-Nya. Doktor pakar bertegas bahawa pembedahan perlu segera dibuat untuk mengelakkan tumor daripada membesar dan menyerang saraf penting di dalam otak. Berpindah ke hospital kerajaan dan kemudian berpatah balik ke hospital swasta adalah usaha yang dilakukan semata-mata kerana mahu memastikan pembedahan dilakukan segera ke atas Aqi.
Namun masalah kewangan dan risiko yang akan dihadapi sekiranya pembedahan dijalankan, membuatkan mereka suami isteri dalam dilema. Pandangan dan nasihat daripada kaum keluarga dan kenalan melalui telefon dan SMS, diambil sebagai pertimbangan. Biar apa pun, keputusan adalah di tangan mereka. Mereka sendirilah yang perlu memutuskan apa yang terbaik untuk anak mereka. Perlukah pembedahan segera dilakukan atau patutkah ditangguhkan? Wajarkah mereka memilih rawatan alternatif untuk mengelak risiko daripada pembedahan? Wujudkah rawatan alternatif untuk penyakit berbahaya ini yang tidak memerlukan pembedahan? Sejauh mana kesannya?
Pertemuan dengan Kak Zah yang mempunyai anak dengan penyakit yang sama dengan Baihaqi telah membuat Isyah merenung dan berfikir dengan mendalam. Antara pesanan Kak Zah yang menusuk kalbu Isyah, “Kita perlu bergerak untuk anak seperti ini. Walaupun dia nampak dah stabil, kita tidak boleh berada di zon selesa.” Walaupun anak Kak Zah sendiri telah menjalani pembedahan, dia menyarankan agar Isyah berusaha mendapatkan rawatan lain terlebih dahulu kerana Isyah masih mempunyai pilihan, berbanding dengan Kak Zah sebelum ini yang terdesak membuat keputusan kerana kesuntukan masa dalam membuat pilihan.
Pesanan ibunya juga membuatkan renungan Isyah makin dalam. “Sah, mak rasa elok kalau tangguh dulu perancangan pembedahan tu. Mak tak sedap hati kalau menyentuh bahagian kepala,” kata si ibu. Berdasarkan pandangan majoriti ahli keluarga dan sahabat-handai, akhirnya Isyah dan Che Amran membuat keputusan. Ketika segala persiapan sudah dibuat oleh hospital pakar untuk menjalankan pembedahan ke atas Baihaqi, Che Amran menelefon doktor dan memaklumkan keputusan itu – meminta pembedahan ditangguhkan dan meminta izin untuk membawa keluar Baihaqi dari hospital.
Selepas itu bermulalah perjalanan mencari kaedah-kaedah rawatan alternatif yang diiringi dengan terapi solat, terapi doa, terapi al-Quran dan penjagaan pemakanan yang ketat untuk Baihaqi. Masih terngiang-ngiang kata-kata doktor sebelum ini, “Jangan mengharapkan sangat daripada anak ini, dia tidak akan hidup lama.”
Hikmah daripada apa yang berlaku, Isyah dan Che Amran semakin sedar akan tanggungjawab mereka dalam memenuhi amanah Allah menjaga dan mendidik anak-anak. Hubungan mereka suami isteri juga bertambah erat, manakala hubungan dengan kaum keluarga dan sahabat-handai tambah rapat. Anakku ‘Brain Tumour’ adalah perkongsian pengalaman yang akan memberi motivasi ‘hidup’ kepada ibu bapa dan memberi harapan baru kepada mereka yang mempunyai anak yang senasib dengan Baihaqi. Lebih daripada itu, ia sebuah kembara rohani sepasang suami isteri dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah demi mencari keredhaan Tuhan.
TESTIMONI
“Satu perkongsian pengalaman yang sangat bermakna buat seorang yang bernama ibu mahupun bapa Tahniah bukan hanya pada penerbitan bukunya tetapi juga kerana ketabahan melalui saat-saat genting demi nyawa seorang anak yang disayangi. Penulisan ini juga sebagai panduan bagi mereka yang menghadapi masalah yang sama.” – Tn Hj Ismail Ahmad, Pengarah Urusan HPA
“Gabungan pengalaman dan ilmu berdasarkan fakta … bukan sahaja sebagai panduan untuk mereka yang menghadapi ujian penyakit malah panduan bagaimana hubungan dalam keluarga, dengan saudara-mara dan sahabat-handai perlu berlangsung secara ikhlas.” – Siti Rugayah Hj. Tibek, pensyarah Jabatan Dakwah, Fakulti Pengajian Islam, UKM
“Buku ini bukan sekadar mengenai tumor di dalam kranium tetapi menjangkaui persoalan seluas atmosfera kehidupan. Bingkisan berharga bagi sesiapa yang mencari pahlawan dalam diri, semangat melawan kental, rahsia perawatan yang begitu unik, harga budi dan kasih sayang serta pergantungan mutlak pada Ilahi. Ia membenarkan: setiap sesuatu sentiasa punya pilihan ketiga yang infiniti!” – Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali, perunding motivasi dan penulis buku U-Turn Ke Jalan Lurus dan R&R Di Lebuh Raya Kehidupan
“Sangat terkesan dengan jalan ceritanya. Amat menarik. Satu catatan pengalaman yang amat berharga. Wajib dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Kekentalan jiwa seorang ibu membawa kepada kekuatan. Walau dalam keadaan genting masih mampu membuat keputusan dengan tenang.” – Hasan Suyut, CEO Lotus West Engineering Sdn. Bhd. dan penulis buku Kembara Atiq Wazif: Satu Anugerah
“Kita tidak akan tahu sejauh mana kuatnya kita dalam menghadapi ujian hidup sehinggalah satu-satunya pilihan yang ada pada kita hanyalah untuk redha dan sabar dalam menerima qadha dan qadar Allah. Buku ini besar nilai tarbiahnya kerana ia memaparkan bagaimana pasangan suami isteri ini mengurus ujian hidup dengan jiwa tauhid.” Zabidi bin Mohamed, penulis skrip drama http://zabidiskrip.blogspot.com