Beliau adalah tokoh agama yang tidak perlu diperkenalkan lagi khususnya di negeri Sabah.
Datuk Hj Mokhtar, 60 tahun adalah mantan Imam Besar Masjid Negeri Sabah sebanyak 2 kali (1986-2002 dan 2005- Mac 2006).
Saya pernah mendengar cerita-cerita jamaah masjid terdahulu, bahawa Datuk Hj Mokhtar pernah dilantik sebagai muazzin di masjid. Suaranya yang begitu merdu dan dinanti-nanti begitu menarik perhatian jamaah dan penduduk sekitar.
Terdahulu, beliau adalah kumpulan ketiga di Malaysia yang menuntut di Institut Tahfiz al-Quran yang berpusat di Masjid Negara pada 1973-1976.
Rakan-rakan sepengajian beliau ialah Ust Hj Azhari Othman (Kelantan), Ust Aziz Mohd Noor (Kelantan), Ust Hj Salleh Sani Hj Harun (Perak), Ust Talip (Melaka), Ust Hj Khalil Basri (Selangor), Ust Mohd Ma’ruf Hj Nasruni (Selangor), Ust Abdullah Anis (Sarawak), Ust Rihal Anis (Sarawak), Ust Jusoh Mohammad (Terengganu).
Menurut Datuk Mokhtar, dari Sabah beliau datang bersama-sama dengan rakannya iaitu Muhyiddin Yusin (kini Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah). Walaubagaimanapun, Dr Muhyiddin telah kembali selepas 3 bulan bersama-sama.
Bagi pengalaman peribadi, saya sendiri ketika bertugas sebagai imam rawatib di Masjid Negeri, pernah berada di bawah kepimpinan beliau.
Menurut perhatian saya, hubungan beliau dengan jamaah begitu akrab sekali. Permintaan jamaah untuk menjemput beliau ke sana dan ke mari, biasanya dipenuhi kecuali jika ada urusan lain.
Sejak setahun kebelakangan, beliau kembali ke Masjid Negeri sebagai Penolong Imam Besar secara kontrak sehinggalah minggu lalu.
Khabarnya, atas beberapa masalah dan alasan, beliau telah memohon kepada pihak pengurusan JHEAINS untuk mengajar sepenuh masa di Maahad Tahfiz, mencurah ilmu tahfiz dan tarannum yang dimiliki beliau.
Sejak tahun 80an, beliau mengadakan kelas tahsin al-Quran sehingga hari ini pada setiap malam.
Pada setiap ahad malam isnin hingga khamis malam jumaat, beliau mengajar di Masjid Negeri selepas solat Isyak; sementara jumaat malam sabtu di Masjid al-Hilal Kg Tg Dumpil.
Menurut beliau, kelas ini masih dibuka kepada umum dan beliau boleh dihubungi melalui nombor 016-5885959.
Catatan Dari Bandar Tawau,
5.45 petang, 31 Okt 2009.