Archive for Disember, 2008


Khabar sudah bertiup kencang semenjak dua menjak ini, satu himpunan aman membantah kekejaman rejim Zionis Israel akan diadakan selepas solat Jumaat, 2 Januari bertempat di perkarangan Masjid Bandar Kota Kinabalu dekat Padang Merdeka.

Orang ramai terutama umat Islam dialu-alukan hadir menunjukkan sikap dan bantahan terhadap tindakan terbaru Yahudi laknatullah ini.

Ada sahabat bertanya adakah saya akan turut berhimpun pada Jumaat ini?

Jawabnya, saya akan hadir bahkan sebelum para peserta berhimpun dan berucap, saya sendiri akan menyampaikan pidato berkenaan kekejaman Israel Zionis ini.

Sebabnya saya akan jadi khatib Jumaat dan berdemo di atas mimbar dari sebuah masjid nun di Utara Negeri Sabah.

Esok saya akan ke Kudat pula! Insya Allah.

Advertisements

KHUTBAH JUMAAT 5 Muharram 1430 / 02 Januari 2009

الحَمْدُ للهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ، لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَو كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ

 أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَـرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَئٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَـدُ أَنَّ مُـحَمَّدًا عَـبْدُهُ وَرَسُولُـهُ، وَصَفِيُّهُ مِنْ خَلْقِهِ وَخَلِيلُهُ. بَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَأَدَّى الأَمَانَةَ، وَنَصَحَ الأُمَّةَ، وَجَاهَدَ فِي اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ حَتَّى أَتَاهُ الْيَقِينُ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلـِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَـبِيـبِنَا وَشَفِيـعِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، أَشْرَفِ الْأَنْبِـيآءِ وَالْمُرْسَلِينَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَالتَّابِـعِينَ لَهُمْ بِـإِحْسَانٍ إِلَى يَومِ الدِّينِ

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيرَ الزَّادِ التَّقْوَى , فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Carilah bekalan, sebaik-baik bekalan itu ialah bertaqwa kepada Allah SWT.

Pada saat kita bergembira menyambut dua tahun baru 1430 Hijrah dan 2009 Masihi, jangan kita lupa bahawa Tanah Suci Palestin yang terletak di dalamnya Baitul Maqdis telah dan sedang dinodai oleh Yahudi yang menjadi musuh utama umat Islam.

Umat Islam dan negara yang didiami oleh umat Islam di seluruh dunia sedang diuji oleh Allah SWT.

Diuji keimanan mereka, diuji keislaman mereka dan diuji hubungan persaudaraan mereka apabila hujung minggu lalu tentera negara haram Israel dan Yahudi melakukan tindakan dengan menyerang dan membunuh umat Islam dan rakyat Palestin.

Lebih 100 tan bom telah digugurkan, lebih 360 nyawa sudah melayang dan lebih 1700 lagi cedera di Gaza.

Tindakan yang sepatutnya menyentuh hati dan naluri umat Islam di seluruh dunia. Menguji keimanan mereka, sejauh mana umat Islam bertanggungjawab untuk menjaga amanah membantu saudara seagama walaupun jauh beribu batu.

Muslimin yang dikasihi Allah,

Bumi Palestin adalah tempat isra’nya Rasulullah SAW, dan bermulanya mi’raj Rasulullah SAW. Bumi Palestin yang mengandungi al-Masjidil Aqsa adalah tanah suci para Nabi AS, termasuklah Nabi-Nabi daripada kalangan Bani Israil.

Di hadapan kita kini, umat Islam diratah oleh musuh-musuh Islam. Umat Islam di Palestin menjadi mangsa kezaliman.

Mereka yang menjadi saudara seaqidah kita dikepung, ditangkap, dipenjara, disiksa dan dibunuh oleh Yahudi la’natullah, kerana mereka – umat Islam di Palestin ingin agama Islam ini tertegak di dalam pemerintahan dan seluruh kehidupan mereka.

Jangan kita hairan dengan sikap Yahudi Israel yang melakukan kekejaman ini. Mereka membunuh orang tua, kanak-kanak dan perempuan. Ingat! Bangsa ini jugalah yang pernah membunuh para Nabi dan Rasul AS. Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap ayat-ayat Allah, dan orang-orang yang bertanggungjawab membunuh Nabi-Nabi yang memang tidak dibenarkan, serta membunuh para ulama dan pemimpin yang menegakkan keadilan. Maka khabarkanlah mereka dengan azab yang pedih”. (Ali Imran : 21)*

Bahkan ulama-ulama Yahudi pada hari ini memberi fatwa membenarkan tenteranya membunuh sesiapa sahaja tanpa mengira siapa mereka kerana bangsa lain adalah haiwan dan binatang terutama Islam, tetapi Allah SWT telah menetapkan bahawa cahaya Agama Islam ini akan terus bersinar.

Cahaya dan hidayah Islam akan sampai di mana sahaja cahaya matahari akan sampai. Allah SWT telah menjanjikan bahawa akan sentiasa ada hambaNya yang menjadi pejuang dan akan mempertahankan agama Islam ini walau darah dan batang tubuhnya menjadi pertaruhan.

Allah SWT telah memilih segolongan umat ini yang tidak boleh dikalahkan sehinggalah Allah SWT memberi keputusan, memenangkan Islam dan menghapuskan Yahudi. Allah SWT telah menunjukkan kepada kita melalui sabda Rasulullah SAW :

لا تَزُولُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِى قَائِمِينَ عَلى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ، لا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَأْتِىَ أَمْرُ اللهِ. قِيلَ : مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ : هُمْ أَصْحَابُ بَيتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيتِ الْمَقْدِسِ

“Akan tetap ada satu kumpulan di kalangan umatku, mereka bangun berdiri menegakkan kebenaran agama ini. Mereka tidak boleh dilemahkan dan dikalahkan oleh orang yang mengecewakan mereka, sehinggalah datang keputusan daripada Allah SWT”. Para sahabat bertanya : “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Baginda menjawab : “Mereka ialah penduduk Baitul Maqdis dan mereka yang berada di sekitar Baitul Maqdis”.

Hari ini sudah ada kumpulan-kumpulan yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW, mereka tampil dengan gagah berani, mereka cinta dan rindukan mati syahid bagi mempertahankan umat Islam dan tanah suci mereka.

Kita melihat kebangkitan kumpulan HAMAS di Palestin dan Hizbullah di Lubnan serta didukung oleh kumpulan-kumpulan Islam yang lain.

Media-media Barat pula menggambarkan mereka ini sebagai pengganas kerana ingin menegakkan kalimah Allah SWT. Sedangkan hakikat sebenarnya mereka – puak-puak Yahudi, Israel dan Zionis inilah pengganas yang sebenarnya!

Tindakan-tindakan Yahudi ini disokong pula oleh negara-negara kuasa besar yang lain, dan ada juga kerajaan umat Islam yang menyokong dan membantunya. Perbuatan ini adalah satu jenayah besar terhadap agama Islam dan terhadap kemanusiaan.

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah SWT mewajibkan umat Islam untuk mempertahankan maruah mereka, sama ada maruah yang berkait dengan agama Islam dan hukum syariat, atau perkara-perkara yang berkait dengan harga diri umat Islam, ataupun perkara-perkara yang berkait dengan tanahair mereka, terutama tanah suci yang dikurnia oleh Allah SWT.

Adalah menjadi kewajiban umat Islam agar menunjukkan sikap masing-masing menurut kemampuan yang ada pada diri mereka.

Ada yang berperang menggunakan senjata, ada yang menyumbangkan harta benda, ada yang memohon kepada Allah SWT dengan doa, dan ada yang menyatakan simpati mereka terhadap umat Islam yang berjihad di Palestin.

Marilah kita mengimbau kembali sebuah peristiwa yang berlaku pada akhir kerajaan Abbasiyyah di bawah pemerintahan Khalifah al-Mu’tasim.

Apabila seorang wanita Islam yang berniaga di negeri bukan Islam, ketika berada di pasar, wanita ini tergelincir jatuh lalu tersingkap pakaiannya dan terdedah auratnya.

Perempuan itu telah disorak dan diejek oleh orang-orang bukan Islam. Dia dihina di khalayak ramai kerana menutup aurat dan auratnya pula terbuka.

Tiba-tiba perempuan itu merayu : “Wahai Khalifah al-Mu’tasim! Selamatkan aku!” Orang-orang yang bukan Islam itu lebih kuat menyorak dan menghinanya.

Seorang lelaki muslim berada di tempat itu, lalu bermusafir ke Baghdad dan menghadap Khalifah al-Mu’tasim memberitahu hal itu. Khalifah al-Mu’tasim bangun berdiri dan terus menjawab :

“Wahai ibu! Ini Khalifah al-Mu’tasim mendengar seruanmu”. Lalu baginda mengerahkan bala tenteranya untuk menyerang negeri itu kerana menghina seorang wanita Islam.

Jamaah Jumaat Rahimakumullah,

Umat Islam yang tidak peduli dengan apa yang berlaku kepada saudara mereka pada hari ini, sebenarnya lupa dengan amaran Rasulullah SAW :

مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيسَ مِنْهُمْ

“Sesiapa yang tidak mengambil berat urusan orang Islam, ia tidak termasuk kumpulan orang Islam”.

Walaubagaimanapun, sehebat mana perancangan dan tindakan musuh, Allah SWT telah menjanjikan bahawa Agama Islam ini tidak akan dapat dihapuskan di atas muka bumi ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 54-56* :

“Wahai orang beriman, sesiapa yang murtad di kalangan kamu, nescaya Allah akan mendatangkan golongan (yang mempertahankan Islam); Allah mengasihi mereka dan mereka kasihkan Allah. Mereka merendahkan diri kepada orang-orang beriman dan bersikap tegas kepada orang kafir. Mereka berjihad pada jalan Alah, dan mereka tidak memperdulikan celaan orang. Itulah kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepada sesiapa yang dikehendaki di kalangan hambaNya, sesungguhnya Allah Maha Luas KurniaNya lagi Maha Mengetahui.

Sesungguhnya, yang menjadi wali kamu ialah Allah, RasulNya dan orang-orang beriman yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka rukuk (iaitu patuh kepada Allah SWT).

Sesiapa yang berwalikan Allah, RasulNya dan orang-orang beriman, maka sesungguhnya golongan Allah itulah yang akan mendapat kemenangan”

أَقُولُ قُولِي هَذَا , وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

*(Sila semak dan dapatkan 2 petikan ayat al-Quran – ayat 21 Ali Imran dan ayat 54-56 al-Maidah)

Pagi ini di pejabat kami, sibuk mengemaskini dan menyediakan kalendar taqwim solat bagi tahun 1430H yang disambut semalam. Selain telah mula diedarkan pagi semalam ketika sambutan Maal Hijrah berlangsung, pagi ini juga orang ramai datang mendapatkan taqwim.

Kebanyakannya mewakili individu, tetapi ada juga yang datang atas nama masjid, surau, persatuan dan pejabat masing-masing.

Hari ini saya mendengar tentang peristiwa semalam, ada yang berebut mendapatkan kalendar solat tetapi ditinggalkan di tandas di bangunan Wisma MUIS ini.

Apa tujuan kita mendapatkan taqwim solat ini sebenarnya?

Perbandingannya begini. Misalkan seorang yang bertugas di jabatan kerajaan antara 8.00 pagi hingga 5 petang. Sesiapa yang datang jam 8.01 pagi boleh ditakrifkan sebagai lambat hadir dan kadnya bertulis merah.

Bandingkan pula dengan solat. Zuhur hari ini masuk pada jam 12.20 tengahari manakala asar pada jam 3.42 petang.

Seorang yang belum solat zuhur, lalu dia pun melihat taqwim. Diperhatinya waktu asar : “Oh.. 3.42 petang, lama lagi. Sekarang baru jam 3.00”.

Kenapa kita tidak bersikap yang sama seperti hadir ke pejabat? Maksud saya datang jam 8.01 pagi sudah dianggap lambat walaupun dia masih punya waktu sehingga jam 5 petang untuk bekerja.

Tetapi waktu zuhur ada masa selama 3 jam 20 minit, kita masih menganggap solat zuhur jam 3 petang belum terlewat. Sepatutnya kita juga menganggap zuhur kita sudah terlewat jika bersolat pada jam 1.00 tengahari.

Sepatutnya taqwim solat dibaca supaya kita dapat solat pada awal waktu, bukannya pada akhir waktu.

“Oh, sempat lagi”. Fikirkanlah bersama.

(Dapatikan taqwim solat di tingkat 9, Blok A, Wisma MUIS, Sembulan Kota Kinabalu. Ada kaunter disediakan untuk mendapatkan taqwim berkenaan).

pc290002Anugerah disampaikan oleh YB DSP Hj Yahya Hussin, Timbalan Ketua Menteri.

TYT Tun Ahmadshah tidak hadir berikutan terpaksa bertolak ke Negeri Sembilan jam 7 pagi semalam bagi menziarahi jenazah Tuanku Jaafar, Yang Di-Pertuan Besar N. Sembilan yang mangkat.

Dewan Saadah Wisma MUIS sesak dengan kehadiran umat Islam kira-kira 3-4 ribu orang.

Anugerah Khas Tokoh Maal Hijrah – Dr Yusof Jasmin @ Joseph Gimbad (Jabatan Pelajaran Sabah)

Anugerah Saidatina Khadijah – Datin Hjh Zainab Mohammad (PERTIWISA)

Anugerah Khalid al-Walid – Mustafa @ Yunus Sakmud (ABIM/Majlis Belia Sabah)

Anugerah Imam asy-Syafie – Datuk Hj Mokhtar Rapok (Masjid Negeri)

Anugerah Abd Rahman Auf – Datuk Hj Sulaiman Mohammad Abdullah (Tokoh Korporat)

Anugerah Masjid Cemerlang – Masjid Kg Brunei Membakut

Anugerah Surau Cemerlang – Surau al-Mu’tamar Kg Benoni Papar

Anugerah Raudhah – Taman Perkuburan as-Sam’aan Kg Batu 7 Sandakan

pc290012Penerima-penerima ini telah menunjukkan kemampuan mereka sehingga panel merasakan mereka layak menerima anugerah berkenaan.

Contohnya Datuk Hj Sulaiman adalah seorang tokoh korporat yang sangat merendah diri dan tidak ingin dikenali.

Beliau enggan menerima anugerah ini dan terpaksa dipujuk berkali-kali agar menerima anugerah Abd Rahman Auf ini.

Banyak sumbangan beliau dalam medan dakwah ini tetapi beliau tidak mahu ia didedahkan ketika pengumuman semalam. Cukuplah dengan menyebut namanya sahaja.

masjid-kg-ketiau-putatanMungkin tidak ramai tahu antara sumbangannya ialah membina Masjid Kg Ketiau Putatan yang serba indah dengan kos sendiri tanpa bantuan kerajaan sedikitpun.

Khabarnya mencecah RM1 juta ringgit.

Tempatnya strategik, berada di pinggir sungai dan dikelilingi oleh rumah orang kampung, tetapi malang jamaahnya tidak ramai kecuali solat Jumaat.

pc290024

TAHUN BARU DI SURAU LIMAUAN

Seronok rasanya apabila berprogram dan berceramah di tempat yang biasa dikunjungi, tiba-tiba dihadiri oleh mereka yang jarang hadir.

Saya punya kuliah tafsir selepas solat maghrib setiap ahad di Surau an-Nur Taman Limauan sejak 2 tahun lalu.

Dalam tempoh itu, dengan serba kekurangan dan kelemahan, dapatlah dihurai serba sedikit beberapa surah antaranya al-Fatihah, surah-surah lazim, Yasin, al-Hujurat, Sajadah, ad-Dukhan, dan kini surah an-Nur.

Malam tadi, malam tahun baru.

Pihak JK Surau pohon saya menukar tajuk kepada hijrah masakini. Tidak lain, saya mengutarakan soal muhasabah diri terhadap perkembangan ibadah yang kita lakukan. Apakah masih sama kualiti ibadah hari ini berbanding 20-30 tahun lalu.

Selalunya kehadiran kuliah setiap minggu sekitar 20 orang. Malam tadi, agak saya kehadiran sekitar 80  orang. Mungkin lebih.

Apabila lebih ramai hadir, kita berpeluang menjelaskan sesuatu perkara khususnya kepada yang tidak pernah menghadiri kuliah sebelum ini. Peranan Sdr Ribbang sebagai pengerusi majlis sangat berkesan sekali.

Malam itu respon sangat baik, ada soal jawab, bahkan ketika makan dan selepasnya pun panjang sembang kami lagi. Jam 11 baru balik ke rumah.

Mudah-mudahan Allah memberi petunjuk kepada kita semua. Rajin-rajinlah turun ke masjid dan surau.

Saya malam ini menonton berita tv Malaysia secara bergilir-gilir.

Sejak kemangkatan Tuanku Jaafar 2 hari lepas, pembaca-pembaca berita wanita tidak lekang daripada memakai tudung di kepala mereka.

Malam ini, selesai saja almarhum tuanku disemadikan,  sudah ada perubahan.

Di TV1, tudung pembaca berita sudah terpelanting entah ke mana. TV2 pembaca beritanya tidak beragama Islam.

pc290037Di TV3, pembaca beritanya masih memakai tudung.

Pembaca berita di NTV7 masih lagi mengenakan tudung walaupun bukan beragama Islam.

Pemberita TV9 memakai tudung, memang kebiasaan setahu saya mengenakan tudung. Wallahu a’lam.

Pokoknya kenapa memilih-milih kewajiban beragama?

Pakai tudung pada bulan Ramadhan, pergi haji, ada kematian, syarahan agama, pergi sekolah dan ketika mengaji.

Kemudian buka tudung ketika bekerja, kenduri kahwin, party tupperware, pergi pasar dan sebagainya.

Rasanya masa buka tudung tu, malaikat cuti ka?

pc280062Beliau bukanlah sesiapa dalam masyarakat. Cuma seorang manusia biasa yang diuji oleh Allah SWT.

Rowena Chin, 37 tahun  adalah seorang muallafah berbangsa Sino Kadazan. Dia berkahwin dengan Jumaat Hj Osman yang berasal dari WP Labuan pada 1996. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dengan 2 cahayamata, Mohd Afig (12 tahun) dan Nur Afieqa (10 tahun).

Walaubagaimanapun, perkahwinan mereka tidak bertahan lama. Pada 12 Januari 2002, mereka disahkan bercerai. Merumitkan keadaan, bekas suaminya itu tidak memberikan nafkah belanja kepada anak-anak sebagaimana dijanjikan di Mahkamah Syariah dahulu.

Sejak bercerai, Rowena telah bekerja. Tetapi suratan Allah SWT telah sekali lagi menguji ketabahan Rowena.

Sebenarnya sejak 2003, Rowena disahkan menghadapi Giant Cell Tumor di bahagian kaki kirinya. Pada Julai 2006, kaki kirinya terpaksa dipotong sehingga ke pangkal paha dan beliau tidak berupaya bekerja lagi.

Sudahlah bekas suami tidak menghulur bantuan, keadaan dirinya pula tidak mengizinkan untuk bekerja. Mujur tidak lama kemudian Pusat Zakat menghulurkan bantuan dengan membiayai pembelian kaki palsu bernilai RM14 ribu.

Bukan dia tidak mahu bekerja, sebenarnya sudah banyak kali dia memohon kerja tetapi semuanya ditolak.

Rowena hanya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan sebanyak RM125 sebulan. Bayangkan anak sulungnya bakal menyambung di tingkatan 1 SMK Limbanak dengan tambang bas sebanyak RM80 sebulan. Belum lagi dikira kos sara hidup yang lain.

pc280038Mujur kedua orang tuanya yang tidak beragama Islam menyara hidupnya sekeluarga.

Bapa dan ibunya masing-masing berumur 77 dan 75 tahun. Kasih ibubapa mengatasi perbezaan agama antara mereka.

(Ibu kepada Puan Rowena yang bekerja sebagai tukang sapu, bagi membiayai anak dan cucu-cucunya).

Sebelum tahun baru 1430 menjelang semalam, selepas asar kami berziarah ke rumahnya di Kg Kivatu Penampang dan menyerahkan sedikit sumbangan beras  dan hamper daripada Persatuan Ulama’ Malaysia dan JAKIM Cawangan Sabah.

Rowena bersungguh-sungguh menceritakan masalahnya dan benar-benar memohon pertolongan.

Mudah-mudahan sedikit luahan ini dapat membuahkan simpati kita terhadap seorang saudara seagama yang kini menumpang hidup bersama ahli keluarga yang bukan seaqidah dengannya. Saya akan mendapatkan no akaun untuk tuan-tuan menyumbang.

Tolonglah mereka sebelum perkara tidak diingini berlaku. Semoga ada sinar menjelang 1430 Hijrah ini.

(Saya tidak bercadang mempertikai aqidah Rowena sekeluarga. Tetapi tidak sedikit kes gejala murtad berlaku, bermula dengan situasi sebegini.

Memeluk Islam, berkahwin kemudian ditinggal suami, dibiaya oleh keluarga bukan Islam, sementara orang Islam hanya berpeluk tubuh, akhirnya mangsa kembali kepada agama asal. Apabila mereka murtad, kita terus menuding jari dan menyalahkan mereka. Di mana peranan kita?)

PROMO : ZIARAH PESAKIT HOSPITAL Q.E.

Tarikh : 29 Disember 2008 / 1 Muharram 1430 (Isnin)

Tempat : Tingkat 2, Wad Lelaki, Bangunan Lama, Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu

Masa : 4 petang. (Solat asar berjamaah di Surau HQE)

Mulakan tahun baru dengan ziarah pesakit.

Info tambahan, hubungi Che’gu Jamil : 013-8517282

pc2800301Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Nur Fathonah, Taman Union Putatan yang bakal masuk tahun ketiga menanti kedatangan ibu-bapa membawa anak-anak mereka untuk belajar di sini.

Lokasinya sangat strategik. Taman Union berada di pinggir Pekan Putatan, di belakang Supermarket Standard dan Pasar Putatan.

Seperti PASTI lain, ia menerima pelajar seawal umur 4 tahun, selain 5 dan 6 tahun juga. Bahkan jika ada yang bukan Islam berminat, sudah tentu tidak ada halangan dan sangat dialu-alukan.

Yuran bulanan ialah sebanyak RM70 sebulan sahaja. Yuran pendaftaran RM100 dan beberapa kos lain mengikut umur. Masa cuma tinggal seminggu sebelum pendaftaran pada 5 Januari 2009 akan datang.

Selain itu, kami mengalu-alukan sebarang bantuan kewangan, sarana (seperti permainan, alat bantu mengajar) dan termasuk juga tenaga dan kepakaran untuk bersama-sama membangunkan pendidikan PASTI ini.

Hubungi penama berikut untuk mendapatkan keterangan lanjut :

Cikgu Siti : 013-8573088, Cikgu Miza : 013-8644402, Ridhuan : 019-8502525, Akmal : 013-8510199

PRESIDEN BERUMUR 2 TAHUN

Semalam diadakan kenduri kesyukuran sempena ulangtahun ke-2 hero kami Abd Hadi di rumah Kg Lubok Temiang WP Labuan. Semua adik beradik dan keluarga masing-masing hadir kecuali Along sekeluarga yang berada di KK.

Abd Hadi lahir pada 25 Disember 2006, 8.45 pagi di Hospital Likas.

Doa dipohon semoga seluruh keluarga dilimpahi kasih sayang yang berkekalan.

Menu kami ialah nasi ayam, sementara ahli keluarga lain membawa resipi tambahan, sate dan KFC. Dalam semua itu, kanak-kanaklah paling seronok dapat makan macam-macam dan dapat bawa balik belon.

Sementara birthday boy pula dapat macam-macam hadiah daripada sepupu-sepupunya dan daripada Nenek Aji. Terima kasih semuanya.

%d bloggers like this: