Archive for 23 Januari 2009


USTAZ ISMAIL GHAFAR KRITIKAL

Seorang sahabat kami ketika di Universiti al-Azhar Mesir, Ismail Ghafar dari Pitas yang kini bertugas sebagai guru JQAF di SK Salimandut telah ditimpa kemalangan pagi tadi di Pitas.

Maklumat mengatakan Ismail dari rumah menuju ke sekolah sekitar jam 9 pagi.

Di satu selekoh, dia bertembung dengan sebuah kereta lain yang kemungkinan memandu laju sehingga termasuk ke laluan bertentangan.

Ismail dikatakan mengelak sehingga kenderaannya berpusing di tengah jalan, dan dia sendiri terhumban keluar, sementara kereta yang satu lagi masuk ke dalam parit. Begitulah dikhabarkan.

Kini saudara Ismail berada di ICU Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Menurut laporan awal doktor yang memeriksa mengatakan bahawa keadaan Ismail terlalu kritikal kerana kecederaan parah di bahagian kepala.

Ismail Ghafar sudahpun berumahtangga dengan seorang guru yang sama mengajar dengannya. Walaubagaimanapun, kini isterinya berada di kampung asalnya di Negeri Sembilan kerana baru bersalin sebulan lalu.

Menurut cerita, hari ini Ismail dijadual ke Negeri Sembilan untuk menziarahi isteri dan anaknya kerana cuti empat hari sempena Tahun Baru Cina.

Saya sempat berkunjung sebentar tadi, dan sedih melihat keadaannya. Mata kirinya nampak lebam dan otaknya rosak akibat hentakan. 

Kelihatan sahabat-sahabat lama ketika di Mesir dahulu silih berganti datang ke wad di mana Ismail ditempatkan.

Antara yang datang berziarah tadi ialah Hj Norazlan @ Altboy, Saifuddin Matzin, Syed Mahadzir @ Onn, Hj Zuhaili, Ust Sufian Yatim, Firdaus Faizal @ Chal, Hafiz Ahmid dan ramai lagi.

Ketika di Mesir dahulu, antara kawan-kawan rapat beliau ialah Firdaus Faizal, Hj Salman, Hj Sahrum, Nubli dan Amirul.

p1240023

Gambar lama yang saya selongkar semula. Ia dirakam pada 12 Nov 2000 di hadapan Wisma Yayasan Sabah Kaherah (WYSK), Mesir. Ia diambil sempena perasmian bangunan Rumah Sabah oleh Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Panglima Osu Hj Sukam. Kelihatan dalam gambar Ismail Ghafar dua dari kanan (yang dibulatkan). Di kanannya ialah Ust Hj Abd Hamid Ridwan (kini di Masjid UIA Petaling Jaya), YB Datuk Hj Suhaili Said (kini ADUN Tungku), SS Datuk Hj Ahmad Alawi Hj Adnan (Mufti). Di belakang Suhaili ialah Datuk Hj Arifin Arif (kini ADUN Membakut). Mereka hadir selaku alumni al-Azhar Sabah dan memberi motivasi kepada kami.

Harap sahabat-sahabat di mana sahaja berada khususnya Azhariyyun di Mesir sana, dan juga sahabat-sahabat yang telah kembali ke tanahair, serta sahabat-sahabat J-QAF yang lain dapat mendoakan kesejahteraan beliau dan diselamatkan oleh Allah SWT.

Sementara kawan-kawan yang berdekatan di Kota Kinabalu diharap dapat berziarah ke Wad A Neurosurgery tingkat bawah bangunan lama HQE, berhadapan dengan taman. (Laluan ke surau).

KepadaNya kita berserah.

p1220142Semalam diadakan perbincangan hangat di Surau Austral berkenaan projek ini yang dikepalai oleh Cikgu Abd Hamid Abu Bakar, seorang guru yang penuh dedekasi dari SMK Kinarut.

Walaupun Cikgu Abd Hamid berasal dari Kedah tetapi beliau boleh berbahasa dusun dengan baik, dan itu menjadi satu kelebihan buat dirinya untuk memimpin program ini yang dijadualkan pada selasa, 27 Januari 09.

Misi utama program ini ialah untuk membuka kelas Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), selain memberi pendedahan kepada peserta ekspedisi untuk memahami lebih dekat cara hidup masyarakat setempat yang berbangsa dusun dan beragama Kristian.

Selain itu, xpdc ini juga akan diselitkan dengan bantuan kebajikan kepada penduduk kampung serta rawatan kesihatan percuma.

Para peserta dijangka bertolak dari PASTI Taman Lok Kawi Kinarut pada jam 7.30 pagi sebelum dijangka tiba di lokasi menjelang 11 pagi.

p1220149Dengan tertubuhnya PASTI Kg Bisuang akan menjadi sejarah dan rekod baru kerana PASTI ini berada di kawasan perkampungan pedalaman yang semua penduduknya beragama Kristian.

Difahamkan, kenderaan 4 roda terpaksa berhenti di satu kampung dan para peserta terpaksa berjalan kaki pula selama 45 minit untuk sampai ke Kg Bisuang.

Jadi 2-3 hari ni kepada para peserta bawa-bawa la berjogging dan senaman.

Mereka yang berminat untuk turut serta atau menyumbang saham, boleh menghubungi Cikgu Abd Hamid sendiri (013-8508468), Ust Muhasibi (013-8600545), Ahmad Tariq (012-4935689).

Saya hanya dimaklumkan permintaan ceramah ini kira-kira jam 3 petang semalam dan diminta mengganti penceramah asal Cikgu Md Annuar Ali yang mempunyai urusan lain.

Alhamdulillah, saya sampai juga ke destinasi yang dimaksudkan walaupun terlewat sedikit akibat kesesakan lalu lintas.

p1220127SM Sains Sabah, pernah saya kunjungi sekitar tahun 1998/99 ketika masih menuntut di Maahad Tahfiz.

Ketika itu bersama sahabat-sahabat lain, kami mengajar pelajar SMESH ini pada setiap pagi sabtu subjek al-Quran dan Iqra mengikut tahap masing masing.

Kini saya hadir lagi walaupun secara mufaja’ah (mengejut). Gembira juga dapat datang sekali lagi mengisi program di sini.

Sebenarnya antara punca saya bersetuju menerima itu setelah mendapat semangat yang baik ketika berceramah di SM La Salle minggu lalu. Mungkin jika suasana dan prestasi saya merudum di SM La Salle, saya tidak akan hadir di SMESH semalam.

p1220129Program di Dewan Sekolah itu didahului dengan solat maghrib berjamaah, bacaan yasin dan doa, diikuti solat Isyak dan sunat Hajat dan diakhiri dengan ceramah sekitar sejam.

SMESH dahulunya dikenali dengan Sekolah Berasrama Penuh Sabah (SBPS) dan kalau tidak salah mula berfungsi pada pertengahan 80an.

Ia mempunyai pelajar lebih 500 orang dan semalam saja dihadiri lebih 300 pelajar lelaki dan perempuan.

Pelajar yang masuk ke sini dikenali sebagai pelajar-pelajar pintar dan bijak yang diambil lepasan UPSR dan PMR.

Walaubagaimanapun, saya mengingatkan mereka bahawa kebijaksanaan dan kepintaran itu tidak bererti lagi jika mereka tidak patuh kepada ajaran Islam.

p1220130Apa yang kita hendak jawab di dalam kubur, ketika malaikat bertanya siapa tuhan kamu? Bolehkah kita menjawab Allahu Rabbi, Allah Tuhanku tatkala kita sembahyang pun tidak?

Apa jawapan kita ketika ditanya  : Apa ikutan kamu? Mahukah kita menjawab al-Quran sebagai imam sedangkan ada yang masih tidak tahu membaca al-Quran?

Ketahuilah bahawa kecemerlangan hidup sesungguhnya tidak dikira setakat dunia sahaja. Ada satu lagi kehidupan di alam sana…

%d bloggers like this: